Bab 6
“Fuh, nasib baik
ada meja kosong. Sebab itulah aku tak suka nak keluar dari rumah hari Sabtu, Ahad
atau public holiday sekalipun. Ramai
sangat orang!” rungut Hana.
“Itulah sebabnya aku tak suka makan kat food court ni. Sesak sangat dengan
orang.” Fuad memulangkan paku buah keras. Dia masih tidak berpuas hati kerana
terpaksa mengikut sepupu-sepupu tersayang
makan di situ. Kalau tak ikut, makan seorang dirilah nampak gayanya. Kang ada
juga KLCC ni banjir dengan air mata pilunya. Cet.
“Alah, tak apalah. Kan dah dapat meja kosong ni. Kau nak
makan apa Fufu? Aku dan Hana pergi beli makanan dulu tau. Kau duduk sini, jaga
tempat,” arah Vianne lalu berdiri sambil diikuti oleh Hana.
“Baiklah,” jawab Fuad malas.
“Excuse me. Masih ada kosong tak meja ni?”
Tiba-tiba Fuad dikejutkan oleh suara garau berlemak
seorang lelaki yang sedang berdiri di hujung meja. Fuad terus memandang lelaki
itu.
“Ada. Kami cuma bertiga saja. You boleh guna meja yang
sebelah ni,” kata Fuad sambil menunjuk meja sebelah kanan yang memang
bersambung dengan mejanya sekarang. Sebenarnya meja itu untuk enam orang.
“Oh, thank you so much,” ucap lelaki itu lalu
meletak dulang berisi nasi lemak ayam dan teh tarik panas di atas meja.
“Welcome,”
balas Fuad sambil tersenyum.
Lelaki tadi terus duduk. Sudu dan garpu yang terletak di
dalam gelas berisi air panas itu dikeluarkan serta dilap dengan menggunakan
tisu sehingga kering.
Mata Fuad curi-curi memerhati penampilan lelaki itu yang
baginya memang bergaya dan ada rupa itu. Persis model! Jam tangan pun mahal
sampai tahap boleh beli kereta, jadi mestilah lelaki itu datang daripada
keluarga yang agak berada. Jam tangan Patek Philippe, woi! Gila mahal kut.
Terserlah ketampanan lelaki itu dengan kemeja-T lengan
pendek berwarna biru gelap dan jean hitam. Rambut pun gaya quaff. Nampak segak sekali. Nasib baik aku ni lelaki, kalau aku ni
perempuan dah lama aku cuba mengayat lelaki kacak ini. Amboi, ada niat jugak
kau eh, Fufu.
“Fufu, pergilah beli makanan. Kat sana ada jual segala
pasta yang confirm masuk ke dalam
tekak kau yang marvelous tu.
Pergilah,” gesa Hana yang tiba bersama Vianne dengan dulang berisi nasi kandar
ayam madu dan ice lemon tea. Mereka
terus duduk.
“Iyolah, minah
pot-pet, pot-pet!” Sempat lagi Fuad mengutuk sebelum beredar.
Hana cuma mampu mengetap bibirnya. Terus saja matanya
mengerling lelaki yang sedang berselera menikmati nasi lemak di hujung meja
mereka. Matanya terus terpaku melihatkan gerangan lelaki itu. Eh, dia ni bukan
ke Mr. Tak Ada Adab tu?
Hana terus saja menundukkan muka memandang nasi
kandarnya. Cemas. Aduhai, kenapa dalam banyak-banyak tempat aku perlu
terserempak dengan lelaki yang dah aku senarai hitamkan dalam hati aku ni?
Macam mana aku nak makan ni? Rasa-rasanya dia cam aku tak, ha? Isy, harap-harap
dia tak cam muka aku yang cun-melecun ni. Amboi, sempat lagi perasan sendiri
cantik.
“Aku makan dulu eh.
Lapar sangat dah ni. Tak sanggup aku nak tunggu si apek tu. Kau tahulah dia
bila pilih makanan tu punyalah lama. Cerewet. Kalah mummy.”
“Makanlah. Aku pun lapar ni,” balas Hana dengan suara
yang perlahan lalu mencarik isi ayam madu dengan menggunakan tangan. Matanya
tidak lepas mengerling lelaki itu. Gelisah. Tidak fasal-fasal hilang selera
makannya saat itu. Haih!
“Amboi... Makan sampai tak sedar aku sampai. Tak tunggu
aku pulak tu,” bebel Fuad dengan nada merajuk. Dia terus meletakkan dulang
berisi beef lasagna dan ice mocha.
Vianne dan Hana serentak angkat kening kiri. Fuad mula
menjuihkan bibirnya tanda whatever.
“Eh minah. Kenapa susah sangat nak jumpa kau eh? Dah tak sudi nak jumpa kami ke?”
Kedengaran kurang berpuas hati saja ayat Fuad itu. Vianne sudah mula buat muka
sayu tanda menyokong kata-katanya itu.
Hana sudah mula berasa serba salah. “Bohong besarlah
kalau tak nak jumpa cousins yang
paling aku sayang ni. Boleh mati kerinduan aku tau!”
Mendengarkan ayat Hana yang sedikit puitis itu, Fuad dan
Vianne sudah mula senyum sehingga naik ke telinga. Puas hati.
“Kami pun sayang sangat kat kau, sebab itulah nak kena
membebel sikit bagi kau sentiasa ingat kami ni ha,” ujar Fuad sambil mengelip
matanya perlahan.
Hana yang tidak tahan melihat aksi yang dianggap macam
Miss Sotong itu terus menepuk lengan Fuad sambil mengetap bibir tanda geram.
“Ouch, sakitlah, minah!” rungut Fuad sambil mengusap
lengannya sendiri.
“Kau buat lagi, siap kau eh,” ugut Hana sambil menunjukkan penumbuknya.
Fuad tertelan air liur dek ketakutan. Vianne sudah mula
mengangkat ibu jari tanda good atau
lebih tepat padan muka.
“Alah, aku saja-saja aje buat aksi macam tu. Gurau sikit
pun tak boleh kau orang berdua ni,” rungut Fuad sambil memuncungkan bibirnya
sedikit.
Aksi muncungkan bibir itu membuatkan Hana dan Vianne
serentak mencubit lagi lengan Fuad. Terus terjerit kesakitan Fuad akibat
cubitan berbisa itu. Jeritannya itu menarik perhatian orang-orang yang duduk
berdekatan dengan meja mereka, termasuk lelaki yang paling Hana mahu hindari
ketika itu. Hana mulai cemas apabila mata lelaki itu memandang mereka bertiga.
“Shhh... Kau ni kalau nak menjerit tu kasilah volume down dulu. Isk!” marah Hana
dengan nada suara serendah yang mungkin. Sesekali matanya mencuri pandang si
jejaka yang tidak lepas memandangnya. Alamak, dia dah cam aku ke? Habislah!
“Sakit tau tak kau orang cubit. Ingat ni tangan mannequin ke?” Tergosok-gosok dia pada kedua-dua
belah lengannya yang sudah merah akibat cubitan tadi berselang-seli.
Vianne sudah menekup mulut sambil terkekeh-kekeh
mentertawakan Fuad.
Adam mengerutkan dahinya sekejap dan sekejap pula hampir
tersenyum ketika mendengarkan perbualan antara dua orang perempuan dan seorang
lelaki yang duduk semeja dengannya. Ganas juga perempuan yang bagi amaran kepada
lelaki yang terlebih lemah lembut itu. Selepas itu dia hampir tergelak apabila
lelaki lembut itu mengaduh sakit ditepuk oleh perempuan ganas tadi. Adam terpandangkan
muka merah si lelaki lembut, kemudian pandangannya beralih ke arah dua orang
perempuan yang duduk berhadapan dengan lelaki itu. Seorang berambut perang dan
seorang lagi bertudung.
Eh? Matanya terus melekat pada wajah perempuan bertudung
itu. Macam kenal saja muka minah ni. Eh, suka-suka aku aje nak panggil dia
minah kan? Tapi, tadi dia orang panggil dia minah apa. Mungkin betullah kut
nama dia Minah.
Adam merenung perempuan bertudung itu. Perempuan itu
pula seperti mengelak daripada bertembung mata dengannya. Dahi Adam sudah
berkerut seribu. Eh? Si minah tudung bulat? Kenapa dalam banyak-banyak
perempuan yang ada kat sini, aku boleh terserempak dengan minah ni? Alahai,
kecilnya KL ni.
Aik, wait a minute. Si minah
tudung bulat ni ke yang bernama Minah tadi? Diakah si ganas yang mahu menumbuk
si sotong itu? Aduhai. Ooo... Padanlah dia tu bertudung stail macam tu. Ganas rupanya. Tsk, tsk, tsk. Adam hampir mahu
menggeleng kepala apabila mengetahui sikap sebenar gadis itu.
Hana berasa lega apabila melihatkan Mr. Tak Ada Adab
bangun dari kerusi dan terus beredar. Namun, Hana sempat melihat renungan tajam
diberikan oleh Mr. Tak Ada Adab terhadap dirinya. Amboi, macam tak suka aku aje?
Isk, aku jeling tajam balik baru dia tahu jelingan mana lebih power. Kau jangan main-main, Hana, nanti
jeling-menjeling marah bertukar menjadi jeling-menjeling cinta. Uisy, mintak
dijauhkan.
“Handsome kan
mamat tu?”
Persoalan Fuad menyebabkan Hana kembali tersedar. Dia
memandang Fuad dengan pandangan yang kurang dimengertikan.
“Kenapa? Something
wrong with my question?” soal Fuad lagi sambil buat muka penuh tanda tanya.
Hana mencebik.
“Kau tau tak lelaki tu aku gelar, Mr. Tak Ada Adab,”
beritahu Hana dengan riak wajah yang serius.
Fuad dan Vianne saling berpandangan sebelum menumpukan
perhatian pada apa yang bakal diperkatakan oleh Hana.
“Kalau kau dah gelar orang macam tu, maksudnya ada sesuatulah
tu yang buat kau tak suka, kan?” soal Vianne tidak sabar.
“Macam ni...” Hana menceritakan satu per satu kejadian
tempoh hari dengan penuh perasaan.
Mulut Vianne dan Fuad terlopong habis mendengarkan
cerita yang juga membuatkan mereka merasa sakit hati. Fuad siap buat aksi
geleng kepala sambil memuncungkan mulut. Nampak sekali tidak berpuas hati.
“Isy, tak baiklah dia buat macam tu, kan? Dari manalah
dia belajar tak payah nak minta maaf sebab nak jimat masa? Dia tu manusia ke
datang dari planet lain?” Vianne mula bersuara setelah Hana habis bercerita.
“Memang sesuailah gelaran yang kau bagi tu, Hana. Huisy,
memang tak ada adablah lelaki tu. Harapkan muka aje handsome, tapi macam... Oh, my gosh!” Fuad mula buat aksi sotongnya
lagi.
Hana terus menampar lengannya lebih kuat daripada tadi.
“Awww... Sakitlah, minah!” Fuad hampir mahu menangis
dibuatnya.
“Kau ni kan dah tau aku tak suka kau macam tu, tapi
masih lagi nak buat macam tu,” bebel Hana sambil menjeling tajam Fuad.
“Aku saja-saja aje. Nak menceriakan keadaan. Itu pun
salah ke? Erghhh!” Terkeluar suara
garau jantan milik Fuad apabila dia merengus begitu.
Hana membesarkan matanya tanda memberi amaran. Fuad
terus menarik gelas ke depannya dan menyedut air minumannya sampai habis.
Bengang.
“Kak Hana, saiz
kasut untuk Ayim tu Ayim nak ambik saiz empat,” ujar budak lelaki berusia 11 tahun
itu.
Hana yang sedang leka mencatat saiz kasut semua
anak-anak yatim piatu di Rumah Nur itu terus mengangkat mukanya, memandang Ayim
dengan penuh tanda tanya. “Kenapa? Tak kecik sangat ke tu, Ayim? Ayim kan saiz
lima.”
Ayim garu kepalanya yang tidak gatal dengan sengihan. “Ayim
nak bagi kasut kat adik. Kasut Ayim yang dulu tu terlalu longgar untuk adik
pakai. Jadi, Ayim nak bagi kat adik aje. Lagipun kasut Ayim masih boleh dipakai
lagi.”
Terpegun Hana mendengarkan jawapan budak lelaki yang
dirasakan sangat mengambil berat tentang adiknya itu. Dia sanggup tidak mahu
ada kasut baru supaya adiknya merasa memakai kasut baru. Ya Allah, betapa Kau
mahu menunjuk kepada aku yang serba tidak sempurna ini supaya lebih membuka
mata untuk membantu insan-insan yang lebih memerlukan. Hampir bergenang matanya
kerana terasa sebak.
“Tak apa, Ayim. Kakak memang nak belikan untuk semua. Jadi,
Ayim dan adik masing-masing dapat kasut baru,” beritahu Hana lalu menepuk bahu
Ayim.
Ayim terkedu sebelum riak wajahnya berubah ceria. “Betul
ni, kak? Terima kasih banyak-banyak, kak. Kejap, saya nak panggil adik kejap.”
Tersenyum Hana melihatkan Ayim yang sudah beredar
mencari adiknya. Tidak sampai seminit mereka berdua muncul. Budak perempuan
berusia sembilan tahun itu muncul dengan senyuman malu-malunya.
“Deeba, macam mana kelas hari ni? Okey?” tanya Hana
sebaik saja Deeba duduk di sisinya.
Deeba angguk sambil tersengih-sengih.
“Belajar rajin-rajin ya. Jangan malu bertanya cikgu
kalau tak faham soalan. Malu bertanya...” Sengaja Hana menggantungkan ayatnya
untuk melihat reaksi gadis kecil molek itu.
“Sesat jalan,” kata Deeba dengan suaranya yang perlahan
dan comel.
“Pandai pun,” puji Hana lalu mencuit hidung Deeba.
Gadis itu terus mengekek ketawa suka.
“Deeba nak jadi apa bila dah dewasa nanti?” tanya Hana
lagi.
“Nak jadi macam kakak.”
Hana terpegun.
“Macam kakak? Boleh kakak tahu kenapa?” soalnya dengan
nada tidak percaya.
“Sebab kakak baik. Deeba nak tolong orang lain juga
macam kakak.”
Hana terkedu seketika. Sungguh dia tidak menjangka ayat
itu yang keluar dari mulut gadis berusia sembilan tahun itu.
“Alhamdulillah. Kakak doakan Deeba dapat capai impian tu
nanti.” Tubuh kecil itu terus didakap erat sebelum dilepaskan. Matanya
tersenyum memandang mata polos Deeba.
“Nanti kakak beli kasut sekolah baru, Deeba mesti rajin
ke sekolah ya? Selalu ajak kawan-kawan lain pergi ke sekolah sama-sama dan
belajar rajin-rajin.”
Deeba angguk
laju sambil tersenyum. Hana terus mengusap kepalanya sambil tersenyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan