NUHA duduk bersandar pada
dinding sambil mengurut-urut pergelangan kaki yang terasa berdenyut-denyut.
Manakala Fadil pula terdongak di sebelahnya, memejam mata rapat. Mereka berjaya
melepaskan diri daripada dua orang samseng tadi dengan bersembunyi di dalam
bangunan kosong yang penuh dengan timbunan kotak yang tidak diguna pakai.
Terasa detik cemas tadi macam drama lakonan dalam TV sahaja. Ada hero dan
orang jahat. Heroin pula dia sendirilah. Kalau pergi uji bakat berlakon, dia
rasa sudah lulus hendak jadi seorang pelakon.
Fadil mencelik mata perlahan-lahan dan menoleh Nuha yang tersengih-sengih
sendirian.
“Kau apasal? Teringat dekat Usin Koboi tadi tu ke?” tegurnya sambil
menyiku lengan Nuha.
Nuha tersentak. Dah celik mata rupanya mamat ni.
“Shhh... Jangan sebut nama samseng tu kuat-kuat. Nanti kalau dia muncul
tak pasal-pasal kita kena kejar lagi,” ujar Nuha separuh berbisik.
“Ni aku nak tanya. Macam mana kau kenal dia? Kau ni bekas awek dia ke?”
“Eii, tolonglah! Tak ingin saya nak berkasih dengan orang jahat macam tu.
Mengarutlah awak ni.” Nuha menyangkal tanggapan Fadil yang merepek lagi tidak
logik itu. Bekerja sebagai ceti haram, memang taklah dia nak jatuh hati
tergolek-golek.
“Dah tu, macam mana kau tahu dia tu Usin Koboi?” Fadil masih tidak
berpuas hati kerana gagal mendapat jawapan yang dimahukan.
Nuha menarik nafas panjang. Disebabkan tidak mahu Fadil terus beranggapan
Usin Koboi bekas kekasihnya, nak tak nak dia terpaksa membuka mulut
mengenainya.
Enam bulan lepas Nuha telah berhutang dengan Usin Koboi, seorang along,
sebanyak satu ribu ringgit. Duit itu mahu digunakan untuk membayar yuran kelas
kek persendirian anjuran tukang masak kek terkenal iaitu Cef Juki. Jumlahnya
800 ringgit sahaja. Baki selebihnya mahu dibuat belanja sementara tunggu gaji
masuk.
Dia tahu banyak risiko berhutang dengan along. Namun, itu sahajalah cara
paling cepat untuk dapatkan duit sebab dia hanya ada beberapa jam sahaja sebelum
tempoh bayarannya ditutup. Nak harapkan duit gaji tidak sempat. Nak pinjam
dengan emak atau ayahnya lagilah tidak tergamak. Dia lebih rela susahkan diri
sendiri daripada menyusahkan orang lain.
Selepas memperoleh duit itu, dia pergi berjumpa dengan seorang lelaki
bernama Malik. Malik merupakan wakil Cef Juki yang menguruskan soal bayaran
yuran. Kata Malik, semua yuran harus dijelaskan by hand. Dia akur sahaja. Lagipun cara itu lebih senang. Tidak
perlu dia bersusah payah pergi bank untuk masukkan duit.
Seminggu kemudian, tiba hari yang dinantikan. Bersemangat dia mahu
menghadiri kelas kek Cef Juki. Setengah jam sebelumnya dia sudah sampai di
tempat yang dinyatakan. Namun, sejam lebih menunggu, bayang Cef Juki pun dia
tidak nampak. Apabila telefon Malik mahu bertanya hal itu, dia terkejut besar
mendengar operator memberitahu nombor itu telah tamat perkhidmatan.
Tak guna! Hidup-hidup dia kena tipu.
Keesokan harinya dia terbaca berita penipuan yang membabitkan Cef Juki dalam
surat khabar. Cef Juki tampil menjelaskan keadaan bahawa ada orang lain telah
memperguna namanya untuk menipu orang ramai bagi mengaut keuntungan. Modus
operandi penipu itu adalah menghantar tawaran melalui SMS secara rambang kepada
semua orang. Menurutnya lagi, ramai yang telah menjadi mangsa penipuan tersebut
sedangkan dia tidak pernah membuka kelas membuat kek secara berkumpulan atau
persendirian.
“TRAGISNYA aku dengar kisah
kau tu,” komen Fadil sejurus Nuha menamatkan ceritanya.
Nuha hanya tersenyum tawar. Mana tidak tragis. Sudahlah kena tipu. Lepas itu
kena kejar dengan ceti haram pula. Hidupnya selama berhutang dengan Usin Koboi
memang tidak pernah tenang. Penuh dengan ketakutan. Berbulan-bulan dia berjaya
menyembunyikan diri. Hari ini terkantoi gara-gara sibuk masuk campur dalam
urusan konco Usin Koboi. Hendak menyesal pun sudah tidak berguna.
“Dah nasib saya. Nak buat macam mana? Tapi, tolong janji dengan saya yang
awak takkan cerita pasal hal ni dekat orang lain sebab saya dengan awak aje
yang tahu. Kalau bocor, saya tahulah awak yang pecah rahsia ni,” pesan Nuha.
“Aku ni muka aje nampak macam orang jahat. Mulut pun jahat jugak
sikit-sikit. Tapi, bab menjaga rahsia, kau tak payah risau. Aku ni seorang yang
boleh dipercayai,” balas Fadil.
Nuha menarik nafas lega. Terasa lapang dadanya mendengar jaminan Fadil
itu. “Awak pulak ada masalah apa dengan Usin Koboi tu? Berhutang dengan dia
jugak ke?”
“Taklah. Aku kacau tempat dia.”
Mata Nuha terjegil. “Awak ni samseng macam dia jugak ke?”
“Bukanlah! Aku busking dekat
kawasan dia tanpa minta izin. Apa lagi, mengamuklah mamat koboi tu.”
Oh, pemuzik jalanan rupanya anak Pak Awi ni. Patutlah di dalam teksi hari
tu dia dengar Fadil berminat nak masuk pertandingan menyanyi. “Salah awak jugak
sebab tak beri salam masuk dalam kawasan orang. Tak ada pasal, siapa suruh cari
pasal?”
“Manalah aku tahu tempat tu ada tuan. Selama ni aku busking dekat mana-mana, tak pernah pulak tersilap masuk dalam
kawasan samseng. Hari ni aje nasib aku malang sikit.”
“Ha... Pasal nasib malang tu saya memang sokong awak. Sebab kalau
melibatkan Usin Koboi, memang nasib selalu tak baik. Cuma saya rasa nasib saya
ni malang lebih banyak daripada awak sebab kaki terseliuh.”
Fadil tengok kaki Nuha. “Kaki kau macam mana sekarang? Sakit lagi?”
“Boleh tahanlah.” Nuha bangun perlahan-lahan dan terjingkit-jingkit
keluar dari tempat persembunyian. Tidak tahanlah dia nak duduk dekat situ
lama-lama. Dengan bau hapak dan hancing lagi. Naik kembang tekak dia dibuatnya.
“Jom aku bawa kau pergi klinik,” pelawa Fadil.
Nuha terkebil-kebil memandang Fadil. Terharu juga dengan keprihatinan
lelaki itu. Tetapi, dia tidak mahu terhutang budi banyak-banyak dengan Fadil.
Susah jadinya nanti.
“Tak apalah. Terima kasih aje. Balik nanti saya boleh suruh mak saya
urutkan dengan minyak panas. Insya-Allah, tak ada apa-apa ni,” tolaknya secara
baik.
“Kenapa kau tolong aku tadi?” Fadil menyoal.
Dia tidak sangka dipertemukan semula dengan Nuha dalam keadaan seperti
ini. Pertolongan Nuha tadi buat dia berasa terhutang budi. Jika tidak kerana
Nuha, memang sudah patah riuk tulangnya dikerjakan oleh orang suruhan Usin
Koboi.
“Entah. Mungkin sebab saya ni suka tolong orang kut,” balas Nuha selamba
sambil tersenyum.
“Kalau macam tu biar aku pulak yang tolong kau. Sebagai ucapan terima
kasih sebab selamatkan aku daripada samseng tadi.”
Kali ini Fadil tidak mengendong tubuh Nuha macam tadi. Tetapi, didukung
pula sehingga Nuha terkedu dan tidak mampu bersuara. Hanya mata Nuha sahaja
terkelip-kelip merenung mukanya.
NUHA masuk ke dalam bilik
doktor tanpa ditemani Fadil. Selesai mendapat rawatan, dia mendapati Fadil
tiada di dalam klinik. Hatinya tertanya-tanya ke mana Fadil pergi? Tidak lama kemudian
dia nampak Fadil masuk ke dalam klinik bersama gitarnya yang patah dua.
“Awak pergi ke lorong tadi semula ke?” tanya Nuha. Gitar dan wajah Fadil
dipandang silih berganti.
Fadil mengangguk lalu duduk di sebelah Nuha yang sedang menanti namanya
dipanggil oleh petugas kaunter ubat.
“Semata-mata sebab gitar tu?” Mata Nuha masih tidak berkelip memandang
Fadil.
Dia tahu Fadil ke situ kerana semasa Fadil melanggarnya tadi dia nampak
Fadil memegang sebuah gitar kapok. Akibat dikejar samseng, gitar itu tidak
sempat dibawa lari bersama.
Fadil tersenyum hambar. “Ini gitar aku cari makan. Mestilah aku nak cari
balik. Banyak jasa gitar ni dekat aku. Tapi, sekarang...”
“Nuha Aisya...”
“Tak apa. Biar aku tolong ambilkan untuk kau,” kata Fadil lantas bangun
pergi ke kaunter. Dia kembali mendapatkan Nuha selepas itu bersama seplastik
ubat.
Nuha teragak-agak hendak mengambil. “Berapa ringgit semua ubat ni?”
“Tak payah bayarlah. Anggap aje aku belanja kau sebagai ucapan terima
kasih.” Fadil menolak apabila Nuha menghulur duit kepadanya.
“Awak dah hantar saya pergi klinik cukuplah tu berterima kasih dengan
saya. Buat apa nak ucap terima kasih banyak kali sangat? Tak rasa penat ke
asyik cakap benda sama aje dari tadi?”
“Itu lebih baik daripada aku cakap benda yang tak elok. Nanti tak pasal-pasal
sakit kaki kau tu melarat ke dalam hati.”
Apa-apa ajelah, Fadil, getus Nuha dalam hati. Dia malas hendak berbalah
dengan Fadil lagi. “Saya nak balik. Tapi, saya nak minta tolong satu perkara
lagi dengan awak. Tolong dapatkan teksi untuk saya, boleh? Saya tak boleh nak
jalan pergi tunggu dekat luar.”
“Tak payah susah-susah. Aku ada kawan yang kerja dekat kawasan ni. Biar
aku pinjam kereta dia aje hantar kau balik rumah. Kau jangan pergi ke
mana-mana. Tunggu sampai aku datang semula,” pesan Fadil lantas meninggalkan
Nuha.
Nuha mengalah. Hari ini begitu banyak dia terhutang budi dengan Fadil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan