“Weh...”
Wafa menoleh ke belakang.
Terus dia buat muka menyampah bila ternampak Karl yang tengah berjalan menuju
ke arahnya. Eee, tak boleh nak tengok dia senang sikit, mulalah muncul mamat
ini. Dia baru saja nak godek-godek telefon tengok gosip terbaru. Dah tergendala
agenda. Heh!
“Awak nak apa, Karl?”
soalnya.
“Aku nak kaulah...”
jawab Karl, mengada.
Dia buka selipar dan
naik ke atas gazebo. Terus dia ambil tempat di tiang dan duduk bersandar di
situ. Petang-petang begini, memang selesa rasanya dapat ambil angin di luar
rumah. Lagi-lagi rumah Mak Jemah ini dikelilingi sawah. Kuat anginnya. Selesa
sampai rasa nak tertidur. Sangat nikmat!
Wafa lihat Karl di depan
matanya. Dia ni, kecil besar, kecil besar saja. Kejadian pagi tadi masih
terlekat di dalam kepala. Rasa segan, malu, geram, menyampah, semuanyalah ada! Ikutkan
hati, memang dia rasa macam tak nak pandang saja mamat di depannya ini.
Tadi, semasa makan
tengah hari pun dia tak ikut sama. Saja dia biarkan Karl dan Mak Jemah saja
yang makan. Lepas dua orang itu makan, baru dia makan. Tak sangguplah haih nak
duduk satu meja dan bertentang mata dengan Karl. Terbayang-bayang ‘komen’
ikhlas lelaki itu tentang asetnya. Eee, tak sukanya!
“Hoi, cincin yang
aku bagi tu mana?” Karl tiba-tiba bertanya apabila dia terlihat jari manis
tangan kiri Wafa yang kosong. Sepatutnya cincin yang dia bagi ada tersarung di
situ.
“Saya simpan.”
“Apasal pulak kau simpan?
Aku dah bagi tu, kau pakai ajelah. Itu tandanya kau dah kena cop dengan aku.”
“Eh, tolong sikit.
Entah masa bila pulak awak dah cop saya. Dah tunang baru dikira kena cop tau.
Ada faham?” Wafa buat muka kerek.
“Lagipun, nanti mak
tu banyak soal. Tak terjawab karang,” sambungnya lagi.
Karl mencebik. Ia-ialah
tu...
Keadaan antara
mereka jadi senyap tiba-tiba. Wafa sibuk membaca gosip baru pasal isu hangat
yang tengah viral di dalam negara. Karl pula hanya diam memerhatikan liuk
lentok daun padi apabila terkena tiupan angin. Masing-masing hanyut dalam dunia
sendiri.
“Wafa...” Karl
tiba-tiba bersuara.
“Emmm...”
“Kau suka jenis
lelaki yang macam mana ya?”
“Tak kisah. Yang
penting, lelaki tu tak curang!” Laju Wafa menjawab. Penuh yakin dengan
jawapannya itu. Mata gadis itu masih terlekat pada telefon.
Karl memandang Wafa.
Tergelak dia mendengar jawapan gadis itu. “Berdendam betul kau dengan Idham tu,
kan?”
Wafa angkat muka
pandang Karl. Siap bagi jelingan tajam lagi kepada lelaki itu. “Jangan sebut
pasal mamat tu lagi, boleh?”
“Kau ni kena move on, Wafa. Kalau kau tak move on, macam mana kau nak hidup dengan
aku nanti? Aku tak nak isteri aku curang dengan aku.”
Kening Wafa
kelihatan berkerut. “Tak ada maknanyalah saya nak curang dengan awak, Karl.”
“Kau kahwin dengan
aku, tapi hati kau masih tak boleh nak lupakan Idham. Bukan curang ke namanya
tu? Walaupun kau tak ada hubungan dengan dia secara lahiriah, tapi dari segi
hati, kau dah tak setia dengan aku. Kau tak suka pasangan kau curang, macam tu jugak
dengan aku. Kau lupa tentang syarat yang aku cakapkan hari tu?”
Wafa hanya diam.
Namun, matanya masih terlekat pada wajah Karl yang setia merenungnya. Satu
keluhan terlepas perlahan. “Bagi saya masa boleh tak?”
“Boleh. Tapi, aku
rasalah kan, kau mesti akan cepat lupakan mamat tu.”
“Apasal awak cakap
macam tu pulak?”
“Yalah, dah dapat
bakal suami punya handsome, hot, comel, maco... Hah, apa lagi? Tak
lamalah tu kau nak jatuh cinta dekat aku.”
Elok-elok dia tengah
berada dalam mood serius, Wafa terus
tergelak apabila mendengar ayat lelaki itu. Amboi, cakap tak pandang kiri kanan
langsung. Perasan bagus sungguh.
“Jatuh cinta dengan
awak? Hahaha! Memang taklah, Karl!”
“Kau ni, kalau
bercakap tak payah nak confident
sangat boleh? Ingat sikit, Wafa. Jangan cakap main ikut dan aje. Sekarang ni, memanglah.
Aku tunjukkan perangai aku yang sengal-sengal aje dekat kau. Lepas kahwin
nanti, kau jangan terkejut pulak. Masa tu, aku akan jadi suami kau yang paling
romantik, paling seksi, paling menggoda, paling caring yang pernah ada dekat dalam dunia ni. Mau terguling-guling
kau jatuh cinta dekat aku nanti!”
Allah! Wafa rasa nak
muntoh hijo selepas mendengar ayat
Karl itu. Perasan gila kut mamat ni! “Ceh, setakat lelaki sengal macam awak ni,
apalah sangat!”
Karl buntangkan
mata. Lelaki sengal dia panggil aku?!
“Tak apa, tak apa.
Kau tengok ajelah nanti. Selesai aje akad nikah, aku terus tunjuk cara-cara
macam mana nak menggoda perempuan dekat kau. Kau tunggu ya, sayang...” Dia
tayang muka gatal.
Allah! Sekali lagi
Wafa rasa nak muntah. Kali ini, bukan muntoh
hijo. Muntoh pelangi terus!
SAKIT hati!
Ya, memang dia
tengah rasa sakit seluruh jiwa dan raga. Malam-malam begini memang dah jadi
rutin dia menggodek-godek gambar di Instagram. Biasanya kalau dia rajin, dia
akan balas komen daripada pelanggan yang follow
akaun rasmi Istagram Butik Sweet-Sweet Counture miliknya dan Ika.
Dah habis soal
kerja, dia log masuklah akaun Instagram sendiri pula. Tup-tup, muka Idham
dengan bakal isteri dia yang terpampang pada skrin iPhone 6 Plus yang baru dibeli.
Alahai, merosakkan mood betullah!
“Dinner with my wife to be...” ajuk Wafa dengan muka menyampah bila
baca kapsyen pada gambar Idham itu.
Dulu, masa tengah
bercinta dengan dia, tak adalah pula lelaki itu nak upload gambar-gambar macam ini. Eee, benci! Kalau ada ikon dislike dalam Intagram ini, memang
berjuta-juta dislike dah dia bagi.
Heh!
Walaupun rasa
menyampah makin membuak-buak dalam hati, tapi Wafa dengan gatal tangannya terus
tekan skrin untuk melihat profil Idham. Rasa tak tahan nak stalk akaun Instagram bekas kekasihnya itu. Apa lagi, berdesup-desuplah
keluar gambar-gambar baru pasangan kekasih itu. Amboi, banyaknya!
#sayangyouketatketat
#happymoments
#cintasampaiJannah
#hanyaakucintakauseorang
#iloveyousayang
Wafa sampai
tergigit-gigit bibir bila baca hashtag
yang Idham letak pada setiap gambar yang ada. Itu baru sikit, berlambak-lambak
lagi yang ada sebenarnya. #ourlovestorylah,
#youandmelah, #prayforuslah kononnya. Phuiii!
Daripada doa untuk dia orang berdua ini, lebih baik Wafa doa untuk
mangsa-mangsa kekejaman tentera Zionis di luar negara sana. Lagi bagus dan
berfaedah. Heh!
Tipulah kalau dia
kata dia tak rasa sedih. Bila dia tengok gambar-gambar Idham masa makan, tengok
wayang, window shopping dengan si perempuan bernama Elli itu,
buat dia teringat semula kenangan lama. Semua itu dia pernah buat bersama-sama
dengan Idham dulu. Hurm...
Tapi, nak sedih pun dah
tak ada guna. Dia dengan Idham memang tak akan bersatu sampai bila-bila. Idham dah
pernah curang sekali dengan dia. Kalau lelaki itu datang semula pun, memang dia
tak akan terima. Dia benci dengan lelaki yang tak setia!
Bila rasa benci dah
mula nak kuasai diri balik, tiba-tiba dia dapat idea. Dah alang-alang nak
tunjuk kepada Idham yang dia pun boleh bahagia, baik tunjuk kaw-kaw punya! Daripada berbaring di sofa,
Wafa bangun dan bergerak menuju ke bilik Karl. Harap-haraplah lelaki itu tak
tidur lagi.
Pintu bilik Karl,
dia ketuk. Adalah dalam lima kali ketukan, baru pintu itu terbuka. Karl berdiri
dengan muka pelik memandangnya.
“Hah, kenapa?”
“Busy ke?” Wafa cuba mengintai ke dalam
bilik Karl. Dia ternampak Macbook Karl yang tengah terpasang di atas katil.
“Ada kerja sikit.
Kenapa, Wafa?”
“Saya nak ajak awak
lepak kejap.”
Berkerut kening Karl
bila mendengar kata-kata perempuan itu. Melepak? Ceh, kaki lepak juga rupanya
minah ni!
“Nak lepak dekat
mana malam-malam macam ni? Mengamuk Mak Jemah tu karang.”
“Nak mengamuk
apanya? Saya nak ajak awak lepak dekat ruang tamu depan tu aje kut. Ada benda
nak bincang sikit.”
“Hmm, ingatkan nak
lepak dekat mana ke.” Karl berkira-kira sekejap.
Nak lepak ke, nak
semak laporan projek itu? Emmm, lepaklah. Bakal isteri kan lagi penting. Karl
membuntuti Wafa yang dah berjalan ke ruang tamu. Dia turut ikut duduk bersila
bila lihat Wafa dah buat seperti itu di tengah-tengah ruangan luas itu. Dah
macam orang nak bertapalah pula mereka.
“Kau nak bincang apa
ni, Wafa?” Mata Karl terarah kepada Wafa. Perempuan itu membalas pandangannya.
“Awak tahu kan
kenapa saya nak kahwin?”
Karl anggukkan
kepala. “Tahu.”
“Saya nak mintak
tolong ni.”
“Tolong apa pulak?”
“Tolong berlakon.”
“Hah?” Kening Karl
mula bercantum. “Berlakon? Kau ni agak-agaklah pun. Aku ni bukannya pelakon,
Wafa oi. Aku ni businessman. Tapi,
kalau nak harapkan muka, setakat nak jadi pelakon memang dah lepas sangatlah.
Pelakon paling handsome pulak tu.”
Eee, Wafa rasa macam
nak sepak saja muka si Karl ni. Kalau tak perasan tak boleh ke?
“Awak ni kalau
serius sikit boleh tak? Jangan nak main-main,” ujarnya, serius.
“Mana ada aku
main-main. Kau tu yang tak cakap terang-terang, Wafa. Salahkan aku pulak.”
Wafa menjeling muka
Karl. Ada saja jawapan lelaki itu!
“Macam ni, saya nak
kita pergi semua tempat yang Idham biasa pergi. Saya nak dia nampak saya dengan
dengan awak. Nampak saya bahagia dengan awak. Boleh?” Wafa ceritakan
rancangannya.
“Macam mana kita nak
pastikan yang kita ada dekat tempat yang sama dengan dia?”
“Saya stalklah Insta dia. Dia apa-apa hal
mesti update dekat situ punya.”
Terangkat kedua-dua
belah kening Karl. Amboi, perempuan ni! Mesti memang selalu stalk Insta mamat Idham tu. Perempuan,
perempuan...
“Awak boleh tolong
tak ni?” tanya Wafa. Mengharap sangat suaranya.
“Boleh. Aku boleh
tolong. Tapi, ada syarat.”
Wafa buat muka tak
puas hati. Ini tak suka ni. Main syarat-syarat pula!
“Aku tak nak dengar
kau kompelin pasal lakonan aku. Apa yang aku buat, kau ikut aje. Tak bayar nak
bising-bising. Okey?”
“Itu aje? Okay,
deal!” Wafa setuju tanpa banyak komen. Setakat itu saja syaratnya, memang
sah-sahlah boleh.
“Ada apa-apa lagi
kau nak bincang, Wafa?”
Wafa menggeleng
kepala. “Nope!”
“Good. Kalau macam tu, aku nak sambung buat
kerja aku balik. Kau tu jangan nak tidur lewat sangat. Nak dekat pukul 1.00 dah
ni.” Karl mula bangun, berdiri di depan Wafa.
Wafa mendongak
pandang Karl. “Okey, bos! Nanti kalau nak berak, kejut saya lagi eh? Nanti saya
bawak awak pi toilet yang tak ada
pintu tu lagi. Hihihi!”
Karl ketap gigi. Belum
sempat dia nak balas kata-kata perempuan itu, Wafa dah cabut lari. Haih, sempat
pula bakal isterinya itu memerli dia ya. Gigit karang! Grrr!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan