Bab 3
Adam bergegas
masuk ke dalam lif sebaik saja pintu lif terbuka semula. Dia sempat memandang
sekilas gadis bertudung hitam yang menolongnya membuka semula pintu lif. Thank you. Kata-kata ucapan itu cuma
terbit dalam hatinya. Dia terus menekan punat nombor lapan. Sempat juga dia
mengerling gadis itu. Dia pandang penampilan gadis itu.
Berkerut dahinya melihat hujung tudung bawal yang diikat
bulat itu. Dia terus pandang depan. Stail mak cik mana ni? soal Adam dalam
hati. Mak cik aku pun tak ikat bulat hujung tudung macam tu. Siap pakai shawl bagai lagilah ada. Paling kurang
pun pakailah instant shawl. Berlambak jual kat kedai. Main sarung aje
kat kepala tu. Tak perlu bersusah payah nak pin sana sini. Eh? Apasal aku nak
sibuk nak tahu dari mana dia dapat stail
macam tu?
Lif tiba di tingkat lima.
Adam pandang dua orang gadis yang berada di sebelahnya
tadi keluar. Salah seorang gadis itu yang bertudung ikat bulat yang menjadi
mangsa kritikan dalam hatinya. Budak tu kerja bahagian apa agaknya? Kalau
tengok penampilan, sah-sah bukan pemegang jawatan eksekutif! Kalau budak tu
seorang eksekutif, memang aku pecat aje
nanti. Bagaimanalah nak jumpa pelanggan kalau berpenampilan begitu? Isy... Mudahan
budak tu bukan dalam kalangan pekerja yang berjawatan tinggi di sini.
Lif mula bergerak ke atas semula. Sebaik saja tiba di
tingkat lapan, dia disambut oleh seorang lelaki muda lengkap bersut hitam dan
nampak kemas. Lelaki itu tersenyum kepadanya.
“Selamat datang Tengku Adam. Tengku Dahlia sudah
menunggu di pejabat,” ujar lelaki itu penuh tertib dan rasa hormat.
Adam hanya mengangguk sekali sebelum menuju ke bilik
pejabat CEO. Semua pekerja di ruang pejabat itu bangun ketika dia melintasi di
jalan tengah ruang pejabat itu. Setibanya di depan bilik pejabat CEO, lelaki
yang mengiringinya tadi menolak pintu bermuka dua itu.
“Samad, terima kasih sebab bawakan Adam ke sini.”
Seorang wanita berusia lingkungan pertengahan 70-an tersenyum memandang Adam.
Samad angguk sebelum meminta diri untuk beredar. Kini
tinggal Adam dan wanita itu saja.
“Adam, kenapa balik tak beritahu opah?” tanya Tengku Dahlia lalu menghampiri cucu sulungnya itu.
Adam terus menunduk, mencium tangan opahnya. Tengku
Dahlia kemudiannya terus memeluk tubuh tegap dan tinggi cucunya itu. Erat. Adam
terkesan hati dengan tindakan Tengku Dahlia memeluk dirinya. Rasa lain. Tapi,
dia tidak tahu bagaimana ingin mentafsirkan perasaannya ketika itu.
“Opah rindu sangat kat kamu, Adam. Lama sangat kamu tak
balik jumpa opah,” ujar Tengku Dahlia selepas melepaskan pelukan.
Adam tersenyum.
“Adam pun rindukan opah dan Ayana. Maafkan Adam sebab
tak beritahu awal-awal Adam balik sini. Adam saja nak buat surprise,” kata Adam.
Buat surpriselah
sangat. Padahal nak bersembunyi di rumah Harris dulu selama seminggu sebelum
kembali ke rumah opahnya. Tetapi, apabila Budin, pemandu peribadi Tengku Dahlia
menunggunya betul-betul di depan kedai tempat dia dan Harris makan tadi, mahu
tidak mahu Adam terpaksa masuk ke dalam kereta Brabus berwarna hitam itu. Dia
sempat berpesan kepada Harris dia akan datang ke rumah teman baiknya itu sebaik
saja berjumpa dengan opahnya. Dia masih belum mahu pulang ke rumah Tengku
Dahlia.
“Mari kita duduk dulu,” ajak Tengku Dahlia lalu meraih
lengan Adam.
Mereka menuju ke arah sofa yang terletak berhadapan
dengan meja kerja itu. Masing-masing mengambil tempat duduk, saling berhadapan.
“Adam dah buat keputusan?” Tengku Dahlia memulakan
perbualan.
Adam memandang Tengku Dahlia. Dia sudah dapat mengagak
soalan itu akan dikemukakan oleh opahnya sebaik saja bertemu dengannya.
“Kalau Adam dah buat keputusan untuk ambil alih syarikat
ni, opah akan adakan mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah yang lain.”
Adam menunduk, merenung meja kopi di depannya seketika
sebelum memandang semula Tengku Dahlia.
“Opah, Adam sebenarnya belum bersedia lagi. Boleh tak
opah bagi Adam masa selama seminggu untuk Adam fikirkan semula? Adam janji Adam
akan bagi jawapannya nanti,” ujar Adam.
Tengku Dahlia tersentak. “Mengapa kamu perlukan masa
lagi untuk berfikir? Dah hampir tiga tahun opah beri kamu masa berfikir, Adam.
Kamu tak kasihan kat opah yang dah tua ni nak uruskan Adam Group yang besar ni
sendiri? Umur opah pun dah nak masuk 70 tahun ni.”
Sayu sekali bunyi suara Tengku Dahlia, membuatkan
perasaan Adam menjadi berbelah bagi.
“Adam cuma nak berehat sekejap sebelum bekerja nanti.
Nanti dah bekerja mana boleh nak cuti lama-lama.” Akhirnya Adam terpaksa
mengeluarkan kata-kata yang sememangnya dinanti-nantikan oleh Tengku Dahlia.
Wajah sedih Tengku Dahlia tadi mula berubah ceria.
Hana bergegas ke
tingkat empat untuk berjumpa dengan pereka grafik di situ atas arahan Puan Iman
yang memintanya untuk menghantar dokumen. Dia hanya turun menggunakan tangga
kerana satu tingkat ke bawah saja. Tiba di jabatan grafik, Hana menuju ke meja
pereka grafik di situ. Di situ kelihatan seorang lelaki nampak begitu fokus
memandang tepat skrin komputer.
“Encik Farouq?” Hana menyebut namanya untuk kepastian.
Dia tahu nama lelaki itu pun sebab Puan Iman yang beritahu.
Lelaki itu memusing kerusinya ke belakang. Hana
tergamam. Oh, my... Kacaknya! Siapa dia ni? Tak pernah tengok pun. Pereka grafik
baru ke? Patutlah apabila Puan Iman menyebut nama pereka grafik yang perlu dia
jumpa untuk serahkan dokumen itu, dia tidak kenal langsung dengan nama itu.
Lelaki berwajah pan-Asian, berkulit cerah dan bermata
hazel itu mendongak sedikit memandangnya.
“Yes?” Farouq
mengangkat kedua-dua belah keningnya ketika bertanya demikian.
Hana terus tersedar daripada lamunan. Dia berdeham
sedikit bagi menghilangkan rasa gugupnya.
“Emm... Puan Iman minta saya serahkan dokumen ini pada
Encik Farouq,” beritahu Hana sambil menghulurkan dokumen yang dimaksudkan.
Berketar-ketar tangannya. Hamboi,
Hana. Terlalu kacakkah dia sehinggakan tangan kau harus berketar begini?
Farouq memandang dokumen itu seketika sebelum
menyambutnya. Riak mukanya nampak bersahaja.
“Terima kasih,” ucap Farouq lalu memusing kembali
kerusinya ke depan.
Hana menarik nafas lega. Cepat-cepat dia beredar dari
situ. Takut benar hatinya bakal tercicir di situ kalau lama-lama menghadap
jejaka kacak itu. Aduhai!
Hana menunggu di depan lif untuk naik ke atas semula.
Malas pula rasanya mahu menaiki tangga. Kalau turun tangga tidak adalah terasa
penatnya. Kalau nak naik tangga tu, fuh... tak larat kudrat
muda aku ni. Sempat lagi dia menggunakan masa menunggu lif itu dengan
termenung. Bukan sekadar menungan kosong, tetapi termenungkan wajah kacak si
Farouq.
Aduhai! Siap tersenyum-senyum sendiri di depan lif
apabila mengingatkan pertemuan tadi. Walaupun masanya agak singkat dan hanya
kerana mahu menghantar dokumen, sudah cukup bagi dirinya.
Lif tiba di tingkat itu. Pintu lif terbuka perlahan.
Hana terus masuk tanpa melihat papan skrin di atas pintu lif. Tekan butang
nombor lima pun tidak. Dia masih diulit angan-angan. Angan-angankan si kacak
pereka grafik. Tanpa dia sedari ada mata yang memerhatinya sejak dia masuk ke
dalam lif.
Adam mengerutkan dahi melihat gadis yang baru masuk ke
dalam lif itu. Macam kenal saja. Matanya memerhati penampilan si gadis.
Pandangannya terhenti pada hujung tudung gadis itu. Ooo... patutlah macam
kenal. Si tudung bulat rupanya. Pandai-pandai saja dia menggelar si gadis itu
si tudung bulat. Apa tidaknya, gaya ikatan bulatnya itu yang mengingatkan dia
siapa gadis itu. Lagipun dia tidak mengetahui nama gadis itu.
Adam baru saja selesai berjumpa dengan Tengku Dahlia dan
bercadang untuk terus ke rumah Harris. Dalam perjalanannya ke bawah dengan
menggunakan lif, dia terserempak pula dengan si tudung bulat itu. Baru kini dia
dapat melihat wajah si tudung bulat secara jelas. Hmm... cantik orangnya. Tapi,
penampilan tak secantik muka.
Erk? Penampilan dia yang dah menutup aurat tu pun kau
cakap tak cantik ke, Adam? Adam mula bermonolog dalam hati. Bukan tak cantik,
tapi simple sangat! Bagi Adam, dia
begitu pantang melihat perempuan yang berpenampilan biasa begitu. Kalau nak simple pun janganlah ikat bulat hujung
tudung itu. Rasa geram pula. Rasa nak huraikan hujung tudung bulat itu dan
tolong pin kemas-kemas kat bahu.
Isy... Kalau aku buat macam itu nanti, sah-sah disangka
cuba mengambil kesempatan. Yalah, dia perempuan dan aku ini pula lelaki. Eh,
kenapa aku nak fikir sangat pasal nak betulkan penampilan si tudung bulat ni?
Adam terus mematikan lamunannya. Lif tiba di tingkat G. Adam terus keluar
sebaik saja pintu lif itu buka. Secara tidak sengaja dia terlanggar bahu si
tudung bulat.
Hana tersedar daripada lamunannya apabila terasa bahunya
dilanggar. Dia terpinga-pinga sendirian apabila melihat seorang lelaki memakai cap bergegas keluar. Lelaki itu langsung
tidak menoleh ke arahnya. Minta maaf pun tidak. Hana yang masih dalam
kebingungan dan bengang pada masa yang sama terus meluru keluar mengejar lelaki
itu.
“Encik!” panggilnya, sudah berada dua langkah di belakang
lelaki itu.
Lelaki itu menoleh. Mukanya nampak sekali terkejut.
Hana pula terpaku. Hari ini dia merasakan tuah datang
dalam hidupnya sebanyak dua kali. Tadi dia melihat si kacak pan-Asian. Dan yang
sekarang ini si kacak lelaki Melayu terakhir. Tall, dark and handsome. Erk?
Tak melampau sangat kan kalau aku katakan dia ini persis seorang putera. Tapi,
macam kenal aje bau minyak wangi yang dipakai lelaki ini. Amboi, Hana.
Sampaikan bau minyak wangi pun kau macam kenal baunya ya.
Persis putera raja ke, persis jejaka Melayu terakhir ke,
salah tetap salah. Hana mula mengawal riak mukanya. Riak mukanya bertukar
serius. Dengan beraninya dia menentang mata si kacak, tegap dan tinggi itu.
“Yes?” soal
Adam walaupun hatinya masih terkejut apabila tiba-tiba si tudung bulat
memanggilnya. Apa si tudung bulat ni nak daripada aku? Aku kenal dia ke? Banyak
persoalan mula bermain di fikirannya.
“Encik tak ada apa-apa nak cakap kat saya?” Hana mula
bertanya dengan nada sopan, tapi kedengaran menyindir.
Adam mula membuat muka pelik. Nak tanya apa? Tanya pasal
hujung tudung dia yang ikat bulat tu ke?
“What do you mean?”
soal Adam semula penuh berhati-hati.
Kening kiri Hana terangkat mendengarkan soalan si kacak
persis putera raja itu. Aku tanya dia guna bahasa Melayu, dia pulak jawab aku
dengan bahasa Inggeris. Muka dah nampak Melayu, tapi lidah mat salih.
“Tadi encik keluar dari lif, encik ada terlanggar
apa-apa tak? Contohnya, bahu orang,” ujar Hana masih suka berteka-teki. Suka
benar dia melambat-lambatkan soalan yang lebih jelas kerana sambil-sambil itu
dia menggunakan masa yang ada untuk merenung sepuasnya wajah si tampan. Hamboi, Hana, menyempat lagi kau ya.
Adam terkedu. Dia mula mengimbas sepintas lalu kejadian
tidak sengaja di dalam lif tadi. Oh... bahu si tudung bulat inikah yang aku tak
sengaja langgar tadi? Alah, itu pun nak panggil aku ke?
“Ada rasanya. Tapi, benda remeh aje, kan? Kenapa ya?
Boleh ringkaskan?”
Terbuka luas juga mulut Hana mendengarkan kata-kata
selamba Adam itu. Amboi... Selamba aje kan dia buat tak tahu. Memang nak kena
ceramah oleh aku si kacak ni.
“Encik rasa benda ni remeh ya? Kalau bahu encik kena
langgar, lepas tu orang tu blah macam
tu aje, tak ada cakap apa-apa macam I’m
sorry ke, saya minta maaf ke... Encik tak ada perasaan marah ya?” soal Hana
sambil bercekak pinggang. Dia sudah tidak sedar dia begitu kerana berasa
terlalu geram dengan sikap acuh tidak acuh lelaki itu.
Adam mula berpeluk tubuh tidak mahu kalah. Mukanya
didekatkan ke muka Hana yang tampak sekali serius.
Hana terkejut dengan tindakan lelaki itu mendekatkan
mukanya secara tiba-tiba, menyebabkan dia mula menapak ke belakang
perlahan-lahan. Takut.
“Bagi saya, okey aje. Lagi bagus blah macam itu aje daripada nak membuang masa patah balik nak
mintak maaf semua. Lecehlah!” Adam sengaja melangkah ke depan lagi apabila
melihat Hana mengundur.
“Apa yang leceh sangat? Sebut minta maaf pun susah ke?
Encik tak ada suara ke nak bercakap?” Hana yang kembali marah mula berani
melangkah ke depan.
Giliran Adam pula mengundurkan diri kerana kaget dengan
tindakan berani si tudung bulat.
“Ada. Cuma itu yang saya praktikkan dari dulu. Jimat
masa dan suara. Dan, kalau awak dah habis membebel, saya nak blah sekarang sebab banyak masa berharga
saya dah habis digunakan untuk benda yang tak penting macam ni!” Sebaik saja
menghabiskan ayatnya, Adam terus beredar dengan muka bengang.
Hana ditinggalkan terpinga-pinga dan menahan hati
seorang diri. Wah... Kata-kata yang tak sekacak wajahnya. Dari manalah dia
belajar pasal jangan meminta maaf untuk jimatkan masa dan suara sendiri? Memang
hampeh!
“Eh, kenapa aku boleh ada kat tingkat bawah ni?” Hana
mula menyedari di mana dia berada. Dia lantas menepuk dahinya.
Itulah, banyak sangat berangankan si pereka grafik kacak
tadi. Memang entah apa-apalah aku hari ini. Semuanya serba tidak kena. Apabila
teringatkan kembali si kacak persis putera itu, hati kembali panas. Hilang
segala pujian buat si kacak itu apabila mengenangkan kata-katanya. Dengan hati
yang panas, dia bergegas masuk ke dalam lif.
Adam menghampiri
Harris yang sedang berbaring santai di tepi kolam renang rumah banglo milik
keluarganya. Harris yang menyedari akan kehadiran teman baiknya itu terus
tersenyum.
“Opah apa khabar?” tanya Harris sebaik saja Adam
mengambil tempat duduk di sisinya.
Adam terus berbaring sambil kedua-dua belah tangan
diletakkan di belakang kepala. Matanya merenung jauh langit yang kelihatan
mendung.
“Alhamdulillah, sihat. Opah kirim salam kat kau,”
beritahu Adam perlahan tanpa memandang Harris.
Harris menyedari akan perubahan wajah Adam yang nampak
sugul.
“Kau okey?” tanya Harris sebelum membuang pandangan ke
langit juga.
Sebuah keluhan kedengaran dari mulut Adam. Keluhan
berat.
“Entahlah, Ris. Aku tengah dilema sekarang ni sama ada
nak tolong opah aku uruskan syarikat atau kejar impian aku. Aku jadi serba
salah dan kasihan kat opah apabila dia cakap tak nak tolong dia ke, dia dah
makin tua,” luah Adam.
Harris memandang Adam dengan pandangan simpati.
“Aku faham sangat perasaan kau tu, Adam. Tapi, tak salah
kalau kita menolong keluarga dahulu sebelum mencapai impian kita. Aku macam itu
juga bila papa aku minta aku ambil alih syarikat dia tu. Tapi, bila aku
fikir-fikir balik, apa yang aku miliki selama ini berkat hasil usaha papa aku
juga bangunkan perniagaan kami. Jadi, apa salahnya aku sebagai anak sulung
meringankan beban yang terletak di bahu papa aku selama ini. Walaupun sekarang
ni aku tolong papa aku, aku masih boleh merealisasikan impian aku pada masa
yang sama.”
Adam mendengar kata-kata Harris dengan anggukan.
Anggukan tanda dia mengiakan kata-kata kawan karibnya itu.
“Sebab itu aku minta masa seminggu untuk fikirkan semula
permintaan opah aku tu,” beritahu Adam.
“Baguslah kalau begitu. Sekurang-kurangnya kau ada masa
nak fikir semula masak-masak. Apa-apa pun keputusan kau, aku sokong okey?”
Adam tersenyum. Bersyukur kerana mempunyai teman yang
sentiasa memahami dan menyokong dirinya, tidak kira apa pun yang terjadi. “Terima
kasih, Ris, sebab sentiasa bagi aku nasihat dan pendapat apabila hati aku
sendiri masih terkapai-kapai.”
Harris tersenyum. “Apa gunanya kawan kalau bukan untuk
saling membantu, kan?”
Harris siap angkat kedua-dua belah keningnya dengan
senyuman meleret. Senyum penuh makna.
“Yalah. Nanti aku belanja makan sebulan. Cukup?” Adam
mencebik.
Harris sudah tergelak.
“Belanja makan aje?” Saja Harris bertanya dengan niat
mengusik.
“Eh, sorry. Aku lupa kau tu CEO shopping mall dan hotel sekali. Mestilah
kena high class aje, kan?” Sengaja
Adam menekan suara ketika menyebut ayat high
class.
Harris terus tersengih.
“Memang pun. Tapi, aku gurau ajelah, Adam,” ujar Harris
sambil tersenyum.
Adam tergelak kosong. “Aku tau. Kau tu tak payah belanja
pun memang dah terlebih mampu. Tapi, tak salah juga kalau aku nak belanja kau
makan. No hallah.”
“Cool,” jawab
Harris sambil angkat ibu jari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan