NUHA mundar-mandir di wakaf. Sekejap-sekejap dia tengok jam di tangan.
“Ya Allah, manalah perginya Pak Awi ni? Dah lebih 20
minit aku tunggu. Karang membebel pulak bos aku tu kalau lambat sampai ofis,”
sungutnya sendirian.
Resah hati tidak dapat dibendung lagi. Nak sampai ke
pejabat terpaksa meredah banyak lampu isyarat. Lagilah makan banyak masa.
Memang tadah telingalah jawabnya nanti.
Nuha mendecit. Tidak pernah lagi Pak Awi lambat
menjemput dia. Selalunya on time
sahaja. Kadang-kadang dia baru hendak melintas jalan sudah ternampak teksinya
menunggu di depan wakaf.
“Hisy! Tak boleh jadi macam ni. Aku kena telefon Pak Awi
tanya dia ada dekat mana sekarang. Kalau dia tak jadi datang, senang aku tahan
teksi lain,” kata Nuha.
Dia menggagau beg tangannya mengeluarkan telefon Samsung
Galaxy Y warna coral pink. Walaupun touch screen, tetapi tidak berapa nak pintar sangat sebab fungsinya terhad dan tidak
boleh download banyak aplikasi. Dia
guna buat hantar SMS dan telefon orang sahaja.
Dalam masa yang sama, tiba-tiba terdengar bunyi tayar
kereta terseret kuat. Nuha terus panggung muka.
Ha, sampai pun. Tetapi, kenapa ganas sangat Pak Awi bawa
teksi hari ni? Betul ke Pak Awi yang pandu kereta? Untuk mendapatkan kepastian,
dia tunduk sedikit mengintai wajah si pemandu.
“Hah! Tengok apa lagi? Masuklah cepat. Pintu tak kunci
pun,” balas Fadil.
Rasanya memang dah betul kut pelanggan ayah aku ni,
getusnya apabila melihat di bahu gadis itu tersangkut beg tangan warna merah.
Nuha tersentak apabila disergah begitu. Alamak! Bukan
Pak Awi. Dia tidak kenal siapa gerangannya. Tidak pernah jumpa pun sebelum ini.
Apabila diperhati ada iras-iras macam Pak Awi juga. Siapa pula mamat ni?
“Janganlah tengok aku macam tu. Karang jatuh cinta, tak
pasal-pasal pulak kau jadi angau,” tambah Fadil lagi. Hairan sangatlah tu kut
tengok bukan ayah dia bawa teksi.
Nuha mencebik. Boleh tahan perasan mamat drebar ni.
“Sebelum saya masuk, saya nak tanya. Ini teksi Pak Awi,
kan? Tapi, kenapa awak pulak yang bawa?” soal Nuha inginkan kepastian. Dia
mesti tahu semua itu. Dibuatnya lelaki itu orang gila ke, entah ke mana pula
dia kena bawa lari nanti.
“Dah dia suruh. Aku bawalah. Yang kau tercegat lagi
dekat luar tu, kenapa? Nak suruh aku tolong buka pintu ke? Tak kuasalah aku!”
jawab Fadil sinis. Leceh betullah perempuan ni. Banyak tanya pula. Tinggal
karang baru terhegeh-hegeh nak masuk.
Nuha mengerut muka. “Pak Awi suruh awak bawa? Habis tu
mana dia? Ke awak curi teksi ni daripada dia? Baik awak cakap betul-betul.”
Ek eleh perempuan ni. Ada jugak jadi mangsa ciuman aku karang. Mulut tak
bertapis langsung. Baru aje jumpa dah penuh dengan prasangka, gerutu Fadil
geram.
“Daripada aku curi teksi ayah aku ni, baik aku curi
kereta Ferrari terus. Boleh jugak buat eksyen
dekat kau kalau terserempak kat tepi jalan. Setakat teksi Proton Iswara ni, apa
kelasnya?”
Nuha tergamam. Apa? Mamat ni anak Pak Awi? Biar betul!
“Pak... Pak Awi tu ayah awak?” tanya Nuha
tergagap-gagap.
Patutlah muka ada iras-iras Pak Awi. Tetapi, boleh
percaya ke? Takkan anak Pak Awi serabai macam ni? Penampilan Pak Awi kemas
sahaja. Baju selalu tuck in dalam
seluar slek. Siap pakai kopiah dan kasut kulit lagi. Mamat ni pula, hujung
rambut sampai kaki macam mat pet sahaja.
Musykil!
“Dah tu, takkan ayah kau pulak? Apa punya banganglah
soalan kau tu. Hah, ni kau nak naik ke tak nak? Kalau tak nak, aku nak blah!” marah Fadil sambil menjeling
Nuha.
“Saya nak awak tunjuk dulu bukti yang Pak Awi tu ayah
awak. Kalau betul, baru saya naik,” kata Nuha.
Fadil mendecit. Kenapalah ayah dia tidak beritahu tadi
pelanggan tetapnya itu seorang yang banyak songeh? Tak pasal-pasal pula kena
tunjuk pengenalan diri kepadanya.
“Nah, ini IC aku. Kau tengok betul-betul nama aku tu bin
siapa.” Kad pengenalan dihulurkan kepada Nuha. Sudah macam gaya kena tahan
dengan pegawai JPJ yang buat road block
sahaja.
Nuha membaca nama yang tertera. Fadil Ashraf bin Aluwi.
Jadi, memang betullah mamat ni anak Pak Awi. Huh! Jauh beza benar perangai ayah
dengan anak. Ayah bercakap dengan pelanggan sopan sahaja. Anaknya pula mulut
macam brek tak makan.
“Sekarang kau percaya ke tak? Ke kau masih anggap aku ni
pencuri teksi lagi?” sindir Fadil sambil merampas kasar kad pengenalannya dari
tangan Nuha.
Eh, dia ni... Minta baik-baik tak boleh ke? Main rampas
bodoh macam tu aje. Nuha menggerutu tidak puas hati. Tanpa membalas pertanyaan
Fadil, dia terus masuk duduk di belakang. Malaslah nak duduk di depan. Dengan
Pak Awi sahaja dia berani duduk sebelah menyebelah.
“Hantar saya ke Wisma Indah. Cepat sikit sebab saya dah
lambat,” pinta Nuha.
“Kau masuk kerja pukul berapa?”
“8.30.”
Fadil mengerling jam dekat dashboard. “Sekarang dah pukul 9.07. Bos kau tak marah ke masuk
kerja lambat?”
“Kalau awak bawa teksi laju macam Dominic Toretto dan
cepat sampai ke ofis saya, mungkin bos saya tak jadi nak marah.” Nuha tahan
geram mendengar pertanyaan Fadil. Buat-buat tanya pula. Kan bagus kalau Fadil
tekan pedal minyak tu rapat-rapat daripada tanya soalan bengap macam tadi.
Fadil tersenyum senget. Kalau bukan sebab dia singgah
makan roti canai dekat kedai mamak tadi mungkin kelewatan ini tidak berlaku.
Tak apalah, yang kena marah Nuha. Bukannya dia. Fadil ketawa dalam hati.
Tercabar dengan kata-kata Nuha tadi, dia menekan pedal
minyak rapat dan drift sehingga Nuha
terhuyung-hayang ke kiri dan kanan. Mana-mana kereta yang berada di hadapan
habis dia potong sehinggalah tiba di satu lampu isyarat. Lampu hijau tidak
sempat dikejar dan akhirnya dia menekan brek mengejut.
Tindakan itu menyebabkan Nuha terdorong ke hadapan dan
tercium kerusi di hadapannya.
“Hei! Apa awak ni bawa kereta macam orang mabuk minum
air daun ketum aje? Bawa elok-elok sikit tak boleh ke?” bebel Nuha sambil
menjeling Fadil geram.
Fadil menoleh ke arah Nuha sekilas. “Tadi kau jugak yang
suruh aku bawa macam Dominic Torreto, kan? Hah, bila aku dah jadi si Dom tu kau
pot-pet pot-pet pulak macam itik
serati. Kau ni memang jenis cakap tak serupa bikin eh?”
“Maksud saya tadi tu bawa laju-laju janganlah sampai
mengabaikan keselamatan penumpang.”
“Ah, dan-dan aje sekarang ada maksud. Tadi kau tak sebut
pun pasal tu semua!” tempelak Fadil laju.
Nuha mendengus. Banyak mulut betullah mamat ni. Dahlah
cakap kasar tidak bertapis. Menyakitkan hati sahajalah! Eii... Stresnya naik
teksi drebar perangai macam jerangkung ni.
Bagi menghilangkan rasa bengangnya, Nuha berpaling ke
luar tingkap. Namun, dia perasan mata Fadil asyik mencuri pandang ke arahnya.
Apa hal pula ni jeling-jeling macam tu? Namun, dia sengaja buat-buat tidak
nampak.
Setelah lampu bertukar hijau kembali, Fadil meneruskan
pemanduannya dengan tenang. Sedang-sedang laju sahaja dia bawa. Terlebih laju
karang tak pasal-pasal penumpang banyak songeh itu membebelkan dia lagi nanti.
“Kau pergi kerja memang selalu naik teksi ke?” tanya
Fadil.
“Hmm...” Nuha hanya bergumam malas.
“Kau tak ada kereta sendiri? Motosikal ke?”
“Tak ada.”
“Ya tak ya jugak, kan? Kalau ada kenderaan sendiri buat
apa naik teksi pergi kerja?” Fadil ketawa sendiri kemudiannya.
Nuha tunjuk muka bosan. Ngok-ngek betul mamat ni.
Sendiri tanya sendiri jawab. Tiba-tiba dia merasakan kelajuan teksi itu menjadi
perlahan. Semakin lama semakin perlahan.
“Eh, apa hal ni awak bawa teksi perlahan sangat? Kalau
macam ni pukul berapa saya nak sampai pejabat?” Kali ini Nuha sudah tidak dapat
menahan rasa geram dan marahnya terhadap Fadil.
Gaduh pun gaduhlah. Dia memang tidak suka cara Fadil memandu
kereta. Tidak lancar macam Pak Awi. Kenapalah Pak Awi suruh Fadil hantar dia
pagi ni?
“Bukan aku yang bawa perlahan. Tu, minyak kereta dah nak
habis...” ujar Fadil seraya memberi isyarat signal kiri. Sebaik sahaja berhenti
di tepi jalan, enjin kereta terus mati.
Mata Nuha terjegil melihat jarum meter minyak. Aduh!
Malang betullah nasib dia hari ini. Tidak pernah lagi naik teksi tiba-tiba
teksi mati di tepi jalan. Ini memang betul-betul mengundang kemarahan!
“Dah tahu nak hantar orang, kenapa tak isi minyak penuh
tadi?”
“Mana aku perasan. Ayah aku tak pesan pun suruh isi
minyak. Kau ni asyik membebel aje dari tadi. Bingit telinga aku tahu tak?
Daripada kau duk bising macam ni, baik kau keluar tolong aku tolak kereta ni,”
arah Fadil, membuatkan mata Nuha terjegil.
“Apa?!”
“Ya! Tolak kereta ni sampai ke stesen minyak kat depan
tu ha...”
Rahang Nuha terus jatuh. Anak Pak Awi ni memang
menyakitkan hatilah!
DAHI yang berpeluh diseka dengan tangan. Belakang badan juga sudah
lencun. Melekit-lekit satu badan dia dibuatnya. Ini semua Fadil Ashraf punya
pasal. Huh! Dia benci lelaki itu. Sudahlah mulut macam puaka Niyang Rapik.
Layan perempuan macam orang tidak ada hati perut langsung.
Malu besar dia tadi apabila semua pengguna jalan raya
tengok dia menolak teksi. Fadil memang ada tolak sekali. Tetapi, bukan tolak
bersungguh-sungguh macam dia. Sekadar tolak sambil lewa dan banyak mengarah
suruh dia tolak kuat-kuat. Dasar pembuli! Nuha menyumpah seranah Fadil
bertubi-tubi dalam hati.
“Oi, Cik Jah! Termenung apa lagi tu? Kau tak nak pergi
kerja ke?”
Nuha tersentak. Dia memandang Fadil yang memberi isyarat
suruh masuk ke dalam kereta. Segera dia patuhi arahan itu.
“Awak isi penuh tak minyak tu? Jangan sampai saya kena
tolak lagi teksi ni nanti,” tanya Nuha. Pintu dihempas kuat sebagai protes.
“Nasiblah kalau kena tolak lagi,” balas Fadil bersahaja
seraya menghidupkan enjin.
Sempat dia kerling Nuha tatkala menjatuhkan brek tangan.
Tajam sekali jelingan Nuha lempar kepadanya. Dia hanya tersenyum senget lalu
meneruskan kembali perjalanan.
Nuha semakin sakit hati dengan Fadil. Tak apa. Kau
tunggulah aku mengadu dekat ayah kau nanti!
Sambil memandu, Fadil membuka radio bagi menghilangkan
rasa bosannya. Layan lagu lagi best
kut daripada melayan Nuha.
“Terima kasih kerana anda terus setia mendengarkan kami
di Boom FM. Pastinya kebabom selalu.
Okeylah, sebelum kita layan lagu seterusnya, Coki nak buat pengumuman sikit.
Ha... kepada sesiapa yang ada bakat seni menyanyi atau rasa suara dia sedap bak
buluh perindu, apa kata cabar diri pergi uji bakat rancangan realiti TV, Oi!
Meletup Kau! musim ketiga? Kalau menang, memang meletup-letup sangat ni.
“Hadiah wang tunai sebanyak 100 ribu ringgit bakal
menjadi milik juara selain sebuah kereta BMW X6 dan berpeluang menjadi artis
rakaman di bawah label syarikat rakaman terkenal di Malaysia, Gergasi Music
Entertainment. Wau! Jadi, tunggu apa lagi? Cepat-cepat isi borang penyertaan.
Untuk maklumat lanjut, bolehlah melayari laman web www.oimeletupkau.com,” ujar deejay bernama Coki itu penuh
bersemangat.
“Pergh! Bestnya
kalau menang. Dapat duit 100 ribu. Lepas tu dapat kereta. Siap boleh jadi artis
rakaman lagi. Siapa tak nak? Aku pun nak macam ni. Kalau aku jadi juara, mesti
meletup habis aku nanti. Semua rakyat Malaysia akan sebut nama aku. Gilalah...”
Fadil bercakap sendirian.
Teruja pula dia mendengar iklan sebentar tadi. Nak cuba
ke tak nak? Dia memang suka menyanyi. Cuma bakat yang ada selama ini hanya
ditonjolkan di jalanan sahaja bersama kawan-kawan yang lain.
Nuha yang turut memasang telinga, mencebik.
“Mamat ni nak jadi penyanyi? Sedap sangat ke suara dia?
Berangan aje lebih,” kutuknya perlahan, tanpa sedar didengar oleh Fadil.
“Apa kau cakap?”
Terjongket bahu Nuha akibat kena sergah dengan Fadil.
“Bila masa saya cakap? Awak tu dari tadi tak habis-habis
bercakap sorang-sorang,” nafi Nuha.
Fadil mendengus. “Lebih baik aku bercakap sorang-sorang
daripada bercakap dengan kau. Ni Wisma Indah yang mana satu kau kerja? Yang
depan ni ke depan sana?”
“Depan sana. Dahlah, berhenti dekat sini ajelah. Saya
boleh jalan kaki aje pergi ke sana.” Nuha sudah tidak tahan duduk di dalam
teksi bersama Fadil lama-lama.
Fadil terus memberhentikan kereta seperti disuruh.
“Nah, duit tambang. Petang nanti awak ke Pak Awi yang
datang jemput saya?” Nuha menghulur duit sebanyak lima ringgit kepada Fadil.
Teksi Pak Awi tidak pakai meter. Biasanya dari kampung
sampai ke tempat kerja memang jumlah itu dia bayar pergi dan balik.
Kadang-kadang, Pak Awi mengambil empat ringgit sahaja.
“Kalau aku yang jemput, apa masalah kau?” soal Fadil
sinis. Duit yang Nuha hulur diselit ke dalam poket jean. Boleh buat beli air
Nescafe ais nanti.
Nuha menghela nafas. Memanglah masalah sebab dia tidak
suka cara Fadil memandu. Tambah-tambah tidak mesra macam Pak Awi.
“Tak ada apa-apalah. Saya balik kerja pukul 5.00. Awak
jangan datang lambat pulak macam tadi,” pesan Nuha sebelum membuka pintu. Baru
sahaja jejak sebelah kaki ke tanah, dia berpaling semula apabila Fadil
memanggilnya.
“Kenapa? Duit tambang tak cukup ke?”
“Aku dah lama nak cakap dekat kau. Tapi, tak sampai
hati. Nah, ambil tisu ni buat kesat mulut kau yang sememeh tu.” Fadil menghulur
tisu sambil memuncungkan mulut ke bibir Nuha.
Hah? Nuha segera memanjangkan leher tengok cermin pandang
belakang. Panjang kesan gincunya terconteng di tepi mulut. Aduh! Malunya...
Patutlah dari tadi Fadil asyik duk curi-curi tengok dia sangat. Ini mesti kes
tercium kerusi tadi. Bencilah! Dia terus menyambar tisu itu dari tangan Fadil.
“Terima kasih!” ucapnya lantas terus keluar tanpa
menunggu lebih lama. Pada saat itu dia rasa mukanya berbahang seperti duduk di
depan bara api!
Fadil menghentak stereng kuat. Terkekek-kekek geli hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan