FADIL memandang Nuha yang diam
membuang pandangan ke luar tingkap. Matanya kemudian jatuh ke kaki Nuha pula.
“Doktor cakap apa pasal kaki kau?”
Nuha menoleh Fadil sebelum tunduk melihat kakinya yang berbalut.
“Terseliuh sikit aje. Taklah teruk sangat cederanya. Tapi, saya dapat MC
tiga hari,” balas Nuha.
“Nanti surat MC kau tu kasi dekat aku. Esok aku tolong bagi dekat bos
kau.”
Nuha tersentak. Baiknya Fadil. Berapa banyak lagi hutang budi yang dia
nak kena tanggung ni?
“Tak payahlah. Lepas saya masuk kerja nanti saya boleh beri sendiri. Tak
perlu susah-susah.”
“Kau bagi ajelah. Aku tengah ikhlas ni nak tolong kau. Karang rasa ikhlas
ni hilang payah dah aku nak tolong kau. Ofis kau nama apa?” kata Fadil
bersungguh-sungguh.
“Kamal Ghafari & Co.”
“Oh, kau kerja dekat pejabat peguam ke? Tentu kau tahu banyak pasal hal
undang-undang, kan?”
“Saya ni kerja jadi tukang sapu aje dekat pejabat tu, bukannya peguam,”
jelas Nuha tergelak kecil.
Tetapi, ada beberapa terma-terma perundangan yang mesra pada telinganya.
Dari segi dokumen pula, kalau sebut pasal penghakiman, notis usul pemula, afidavit
sokongan atau ekshibit dia tahulah juga sikit-sikit sebab pernah tengok dokumen
itu. Jika Ainun selaku kerani tidak cukup tangan hendak buat kerja, dia rajin
tolong fotostat dokumen-dokumen berkaitan untuk dihantar ke mahkamah, anak guam
dan peguam lawan.
“Alah, apa nak kisah jadi tukang sapu pun. Asalkan kau tak buat kerja
haram sudahlah,” ujar Fadil.
Nuha mengeluh tiba-tiba.
“Nampaknya lepas ni saya kena cari kerja sampingan lainlah nak bayar
hutang dekat ceti haram tu.”
Dia masih lagi menyesali pertemuannya dengan Usin Koboi tadi. Kalau
sebelum ini boleh lagi dia hendak mengelak. Sekarang mustahil sebab dia sudah
cari banyak pasal dengan Usin Koboi. Kalau semua along berhati perut kan
senang.
“Kerja apa kau nak buat? Larat ke?” Fadil mengerling Nuha sekilas.
Lama Nuha bergumam. “Entah. Nantilah saya fikirkan. Awak, nanti kalau mak
dan ayah saya tanya pasal kaki saya ni, awak jangan cerita saya jatuh sebab
kena kejar dengan along tau. Cakap aje saya jatuh longkang.”
Fadil mendengus. “Banyak pulak dosa aku terpaksa tanggung hari ni.”
“Saya tak naklah dia orang tahu pasal hutang saya tu. Nanti dia orang
susah hati pulak.”
“Hmm... Tengoklah kalau mulut aku ni reti nak tekan brek,” balas Fadil
selamba sambil tersenyum sinis.
Nuha menjeling tajam. Geram dia mendengar jawapan Fadil itu.
“JADI, inilah bakal menantu
mak dan ayah ya?” tanya Mak Siti kepada Nuha. Dia tersenyum-senyum memandang
lelaki di sebelah Nuha.
Nuha dan Fadil berpandangan sesama sendiri.
“Siapa cakap?” soal Nuha. Pertanyaan emaknya itu buat mukanya terasa
membahang. Ada ke patut tanya soalan begitu di depan Fadil. Kut ya pun
tunggulah Fadil balik dahulu.
Fadil tersengih-sengih. Tak pasal-pasal kena gosip dengan Nuha.
“Tak adalah, mak cik. Saya kawan Nuha aje. Kami tak ada apa-apa hubungan
pun,” nafi Fadil.
“Alah, kalau ada apa-apa pun pak cik dengan mak cik tak ada halangan
langsung. Tak payahlah malu-malu nak mengaku depan kami,” celah Pak Yaakob
membuatkan Fadil tercengang.
“Aduh! Sakitnya kaki ni...” Nuha memegang betis dan berpura-pura sakit.
Sengaja hendak mengalih perhatian ayahnya daripada bercakap soal itu.
Merepeklah!
Semua mata tertumpu kepada Nuha.
“Macam mana boleh jadi macam ni? Keluar tadi elok aje berjalan. Balik ke
rumah tiba-tiba tak boleh jalan dah,” tanya Mak Siti penuh hairan.
“Dia tak lepas langkah longkang tadi, mak cik. Longkang tu besar.” Fadil
menjawab bagi pihak Nuha. Hah, jangan cakap aku tak payung kau, Nuha.
Nuha menahan senyum mendengar alasan yang Fadil beri. Mujurlah!
Harap-harap emaknya percaya.
Mak Siti mengeluh. “Mujurlah tak patah kaki tu. Eh, dah, naik. Duduk
bersembang kat atas rumah ni. Terlupa pulak mak cik nak tanya. Siapa namanya
kawan Nuha ni?”
“Fadil, mak cik,” jawab Fadil tersenyum.
“Fadil? Fadil Ashraf? Oh, yang hantar sup ayam hari tu ke? Anak Pak Awi
drebar teksi tu?” Bertalu-talu Mak Siti menyoal mendapatkan kepastian. Dia
masih ingat nama yang pernah Nuha sebut.
Pak Yaakob memandang Fadil terkebil-kebil. “La, dah pernah datang dah ke
sebelum ni? Ingatkan baru kali pertama.”
Mata Fadil melirik Nuha. Belum sempat dia membuka mulut, Mak Siti
menjawab bagi pihaknya.
“Hari yang abang pergi kursus dekat Perak tu. Tapi, saya tak sempat
bertemu muka pun dengan dia. Hari ni baru jumpa orangnya.”
“Ooo...” Panjang Pak Yaakob berjeda. Sambil tergelak kecil, dia
memberitahu Fadil.
“Pak cik ni jarang ada dekat rumah, Fadil. Sebab tu selalu tertinggal cerita.”
“Pak cik ni jarang ada dekat rumah, Fadil. Sebab tu selalu tertinggal cerita.”
“Mak, airnya mana? Nak sembang banyak pun biarlah air ada kat atas meja
ni. Kering mulut boleh jugak basahkan tekak,” sampuk Nuha.
Terpaksa dia halau emaknya secara halus begitu untuk mengekang daripada
bercakap pasal Fadil lebih-lebih dengan ayahnya. Dia tidak suka topik itu.
Nanti melencong entah ke mana-mana.
Mak Siti ketawa. “Allah, terlupa pulak mak. Duduk dulu ya, Fadil. Mak cik
pergi buatkan air sekejap.”
“Tak payah susah-susahlah, mak cik. Saya sekejap aje ni. Datang hantar
Nuha aje pun,” tolak Fadil.
“Hisy! Tak bolehlah macam tu. Alang-alang dah duduk berkumpul ni kenalah
minum seteguk dua air kopi. Tanda terima kasih sebab tolong anak mak cik,” kata
Mak Siti lalu pergi ke dapur.
Nuha hela nafas lega. Namun, hanya seketika. Dia kembali tidak senang
duduk apabila Pak Yaakob merisik dengan Fadil bagaimana mereka berkenalan?
Cepat-cepat dia mencelah sebelum Fadil menjawab pertanyaan itu.
“Ayah, boleh tak beritahu dekat mak suruh hidangkan kek batik yang Nuha
buat semalam tu sekali? Nuha lupa nak pesan tadi.”
“Tunggu mak datang nantilah baru beritahu. Jangan kacau ayah nak sembang
dengan Fadil,” kata Pak Yaakob.
“Beritahu sekaranglah, ayah. Nanti tak payah dua tiga kali mak ulang-alik
pergi dapur.”
“Yalah, yalah... Kau ni kacau daun betullah,” sungut Pak Yaakob seraya
bangun meninggalkan Nuha dan Fadil berduaan di ruang tamu.
Selepas kelibat ayahnya menghilang, Nuha terus berkata kepada Fadil. “Awak,
kalau ada lagi dia orang tanya yang bukan-bukan pasal kita, awak cepat-cepat
nafi tau.”
Fadil mengerut muka memandang Nuha. “Kenapa dia orang fikir aku ni bakal
menantu dia orang? Kau beritahu dia orang aku ni calon suami kau ek?”
“Mana ada. Kalau awak nak tahu, mak dan ayah saya tu dah tak sabar nak
tengok saya ni kahwin. Dia orang tengah risau sebab saya masih belum jumpa
calon suami lagi,” jelas Nuha.
Tergelak Fadil dibuatnya. “Umur kau dah berapa tahun sekarang sampai dia
orang susah hati sangat? Dah cecah tahap andartu ke?”
Takkanlah kut. Tengok muka Nuha mana ada berkedut pun. Manis lagi ada.
Ah, dah aku ni kenapa pulak duk puji dia macam tu? getus hati Fadil.
“Dia orang risau saya ni tak laku. Adik-adik saya semua dah kahwin. Saya
aje belum.”
“Salah kaulah sebab tak cari calon menantu untuk dia orang. Jangan sampai
aku pulak yang kena paksa kahwin dengan kau,” kata Fadil.
Nuha mencebik. “Sorry, okey. Saya
belum terdesak lagi nak kahwin. Dan, kalau kena paksa kahwin dengan awak pun,
awal-awal lagi saya tolak tau.”
Wajah Fadil yang tersengih kerek itu dijeling menyampah. Fadil
mengerising.
“Macamlah aku teringin sangat nak masuk meminang kau. Perasan nak
mampus!” tempelaknya tanpa berlapik.
Nuha mendengus. Dia rasa nak tenyeh-tenyeh mulut Fadil dengan tumit
kakinya.
SELEPAS makan malam, Nuha
terus masuk bilik. Badan perlukan rehat setelah melalui macam-macam kejadian
pada siang tadi. Penat sungguh dia rasakan. Lampu dipadamkan. Tetapi, baru
sahaja hendak berbaring, niat itu terbantut apabila telefon bimbitnya berbunyi.
Fida? Lekas-lekas dia jawab panggilan adiknya.
“Hai, mimpi apa ni tiba-tiba aje telefon akak?” tanya Nuha.
Jarang Fida berhubung dengan dia melalui panggilan telefon. Selalunya
guna SMS sahaja. Kata Fida, SMS ke rangkaian nombor yang sama hanya dikenakan
caj satu sen. Lebih jimat berbanding buat panggilan katanya. Huh, dengan kakak
sendiri pun berkira. Kedekut macam Haji Bakhil.
“Nak tanya khabar akaklah. Petang tadi mak telefon Fida beritahu kaki
akak terseliuh. Macam mana keadaan akak sekarang? Dah okey ke?” jawab Fida.
Nak balik melawat Nuha jauh sebab dia tinggal di Johor bersama keluarga
suaminya. Hanya telefon menjadi penghubung.
Nuha pegang kakinya. “Tak ada apa-apalah. Seliuh sikit aje ni.”
“Ha, lagi satu mak beritahu Fida, akak dah ada boyfriend. Betul ke?”
“Apa?!” Nuha menjerit kuat. Hisy! Teganya emak sebar cerita palsu kepada
adik dia. Padahal Fadil sudah buat penafian pun pasal hubungan mereka.
“Fida, mak salah faham tu. Sebenarnya macam ni...”
“Sampai hati betul akak ni tau. Ada
boyfriend tak nak beritahu Fida pun. Jangan sampai masa nak kahwin nanti
akak berahsia jugak dengan Fida. Kalau tak, Fida tak nak tegur akak sampai
bila-bila,” bebel Fida siap beri amaran sekali.
Nuha sudah tepuk dahi. Dan, sekiranya Fida berada di depan dia sekarang,
dia rasa nak tepuk dahi Fida sekali sebab pandai-pandai sahaja buat spekulasi
mengarut begitu. “Eii! Apa kau merepek ni, dik? Bila masa pulak akak ada boyfriend? Calon pun tak ada tau.”
“Habis tu, Fadil Ashraf tu siapa? Takkanlah mak tipu Fida pulak?”
“Fadil Ashraf tu kawan biasa ajelah. Akak tak ada simpan apa-apa perasaan
pun dekat dia. Mak tu yang teruja lebih-lebih bila tahu akak berkawan dengan
dia,” terang Nuha panjang lebar. Kemudian terdengar Fida mengetawakannya.
“Kalau mak dah teruja macam tu, akak faham-faham sendirilah maksud dia.
Akak, Fadil Ashraf tu orangnya macam mana? Okey ke? Kalau okey, akak tak payah
fikir panjang-panjanglah. Buat aje dia jadi calon suami akak. Lagipun akak kena
sedar, usia akak sekarang semakin bertambah. Akak tak takut ke jadi andartu?”
“Amboi, sedap mulut kau bercakap? Mentang-mentanglah kau dah kahwin dan
dah ada anak, kau buat eksyen pulak
dekat akak ya?” Nuha mengetap bibir geram. Semakin besar ketawa Fida menjengah
pendengarannya.
“Fida bukan nak eksyen dekat
akak. Fida cuma nak akak fikir perkara ni secara serius aje. Dua-dua adik akak
dah lama berkahwin. Akak tak rasa apa-apa ke?”
“Tadi Fida cakap nak tanya khabar akak aje, kan? Ni yang meleret-leret
sampai ke topik kahwin ni apa hal? Ada kaitan ke dengan kaki akak yang
terseliuh ni?” Nuha mengetap bibir geram. Dah melencong jauh daripada topik asal
ni. Buat kaki dia terasa semakin bertambah sakit sahaja.
“Eh, mestilah ada. Mak cakap Fadil Ashraf tu yang tolong bawa akak pergi
klinik dan hantar akak balik ke rumah. Jadi, kaitannya adalah akak dengan Fadil
Ashraf tu...”
Nuha buat-buat menguap. Malaslah dia melayan Fida lebih-lebih. “Fida,
akak mengantuklah. Kita sambung borak lain kali boleh? Lagipun doktor pesan
suruh tidur awal dan elak daripada bercakap topik yang boleh mendatangkan stres.
Takut keadaan kaki akak ni jadi semakin serius pulak.”
Fida mendecit dan tarik muncung panjang mendengar alasan Nuha yang
baginya sengaja direka-reka. “Akak ni cari alasan nak mengelaklah tu. Benci!
Okeylah, jaga diri akak baik-baik. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Nuha hembus nafas lega setelah mengakhiri
perbualannya dengan Fida.
Perlahan-lahan dia rebahkan badan dan berbaring, merenung siling yang
tenggelam dalam kegelapan. Datang rasa serabut apabila memikirkan tanggapan
ahli keluarganya pasal Fadil.
“Susahlah macam ni kalau semua orang berkenan dekat mamat tu. Dia orang
tak tahu ke si Fadil tu perangainya macam mana? Takkanlah dengan lelaki poyo
macam tu aku nak buat suami? Mustahillah!” omel Nuha. Kepalanya
tergeleng-geleng menafikan perkara itu. Kemudian dia berfikir lagi.
“Tapi, kalau betul jodoh aku dengan dia macam mana ek? Eii! Malaslah aku
fikir. Tidur lagi baik.” Kain selimut dikelubung ke badan. Mata dipejam
rapat-rapat.
Semua pasal Fadil dia buang jauh-jauh daripada mindanya. Tidak lama
selepas itu dia celik semula. Hisy! Tak boleh tidurlah pula. Apa nak buat ni?
Tiba-tiba terlintas kek coklat dalam kepala. Nuha petik jari perlahan. Dia
bangkit, turun katil, pergi ke dapur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan