Bab 8
“Lea, macam mana
ni? Aku tak naklah jumpa dia. Isy, apasal dia nak jumpa aku ni?” soal Hana penuh
kebimbangan sambil mundar-mandir di depan lif.
Mereka masih berada di tingkat tiga. Semua pekerja sudah
kembali ke pejabat masing-masing.
Lea seolah-olah masih tidak percaya dengan apa yang
dijelaskan oleh Hana baru sebentar tadi. “Hmm... Ikut pandangan akulah, aku
rasa kau memang kena pergi jumpa dia sekarang. Ni dah lima minit berlalu. Kau
nak kena bom dengan dia ke kejap lagi?”
Hana menghentikan langkahnya dan terus memandang Lea. “Tak
ada cara lain ke selain nak kena jumpa dia? Aku betul-betul tak nak jumpa dia.”
“Kenapa kau tak nak jumpa dia? Dia tu CEO baru kita tau.
Kau bertuah dapat jumpa dia masa hari pertama dia mula jadi CEO. Kau ingat
senang ke kerani macam kita ni nak jumpa ‘orang besar’ macam dia tu? Come onlah, Hana. Lagipun barang dia ada
dengan kau, kan? Kau tak nak bagi balik kat dia ke?” soal Lea sambil merenung
muka gelisah Hana.
“Erghhh... Aku
memang nak bagi pun. Tapi, aku tak sangka dia CEO baru kat sini. Aku ingatkan
nak minta cousin aku yang lelaki tu
hantar kat rumah dia, tapi tak sangka jumpa dia kat sini,” keluh Hana.
“Ha... Siapa suruh kau tak hantar terus hari tu? Kan ada
alamat rumah dia kat situ,” bebel Lea.
Hana terus menggaru kepalanya yang ditutupi tudung bawal
hijau. “Aku tak nak hantar sendiri. Kebetulan cousins aku tu tak dapat nak temankan aku hari tu sebab ada hal.
Kami ingatkan nak hantarlah dalam minggu ni ke. Haih... Kenapalah dia muncul
tiba-tiba dan jadi CEO kita? Nek Garang dah nak bersara ke? Tiba-tiba pulak aku
harapkan Nek Garang terus-menerus jadi CEO kita.”
Hana benar-benar berasa takut, risau, segan dan malu
untuk berdepan dengan lelaki yang digelarnya Mr. Tak Ada Adab itu. Dia
benar-benar takut akan kemungkinan yang bakal terjadi. Adakah lelaki itu akan
memecatnya gara-gara dia menegur silap lelaki itu minggu lepas? Atau mahu
memecat aku sebab aku lambat pulangkan barang dia? Isy, mintak dijauhkan. Bukan
senang nak cari kerja sekarang ni. Kalau dia nak pecat aku pun, aku kena merayu
minta tempoh sebulan untuk cari kerja lain dulu. Aik, Hana, sampai ke situ kau
fikir ya?
“Jumpa ajelah dia. Baru kau tahu apa tujuan sebenar dia
nak jumpa kau. Mana tau dia nak tanya pasal barang dia yang tertinggal tu.
Cepatlah!” Lea terus menarik lengan Hana sebaik saja pintu lif tiba di tingkat
tiga itu.
Mahu tidak mahu Hana masuk ke dalam lif bersama Lea. Lea
tekan butang bernombor lima dan lapan.
“Macam mana kalau dia nak jumpa aku sebab dia nak pecat
aku?” luah Hana penuh bimbang.
“Isy, tak adalah dia nak pecat kau terus kan. Kau jumpa
dia dulu dan dengar apa yang dia nak cakap. Think
positive, Hana,” kata Lea lalu
menepuk bahu kanan Hana.
Lif tiba di tingkat lima.
“Aku masuk pejabat dulu. Kang tak pasal-pasal pulak Puan
Iman menyinga tengok aku tak ada. Macam kau tak apalah. Puan Iman sendiri dah
dengar Tengku Adam nak jumpa kau kan. So, good luck!” Lea melangkah keluar dari
lif sebaik saja menghabiskan ayatnya. Dia siap melambai-lambai girang ke arah
Hana yang lemah longlai sebelum pintu lif kembali tertutup.
“Argh... Apa yang perlu aku buat sekarang ni?” Hana mula
bercakap kepada diri sendiri. Mujurlah tiada sesiapa di dalam lif itu melainkan
dia sendiri.
Lif berhenti di tingkat enam. Hana terkejut melihatkan
Farah di depan lif. Farah terus menarik muka masam sebaik saja melihatkan
dirinya berada di dalam lif. Farah masuk sambil menjeling tajam ke arah Hana.
Hana terus menundukkan muka.
Pintu lif tertutup. Suasana hening mengisi ruang di
dalam lif itu. Mereka berdua berdiri sebelah-menyebelah. Sesekali Farah
mengerling tajam ke arah Hana. Dia tahu Hana ingin pergi berjumpa Tengku Adam
dan motif dia ke tingkat lapan itu juga disebabkan mahu menyiasat apa yang
lelaki itu ingin cakapkan kepada Hana. Dia tidak menyangka pula boleh
terserempak dengan Hana di dalam lif itu.
Tiba-tiba iPhone Farah berdering tanda panggilan masuk.
Dia terus menjawab panggilan itu sambil matanya masih tidak lepas memerhati
Hana.
“Ya, Zetty. Ada apa? I dalam liflah ni. Well,
cuba you teka I satu lif dengan siapa? Ahaks!
You taulah siapa yang I maksudkan kalau bukan perempuan kolot tu. Hmm, I’m
not sure. Tapi, I rasa dia akan
dibuang kerja kut. Perempuan kolot macam dia mana boleh kerja kat sini. Ini kan
syarikat kosmetik, mestilah penampilan selalu kena cantik dan bergaya. I rasa
Tengku Adam tak suka tengok gaya dia ni kut. Anyway, apa-apa pun nanti I beritahu you ya? Bye, darling. Muacks!” Farah siap memuncungkan
mulutnya tanda muacks ke arah hujung
skrin iPhonenya itu.
Hana terkedu mendengarkan perbualan antara Farah dan
Zetty. Sampai hati dia hina aku ni perempuan kolot. Depan aku pulak tu. Dah tu
cakap aku bakal dibuang kerja. Dia ingat dia tukang tilik ke nak meramal aku ni
bakal dibuang kerja? Aku ni kolot sangat ke?
“Jangan nak bangga sangatlah Tengku Adam nak jumpa you.
Sebab dia akan pecat you. Selamat
mengemas barang-barang you petang nanti,” ujar Farah sengaja mahu menyakitkan
hati Hana. Nampak sangat Farah dengki dan tidak berpuas hati terhadap Hana.
Lif tiba di tingkat lapan. Pintu lif terbuka. Farah
terus melangkah keluar dengan jalan ala-ala model itu.
Hana bungkam di dalam lif. Betul ke aku bakal kena buang
kerja? Hana, tolong jangan berfikir negatif. Ingat pesan Lea. Jumpa dulu dan
dengar apa Mr. Tak Ada Adab tu nak cakapkan. And, think positive. Okey,
aku akan jumpa dia!
Hana duduk di
depan meja CEO itu sambil menundukkan muka. Sejak dia masuk 10 minit yang
lepas, lelaki itu masih tidak mengeluarkan suara dan hanya menggunakan
tangannya sebagai isyarat meminta Hana duduk dulu. Hana sudah beberapa kali
menghuraikan hujung tudungnya dan membentuknya bulat semula. Dia tidak tahu
mahu berbuat apa dalam keadaan sunyi sepi begitu. Adam nampak begitu sibuk
kerana matanya tidak lepas memandang skrin iMac dan mengetuk keyboard dari tadi.
Hana mengangkat muka dan curi-curi pandang ke arah Adam.
Apa yang sibuk sangat tu sampai tak cakap langsung kat aku? Dah 10 minit aku
dalam bilik pejabat dia ni, dia buat tak endah aje kat aku lepas bagi isyarat
duduk tadi. Dia ingat aku tak ada kerja ke kat bawah tu? Banyak dokumen yang
aku kena periksa dan taip. Bising pulak Puan Iman tu nanti kalau aku lambat
siapkan kerja hari ni.
Dia ni bos yang thoughtful
ke tidak? Dia big boss kat sini, tak
apalah kan kalau nak lambat-lambat buat kerja pun. Aku ni cuma pekerja bawahan
dan aku haruslah menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang pekerja yang
bergaji RM1,100. Dia ni suka ke pekerjanya lambat siapkan kerja? Isy.
Adam mengerling gadis yang sedang menundukkan muka
sambil mengikat bulat hujung tudungnya berulang kali. Terangkat kedua-dua belah
kening Adam memandangnya. Mulutnya hampir membentuk O apabila melihat cara
gadis itu mengikat bulat hujung tudungnya. Terangguk-angguk kecil pula dia. Ooo...
Macam tu rupanya dia bulatkan hujung tudung tu, bisik hati kecilnya.
Apabila Hana mengangkat mukanya, Adam terus memandang
semula skrin iMac itu. Pandang apa pun dia tak tahu sebab tiada apa-apa kerja
pun yang dia lakukan sejak gadis tudung bulat itu masuk. Dia menaip entah
apa-apa di situ, sekadar nak tunjuk dia sibuklah sangat. Hakikatnya dia tidak
tahu bagaimana untuk memulakan perbualan dengan gadis itu memandangkan sebelum
ini mereka berdua pernah berselisihan faham. Jadi, pertemuan mereka tidaklah
begitu baik untuk dia memulakan perbualan kali ini.
Hana merenung hujung tudungnya yang berbentuk bulat itu.
Entah berapa lama lagilah dia perlu merenung hujung tudung bulatnya itu. Dah
naik juling matanya ini. Dan hampir terbelit jemarinya kerana asyik menghurai
dan mengikat bulat hujung tudungnya berulang kali. Dah macam robot pula asyik
ulang benda yang sama.
Mr. Tak Ada Adab ni panggil aku ni disebabkan apa? Kalau
disebabkan barang dia tu, cakap ajelah kan. Ini dari tadi tak keluar sepatah
perkataan pun. Atau nak aku mulakan perbualan dulu? Hana melepaskan hujung
tudung bulatnya. Dia mula duduk tegak dan pandang lelaki yang masih kelihatan
sibuk itu.
“Assalamualaikum.” Eh, apasal mulut aku ni tiba-tiba nak
bagi salam ni? Dah buang tabiat ke apa?
Adam berhenti menaip dan terus memandang Hana.
“Waalaikumussalam, Cik Nur Hana,” jawab Adam lancar dan
jelas.
Amboi, ingat juga dia nama si tudung bulat ni. Nampak
sangat ke aku ni asyik ulang sebut nama dia dalam hati sejak bertembung di
depan lif tadi? Kononnya tak nak terlupa. Adam merenung mata Hana yang
kelihatan gelisah itu.
Hana gelisah direnung oleh Adam yang ternyata sekali
sedang menumpukan perhatian kepadanya. Tambahan pula dia berasa malu kerana
tiba-tiba saja dia memberi salam padahal dia sudah duduk lama di dalam bilik
itu. Macam tak kena pulak. Tapi, tak salah pun nak bagi salam kan. Bukannya aku
mencarut pun. Okey, Hana. Cepat tanya dia dan dengar apa yang dia cakap. Lepas
tu blah terus. The end.
“Ermm... Kalau Tengku tak keberatan, boleh tak saya nak
tahu apa tujuan Tengku nak berjumpa dengan saya ni?”
Fuh, lega! Akhirnya keluar jugaklah ayat dari mulut aku
ni ha. Hana memberanikan diri membalas pandangan Adam. Gugup jugalah dia
tatkala memandang wajah tampan persis lelaki Melayu terakhir itu. Terasa
berdegup kencang pula jantung ini. Aku ni dah kenapa?
“Saya rasa awak sendiri boleh agak apa tujuan utama saya
nak berjumpa dengan awak, kan?”
Alah,
berteka-tekilah pulak Mr. Tak Ada Adab ni. Aku pun tak pasti kenapa dia nak
jumpa aku. Sama ada mahu memberi ceramah mengenai teguran aku terhadap sikapnya
yang tidak meminta maaf selepas melanggar bahu aku atau disebabkan barang dia
yang tertinggal di kerusi food court KLCC
tempoh hari. Hana mengomel dalam hati. Nak mengomel secara terang-terangan tak
boleh pula. Nanti tidak pasal-pasal percuma saja kena sembur dengan Mr. Tak Ada
Adab ni. “Maksud Tengku?”
Adam menghembus nafas berat. Si tudung bulat ni saja aje
kan nak buat aku hilang sabar. Dah tahu, tapi buat-buat tak tahu pulak.
“Kamera saya mana?” Akhirnya Adam bertanya.
“Kamera apa?” Sengaja Hana buat-buat tidak tahu. Memang
sengaja dia menempah masalah dengan bos barunya ini.
Wajah Adam berubah bengang. “Aih, kamera yang tertinggal
kat kerusi food court KLCC Sabtu
lepas tu. Awak dah lupa ke buat-buat lupa kita duduk semeja hari tu? Atau awak
tak nak pulangkan kamera saya tu?”
Hana hampir tersenyum mendengarkan kata-kata berbaur
sindiran itu. Boleh pulak kan cakap tujuan utama dia panggil aku ke bilik CEO
yang serba mewah ni. Ingatkan nak terus membisu dan berteka-teki saja. Tapi,
kalau bukan kamera dia yang mahal tu kat aku, jangan haraplah aku boleh masuk
dalam bilik CEO. Ini kali pertama aku jejakkan kaki ke bilik ini, apatah lagi
tingkat lapan ini, sepanjang bekerja di sini.
“Saya tak lupa, cuma tak pasti. Jangan risau. Saya
memang nak pulangkan kat Tengku hari tu, tapi disebabkan ada masalah sedikit
hari tu, saya tak jadi nak hantar. Lagipun ada alamat rumah Tengku kat dalam
beg kamera tu. Saya berkira-kira nak hantarlah dalam minggu ni, tapi tak sangka
Tengku ni CEO baru kat sini,” jelas Hana tanpa rasa gugup.
Sorrylah aku nak simpan lama-lama kamera dia tu. Dia ingat aku ni jenis
yang ambik hak orang ke? Mahal pulak tu. Isy.
“Baguslah awak tak lupa. Jadi, bila saya boleh dapat
balik kamera saya tu?” soal Adam tidak sabar.
Dia memang tidak sabar mahu mendapatkan kembali kamera
kesayangannya itu. Kamera itu ibarat nyawanya sendiri. Tanpa kamera itu, dia
merasakan hidupnya kurang lengkap. Ia ibarat nasi lemak tanpa sambalnya.
“Esok saya akan bawak dan pulangkan pada Tengku,” ujar
Hana.
“No! Saya nak sekarang,” tegas Adam.
Berkerut muka Hana mendengarkan permintaan Adam itu. “Tapi,
kamera Tengku tu ada kat rumah saya. Bagaimana saya nak bagi kat Tengku
sekarang ni?”
“Awak ambik sekarang,” arah Adam tanpa berfikir panjang.
Mulut Hana terus ternganga. “Tapi, sekarang dah nak jam
12.30 tengah hari.”
“So?”
Hana terkesima dengan balasan so lelaki itu. Dia tak faham ke maksud aku? Ke buat-buat tak faham?
Dah masuk waktu lunchlah. Dahlah
perut aku ni lapar sangat-sangat sebab tak sempat nak sarapan pagi tadi. Mana
sempat gara-gara tak nak datang lambat lagi. Isy. Masalah betullah dia ni!
“Kan dah masuk waktu lunch.
Dan lepas lunch saya nak kena
cepat-cepat siapkan kerja. Jadi, saya rasa lebih baik esok saja saya pulangkan
kamera Tengku,” kata Hana lagi sedaya upaya cuba berkompromi dengan Adam.
Adam bingkas bangun dari kerusinya dan terus menuju ke
arah Hana.
Hana yang masih duduk, kaku di situ. Terkejut juga dia
melihatkan Adam bangun secara tiba-tiba. Dah tu datang dan berdiri betul-betul
di sisinya. Hana tidak pasti mahu bangun atau duduk saja di situ. Berdebar pula
rasanya menunggu apa yang ingin diperkatakan oleh Adam dalam keadaan jarak di antara
mereka yang begitu dekat.
“Awak boleh bagi jaminan tak, Monalisa saya tu akan
selamat dalam jagaan awak sampai hari esok?”
Berkerut dahi Hana mendengarkan nama Monalisa. Minah
dari planet manalah pulak yang dia sebutkan ni? Setahu aku, tak ada manusia
lain selain aku saja di rumah sewa aku tu.
“Errr... Siapa Monalisa tu?” tanya Hana penuh
berhati-hati.
Adam terus membongkokkan sedikit badannya sambil memeluk
tubuh. Mukanya nampak agak serius.
Hana spontan mengundurkan badannya ke belakang sambil
mendongak memandang perfect figure di
hadapannya. Minyak wangi Gucci Guilty yang dipakai oleh lelaki itu benar-benar
membuatkan dia khayal seketika. Amboi, Hana, sampai khayal kau ya!
“Monalisa tu nama kamera saya. Dia ibarat nyawa saya.
Kalau tak ada Monalisa, saya jadi tak tentu arah. Jadi, sekarang awak faham kan
kenapa saya nak kamera saya tu secepat yang mungkin?”
Heh, aku ingatkan siapalah Monalisa tu. Rupa-rupanya
kamera dia. Bikin cemas aje.
“Faham. Tapi, saya berharap Tengku boleh bagi masa pada
saya sehingga esok untuk kembalikan Monalisa. Saya janji saya akan pastikan
tidak ada sedikit pun kerosakan pada Monalisa. Percayalah. Insya-Allah,” kata Hana
penuh yakin. Memang dia cuba meyakinkan CEO baru yang agak aneh ini, menamakan
barangnya sebagai Monalisa. Kalau bagi nama kat haiwan peliharaan tak apalah
jugak. Ini kamera kut.
Adam menegakkan badannya semula sambil kedua-dua belah
tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar. Matanya masih memandang Hana yang
menunggu jawapannya. Nak percaya si tudung bulat ni ke tidak? Entah-entah dia
dah jual Monalisa aku tu. Isy, tak sanggup aku kehilangan Monalisa. Tetapi,
gadis ini nampaknya berdegil juga nak pulangkan esok dan bukannya hari ini.
Boleh percaya ke?
“Percaya? Kenapa saya perlu percaya awak Cik Hana?”
Amboi, mengancam sungguh soalan Mr. Tak Ada Adab ni. Dah
mula dah perangai dia yang tak ada adab tu. Isy. “Sebab saya pekerja tetap kat
sini. Semua tentang diri saya ada dalam simpanan syarikat. Jadi, kalau saya nak
menipu sekalipun, Tengku boleh aje gunakan segala maklumat tentang diri saya tu
dan buat laporan kat polis, kan?”
Berani saja Hana mengeluarkan kata-kata sebegitu. Berani,
tapi rasa berdebar masih terasa. Takutlah jugak sebenarnya. Tapi, buat-buat
berani. Berani kerana tak sanggup ulang-alik dari Adam Group dan rumah semasa makan
tengah hari. Mana ada tenaga. Lepas tu macam buang masa aku aje. Macamlah esok
tak boleh. Isy.
“Okey. Saya akan bagi masa sampai esok saja. Pagi-pagi
esok awak kena jumpa saya kat sini dan serahkan Monalisa. Awak dengar dan faham
tak?”
“Ya, Tengku. Jadi, saya nak minta diri dulu balik ke
pejabat. Esok saya akan datang sini balik dan serahkan Monalisa,” janji Hana
dan terus bangun dari kerusi. Terketar-ketar tangannya menolak kerusi, masuk
separuh ke bawah meja. Kini dia berdiri berhadapan dengan Adam yang sejak tadi
memang tidak lepas-lepas memandangnya.
“Okey,” balas Adam lalu kembali ke mejanya. Dia terus
duduk.
“Assalamualaikum. Bye.”
Sebaik saja menghabiskan kata-katanya, Hana terus saja meluru keluar.
“Waalaikumussalam.” Adam tersenyum sendiri selepas
membalas salam itu walaupun Hana sudah keluar.
Si tudung bulat ni memang luar biasa. Memang sesuai
dengan gelaran yang diberikan. Si tudung bulat. Adam tersengih sambil
menggeleng kecil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan