SUARA nyanyian burung kedengaran merdu berlagu dan begitu mengasyikkan.
Kawasan yang dikelilingi gunung-ganang itu kelihatan sangat cantik dengan
dilatari pelbagai jenis bunga yang sedang indah mekar. Ada sekumpulan rama-rama
dan lebah berebut-rebut mahu mendapatkan madu dari kelopak bunga pelbagai warna
itu. Hembusan bayu juga begitu lembut membuai wajahnya yang sedang mendongak ke
atas.
Gadis itu tidak pasti di mana dia berada, tapi itulah
tempat yang selalu muncul dalam mimpinya. Dia selalu berangan-angan untuk
tinggal di tempat yang indah seperti itu. Seketika, matanya yang beralis lentik
itu terpaku pada bayangan seseorang yang sedang berjalan menghampirinya. Dalam
jarak lebih kurang lima meter, dia kurang pasti siapakah gerangan bayangan itu.
Lebih-lebih lagi, kabus masih lagi menyelubungi kawasan itu.
Siapakah? Dia berteka-teki sendiri. Matanya agak sukar
untuk menebusi kabus pagi yang agak tebal itu. Dia menenyeh-nenyeh matanya
berulang kali. Dipejamcelikkan matanya berkali-kali. Namun, dia tetap gagal mengenal
pasti susuk tubuh misteri itu. Tapi, dia pasti itu adalah seorang lelaki.
Ya, lelaki! Kerana daripada cara berjalan dan
pakaiannya. Dia mula merasakan debaran yang tidak terucap. Mungkin itulah
lelaki yang digelar Prince Charming yang telah lama bersemadi dalam diarinya.
Diari yang dibeli dengan harga RM2.50 dari kedai runcit Pak Mehat. Debaran
dalam hatinya mula bertukar menjadi teruja. Duhai teruna idamanku.
Dia mula tersenyum simpul. Malah, terlebih pula
simpulnya sampaikan susah untuk dia ungkaikan kembali. Tersenget-senget
bibirnya menantikan kehadiran lelaki itu di depan matanya. Ketika lelaki itu
hampir dengannya...
“Hannah!”
Terdengar namanya dilaungkan dari jauh. Melantun-lantun
ke dalam anak telinganya. Erk? Dia tersentak. Kalau namanya dipanggil oleh
lelaki itu, kenapa suaranya suara perempuan? Dan dia sangat kenal dengan suara
yang macam petir itu. Itu kan suara umi?
“Hannah!”
Sekali lagi lantunan suara itu bergema. Dia mula keliru
apabila terasa tubuhnya seperti digoncang-goncang dengan kuat dan kasar. Apa
dah jadi ni? Takkanlah di Malaysia sudah ada gempa bumi?
“Nur Hannah Delayla!”
Serentak itu juga wajah dan tubuhnya yang kurus tinggi
itu terasa seperti ditimpa hujan yang sangat lebat. Dia membuntangkan matanya.
Telinganya dapat mendengar dengan jelas suara sedang terkekek-kekek ketawa.
Hannah menggosok-gosokkan matanya. Dia berpaling ke kiri
dan kanan. Poster-poster pelakon dan penyanyi K-Pop Choi Siwon kelihatan
memonopoli dinding bilik itu. Hannah mula faham yang kisah tadi adalah mimpi
semata-mata kerana dia masih berada dalam biliknya! Ceh! Dia mendengus sebal.
Rambutnya dikuak kasar.
Basah? Tapi, kenapa? Dia segera membuka matanya
luas-luas. Saat itu, matanya memfokuskan ke arah dua raut wajah yang sedang
tersengih dan mencangkung di atas katilnya. Hannan? Hadziq?
“Apa kau orang dah buat ni? Kenapa kakak basah macam ni?
Kau orang sabotaj kakak ek? Meh sini...”
Dia tidak sempat bertindak apabila dua orang adik kembarnya itu sudah pun
melarikan diri ke luar.
Mereka sempat menjelirkan lidah kepadanya membuatkan dia
tidak mahu kalah. Eiii, dua orang musuh ketatnya itu mesti diajar! Pagi-pagi
lagi dah buat dia hilang mood. Pantas
sahaja dia bingkas bangun dan mengejar adik-adiknya sehingga ke dapur. Di situ
kelihatan uminya sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Hannan dan Hadziq
memeluk umi erat. Hannan di sebelah kiri dan Hadziq di sebelah kanan. Apalagi,
becoklah mulut uminya memulakan sesi leteran untuk pagi itu.
“Hah! Bangun pun anak dara Haji Darus ni ya? Ingatkan
nak tunggu air satu baldi kena muka baru nak bangun. Matahari dah tegak atas
kepala baru nak bangun! Dah tua bangka pun nak kena kejutkan juga.”
Tu dia, Puan Hajah Hayati memulakan ceramahnya dengan
serangan yang sangat menyakitkan telinga. Hannah berdiri tegak sambil
menjegilkan matanya kepada adik-adik kembarnya yang sedang tersengih tanda
kemenangan. Seronok barangkali kerana dapat mengenakannya.
“Umi, tengoklah dua orang mangkuk ni! Dia orang jirus
Hannah tadi. Habis basah baju Hannah tahu tak? Eiii... kang Hannah kasi luku
kepala baru tahu!” Hannah mengadu dengan harapan umi akan membelanya. Tapi,
harapan itu cuma senipis kulit bawang sahaja.
“Bukan adik dengan ucu yang jirus kamu! Umi yang jirus
tadi. Hah, marilah luku kepala umi ni! Sekarang ni bukan subuh gajah lagi dah
tahu tak? Dah subuh King Kong! Tu... tengok matahari dah naik tu!” Hajah hayati
meneruskan sesi leterannya sambil bercekak pinggang. Matanya yang bengis macam
mata singa itu merenung wajah anak sulungnya dengan perasaan geram.
“Hannah cutilah umi! Buat apa nak bangun awal-awal? Umi
tahu tak... Tadi kan Hannah baru nak berkenalan dengan putera idaman Hannah.
Tahu-tahu saja dah basah kena jirus. Kalau tidak mesti Hannah dengan dia tengah
bercanda bahagia.” Hannah menjawab dengan wajah yang berkerut.
Sesekali dia menunjukkan isyarat berjaga-jaga kepada
Hannan dan Hadziq yang beria-ia menjelirkan lidah kepadanya.
“Oh, kalau cuti tak payah bangun awallah? Kalau macam tu,
makan pun tak payah! Putera idaman konon. Kalau ada pun, mesti dah dilarikan
orang sebab kamu tu suka sangat bangun lewat!”
Hannah cuma mencebik. Dia mencapai kotak corn flakes dan terus menuangkan ke
dalam mulutnya. Dia sangat berpuas hati apabila Hannan dan Hadziq menjerit
melihat corn flakes itu masuk ke
dalam mulutnya dan selebihnya sudah bertabur di atas meja. Padan muka kau
orang! Kikiki.
“Umi, tengoklah kakak tu makan corn flakes adik dengan ucu!” Si Hannan mengadu sambil mengongoi.
Hadziq turut mengongoi sambil menarik-narik tangan umi.
“Hannah! Ya Allah... Anak dara apa kamu ni? Pelahap
macam 10 hari tak makan. Suka sangat usik adik dengan ucu.” Hajah Hayati
mencerlung ke arahnya sambil memujuk pasangan kembar itu mengatakan yang walid
akan belikan yang baru. Lepas tu, Jangan kasi kepada kakak!
“Tak nak kasi sudah! Kakak pergi beli sendiri. Nanti
kakak beli banyak. Satu lori! Tapi, kakak tak nak kasi kau orang juga. Padan
muka kau orang!” Hannah ketawa lagi apabila jeritan mereka mula meninggi
membuatkan Hajah Hayati bingkas bangun dan seperti biasa, telinganya ditarik
dengan agak kuat. Hannah menyeringai.
“Dah besar panjang pun tak nak mengalah!”
“Adoi, sakitlah umi! Eh, tu cekodok umi dah hangus tu!”
Hajah Hayati berpaling memandang kuali di atas dapur.
Baru dia teringat, dia sudah menutup api dapur tadi. Dan sarapan juga sudah
siap terhidang atas meja dan satu perkara lagi. Dia tidak membuat cekodok pagi
itu. Dia menyediakan mi goreng untuk pagi itu.
“Kamu jangan nak...” Hajah Hayati tidak sempat
menghabiskan kata-katanya apabila tubuhnya dipeluk erat oleh Hannah. Kemudian,
pipinya menjadi sasaran bibir mungil itu berkali-kali.
“Sayang umi! Hannah mandi dulu ya?” Hannah terus
mengangkat kaki menuju ke biliknya. Lagi lama dia di situ lagi banyaklah
leteran uminya. Lebih baik dia melarikan diri!
“Hannah, jangan lupa nanti tolong bawakan mi goreng
untuk walid. Tadi walid tak sempat sarapan!” Hajah Hayati menggelengkan kepala
sebaik mendengar suara Hannah menjawab dari dalam biliknya.
Anak sulungnya itu memang suka sangat memeningkan
kepalanya. Dari kecil nakalnya, nauzubillah! Sampai dah nak masuk umur 25 tahun
pun masih lagi tidak berkurang perangai nakalnya. Sudahlah nakal, Keras kepala
pula tu!
Ketika berumur 10 tahun, Hannah pernah melastik satu
reban ayam milik Mak Uteh Bidan kerana orang tua itu memanggilnya betina
hangit. Sehari dia tak makan sebab tak puas hati. Esoknya, riuh satu kampung
mengatakan ayam Mak Uteh mati dilastik. Hajah Hayati tahu itu kerja anak
daranya sebab sebelum tu, Hannah membeli lastik di kedai Pak Mehat.
Hannah memang kasar dan gerak lakunya macam orang
lelaki. Nasib baiklah dia membesar dengan didikan agama yang cukup. Walaupun
kasar, tapi Hannah tetap bertudung litup.
Lamunannya terhenti sebaik mendengar suara rengekan
Hadziq. Cepat-cepat Hajah Hayati mendapatkan anak lelakinya itu.
“WALID!” Suara Hannah memenuhi kawasan kolam ikan air tawar itu.
Matanya melilau mencari-cari kelibat walidnya. Mana pula
walid pergi ni? Hannah menggaru-garu lengannya yang gatal dek serangan nyamuk piruk (nama nyamuk yang diberi khas oleh
umi). Bekas berisi mi goreng diletakkan di atas pangkin buluh berhampiran kolam
ikan keli. Dia duduk di situ melepaskan lelah seketika.
“Hannah cari walid ke?”
Satu suara menegurnya dari belakang. Hannah mengurut
dada. Terkejut. Lantas berpaling ke arah pemilik suara itu.
“Abang Muaz ni... Buat Hannah terkejut aje! Nasib baik
tak melayang Tupperware ni. Kalau
tak, ada juga yang arwah hari ni tau,” ujar Hannah selamba. Bergurau. Tapi,
kasar ya amat.
“Amboi, tegur sikit aje dah nak jadikan Abang Muaz arwah
dah. Abang Muaz ni muda lagi tahu tak? Kahwin pun belum lagi. Kalau mati
sebelum kahwin, Rugilah!” seloroh Muaz pula. Seraya itu dia menapak menghampiri
gadis yang sedang bersila atas pangkin.
“Kalau dah takut mati sebelum kahwin, kenapa tak kahwin
aje? Takkan nak tunggu sampai dah beruban macam walid tu baru kalut nak cari
isteri? Masa tu, memang tak adalah orang nak,” sakat Hannah.
Dia sudah biasa bergurau dengan lelaki yang sudah hampir
lapan tahun menjadi pekerja walidnya. Walid sayang sangat dengan Abang Muaz.
Rajin!
“Dah tak ada yang sudi...” Muaz merendah diri. Topi di
atas kepala ditanggalkan lalu dikibas-kibas badannya.
“Eleh, pasrah pula! Yang Kak Juliana tergedik-gedik
nakkan abang kenapa abang tolak? Kalau tak dah berdozen anak abang tau.” Hannah
mengusik.
Dia pelik kenapa Muaz menolak Kak Juliana, jelitawan
Kampung Rendang Pasir ni. Bukan saja cun melecun dan kiut miut Tapi baik hati, lemah lembut, sopan santun, rajin. Pendek
kata semua perangai yang baik tu habis dilobinya. Kak Juliana adalah pujaan
hati semua teruna dalam kampung ini termasuk juga kampung-kampung berdekatan.
“Eh, ke situ pula! Pandai aje Hannah ni. Kak Jue tu
cantik sangatlah. Takut abang tau.”
“Kenapa pula? Kalau dapat isteri perfect macam Kak Jue tu, Mestilah bangga. Semua orang
tergila-gilakan dia. Kiranya abang ni bertuah sebab hati Kak Jue tu terkenen kat abang,” tokok Hannah
bersungguh-sungguh.
Kalaulah Abang Muaz kahwin dengan Kak Juliana maka,
dialah yang paling suka. Sebab mereka berdua tu sama cantik sama padan. Macam
pinang dibelah dua. Couple of the year.
Sesuai sangatlah gelaran itu untuk mereka.
“Ewah, Hannah ni kalau bab nak kenakan abang memang
pandai. Yang Hannah ni bila pula nak kahwin? Kan dah habis belajar.” Muaz
mengalihkan topik pula.
Sambil itu matanya merenung seraut wajah polos di
hadapannya. Berdetup-detap pula hatinya. Diam-diam, ada muzik lagu Hindustan
bermain-main dalam mindanya kerana gadis itu. Lebih-lebih lagi bila dia melihat
sebentuk cincin yang tersarung di jari manis Hannah. Itu adalah cincin
pemberiannya sempena hari jadi Hannah yang ke-25. Hati Muaz mula berlagu riang.
“Hannah?” Hannah terbeliak mendengar soalan cepumas itu.
Muaz angguk.
“Kahwin?” Terus anak dara Haji Darus itu ketawa besar.
Kelakar.
Hannah rasa perkataan kahwin tu paling tak sesuai
untuknya. Kenapa? Sebab seumur hidupnya selama 25 tahun. Dia tidak pernah
bercinta pun! Nak mampus? Dikejar dek Haji Darus dengan belakang parang nanti,
siapa yang nak tolong? Kau orang nak tolong ke? Memang taklah, kan?
“Abang tahu tak? Walid tu kalau Hannah buka mulut
bercakap pasal lelaki ajnabi, boleh tercabut paku lima inci dengan suara dia
sergah. Eiii... Tak beranilah Hannah!”
“Tak baik Hannah cakap walid macam tu. Kang dengar dek
walid sekali dengan abang kena kejar dengan belakang parang. Abang pun takut
juga,” gurau Muaz membuatkan ketawa mereka berpadu.
“Eh, walid pergi mana sebenarnya ni? Abang tak jawab pun
soalan Hannah tadi,” tanya Hannah setelah ketawanya reda.
“Walid pergi pekan dengan Pak Cik Nordin. Nak hantar
ikan yang pelanggan pesan. Dia orang nak pagi ni juga.”
“Ya ke? Kalau macam tu, abang ajelah makan mi goreng ni.
Kalau walid pergi pekan mesti tengah hari nanti baru balik.” Hannah menolak Tupperware berisi mi goreng kepada Muaz.
Lelaki itu cuma mengangguk. Lantas, penutup bekas makanan
itu dibuka dan dia menyuap mi itu ke dalam mulut. Sedap. Kalau masakan ibu pun
sedap, mestilah masakan anaknya pun sama. Mana nak tumpah kuah kalau tak ke
nasi? Muaz bermonolog sendiri.
“Abang makanlah. Hannah nak panjat pokok mempelam tu.
Banyaknya buah.” Gadis tinggi lampai yang mengenakan T-shirt lengan panjang, seluar trek dan bertudung litup itu bingkas
bangun dan melangkah laju-laju ke arah pokok mempelam di tepi kolam ikan keli.
Muaz cuma mengangguk. Dulu dia melarang juga, tapi
sekarang dia dah biasa dengan perkara itu. Hannah panjat pokok macam orang
lelaki. Selamba sahaja. Pokok kelapa pun ada hati nak panjat juga. Hai, Hannah,
Hannah. Nama punyalah sedap macam nasi kandar, tapi perangai mengalahkan
jantan. Ganas dan kasar, tapi itulah gadis yang sejak dulu menghiasi episod
mimpi indahnya. Tapi, tak siapa yang tahu termasuk empunya nama indah itu. Nur
Hannah Delayla.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan