Bab 1
“PEMENANG bagi Pelakon Wanita Popular bagi kategori filem adalah Suzy Murad!”
jerit dua orang pengacara wanita itu.
Suzy yang sedang berbual seketika dengan rakan artis di
sebelahnya terkejut yang amat sangat. Dia memandang rakan artisnya dengan rasa
tidak percaya. Bukannya dia tidak tahu empat filemnya meletup tahun ini.
Mungkin disebabkan itu dia memenangi anugerah ini buat pertama kalinya dalam
kategori ini. Kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Boleh dikatakan semua
artis wanita yang berlakon filem mengidamkan kategori ini. Tahun ini rezeki
berpihak kepadanya.
Dengan gaun daripada kain sutera dan lace yang diletakkan pula satu reben
besar di belakang bahunya, dia bangun. Gaun labuh yang mendedahkan dadanya yang
putih melepak itu nampak cantik ketika dia melangkah naik ke atas pentas untuk
menerima trofi.
“Terima kasih kepada mama yang banyak menyokong saya dan
adik-beradik saya. Dan tak lupa kepada cinta hati saya. Love you so much. Terima kasih! Saya tak jangkakan kemenangan ni
sebenarnya. Calon-calon lain juga hebat belaka. Terima kasih semua.” Suzy
mengangkat tangannya yang memegang trofi ke arah peminat yang menyokongnya.
Jeritan daripada peminat-peminatnya membuatkan hatinya
makin teruja dengan kemenangannya kali ini. Biarpun baru pertama kali. Ini
semua atas semua sokongan peminat setianya. Tanpa mereka siapalah dia sebagai
pelakon. Suzy tersenyum kepada semua wartawan yang sedang menanti untuk menemubualnya
selepas majlis tersebut tamat.
“Suzy, bagaimana perasaan apabila dinobatkan sebagai pelakon
filem yang paling popular tahun ini?” tanya salah seorang wartawan yang berada
di situ.
“Susah nak cakap, mungkin rezeki saya kali ni. Semua
yang bertanding hebat-hebat belaka,” balas Suzy sambil mengukirkan senyuman
kepada semua yang ada di situ.
“Suzy, selepas ini mungkin ramai pengarah yang akan
ambil Suzy berlakon?” tanya wartawan daripada sebuah akhbar tabloid.
“Kita tengoklah. Tapi saya akan memberi sepenuh komitmen
saya.”
“Suzy, saya dengar Suzy akan bertunang sekali gus
berkahwin pada tahun ini. Tak takut tak laku selepas berkahwin?” tanya yang
seorang lagi.
Buk! Nah, soalan cepumas. Betul-betul menghempap
kepalanya. Soalan inilah yang paling dielakkan oleh Suzy selama ini. Suzy
senyum menyembunyikan rasa. Dipandang wartawan wanita yang terkenal itu. Daripada
sebuah majalah yang terkenal di Malaysia. BINTANG.
“Taklah. Peminat tahu menilai. Pengarah pun bukannya
pilih kasih. Kalau macam tu semua artis di Malaysia ni tak boleh kahwinlah.
Sebab bila berkahwin aje dah tak laku. Tipikal sangat. Saya rasa kahwin ataupun
tak semuanya sama sahaja. Kita mesti tahu batas-batas selepas kita berkahwin.”
Suzy melangkah selepas melayan semua wartawan itu. Hatinya
menyumpah wartawan wanita tadi. Dari manalah dia tahu aku nak bertunang? Tak
pasal-pasal pula nanti pecah rahsia. Lebih malang lagi kalau terbocor di TV
atau surat khabar. Mahu meletup kepala kekasih hatinya. Lelaki itu tidak suka
hubungan mereka digembar-gemburkan oleh pihak media. Sebab itulah Suzy
menyembunyikannya.
Suzy lebih suka semua orang tahu siapa kekasih hatinya
itu sebenarnya. Tapi itulah, lelaki kesayangannya itu tidak mahu dikenali
media. Katanya rimas. Kalau mahu berjumpa pun hanya di tempat yang tertutup. Di
kelab yang ahlinya hanya terhad kepada VIP sahaja. Lelaki hebat seperti dia sepatutnya
lebih dikenali. Suka sangat low profile. Tak apa. Bertunang sahaja Suzy
akan membawa lelaki itu ke mana sahaja. Kerana dia sudah berjanji.
“Hon, tengok
tak?” tanya Suzy.
“Buat pula tak tengok? Nanti dear bambu hon pula.”
Suzy ketawa galak. Lelaki itu memahami dirinya. Itu yang
paling penting.
“Bila balik?”
“Esok. Malam ni nak tidur sini dahulu. Rindu ya?” Suzy
bertanya manja.
“Yalah. Tapi esok nak kena jemput pukul berapa?” tanya kekasihnya
itu.
“Around 10.00. Hon, love you. Tadi ada wartawan tanya pasal our engagement
and wedding. Tapi, dear alih
topik. So, setakat tu ajelah,” cerita
Suzy.
“Dear hon memang pandai. Love you so much. Night. Hon ngantuk. Muah.” Honnya memberi ciumannya kepada Suzy.
Suzy ketawa galak lagi. Kalaulah kekasihnya itu berada
di sini, alangkah indahnya. Malam itu Suzy tidur bertemankan mimpi yang
indah-indah. Mimpi dia berada di singgahsana bersama honnya.
Suzy melangkah
keluar dari KLIA. Matanya melilau mencari lelaki kesayangannya itu. Matanya
memandang jam Omega di tangan. Sudah lebih lima minit. Selalunya lelaki itu
terlalu punctual. Hari ini dia pula
yang lambat. Atau sebab aku pakai cermin mata gelap ni? desis hati Suzy. Glasses itu diangkat dan diletakkan di
atas kepalanya. Wajah Suzy semakin menarik dengan gayanya itu. Ditalakan lagi matanya
ke tempat letak kereta. Mana tahu honnya
sudah tiba, tetapi masih berada di dalam kereta.
“Hon, kat mana? Dear dah sampai,” tanya Suzy apabila
lelaki itu menelefonnya.
“Dah nak sampai. Que
pula kat luar ni tadi. Ada satu Limo hentam kereta.”
Suzy senyum senang. Suzy ternampak BMW X6 hitam milik kekasihnya.
Suzy segera menarik beg. Pintu belakang dibuka. Dia memasukkan beg ke dalam
kereta. Bukan kekasihnya tidak mahu menolong,
tetapi wartawan yang sedang memandang dengan kamera di tangan membuatkan Suzy
melakukannya sendiri. Biarlah mereka hanya melihat keretanya sahaja. Asalkan
tuannya masih belum dilihat.
“Kenapa, dear?”
tanya kekasihnya apabila Suzy melarangnya keluar.
“Hon nampak
tak perempuan yang pakai baju merah tu? Tulah wartawan sesedap rasa,” kata Suzy
memuncungkan mulut ke arah wartawan itu.
Honnya melihat melalui cermin depannya. Wanita yang dalam 30-an itu
sedang menalakan pandangan pada keretanya. Sudah namanya kerja jadi wartawan,
tentulah asyik mencari berita. Nasib badanlah berkasih dengan orang popular.
Bukannya dia meminta-minta. Dah jodoh dengan orang glamor, nak buat macam mana
lagi. Nak berpisah rasanya dia tidak sanggup kehilangan Suzy.
“Hon...” Tiada
reaksi.
“Hon!” Juga
tiada reaksi.
“Adam Syarez bin Adam Mansor!” jerit Suzy di telinga itu.
Syarez terpinga-pinga selepas telinga dijeritkan dengan
nama penuhnya. Bingit sangat.
“Dear, pekak telinga hon nanti.” Syarez memasukkan jari kelengkengnya ke dalam lubang telinga.
“Apa yang dimenung tak tahu. Dua kali panggil, tetap
macam tu. Panggil nama penuh barulah sedar. Hon
ingat siapa ni?” tanya Suzy curiga. Dia merenung kekasih hatinya.
“Siapalah yang hon
nak ingat. Hon ada dear sorang aje,” bisik Syarez hampir ke
pipi Suzy. Pipi Suzy dielus lembut dengan tangan kirinya.
Suzy menolak tangan Syarez. Mana tahu, lelaki kaya-raya
macam Syarez siapa yang tak mahu dekat? Sudahlah dilahirkan dengan pakej yang
lengkap untuk seorang kaum Adam. Handsome
dan kaya serta keturunannya yang membawa nama Adam di depan itu amat memberikan
impak yang besar kepada sesiapa yang mengenali mereka.
“Dear, hon sayang dear sorang aje. Love you so
much,” ucapnya.
Suzy tersenyum. Mudah sangat untuk Syarez memujuk Suzy.
Cukuplah dengan ucapan I love you, Suzy sudah mula mengukirkan
senyuman. Dia mudah terpujuk dengan kata-kata itu. Bagi Suzy jika Syarez kerap
menyebutnya, tentulah Syarez amat mencintainya.
“Hon ada surprise untuk dear. Dear nak jemput
rakan rapat dear tak?” tanya Syarez.
“Surprise apa?”
tanya Suzy galak. Dia sudah dapat menekanya, tetapi sengaja bertanya.
“Adalah. Di De Gardens. Malam ni.” Syarez masih lagi
mahu berahsia. Dia senyum kepada Suzy.
“Dear tahulah...
Hon selalu macam ni. Nak jemput siapa?”
tanya Suzy kepada dirinya sendiri.
“Ha, Gisele dengan Marina!” jeritnya.
“Dua orang aje?” tanya Syarez terkejut.
“Yalah, dah dua orang aje rakan rapat dear. Tak naklah banyak-banyak. Nanti
dia orang goda hon macam mana? Dear tak sanggup,” kata Suzy.
“Mata ni hanya nampak dear aje,” balas Syarez sambil tersenyum. Syarez menalakan wajahnya
ke pipi Suzy. Menggeselkan pipinya ke pipi Suzy.
Suzy melekapkan bibirnya ke pipi Syarez.
“Ni yang hon
suka ni. Gesel sikit aje dapat habuan yang lebih besar,” usik Syarez.
“Hon ni gatal.
Tapi kan, dear sukalah hon buat macam tu,” balas Suzy lagi. Terkekek-kekek
Suzy ketawa.
Syarez juga ikut ketawa. Bahagia melimpahi hatinya.
Mempunyai Syarez sebagai kekasih hati amat membahagiakan Suzy. Suzy melangkah
turun dari kereta. Dia melambaikan tangan kepada Syarez yang berada di dalam
kereta. Kakinya diayunkan ke dalam lif yang akan membawanya ke kondonya. Kondo
itu dibeli dengan hasil titik peluhnya sebagai pelakon selama 10 tahun ini. Dia
tidak perlu bergantung kepada Syarez untuk tempat tinggalnya.
Suzy merebahkan badannya di atas tilam. Laju sahaja tadi
kakinya itu masuk ke dalam bilik. Dia amat merindui biliknya ini.
Teringat sewaktu perkenalan pertama dengan Syarez.
Mereka bertemu ketika sama-sama sedang membeli barangan di sebuah pasar raya.
Ketika itu dia bersama dengan pengurusnya, Haini atau lebih dikenali dengan
nama Kak Ani. Troli yang ditolak Suzy menghentam kaki seorang lelaki yang
sedang berdiri memilih barang. Lelaki itu mengaduh kesakitan.
“Sorry... sorry... Sakit ke?” Suzy
bertanya cemas apabila troli yang ditolaknya terkena kaki lelaki itu.
“Sakit sikit. Tak apa,” kata lelaki itu.
“Sini, saya tengok. Kenapalah saya ni cemerkap sangat?”
rungut Suzy kepada dirinya. Suzy sudah mencangkung. Mahu melihat sejauh mana
kaki lelaki itu sakit. Mana tahu berdarah ke apa.
Lelaki itu menjauh sedikit. Terkejut dengan tindakan
spontan Suzy.
“Miss, I’m okay. Please... Miss, semua
orang sedang tengok kita,” kata lelaki itu agak segan apabila matanya menangkap
ada pandangan lucu daripada pelanggan lain.
Suzy mendongak. Matanya melingas ke kiri dan kanan.
Memang betullah. Ya Allah, malunya. Suzy menutup sedikit selendang yang
menutupi kepalanya. Selendang itu sebagai pelindung wajahnya daripada dikenali
orang ramai. Memang susah betul mahu hidup normal seperti orang lain. Sana sini
semuanya mahu mengenalinya lebih dekat andai mereka ternampak dirinya.
“Sorry... I ni
over pula. Sebab you mengaduh, itu I
takut sangat,” ujar Suzy.
Lelaki itu mengukirkan senyumannya.
Suzy terpanar dengan senyuman yang memukau itu. Tadi dia
tidak melihat sangat wajah lelaki itu. Ciptaan Tuhan ini memang sungguh kacak.
“Tak apa. Sikit aje,” kata Syarez. Dia menunduk
memandang kakinya. Sakit, tetapi dia merasakan sakit kakinya itu berbaloi
apabila bertemu muka dengan wanita cantik seperti wanita di hadapannya ini.
“You ada contact
number?” tanya Syarez mencuba nasib. Mana tahu wanita itu sudi memberikan
nombor telefonnya.
“I missed call
aje ya. Berapa nombor you?” tanya Suzy kembali. Dia sudah mengeluarkan
telefonnya.
Telefon di dalam poket Syarez berdering apabila
nombornya didail oleh Suzy. Mereka berdua berbalas senyuman.
Perkenalan
singkat itulah yang membibitkan cinta hingga ke hari ini. Dan tidak lama lagi
akan diakhiri dengan perkahwinan. Suzy tersenyum gembira. Hatinya senang kerana
tidak lama lagi bakal bergelar Puan Adam Syarez, lelaki yang boleh dikatakan
jutawan muda. Biarpun kekayaan itu diwarisi oleh keluarga, tetapi Syarez juga
menyumbang pada kekayaan itu. Kerana dia juga menguruskan syarikat ayahnya itu.
Syarez satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya. Yang tiga lagi kesemuanya
perempuan.
Suzy bukan mata duitan seperti artis lain. Suzy tidak
meminta dicintai oleh Syarez, tetapi semuanya adalah jodoh yang telah ditetapkan
oleh Allah untuknya. Dia sebagai hamba-Nya akan menerima dengan hati yang
terbuka. Jikalau jodoh itu tidak sekaya Syarez adakah Suzy akan menerimanya
dengan hati yang terbuka?
Syarez terpaku memandang
Suzy yang melangkah ke keretanya. Dia mengukirkan senyuman. Bangga mempunyai
teman wanita secantik Suzy. Gaun singkat separas lutut berwarna merah terang
itu nampak cantik tersarung pada badan Suzy yang tinggi lampai. Diperbuat
daripada kain satin yang bermutu, semakin menyerlahkan lagi penampilannya,
walaupun dia tidak mengenakan sebarang aksesori pada tubuhnya. Seseorang bila
sudah cantik tentulah pakai apa sahaja tetap nampak cantik.
“Hon ni macam
tak pernah tengok dear pakai macam
ni.” Suara Suzy kedengaran seperti merengek. Manjalah kononnya.
“Bukan tak biasa. Dear
sentiasa cantik. Mana pernah hon
nampak dear tak cantik,” puji Syarez.
Dia sudah memandu keluar dari kawasan kondo Suzy.
“Terima kasih, hon.
I really appreciate that.” Suzy
melirikkan matanya ke arah Syarez. Mereka berdua berbalas senyuman.
Sesampainya di De Gardens mereka masuk secara
berasingan. Tidak mahu ada mata yang memandang. Syarez tak biasa dengan lensa
kamera. Lagipun Syarez sudah berjanji dengan umi dan baba tidakakan menonjolkan
diri.
Suzy menolak
pintu bilik VIP. Terbuka sahaja pintu itu, kesemua yang ada di dalam bilik itu
menjerit. Bukannya ramai pun, tetapi suara jeritan itu tetap mengejutkannya.
“Gisele, Marina!” jerit Suzy kepada dua orang sahabat
baiknya apabila dia terpandangkan kedua-duanya.
Ketiga-tiga sahabat baik itu berpelukan. Kerana
kesibukan masing-masing mereka bertiga jarang dapat bertemu. Marina sebagai
model manakala Gisele pula bekerja sebagai guru prasekolah di salah sebuah
sekolah swasta yang terkenal di sini.
“Tengok sikit...” kata Gisele. Tubuh langsing Suzy
dibelek-beleknya seperti memilih barang. Suzy dengan senang hati mengikut
tingkah Gisele.
“Nampak berisi sikit daripada dulu,” kata Gisele lantas
ketawa kecil.
“Ya ke?” tanya Suzy agak risau dengan kata-kata Gisele.
Mana tahu ada kebenarannya walaupun jauh di sudut hati dia merasakan Gisele
cuma bergurau.
“Kau dengarlah cakap minah amoi ni. Dia usik kau aje.
Aku tengok kau okey aje. Dia yang dah lama tak jumpa dengan kau sebab tu dia
rasa kau berisi. Aku tengok biasa aje.” Marina menafikan kata-kata Gisele.
“Kau ni, takutkan aku aje.” Suzy menampar lembut bahu
Gisele.
Gisele mengaduh biarpun tepukan itu bukannya kuat mana
pun. Matanya meliar mencari lelaki yang Marina selalu bercerita itu. Kekasih
Suzy. Sejak mereka bercinta, Gisele tidak pernah berpeluang dapat bertemu muka
dengan lelaki itu.
“Tu... hon aku
dah sampai,” tunjuk Suzy dengan jari telunjuknya.
Gisele segera menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh
Suzy. Mata Gisele terpaku melihat kekacakan lelaki itu. Patutlah kekasihnya
yang ini disembunyikan Suzy. Sepadan benar dengan Suzy. Cantik dan kacak.
“Okey tak taste
aku?” tanya Suzy sambil menolak bahu Gisele dengan bahunya.
“Taste kau
memang maut. Dulu pun maut juga. Tapi itulah tak tahan lama.” Selamba Gisele
menuturkannya.
Wajah Suzy segera berubah. Gisele segera perasan akan
perubahan wajah Suzy.
“Ops, sorry. Aku tak sengaja nak ungkit cerita
lama.” Gisele menutup mulutnya. Kesal dengan kelancangan mulutnya. Itu cerita
lama.
“Jangan ungkit lagi. Terutama sekali di hadapan hon aku tu.” Suzy memberi amaran.
Gisele cuma mengangguk. Syarez menghampiri kekasihnya.
Pinggang Suzy dipaut, menarik Suzy rapat ke sisinya. Di sini dia tidak perlu
berselindung. Cuma dua tiga orang rakannya dan dua orang rakan Suzy.
“Kenalkan, Gisele. Gisele, ni hon aku, Adam Syarez.”
Gisele dan Syarez berjabat tangan. Gisele terasa seperti
pernah mendengar nama itu. Tetapi, mindanya tidak dapat berfikir dengan lebih
lanjut kerana ketika itu ada pelayan masuk ke dalam bilik itu dengan membawakan
kek.
“Terima kasih, hon,”
ucap Suzy. Matanya merenung mata Syarez.
“Untuk dear, hon sanggup lakukan
apa sahaja,” bisik Syarez.
“Tapi, ni dah banyak sangat. Dear dapat raikan dengan kawan-kawan baik dear. Dah lama juga dear tak
jumpa dengan mereka. Sebab tulah dear
berterima kasih sangat.”
“Hmm, kita orang ganggu boleh ke?” tanya Marina. Dia
melabuhkan punggungnya di tepi Suzy.
“Duduklah. Lagipun kita orang dah habis berbual pun,”
kata Syarez.
Gisele mengambil tempat di hadapan mereka bertiga. Sejak
tadi dia banyak mendiamkan diri. Mindanya masih mencari-cari di mana dia pernah
mendengar nama itu. Namun, tetap tidak dapat berfikir. Biarlah. Dia cuma
menjadi pendengar pada perbualan mereka bertiga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan