Bab 5
Beep! Beep!
Beep! Argh... Malas betullah mata aku ni nak buka, apalagi nak menggerakkan
badan. Memang tahap kemalasan yang tidak boleh diubah dari dulu. Dah namanya
hari ni hari Sabtu. Usai saja solat subuh pagi tadi, automatik saja Hana
menghempas diri di atas tilam sofa bed
yang terletak di ruang tamu.
Hana mencelikkan sedikit matanya. Perlahan-lahan dia
mengiring ke kiri. Dia terus pandang telefon bimbit yang berdering dari tadi
disebabkan alarm clock yang dia dah
kunci malam tadi. Berkerut dahinya melihat jam pada telefon bimbit. Dah pukul
1.20 petang! Anak dara siapalah yang bangun lewat-lewat begini? Mak mertua
manalah yang sanggup terima gadis sepertinya?
Hana mengeluh. Kononnya nak praktis bangun awal, supaya
hari Isnin depan dia tak akan terlewat lagi. Tapi, dek kemalasannya, dibiarkan
saja alarm clock tu snooze memanjang. Yalah, dah bangun,
tapi set alarm lagi lima minit dan
begitulah sehingga dia betul-betul tersedar.
Hana matikan alarm
clock. Hana pusing badan dan berbaring lurus. Dia pandang siling rumah.
Otaknya masih belum beroperasi sepenuhnya.
“Hari ni hari Sabtu. Nak buat apa ya?” Hana bercakap
sendirian. Kemudian dia mengiring ke kanan dan menutup semula matanya.
“Tidurlah lima minit lagi.” Tidak sampai beberapa saat,
dia membuka kelopak matanya semula. Dia seperti teringatkan sesuatu.
“Alamak!” Tanpa menyambung semula niat ingin tidur
semula itu, dia terus bingkas bangun. Cepat saja dia menyambar tuala berwarna
biru terang dan masuk ke dalam bilik mandi. Kedengaran air hos mengalir jatuh
ke lantai bilik mandi.
Adam tidak
henti-henti menekan punat kamera Nikon D750 berwarna hitam miliknya. Dari atas pedestrian yang menghubungkan Pavilion ke
KLCC itu, dia asyik sekali mengambil gambar. Gambar orang yang lalu-lalang di
situ, kesesakan lalu lintas di bawah pedestrian
itu dan bangunan pencakar langit di sekitar situ.
Adam tersenyum sendiri. Dia memeriksa semula semua
gambar tadi. Kewujudannya di situ menarik perhatian pengguna jalan pedestrian itu, terutamanya kaum Hawa.
Siapa tidak tertarik dengan lelaki sekacak dan penuh gaya seperti dia? Hamboi, perasan melangitlah kau, Adam. Tapi,
memang betul pun. Ini memang fakta, bukannya auta ya.
Adam menjeling sekilas jam tangan Patek Philippe
berwarna perak yang terletak kemas pada pergelangan tangan kirinya. Hmm... dah
nak pukul 2.40 petang dah. Perutnya pun bukan main lagi berbunyi ketika dia
galak ambil gambar tadi. Jadi, sekarang ni, lebih baik dia mengisi perutnya
dahulu. Persoalannya sekarang ni, nak makan kat Pavilion atau KLCC?
Adam pandang ke sebelah kiri jalan, ke Pavilion kemudiannya
berpaling ke sebelah kanan, jalan menuju ke KLCC. Hmm...
Hana bergegas
keluar dari LRT Putra yang berhenti di stesen KLCC. Ramai juga orang berkunjung
ke situ. Maklumlah, hari Sabtu. Jadi, tidak hairanlah ramai orang di KLCC hari
itu.
Hana cepat-cepat memasukkan cip berwarna biru ke dalam
mesin untuk keluar dari situ. Dia terus melangkah keluar selepas penghadang
pintu laluan terbuka. Dia menghala ke laluan kiri menuju ke KLCC. Kalau ke
kanan memang terus masuk ke Avenue K. Hana pandang jam pada skrin telefon
bimbit. Pukul 3.00 petang dah. Kelihatan 20 missed
call dan 24 mesej masuk ke WeChat dan LINE. Aduhai.
Memang Hana sengaja tidak menjawab panggilan sepanjang
perjalanan ke KLCC. Dia tidak sanggup mendengar bebelan si pemanggil. Mahu
bernanah telinganya nanti sekiranya dia menjawab panggilan itu. Langkah paling
selamat, biarkan saja.
“Manalah minah
bertuah ni? Kita tunggu dekat sejam setengah ni ha. Perut aku ni dah lapar
sangat ni. Isy!” Lelaki berbaju T-shirt
berkolar berwarna merah jambu dan seluar jean biru gelap itu sudah mula
membebel sambil membuat muka menyampah. Dia memandang gadis berambut perang dan
bermata hazel di hadapannya itu.
Gadis yang memakai blaus lengan pendek berwarna putih dan
skirt midi berwarna merah serta kasut bertumit tinggi berwarna merah itu juga
hanya mengangkat kening kirinya sambil mengoles gincu ke bibir. Lama dia
meneliti wajahnya sendiri pada cermin sambil tersenyum-senyum. Konon nak tengok
bagaimana rupa dia senyum. Hmm... memang cantik dan lawa sangat. Mulalah dia
syok sendiri.
Lelaki tadi mula mengeluh. Dia geram kerana tiada respons
daripada gadis itu.
Gadis itu mula tersedar dan terus menyimpan cermin mini
itu ke dalam beg tangan Hermes berwarna
hitam miliknya yang diletak di atas kerusi sisinya.
“Fufu, sabarlah. Kau pun tau kan cousin tercinta kita tu memang selalu lambat dari zaman kita
kecik-kecik lagi. Kau nak bebel banyak pun tak guna. Habis air liur kau aje.
Bak kata Aunty Nora, sabar ajelah,” ujar gadis itu sambil memandang tepat ke arah
Fufu atau nama sebenarnya Muhammad Fuad. Tapi, sejak kecil lagi dipanggil Fufu.
“Vianne, aku tak kisahlah dia lambat ke apa. Tapi, bila
dia tak jawab call dan balas WeChat
aku dari tadi, panaslah hati aku ni ha,” rungut Fuad sambil melekapkan tapak
tangan kanannya ke dada. Mukanya jelas sekali masam.
Vianne tersenyum melihatkan kerenah manja anak bongsu Uncle Noh Lim. Lelaki, tapi jenis yang
lemah lembut macam perempuan. Cara bercakap saja dah lemah lembut macam
perempuan, tapi sikap lelakinya masih ada. Orang yang tidak mengenali Fuad
secara dekat pasti akan menganggap lelaki itu jenis ‘sotong’ disebabkan cara
dia bercakap. Hakikatnya, dia seperti lelaki yang lain juga.
“Alah... Kau pun tau minah tu datang naik apa. Kalau dia
dah dalam tren, lebih-lebih lagi masa orang tengah ramai, memang sah-sahlah dia
tak nak jawab call apalagi nak reply mesej,” ujar Vianne mempertahankan sepupu mereka yang memang terkenal
dengan kelewatannya dalam kalangan keluarga dan saudara terdekat.
“Puih... Apasal minah tu tak ada kereta, hah? Nak cakap uncle tak mampu nak bagi sebuah kereta,
tipu besarlah. Sebut aje nak berapa banyak buah kereta pun uncle mampu belikan. Tak payah uncle,
aunty tu pun mampu nak belikan dia
rumah sekalipun. Saja aje kan minah tu nak menyusahkan diri sendiri naik tren?”
Fuad mula mempertikai.
“Aduhai, macamlah kau tak kenal si Hana tu dari kecik lagi.
Dia tu kan suka berdikari? Lepas tu humble
nak mampus. Semua tentang diri dia dan famili pun nak dirahsiakan. Haih,
kalau aku, tak sangguplah tak naik kereta. Susahlah nak bergerak tak ada
kereta,” kata Vianne sambil memuncungkan bibirnya yang mungil itu.
“Kan... Mana boleh hidup tak ada kereta. Isy, si Hana ni
memang nak kena brainwash dengan aku
kejap lagi.”
“Kalau kau berjayalah. Jangan nanti kau pulak yang kena brainwash dengan Hana,” sindir Vianne
sebelum ketawa terkekeh-kekeh.
Fuad mencebik geram kerana ditertawakan. Sabar sajalah, hati.
Nasib baik sepupu. Kalau tidak, dah
lama dia tenyeh mulut Vianne guna macaroon
yang dipesannya tadi.
“Hoi!”
Mereka berdua dikejutkan dengan sapaan kasar lagi kuat
daripada orang yang dinanti-nantikan dari tadi. Vianne terus berhenti ketawa
dan bingkas bangun. Tubuh langsing dan tinggi Hana didakap erat. Tidak cukup
dengan itu mereka berdua saling berbalas ciuman di pipi.
“Amboi, makin cantiklah kau, minah!” puji Vianne sambil
matanya bersinar-sinar melihat sepupu paling
rapat itu.
Hana tersengih menampakkan giginya yang cantik tersusun
dan putih berseri.
“Itu aku dah lama taulah, nyonya. Kau pun makin menawan
meletup habis sekarang,” balas Hana ceria.
Sejak dulu mereka suka menggelar sesama sendiri dengan
gelaran minah untuk Hana dan nyonya untuk Vianne.
“Helo... Kau orang berdua dah lupa ke kewujudan aku yang
glamor ni?”
Hana dan Vianne serentak menoleh ke arah Fuad yang sudah
berdiri bercekak pinggang. Hana tergelak dan terus meluru ke arah Fuad. Mereka
berdua bersalaman dan masing-masing memberikan flying kiss.
“Lambat benar kau ya, Hana. Aku call tak angkat, mesej pun tak reply.
Apa kau punya handphone tu dijadikan
barang perhiasan aje ke dalam beg tu?” Fuad sudah mula membebel sambil jari telunjuk
melentik menunjuk ke beg Hana.
Mata Hana dan Vianne bertembung. Mereka berdua hanya
tersenyum-senyum dan sedia maklum dengan sikap membebel Fuad itu. Mereka
bertiga sudah duduk di meja semula. Hana dan Vianne duduk bersebelahan manakala
Fuad duduk bertentangan dengan Hana.
“Sorrylah, apek.
Kau pun tau kalau hari Sabtu macam ni, tren penuh gila kut. Aku nak kena naik
dua tren kut untuk datang sini,” jelas Hana.
Fuad digelar apek kerana mukanya yang langsung tidak
berwajah Melayu walaupun ada kacukan Melayu. Memang mewarisi rupa bangsa Cina daripada
ayahnya. Mata sepet dan kulit pula cerah. Muka usah cakaplah, memang macam
orang Cina.
“Padan muka kau. Siapa suruh tak nak ada kereta? Kan
sendiri yang susah.”
Hana mencebik. Dia sudah lali mendengar persoalan itu
daripada seluruh keluarganya, apatah lagi saudara-mara.
“Yalah, Hana. Aunty
Nora pun selalu bising kau tak nak ada kereta. Sudahlah tinggal
sorang-sorang. Duduk kat flat pulak tu. Tak ke bahaya tu?” Vianne mula
melahirkan perasaan bimbangnya akan keselamatan Hana.
“Apa salahnya duduk kat flat? Sewa pun murah. Tak ada
orang nak ganggu. Lagipun tiada siapa yang kenal aku kat situ. Aku dah dekat
setahun duduk situ, okey aje,” balas Hana selamba.
“Sekarang kau cakap okey, di hari lain macam mana
pulak?” tempelak Fuad.
Hana mencebik.
“Tinggal kat mana-mana pun belum tentu selamat, walau kat
kondo mewah sekalipun. Melainkan kau ada bodyguard
24 jam berjaga depan rumah kau. Kau sanggup ke ada orang kawal kau 24 jam?”
soal Hana.
Fuad dan Vianne masing-masing terkedu.
“Fufu, sekarang ni kau nak brainwash si Hana ni ke dia tengah brainwash kau? Kan aku dah cakap tadi, kau memang kena brainwash balik,” sindir Vianne lalu
tergelak.
Fuad sudah mula buat muka whatever. Hana tersenyum.
“Ni nak makan kat mana ni? Takkan nak makan kat Harrods
Cafe ni. Tekak aku ni nak makan nasiklah,” ujar Hana sambil meraba tekaknya.
“Itulah si apek ni. Tekak nak makan western aje. Tadi aku ajak makan food court kat atas sebab nak makan nasi kandar ayam madu, dia
tolak mentah-mentah. Nak makan macaroon kat
sinilah sangat. Macamlah tak boleh nak tapau bawak balik kan,” rungut Vianne
sambil menjeling sekilas Fuad yang begitu rancak mengunyah macaroon.
Terbeliak mata sepet Fuad mendengarkan kata-kata Vianne.
Hana sudah menggeleng-gelengkan kepala melihatkan kerenah mereka berdua.
“Fufu, Fufu, Fufu... Tengok Vianne ni. Dia dah
terang-terang ada darah orang putih dalam darah dia ni, tapi selera dia macam
aku. Tak adanya nak makan western bagai.
Kau ni baru aje belajar dekat Aussie selama tiga tahun, itu pun terus tekak kau
pun jadi tekak sana eh?” Hana mula
memerli Fuad.
Fuad mula menjulingkan mata ke atas sambil letak tangan
ke bahu.
“Whatever. Yalah.
Kau orang nak sangat makan nasik kan. Jomlah. Tak kuasa aku nak dengar kau
perli lama-lama, minah!” Sejurus itu, Fuad terus bangun.
Hana dan Vianne tersenyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan