Sakitnya tuh di
sini, di
dalam hatiku...
Sakitnya tuh di
sini, melihat
kau selingkuh...
Sakitnya tuh di
sini, pas
kena hatiku...
Sakitnya tuh di
sini, kau
menduakan aku!
Wafa mencampak
kasar beg tangannya di atas sofa. Dia campak sekuat hati sama seperti yang
pernah Idham buat bila lelaki itu mencampak buang hati dia dulu. Lelaki tak
guna!
“Hoi, Fa! Kau kenapa ni? Masuk-masuk butik mulut muncung
macam tu. Apasal?” tegur Ika yang dah sah tak tahu-menahu. Angin tak ada, ribut
pun tak ada. Tiba-tiba saja Wafa nak mengamuk ni, dah kenapa?
“Kau tutup lagu tu sekarang. Kau tutup cepat!” jerit
Wafa macam orang dah hilang sabar. Siap bercekak pingang lagi. Berjalan
mundar-mandir tak tentu hala.
Eee, dia tengah geram! Dia rasa nak marah, nak mengamuk,
nak kokak-kokak orang! Berani betul Idham buat dia macam ni?! Apa, lelaki itu
ingat dia ni tak ada perasaan ke apa? Tak ada hati? Sampai hati betul lelaki tu
kan!
Bila Ika tengok Wafa dah marah-marah seperti itu, cepat
dia tutup lagu yang tengah terpasang pada handphonenya.
Senyap terus keadaan.
“Kau kenapa, Wafa? Ada masalah ke? Cuba cerita dekat
aku. Apa yang tak kenanya?” tanya Ika dengan kepala terdongak pandang atas.
Naik pening pula kepalanya tengok kawannya itu bergerak ke kiri dan kanan.
“Memang semuanya serba tak kena! Kau tahu apa yang Idham
dah buat dekat aku? Kau tahu dia buat apa?!”
Kening Ika berkerut-kerut. Dia angkat bahu. Entah,
manalah dia tahu apa yang lelaki itu dah buat pada Wafa. Kalau tahu, tak adalah
dia tanya kenapa dan blur macam ini. “Dia buat apa dekat kau?”
“Dia WhatsApp aku cakap dia nak kahwin. Kahwin dengan
perempuan tu, Ika!”
Hah? Ika yang mendengar terus terlopong mulut. Wau,
cerita hangat ni!
“Apa motif dia bagi tahu aku yang dia nak kahwin? Nak
kahwin tu, kahwin ajelah. Ada kaitan dengan aku ke? Cuba kau bagi tahu aku,
Ika. Perlu ke dia bagi tahu aku yang dia nak kahwin? Eee, dia memang sengaja
nak sakitkan hati akulah tu. Eee!”
“Err...” Ika tak tahu nak komen apa. Patutlah Wafa tak
boleh dengar lagu Sakitnya Tuh Di Sini tadi. Tengah sakit hati rupanya. Huhuhu.
Sabarlah, wahai sahabat.
“Aku ni sikit pun tak hadaplah dia nak kahwin. Aku tak
peduli langsung!” bebel Wafa lagi. Meluahkan semua rasa sakit yang berbuku
dalam hati.
Ya, dia memang tak peduli. Idham nak kahwin ke, bercerai
ke, apa ke, dia dah tak mahu ambil tahu! Buatlah apa pun. Semua itu dah tak ada
kena-mengena dengan diri dia. Dia tak ganggu Idham dan janganlah lelaki itu nak
ganggu hidup dia pula! Heh!
Selepas kes dua bulan yang lepas, memang dia dah tak
berhubung langsung dengan Idham. Sejak lelaki itu kantoi ada perempuan lain,
tak ingin lagi dia nak ambil tahu pasal bekas kekasihnya itu. Terbongkang ka, apa ka, biaq pilah!
Tapi, yang dia angin satu badan bila lelaki itu suka
sangat kacau hidup dia. Sibuk nak bagi tahu kisah hidup dia dengan makwe baru
dia itu. Kadang-kadang, boleh pula bekas kekasihnya itu hantar direct message yang ada gambar-gambar dua malaun itu pergi shoppinglah, makanlah, apalah, dekat
Instagram dia. Sebagai manusia biasa, boleh ke kalau dia tak rasa sakit hati
bila bekas kekasihnya buat macam itu? Mana boleh!
Sudahlah tak setia, penipu pula tu! Boleh pula berdepan
dengan dia macam tak ada apa yang berlaku. Tak cukup tag di FB dan Instagram, di WhatsApp pun dia dapat gambar-gambar
yang menyakitkan hati milik malaun dua orang itu. Haih, memang dia orang saja
nak mintak kaki betul!
“Sabarlah, Wafa. Kau kata kau tak hadap, tak peduli,
kan? Tapi, kau duk membebel, hangin macam
ni kenapa? Biar ajelah si Idham tu. Jangan dilayan. Abaikan aje orang yang tak
berapa nak betul macam tu,” pujuk Ika. Cuba meredakan hati kawannya yang tengah
panas itu.
Wafa pandang tajam dekat Ika. “Memanglah. Tapi,
masalahnya sekarang ni, aku tengah sakit hati. Kau faham tak? Sakit hati!”
“Ya, aku faham kau tengah sakit hati. Tapi, kau bukan
boleh buat apa pun. Alah, move on
ajelah, Fa. Biarkan aje dia orang tu.”
“Senang aje kau suruh aku move on kan, Ika? Kalaulah semudah ABC move on tu, dah lama aku move
on. Masalahnya sekarang ni, aku tak boleh. Lima tahun kut aku dengan dia. Last-last jadi macam ni. Frustlah jugak aku.” Mulalah Wafa sebak
Mengenang kisah lama.
Lima tahun dia setia dengan Idham. Lima tahun kut! Kalau
ada anak, dah masuk tadika dah anak dia. Tapi, akhirnya jadi macam ini. Idham
dengan perempuan lain, dia pula terkapai-kapai sakit hati seorang diri. Apa
salah dia? Di mana silapnya dia sampai Idham cari perempuan lain pun, dia tak
tahu.
Ke, lelaki sekarang ini memang spesies yang tak reti nak
puas dan setia dengan seorang perempuan saja? Kenapa mesti nak kena ada ramai
skandal? Haih, memang tak guna betullah lelaki macam tu!
“Kau faham tak maksud move on tu, Wafa? Move on
tu maksudnya kau kena lupakan Idham. Mulakan hidup baru. Cuba kenal lelaki
lain. Cuba buka hati kau tu untuk orang lain. Ni, dah kau duk layan rasa kecewa
tu, sampai bilalah kau nak move on?
Kau tengok Idham tu. Dah nak kahwin dah. Kau pulak? Sorang-sorang frust menonggeng sebab putus cinta.
Sadis aku yang tengok ni tau tak!”
Terdiam Wafa bila dengar Ika cakap macam itu. Bila
fikirkan balik kata-kata Ika itu, hilang terus rasa sebak yang ada dalam hati.
Muncul pula rasa semangat nak teruskan hidup dan lupakan semua cerita lama.
Berkobar-kobar dia jadinya. “So, kau
rasa apa patut aku buat?”
“La, kan aku dah cakap tadi. Kau kena move on, Wafa!” Ika menggeleng kepala.
Haih, penat pula dia bercakap dengan perempuan ini. Tak
faham-faham lagi dengan maksud dia. Penat saja dia duk menerangkan dari tadi.
Wafa diam, berfikir sekejap. Emm, macam mana nak buat supaya
dia cepat move on ya?
“Hah! Aku dah tahu macam mana cara aku nak cepat move on. Aku dah nekad. Aku pun nak
kahwin macam dia kahwin jugaklah!” ucapnya tiba-tiba.
Ika melopong lagi. Ah, sudah Wafa ni! Keluar dah idea
sengal dia.
“Kau nak kahwin dengan siapa? Ada calon dah ke?” soal
Ika. Setahunya, Wafa mana pernah ada someone
special selain si Idham itu. Ke, dia saja yang tak tahu?
Semangat nak move
on yang terpancar pada muka Wafa tadi, terus memudar serta-merta lepas
mendengar soalan cepumas Ika pasal calon. Itulah! Mulut main cakap saja, otak
tak fikir langsung. Sekarang ini, dia nak kahwin dengan siapa? Calon suami seorang
pun tak ada. Alahai!
“Kejap!” Ika bersuara tiba-tiba. “Aku kenalkan kau
dengan abang sepupu aku nak?”
Wafa buat muka macam tak rela. Biar betul Ika ni?
“Err... Abang sepupu kau? Siapa? Aku kenal ke? Muka handsome tak?”
“Ceh, demand betullah
kau ni! Kira okeylah aku ada calon untuk kau tau. Alah, kau tunggu ajelah.
Nanti aku kenalkan dia dekat kau eh.”
Wafa rasa macam nak percaya dengan tak nak percaya saja
si Ika ini. Kawannya itu bukannya betul sangat. Datang mood sengal dia, orang gila pun boleh jadi abang sepupu dia. Lepas itu,
nak kenalkan dekat dia pula. Eh, tak mahulah dia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan