“YALAH mama! Nanti Karz sampailah! Karz berhenti sekejap sebab kaki Karz
kebas ni. Mama dengan papa sembanglah dulu dengan pak su dan mak su. Sekejap
lagi Karz sampai!” Karzrin memberikan alasan.
Talian telefon segera dimatikan. Dah 10 kali mama
telefon tanya kenapa dia tak sampai lagi di rumah pak su. Memanglah tadi dia
ikut kereta papa tapi, bila dah dekat simpang masuk rumah pak su, dia mula
gelisah. Macam-macam telahan yang menerpa dalam mindanya tentang Hannah.
Entah-entah badan dia macam badak air sekarang ni. Eiii...
ngeri! Sebab tu, dia berhenti di tepi jalan. Membatukan diri dalam kereta
sambil merenung simpang jalan yang bakal mengubah hidupnya. Cuaca pula agak
mendung. Nak hujan. Ah, kan baik kalau dia tak balik? Nak berpatah balik pun,
dah terlambat.
Dalam kegelisahan itu, dia terpandang seorang gadis
sedang berjalan tidak jauh dari keretanya. Cuaca yang mendung itu disertai
dengan tiupan angin yang agak kencang membuatkan gadis yang memakai kemeja
corak abstrak dengan kain kembang dan bertudung litup itu terkial-kial mahu
membetulkan kainnya yang mahu terselak.
Karzrin terus memakukan pandangannya pada wajah itu.
Cantik! Putih! Tinggi! Walaupun wajah itu kelihatan resah dan murung. Entah
kenapa, hatinya berdetak tiba-tiba. Bibir Karzrin mengukir senyum. Jiwa
lelakinya mula terusik. Dia terbuai-buai dengan perasaan sendiri sehinggakan
dia tidak sedar gadis itu berlalu pergi.
Karzrin menghidupkan enjin kereta. Mahu cepat sampai di
rumah pak su. Dia mahu memberitahu mama yang dia dah jumpa gadis yang
membuatkan hatinya berdebar-debar. Terima kasih Allah kerana menemukan gadis
itu dengannya! Mama, Tolong pinangkan gadis itu untuk Karz! bisik hatinya
teruja.
Tak sangka pula di kampung ini ada gadis cantik macam itu!
KERETA Mazda RX8 berwarna merah milik Karzrin berhenti di halaman sebuah
rumah batu dua tingkat milik Haji Darus. Semua meluru keluar sebaik sahaja
ternampak kereta itu memasuki halaman rumah.
Haji Darus menghampiri Karzrin. Akhirnya, dapat juga dia
bersua muka dengan Karzrin selepas sekian lama. Dipeluknya Karzrin erat-erat.
“Sampai pun Karz kat rumah pak su. Dah lama pak su tak
tengok Karz,” ujar Haji Darus setelah melepaskan pelukan.
Karzrin tersenyum seraya menyalami mak sunya.
“Mak su dengan pak su apa khabar?” Karzrin berbahasa
walaupun sedikit canggung. Maklumlah, dah lama tak berjumpa dengan mereka.
Segan.
“Baik, Karz,” jawab Hajah Hayati Dan Haji Darus
serentak.
“Kenapa lambat sangat sampai? Mama dan papa dah kenyang
makan mi kuah yang mak su buat.” Hajah Hayati menyoal sambil tersenyum.
Dia meneliti Karzrin dari atas sampai bawah. Nampak sasa
dan maco! Pasti tak lembik macam yang Hannah fikirkan.
“Karz berhenti kejap tadi, mak su. Kaki Karz ni
tiba-tiba pula kebas. Dah lama tak memandu jauh-jauh macam ni. Sebab tu kebas
agaknya.” Karzrin tersengih lagi.
Dia menoleh ke arah mama yang sedang menjegilkan mata
kepadanya. Mama tengah marah sebab dia lambat. Tapi, dia tak kisah sebab dia
dah jumpa dengan gadis yang boleh buat hatinya berdegup laju.
“Ya ke? Kalau macam tu, jomlah masuk dulu. Rehat. Tentu
kamu penat lagi.” Haji Darus mencelah dengan senyuman yang melebar. Hatinya
terus berkenan dengan Karzrin.
Karzrin menarik tangan mamanya. Dia mahu segera
menyampaikan berita baik itu. Pak su, mak su dan papa dah menghilang dalam
rumah. Inilah peluangnya!
“Mama...” Karzrin memaut pinggang mamanya. Mahu
merapatkan kedudukan mereka.
Datin Mazwin menoleh ke sisi kirinya. Hairan dengan
kelakuan anak tunggalnya itu. Main peluk-peluk pula. “Ada apa?”
“Mama, Karz dah jumpa calon isteri yang Karz nak tu.
Karz nak mama pinang dia untuk Karz hari ni juga,” bisik Karzrin
bersungguh-sungguh.
Langkahan Datin Mazwin terpaku di situ. Terkejut dengan
berita yang disampaikan oleh Karzrin.
“Apa yang kamu cakap ni, Karz? Siapa yang kamu nak mama
pinangkan untuk kamu pula?” Berkerut dahi Datin Mazwin menanyakan soalan itu.
Macam-macam pula fiil budak bertuah ni. Masa inilah nak
bercerita pasal calon isteri. Hannah tu nak campak ke mana pula? Dah
macam-macam rancangan yang mereka bincangkan tadi.
“Adalah. Tadi Karz nampak masa Karz berhenti tadi.
Cantik betul, mama. Orang kampung ni juga. Kita tanya mak su dengan pak su aje.
Mesti dia orang kenal.”
“Jangan jadi gila boleh tak? Karz nak mama dengan papa
malu ke? Mama dah pinangkan Hannah untuk Karz. Takkan nak tarik balik pula?” getus
Datin Mazwin menahan marah.
Kalaulah Haji Darus dengan Hajah Hayati dengar,
habislah! Dia yang beria-ia mahu kahwinkan Karzrin dengan Hannah.
“Tarik ajelah. Karz sanggup bayar kalau mak su dengan
pak su saman pun. Mama jangan risau.”
“Jangan buat mama mengamuk kat sini! Jom masuk!” Datin
Mazwin menarik tangan anaknya memasuki rumah batu itu.
Karzrin masih belum berputus asa. “Mama... dengarlah
cakap Karz ni! Karz dah jatuh cinta dengan...”
Karzrin tidak sempat menghabiskan ayat itu bila seorang
gadis muncul dengan membawa sedulang air. Karzrin menelan air liur. Matanya
terus sahaja terpaku pada lenggang-lenggok gadis itu. Itu kan... gadis yang dia
jumpa tadi? Memang gadis yang sama! Pakaiannya juga masih sama.
“Jemputlah minum.” Lembut saja suara itu mempelawa.
Karzrin terkesima.
“Kenapa kamu tengok Hannah macam tu? Dah tak kenal ke?”
Terdengar suara Haji Darus menyoal.
Karzrin tersentak. Dia berdeham sekali. Hannah? Gadis
itu ialah... Hannah? Tapi, kenapa mesti Hannah? Bukankah Hannah tu 3G? Gemuk,
gendut, gempal? Macam mana boleh kurus pula? Aduh, sakitnya tuh di sini!
Karzrin mengeluh hampa. Dia memang tidak pernah bertuah
dalam soal cinta. Oleh kerana gadis itu ialah Hannah maka, dia cuma mampu
menzahirkan rasa kecewa. Hampa yang teramat. Sobs, sobs, sobs! Sedih! Pi mai, pi mai tang tu juga! Argh,
bencinya!
PAGI esoknya, Karzrin bangun awal dan melepak di beranda rumah.
Semalaman dia tak boleh lelapkan mata. Pilu mengenang nasib diri. Jatuh cinta
pandang pertama dengan orang yang paling dia benci. Walaupun suka, tapi dia
tetap benci sebab gadis itu adalah Hannah!
Hatinya pun satu juga. Kenapalah dalam ramai-ramai
perempuan yang dia jumpa dengan si pembuli tu juga ia nak berdegup? Hisy, kacau
betul!
“Karz buat apa kat sini? Kenapa tak ikut papa dengan pak
su pergi kolam ikan?” Hajah Hayati menyapanya mesra.
Karzrin sekadar tersengih. Tidak bersedia dengan
sebarang jawapan.
“Tak apa Yati. Nanti suruh aje Hannah bawa dia pergi,”
sampuk Datin Mazwin pula.
Karzrin ketap bibir. Mama ini kan! Sikit-sikit Hannah!
Sikit-sikit Hannah! Jelak betul dia dengar nama budak tu. Karzrin tidak
memberikan sebarang reaksi.
Ketika itu, Hannah datang dan duduk di sisi Hajah
Hayati. Karzrin mencebik. Cantik macam mana pun, kalau dah namanya Nur Hannah
Delayla maka, dia tidak akan suka selamanya!
“Eh, Karz tolong mama pergi belikan... garam kejap.
Garam kat dapur mak su dah habis. Mama nak masak untuk makan tengah hari
nanti.”
“Nak beli kat mana mama? Karz bukan tahu sangat
jalan-jalan kat sini. Kedai pun tak tahu di mana.”
“Pergi aje dengan Hannah. Pergilah cepat.” Datin Mazwin
menolak tubuh anak tunggalnya. Kemudian dia menarik Hannah pula. Gadis itu
terkebil-kebil.
“Cepatlah!”
Karzrin dan Hannah cepat-cepat mengangguk dan berlalu pergi.
Walaupun dalam hati masing-masing berasa cuak dan rimas.
“Kat dapur tu banyak lagilah garam.” Hajah Hayati
berbisik perlahan sebaik sahaja kelibat Hannah dan Karzrin sudah menjauh.
“Kak tahu. Saja nak bagi peluang dia orang tu
berkenal-kenalan. Kan dah lama tak berjumpa. Mesti segan kalau nak bercakap
soal hati depan kita, kan?” Datin Mazwin mengulum senyum.
Hajah Hayati cuma tersenyum pendek. Risau jika Hannah
buat lagi perangai lamanya yang suka sangat buli Karzrin.
HANNAH melangkah laju-laju. Sengaja mahu meninggalkan Karzrin di belakang.
Dia tak suka tengok muka lelaki itu yang mencebik setiap kali memandangnya.
Apa? Ingat aku terliur sangat ke dengan dia? Ceh! Sudahlah lembik. Memang patut
orang cakap dia gay pun. Tengoklah tu. Jalan pun terkepit-kepit macam sotong! gumam
Hannah.
“Hoi!” laung Karzrin dari belakang.
Hannah segera berpusing. Kakinya dihentak kuat.
Debu-debu di jalan itu berterbangan. Saja nak tiru aksi Rajnikanth dalam filem
Sivaji Da Boss (hero pujaan tu). Baru nampak macam betul-betul marah.
“Apa hoi, hoi? Ingat anak kucing ke? Botol kicap pun ada
nama tau?” selar Hannah sambil bercekak pinggang. Dia merenung Karzrin dengan
perasaan geram.
Sedap aje panggil aku hoi! Bagi buku lima ni baru tahu.
Hannah mengetap bibir.
“Aku tahulah kau ada nama, tapi mulut aku ni tak boleh
sebut nama kau. Boleh terbakar lidah aku kalau sebut nama kau tahu tak?” kata Karzrin
kasar.
“Mujurlah mulut Abang Karz tu tak boleh sebut nama
Hannah. Sebab Hannah pun tak suka kalau Abang Karz duk sebut nama Hannah. Boleh
meletup telinga Hannah ni dengar abang sebut nama Hannah!” bentak Hannah tidak
mahu kalah.
Ingat dia suka sangat dengan pinangan mak long tu?
Memang dia pun tak sukalah! Umi dengan walid yang paksa.
“Nanti kejap! Yang kau berabang-abang dengan aku ni apa
hal? Eiii... geli tekak aku dengar!”
“Habis, nak panggil apa? Pak cik? Tok wan? Atau... si
lembik?” Hannah sengaja menekankan perkataan lembik tu. Biar si poyo tu dengar
dengan jelas.
“Apa kau cakap? Lembik?” Karzrin mula menyinga. Dia
mengetap bibir bila melihat ada senyuman di bibir gadis itu. Senyuman mengejek!
Ini yang hati dia panas ni!
“Mengaku pun!” sindir Hannah lagi. Dia berpaling dan
kakinya diayun semula untuk ke kedai runcit Pak Mehat yang tidak jauh dari
situ. Berbunga-bunga pula hatinya sebab dapat naikkan darah mamat poyo tak
sedar diri itu. Macamlah handsome
sangat! Hero tamil yang pakai doti dalam TV tu lagi handsome daripada dia! Cit, poodah!
“Eh, kau jangan naikkan darah aku!” Karzrin berlari anak
untuk menyaingi langkah Hannah. Lantas, tangan Hannah diraih.
Sepantas kilat Hannah menepis.
“Apa hal pegang-pegang ni? Nak kena tumbuk?” Hannah
sudah tayang penumbuknya.
Merah pipinya dek pegangan Karzrin tadi. Bukan sebab
malu, tapi sebab marah! Bukan muhrim. Suka-suka saja nak pegang.
Karzrin yang agak terkejut dengan sergahan Hannah cepat-cepat
melepaskan pegangannya. Gulp! Dia tertelan air liur. Makin besar, makin ganas
budak jahat ini ya?
“Sorry! Aku
tak sengaja. Aku ada hal nak cakap dengan kau ni. Penting!” Karzrin
memerhatikan keadaan sekeliling.
Kawasan sawah padi itu kelihatan sunyi kerana hari sudah
mula meninggi. Karzrin beranikan diri. Tangan Hannah dipegang dan ditarik
menuju ke arah pokok bongor yang agak rendang.
“Isy, apa ni? Abang Karz ni tak faham bahasa? Berdosa
tau pegang-pegang Hannah macam ni!” Hannah mendengus marah. Dia dah rasa macam
nak menangis sebab belum pernah makhluk bernama lelaki memegang tangannya
kecuali walid.
“Okey, aku tahu. Bukan aku nak buat apa-apa pun. Aku nak
cakap sikit dengan kau.”
“Cakap ajelah! Tak payah nak tarik-tarik tangan Hannah
macam tu. Bagi katak baru tahu!” Hannah mula mengugut.
Karzrin membeliakkan matanya. Katak? Bulu romanya mula
meremang. Sampai hari ini, dia masih geli dan takut dengan makhluk Allah yang
satu tu! Eiii...
“Kalau kau sebut katak lagi, aku cium mulut kau! Nak?”
Giliran Karzrin mengugut.
Serta-merta mata Hannah terbuntang. Pipinya
kemerah-merahan. Perkataan cium itu cukup asing baginya. Jadi, dia malu bila
Karzrin menyebut perkataan itu.
“Isy... Cakap ajelah apa yang penting sangat tu. Mak long
tengah tunggu nak masak kat rumah tu.” Hannah mengalah dengan menukarkan topik
perbualan.
Sudahlah lembik, budi bahasa pun hampeh! Huh! Memang tak termasuk dalam senarai lelaki impiannya.
Entah apa yang umi dan walid kenankan sangat dengan mamat poyo tu. Zero!
“Aku nak kau tolak pinangan mama. Sebab aku tak suka
dengan kau! Aku tak nak kahwin dengan kau. Kau tahu kan yang kau tu adalah
manusia yang paling aku tak nak jumpa dalam hidup aku.” Karzrin berterus
terang.
Sambil itu, matanya dihalakan ke arah sawah padi yang
menghijau. Dia tak boleh pandang muka Hannah lama-lama. Sebab hatinya tak reti bahasa.
Asyik berdegup-degup saja setiap kali dia pandang Hannah. Haru betul!
“Itu urusan umi dengan walid. Kalau Abang Karz tak nak
kahwin dengan Hannah, Abang Karz cakap sendiri dengan walid. Hannah cuma ikut
cakap walid dengan umi.” Hannah menjawab dengan tenang.
“Eh, kau tak payah nak berlagak solehah sangatlah! Kau
cakap ajelah dengan mama yang kau tu dah ada kekasih hati. Habis cerita. Aku
pun tak tahu apa yang mama suka sangat dengan kau ni. Kasar semacam aku
tengok!”
“Biarlah! Bukan kacau hidup abang pun, kan? Sepatutnya
Abang Karz cari sendiri calon isteri. Barulah mak long tu tak terdesak sangat
nak Hannah ni jadi menantu dia. Takkanlah abang tak ada teman wanita? Ke... Teman
wanita abang tu sama spesies dengan abang juga?” Hannah menyindir tajam.
Dia tersenyum sinis. Padan muka! Dia sendiri tidak pasti
kenapa dia yang jadi pilihan mak long untuk dijadikan isteri Karzrin. Niat di
hati nak tolak saja pinangan mak long. Tapi, bila dia bersemuka dengan mak
long, dia tak sampai hati. Mak long beria-ia sangat nak jodohkan dia dengan
Karzrin.
“Aku lelaki sejatilah! Kau ingat aku ni tak reti sangat
pasal hukum-hakam? Eiii... Mulut dengan perangai kau sama aje, kan? Menyakitkan
hati orang.” Karzrin rasa tercabar. Boleh pula dia mempertikaikan kejantanan
aku!
Karzrin menahan rasa marah. Dia mengambil ranting kayu
sebesar ibu jari dan mengacukan-acukan ke arah Hannah. Rasa macam nak saja
jolok mulut Hannah dengan ranting itu. Mulut tak ada insurans! Dia memang tak
nak kahwin dengan Hannah. Dah terus terang pun Hannah masih tidak mahu
bekerjasama dengannya. Tak tahu malu betul.
“Macam ni ajelah. Abang Karz beritahu mak long yang
Abang Karz tak nak kahwin dengan Hannah. Abang Karz pujuklah mak long. Hannah
pun tak adalah teringin sangat nak bersuamikan lelaki yang pernah dipanggil... gay!
Hannah pun ada taste juga. And, you’re
really not my taste! Penakut, lembik!” ujar Hannah sambil berlalu pergi.
Karzrin terpinga-pinga sendirian. Kata-kata Hannah
terngiang-ngiang di cuping telinga. Lembik? Eiii, belum cuba belum tahu!
Hannah, kau cabar aku ya? Nanti aku tunjuk betapa kerasnya aku. Tak perlu
tongkat ali tau? Mama ni pun satu hal! Langsung tak reti nak jaga maruah anak
lelakinya yang seorang ni.
Karzrin mengeluh deras. Ranting kayu tadi dilontarkan ke
dalam tali air di hadapannya. Dia betul-betul rasa tercabar. Baik, aku akan
kahwin dengan kau Hannah! Aku akan balas dendam. Dulu kau buli aku, kan? Lepas ni
biar aku pula yang buli kau! Siapa suruh kau cakap aku lembik? Karzrin
menghitung dendam sebelum berlari-lari anak mengejar Hannah yang agak jauh
meninggalkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan