Bab 6
“TERIMA ajelah pinangan dia tu. Lagipun, mak tengok budak tu baik, sopan santun,
pandai hormat orang tua. Mana lagi nak dapat budak macam tu zaman sekarang?” Mak
tidak habis-habis menyuruh aku menerima mamat perasan bagus itu.
Baik? Sopan santun? Pandai hormat orang tua? Tolonglah!
Nak muntah pula aku saat ini. Pandai betul dia berlakon di hadapan mak. Tetapi,
di hadapanku jangan haraplah. Sekilas pandang saja aku boleh mengagak bahawa mamat
perasan bagus itu mempunyai agendanya yang tersendiri!
“Iman tak naklah. Tak berkenan! Lagipun, Iman nak
tumpukan pada kerjaya dulu.” Aku cuba mengelak.
“Inilah anak dara zaman sekarang. Lebih pentingkan
kerjaya. Nak kumpul duit tu memanglah bagus, tapi tak rasa rimas ke bila orang
kerap bertanya bila nak kahwin?”
Daripada gaya mak, dah macam nak berfalsafah saja.
Memang aku kena bersiap dari segi fizikal dan mentallah ni.
“Mak, memanglah rasa rimas. Tapi dah jodoh tak sampai,
macam mana nak naik pelamin?”
“Hesy! Ni jodoh dah sampai, kau yang tak nak terima.”
Mak mengerutkan kening.
“Ini lain, mak. Ni bukan jodoh namanya.”
“Habis tu?”
“Bala!”
Pantas mak memukul bahu aku.
“Auwww...
Sakitlah mak.” Dahi aku hampir bercantum. Terasa berbisa bahu aku menerima
habuan telapak tangan mak.
“Suka hati aje cakap macam tu. Jadi bala betul-betul
baru tau!”
Aku memuncungkan bibir. Silap-silap memang boleh sangkut
hanger pada mulut aku.
“Dah, tak payah mulut tu nak jadi macam muncung itik
kepala hijau. Sekarang ni, bagi mak tiga sebab. Kenapa kau tolak pinangan budak
Rieyzal tu.”
Aku terpinga. Ada pula samakan muncung aku dengan
muncung itik kepala hijau? Tak ada perumpamaan lain agaknya? Ah, tak kisahlah.
Kalau mak betul-betul nak sebab, itu setakat kacang goreng. Bukan setakat tiga,
seribu satu sebab pun aku boleh bagi!
“Okey, kalau mak nak tahu sangat, terpaksalah Iman bagi
tahu. Pertama, dia tu selekeh. Orang perempuan ni manalah nak suka dekat lelaki
yang selekeh macam dia. Rambut tu pulak entah-entah tak berbasuh selama
berbulan-bulan. Eii... Siapa nak laki yang macam tu?” Aku mengutuk Rieyzal
selamba.
“Kedua, dia bekerja sebagai peladang sawit, kalau mak
nak taulah. Mampu ke kalau dia nak sara Iman? Kalau anak Iman dah
berbelas-belas orang, gaji dia tu tak cukup punya mak. Percayalah cakap Iman
ni. Itulah... Dulu, masa SPM main-main, duk hangat bercinta dengan orang lain!
Tengok anak mak ni, bagus aje dapat straight
A tau.” Dalam sibuk mengutuk itu, sempat pula aku memuji diri aku sendiri.
Bagus ya amat!
“Kamu ni...”
Baru sahaja mak hendak menyampuk, aku sudah
menghalangnya daripada berbicara.
“Eh, sabarlah dulu mak. Orang belum habis cakap lagi.
Ini yang paling akhir tau. Lepas tu, dengan jayanya Iman bolehlah tolak
pinangan dia. Yang ketiga pulak, dia tu sangat biadab. Kurang ajar dan bukanlah
seperti yang mak cakapkan tadi. Iman kenal dia dah lamalah mak. Masa Iman
sekolah menengah lagi. So, Iman
tahulah macam mana perangai dia yang sebenar!” Aku membalas dengan panjang
lebar.
Biar mak tahu yang aku sangat-sangat tidak berkenan
dengan mamat perasan bagus tu!
Mak dah terdiam. Nampak macam nak mempertimbangkan balik
permintaan anak sulungnya iaitu aku. Please,
please, please... Dalam hati, aku seolah-olah membaca mantera supaya mak
terima penolakan aku.
“Mak, boleh tak ni? Tolong pulangkan balik cincin dia.
Iman tak nak hidup dengan dia.” Aku merenung wajah mak, tapi mak senyap saja
lagi.
Hesy, tak boleh jadi ni. Aku kena buat sesuatu! Nafas
mula ditarik dalam-dalam. Tapi, adakah benar tindakanku untuk meluah segalanya?
“Err... Lagipun, Iman dah ada pilihan hati sendiri...”
“Maksud kau, Iman?” Mak yang dari tadi senyap nampak
tertarik mahu mendengar apa yang ingin aku katakan.
“Iman dah ada orang yang Iman suka. Walaupun kami belum declare lagi, tapi Iman nak kahwin
dengan dia,” kataku perlahan.
Serba salah juga kerana terpaksa menipu ibu kandungku
sendiri. Tetapi, aku sanggup berbuat apa sahaja, janji aku tidak perlu
berkahwin dengan mamat perasan bagus itu!
Mak sudah tersenyum mendengarnya. “Ya ke Iman? Betul ke
kau dah ada orang yang kau suka?”
“Erk... Betullah. Mak tak percaya ke?” tanyaku dengan
nada cuak. Takkanlah penipuan yang aku reka ini tak sampai lima minit dah
terbongkar?
“Mak kenal kau dah lamalah Iman. Jadi, alasan kau tu dah
lapuk. Hah, kalau betullah apa yang kau cakapkan tu, suruhlah dia masuk meminang.
Mak teringin jugak nak tengok, siapa lelaki yang berjaya rebut sekeping hati
keras milik anak mak ni.”
Aku dah garu kepala yang tidak gatal. Mak dapat teka
dengan mudahlah pula. Tapi, mak nak suruh aku tunjukkan si dia yang entah siapa
tu. Aduh, rumit, rumit! Kahwin ni memang wajib ke untuk gadis macam aku? Terasa
macam nak soal saja mak dengan soalan itu, namun ia sekadar terlepas dalam
hati.
“Iman, ingatlah, kalau dah sampai jodoh untuk kita, kita
tak boleh nak lari ke mana. Kita ni kahwin sebab nak ikut sunnah nabi. Tak
salah rasanya kalau kau pun nak juga menuju ke arah itu.” Mak bersuara lembut,
membuatkan lidah aku sedikit terkelu.
“Tapi, Iman tak nak kahwin dengan mamat perasan bagus tu.”
“Hmm... Yalah, nanti mak hantar balik cincin tu dekat
dia. Tapi, dengan syarat. Kau kena suruh calon suami kau tu meminang dalam masa
tiga bulan ni. Kalau tak, mak akan kahwinkan jugak kau dengan Rieyzal tu.
Faham?”
Alahai, kejamnya syarat ni. Mana ada kalau aku nak
berkenalan dengan lelaki lain dalam masa tiga bulan, kemudian terus ajak kahwin.
Nanti sah-sah dikata yang aku ini gatal pula orangnya.
“Mak...” Aku bersuara, ingin merayu kepada mak supaya
tarik balik syaratnya.
“Tak ada, tak ada! Kau kena dengar cakap mak. Kau tu dah
makin berusia, nanti kalau kau dah tua, siapa yang nakkan kau ni? Entah-entah
orang tua jugak yang kahwin dengan kau.” Serentak itu mak tergelak kuat.
Mesti sudah terbayangkan bahawa aku sedang bersanding
dengan orang tua yang tak ada gigi!
Huwaaa... Kejamnya mak ni. Mintak-mintaklah itu semua tidak menjadi kenyataan.
Bila mak menyebut perkataan orang tua, serta-merta wajah Dato’ Ghani terlayar
dalam minda. Argh! Tidak! Aku tak nak kahwin dengan orang tua!!!
WAJAHKU pagi itu kelihatan pucat dan tidak bermaya. Selepas maghrib,
barulah aku bertolak pulang ke Kuala Lumpur memandangkan duduk di kampung aku
rasa macam tak aman. Lebih-lebih lagi si mamat perasan bagus tu memang kerja di
situ. Lagilah sakit jiwa dibuatnya.
Sudahnya, aku balik terus ke Kuala Lumpur walaupun
cutiku masih berbaki sehari lagi. Argh... biarlah. Sekali-sekali rehatkan minda
di apartmen ini pun boleh release tension
juga.
“Weh, Iman. Kau pergi kerja tak pagi ni?” tanya Alina
yang sudah berpakaian lengkap untuk ke pejabat.
Aku hanya menggeleng. Cutiku masih ada sehari lagi, jadi
aku rasa tak payahlah pergi kerja hari ini. Lagipun, tak tahu kenapa aku rasa
tak sihat sekarang ini.
“Kau demam ke apa ni? Nak aku hantar kau ke klinik tak?”
tanya Alina prihatin.
“Tak sangka. Ada jugak orang yang ambil berat pasal
aku...” Sengaja aku berkata sebegitu. Konon-kononnya terharu gila babenglah bila ada orang ambil tahu
tentang aku.
Alina hanya mencebik. “Yalah, Iman. Panadol ada dalam
peti ais. Nanti kau makanlah ek. Oh ya, buat pengetahuan kau, bukan aku sorang aje
tau yang ambil berat pasal kau.”
Aku sudah berkerut dahi mendengar kata-kata Alina yang
penuh makna dan mendalam. “Huh? Maksud kau?”
“Tunang kaulah, apa lagi. Muka dia risau aje sepanjang
aku nampak dia dekat opis. Masa tu, kita orang tengah mesyuarat, dia sempat
lagi termenung. Kantoi dia risaukan kau, weh. Mulanya aku nak bagi alamat rumah
kita ni dekat dia, tapi memandangkan bukan mahram, mana boleh bagi sesuka hati aje,”
jelas Alina panjang lebar.
“Erk! Siapa weh?” tanya aku pantas. Walaupun aku seperti
dapat mengagak sahaja siapakah orang itu.
Alina sudah tersenyum meleret. “Dato’ Ghanilah...”
“Hah?!” Aku sudah terjerit kecil.
Eeuuww... Biar betul si Alina ni! Kalau budak ofis yang handsome-handsome ke, tak apalah juga.
Ini? Dato’ Ghani tu? Heh. Memang sebelah mata saja aku pandang.
“Gurau ajelah. Of courselah
Encik Irsyad. Mamat yang handsome tu,”
balas Alina sambil tersengih lagi. “Eh, kau bertunang dengan dia tak cerita pun
dekat aku, kan? Sampai hati...”
“Kau ni, bertunang mana boleh heboh...” Buat seketika
aku mula tersedar dan dapat mencerna dengan baik apa yang Alina cakapkan tu.
“Eh, wait! Siapa pulak yang cakap aku
bertunang dengan dia?” soalku seraya mengerutkan dahi.
Tiba-tiba aku rasa macam tak sedap hati. Setahu aku,
yang tahu pasal ini cuma Dato’ Ghani saja. Takkan waktu aku nak minta cuti
daripad Dato’ Ghani, ada orang lain dengar sekali? Dah sudah. Siapa yang jadi
tukang sampai berita tak bertauliah ni? Kalau dapat kat aku, memang lumat aku
kerjakan!
“Bos miang tulah bagi tau. Dia cakap, dia nak buat
majlis untuk kau dengan Encik Irsyad.”
What?! Serentak itu, aku terasa mahu pengsan. Ya Allah... Memang
betullah apa yang aku cakap dekat mak aku tu. Bala memang betul-betul kena
tepat pada aku. Entah untuk kali ke berapa, aku sendiri tidak tahu. Yang aku
tahu, pandangan mataku mula terasa kabur dan akhirnya aku rebah akibat tidak
sedarkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan