INGATKAN
demam denggi seperti yang dibimbangkannya, rupanya demam biasa sahaja. Lega!
Bak kata kawan serumahnya Sonja, dia yang paranoid tidak tentu hala. Amana lagi
lega apabila doktor memberitahu yang dia boleh keluar dari wad pada tengah hari
esok. Bahkan selepas disahkan yang dia sekadar demam biasa, terus sahaja dia
meminta untuk dibenarkan keluar wad pada ketika itu juga.
Bukan kerana masakan hospital tidak sedap. Fikirannya asyik teringatkan
kerja yang menimbun. Terasa bersalah pula kerana lama tidak masuk ke pejabat.
Terasa kasihan juga kepada Najla yang terpaksa membuat kerjanya. Walaupun
Danial yang datang melawat memberitahunya supaya tidak perlu fikirkan hal kerja
sangat, fikiran tetap teringat-ingat.
Kerja satu hal. Danial pula satu hal.
Amana rasa macam ada yang sudah tidak kena dengannya. Kenapa hati semakin
bergetar lain macam ketika Danial datang menziarahinya? Lebih membimbangkan
lagi ialah apabila wajah Danial semakin kerap datang bertandang di fikiran.
Semalam, Danial tampak begitu tampan pada matanya. Sedangkan sebelum ini
lelaki itu tampak biasa-biasa sahaja tanpa sebarang tarikan. Hendak kata Danial
tampak mengancam sebegitu kerana baju kemeja biru yang dipakainya, tidak
rasanya. Ini bukannya kali pertama dia melihat Danial memakai baju yang sama
itu. Sudah berkali-kali. Bahkan hayat baju itu rasa-rasanya sudah lebih dari
dua tahun. Sudah boleh dikira baju buruk.
Tetapi itulah. Semalam dia lihat Danial seperti tampan sangat. Mata aku
ada masalah ke? Rasa-rasanya tak. Entah-entah, hati aku yang bermasalah. Hmm, pun
rasa-rasanya tak.
Amana yakin yang hatinya bebas daripada jangkitan hepatitis C. Kalau ya
pun dia ada hepatitis C, hati yang bergetar setiap masa bukanlah simptom
penyakit itu. Atau dia mungkin ada masalah jantung? Tangan segera menyentuh
dadanya. Kemudian meraba pergelangan tangan untuk memeriksa urat nadi. Hmm, tidak
kut.
Tetapi kalau mata, jantung dan hati tidak ada masalah, bermakna otaknya
yang bermasalah. Oh, tidak! Aku belum gila lagi!
Amana menjadi cemas dengan tiba-tiba. Bingung kerana tidak tahu kenapa
keganjilan seperti itu tiba-tiba terjadi kepadanya. Keganjilan yang membuatkan
dia berpeluh dingin di dalam bilik wad yang sejuk.
Tetapi dia tidak mahu menyesakkan otaknya dengan keganjilan yang mula
melanda diri. Apatah lagi memikirkan mengenai Danial. Bukan apa, takut
kalau-kalau keganjilan itu menjadi penyakit yang tidak dapat dirawat dan tiada
ubat. Sengsara dan merana dia jadinya nanti.
“Encik Danial betul-betul nampak macam a knight in white shining armour semasa dia dukung kau pada malam
tu.”
Masalahnya Sonja yang sering datang melawat selepas waktu kerja sentiasa
membuatkannya teringatkan Danial. Rupanya tanpa sedar dia menghubungi Danial
pada malam itu. Ketika Danial datang ke rumah, Sonja baru pulang daripada
berjumpa kawannya. Sonja turut mengikut Danial menghantarnya ke hospital.
Daripada Sonja, dia mendapat tahu yang Danial menyerbu masuk ke dalam
bilik dan mengusungnya keluar. Sekarang, Sonja suka sangat menceritakan kembali
hal itu. Itu yang rasa macam hendak lekatkan pita pelekat atau gam cap Gajah
sahaja ke mulut Sonja. Atau minta doktor tolong jahitkan bibir Sonja. Biar
tertutup rapat. Biar nama Danial tidak lagi disebut-sebut.
Tetapi kalau buat begitu, Sonja pasti mengesyaki adanya kelainan yang
sedang dialaminya ketika ini. Kawannya itu pasti akan cuba menyelongkar
rahsianya. Tidak aman hidupnya nanti. Sudahnya, dia biarkan sahaja Sonja
mendera jiwa raganya dengan sentiasa menyebut-nyebut nama Danial.
Mujur pesakit lain di dalam bilik wad itu tidak mengendahkan bual mereka.
Kalau tidak, lagi tebal kulit mukanya nanti.
“Kau pula, terlentok semacam kat dada Encik Danial. Siap peluk leher dia
lagi. Erat benar. Kalau tak fikirkan yang kau sedang sakit, aku dah ingat yang
kau sedang menggedik dengan bos sendiri.” Sonja terus bercerita. Siap buat posing dengan memeluk bantal.
“Ya ke?” Amana terkejut juga mendengar kata-kata Sonja. Malu sungguh
apabila melihat posing Sonja itu.
Buruk benar!
Sangkanya dia sudah terkulai tidak sedarkan diri ketika diusung Danial ke
hospital. Rupanya ada drama lain yang dilakonnya tanpa sedar. Patutlah Danial
yang melawatnya sering tersenyum semacam sahaja. Aduh! Malu! Betul-betul jatuh
air muka ni! Macam nak lari ke bulan saja.
“Ia, aku tak tipu. Tapi itulah, aku terlupa nak ambil gambar. Tapi waktu
tu, serius cakap, kau betul-betul nampak macam a damsel in distress.” Sonja bersuara lagi. Mengenyit mata kepada Amana.
Nakal mengusik.
Terasa mukanya panas, cepat-cepat Amana memandang majalah hiburan yang
dibawakan oleh Sonja. Lebih baik dia membaca gosip artis daripada membiarkan
dirinya menjadi topik hangat Sonja.
“Muka dia pula nampak cemas sangat. Macam panik pun ada. Masa aku tak
tahu yang kau tengah sakit dan cuba halang dia masuk ke dalam bilik kau, dia siap
warning aku. Kalau terjadi apa-apa
kepada kau, dia akan poskan aku ke Papua New Guinea.” Sonja terus bercerita.
“Ya ke?” Amana tidak percaya.
Danial jenis yang serius sentiasa. Tenang dalam tindakan. Payah hendak
tengok Danial menjadi kelam-kabut.
“Ia, aku tak tipu. Hmm, berdasarkan pemerhatian aku pada malam tu, aku
dapat rumuskan yang dia tu terlalu ambil berat tentang diri kau,” balas Sonja.
“Alah. Benda biasa aje tu. Apa yang nak dihairankan sangat. Dia tu memang
sentiasa ambil berat tentang diri aku pun,” balas Amana. Terus sahaja
membelek-belek majalah yang diletakkan di atas pangkuan. Sedikit pun tidak
memandang Sonja.
Kerana Danial seorang lelaki yang baik, dia tahan berkawan dengan lelaki
yang sentiasa serius itu. Kebajikannya terjaga sepenuhnya. Mana hendak dicari
lelaki seperti itu sekarang ini? Di bulan pun tiada. Tidak jadi dia hendak
mengangkut kain baju lari ke bulan.
“Tetapi itulah, kau tak pula jatuh cinta dengan dia kan,” usik Sonja.
Amana yakin, bukan setakat dia, perempuan lain pun tidak pernah jatuh cinta
dengan Danial.
“Kenapa kau tak jatuh cinta dengan dia ya?” Sonja yang tidak diam mulut
terus mengusik.
“Soalan tu kena tanya kat hati aku,” jawab Amana mudah.
“Tanya hati kau buat apa, bukannya boleh dapat jawapan bertulis pun,”
ejek Sonja.
“Memanglah tak ada jawapan bertulis. Kau ingat hati aku ni ada tangan
untuk tulis atau hantar SMS dengan WhatsApp ke? Jawapan lisan lagilah tak ada,”
balas Amana selamba. Giliran dia pula menyakat gadis Kadazan itu.
“Ceh! Kononnya lawak sangatlah tu. Kalau macam ni punya gaya, patutlah
kau tak jumpa lelaki idaman kau selama ni. Hati kau sendiri pun kau tak faham,”
marah Sonja yang sakit hati dengan jawapan bodoh Amana itu.
“Eh! Aku tahu hati aku sendirilah. Hati aku ni kan, apabila jatuh cinta,
ia akan bergetar. Lain macam bentuk getarannya, buatkan aku pun turut jadi lain
macam...” Sekejap!
Amana terhenti daripada berbicara. Juga terhenti daripada menyelak-nyelak
halaman majalah. Tiba-tiba sahaja sahaja ada kesedaran yang menusuk ke akalnya.
Hati bergetar apabila jatuh cinta?!
Bukankah kebelakangan ini apabila dia terdengar suara Danial, bahkan
terfikirkan lelaki itu sahaja sudah membuatkan hati gila lain macam? Semakin
teruk situasinya apabila Danial ada di hadapan
mata. Jantung terasa seperti mahu melompat keluar dari dalam mulut dan lari
jauh-jauh. Biarkan hanya jasad yang berhadapan
dengan Danial.
Amana tidak tahu kenapa situasi misteri ini terjadi kepada dirinya.
Agaknya kerana sebelum ini dia ada berharap agar dia jatuh cinta dengan Danial
supaya dia ada alasan untuk memulakan misi memikat hati lelaki itu.
Tapi takkan secepat ini aku jatuh cinta? Dengan Danial pulak tu! Isy,
Amana. Tak ada orang lain lagi ke? Takkanlah otak tu dah tak betul? Amana mula
bimbangkan tahap kesihatan mentalnya sendiri.
“Begitu ya? Well, kau yang rugi
kalau kau tak jatuh cinta dengan Encik Danial tu. Kalau ya, memang sahlah otak
kau tu tak betul. Yalah, takkanlah dengan lelaki macam tu pun kau boleh
terpikat. Maklumlah, dia bukannya taste
kau pun,” gelak Sonja.
Amana sudah tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi.
“Kenapa tiba-tiba terdiam ni?” Sonja bertanya curiga apabila Amana terkelu
dengan tiba-tiba.
“Nothing. Aku tiba-tiba
teringat... handphone aku. Kau asyik
lupa nak bawakan handphone aku ke
mari. Mesti mak aku tengah risa,sebab aku masih tak telefon beritahu dia yang
aku dah sampai KL. Takut dia fikir yang bukan-bukan pula.” Amana pantas
menjawab. Tidak mahu curiga Sonja menjadi prasangka. Tidak tertepis olehnya
nanti.
Sonja tetap memandang Amana dengan pandangan curiga. Cuma tidak
memaksanya untuk bercerita.
KATA Sonja, Amana dibenarkan keluar pada hari ini. Danial rasa
pelik juga. Kenapa Amana tidak memberitahunya? Walhal dia sudah memberitahu
Amana yang dia sendiri hendak menjemput Amana pulang dari hospital. Kalau dia
tidak terfikir untuk menghubungi Sonja untuk bertanya khabar Amana pada pagi
ini, tentu dia tidak akan tahu perkara ini.
“Amana tak
beritahu I pun yang dia keluar wad hari ni,” ujarnya sambil sandarkan badan ke
kerusi. Mata merenung kosong kepada skrin laptop.
Kalau Amana
tidak beritahu, bermakna Amana tidak mahu dia datang. Terasa seperti tidak
dipedulikan. Aduhai, hati! Kenapa rasa macam ni?
“Bukannya
perkara penting pun. Yang penting, dia sihat.” Sonja hanya berkata sebegitu.
Tidak! Semua
perkara berkaitan Amana adalah perkara penting baginya.
“I dah kecil
hati dah ni,” balasnya pula.
“Alah, dia tak
nak susahkan youlah tu.” Sonja di talian sana menjawab dengan tawa yang
berderai.
“Apa pulak
susahnya? I okay aje nak berbudi kepada dia,” keluh Danial. Demi Amana, dia
rela bersusah payah.
“Encik Danial,
you takkan tak tahu atau terlupa? Kalau tersilap berbudi ni, boleh tergadai body tau. Amana tentunya tak nak ambil
risiko yang satu ni.” Sonja bersuara nakal. Selamba benar.
Danial terasa
mukanya panas dan merah. Di sebelah sana, riuh terdengar suara Amana memarahi
Sonja. Pasti Sonja menetapkan telefonnya pada mod pembesar suara. Amana turut
sama dapat mendengar bual mereka. Dan yang pasti, Amana turut malu sepertinya.
Budak Sonja ni memanglah...
“Betul dia tak
perlukan khidmat I?” Pun begitu, Danial bertanya lagi. Mahu memastikan
perjalanan pulang Amana dari hospital ke rumah lancar tanpa sebarang halangan.
“Hmm, I rasa,
dia perlukan khidmat you,” jawab Sonja sebegitu.
“Tell me.” Danial sudah bersedia untuk
bangun dan pergi ke hospital. Untuk Amana, apa sahaja!
“Dia perlukan
you untuk usung dia masuk ke dalam kereta. A
bridal style. Macam malam tu,” Selamba
sahaja suara Sonja.
Di belakang
Sonja, terdengar jeritan kuat Amana. Danial juga sudah tidak betah hendak
berbual lama-lama dengan Sonja. Budak seorang ini makin melalut. Bicaranya
makin mengarut.
“Kalau macam
tu, tak apalah. Tapi beritahu I kalau both
of you need anything,” ujarnya sambil mencapai tetikus. Mahu sambung kerja.
Petang nanti dia akan menelefon Amana untuk bertanya khabar.
“Sure,” janji Sonja.
“Sonja?” Dia
memanggil kawan serumah Amana yang juga pekerja salun emak itu.
“Yes,
Encik Danial?”
“I suruh mak I
potong gaji you bulan ni.”
Terdengar Amana
ketawa terbahak-bahak dari sebelah sana. Danial tersenyum senang. Senang
mendengar tawa itu. Mungkin dia patut memberitahu Mak Su Izah supaya mencarikan
wanita yang ketawa seperti itu.
“KAU ni, teruk benar. Malu aku tau,” marah Amana sebaik sahaja
Sonja menamatkan bualnya dengan Danial.
Dek bicara
nakal Sonja, dia terjerit-jerit macam orang gila. Selepas itu, ketawa
berdekah-dekah. Mata pesakit lain yang lain di kamar wad itu sudah memandang-mandangnya.
Tanda terganggu. Ada yang tersenyum nipis, ada juga yang menjuihkan bibir.
Tetapi ada seorang sedang tunjuk muka bengang. Amana langsung tidak berani
pandang pesakit itu. Jururawat pula sudah bercekak pinggang.
Malu sungguh!
Amana
cepat-cepat menarip zip untuk menutup beg barangannya. Kemudian menggalas beg
itu ke bahu. Mujur ringan. Tidak banyak barang peribadinya. Mudah diangkut. Dia
mahu cepat-cepat meninggalkan wad itu sebelum jururawat yang berwajah masam itu
mengesyaki yang dia ada masalah mental. Kesan sampingan daripada demam panas
sebelum ini.
Laju dia
berjalan meninggalkan Sonja yang sedang mengangkat bakul barangan yang diletak
di atas katil tadi.
“Alah, malulah
pulak. Eleh! Nak malu apanya? Bukannya kau tak pernah bergurau macam tu dengan
Encik Danial sebelum ni. Hadapan Puan Azah pulak tu. Takkan kau tak ingat kisah
lawak bodoh kau di salun Puan Azah hujung tahun lepas? Aku ingat lagi, babe. Selamba aje kau waktu tu, ajak
Encik Danial kahwin dengan kau. Encik Danial punyalah tersipu-sipu malu
mendengar. Kau pulak selamba badak aje waktu tu,” ujar Sonja yang mengekori
Amana dari belakang. Terkial-kial mengusung bakul barangan Amana yang boleh
tahan berat.
“Mana ada! Aku
yakin aku tak buat lawak bodoh macam tu dengan Danial. Kalau ada, maknanya aku
yang bodoh,” tegas Amana menafikan. Walhal dia ingat lagi lawak bodohnya itu.
Dia selalu ke
salun Puan Azah untuk mencuci rambut. Danial pula selalu membantu emaknya pada
hari Sabtu atau Ahad di situ. Dia ingat lagi, kejadian itu berlaku pada petang
Sabtu. Ketika itu Danial memberitahu yang Marissa hendak berkahwin. Juga
bertanya sama ada dia sudi membantu menguruskan majlis perkahwinan Marissa ataupun
tidak. Pantas sahaja dia menerima ajakan Danial dengan satu ayat yang cukup
selamba.
“Aku sedia
bantu, FOC. Tapi lepas tu kau kena kahwin dengan aku.”
Ketika dia
berkata sebegitu, dia tidak malu langsung. Bahkan ketawa besar apabila melihat
wajah Danial yang merah padam. Sekarang ini...
“Arghhh!”
“Eh! Kenapa
kau jerit ni?” Sonja segera menerpa ke arah Amana, memaut bahu dan
menggoncang-goncang badan kawannya itu.
Terkejut juga
dia apabila Amana tiba-tiba sahaja terhenti daripada melangkah dan menjerit
sebegitu. Takkan kena sampuk hantu hospital pada siang hari begini? Sonja cemas
juga memikirkan kemungkinan itu.
Huh? Amana
tersedar, memandang Sonja yang sedang memaut bahunya. Dia memandang sekeliling.
Baru perasan yang dia masih lagi belum meninggalkan kamar wad itu. Mata semua
orang, tidak kira pesakit atau jururawat, sedang memandangnya dengan pandangan
curiga. Mak tiri! Tolong aku!
“Amana!” Sonja
terpinga-pinga apabila Amana tiba-tiba sahaja memecut bagaikan atlit lumba
lari, meninggalkannya sendirian tercegat di pintu masuk kamar wad.
Hai! Minah
Perlis ni memang lain macam!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan