Bab 7
Tengku Dahlia tersenyum
senang hati melihatkan kemunculan Adam di bilik pejabatnya seawal pagi tadi.
Adam begitu kemas dan kacak dengan sut pejabat serba lengkap berwarna biru
gelap itu.
Dia terkejut dan hairan dengan kehadiran awal cucunya
itu memandangkan Adam meminta tempoh selama seminggu untuk berfikir. Baru
beberapa hari berlalu, tetapi dia sudah membuat keputusan untuk mengambil alih
jawatan CEO di Adam Group. Namun, Tengku Dahlia biarkan saja persoalan itu
kerana baginya paling penting sekarang ialah Tengku Adam setuju untuk mengambil
alih syarikat peninggalan arwah suaminya itu.
“Alhamdulillah. Tercapai juga satu-satunya permintaan
opah supaya Adam ambil alih syarikat ini,” ujar Tengku Dahlia dengan senyuman
yang sentiasa mekar sejak Adam muncul.
Adam tersenyum.
“Alhamdulillah, opah. Adam harap opah dapat merehatkan
diri selepas ni. Serahkan aje semua hal syarikat kat Adam. Insya-Allah, Adam
akan uruskan Adam Group ini sebaik-baiknya,” janji Adam penuh yakin.
“Bagus. Semangat inilah yang opah nak daripada kamu, Adam.
Opah percaya Adam boleh uruskan syarikat ini sebaik arwah atuk dan ayah kamu.”
Suara Tengku Dahlia berubah sayu apabila menyebut mengenai arwah suami dan
anaknya.
Adam tertunduk sedikit mendengarkan kata-kata Tengku
Dahlia. Hatinya berubah sayu mengingatkan arwah atuk dan ayahnya.
“Ayah kamu selalu cakap dengan opah yang kamu tak akan
hampakan harapan kami untuk terajui Adam Group ini. Alhamdulillah, kata-katanya
itu menjadi kenyataan hari ini. Opah bersyukur sangat, Adam. Opah memang hanya
ada kamu, Adam. Terima kasih, Adam, sebab tak hampakan opah,” ucap Tengku
Dahlia lalu memegang kedua-dua belah tangan Adam.
Adam terpaku. Dia merenung mata sayu Tengku Dahlia. Dalam
hatinya terus terbit perasaan insaf dan bersalah kerana selama ini dia hanya
mementingkan dirinya sendiri serta selalu mengelak untuk menerima tanggungjawab
sebagai CEO Adam Group.
Dia juga tidak menyangka secepat ini dia membuat
keputusan untuk menjadi CEO Adam Group. Salah satu punca dia membuat keputusan
lebih awal daripada dirancangkan ialah disebabkan sesuatu. Sesuatu yang
membuatkan dia terpaksa menepikan kedegilan hati untuk menjadi CEO Adam Group.
Kalau bukan disebabkan perkara itu, memang cukup seminggu dia memikirkan
pelbagai langkah untuk mengelak menjadi CEO Adam Group.
“Opah jangan risau ya. Opah rehat aje kat rumah atau
opah pergi bercuti. Dah lama opah tak pergi bercuti kan sebab kena jaga Adam
Group ni? Adam kan dah ada kat sini. Jadi, urusan syarikat serahkan aje kat
Adam.” Adam cuba meyakinkan Tengku Dahlia dengan janjinya.
Tengku Dahlia terangguk-angguk kecil mendengarkan janji
Adam. Dia melepaskan pegangan pada tangan Adam.
“Yalah. Opah percaya dengan kamu, Adam. Jadi, kalau ada
apa-apa, tanya Encik Samad. Dia akan terangkan semuanya yang terkini tentang syarikat
pada Adam. Umur dia pun sebaya kamu aje, Adam. Encik Samad, tolong Tengku Adam
ni ya,” pinta Tengku Dahlia lalu memandang Samad, setiausahanya yang setia
berdiri di sisinya.
“Baik, Tengku. Insya-Allah, saya akan bantu Tengku Adam
sebaik mungkin,” jawab Samad sambil tersenyum.
Tengku Dahlia tersenyum. Adam hanya mengangguk kecil ke
arah Samad.
Semua pekerja
Adam Group berpusu-pusu menuju ke bilik dewan mini yang terletak di tingkat
tiga itu setelah diarah berbuat demikian oleh setiap ketua jabatan
masing-masing.
Hana dan Lea menuruni tangga menuju ke tingkat tiga itu.
Mereka tidak dapat turun ke tingkat tiga dengan menggunakan lif kerana terlalu
ramai pekerja Adam Group memenuhi lif dan menunggu giliran di depan lif. Mahu
tidak mahu mereka terpaksa menggunakan tangga bersama pekerja yang lain.
“Kau rasa apa sebab kita semua kena berkumpul kat dewan,
eh?” soal Lea.
“Entahlah. Ada benda pentinglah tu kut nak diberitahu,”
balas Hana malas. Dia berasa malas kerana hari ini ialah hari Isnin. Hari yang
membuatkan dia merasakan Sabtu dan Ahad begitu cepat berlalu.
Mereka berdua sudah masuk ke dalam dewan dan mengambil
tempat duduk di barisan belakang sekali kerana barisan hadapan semuanya sudah
penuh. Kelihatan Farah dan Zetty sudah duduk bersilang kaki di barisan depan.
Mereka berdua menoleh ke belakang, memandang Hana dan Lea dengan pandangan
sinis. Hana dan Lea buat-buat tidak nampak akan pandangan mereka itu. Suasana
dewan agak gamat dengan suara para pekerja yang saling bertanya apakah tujuan
utama mereka semua diminta datang ke situ.
“Psttt... Tengok tu, si hot stuff tu,” beritahu Lea lalu menyiku lengan Hana.
Hana terus saja memandang ke pintu masuk dewan. Tidak
berkelip sekali pun matanya apabila menikmati keindahan paras rupa Farouq.
Kelihatan Farouq bersama Kevin yang juga dari jabatan grafik sedang berborak
sambil melangkah ke belakang, mencari tempat duduk.
Hana dan Lea hampir putus nafas dek menahan nafas
apabila Farouq duduk selang dua buah kerusi saja di sebelah kanan mereka. Dua
orang customer service pula yang
duduk di antara mereka. Kalau tidak tentu saja mereka berpeluang merasa duduk
sebelah Farouq. Kalau dapat duduk sebelah-menyebelah, bolehlah pandang muka
kacak itu sepuasnya. Aiseh!
“Assalamualaikum
dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua. Pada hari ini saya ingin
memperkenalkan CEO baru yang akan menggantikan Tengku Dahlia serta-merta
bermula hari ini. Beliau adalah cucu lelaki tunggal Tengku Dahlia iaitu Tengku
Adam,” kata Samad lalu mengundur ke tepi, memberikan ruang untuk Adam berdiri
di depan podium yang diperbuat daripada kayu jati itu.
Semua mata bertumpu ke arah dirinya yang baru muncul
dari belakang pentas itu. Mata Adam memerhati ke seluruh dewan. Serius.
Hana terus saja kaku di tempat duduknya dengan mulut
separuh terbuka. Saat itu dia benar-benar terkejut melihatkan wajah CEO baru
itu. Dia cucu Tengku Dahlia? Oh, my... Alamak!
“Weh, handsome jugak
CEO baru tu. Tapi, macam kenal aje Tengku Adam ni, kan?” Berkerut-kerut dahi
Lea memikirkan siapakah gerangan CEO baru itu yang sepertinya dikenali sahaja.
“Mr. Tak Ada Adab,” beritahu Hana dengan suara lemah.
Dia lemah apabila memikirkan dia pernah sound CEO baru itu minggu lepas. Dan baru
terserempak dengan CEO baru itu di food
court KLCC Sabtu lepas. Dia tidak menyangka lelaki itu muncul di Adam Group
sebagai CEO baru. Adui, macam mana aku nak bersemuka dengan dia ni? bisik
hatinya cemas.
“Hah? Biar betul?” Lea menoleh memandang Hana dengan
mata terbeliak dan mulut ternganga luas.
Hana angguk lemah sambil mengetap bibir bawahnya. Lea
memandang CEO baru mereka dengan pandangan tidak percaya.
“Kacaknya cucu Tengku Dahlia ni. Bos sekacak inilah buat
makin bersemangat nak datang tempat kerja, kan?”
Hana mencebik mendengarkan kata-kata pujian salah
seorang customer service di
sebelahnya itu. Kau orang belum tahu warna sebenar bos baru kau orang ni. Kalau
kau orang tahu dia tu tak ada adab, confirm
kau orang tengah kutuk dia sekarang bukannya puji dia melangit. Heh!
“Apa nama awak?”
Hana terkedu mendengarkan pertanyaan daripada Mr. Tak Ada
Adab yang tiba-tiba saja berdiri di hadapannya. Para pekerja yang sedang
menunggu lif di sekitar situ kaget dengan pertanyaan CEO baru kepada kerani
sepertinya.
Farah dan Zetty sudah terjeling-jeling ke arah Hana. Terutamanya
Farah. Farah benar-benar berasa tercabar kerana dia berdiri di sebelah Hana
saja, namun Hana pula yang ditanya oleh CEO baru itu. Apalah yang menarik
sangat si minah kolot itu jika dibandingkan dengan dirinya yang serba bergaya
dan cantik menawan? Minah tu bukannya pegang jawatan tinggi pun. Setakat kerani
aje! bentak Farah dalam hati.
“Hana. Nur Hana, Tengku,” balas Hana setenang yang
mungkin.
Adam menunduk sedikit sambil merenung matanya. Hana
cepat-cepat melarikan pandangan ke arah lain kerana tidak tahan dengan renungan
yang semacam baginya.
“Dan awak?” Adam mengalih pandangan kepada Lea yang
sedari tadi sudah terpaku merenung wajahnya. Adam sengaja bertanya nama gadis
itu juga kerana tidak mahu nampak sangat dia cuma bertanya kepada si tudung
bulat.
“Lea, Tengku,” jawab Lea sepantas yang mungkin. Senyuman
semanis mungkin diberikan buat CEO tampan itu. Hati pula berbunga-bunga, berasa
bangga CEO baru menanya namanya. Tidak pernah terjadi dalam kamus hidupnya,
pihak atasan yang berjawatan tinggi apatah lagi memegang jawatan CEO ringan
mulut bertanyakan nama pihak bawahan sepertinya.
Adam terangguk-angguk kecil sambil matanya memerhati
Hana yang sedang membisu seribu bahasa. Pandang dia pun tak. Aih, tak cukup
kacak ke aku ni sampai langsung tidak dipandangnya?
Lif tiba. Adam dan Samad masuk ke dalam lif. Farah dan
Zetty cepat-cepat masuk ke dalam lif kerana mahu satu lif bersama Adam.
Beberapa orang ketua jabatan turut masuk ke dalam lif itu.
Hana memandang Adam yang merenungnya dari dalam lif.
Kakinya terasa melekat pula di lantai itu. Aduhai, kenapa aku rasa lemah
semangat semacam aje ni? Renungan Mr. Tak Ada Adab tu macam ada sesuatu pula.
Bukannya renungan yang positif, tapi renungan negatif!
“Cik Hana, jumpa saya kat bilik pejabat saya lima minit
lagi ya.”
Kata-kata Adam itu mengejutkan semua orang yang berada di
dalam lif mahupun di luar lif.
Hana tersentak.
“Jumpa Tengku?” soal Hana meminta kepastian. Dia takut
dia tersilap dengar atau lelaki itu tersalah cakap.
“Awak tahu saya tak suka buang masa, kan? Jadi, jangan
lambat.” Sebaik saja Adam menghabiskan ayatnya itu, pintu lif tertutup.
Hana tercengang-cengang di situ mendengarkan arahan
berbaur amaran itu. Kata-kata Adam tadi benar-benar mengundang persoalan kepada
semua pekerja di sekitar situ kerana sepertinya mereka berdua sudah kenal lama.
Sementara di dalam lif pula, semua pekerja mula berbisik-bisik sesama sendiri.
Farah pula sudah berubah masam mukanya apabila mendengar
Adam mahu berjumpa dengan Hana. Hana gadis yang paling dia benci di Adam Group.
Benci kerana gadis berpenampilan biasa itu mendapat perhatian CEO baru itu.
Kenapa bukan dirinya yang diminta berjumpa dengan Tengku Adam? Semakin meluat
dia apabila memikirkan tentang Hana.
“Maaf, Tengku. Saya Iman, ketua jabatan pentadbiran.
Kalau Tengku tidak keberatan, boleh saya tahu kenapa Tengku mahu berjumpa
dengan Cik Hana, kerani dari jabatan saya tu?”
Adam menoleh, memandang wanita berusia 40-an yang
berbaju kebaya moden berwarna biru dan selendang hitam itu. Ooo... Kerani
rupanya si tudung bulat tu.
“Saya ada urusan dengan Cik Hana. Dan rasanya puan tak
perlu tahu,” balas Adam dengan penuh bersahaja.
Puan Iman terkedu dan terus tertunduk. Malu kerana
nampak terlalu menyibuk ingin tahu tujuan sebenar Adam ingin berjumpa dengan
Hana. Kena smash ayat sinis depan ketua
jabatan yang lain pula tu. Isy, tak boleh jadi ni. Aku kena tanya juga Hana
selepas dia berjumpa dengan bos baru ni. Pelik juga tiba-tiba saja cucu Tengku
Dahlia itu mahu berjumpa dengan Hana yang hanya memegang jawatan sebagai
seorang kerani pentadbiran saja.
Apa sebenarnya urusan Tengku Adam ini dengan Hana? fikir
Puan Iman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan