Bab 7
SUASANA yang meriah itu membuatkan aku tertanya-tanya sendiri. Aku ada
dekat mana ni? Kenapa ramai orang datang ke sini? Aku melihat baju yang sedang
aku pakai. Terbeliak mata aku dibuatnya. Baju pengantin! Huwarghhh! Aku kahwin dengan siapa ni?
Sedang aku kalut memikirkan siapa yang aku kahwini,
Alina datang menghampiriku. “Iman, tahniah ya...”
Berkerut-kerut dahiku menerima ucapan sebegitu daripada
Alina. “Kau cakap apa ni? Aku kahwin dengan siapa?”
“La... Apa ni? Suami sendiri tak tau? Cuba kau tengok
dekat sana. Suami kau tengah layan tetamu,” ujar Alina lagi lalu menunjukkan ke
arah seorang lelaki yang memakai baju pengantin, sedondon warna denganku.
Tersentak aku saat lelaki itu berpaling dan memandang
tepat ke arahku. Mataku bulat apabila melihat wajah itu. Tidak!!! Orang tua tak
ada gigi!!!
“HOI, Iman! Bangunlah!”
Aku terjaga daripada lena. Dahiku kelihatan sudah
berpeluh-peluh. Mungkin kerana baru sahaja mengalami mimpi yang sangat ngeri bagiku.
Aku lihat, Alina dan Irsyad sudah berada di sisiku.
“Aku dekat mana ni Alina? Mana suami aku?” soal aku
sambil mengesat dahi.
“Ha? Kau dekat rumahlah. Nak dekat mana lagi?” Alina
mengerutkan keningnya.
“Sejak bila pulak kau dah kahwin ni? Padanlah tadi kau
menjerit-jerit cakap tak nak kahwin dengan orang tua. Hmm... Apa kau cakap tu?
Hah, orang tua tak ada gigi!” ujar Alina sambil tersengih.
Aku menggelengkan kepala berkali-kali. Nasib baiklah ini
semua hanya mimpi. Jikalau tidak, naya aku!
“Hmm... Kenapalah you tak mimpi kahwin dengan I aje?”
Irsyad bersuara tapi dengan nada yang perlahan.
Disebabkan kepala yang semakin memberat, aku malas nak
ambil tahu apa yang Irsyad omelkan. Suka hati mulut dialah nak cakap apa pun.
Tak perlu nak sibuk-sibuk untuk aku ambil kisah. “Lina, kepala aku...”
“Aku tahu. Kau pengsan tadi. Tu yang aku call Encik Irsyad ni, suruh bawak kau ke
klinik.”
Mataku bulat seketika. Erk! Jangan cakap yang Irsyad
dukung aku?!
Tiba-tiba, aku terdengar suara Irsyad sedang ketawa. “Don’t worry. I masih tahu batas-batas
antara lelaki dan perempuan. Alina yang tolong papahkan you.”
Aku sudah menarik nafas lega. Huih, buat aku terperanjat
sajalah. Dalam hati, sempat aku mengagumi Irsyad. Dia nampak saja seorang yang
bersosial, tetapi dia baik sebenarnya. Yalah, kalau lelaki lain memang dah lama
ambil kesempatan terhadap aku.
“Serius, lepas ni aku tak nak papah kau lagi. Berat giler,” ujar Alina sambil mengangkat
tangannya, tanda dia benar-benar memaksudkan kata-katanya.
Mata aku sudah bulat. Apa? Berat sangat ke badan aku ni?
Setahu aku, tak sampai 60 kilogram pun berat aku. Maklumlah, badan aku ni kecil
molek saja. Kalau nak dibandingkan dengan Alina, kecil lagi badan aku.
“Serius? Lepas ni, memang aku kena pergi ke gimlah
nampaknya.”
“Hahaha. Gurau ajelah Man. Orang masa tengah pengsan
memanglah berat badan dia. Tapi, kalau dah badan kau kecil macam ni, aku rasa
tak adalah berat mana,” ujar Alina lagi sambil ketawa perlahan.
Aku pantas menampar bahu Alina. Suka betul dia
mempemainkan aku! Fuh, nasib baik inche
tunang aku ni dah tahu yang aku ni tak berat mana. Ewah... Sejak bila pula aku
mengaku dia tunang aku ni?
“Eh, aku lupalah Lina. Kenapa ek aku pengsan?” soalku
apabila mula ingat sesuatu.
Alina pula sudah tersengih apabila mendengar soalanku. “Bos
kita kan nak buat majlis untuk kau dengan Encik Irsyad. Takkan sesenang macam
tu kau boleh tak ingat?”
Gulp! Rasa sudah tidak tertelan air liurku apabila
mendengar kata-kata Alina itu. Sempat juga aku mengerling ke arah Irsyad dan
lelaki itu pula membuat wajah biasa dan tenang saja. Seolah-olah berita ini
tidak mengejutkan dirinya langsung!
“Mampus aku Lina. Habis tu, pejabat macam mana pulak?
Dia orang semua dah tahu ke?” tanyaku dengan nada cuak.
“Eh, berita hot
macam karipap baru keluar dari microwave
tu! Takkan tak dengar kut. Malah, acik-acik cleaner
pun dah tahu tau,” jawab Alina dengan nada yang bersungguh-sungguh. Jelas sekali
tidak menunjukkan bahawa dia sedang menipu sekarang.
Aku apa lagi, rasa macam hendak sesak nafas sekarang ini.
Manalah aku hendak sorokkan muka aku yang tak berapa nak cun ni? Padahal, Irsyad
bukannya tunang betul aku pun! Aduh... Lepas satu, satu masalah timbul.
Apa tindakan yang patut aku buat ni? Nak mintak
pertolongan Irsyad? Tolonglah! Lepas aku dapat tahu yang dia bos Garuda
Holdings, aku tidak mahu ada apa-apa hubungan dengannya. Sebabnya, aku rasa
tidak layak untuk bergandingan dengan orang seperti dia.
“You nak I tolong you ke, Iman?” Tiba-tiba Irsyad
membuka mulutnya.
Mulutku sudah terkunci, tak tahu nak jawab apa. Tolong?
Aku tak mahu lagi terbeban dengan dia. Cukuplah sekali dia menolongku tempoh
hari. Kali ini, aku tidak mahu melibatkan dia dalam halku. Aku betul-betul
nekad!
“Encik Irsyad tak rasa marah ke dengan saya?” tanyaku
tanpa mempedulikan langsung soalannya tadi.
“Kenapa nak marah?” Irsyad kerutkan kening, pelik.
“Yalah, saya sesuka hati aje mengaku yang Encik Irsyad
tunang saya. Entah-entah Encik Irsyad dah ada girlfriend, saya aje yang memandai buat macam tu. Tak patut kan
saya ni?” Aku ketawa, cuba menutup rasa malu di hati.
Tiba-tiba saat ini aku terasa macam perempuan yang tak
tahu malu. Tak patut betul aku libatkan orang lain untuk melepaskan diri
daripada masalah.
“Nope. Awak
tak perlu risau. I don’t have someone
special in my life. Yet. But seriously, saya tak kisah pun kalau awak
nak saya mengaku sebagai tunang awak.”
“Tapi kenapa?” Aku memberanikan diri untuk bertanya.
“I tak suka tengok you dalam kesusahan. Please Iman. You tak perlu tanggung
masalah ni sorang-sorang. Untuk apa I ada di sisi you kalau I sendiri tak boleh
tolong you? You know you have me, Iman. Dan tak ada siapa lagi yang dapat
tolong you, kecuali I sorang,” ujarnya dengan nada yang sedikit keras.
Aku terpanar seketika. Cuba untuk memahami apakah
maksudnya itu. Namun, aku tidak mahu menjadi SS iaitu syok sendiri. Nanti,
kalau aku dah tangkap cintan dengan dia, rupa-rupanya dia hanya menganggap aku
tidak lebih daripada seorang kawan. Ada juga orang bawa diri ke negara lain. Tak
ke naya?
“Tapi, saya tak nak libatkan Encik Irsyad dalam hal
saya. Kali ni, biarlah saya berlaku jujur. Nanti, saya akan mengaku sendiri
kepada bos yang awak bukan tunang saya,” ujarku dengan nekad.
Aku terdengar dia mengeluh perlahan. Namun, aku sendiri
tidak pasti kenapa harus dia mengeluh.
“Oh! Jadi, berita yang hangat ni rupa-rupanya salah
fahamlah ya?” celah Alina pula.
Aku menganggukkan kepala tanda mengiakan. Sempat aku mengerling
Irsyad. Wajahnya tampak kecewa kala ini, namun aku berpura-pura tidak ambil
pusing tentang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan