Bab 10
“Tiap pagi dan
petang awak kena jalan sejauh ni ke, Cik Hana?” Adam masih ingin bertanya
walaupun dia nampak sekali termengah-mengah kerana kepenatan.
Mahunya dia tak penat. Turun saja di stesen Titiwangsa,
mereka kena turun ke bawah dengan menggunakan tangga. Tiada eskalator untuk
turun ke bawah. Cuma ada eskalator untuk naik ke atas. Memang banjir peluh lagilah
dia. Peluhnya tidak terhenti setakat itu saja apabila terpaksa berjalan
kira-kira 150 meter dari stesen Monorail Titiwangsa ke Flat Sri Anjung yang
didiami oleh Hana.
“Ya, Tengku. Tak jauh pun,” jawab Hana selamba.
Terbuntang mata Adam mendengarkan ayat tak jauh itu.
Hana pantas saja berjalan meninggalkan Adam yang sudah kepenatan. Adam terpaksa
mengejar supaya dapat berjalan seiring dengan Hana. Itu pun macam nak putus
nafas.
“Tak jauh awak cakap? Awak ni bekas pelari kebangsaan
ke, Hana? Saya tengok awak tak penat pun,” kata Adam pelik.
Hana tersenyum.
Adam sakit hati pula melihatkan gadis itu tersenyum
seolah-olah mentertawakan dirinya yang sudah kepenatan.
“Saya dah biasa. Hampir setahun inilah rutin saya
seharian,” kata Hana.
Adam terkedu. Patutlah laju aje berjalan. Aku ni dah macam
kereta yang kepancitan tayar saja. Dia hanya mampu merungut dalam hati saja.
“Okey. Kita dah sampai pun. Tengku tunggu kat bawah ni
kejap. Saya naik atas ambilkan kamera Tengku tu,” ujar Hana sebelum melangkah
masuk ke dalam lif.
Adam ditinggalkan terkebil-kebil di depan lif. Dia terus
memerhati keadaan sekeliling flat yang nampak sudah lama dan suram. Si tudung
bulat ni betul-betul ke tinggal kat sini? Seorang diri atau berteman? Isy,
banyak persoalan pulak kau sekarang ni, Adam. Dia tu bukan sesiapa pun pada kau
sampai kau sibuk sangat nak tahu.
Dalam kekalutan yang dialaminya itu, kelihatan beberapa
orang wanita berbangsa India yang sedang duduk berborak berdekatan dengan lif memandangnya.
Salah seorang wanita itu bersuara. “Adik ni boyfriend
Hana ke?”
Adam tersentak dengan persoalan wanita itu. Dia tidak
menyangka wanita itu mengenali Hana. Siapalah agaknya dia ni kepada Hana ya?
Jiran kut.
“Bukan. Saya kawan dia aje,” jawab Adam laju. Kawan ke?
Pertama kali jumpa pun dah berselisihan faham.
“Ooo... Ingatkan boyfriend
tadi, sebab tak pernah nampak Hana bawa mana-mana lelaki kat sini,” ujar
wanita itu sambil tersenyum.
Kali ini Adam terkedu. Si tudung bulat ni anti lelaki
ke? Atau anti sosial? Atau...? Adam hanya tersenyum bagi menamatkan perbualan
itu. Karang tidak pasal-pasal panjang pula topik yang dibicarakan. Siapalah nak
jadi boyfriend minah tu?
“Ini kamera Tengku,”
ujar Hana.
Raut wajah Adam terus berubah ceria sebaik saja
melihatkan kamera kesayangan sudah berada dalam genggamannya. Cepat-cepat saja
dia mengeluarkan kamera itu dari dalam beg itu dan memeriksa setiap inci kamera
itu. Kononnya nak periksa masih dalam keadaan yang baik ataupun tidak sejak
bersama Hana.
Hana terkebil-kebil memandang perlakuan Adam yang
sememangnya terperinci itu. “Kamera Tengku tak rosak atau calar kat mana-mana.
Jangan risau.”
Adam berhenti memeriksa kameranya. Dia memandang Hana.
“Saya tahu,” balasnya lalu menyimpan kameranya semula ke
dalam beg. Kemudian pandangannya jatuh pada plastik berwarna putih yang
dipegang oleh Hana.
Hana perasan akan pandangan lelaki itu dan terus
bersuara. “Oh, ya. Ini aje T-shirt saiz
paling besar saya ada. Rasanya Tengku muat pakai kut.”
Plastik itu segera diserahkan kepada Adam. Adam
teragak-agak menerimanya. Dia terus mengintai isi di dalam plastik itu lalu dikeluarkan.
Matanya terkebil-kebil memandang T-shirt
berwarna merah dan ada tulisan I Love Malaysia. Dia terus pandang Hana dengan
pandangan kurang mengerti.
“Tengku tukarlah baju tu. Saya bagi Tengku pinjam baju
ni hari ni. Takkan Tengku nak balik dengan baju yang basah dengan peluh ni,
kan?”
Adam tunduk, memandang kemejanya yang basah dengan peluh.
Dia memang tidak selesa dengan pakaian yang basah begitu.
“Kat Monorail tadi ada tandas. Perasan tak ada tangga
yang di sebelah kiri masa kita nak turun ke bawah lepas keluar dari Monorail?
Tangga tu jalan untuk ke tempat bertentangan dengan tempat kita turun. Ada
tandas kat tepi tu. Tengku boleh aje nak tunggu antara dua tempat tu sebab
Titiwangsa kan stesen terakhir. Jadi, memang dia buka pintu dari kedua-dua
belah,” jelas Hana panjang lebar supaya bos barunya itu faham.
Kan Tengku Adam ni seorang yang sukakan benda
terperinci. Jadi, dia kenalah terangkan secara terperinci.
Adam terangguk-angguk. Thoughtful juga si tudung bulat ni. Faham juga dia keadaan aku yang
tidak selesa dengan baju yang memang sarat dibasahi peluh. Lepas tu siap
pinjamkan aku baju lagi dan beritahu aku secara terperinci kat mana terletaknya
tandas di Monorail. Good. Very good.
Adam berasa berpuas hati dengan sikap baik Hana. Baik
ke? Jangan terlalu awal membuat penilaian. Entah-entah dia sengaja nak tolong
aku sebab aku ni kan CEO baru. Mestilah nak kena ambil hati aku kan. Perasaan
kurang percaya mula menguasai diri Adam. Dia memang tidak mudah mempercayai
orang dan begitu susah sekali menerima kebaikan orang. Dia merasakan jika dia
percaya seseorang, dia bakal dikhianati. Dan jika seseorang baik terhadap
dirinya, orang itu hanyalah bermuka-muka dan ingin mengambil kesempatan ke atas
status dirinya.
“Oh ya, saya ada letak sekali duit tambang untuk Tengku
balik ke ofis. Tengku tak ada duit
kecik, kan? Ada dalam plastik tu sekali ya.”
“Okey. Saya akan kembalikan baju ni esok. Terima kasih,”
ucap Adam dingin lalu beredar meninggalkan flat itu.
Hana bungkam dengan sikap dingin Adam yang secara
tiba-tiba itu. Kenapa dengan dia tu? Aku dah jelaskan secara terperinci pun nak
tunjuk muka serius ke? Tak boleh ke nak senyum sikit kat aku? Aku pun teringin
nak tengok bagaimana rupa dia bila senyum. Amboi, Hana. Teringin ya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan