Bab 10
REESA benci dengan kata-kata
Syarez dua minggu lepas. Hingga ke hari ini kata-kata itu masih berlegar-legar
dalam fikirannya. Reesa benci kepada Syarez juga. Syarez tiada hak untuk
menjerit kepadanya. Hak itu telah lama hilang daripada Syarez.
Bodoh! Yang aku teringat kat dia buat apa! Ingat, Reesa! Syarez cuma masa
lalu yang terlalu payah untuk dipadamkan. Dia boleh berpura-pura tidak
mengenali kau, maknanya dia tiada kekesalan kerana menceraikan kau!
“Muka kau macam muka makan cuka. Kenapa?” tanya Gisele.
“Aku menyampah dekat seorang mamat ni. Aku benci dia!” jerit Reesa. Baru
hari ini dia berani menjerit dia bencikan Syarez.
“Siapa? Aku kenal?” Gisele ingin tahu.
“Taklah. Ex aku. Bapa Adam.”
Gisele terlopong. Reesa bertemu semula dengan bekas suaminya. Bila?
“Dia nak ambil Adam ke?” Gisele bertanya soalan yang memang tidak patut
ditanyanya.
“Ke situ pula kau. Langkah mayat aku dulu. Nak anak kahwinlah,” sahut
Reesa.
“Dia tak kahwin lagi ke?” soal Gisele lagi.
“Entah, aku tak tanya pun.” Reesa jongket bahunya. Dia tidak ingin tahu
kehidupan yang macam mana Syarez lalui kini. Lagipun lelaki itu berpura-pura
tidak mengenalinya.
“Kau tak pernah tunjuk gambar kat aku pun. Handsome tak dia?”
“Kau ni asal nama lelaki aje kau nak tahu kacak ke tak. Aku tak tahulah. Ex aku kan. Jadi, tak kisahlah dia tu
kacak ke tak. Dah jadi bekas.” Reesa mencebikkan bibirnya.
“Mana tahu handsome sama macam pakwe
kawan aku, pelakon tu. Suzy yang glamor,” kata Gisele tersengih-sengih.
Tiba-tiba dia teringatkan Syarez, teman lelaki kepada Suzy.
“Sudahlah kau!” Reesa melempar bantal kecil ke arah Gisele.
Gisele mengelak, tetapi bantal itu sudah terkena kepalanya.
Adam menghampiri Gisele. Dia duduk di sisi Gisele.
“Ibu, kenapa mummy tak tinggal
dengan daddy?” Adam bertanya dengan
tiba-tiba pula. Ayat yang paling Adam tidak jemu bertanya.
Gisele memandang Adam. Aduh! Macam mana nak jawab ni? Gisele menggenggam
jemarinya. Itulah, aku suruh kahwin dengan Umarif tak nak. Sekarang budak kecik
ni dah tanya, omelnya dalam hati.
“Kenapa Adam tak tanya mummy?”
Gisele cuba melarikan diri daripada menjawab soalan Adam.
“Dah tanya, tapi mummy tak
beritahu sebabnya,” beritahu Adam.
“Macam nilah... Walaupun mummy
dan daddy tak tinggal sama, tapi Adam
tetap boleh jumpa daddy, kan? Adam
kecik lagi. Ibu tak pandailah nak beritahu. Cerita orang dewasa. Bila Adam dah
masuk sekolah rendah nanti baru ibu cerita,” ujar Gisele. Berharap agar Adam
akan memahaminya.
“Okeylah.”
“Seronok pergi piknik hari tu?” tanya Gisele.
Dia tidak sempat untuk bertanya tentang itu kerana sibuk dengan
pengebumian neneknya. Selepas jatuh hari itu neneknya terus koma. Hidupnya
hanya bergantung pada mesin sokongan hayat sahaja. Setelah lama berbincang
mereka sekeluarga memutuskan untuk menanggalkan mesin itu.
“Seronoklah... Jumpa Amira. Amira pergi dengan mama dan pak usunya.”
“Amira ada pak usu? Handsome
tak?” tanya Gisele.
“Adam jangan layan ibu. Dia memang pantang dengar nama lelaki,” kata
Reesa.
Adam mengekek ketawa apabila Gisele mengembungkan pipinya ke arah Reesa.
“Mummy, uncle tu handsome tak?
Adam tak tahulah nak cakap macam mana. Tapi kan... daddy cakap pada Adam, ketawa uncle
tu macam Adam,” beritahu Adam.
Reesa yang sedang menghirup air berhenti. Bila masa pula Umarif kata
begitu kepada Adam? Reesa toleh ke arah Adam.
“Mana ada. Ketawa Adam milik Adamlah. Mana boleh sama dengan orang lain,”
ujar Reesa. Dia cuba menafikannya, walaupun dia tahu akan kebenarannya.
Gisele perasan wajah Reesa yang berubah apabila Adam memberitahu
ketawanya sama dengan pak usu Amira.
“Kau tak sudi nak kongsi dengan aku lagi ke?” tanya Gisele. Masih lagi
mengorek rahsia.
“Apa?” tanya Reesa pura-pura tidak faham maksud Gisele.
“Pasal bapa Adamlah. Kau ni kan memang...” Gisele pura-pura jauh hati.
Dia terlalu ingin tahu tentang kisah silam sahabat baiknya itu. Dia tidak
memaksa kerana dia tahu Reesa cuba melupakannya.
“Aku tak tahu nak mula dari mana. Bukan aku nak ingat semula cerita
silam. Tapi, dia hadir dalam hidup aku semula selepas hampir enam tahun. Dia
pura-pura tidak mengenali aku. Jadi, aku tak beritahulah pasal Adam. Aku agak
dia dah kahwin.”
“Siapa dia?” Gisele mula berminat. Reesa tidak pernah membuka cerita
tentang bekas suaminya. Bagi Reesa biarlah hanya dia saja yang tahu.
“Siapa dia tak penting. Nantilah, bila dia dah tahu kehadiran Adam, aku
kenalkan.”
“Kau cuba menafikan hak dia sebagai ayah Adam?” tebak Gisele.
“Taklah. Macam aku katakan tadi. Dia pura-pura tidak mengenali aku. Nasib
dialah. Lagipun aku tak nak dia kata aku mahukan nafkah setelah enam tahun
berlalu. Aku masih boleh menjaga Adam,” katanya lagi.
“Teruk sangat ke dia layan kau dulu?” Gisele cuba mengorek rahsia lagi.
“Bagi aku teruklah. Setahun berkahwin, aku tahu dia masih cintakan bekas
kekasihnya. Malah, dalam waktu yang sama mereka kembali bersama. Aku tahu semua
itu. Apa perasaan kau jika lelaki itu tetap sentuh kau walaupun tiada cinta?”
tanya Reesa.
“Upsetlah.”
“Itulah yang aku rasa. Tapi, kerana cinta aku relakan saja. Sebab itulah
aku terlalu berhati-hati dalam mengenali lelaki. Cukuplah hanya Umarif sahaja.”
“Aku tak tahu pula sampai begitu sekali. Kau memang pandai berahsia ya.
Sampai hati. Kau memang tak percayakan aku ke?” tanya Gisele lagi.
“Aku malas nak ungkit cerita lama. Sebab tulah aku tak pernah cerita kat
kau. Aku bukan tak tahu kau tu macam mana,” kata Reesa.
Gisele hanya menyengih.
“Hujung bulan ni aku nak pergi majilis tunang kawan aku. Suzy si pelakon
hebat tu. Aku rasa kau tak kenal kut,” beritahu Gisele sudah melarikan topik
berbicara. Dia sudah terbiasa memberitahu Reesa ke mana sahaja dia akan pergi.
“Tahu tak apa. Aku memang malas nak ambil tahu pasal artis-artis ni.
Bukannya luak pun.” Reesa bermain-main dengan hujung rambutnya yang separas
bahu itu. Cepat pula kali ini rambutnya itu panjang.
Selama kelahiran Adam dia tidak lagi suka berambut panjang. Rimas kerana
Adam suka benar bermain dengan rambutnya. Sampaikan dibawa hingga ke tempat
tidur. Rambutnya itu akan diletakkan di hidung dan dia akan terlena begitu. Tetapi,
bila rambutnya ini sudah pendek, hanya waktu tidur sahaja Adam akan bermain
dengannya.
Mula-mula melihat Gisele menjerit terkejut, hinggakan Adam meraung.
Terkejut dek jeritan Gisele. Gisele pula alah jika ternampak orang bermain-main
dengan rambut.
“Mummy... telefon.” Adam
menghulurkan telefon kepada Reesa.
“Siapa Adam?” tanya Reesa.
“Mama Mira.”
Apa pula kali ni? Adakah Tuhan sudah menentukan takdir akan pertemuan
demi pertemuan antara merekakah?
“Helo, kak long.”
“Ni... Reesa, kak long nak jemput Reesa dan Adam datang majlis birthday Mira malam ni. Reesa free, kan?” tanya Hawa Alyana.
Apa jawapan yang patut aku beri ni? Reesa mundar-mandir. Adam dan Gisele
memandang telatah Reesa. Cakap busy
tentu Amira akan bercerita di sekolah nanti. Macam mana ni? Reesa menggaru
kepalanya. Telatahnya itu diperhatikan Adam dan Gisele dengan hairan.
“Tengoklah dulu, kak long. Saya ni jarang drive malam-malam. Fobia sikit. Lagipun saya tak biasa area rumah kak long.” Reesa menolak
dengan alasan yang agak kukuh.
“Macam tu pula. Kejap ya.”
Lama Reesa menanti. Entah apa pula yang berlaku ni. Janganlah apa yang
Reesa rasakan...
“Helo?”
Jantung Reesa seperti mahu meletup mendengarkan suara itu. Panjang umur
sungguh. Tadi baru saja bicara pasal dia dalam hati.
REESA memandang tubuhnya yang
tersarung baju kurung bunga-bunga kecil berwarna merah. Reesa cuma mengenakan
tudung bawal dwitone yang berwarna
hitam dan merah. Sepadanlah dengan bajunya itu. Tak payah nak cantik-cantik.
Reesa mengutuk dirinya. Bibir yang dioles dengan sedikit gincu disapu dengan
tisu.
“Mummy, uncle dah sampai,” jerit Adam.
“Siapa tu, Adam?” tanya Gisele ingin tahu.
Dia melihat melalui tingkap rumahnya. Boleh tahan juga kawannya ini.
Kenal dengan orang kaya. Sudah tentulah orang kaya kerana kereta yang dipandu
itu berharga hampir setengah juta. Siapa agaknya?
“Pak usu Mira,” jawab Adam.
“Wah! Cantiknya. Kau nak goda pak usu Mira ya?” usik Gisele apabila
melihat Reesa yang cantik berbaju kurung. Ketika itu Reesa sudah keluar dari
bilik.
“Kau cakap baik-baik sikit ya. Aku tak hinginlah dengan lelaki tu. Betul ke aku nampak cantik?” tanya
Reesa risau. Dipandang bajunya dari atas ke bawah.
“Yalah.” Selamba jawapan Gisele. Dia memuji bukan kerana hari ini saja
Reesa nampak cantik, tetapi sejak dulu lagi di mata Gisele, Reesa nampak
cantik.
“Kalau macam tu aku nak kurangkan lagilah bedak kat muka aku ni. Aku cuma
temankan Adam. Manalah suka kalau aku nampak over,” kata Reesa. Dia menarik tisu di atas TV.
“Dahlah... Lagipun dia bukan nak tackle
kau. Mummy orang,” sambung Gisele
lagi.
“Betul juga ya.” Reesa senyum.
Dia dan Adam melangkah keluar dari rumah. Memasuki kereta BMW X6 itu.
Kali kedua Reesa merasa menaiki kereta ini. Dahulu Syarez membawa BMW 5S. Waktu
telah berubah, menyebabkan semua orang telah berubah.
“Adam sempat beli hadiah?” tanya Syarez apabila melihat Adam memegang beg
kertas yang berisi kotak hadiah.
“Tak. Ibu beli hadiah untuk Emilia, anak saudara ibu. Tapi, ibu cakap
Adam boleh ambil hadiah ni untuk Mira. Nanti ibu beli yang baru,” beritahu
Adam. Dia senyum memandang Syarez.
“Siapa ibu tu, Adam?” tanya Syarez lagi. Hatinya tertanya-tanya, kerap
benar Adam bercerita pasal ibu itu.
Adam memandang mummynya.
Memohon mummynya menjawab bagi
pihaknya.
“Kawan saya. Tapi, dia panggil ibu. Gisele nama dia.”
“Cina?” teka Syarez.
Reesa mengangguk. Malas mahu memberitahu bahawa Gisele sebenarnya adalah
mualaf sejak dua tahun lalu. Lagipun bukannya Syarez mengenali Gisele.
“Pelik pula. Orang Cina selalu panggil mummy, tapi terbalik
pula.”
“Dulu memang saya ajar Adam panggil saya ibu. Panggil Gisele, mummy. Entah macam mana dia menukarnya.
Hingga sekaranglah. Tu sebab dia panggil Umarif daddy.”
Kereta Syarez sudah melintasi kawasan lorong perumahan elit itu. Tak
terjangkau dek tangannya mahu menggapai rumah sebesar dan semewah ini. Adam
berbisik sesuatu di telinganya. Reesa cuma mengangguk.
Syarez hanya menjadi pemerhati sahaja pada tingkah dua beranak itu.
Mereka sekeluarga memang suka berbisik agaknya. Bukan sekali dia melihat mereka
berbisik-bisik. Umarif dan Reesa, kadang-kadang Adam dengan Reesa. Pelik sekali
keluarga ini.
“Adam, mummy tak ajar ke...
kalau kita bertiga mana boleh berbisik-bisik? Nanti orang yang seorang lagi
akan terasa hati,” gurau Syarez.
“Tak pun. Betul ke, mummy?”
tanya Adam lurus.
“Betullah,” jawab Reesa perlahan. Tak guna! Anak aku, tahulah aku
mengajarnya, desis hati Reesa. Reesa menggigit bibir tanda geram.
Syarez senyum sinis. Rasa mahu tergelak melihat wajah Reesa yang mencuka.
Mereka melangkah masuk ke dalam rumah bak
istana itu. Reesa memandang sekeliling. Betapa hebatnya majlis hari lahir Amira. Untuk sambutan hari lahir Adam,
Reesa hanya menyambut bersama Gisele dan Umarif sahaja. Lagipun Reesa memang
tidak sukakan keriuhan yang melampau.
Adam sudah ditarik oleh Amira. Mereka berlalu ke arah badut yang sedang
membuat persembahan. Dihadiahkan kanak-kanak itu belon yang yang berbentuk
dengan pelbagai jenis haiwan.
“Reesa,” panggil Hawa Alyana apabila melihat Reesa seperti tidak tentu
arah.
“Kak long, Reesa seganlah pula.”
“Janganlah segan. Jom masuk. Rez ni pun tinggal tetamu macam tu aje. Tak
guna punya adik,” rungut Hawa Alyana. Dia menarik Reesa untuk masuk ke dalam
rumah.
Dalam keadaan yang riuh itu Reesa melihat Syarez bersama seorang
perempuan. Isterinya barangkali. Patutlah, menonong aje masuk tadi. Tak sabar
nak jumpa isteri.
“Umi,” panggil Hawa Alyana.
Reesa berhenti berjalan. Tidak pula Reesa teringat wanita yang pernah
menjadi ibu mertuanya itu.
Puan Suhaili menoleh. Matanya tertancap pada wajah Reesa. Pelanduk dua
serupa ke? Nyata Puan Suhaili juga terkejut apabila matanya terpandangkan wajah
Reesa.
“Umi, nilah mummy Adam yang
Amira selalu cerita tu. Rez pergi jemput dia dan Adamlah tadi. Reesa, ni umi
kak long, panggil aje Mak Cik Su.” Hawa Alyana memperkenalkan Reesa kepada
uminya.
Reesa menyalami tangan wanita yang pernah menjadi ibu mertuanya. Wanita
ini juga pernah membencinya ketika dia berkahwin dengan Syarez. Reesa berpura-pura
tidak mengenali Puan Suhaili. Enam tahun telah mengubah dirinya. Dahulu Reesa
kurus kering sekarang Reesa agak berisi sedikit. Sesuai dengan pertambahan
usianya. Nampak cantik. Dan sekarang Reesa bertudung.
“Kamu Reesa Aimee, kan?” tanya Puan Suhaili setelah Hawa Alyana berlalu. Dia
tidak salah menilai. Walaupun gadis yang pernah menjadi isteri Syarez dahulu
kurus, tetapi Puan Suhaili yakin inilah bekas menantunya. Tangan Reesa ditarik.
Reesa cuma mendiamkan diri. Tidak tahu patutkah dia mengakuinya.
“Macam mana boleh bertemu dengan mereka semua?” Puan Suhaili ingin tahu. Dia
benar-benar terdesak ingin tahu.
Reesa masih mendiamkan diri. Ketika dia mahu menjawab,
Adam menghampiri mereka.
“Mummy, Adam
dapat ni.” Adam menunjuk belon yang telah dibentuk menjadi ulat beluncas.
Terima kasih, anakku. Kau memang penyelamat mummy. Reesa mengucap syukur dalam hati.
“Adam nak makan tak? Mummy boleh ambilkan.” Reesa cuba mengelak daripada ditanya lagi
oleh Puan Suhaili.
“Nak. Apa yang mummy
ambil, Adam makan,” kata Adam masih lagi dengan belon ulat beluncasnya. Dia
membelek-beleknya sambil mengayun-ayunkannya.
Reesa menarik tangan Adam untuk mengikutnya. Tidak
sanggup mahu membiarkan Adam bersendirian dengan Puan Suhaili.
“Adam tinggal sini dengan nenek. Biar mummy yang ambil,” kata Puan Suhaili.
“Boleh ke, mummy?”
tanya Adam kepada Reesa.
Reesa sekadar mengangguk. Jika tidak dibenarkan nanti
Adam banyak bertanya pula. Dan Puan Suhaili juga akan hairan.
“Mummy siapa
nama?” tanya Puan Suhaili kepada Adam.
“Reesa Aimee.”
“Ayah pula?” tanya Puan Suhaili. Dia berdebar-debar
juga jika apa yang dirasanya menjadi kenyataan.
“Maksud nenek daddy
ke? Nama daddy, Umarif,” kata Adam yang
bermain-main dengan belon itu. Dia jujur kerana Puan Suhaili bertanya tentang daddynya. Dia hanya mengenali Umarif
sebagai daddynya.
“Betullah
kamu Reesa Aimee. Nama panggilan sahaja bertukar.”
Reesa tetap merasakan ketidaksenangan Puan Suhaili.
Adakah kebencian dulu masih lagi terasa hingga ke hari ini?
“Kalau dah mak cik kata begitu. Saya minta maaf sebab
hadir semula dalam hidup keluarga mak cik. Tapi, mak cik jangan risau, saya tak
ada niat pun untuk hadir semula. Cuma mungkin sudah takdir kita berjumpa sekali
lagi,” jawab Reesa.
“Aku tak kata tak suka, tapi hairan macam mana kau
boleh kenal dengan Hawa?” tanya Puan Suhaili.
“Umi, kasarnya umi cakap dengan cikgu Amira.” Tiba-tiba
Hawa Alyana menyampuk.
Sejak tadi dia perasan suasana tegang selepas dia
mengenalkan mereka. Kenapa dengan uminya yang nampak terganggu ketika melihat
Reesa?
“Saya tak boleh lama ni, kak long. Umarif datang jemput
kami. Dia on the way dah,” beritahu
Reesa. Dia tidak mahu lagi berada di situ. Boleh pengsan jika lebih lama lagi
dia berada di situ.
Syarez juga menghampiri mereka. Puan Suhaili memandang
Adam dan Syarez bersilih ganti. Ada sesuatu yang dirasainya.
Bila nak sambung ye? Pls sambung
BalasPadambest sangat novel dudaku suamiku....
BalasPadam