“ACHOM!” Nuha menggenyeh hidungnya yang berair. Gara-gara mandi
hujan semalam, hari ini dia dapat demam. Bangun tidur pagi tadi badan
menggigil-gigil dan kepala rasa pening. Pergi klinik dapat cuti dua hari.
Nasi air di depan mata dimakan beberapa suap. Terasa lega sedikit
selesemanya selepas itu. Sedang asyik makan, telefon bimbitnya berbunyi. Nama
Pak Awi terpapar pada skrin. Lekas-lekas dia menjawab, “Assalamualaikum, Pak
Awi.”
“Waalaikumussalam. Nuha, ada dekat mana ni?”
“Nuha dekat rumah. Hari ni Nuha tak pergi kerja. Doktor beri MC dua hari
sebab demam. Kan tadi Nuha dah hantar SMS dekat Pak Awi. Tak dapat ke mesej
tu?” beritahu Nuha.
Kemudian dia terdengar Pak Awi berdeham kuat. Aik, lain macam sahaja
suara Pak Awi ni?
“Ini akulah. Fadil,” balas Fadil akhirnya membongkar identiti
penyamarannya.
Nuha segera melarikan telefon dari telinga. Dia merenung lama sambil
menelan air liur dengan susah payah. Fadil? Huh! Semalam buat dajal dekat aku.
Hari ni kau menyamar jadi Pak Awi pulak ya? Macam manalah aku boleh tak cam
suara kau tadi? getus Nuha dalam hati lalu menekap kembali telefon ke telinga.
“Hah! Ada apa ni awak telefon saya? Cakaplah cepat. Nanti habis pulak
kredit ayah awak tu,” kata Nuha dalam nada dingin. Memang tidak patut Fadil
telefon dia menggunakan telefon bimbit Pak Awi. Entah minta izin ke tidak.
“Kau demam sebab kena hujan semalam ke?” tanya Fadil.
“Buat apa awak sibuk nak ambil tahu?”
“Hmm... Maaflah pasal hal semalam. Terima kasih jugak sebab kau mengadu
pasal aku dekat ayah aku.” Fadil menyindir.
Nuha mencebik. “Memang patut pun saya mengadu pasal awak. Semalam nasib
saya malang betul. Dari pagi sampai petang, tak habis-habis kena musibah. Awaklah
punya pasal!”
“Itu semua sebab takdirlah. Bukannya salah aku 100 peratus. Aku hanya
penyebab aje. Tapi, kejadian tu memang dah tertulis dalam rencana Allah,” balas
Fadil membuatkan Nuha semakin berasa geram dan bengang dengannya.
“Amboi! Bukan main sedap lagi awak bercakap? Dahlah. Tak kiralah suratan
takdir ke atau kebetulan ke? Yang pasti, nasib saya semalam memang dah tak
dapat diubah. Memang awaklah puncanya. Sekarang cakap dekat saya. Apa tujuan
awak telefon saya? Awak nak apa lagi daripada saya?” Tinggi suara Nuha
menempelak Fadil.
“Garangnya kau. Cakap lembut-lembut sikit tak boleh ke? Setahu akulah
kan, perempuan ni lemah lembut sikapnya.”
Hampir tersedak Nuha dibuatnya. Ah, kalau dengan orang macam Fadil, tidak
ada maknanya dia hendak bercakap lemah lembut. “Itu perempuan lain. Saya ni tak
sama dengan perempuan yang awak maksudkan. Hah, cakaplah cepat awak nak apa?”
“Aku... aku nak minta maaf.”
“Tadi kan dah minta maaf. Berapa kali lagi awak nak minta maaf ni? Sekali
cukuplah,” marah Nuha.
“Kau jangan nak kelentong akulah. Dengar nada kau bercakap pun aku tahu
kau masih marahkan aku. Atau dalam erti kata lain kau tak ikhlas nak maafkan
aku,” ujar Fadil.
Bibir Nuha senget sebelah. Bijak juga Fadil meneka perasaan orang.
“Ya! Memang saya marah awak. Saya marah sangat-sangat! Sekarang pun marah
saya ni masih tak hilang lagi.” Nuha meluah rasa. Terdengar Fadil menghembus
nafas perlahan.
“Okey, sekarang kau cakap. Kau nak aku buat apa? Aku akan ikut semua
cakap kau.”
“Berhenti kacau saya.” Nuha terus memutuskan panggilan. Malaslah dia
bersembang dengan Fadil lama-lama. Buat jiwa rasa sakit sahaja. Sudahlah dia
tengah demam. Karang melarat-larat pula sakitnya.
“Bergaduh dengan siapa tu, Nuha?”
Nuha tersentak apabila disapa oleh emaknya, Mak Siti.
“Err... tak ada siapa-siapalah, mak. Orang salah nombor tadi. Dia cakap
kasar dengan Nuha. Nuha balaslah kasar jugak,” tipunya mengenai hal sebenar.
Mak Siti bergumam. Dia meletak air suam di hadapan Nuha.
“Lepas ni beli motosikal ajelah buat ulang-alik ke tempat kerja. Kalau
kau tak ada duit, pinjam duit mak dulu. Mak kesianlah tengok kau,” cadang Mak
Siti.
Namun, Nuha tidak bersetuju dengan saranannya. Laju dia menggelengkan
kepala.
“Tak naklah, mak. Nuha lebih suka naik teksi lagi,” balas Nuha.
“Naik teksi pun kadang-kadang lambat sampai. Lambat datang ambil. Tengok
macam semalam, apa dah jadi?”
“Semalam tu sebab bukan Pak Awi yang bawa teksi. Kalau tak, on time aje Nuha pergi balik kerja. Mak
tak payah risaulah. Nuha okey aje pergi kerja dengan teksi pun.” Nuha memujuk
Mak Siti.
“Tapi, kalau kau berubah fikiran, beritahulah dekat mak. Nanti kita ajak ayah
sekali pergi tengok motosikal dekat kedai Uncle
Acong tu. Beli dengan dia boleh dapat murah sikit,” pesan Mak Siti.
“Yalah, mak,” ujar Nuha sekadar menyedapkan hati emaknya.
HERMAN memerhati gelagat
Fadil. Diam sahaja memetik gitar tanpa menyanyi. Sikap Fadil hari itu agak
berlainan sedikit daripada selalu.
“Ni apa hal ni, datang dengan muka monyok stail orang putus cinta aje? Apa masalah kau ni? Cuba cerita sikit
dekat aku.” Kerusi berhampiran Fadil ditarik dan Herman duduk menghadap lelaki
itu.
Fadil mengangkat muka dan berhenti memetik gitar. “Man, kalau perempuan
tengah marah, kau tahu macam mana cara nak pujuk dia?”
Dahi Herman berkerut mendengar soalan itu. “Siapa pulak yang marah kau?”
“Adalah sorang budak perempuan tu...” nyata Fadil. Wajah Nuha bergayut di
depan mata.
“Awek ek? Wah, dah ada awek kau tak beritahu dekat aku pun. Diam-diam aje
kau bercinta. Tergamak betul kau ni,” sungut Herman seakan-akan berjauh hati.
“Bukan aweklah...” Fadil menyangkal.
Lagipun perempuan mulut celopar macam Nuha tu mana sesuai menjadi awek
dia. Bergaduh sahajalah 24 jam.
Kening Herman terangkat. “Dah tu, yang kau peduli sangat pasal dia
apasal? Biasanya awek aje yang buat lelaki bujang macam kau ni susah hati duk
fikir.”
“Bukan awek akulah, bro. Dia tu
pelanggan teksi ayah aku. Semalam aku tolong hantar dia pergi kerja. Tapi, masa
balik aku terlupa nak pergi jemput dia. Apa lagi, marahlah minah tu. Sebelum tu
ada perkara lain jugak yang aku buat dia marah.”
“Kau buat apa?”
“Aku suruh dia tolak teksi sebab minyak habis.”
Ketawa Herman meledak. Terus dia sekeh kepala Fadil. “Ada pulak macam tu.
Bongok betullah kau ni, Fad.”
Fadil membetulkan rambutnya. Memang kelakar apabila diingat semula.
Tetapi, kagum juga dia dengan Nuha. Kuat kudratnya menolak teksi.
“Yang kau terlupa tu kes apa?” soal Herman.
“Petang semalam kan hujan. Syoklah aku bantai tidur. Tak sangka pulak
terlajak sampai dekat pukul 7.00. Ayah aku balik dari Kuantan terus membebel
aku sebab perempuan tu mengadu dekat dia,” jelas Fadil.
“Jadi, kau menyesallah ni?”
“Taklah menyesal sangat. Cuma, rasa bersalah sikit sebab hari ni dia
demam. Tadi aku call tanya keadaan
dia, bukan main teruk aku kena marah.”
Lama Herman merenung wajah Fadil sebelum tersengih-sengih sambil
menggerakkan jari telunjuk ke muka Fadil. Sikap peduli Fadil buat dia mengesyaki
sesuatu. “Awek tu cantik ke?”
“Boleh tahanlah. Tapi, mulut busuk sikit.”
“Jenis malas gosok gigi?”
“Agaknyalah kut sebab celopar lain macam,” kata Fadil lagi.
Tanpa sedar bibirnya tersenyum. Maksud dia tadi bukan busuk sebab tidak
gosok gigi. Tetapi, cakap tidak bertapis. Dia bersembang dengan Nuha tidak ada
pula bau longkang. Bau wangi dan manis adalah. Entah minyak wangi jenama apa
Nuha pakai.
Herman memandang Fadil tersenyum sendirian. Segera dia membuat telahan.
“Kau ni macam dah tangkap cintan dekat dia aje. Betul tak?”
“Woo! Memang taklah aku hadap
dengan perempuan macam tu.” Fadil menggeleng-geleng kepalanya.
“Ia ke? Tapi, aku tengok kau susah hati lain macam aje?”
Fadil mengeluh. “Macam mana aku tak susah hati kalau aku yang jadi penyebab
dia jatuh sakit.”
“Alah, kalau kau suka pun mengaku ajelah depan aku.”
“Gila! Takkan baru sehari kenal dah jatuh suka. Biar logik kau ni.”
“Cinta tak mengenal waktu. Sesaat pun kau boleh jatuh cinta kalau Allah
izinkan semua tu berlaku.”
Fadil mengerising. Kelakar pula dia dengar Herman bermadah pujangga.
“Itu kau. Bukan aku,” balasnya terus menafikan telahan Herman.
“Kalau aku jadi kau, aku ajak aje dia keluar. Belanja dia makan ke.
Barulah nampak ikhlas nak minta maaf.”
Cadangan Herman buat Fadil termangu. Ajak Nuha keluar? Macam okey.
Tetapi... “Kalau dia tak sudi?”
“Pandai-pandailah kau pergi ke rumah dia pujuk sampai dia sudi.”
Fadil mendecit. “Ini yang lecehnya. Mana aku tahu dia tinggal dekat
mana?”
Herman mengeluh berat. “Nak seribu daya, Fad. Kalau tak nak,
macam-macamlah alasan yang kau beri.”
Mata Fadil terkelip-kelip memandang Herman. Perlu ke dia buat semua itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan