Bab 8
REESA memandang Adam yang
sedang bermain. Parut bekas chicken pox masih lagi ada pada badannya. Sudah
pulih seperti sediakala. Tetapi, Reesa masih lagi berjaga-jaga. Orang kata
kalau parut itu terkena air hujan akan meninggalkan kesan hingga seumur hidup.
Reesa tak mahulah terjadi begitu kepada Adam. Muka handsome itu nanti akan cacat disebabkan ada parut chicken pox. Reesa tersenyum. Perasan anak dia handsome. Masuk bakul angkat sendiri. Tapi, kalau bukan diri
sendiri yang mengangkat bakul, siapa lagi? desis hatinya.
“Mummy senyum sorang-sorang? Mummy ingat daddy ya?” serkap Adam.
“Kenapa pula Adam cakap mummy
ingat daddy?” tanya Reesa semula.
“Yalah, orang lain semua ada daddy
dengan mummy kalau pergi mana-mana.”
“Oh, itu... Daddy sibuk,” kata
Reesa lembut.
“Tapi, kenapa daddy tak tinggal
dengan kita? Adam suka kalau daddy
tinggal dengan kita,” tanya Adam tiba-tiba.
Walaupun Reesa sudah lali dengan pertanyaan tersebut, tapi kadang-kadang
Reesa terkejut juga. Nah! Bicara jujur Adam sudah mengena kepada Reesa. Reesa
diam mencari kata yang sesuai untuk diterangkan kepada Adam.
“Mummy... hmm... Tak apalah
kalau daddy tak tinggal dengan kita
pun. Adam happy sebab ada mummy dengan ibu teman Adam,” balas Adam
semula.
“Sini, sayang.” Reesa mendepakan tangannya untuk memeluk Adam.
Adam berlari memeluk Reesa. Pipi
Reesa diciumnya.
“Mummy, nak aiskrim,” pohon
Adam.
Reesa berpaling ke kirinya, mengikut telunjuk Adam. Lantas tangan Adam
diraihnya.
Genggaman dikemaskan. Reesa membukakan
pintu kereta. Menyuruh Adam duduk di dalam kereta. Penutup aiskrim Cornetto itu
dibuka lalu disuakan kepada Adam. Reesa juga asyik menikmati aiskrim tanpa
menyedari ada seseorang yang sedang menghampiri mereka.
“Uncle!” jerit Adam. Berlari
menghampiri Syarez.
Reesa berpaling. Kelihatan Syarez yang memakai baju sukan. Dekat ke rumah
dia dengan taman permainan ni? Reesa tertanya-tanya. Namun, Reesa tetap
mempamerkan wajah biasa.
“Jauhnya joging,” kata Reesa. Ops...
“Awak tahu rumah saya ke?” tanya Syarez tanpa curiga.
“Taklah, saya agaklah. Awak kan orang berada. Sini jauh sikit dari
perumahan elit.”
Syarez merenung Reesa.
Reesa cepat-cepat menunduk. Salah ke kata aku tadi? desis hatinya.
Bimbang juga jika lelaki itu terasa.
“Jadi, kalau orang berada tak boleh datang sini?” tanya Syarez.
“Bukan tak boleh, tapi pelik sikit. Rasanya taman untuk joging di sana
lebih elok daripada sini.” Reesa tidak mahu kalah.
“Alah, mummy ni... Biarlah uncle nak datang sini. Kan, uncle?” Adam menyokong kedatangan Syarez
di situ.
Syarez ketawa.
“Tengok, anak awak pun tak kisah. Yang awak kisah buat apa?” kata Syarez
semula. Direnungnya lagi mata Reesa.
Reesa mengerdipkan matanya dan segera berpaling ke arah lain.
Syarez senyum. Pemalu rupanya dia. Macam mana agaknya dia dengan
suaminya? Pemalu seperti ini jugakah?
“Adam datang sini buat apa?” tanya Syarez.
“La... uncle ni... Joginglah. Uncle ingat kami datang sini main-main?”
kata Adam, menggelengkan kepalanya.
Syarez menutup mulutnya. Silapnya kali ini.
“Tapi, siapa ajar lepas joging makan aiskrim?” tanya Syarez. Kata-kata
itu ditujukan kepada mummy Adam.
Reesa mencebikkan bibirnya. Macam orang tak tahu.
“Adamlah. Mummy ikut aje,”
jawab Adam, tidak menyalahkan mummynya.
Syarez ketawa lagi. Pandai sungguh Reesa mendidik anaknya.
“Adam dah habis makan, kan? Jom kita balik. Dah lewat ni. Nanti bila ibu
balik ibu tak boleh masuk rumah. Ibu tak bawa kunci,” ajak Reesa. Dia
menghulurkan tangan kepada Adam. Risau jika Gisele sudah pulang.
“Adam nak main-main dengan uncle
dulu. Bolehlah, mummy. Mummy telefonlah ibu cakap kita kat
sini. Tahulah ibu nak cari.” Pandai pula Adam memberi cadangan.
Reesa mengetapkan bibirnya. Menyesal pula bila Adam terlebih pandai bila
waktu begini.
Syarez perasan akan perubahan wajah Reeza. Entah kenapa wanita itu tidak
gemar Syarez berbaik-baik dengan Adam. Mungkinkah itu hanya perasaan Syarez
sendiri?
“Tak apalah, Adam. Kasihan mummy.
Mummy nak balik sangat dah.” Syarez
memujuk Adam.
Adam menarik muka cemberut bila kehendaknya tidak dipenuhi.
Syarez memandang Reesa lagi. Dia juga berharap agar Reesa akan mengalah.
Hati Syarez gembira apabila bersama Adam. Kepetahan Adam yang membuatkan Syarez
sentiasa teringatkan anak orang ini. Kalaulah dia punya anak secerdik ini. Tapi,
tentu lambat lagi.
Reesa jatuh kasihan apabila Adam begitu.
“Okeylah, mummy call ibu. Tapi, mummy tak mahu lama-lama. Kita dah janji dengan daddy malam ni.” Reesa mengingatkan
janji untuk keluar bersama-sama Umarif.
“Okay, mummy. Love you, mummy.” Adam sudah ketawa. Tangan
Syarez ditariknya.
Reesa hanya memerhati gelagat mereka berdua. Kasihan pula apabila Reesa
cuba menidakkan Syarez sebagai ayah kepada Adam, walaupun Syarez tidak tahu
apa-apa. Bukannya Reesa pinta begitu. Buat masa ini Reesa tidak mahu berkongsi
Adam dengan Syarez. Sampai waktunya Reesa akan memberitahu Syarez perkara
sebenarnya.
Sekarang pun Syarez berpura-pura tidak mengenalinya. Sebab itulah Reesa
juga mengikut rentak Syarez. Mungkin dengan berpura-pura begitu mereka dapat
berbual seperti sekarang. Perkahwinan mereka yang singkat itu tidak membawa
sebarang makna kepada Syarez.
Selepas berkahwin selama sebulan Reesa mendapat tahu Syarez menyesal
berkahwin dengannya. Hatinya berlagu pilu. Tetapi, dikuatkan juga kerana dia
mencintai Syarez. Seorang wanita hanya akan ‘bersama’ seorang lelaki jika dia
mencintai lelaki itu, tetapi bagi seorang lelaki, dengan mana-mana wanita pun
boleh. Sebab itulah Syarez boleh ‘bersamanya’.
Lahirnya Adam ke dunia bukti perkara itu. Lahirnya Adam hanya cinta
sebelah pihak. Jadi, bagi Reesa tidak salah jika hanya dia yang menjadi milik
Adam. Bukan Syarez. Tapi, ini sudah lebih daripada baik. Reesa tidak pernah
menghalang keakraban Syarez dan Adam. Hati Reesa berdetik lagi. Selagi Syarez
tidak tahu perkara sebenar, biarlah. Kisah mereka sudah berlalu.
“Dah puas main?” tanya Reesa kepada Adam yang berpeluh.
Adam mengangguk. Adam mendekatkan dirinya kepada Reesa. Reesa segera
menyapu peluh yang merenik di dahi itu.
“Nanti kalau gatal-gatal malam ni jangan cari mummy,” kata Reesa.
“Adam cari ibulah. Tak pun daddylah.”
Adam senyum memandang mummynya.
“Menjawab.” Hidung kecil Adam dicuitnya. Lalu diciumnya.
“Cari uncle pun tak apa.”
Syarez menyampuk perbualan dua beranak itu.
“Mana boleh cari uncle. Uncle tinggal jauh,” balas Adam.
Reesa senyum dengan jawapan Adam. Pandai sungguh.
“Adam call uncle. Uncle datanglah. Uncle tahu rumah Adam.”
“Tak boleh, daddy marah nanti,”
kata Adam lagi.
Syarez senyum. Dia terlebih pula. Adam kan ada daddynya sendiri. Tak ke pelik nanti jika dia pergi rumah orang?
Nanti tak pasal-pasal dia disuspek nak mengurat bini orang. Simpang 100.
“Assalamuaikum.” Reesa memberi salam.
Adam terus melambai-lambai ke arah Syarez.
Reesa terus memandu keretanya. Laju. Tidak mahu lagi memandang ke
belakang. Terasa menyesal pula bagi Adam dan Syarez berbaik-baik. Dibuatnya
selepas ini Syarez tahu perkara sebenar dan mahu menuntut hak penjagaan, mahu
mati Reesa.
Janganlah jadi perkara begitu. Reesa tidak sanggup untuk menghadapinya.
Tapi, jika selepas ini dia menghalang Adam bertemu dengan Syarez, tentu akan terasa
kepelikannya.
“UMI, Rez nak kahwin juga
dengan Suzy,” beritahu Syarez setelah dia pulang daripada berjoging.
Puan Suhaili yang sedang menghirup air teh hampir tersedak. Syarez memang
bersungguh kali ini. Dahulu juga dia menentang Syarez berkahwin, tapi Syarez
kahwin juga. Tetapi, nasib baiklah bercerai juga. Itu pun setelah Syarez sedar
dia tidak mencintai Aimee. Tapi, sekarang Syarez memang bersungguh-sungguh.
Kerana Suzy jugalah dia mahu bercerai dengan Aimee. Tika itu dia amat
berterima kasih dengan Suzy, tetapi apabila Syarez mahu mengahwini Suzy, Puan
Suhaili menghalang juga. Sebenarnya dia berkenankan anak kawan usrahnya yang
bekerja sebagai ustazah itu. Sudahlah cantik budi pekertinya, hanya Allah
sahaja yang tahu. Yang paling penting menutup aurat.
“Umi dengar tak ni?” tanya Syarez lagi.
“Dengar.”
“Habis tu kenapa diam?” tanya Syarez lagi. Dia hairan pula kenapa uminya
tidak melenting lagi.
“Umi dah cakap umi tak berkenankan Suzy. Tapi, bila dah kamu nak juga,
umi dah tak daya nak menghalang. Bila nak pergi meminang?” tanya Puan Suhaili
hambar.
“Betul ke ni, umi? Ya Allah, terima kasih, umi.” Syarez segera memeluk
Puan Suhaili. Entah angin dan ribut apa yang melanda uminya hari ini. Tiada
lagi kata-kata tak elok tentang Suzy. Uminya sudah berubah.
“Bila umi dah setuju baru kamu nak peluk umi ya, Rez,” sindir Puan
Suhaili.
“Taklah, umi... Selalu apa Rez peluk umi. Terima kasih banyak-banyak, umi,”
ucap Syarez. Pipi uminya dicium.
Puan Suhaili tersenyum. Dia tahu sejak akhir-akhir ini Syarez jarang
berbual dengannya kerana protes dengan dirinya yang tidak menyukai Suzy menjadi
menantunya. Perangai Syarez sejak kecil memang tidak berubah. Keras kepala.
Jika dia mahukan sesuatu, Syarez akan memastikan dia akan memilikinya juga. Walaupun
hatinya tidak suka, tetapi yang mahu hidup berumah tangga adalah Syarez.
Biarlah. Dia berdoa agar perkahwinan Syarez kali ini bahagia hingga ke akhir
hayat.
“Hah! Dua beranak ni buat apa?” sergah Tuan Adam Mansor.
“Haisy, abang ni kejutkan kami aje. Mari minum,” kata Puan Suhaili.
Segera diambilnya cawan lalu diletakkan di depan suaminya itu.
Syarez hanya menjadi pemerhati tingkah uminya yang melayan babanya
bagaikan raja. Dia juga mahu Suzy melayannya sebegitu nanti.
“Dahaga pula hari ni. Selalunya baba tak sedahaga ini,” keluh Tuan Adam
Mansor. Babanya menghirup air Milo panas yang berada di dalam cawan itu.
“Makan, baba, umi masak sedap hari ni,” kata Syarez lalu menolak pinggan
berisi kuih cara ke depan babanya.
“Masakannya umi kamu memang sedap. Sebab tulah baba tak boleh kalau
sehari tak kena air tangan umi kamu. Tak gitu, Su?” Tuan Adam Mansor merenung
isterinya. Isteri yang dinikahi hampir 40 tahun lalu.
“Yalah tu...” Puan Suhaili mencebikkan bibirnya. Namun, di hujungnya dia
mengukirkan senyuman.
“Kita sebagai lelaki ni, Rez, kena cari yang pandai masak. Boleh ikat
perut kita. Orang lelaki kalau perutnya dah diikat memang sahlah dia tak cari
lain,” kata Tuan Adam Mansor.
“Kenapa pula macam tu, baba?” tanya Syarez ingin tahu.
“Masakan sebenarnya memainkan peranan penting dalam kehidupan rumah
tangga. Kasih sayang bermula di dapur,” ujar babanya.
“Ini pendapat baba. Sebab bagi baba masakan umi Rez yang mengikat baba
untuk setia kepada umi seorang. Bagi baba, dialah wanita yang diciptakan untuk
baba hingga akhir hayat baba,” sambung Tuan Adam Mansor. Dia memandang Puan
Suhaili dengan pandangan lunak.
“Abang ni, sentimental pula bila tua-tua macam ni. Kalau ada kak long
mahu dia usik Su sebulan dua,” kata Puan Suhaili. Namun, hatinya penuh dengan
rasa cinta yang membara kepada suaminya. Biarpun cinta mereka sudah di usia
senja.
Syarez terfikir, betul juga cakap baba. Masakan. Tapi, setahu Syarez,
Suzy tidak berapa pandai memasak. Bolehkah Suzy mengikat perutnya? Syarez
tertanya-tanya. Ah! Suzy boleh belajar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan