Bab 3
KARZRIN menggelengkan kepalanya. Kedua-dua tangannya diangkat tanda dia
tidak setuju dan tidak pernah setuju. Gambar seorang remaja belasan tahun itu
dikuis ke tepi. Dia langsung tidak boleh tengok muka budak pembuli itu. Jahat
tahap psiko!
“Mama dah tak sabar ke nak tengok anak mama ni masuk
hospital bahagia?” selar Karzrin sambil menggelengkan kepalanya.
“Isy, ke situ pula kamu ni. Takkanlah kahwin dengan dia
boleh jadi gila? Mama rasa dia calon paling sesuai untuk Karz. Cantik, putih...”
“Cantik? Muka macam ayam hutan pun cantik ke?” Karzrin
rasa macam nak ketawa sampai putus usus. Dahlah tembam semacam! Eiii...
“Mata mama dah rabun ke? Macam ni pun mama kata cantik?
Karz rasa tahi hidung Karz lagi cantik fizikalnya daripada muka budak jahat ni,
tau?”
“Karz! Tak baik cakap Hannah macam tu!” Datin Mazwin
kerling suami di sebelahnya.
Datuk Hamka dah ketawa terbahak-bahak. Datin Mazwin
menyiku suaminya. Ada ke patut tumpang sekaki gelakkan Hannah?
“Apa susah, Karz? Nanti bawa tahi hidung kamu letak
sebelah muka Hannah. Cuba bandingkan yang mana lagi cantik? Baru puas hati,
kan?” Datuk Hamka menyampuk dan saat itu, sepit ketam darat singgah di
lengannya.
Datin Mazwin ketap bibir. Anak dengan bapa sama aje!
“Mestilah tahi hidung Karz lagi cantik, papa,” jawab Karzrin
yakin.
Dia rela jadi bujang sampai mati daripada mengahwini Nur
Hannah Delayla. Sebut nama dia pun dah buat Karzrin rasa semacam. Kalau dia
perempuan terakhir dalam dunia ini pun, Karzrin tak akan setuju! Tidak!!!
“Itu gambar Hannah masa dia tingkatan empat. Gambar
lama. Sekarang ni dia dah tak...”
“Mama tak payahlah nak describe apa-apa pasal budak jahat tu. Karz tak nak dengar. Karz
tak nak tahu apa-apa pasal dia. Kalau dari dulu lagi buruk, sekarang ni mesti
lagi buruk muka dia! Kenapa mama nak Karz kahwin dengan dia? Mama mimpi apa
semalam? Mimpi dunia dah terbalik ke?”
Karzrin bangun dari gazebo dan mendekati kolam buatan
yang tidak jauh dari situ. Terbantut terus seleranya nak makan kuih koci
kegemarannya. Patutlah mama beria sangat buat kuih koci tu. Rupanya, Ada udang
di sebalik kuetiau. Huh! Nak merajuk...
“Sayang, dengarlah cakap mama ni. Mama berani kerat
jari. Kalau Karz tengok dia mesti Karz akan terpikat.” Datin Mazwin turut
bangun.
Dia berdiri di belakang Karzrin. Belakang anak lelakinya
itu diusap lembut. Karzrin memang macam tu. Kalau ada sesuatu perkara yang dia
tak suka mulalah tarik muka 14. Datin Mazwin sendiri tak pasti kenapa Karzrin
anti sangat dengan Hannah. Seingatnya, sudah berbelas tahun Karzrin tidak
pulang ke kampung. Bencikan Hannah katanya.
Setiap kali pulang, Datin Mazwin terpaksa berdepan
dengan soalan Hajah Hayati dengan Haji Darus tentang Karzrin. Karz tak datang
ke? Karz sihat ke? Terutamanya Hannah. Ada saja yang dia nak tahu tentang
Karzrin.
“Kerat jari mama tu sekarang juga sebab Karz memang
takkan terpikat dengan dia!”
Erk? Datin Mazwin terkedu. Nak kerat jari? Dia belek
jari-jari runcingnya sesaat. Apa gila ke nak main kerat jari pula!
Saat itu, Karzrin berpaling memandangnya. Wajahnya tak
payah cerita. Mendung macam nak ribut. Kelat. Ketat.
“Mama...”
“Karz tak nak kahwin dengan Hannah! Dia tu... pembuli!
Jahat! Dialah orang yang paling Karz tak nak jumpa dalam hidup Karz, mama tahu
tak? Boleh tak jangan paksa Karz?”
“Itu masalah Karz. Bukan masalah mama. Hannah aje yang
mama rasa secocok dengan Karz. Kalau Karz tak nak, mama nak Karz bawa balik
sorang calon untuk mama. Hari ni juga! Kalau tidak, Karz tetap akan berkahwin
dengan Hannah!” putus Datin Mazwin.
Aduh, matilah! Karzrin menggaru-garu kepalanya. Calon?
Setakat hari ini, dia masih belum pernah bercinta. Sebab? Dia pernah kecewa
bila cintanya ditolak oleh Raisya, satu-satunya gadis yang mendapat tempat di
hatinya. Dia serik untuk jatuh cinta lagi. Jadi, mana dia nak cari calon untuk
mamanya?
Karzrin mendengus. Serabut betul dengan perangai
mamanya. Kuat mendesak. Dia menghampiri papanya, Datuk Hamka.
Sasaran: Papa.
Misi: Pancing simpati.
“Papa...” Karzrin merengek-rengek. “Papa tolonglah! Karz
tak nak kahwin dengan Hannah tu!”
“Karz nak papa buat apa? Mama tu bukan reti kesiankan
orang lain. Lagipun, papa rasa Hannah tu baik aje. Cukup sifat sebagai wanita.
Hannah tu baik, Karz,” giat Datuk Hamka pula seraya menghirup teh panas dalam
cawan. Dia sendiri pun suka dengan Hannah.
“Papa!” Karzrin ketap bibir. Argh! Papa pun langsung tak
boleh berkompromi.
“Karz, ini keputusan mama! Kalau Karz tak boleh bawa
balik calon isteri. Maka, Karz kena ikut cakap mama. Tak boleh tidak. Faham?
Lagipun, mama dah beritahu mak su pasal hal ni dan dia orang dah setuju dengan
lamaran mama ni.”
“Mama...” Panggilannya langsung tidak diendahkan.
Karzrin mengeluh apabila mamanya sudah berlalu
meninggalkannya bersama masalah yang sangat berat. Wajah papanya dipandang
dengan harapan. Papanya akan memberikan cadangan bagaimana untuk menghalang
rancangan gila mamanya.
“Karz...” Datuk Hamka menepuk kerusi di sebelahnya
menyuruh Karzrin duduk di situ.
Karzrin akur. Kepala tengah serabut. Fikirannya buntu.
Nampaknya mama betul-betul mahu meneruskan rancangannya.
“Papa rasa, Karz ikut dulu kehendak mama tu.”
Karzrin terus berpaling mendengar kata-kata itu. Tidak
percaya papa akan setuju dengan cadangan mama. Huh! Papa ni, takut bini pun
agak-agaklah!
“Papa ni sama aje dengan mama. Tak pernah faham yang
Karz tak boleh tengok muka budak Hannah tu. Karz tak boleh! Dia tu musuh Karz,
faham tak? Bukan papa tak tahu masa Karz kecil dulu. Dia suka buli Karz. Suka
usik Karz dengan lipas, cicak, tikus. Eiii... Takkanlah mama dengan papa nak
Karz kahwin dengan perempuan tak cukup akal macam dia?” Bulat mata Karzrin
memandang wajah papanya.
Masih banyak lagi perangai Hannah yang dia tak suka.
Kalau nak disenaraikan satu per satu, sampai tahun depan pun belum tentu habis.
“Dengar dulu apa yang papa nak cakap ni...” Datuk Hamka
cuba menenangkan hati anaknya.
“Karz ikut dulu apa yang mama cadangkan tu. Lusa, Karz
ikut papa dengan mama balik kampung. Karz tengok dulu Hannah tu macam mana.
Lepas tu, Karz cakap terus terang dengan Hannah yang Karz tak cintakan Hannah
dan Karz tak nak teruskan perkahwinan ni. Hannah tu kan perempuan. Bila Karz
cakap macam tu mestilah dia pun akan menolak. Bila dia menolak, selesailah
masalah! Yang penting, Karz kena ikut kami balik. Kalau tidak, memang Karz kena
kahwin dengan Hannah.”
Karzrin tersenyum girang. Rancangan papa memang ohsem! Kepala otak papa memang
bergeliga! Boleh buat batu cincin! Kenapa dia tak boleh fikir macam papa?
“Papa memang hebat! Okey, Karz ikut cadangan papa tu.”
Wajah Karzrin mula ceria. Masalah selesai bila Datuk Hamka campur tangan. Nasib
baik ada papa.
“Tapi, jangan beritahu mama pasal hal ni. Nanti papa
yang kena...” Datuk Hamka meletakkan ibu jari di lehernya.
“Mati papa!” tokok Datuk Hamka lagi. Kalau isterinya
tahu, tidur atas lantailah jawabnya dia malam nanti. Tentu isterinya akan
mengamuk sakan!
“You can count on
me, papa. You have saved my life and
I can guarantee that she’ll never know about this. This is between us. Only us!” Karzrin mengenyitkan mata lantas
bibirnya mengukir senyum. Senyuman yang terisi dengan kegembiraan.
Hannah, lepas
ni aku takkan dengar lagi nama kau disebut depan aku. Huh!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan