Bab 9
Hana bergegas
keluar dari bangunan Adam Group. Dia perlu cepat, kalau tidak panjang pula
barisan di Monorail. Ialah, waktu orang balik bekerja kan, mestilah ramai
orang. Bukan jalan raya saja jammed
waktu pagi dan petang, Monorail serta tren yang lain pun sama jammed teruk juga. Dia malas beratur
panjang dan menunggu. Perut pun tengah lapar. Nak tunggu lama-lama nanti
pengsan jugak aku kat situ. Tak sanggup aku jadi tumpuan orang!
“Cik Hana!”
Hana terus berhenti melangkah apabila satu suara yang
agak menggerunkan dirinya tiba-tiba saja memanggil. Dia menoleh dengan muka
gelisah. Kenapalah dia nak panggil aku di saat-saat genting ni? Dia tak tahu ke
aku ni tengah mengejar waktu? Lambat seminit pun nanti beratur panjanglah
nampak gayanya. Adam menghampirinya dengan langkah yang agak laju. Nampak
kelam-kabut pun ada. Apa ke hal Mr. Tak Ada Adab ni? Kelihatan serabut benarlah
raut wajahnya.
“Ya, Tengku? Ada apa Tengku panggil saya ni?” soal Hana
laju sambil matanya memerhati stesen Monorail Raja Chulan yang mula penuh
dengan para pekerja yang bekerja di sekitar situ. Dia mengeluh kecil. Lambatlah
dia balik hari ni. Tangan pula terus saja meraba perutnya yang terasa lapar.
Adam memerhati tindak-tanduk Hana yang nampak gelisah saja.
Haih, aku yang tengah gelisah dia pun nak gelisah sama?
“Awak balik guna apa?” soal Adam.
Dia berasa hairan kerana jika gadis itu mempunyai
kereta, dia pasti akan ke ruang parkir di tingkat paling bawah bangunan Adam
Group. Tidak mungkin dia memarkir keretanya di tempat lain kerana ruang parkir
Adam Group ada kira-kira 200 petak untuk memarkir kereta. Itu pun banyak lagi
ruang kosong memandangkan kebanyakan pekerjanya banyak menggunakan motosikal.
“Monorail, Tengku,” jawab Hana pantas sambil
terjenguk-jenguk lagi ke arah stesen Monorail Raja Chulan.
Adam terus memandang Monorail yang terletak 100 meter
saja dari tempat mereka berdiri. Berkerut dahinya. Oh, ada Monorail rupanya
berdekatan sini. Aku baru tahu kut. Nampak sangat aku tak pernah naik tren.
Hahaha. Adam kembali memandang Hana.
“Cik Hana, saya nak ambik Monalisa sekarang juga,”
beritahu Adam.
Hana yang mendengarnya terus terpempam. Aik? Nak ambik
sekarang pulak? Bukan ke dah janji akan tunggu aku pulangkan Monalisa dia tu
pagi esok? Mamat ni saja aje nak kasi aku migrain tak pasal-pasal sekarang ni, kan?
“Tapi, Tengku kan dah janji akan tunggu saya pulangkan
semula kamera Tengku pagi esok? Tak boleh ke Tengku tunggu sampai pagi esok aje?”
Hana benar-benar menunjukkan riak tidak berpuas hati terhadap permintaan Adam
yang secara mendadak itu.
Renungan mata Adam berubah tajam menusuk ke anak mata
Hana. Terkedu Hana dibuatnya.
“Saya tak boleh nak tunggu sampai pagi esok. Sekarang
awak ikut saya. Saya hantar awak balik dan awak terus pulangkan Monalisa,” kata
Adam tanpa kompromi lagi.
Ternaik kening kiri Hana mendengarkan kata-kata berbaur
arahan itu. Eh, ikut suka dia aje nak buat apa kan. Bukannya nak dengar
kata-kata aku ni. Heh. “Kenapa saya perlu ikut Tengku? Saya baru kenal Tengku
dan mengapa harus saya biarkan Tengku hantar saya, walaupun alasannya nak ambil
terus kamera kesayangan Tengku tu? Tengku tu lelaki dan saya ni perempuan. Maaf
jika Tengku tersinggung hati, tapi sebagai seorang perempuan saya perlu
berjaga-jaga juga. Jadi, lebih elok Tengku bersabar dan tunggu aje saya
pulangkan kamera Tengku tu pagi esok. Boleh?”
Tidak berkelip mata Adam merenung Hana yang begitu petah
berbicara. Rahangnya bergerak-gerak sedikit tanda dia menahan rasa marah dengan
kata-kata gadis itu. Nampak simple luarannya,
tapi siapa tahu dalamannya agak berbisa juga bila berbicara.
“Awak ingat saya nak larikan awak ke, Cik Hana? Jangan
fikir bukan-bukan boleh tak? Saya cuma nak mudahkan awak dan diri saya sendiri.
Saya hantar awak balik dan awak pulangkan kamera saya tu. Jadi, awak tak rugi
apa pun sebab saya dengan bermurah hatinya sudi menghantar awak balik. Awak tak
perlu keluar duit satu sen pun. Lagipun, saya bukannya ada apa-apa niat yang
luar biasa kat awak ni,” kata Adam sinis.
Hana mencebik geram. Aku bukannya nak perasan dia tu nak
ada apa-apa niat yang luar biasa pun. Tapi, agak-agaklah kan nak hantar aku
balik sedangkan baru kenal. Memang dia bos besar, tapi pengetahuan asas macam
itu pun dia tak tahu ke? Mana ada perempuan yang senang-senang saja berani nak
terus bersetuju kalau lelaki yang baru dikenali nak hantar balik? Sudahlah tak
berapa nak tahu dia ni jenis yang bagaimana, tidak pasal-pasal nanti keluarga
aku dapat berita aku kena jual kat sempadan Thailand.
Isy. Bak kata Lana, kawan aku dari Miri Sarawak,
palis-palis. Maksudnya minta dijauhkan. Tak sanggup aku memikirkan nasib aku
kalau menjadi tragis begitu sekali. Lantaklah dia nak cakap aku ni berfikiran
negatif, tapi setiap orang bebas untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
Lebih-lebih lagi aku ni seorang perempuan. Perempuan yang lemah. Lemah ke? Hana
hampir mengeluh.
“Tengku, saya malas nak cakap banyak. Saya minta diri
dulu. Esok pagi saya jumpa Tengku kat pejabat, okey?” kata Hana lalu berlari
meninggalkan Adam.
Adam terkesima dengan tindakan gadis itu
meninggalkannnya begitu saja tanpa mempedulikan permintaannya. Menyedari
langkah Hana semakin jauh, Adam terus mengejar gadis itu.
Hana menjeling Adam
sambil tangannya pantas saja mengeluarkan syiling sebanyak seringgit dan 60 sen.
Cepat saja dia memasukkan kesemua syiling tersebut ke tempat syiling pada mesin
tiket itu. Beberapa saat kemudian sebiji token berwarna biru jatuh ke bawah.
Token itu diambil dan diserahkan kepada Adam.
Termangu-mangu Adam ketika menerima token berwarna biru
itu. Nak buat apa dengan token ni? Persoalannya terhenti tatkala melihat Hana
sudah bergerak masuk selepas scan sekeping
kad pada mesin keluar masuk itu. Dia terkial-kial mencari tempat untuk meletak token.
Bagaimana nak pakai benda ni? Ramai orang menunggu giliran melalui mesin itu
akibat tindakan lambat Adam.
“Scan token tu
kat situ.”
Mujurlah Hana tidak naik dulu dan menunjuk cara
bagaimana menggunakan token itu. Adam cepat-cepat scan token itu di permukaan atas mesin itu. Tittt. Penghadang pintu mesin itu terbuka. Adam cepat-cepat
meloloskan diri melepasi mesin itu. Fuh... selamat aku.
Hana sudah menaiki tangga. Adam mempercepat langkahnya
mengikuti Hana yang nampak sekali malas mempedulikan dirinya. Malu juga dia
tadi kerana tiada duit kecil di dalam dompet. Cuma ada beberapa keping not RM100
berserta kad pengenalan diri, kredit kad dan kad bank. Itu saja yang ada di dalam
dompetnya. Syiling pun tidak ada. Kerana Monalisa, Adam tebalkan juga muka
meminjam duit untuk tambang daripada Hana.
Disebabkan Hana tidak mahu dihantar pulang olehnya, Adam
mengambil keputusan untuk mengikut gadis itu pulang dengan menaiki Monorail
saja. Pertama kali pula tu dalam hidupnya menaiki Monorail. Demi Monalisa apa
pun boleh jadi. Langkah Adam terhenti di tangga ketiga teratas. Panjang sangat
barisan sampai kena berbaris di tangga. Hana yang berdiri di hadapannya
kedengaran mengeluh kecil.
“Cik Hana?” panggil Adam.
Hana menoleh dengan muka kurang senang.
Marah kat aku ke? bisik hati kecil Adam. Tahu takut.
“Ada apa, Tengku Adam?” Nampak sekali mood Hana kurang baik. Apabila ada orang
yang membuatkan dirinya berasa marah dan geram, dia akan menyebut nama penuh
orang itu. Nada suara pun kedengaran malas sekali.
“Memang penuh macam ni ke setiap kali awak balik?” soal
Adam ingin tahu.
Matanya melilau memerhati keadaan sekeliling yang penuh
dengan manusia. Dalam hatinya terdetik sesuatu. Best sangat ke naik Monorail sampai penuh begini? Naik kereta lebih
bagus. Ada jugak aircond. Ini kena open air. Sudahlah aku pakai kot ni. Panas!
Hana mengetap bibirnya geram sebelum membuka mulut. “Tengku,
setiap pagi dan petang Monorail memang penuh macam ni. Bukan kat atas jalan
raya saja jammed dengan kereta,
motosikal, bas dan lori. Kat sini jammed
dengan manusia.”
Hana kembali memandang ke hadapan. Malas benar dia
melayan Mr. Tak Ada Adab. Sanggup pula dia nak naik Monorail eh berbanding kereta yang tentunya mahal
kebaboom. Macam tak percaya saja dia
sanggup naik Monorail semata-mata nak dapatkan balik Monolisa. Apa penting
sangat Monalisa tu? Kamera aje pun. Isy.
“Ooo. Awak tak ada kereta ke?” soal Adam lagi sambil
membuka kot dan melonggarkan sedikit tali lehernya. Kurang sikit panasnya.
Kemudian kot itu disangkut di lengan kiri.
Hana mencebik. Mujurlah dia masih memandang ke hadapan
apabila disoal begitu. Tanpa menoleh ke belakang, dia menjawab, “Tak Ada.”
Pendek saja jawapan Hana. Kepala Adam terangguk-angguk
kecil.
“Kenapa tak ada kereta?” Oleh kerana tidak berpuas hati
dengan jawapan pendek Hana, Adam membuka mulut sekali lagi, bertanya.
Hana terus menoleh dengan muka geram. “Sebab tak adalah.
Perlu ke saya nak beritahu secara terperinci?”
Mata Hana mencerlung tajam ke arah Adam yang
terkebil-kebil melihatkan reaksi Hana yang nampak sekali marah. Dia sudah lupa
lelaki itu bosnya apabila dalam keadaan marah.
“Perlu. Sebab saya jenis orang yang suka benda terperinci.
Awak kena set kat otak awak pasal diri saya ni. Jadi, lain kali
awak tahu saya ni bagaimana jika berkaitan dengan kerja. Faham?”
Berkerut dahi Hana mendengarnya. Terperinci ke perfectionist? Mengaku ajelah dia tu
jenis yang nak semuanya sempurna. Perfectionist
tu lebih kurang seperti seorang yang cerewet. Heh.
“Faham,” jawab Hana malas sebelum memandang ke hadapan
semula. Sedikit demi sedikit mereka mara ke hadapan.
“Selepas ni giliran kita masuk ke?” tanya Adam kurang
sabar.
Dia tidak tahan menunggu lama-lama begitu. Lebih-lebih
lagi berbaris dengan keadaan yang terhimpit sana sini. Pelbagai bau badan manusia
bercampur, membuatkan dia berasa mual dan hampir termuntah. Sememangnya
hidungnya cepat sekali sensitif dengan bau. Disebabkan itulah dia sangat
mementingkan kebersihan diri.
“Ya. Tapi, tengok keadaan jugak. Kalau tren dah penuh
dari stesen sebelumnya, kita kena tunggu tren seterusnya.” Hana hampir
tersenyum melihatkan Adam berulang kali mengelap peluh yang semakin banyak
mengalir di bahagian dahi dan leher dengan menggunakan sapu tangan berwarna
biru gelap. Baju kemeja putih yang dipakainya pun nampak sekali lembap dengan
peluh.
Nampak sangat tak pernah ke tempat-tempat yang penuh
macam ini melainkan tersangkut di jalan raya, di dalam kereta yang berhawa
dingin. Tapi, peluh-peluh macam itu pun, tiada satu bau yang kurang
menyenangkan pun datang daripada lelaki itu. Berpeluh sakan begitu pun bau
badan tetap sempurna. Bayangkanlah betapa sempurnanya lelaki bernama Tengku
Adam itu.
Adam sudah tidak mengeluarkan apa-apa kata selepas
mendengarkan jawapan Hana. Aduhai, habis berpeluhlah aku kalau tren yang
selepas ini pun penuh. Si tudung bulat ni tak rasa susah ke kena naik Monorail
yang penuh sesak begini setiap hari Isnin sehingga Jumaat? Ada kereta lebih
bagus. Boleh juga duduk dan menikmati rasa sejuknya penghawa dingin. Ini?
Agaknya kalau dia ingin membakar lemak pada badan, dia naik saja Monorail
setiap hari bekerja. Confirm paling
kurang pun turun satu kilogram
seminggu.
“Ha, sampai pun,” ujar Hana tanpa memandang Adam.
Tren yang baru berhenti itu nampak hampir penuh dengan
orang. Sebaik saja pintu Monorail dibuka, orang yang sedang berbaris
berpusu-pusu masuk. Mujurlah Hana dan Adam sempat masuk. Petugas yang menjaga
laluan di depan pintu Monorail menghalang di depan pintu sebagai isyarat tiada
ruang kosong lagi. Kedengaran bunyi amaran pintu bakal ditutup sebelum pintu
ditutup rapat. Seketika kemudian Monorail yang berwarna merah itu bergerak
dengan kadar kelajuan sederhana.
Hana dan Adam berdiri betul-betul di tepi pintu. Hana
segera memegang palang yang terletak di tepinya. Manakala Adam memegang palang
atas dengan mengalas tangannya menggunakan sapu tangan. Hana mencebik. Memang perfectionist!
Adam mengerling ke kiri dan ke kanan. Terasa mahu sesak
nafasnya dengan keadaan di dalam Monorail yang agak padat. Pelbagai bau ada
walaupun di dalam Monorail itu ada diletakkan pewangi di setiap gerabak.
Agaknya ada yang tak mandi berhari-hari kut. Sebab itulah wangi macam mana pun
tak dapat menangani bau yang dah disimpan berhari-hari. Atau mungkin ada yang
tak cuci baju berminggu lamanya, menyebabkan bau terperap itu tersebar di dalam
tempat bertutup begini. Dia dah rasa nak muntah disebabkan tak tahan dengan bau
hangit itu.
“Cik Hana,” panggil Adam separuh berbisik memandangkan
mereka berdiri sebelah-menyebelah saja. Nak cakap dengan suara normal, didengar
pula orang yang berdekatan.
Hana menoleh dan mendongak sedikit ke kanan, memandang Adam.
“Awak ada bawak minyak wangi tak?” tanya Adam dengan
muka penuh harapan.
Hana mengerutkan dahi mendengarkan pertanyaan lelaki
itu. Pantas saja dia menggelengkan kepala tanda tiada. Isy, kenapa dia tanya
aku ada bawa minyak wangi ke tidak? Macamlah aku ni jenis yang suka memberatkan
lagi beg aku demi sebotol minyak wangi. Salah orang dia tanya.
Raut wajah Adam berubah kecewa. Dia membuang pandangan
ke luar Monorail memandangkan mereka berdua berdiri menghadap pintu.
“Kenapa, Tengku?” soal Hana ingin tahu.
Adam mengerling ke arahnya sambil menekup hidungnya
tanda tidak tahan dengan bau yang tidak sepatutnya. Hana hampir tergelak
melihatkan gaya Adam yang kelihatannya seperti cacing kepanasan itu. Memang sah
Tengku Adam lelaki yang gilakan kesempurnaan. Hana tunduk mengambil sesuatu di
dalam begnya.
Adam turut tunduk memandang beg tangan berwarna coklat
dan lusuh itu. Nampak tali benang beg itu ada yang terkeluar dan kesan cakar.
Beg jenama apa dia pakai ni? Macam tak berjenama saja.
“Nah, sapu sikit kat hidung,” ujar Hana sambil
menyerahkan bekas berwarna biru putih itu.
“Vicks? Awak nak saya sapu Vicks kat hidung?” soal Adam
dengan nada tidak percaya.
Hana angguk kecil.
Mahu tidak mahu Adam menyambut juga bekas Vicks itu. Dibuka
penutup Vicks itu lalu terus mencalit sedikit ke jarinya sebelum digosok ke
lubang hidung. Terasa segar sedikit nafasnya dengan bau Vicks itu. Vicks pun jadilah.
Dia menyerahkan kembali Vicks tersebut kepada Hana. Hana menyimpan semula ia ke
dalam beg.
“Thanks,” ucap
Adam sambil mengerling Hana. Hana pandang dia dengan pandangan pelik.
Aik, pandai pula dia nak ucap terima kasih. Ingatkan dia
tu Mr. Tak Ada Adab sejati. “Sama-sama.”
Kemudian masing-masing membuang pandangan ke luar Monorail.
Terasa kejanggalannya saat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan