“NUHA, jom kita pergi minum
cendol dekat gerai sana. Aku rasa dahagalah.” Anum menarik tangan Nuha ke arah
yang dimaksudkan.
Nuha akur.
“Panas betul kan hari ni?” sungutnya setelah duduk di sebuah meja.
Tetapi, Anum diam sahaja tidak memberi respons. Dia perhati Anum sedang
ralit memandang si penjual cendol yang sedang sibuk menyediakan pesanan
pelanggan. Kaki Anum di bawah meja disepak perlahan sekali gus menyentakkan
Anum.
“Ooo... Kau ajak aku datang sini sebab nak sekodeng mamat tu ek?”
Anum tersengih-sengih memandang Nuha. Memang itulah niat dia yang
sebenar. Sudah lama dia terpaut dengan lelaki itu. Walaupun penampilannya
selekeh, tetapi di matanya lelaki itu sangat kacak. Badannya berketak habis!
“Handsomelah mamat tu, Nuha.
Kau rasa-rasa kan... dia sudi tak nak berkawan dengan aku?” tanya Anum
menggeletis.
“Manalah aku tahu. Kau pergilah tanya dia sendiri,” balas Nuha tidak
kuasa melayan pertanyaan Anum. Sambil itu dia cuba menarik perhatian pelayan
datang mengambil oder.
Anum memetik jari kuat.
“Tanya mamat tu sendiri? Okey jugak tu. Jom ikut aku pergi dekat dia,”
putusnya lalu mengheret Nuha pergi mendekati lelaki itu.
Nuha tergamam dengan tindakan Anum. Segera direntap tangannya dan menahan
Anum daripada berbuat demikian.
“Kau ni biar betul, Anum. Kau tak rasa segan ke kalau orang tengok kau
mengurat lelaki? Ingat sikit. Kau tu dah ada pakwe,” bebel Nuha.
“La... Tadi kau jugak yang suruh aku pergi tanya dia, kan? Kalau kau
segan, kau duduk ajelah diam-diam kat sebelah aku. Biar aku aje yang bercakap
dengan dia. Pasal pakwe aku tu tak apa. Dia tak tahu aku mengurat lelaki lain,”
balas Anum bersahaja.
“Tapi, aku tahu. Nanti aku nak cakap dekat dia yang makwe dia ni gatal
mengalahkan ulat bulu.”
Anum mendecit. “Alah, kau janganlah kantoikan aku. Ini rahsia antara kita
aje. Dahlah, jom ikut aku.”
Kali ini dia pegang tangan Nuha kemas-kemas supaya tidak terlepas lagi.
“HAI.” Anum melambai tangan
kepada si penjual cendol sambil tersengih. Terujanya dapat tengok muka lelaki
itu dari jarak dekat.
“Ya, adik? Nak oder cendol ke?” tanya lelaki itu memandang Anum dan Nuha
silih berganti.
“Tak. Saya nak kenal dengan abang, boleh?” Anum berterus terang tanpa segan-silu.
Nuha sudah melarikan muka ke arah lain apabila melihat air muka lelaki
itu berubah. Aduh! Dia pula yang berasa malu bagi pihak Anum. Kalau Anum sudah
datang penyakit gatal memang susahlah.
“Err... Abang ni dah kahwin, dik. Anak dah nak masuk dua orang,” balas
lelaki itu sambil menaikkan jari telunjuk dan hantunya.
Anum menelan air liur. Dia menoleh Nuha yang sedang kemam bibir menahan
ketawa.
“La... Nampak sangat kita memang tak ada jodoh, kan? Kalau macam tu tak
apalah, abang. Saya reda. Abang kasi cendol dua mangkuk. Letak jagung dengan
santan lebih sikit tau. Buat cover
malu saya tadi,” kata Anum bersahaja seraya menarik Nuha duduk semula di meja
tadi.
Nuha ketawakan Anum sepuas hati. Bergegar-gegar satu badannya. Memang
kelakar tengok muka Anum yang terkedu apabila lelaki itu memberitahu sudah
berkahwin dan sudah ada anak.
“Itulah kau... Nak mengurat tak buat persediaan dulu. Main redah aje. Kan
dah saja-saja dapat malu percuma. Ini semua balasan sebab kau tak jujur dengan
pakwe kau. Padan muka!” Anum
menjeling Nuha sebal. Kemudian menopang dagu sambil mengeluh berat.
“Tak sangka pulak aku mamat tu dah kahwin. Tengok gaya macam bujang lagi.
Kan bagus kalau dia cakap, abang memang dah kahwin. Tapi, dah bercerai talak
tiga dengan isteri abang. Ha, baru sejuk hati aku ni dengar. Adalah jugak
harapan nak masuk jarum,” kata Anum masih tidak dapat menerima hakikat tadi.
“Sudahlah, Anum. Kau tak payah nak frust
menonggeng sangattlah. Simpan aje perasaan kau tu dekat pakwe kau sorang.
Belajarlah jadi jujur dan setia sikit,” nasihat Nuha.
Dalam masa sama, cendol yang dipesan tadi sampai di meja. Lelaki itu
sendiri yang menghantar bukan pekerjanya.
“Terima kasih, bang,” ucap Anum tersenyum manis.
“Sama-sama.” Lelaki itu membalas senyuman Anum sambil mengangguk.
Kemudian dia memandang Nuha dan mengenyit mata kanannya sebelum pergi dari
situ.
Nuha terkesima. Gatalnya mamat ni!
Anum yang menyaksikan kejadian itu terus menarik muka masam. “Aku tak
puas hati. Kenapa mamat tu kenyit mata dekat kau, bukan aku?”
“Manalah aku tahu. Mungkin dia terpikat dekat aku kut,” seloroh Nuha. Dia
terus menghirup cendol tanpa mempeduli Anum.
Anum mendengus. Huh, tak aci!
SELESAI minum cendol, Nuha dan
Anum bergerak pulang. Di pertengahan jalan, Anum berhenti berjalan secara
tiba-tiba.
“Alamak, Nuha. Salam ajak aku jumpalah. Dia dah ada dekat area sini,” beritahu Anum sejurus
membaca SMS kekasihnya.
“Tak apalah kalau macam tu. Kau pergi ajelah jumpa dia,” balas Nuha tidak
kisah.
“Tak apa ke ni, beb? Rasa bersalahlah pulak nak biar kau balik sorang-sorang.
Tadi datang berdua. Balik sendiri-sendiri pulak.”
“Alah, tak ada apalah. Dekat aje pun dari sini nak pergi ke stesen bas.”
“Okey. Hati-hati ya. Jumpa lagi nanti.” Anum berpecah haluan dengan Nuha.
Nuha pula meneruskan langkah pergi ke stesen bas. Untuk memendekkan
perjalanan, dia melalui jalan pintas belakang sebuah bangunan. Sememangnya dia
sudah biasa dengan selok-belok kawasan itu.
“Hoi! Jangan lari!” Tiba-tiba terdengar satu teriakan suara yang kuat
dari belakang.
Nuha tersentak dan terus berpaling. Sekelip mata bahunya dirempuh oleh
seorang lelaki. Dia jatuh secara melutut dengan kedua-dua tangannya menopang di
atas jalan.
“Aduh! Sakitnya lutut aku. Tak guna betul mamat ni. Dah langgar orang
bukannya reti nak minta maaf. Lari macam tu aje,” bebel Nuha. Terkial-kial dia
cuba bangun semula.
“Tepi! Tepi!” Belum pun sempat berdiri betul-betul, tubuhnya sekali lagi
kena rempuh dari belakang. Lebih kuat daripada tadi. Kali ini dia jatuh
tersembam pula sampai tercium jalan. Habis melekat pasir di mulutnya.
“Wei! Kau orang ni apa hal? Kalau nak main kejar-kejar janganlah sampai
langgar orang. Pergilah langgar tiang lampu ke? Dinding bangunan ke? Langgar
aku buat apa?” Nuha mengherdik bengang kepada dua orang lelaki yang
melanggarnya tadi.
Dia membersihkan bibir sebelum berdiri semula dengan susah payah. Ada
baiknya dia tinggalkan tempat ini cepat-cepat. Lagi lama dia di sini, entah apa
lagi nasib malang yang akan menimpanya.
Baru beberapa langkah berjalan, dia terdengar suara orang merintih
kesakitan dari lorong berhampiran. Lantas dia mengambil keputusan pergi menghendap
di sebalik dinding bangunan. Mulutnya terlopong melihat lelaki pertama yang
melanggar dia tadi terlentang di atas jalan, kena pukul dengan lelaki kedua
yang merempuh dia sampai tercium jalan tar. Tambah tergamam mangsa pukul itu
adalah Fadil!
Apa hal pula ni Fadil kena pukul dengan samseng? Perasaan ingin masuk
campur dalam urusan pukul-memukul itu membuak-buak hadir. Seperti ada daya
tarikan magnet pada kaki yang mengheretnya pergi dekat. Sedar-sedar dia sudah
pun berada di belakang samseng itu.
“Hoi! Lepaskan dia!” jerkah Nuha sambil bercekak pinggang.
Namun, apabila samseng itu menoleh tidak semena-mena dia berasa kecut
perut. Lebih-lebih lagi apabila samseng itu mara ke arahnya pula sambil tayang
muka bengis. Alamak! Ini memang betul-betul cari pasal.
“Ja... jangan dekat. Kalau tak, aku lari!” Nuha mengundur perlahan-lahan.
Tetapi, hanya setakat dua langkah sahaja sebab terasa ada sesuatu yang
menahannya dari belakang. Sebaik sahaja memusingkan badan, terasa menggeletar
kepala lututnya. Seorang lagi samseng merenung tajam ke arahnya dengan mimik
muka garang ala-ala taiko jahat.
“Usin Koboi?” sebut Nuha perlahan sambil menelan air liur dengan susah
payah.
Usin Koboi terkejut melihat gadis di hadapannya. Kemudian dia
tersengih-sengih. “Ooo... Kau rupanya. Elok sangatlah aku jumpa kau dekat sini.
Boleh aku tuntut hutang lapuk aku yang kau malas nak bayar tu. Mana duit aku?”
Nuha menepis tangan Usin Koboi yang betul-betul berada di depan
hidungnya. Busuk! Bau budu. Mesti baru lepas makan nasi ni, telahnya dalam
hati.
“Usin, ak... aku tak ada duit sekarang. Boleh tak aku bayar lain kali?”
balas Nuha tergagap-gagap.
“Huh! Asal aku minta hutang, dan-dan kau cakap tak ada duit. Kau ingat
aku percaya ke cakap kau?” Usin Koboi naik berang.
“Betul, Usin. Aku memang tak ada duit sekarang. Kau minta tak kena masa.
Lain kali mintalah masa aku tengah banyak duit.”
“Kau jangan nak kelentong akulah. Masuk bulan ni, dah enam bulan kau
berhutang dengan aku. Aku cari kau merata-rata tempat. Tapi, pandai ya kau
mengelak daripada bayar hutang. Ah, sudahlah! Aku malas nak dengar alasan kau
lagi. Aku tak kira. Aku nak kau bayar hutang aku sekarang jugak!” Usin Koboi
mendesak dengan suara keras. Jangan harap dia nak berlembut-lembut lagi dengan
Nuha.
“Alah, Usin... Takkanlah kau nak berkira dengan aku. Orang lain ramai
lagi yang bayar hutang kau. Mesti kau dah ada banyak duit, kan? Kalau kau halal
aje hutang aku tu tak boleh ke? Buat amal jariah sikit. Nanti kau pun dapat
pahala jugak.” Nuha memberanikan diri untuk tawar-menawar dengan Usin Koboi.
Jikalau samseng itu berlembut hati, dapatlah dia melepaskan diri daripada
bebanan hutang.
Dia sendiri tidak pasti berapakah jumlah tunggakan hutangnya sekarang
jika dicampur dengan bunga. Tambahan pula sudah lama dia tidak bayar. Mungkin
sudah berkembang macam bunga yang mekar di pagi hari bak kata Usin Koboi
dahulu.
Terbeliak mata Usin Koboi mendengar tawaran Nuha. Rasa hendak sekeh
sahaja kepala perempuan itu. Berani betul bercakap begitu dengan seorang ceti
haram. Peminjam lain semuanya gerun dengan dia. Tetapi, Nuha selamba badak
bergurau senda macam kawan.
“Hoi! Aku ni Usin Koboi. Kerja aku memang banyak bergelumang dengan dosa.
Kau tak payah nak cakap pasal amal jariah dan pahalalah dengan aku. Karang aku
tempeleng muka kau baru kau tahu. Kau nak ke macam tu?”
Bahu Nuha terjongket mendengar jerkahan Usin Koboi. Marah benar nampaknya
Usin Koboi dengan dia. Memang sesuailah Usin Koboi menjadi samseng.
“Okey, okey... Aku bayar. Tapi, aku nak kau lepaskan dulu lelaki tu.”
Nuha memuncungkan mulut ke arah Fadil yang masih terduduk menahan sakit.
“Bayar dulu hutang aku baru aku lepaskan dia.”
“Mana boleh macam tu. Kau kena lepaskan dia dulu sebab aku nak buat baik
dekat dia untuk pinjam duit. Dengan aku sekarang duit tak berapa nak ada ni.
Macam mana aku nak bayar hutang kau?”
Usin Koboi mendengus.
“Apa ke bangang kau ni? Dah, pergi minta cepat!” Tubuh Nuha ditolak agar
pergi ke arah Fadil.
Nuha akur. Ketika melintasi orang suruhan Usin Koboi, tiba-tiba lelaki
itu rebah tertiarap di hadapannya sambil mengerang kesakitan. Dia
terpinga-pinga serentak memandang Usin Koboi. “Ak... aku tak buat apa-apa pun.”
“Aku yang buat. Cepat lari!”
Nuha terkejut apabila Fadil menyambar tangannya dan heret dia pergi dari
situ. Kerja Fadil rupanya. Dia terus pecut sekuat hati.
“Apasal samseng dua orang tu kejar awak?” Dalam termengah-mengah mencari
oksigen, Nuha masih sempat menyoal Fadil. Takkanlah Fadil pun berhutang dengan along
juga kut?
Fadil menjeling Nuha. “Perlu ke aku jawab soalan kau tu sekarang?”
Tersentap Nuha mendengar pertanyaan sinis Fadil yang bunyinya sedikit kasar.
“Okey. Simpan dulu jawapan awak. Kita selamatkan diri dulu.”
“Pecut laju-laju. Jangan sampai kita kena cekup dengan dia orang lagi,”
pesan Fadil.
Nuha berpaling untuk memastikan jarak mereka dengan samseng dua orang
itu. Dia nampak Usin Koboi berlari penuh semangat mengejar dia dan Fadil.
Kemudian berpatah semula ke belakang apabila topi koboinya terbang kena tiup
dengan angin. Terkekek-kekek dia mentertawakan lelaki itu.
“Kau gelak dekat siapa?” soal Fadil kepelikan. Dalam situasi cemas begitu
boleh lagi Nuha bergelak ketawa.
“Usin Koboi. Topi dia kena tiup angin,” beritahu Nuha. Itulah, Usin...
Siapa suruh kau tak letak tali dekat topi tu? ejeknya dalam hati.
Fadil menoleh sekilas untuk memastikan.
“Kau kenal samseng tu?” soalnya apabila Nuha tahu nama samseng yang
mengejar mereka.
“Dia tu...” kata Nuha. Belum sempat menjelaskan sampai habis, kakinya
terkehel memijak sebiji batu. Seperti nangka busuk dia jatuh tersembam. “Aduh!”
Fadil yang sudah terlajak ke hadapan berhenti berlari dan berpatah semula
mendapatkan Nuha. “Ya Allah, kau ni... Kut ya pun nak jatuh janganlah pilih
masa genting macam ni. Dahlah kita kena kejar dengan orang jahat sekarang.
Cepat bangun. Dia orang dah dekat tu.”
“Tak boleh. Kaki saya sakit...” Nuha memegang kaki sambil mengerut muka.
“Kejar! Kejar! Jangan bagi dia orang terlepas!” Usin Koboi memberi arahan
kepada orang suruhannya.
Fadil dan Nuha berpaling serentak. Kemudian saling berpandangan sesama
sendiri.
“Cepat naik belakang aku. Aku kendong kau,” kata Fadil siap sedia
mencangkung di hadapan Nuha.
Mata Nuha terjegil. Fadil nak kendong dia? Biar betul ni! “Err...
Cadangan lain tak ada ke? Saya tak nak pe...”
“Cepatlah panjat belakang aku. Kau tak nampak ke samseng dua ekor tu
masih kejar kita? Nanti kalau dia orang rogol kau, aku tak jamin dapat
selamatkan kau atau tidak.”
“Okey, saya panjat sekarang!” ujar Nuha lantas berbuat demikian. Dia tidak
sanggup membayangkan apa yang diperkata oleh Fadil tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan