Karl
berdiri tegak sambil berpeluk tubuh di depan pintu utama. Suasana pagi di rumah
Mak Jemah terasa sangat sejuk. Dia berjalan ke beranda rumah. Menikmati permandangan
sawah padi yang terhampar menghijau di depan matanya. Buat dia rasa tenang dan
nyaman. Dia rasa sangat selesa.
Sedang dia menikmati
keindahan pagi itu, matanya terpandang Mak Jemah yang sedang duduk di gazebo
seorang diri. Dia pakai selipar dan menuju ke situ.
“Selamat pagi, mak cik,”
sapanya lembut.
“Eh, pagi, Karl.
Awal kamu bangun?” Mak Jemah ukir senyuman buat anak muda itu. Karl disuruh
duduk menemaninya di situ.
“Dah terbiasa, mak
cik,” jawab Karl sambil tersengih.
“Hah, eloklah. Tu,
si Wafa tu, waktu macam ni terbongkang lagi dekat dalam bilik. Bukan reti nak
bangun awal kalau hari cuti macam ni.” Sempat lagi Mak Jemah menyindir anaknya
sendiri itu sebelum menyambung ayat semula.
“Ni... mak cik ada
benda nak tanya sikit ni.” Mak Jemah membetulkan duduknya.
“Tanya apa, mak
cik?”
“Mak cik tahu kenapa
Wafa tu tiba-tiba aje nak kahwin. Dia tu mesti nak kahwin sebab bekas boipren dia, si Idham tu kahwin, kan?
Dan, mak cik rasa kamu pun tahu pasal tu. Yang mak cik tak faham, kenapa kamu
pun boleh terjebak sama dalam rancangan dia tu? Mak cik tak rasa kamu dengan Wafa
ada hubungan. Betul tak?”
Karl diam, berfikir
untuk menyusun ayat. Dia macam tak percaya saja yang Mak Jemah berjaya meneka
agenda di sebalik rancangan perkahwinan dia dan Wafa. Emmm, betullah kata
orang. Seorang ibu memang serba tahu. Lagi-lagi soal anak sendiri.
“Ya, mak cik. Pasal
Idham tu, memang saya dah tahu. Ika dah cerita semuanya.”
“Kamu kenal Ika?”
Terkejut Mak Jemah apabila mendengar Karl menyebut nama kawan baik anaknya itu.
“Ika tu sepupu saya,
mak cik. Dia yang kenalkan saya dengan Wafa.”
Mak Jemah angguk-anggukkan
kepala. Kiranya kalau Karl buat hal dengan anak dia, tahulah dia nak cari siapa
nanti. Si Ika yang kenenkan dia orang
ni rupanya.
“Hah, dah tu yang
kamu join rancangan sengal anak mak
cik tu kenapa?” soal dia lagi.
“Sebenarnya, saya
pun tak tahu macam mana saya boleh setuju dengan rancangan gila dia tu, mak
cik.” Karl garu-garu kening.
Kalau boleh memang dia
tak nak Mak Jemah tahu kenapa dia setuju. Takkanlah dia nak cakap sebab dia
bosan duduk seorang di rumah? Lepas itu, nak jadikan anak wanita itu sebagai
bahan buliannya? Sah-sahlah meradang Mak Jemah ni nanti!
“Pulak? Dah tu, kamu
dengan Wafa tu nak main kahwin ajelah ya?”
“Errr... Lebih
kurang macam tulah, mak cik.”
Mak Jemah tepuk
dahi. Geram pula dia dengan dua orang budak ini. Soal kahwin dia orang buat
main-main? Dia orang ingat, ini kahwin main-main macam zaman budak kecil
dulu-dulu itu ke? Kau jadi mak, aku jadi bapak? Haih, parah!
“Kamu ni biar betul,
Karl oi? Zaman sekarang ni mana ada dah orang kahwin sebelum bercinta-cinta ni?
Zaman dulu adalah. Sekarang ni mak bapak nak carikan jodoh pun anak-anak dah tak
berapa nak berkenan. Konon tak boleh kahwin kalau tak kenal, kalau tak cinta
ni. Mak cik tak nak nanti, tak sampai dua Ahad, kau orang dah sibuk nak
bercerai. Kamu tu bukan tahu sangat perangai Wafa tu. Datang perangai sengal
dia, tak tahan kamu.” Panjang berjela Mak Jemah bagi saranan.
Budak zaman sekarang
ini bukan reti nak fikir panjang. Main ikut dan saja!
“Saya mengaku sekarang
ni saya memang tak cintakan Wafa. Tapi, saya tak jamin kalau perasaan tu tak
datang lepas kami kahwin nanti, mak cik. Wafa sendiri pernah cakap dengan saya,
selagi tak kahwin, kami tak tahu apa yang akan jadi di kemudian hari. Nak tahu
semua tu, kenalah kahwin dulu.” Karl cuba berbicara sejujur mungkin. Siap quote ayat Wafa lagi tu. Tak boleh blah langsung!
Mak Jemah mengeluh
perlahan. “Biar Wafa seorang aje yang sengal. Jangan kamu pun ikut sengal,
Karl!”
Buk! Karl rasa macam
kena penumbuk. Tak pasal-pasal kena sengal dengan Mak Jemah di pagi-pagi hari
macam ini. Adeh!
“Errr...” Dia dah
tak tahu nak kata apa.
“Wafa tu boleh
dikatakan muda lagi. Kadang-kadang, bila mahukan sesuatu, dia ikutkan hati.
Bukan sedar apa yang dia cakap. Entah betul, entah tidak. Kamu tu, kalau nak
jadi suami, biar jadi suami yang membimbing. Jangan kamu yang terumbang-ambing!
Faham?” ucap Mak Jemah sambil mengerling dekat lelaki muda itu.
Karl yang nampak
kerlingan itu hanya mampu tersengih. Hailah...
Kena lagi dia!
KARL cuba membuka pintu bilik Wafa. Klik! Bagus! Perempuan tu tak
kunci pintu rupanya. Lagi senang kerjanya. Ini kalau Mak Jemah tahu apa yang
dia buat, mampuih kena maki!
Kepala dipanjangkan
ke dalam. Sebelum nak masuk, dia intai dulu keadaan di dalam bilik. Selamat ke
tidak. Dibuatnya Wafa sudah bangun tidur, rosak rancangannya. Bila dia tengok
keadaan sunyi sepi dan satu tubuh tengah elok landing di atas katil, terus kakinya melangkah masuk dengan keadaan
terjingkit-jingkit. Tak mahu menyedarkan perempuan itu daripada lena.
Karl letak satu
bekas di meja kecil di sisi katil bersaiz queen
itu. Kemudian, dia pandang Wafa yang tengah baring terlentang sambil bercekak
pinggang.
“Ooo... Bukan main
kau kenakan aku semalam, kan? Tak pasal-pasal aku kena mandi, berak dekat
belakang sana tu. Padahal, bilik air mak kau bukan main lawa lagi dekat dalam
rumah, kau suruh aku mandi dekat tempat yang dah berlumut tu. Kau ni kan...
memang nak kena!” omel Karl sendirian. Tengok muka Wafa yang tengah lena itu, rasa
macam nak cubit-cubit saja. Geram!
Nasib baiklah Mak
Jemah terbuka cerita pasal bilik air dan tandas yang terletak di sebelah dapur
tadi. Kalau tidak, terpaksalah dia mandi lagi di bilik air lama itu. Dan, dia
pun satu juga. Tak perasan langsung ada bilik air yang terletak bersebelahan dengan
dapur. Tadi masa dia mandi dekat situ, pergh... lawo gila! Siap ada shower
lagi. Lantai marmar. Memang selesa habislah!
Paling buat dia
sakit hati, kes malam tadi. Siapa saja yang tak rasa malu bila terpaksa berak
tak tutup pintu? Rasa macam terdedah satu badan sangat! Nasib baiklah hari
malam, kalau siang? Argh, tak sanggup dia nak bayangkan!
Matanya kembali ke arah
Wafa. Dalam rasa sakit hati itu, sempat juga keadaan gadis itu buat dia geleng
kepala. Sudahlah tidur lasak. Senget sana sini. Habis semua bantal jatuh ke
bawah. Yang tinggal hanya bantal di kepala dan bantal peluk saja. Yang lain,
habis terbang ke lantai. Dah tu, selimut pun entah ke mana.
Apa punya
perempuanlah ni? Tak sopan langsung! Nasib baik tidur pakai seluar, kalau pakai
kain? Dengan kain-kain sekali terbang.
Malas nak menunggu
lama, Karl capai cebok yang berisi air yang diletak di meja sisi tadi. Dengan
tekad dalam hati, laju dia simbah air kolah bilik air belakang yang sejuk itu
tepat ke muka Wafa. Nah, ambik kau!
Burrr!
Wafa terus terjaga
dan terduduk dalam keadaan termengah-mengah. Terkejut dengan rasa sejuk di muka
dan rasa macam tak boleh nak bernafas tiba-tiba. Muka yang basah, dia lap laju.
Kepala dia dongak. “Hoi, gila ke?!”
“Padan muka!” ejek
Karl dengan muka tak boleh blah sungguh.
Wafa bangun dari
katil. Dia tengok tilam tempat dia baring, sebahagiannya dah basah. Eee, satu
hal pula dia nak kena jemur tilam ni. Eee! Dia pusing tubuh memandang Karl.
Berdiri bertentang mata dengan lelaki yang dah tayang muka macam nak telan dia
saja. Dah kenapa mamat ni? Buang tebiat?!
“Apasal awak masuk
bilik saya ni? Siap simbah air bagai. Tahu tak yang saya boleh mati lemas?!”
Berkerut-kerut kening Wafa apabila bercakap. Merah mukanya. Bengang!
“Alah, setakat kena
siram dengan secebok air aje pun. Tak ada maknanyalah sampai nak mati lemas. Over acting sangat!”
Wafa ketap gigi.
E’eh mamat ni! “Nak tunggu saya mati dulu, baru tak over? Macam tu?!”
“Ini balasan sebab
kau tipu aku.”
“Tipu apa benda?!”
Karl kecilkan mata merenung
tajam Wafa. Tengah dia buat muka nak marah, dia terpandang pula bahagian depan
baju gadis itu yang dah basah terkena air tadi. Gulp! Dia telan air liur. Gulp!
Dia telan lagi sekali. Mana tidaknya, matanya ternampak benda yang tak
sepatutnya dia nampak. T-shirt Wafa sudahlah
warna putih, basah pula tu. Baju kecil di dalam itu pula warna merah. Agak-agak
boleh bayangkan tak apa yang dia nampak?
“Errr... tipu pasal...
pasal bilik air belakang tulah. Kau memang sengaja, kan?” Karl dah mula tergagap-gagap.
Matanya masih tak lari daripada terus memerhatikan dada Wafa. Rasa macam berat
sangat nak alih pandangan dari situ. Hahaha! Mengada!
Wafa yang masih tak
sedar sedang diperhatikan oleh Karl buat muka selamba. Dia berpeluk tubuh. “Hah,
baguslah kalau dah tahu. Tak adalah saya nak kena teman awak pergi berak lagi.
Busuk ya amat!”
Krik. Krik. Krik.
Tiada balasan
daripada Karl. Lelaki itu hanya diam dan tak marah apabila diperli begitu. Wafa
pelik. Biasanya, laju saja lelaki itu membalas kata-katanya. Kali ini tidak
pula. Dia pandang muka Karl. Kemudian, dia terperasan sesuatu. Tu, mata tu.
Pandang mana tu?!
“Eee... lelaki
gatal!” Wafa sepak kuat betis Karl. Hah, rasakan. Gatal sangat kan!
Karl mengaduh kuat. Menahan
rasa sakit. Betis digosok-gosok. Sakitlah, hoi! “Apa benda kau ni, Wafa?!”
“Apa benda, apa
benda! Apa benda yang awak tengok, hah? Eee, nak kena cungkil biji mata tu,
kan?!” Tangan Wafa terus menyilang tangan membuat bentuk X pada dada. Dia
sendiri pun baru perasan keadaannya seperti itu. Haih, kenyanglah mamat gatal
ni!
“Dah orang tu
tunjuk, tengok ajelah. Free kut,”
balas Karl selamba. Riak muka dikawal sehabis mungkin.
Tapi, betul apa?
Bukan dia teringin sangat pun nak tengok dada Wafa itu. Dah ditakdirkan hari
ini rezeki dia. Alhamdulillah. Rezekilah sangat kan, Karl! Hahaha!
“Dah, dah. Awak
keluar sekarang. Keluar!” bentak Wafa, geram.
Wafa tolak-tolak
tubuh Karl sampai ke depan pintu bilik. Entah macam manalah mamat itu boleh
masuk ke dalam biliknya ini. Ini mesti sebab dia lupa kunci pintu bilik lepas
teman lelaki itu lepas hajat malam tadi. Eee, semua salah mamat sengal ni!
“Yalah, yalah. Aku keluarlah
ni. Tapi, sebelum tu...”
Wafa pandang Karl.
Karl tersengih-sengih sambil angkat-angkat kening. Muka jahat sangat!
“Boleh tahan juga eh
kau punya tu,” ucapnya sambil mata kembali mengerling dada yang sudah ditutup
dengan tangan itu. Malulah tu...
Mata Wafa terus
membulat besar.
“Karl Elliyas!”
jerit Wafa sekuat hati. Versi Mak Jemah!
Tak fikir apa dah,
terus berdesup Karl keluar dari bilik Wafa. Tak mahu dia berlama-lama di dalam
bilik itu. Jadi lunyai karang didebik Wafa.
Dari dalam bilik,
Wafa dengar suara Karl tergelak-gelak. Kemudian, dia terdengar sepotong ayat.
Siap meleret lagi bunyinya, “Untungnya aku dapat kahwin dengan kau, Wafa oi...”
Wafa yang mendengar
terus berlari dan terjun ke atas katil. Elok menonggeng sambil muka ditutup
dengan bantal. Wuarghhh, malunya dia
rasa! Sengal punya bakal suami. Heh!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan