Jari-jemari Karl
mengetuk-ngetuk permukaan meja itu. Kejap-kejap, jam tangan yang dia pakai di
tangan kiri, dia tengok. Haih, lambat betul perempuan ni!
Kalau ikutkan hati, memang dia tak nak datang blind date ini. Entah kena sampuk apa si
Ika malam tadi beria-ia menelefon dia. Memujuk-mujuk supaya dia datang ke janji
temu hari ini. Katanya, nak kenalkan dia dengan kawan adik sepupunya itu yang
bernama Wafa Adlina.
Entah macam mana rupa si Wafa itu pun dia tak tahu. Dia
datang ini pun main tawakal saja. Yalah, kutlah yang datang nanti bukan orang
ke, apa ke. Bukan boleh percaya sangat adik sepupunya itu.
Air yang dah tinggal separuh dia sedut lagi. Haih, geram
betullah! Dia ini sudahlah jenis yang pantang kalau kena menunggu lama. Kalau
tak mengenangkan Ika itu adik sepupunya, memang dia blah saja dari sini. Buang
masa betul! Perempuan yang bernama Wafa tu tak tahu ke yang masa itu emas? Heh!
Bila dia rasa punggung macam dah nak keluar asap sebab
panas menunggu, dia mula nak bangun. Tapi, elok-elok dia dah nak bangun,
seorang perempuan muncul dan selamba saja duduk dekat kerusi di depannya ini.
“Sorry, saya
lambat,” ucap perempuan itu selamba.
Karl ketap bibir. Sorry,
saya lambat? Amboi, sedapnya statement,
cik kak! sindir Karl dalam hati. Tak apa, tak apa. Baru kenal, kan?
Dia tak jadi nak bangun. Dia betulkan posisi dan pandang
ke depan. Muka perempuan yang bernama Wafa itu dia tilik seketika. Pandangan pertama
dia pada perempuan itu, emmm... boleh tahan lawa.
“Apasal kau lambat?” tanyanya dengan suara tegas campur kerek. Biar perempuan itu tahu siapa
Alpha di sini.
Karl perasan muka Wafa macam terkejut. Apa? Perempuan
itu ingat pertemuan pertama ini dia nak berlembutlah? Bersaya awak, ber I dengan
you ya? E’eh, memang taklah! Dahlah lambat, lepas itu buat muka tak bersalah pula.
Jangan harap dia nak bagi can!
“Ada hal sikit tadi.” Wafa menjawab malas. Apasal kerek betul abang sepupu Ika ni? Apa,
ingat aku teringin sangat ke nak jumpa kau? Heh! bebel Wafa dalam hati.
“Ada hal konon. Macamlah tak boleh nak call ke, WhatsApp ke, bagi tahu yang
diri tu lambat.”
Eee, Wafa rasa macam nak kokak saja abang sepupu Ika ni!
Cakap tak guna otak eh?
“Nak call apa
bendanya? Saya mana ada nombor telefon awak.”
Erk? Karl terdiam. Ha’ah, kan? Perempuan depan dia ini
bukannya ada nombor telefon dia pun. Alahai, malunya! Tak apa, tak apa. Cover balik.
Karl berdeham sikit. “So, kau nilah Wafa ya? Kawan dan business partner Ika tu?”
“Yep!” jawab
Wafa pendek. Dah sah-sahlah dia ini Wafa. Takkanlah orang lain pula. Hailah...
Karl angguk-anggukkan kepala. “Okey, aku ni abang sepupu
Ika. Karl Elliyas. Kau boleh panggil aku Karl.”
Ya, aku dah tahu nama kau, En. Karl Elliyas! Ika dah bagi
tahu dah pun. Lagipun, takkanlah aku tak tahu nama orang yang aku nak jumpa,
balas Wafa dalam hati.
“Jadi, apa yang buat awak setuju untuk datang blind date ni, En. Karl?” Soalan pertama
Wafa untuk lelaki itu. Teringin juga dia nak tahu kenapa.
Sementara menunggu Karl menjawab soalannya, Wafa
perhatikan lelaki itu lama. Dari tempat dia duduk, dia cuba menganalisa lelaki
itu. Orangnya berkulit cerah, badan agak sasa,
berhidung mancung, bibir merah tanda tak merokok. Good!
Yang paling buat dia tertarik, lelaki itu berjambang.
Bukan jenis jambang yang tebal tak berbela. Ini jenis jambang yang nipis dan
dijaga rapi. Yang buat lelaki itu nampak maskulin dan berkarisma. Emmm, satu
poin untuk lelaki yang bernama Karl Elliyas ini.
“Aku setuju sebab aku kena paksa dengan Ika. Kalau ikut
hati, aku tak nak datang.” Selamba Karl menjawab soalan daripada Wafa.
Wafa cuba kawal muka daripada terkeluar riak menyampah. Pergh!
Cakap tak pandang kiri kanan langsung mamat depan dia ni. Main lepas saja. Tapi, tak apa. Dia memang suka
jenis lelaki yang cakap terus terang. Daripada suka cakap belakang, tahu-tahu
saja dah ada perempuan lain.
“Ika ada bagi tahu kenapa kita berdua kena duduk berdua
dekat sini?” soal Wafa lagi.
Karl renung Wafa. Dia macam tak percaya bila tengok
perempuan itu nampak tenang saja di depan dia. Tak ada langsung nampak
tanda-tanda teruja bila tengok kekacakan dia. Tak seperti perempuan-perempuan
lain yang dia pernah jumpa dan kenal. Apa, dah kurang ke kekacakan dia ini? Oh,
my God! No!
“Ada. Sebab kau desperate
nak cari suami, kan?” jawab Karl langsung tak fikir ayat dia itu menyakitkan
hati orang ataupun tidak.
Wafa paksakan diri untuk senyum. Padahal dalam hati,
memang dia kutuk Ika habis-habisan. Aku ni desperate
kau cakap dekat dia, Ika?!
“Tak adalah desperate
sangat. Cuma...”
“Cuma terdesak nak cari lelaki untuk dijadikan suami.
Macam tu?” potong Karl dengan muka sinis. Saja nak buat perempuan depan dia
rasa menyampah. Nak uji setakat mana kesabaran perempuan itu.
Wafa yang mendengar, bengang saja rasa. Ceh! Desperate dengan terdesak itu samalah.
Eee, sengal betul orang depan dia ni!
“Kau ni tak malu eh sampai desperate nak kahwin?” sambung Karl lagi.
Wafa yang mendengar, terus tersentap hati. Makan dalam
sangat ayat tu! “Saya rasa sampai sini ajelah. Awak pun macam nampak tak sesuai
aje nak jadi calon suami ekspress saya.”
Wafa dah mula bangun. Malas nak duduk di situ lama-lama.
Makin sakit pula hati dia. Mulut si Karl ini pun bukannya ada insurans sangat.
Main cakap lepas saja. Naik cair tahi telinga dia dengar ayat berbisa lelaki
itu.
“Kejap. Nanti dulu,” gamit Karl.
Karl pegang lengan Wafa. Niat Wafa untuk berlalu,
terhenti. Tajam matanya memandang tangan lelaki itu yang masih memegang
tangannya. Aik, tak nak lepas ke?
“Ops, sorry, sorry.” Laju Karl lepaskan pegangannya.
“Duduk dulu, Wafa,” arahnya lagi.
Wafa menurut. Dia duduk semula. Tapi, dia tak nak
pandang muka lelaki itu. Tak suka!
“Mana kau tahu aku tak sesuai jadi calon suami kau? Kau
bukannya kenal aku lagi. Lagipun, sekarang ni kau memang tak ada calon lain,
kan? Aku calon pertama dan calon terakhir kau, kan?”
Wafa diam. Memang betul pun apa yang Karl cakap itu.
Selain lelaki itu, dia memang tak ada lelaki lain yang boleh dia jadikan calon
suami. Dia setuju jumpa Karl ini pun sebab lelaki itu abang sepupu kepada kawan
baiknya sendiri.
“Okey, sekarang ni saya nak tanya. Awak setuju ke tak,
nak jadi suami saya?” Nah, terus terang Wafa bertanya. Malas dah dia nak tunggu
lagi.
Karl buat gaya macam orang berfikir. Konon sedang
berfikir benda serius yang melibatkan negara.
Wafa yang tengok rasa macam nak maki saja. Hek eleh, poyo betul mamat ni!
“Tapi, sebelum tu aku nak tanya. Kita ni tak ada
perasaan antara satu sama lain. Kau rasa kita boleh survive ke dalam
perkahwinan kita nanti?” tanya Karl. Muka serius dia pamerkan.
“Boleh aje, kalau kita belajar untuk terima segala baik
buruk pasangan kita. Survive atau
tak, saya pun tak boleh komen banyak. Sebab, selagi tak kahwin, kita tak tahu
apa yang akan jadi. Bila dah kahwin nanti, baru kita tahu. Betul, kan?”
Karl memikirkan kata-kata Wafa. Betul juga. Perkahwinan
itu satu risiko. Apa yang akan berlaku bukannya mereka boleh jangka. Yang boleh
dia katakan sekarang ini, cuba untuk buat yang terbaik dalam hubungan mereka
nanti.
“Emmm, aku rasa aku boleh aje tolong kau. Jadi suami
kau. Lagipun, bila fikir-fikirkan balik, kadang-kadang tu aku pun rasa bosan
bila duduk dekat rumah sorang-sorang. Tak ada orang aku nak buli. Kalau kahwin
dengan kau, boleh jugak aku buli kau, kan?”
What?! Wafa rasa macam nak pengsan dengar jawapan Karl. Ada ke lelaki
itu setuju sebab alasan macam itu? Gila sengal! Tapi, kalau nak ikutkan, dia
pun sama sengal juga. Sibuk nak kahwin bila dengar Idham nak kahwin. Konon, nak
move onlah katanya. Sah. Dia orang memang
dua-dua sengal!
“Jadi, awak kira setujulah ni nak kahwin dengan saya?”
Wafa minta kepastian. Manalah tahu kalau lelaki itu main-mainkan dia. Bukan
boleh percaya sangat!
“Emmm, nantilah aku fikirkan balik. Apa-apa hal nanti
aku bagi tahu.”
Wafa anggukkan kepala. Ceh! Dia dah agak dah. Kan dia
dah cakap. Lelaki, bukan boleh percaya sangat. Kejap jadi, kejap tidak. Tak
kisahlah. Asalkan dia dah jumpa calon nak dibuat jadi suami buat masa ini, itu
dah cukup walaupun seorang. Biar dia tunjuk sikit dekat si Idham itu. Ingat
lelaki itu seorang saja yang boleh bahagia? Dia pun bolehlah!
“HAH, apa cerita? Okey tak kau jumpa abang sepupu aku tu?” soal Ika tak
sabar.
Nampak saja Wafa menjejakkan kaki ke butik mereka itu,
terus dia bertanya. Yalah, manalah tahu kalau mereka berdua boleh sangkut ke.
Bersaudaralah dia dengan Wafa.
Wafa kecilkan mata memandang Ika. Geram saja dia rasa
bila tengok muka tak bersalah Ika. Amboi, dekat belakang aku, kau cakap aku
terdesak nak berlaki ya?
“Emmm, bolehlah,” jawab dia pendek. Malas nak cerita
panjang-panjang.
“Aik, bolehlah aje? Itu aje komen kau?” Ika pandang Wafa
dengan hairan.
Kenapa ringkas sangat respons si Wafa ni? Biasanya,
kalau komen orang, bukan main lama. Tak sah kalau tak setengah jam. Ini, dua
saat pun tak sampai. “Dia ada buat apa-apa dekat kau ke, Fa?”
Berkerut kening Wafa mendengar soalan Ika. Apa punya
soalanlah... “Tak ada buat apa-apa punlah. Cuma aku rasa abang sepupu kau tu
macam tak betullah, Ika.”
“Hah? Apasal kau cakap dia tak betul pulak?”
“Ada ke dia kata dia nak kahwin sebab tak ada sesiapa
yang dia nak buli dekat rumah? Sengal gila alasan dia tu!”
Mata Ika membulat. Teruja. “Wah! Jadi, Abang Karl
setujulah nak kahwin dengan kau ni? Oh, my God! I’m happy for you!”
“Eh, taklah! Dia kata dia akan pertimbangkan dulu.”
“Pulak...” Ika memuncung. Ceh, dia ingat dah confirm jadi tadi!
Wafa duduk di sofa di bahagian depan butik. Waktu
sekarang ini memang tak ramai orang di butiknya itu. Biasanya lepas waktu makan
tengah hari baru ada ramai pelanggan.
Dia dan Ika buka butik pakaian kasual yang sesuai
dipakai oleh semua golongan. Terutamanya, untuk perempuan. Harga? Sangat
berpatutan dan sangat mampu untuk dimiliki. Butik yang mereka namakan Sweet
Sweet Couture ini terletak di Seksyen 7, Shah Alam. Alah, dekat dengan UiTM
Shah Alam.
“Berapa umur abang sepupu kau tu, Ika?” tanya Wafa
tiba-tiba. Dia rasa macam berminat pula nak tahu pasal lelaki yang bernama Karl
Elliyas itu.
“Emmm, kalau tak silap aku umur dia dah 31. Kenapa?”
jawab Ika sambil tangannya menyusun blaus-blaus yang tergantung di rak.
“Dia memang duduk seorang ke? Bosan sangat sampai nak
buli orang?”
Ika tergelak mendengar komen Wafa. “Dia memang duduk
seorang pun. Sejak parents dia
meninggal. Adalah dalam lapan, tujuh tahun lepas macam tu.”
Wafa mendengar dengan teliti. Oh, patutlah mamat itu
bosan sangat. Pertemuan tadi dia ingat semula. Wajah lelaki itu menari-nari di
dalam kepala. Yang paling dia tak boleh lupa, jambang lelaki itu. Karl nampak
kacak dengan adanya jambang dan misai. Serius, kacak! Erk, kejap. Dia baru
lepas puji Karl ke? Oh, tidak!
“Kalau kau nak tahu, Abang Karl tu dulu kaki perempuan. Playboy!”
Wafa hanya beriak biasa bila Ika kata begitu. Dia dah
agak dah sebenarnya. Tengok gaya lelaki itu pun dia dah tahu.
“Tapi, sekarang dah pencen dah,” sambung Ika lagi.
“Hah, apasal dah pencen pulak? Ke, sebab dah tak ada
perempuan nak kat dia dah?” sindir Wafa pula. Biarlah. Bukannya lelaki itu ada
dengan mereka pun di sini.
“Bukan tak ada perempuan nak kat dia. Tapi, dia yang nak
berubah. Konon nak fokus cari isteri. Tu yang dia setuju nak kahwin dengan kau
tu kut, Wafa.” Ika dah tersengih-sengih.
“Eh, tolong sikit. Dia belum setuju eh. Aku rasa dia tak
nak kahwin dengan aku. Sebab aku rasa aku pun tak nak kahwin dengan dia. Perangai
kerek sangatlah dia tu!” Penuh yakin
Wafa berkata. Tapi, ya ke dia tak nak kahwin dengan Karl?
“Alah, perangai kerek
tulah nanti yang buat kau jatuh hati dekat dia, Wafa.”
Wafa buat muka yang bermaksud whatever bila tengok Ika dah menyengih serupa kerang busuk minta
campak ke longkang. Heh! Beria-ia Ika nak menangkan abang sepupu dia itu.
Padahal, macamlah dia tak tahu memang niat Ika nak kenenkan dia dengan si Karl.
Taktik lapuk!
Tiba-tiba, iPhonenya di dalam beg tangan berbunyi. Nada
dering menandakan ada pesanan WhatsApp baru masuk. Bila tengok skrin, muncul
satu nombor yang dia tak kenali. Bila baca mesej itu, Wafa terus rasa nak
pengsan. Hah, biar betul ni?!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan