“Hoi, Fa! Kau nak makan lagi ke tak? Kalau
nak, aku masak lebih.” Kepala Ika terjengul di sebalik ruangan dapur. Wafa yang
tengah duduk bersenang-lenang di atas sofa di ruang tamu dipandang sekejap.
“Aku kenyang lagilah. Tapi, kalau kau nak masak lebih pun tak apa. Aku
makan aje,” jawab Wafa sambil tangan sibuk menggodek-godek telefon. Dia tengah
semak e-mel daripada pembekal-pembekal butik mereka.
“Kau tu dah nak kahwin, Fa. Bawak-bawaklah diet sikit. Tak muat baju
nikah kau tu karang baru tau.”
“Alah, aku makan banyak pun jenis badan yang tak naik-naik. Lainlah macam
kau, melantak sepinggan dua pun badan dah naik berkilo-kilo!” Mengekek-ngekek
Wafa ketawa. Sengaja menyakat kawannya itu.
Ika yang mendengar terus keluar dari dapur. Pap! Laju dia mencampak
bantal tepat ke perut Wafa.
“Hoi, senak perut aku tau tak!” Wafa campak semula bantal kepada Ika.
Kemudian, dia usap-usap perutnya. Serius, senak! Mana taknya, dia baru saja lepas
melantak bihun sup di Dataran Cendekiawan (DC) di UiTM Shah Alam tadi. Adeh,
sesak nafas dia dibuatnya.
“Mulut tu pergi buat insurans ya, Fa!”
Wafa hanya balas kata-kata Ika dengan memuncung-muncungkan mulut. Saja nak
buat Ika lagi bertambah sakit hati.
“Dahlah, malas aku nak layan kau ni!”
Wafa tergelak bila tengok Ika yang dah menonong ke dapur semula. Pergi bawa
dirilah tu. Ika ini pesen yang rajin
ke dapur. Ada saja resipi baru yang kawannya itu nak cuba. Tapi, bagus jugalah.
Sebab yang tukang habiskan semua makanan itu nanti, dia. Hahaha!
Sudah selesai menyemak dan membalas e-mel pembekal, dia tengok pula
gambar dan video Dubsmash orang di Instagram. Tengah dia syok menonton,
tiba-tiba skrin telefonnya muncul nama seorang pemanggil. Berubah terus muka
Wafa bila tengok nama itu. Terus dia decline
panggilan itu.
Tapi, tak sampai lima saat, orang itu telefon dia lagi. Sampai adalah
beberapa kali dia terpaksa batalkan panggilan itu. Tapi, bila dah banyak kali
sangat orang itu cuba menelefonnya, dia terus saja angkat panggilan itu.
“Kau nak apa, Idham?!”
“Saja. Am rindu dekat Fa,” ucap suara dekat hujung talian. Meleret saja
bunyinya.
“Rindu itik kau! Kau nak apa lagi ni? Jangan ganggu aku lagi boleh tak?!”
“Tapi, Am tak boleh lupakan Fa. Am masih sayangkan Fa.”
Wafa ketap bibir. Sayang nenek kau! Hah, geram pula dia rasa. Masih sayang
konon. Sayang, tapi tak setia nak buat apa! Sayang apa ke bendanya macam itu?
Sayang hampeh adalah! Inilah yang dia
tidak suka dan dia tak faham.
Kenapa? Kenapa Idham masih nak ganggu hidup dia? Padahal, antara mereka
bukannya ada apa-apa lagi dah. Sebab itulah dia minta tolong Karl supaya
berlakon di depan bekas kekasihnya itu. Dia nak balas balik semua perbuatan
Idham!
“Tak payah nak bersayang-sayang sangatlah!” sangkal Wafa, geram.
“Betul. Am tak tipu. Dalam hati ni, hanya ada nama Fa aje. Tak ada orang
lain dah.”
“Banyaklah kau tak ada orang lain. Tu bakal bini kau tu, nama dia tak ada
ke dalam hati kau?”
Senyap. Diam terus Idham jadinya.
“Kalau betul kau sayang aku, batalkan wedding
kau dengan Elli. Boleh ke?” cabar Wafa, berani.
Wafa yang tadi sedang berbaring, terus duduk. Tak sabar dia nak tunggu
jawapan daripada bekas kekasihnya itu.
Hah, tak terjawab pun, kan? Dasar lelaki! Hanya menanam tebu di tepi bibir!
Kalau dapat kat aku, aku tukar tebu tu dengan cili padi. Biar berasap, berapi!
Heh!
“Fa, Am...”
“Fa, Am. Fa, Am! Dah, tak payah nak banyak cakap! Lelaki macam kau ni,
memang tak pernah cukup dengan seorang perempuan. Kau jangan nak ganggu aku
lagi. Aku pun dah nak kahwin hujung bulan ni. Bye!” Wafa terus tekan skrin matikan talian.
Sempat juga dia mention pasal
dia nak kahwin hujung bulan ini. Biar, biar! Idham ingat, dia seorang saja
boleh kahwin dan nak menunjuk konon lelaki itu seorang saja yang tengah bahagia
di dalam dunia ini? Dia pun bolehlah!
Tapi, serius ke dia boleh bahagia dengan Karl? Errr... entah. Tak
terkomen pula dia kalau pasal itu. Harap-harap bolehlah.
KARL pegang erat iPhone milik dia itu. Kemudian, dia mencari nama
seseorang di bahagian contacts. “Nak call ke, tak nak? Call ke, tak?”
Karl garu-garu
kening. Dia duduk di birai katil sambil memandang lama ke arah skrin telefon.
Tak tahu nak buat keputusan sama ada nak telefon Wafa ataupun tidak. Jam baru
pukul 10.30 malam. Alah, mesti perempuan itu tak tidur lagi. Call sajalah.
Nombor Wafa didail.
Tapi, muncul perkataan waiting pada skrin
telefon. “E,eh, perempuan ni! Bergayut dengan siapa pulak dia ni?”
Karl matikan talian.
Kemudian, dia dail sekali lagi. Masih sama seperti tadi. Wafa tengah berbual
dengan seseorang di talian. Eee, dengan siapa pula perempuan itu bercakap? Ini
nak dia nak jealous ni! Dia jealous? Macam pelik saja bunyinya?
Tak dapat telefon, Karl
terus laju menaip ayat di aplikasi WhatsApp.
Kau tengah call siapa, hah?
Sesaat. Seminit. Nak
dekat 10 minit. Wafa masih belum baca mesej yang dia hantar. Tanda tick masih belum bertukar menjadi warna
biru. Amboi, lama betul boraknya ni!
Karl mahu dail
semula nombor Wafa. Baru saja dia nak dail, telefonnya berbunyi tanda ada mesej
WhatsApp yang baru masuk. Ceh, baru nak reply
perempuan ni!
Idham call.
Dia nak apa?
Nak mintak kaki!
Tergelak terus Karl
dibuatnya. Ganas betul si Wafa ini. Tengah marah, macam-macam anggota badan dia
nak sebut. Kakilah, tanganlah. Apa sajalah... Terasa malas nak menaip, Karl
terus saja mendail nombor Wafa. Tak sampai dua saat, panggilannya bersambung.
“Amboi, laju angkat,”
perlinya sambil tersenyum senget.
Kalaulah Wafa nampak
senyum sengetnya ini, seratus peratus dia confirm
yang hati bakal bininya itu akan cair.
“Tertekan.”
“Tengah bengang lagi
ke?”
“Maunya saya tak
bengang. Kalau datang tu, tak pernahnya tak menyakitkan hati. Dah ada kekasih
baru, duk sibuk cari saya lagi nak buat apa?! Heh!”
“Eh, kau ni...
Janganlah nak emo sangat. Alah, apa susah? Kau block ajelah nombor dia. Tak adalah dia nak kacau kau lagi.”
Tiada balasan
daripada Wafa di hujung talian. Karl dah buat muka sinis. Tahu dah apa yang ada
dalam hati Wafa sebenarnya.
“Ni mesti kes tak
sampai hati, kan? Kau ni, mulut aje bising-bising cakap menyampahlah, bencilah,
sakit hatilah. Tapi, kau sebenarnya suka dia cari kau lagi, kan? Suka bila dia
cakap dia masih sayangkan kau. Sebab semua tu buat kau rasa macam dia masih perlukan
kau. Konon-konon macam dia payah nak lupakan kau. Buat kau rasa macam kau ni spesial
sangat dekat mamat tu. Itu pasal kau tak nak block nombor dia. Itu sebabnya, kan? Aku tahulah, Wafa.”
“Errr, emm, mana
ada!” Laju Wafa nafikan.
Karl tergelak
mendengar respons daripada Wafa yang agak tergagap-gagap itu. Dia memang dah
agak. Percaya ataupun tidak, memang itulah realitinya bagi seorang perempuan.
Mulut dan hati tak pernah sekata.
Orang perempuan ni,
mulut bukan main kutuk. Dalam hati? Mereka sebenarnya nak diberi perhatian, nak
dipujuk, nak dibelai. Sebab itu selalunya mereka akan konon-konon marah. Padahal
nak minta perhatian lelaki saja. Okeylah, mungkin tak semualah perempuan macam ini.
Tapi, memang ada yang pesen macam ini.
Salah seorangnya, bakal bini dia inilah. Wafa Adlina.
“Awak nak apa call saya sebenarnya ni?”
Karl tergelak lagi.
Semenjak dia kenal dengan Wafa ini, dia selalu saja gelak. Apa kena entah.
Ceria saja dia rasa hidupnya. “Aik, tukar topik ke?”
“Kalau awak call semata-mata nak tambah rasa sakit
hati saya ni, baik saya letak. Buang masa aje.”
“Eh, nantilah. Okey,
okey. Aku saja aje call kau. Saja nak memupuk rindu dekat dalam hati
ni. Nanti dah kahwin senang,” ucap Karl tergelak-gelak.
“Banyaklah awak
punya nak pupuk rindu. Sekali saya puk
dengan tangan ni karang, baru tau!”
Meletus besar ketawa
Karl. Kan dia dah cakap tadi, Wafa bila tengah marah, suka sebut pasal anggota
badan. Memang trademark perempuan itu
agaknya. “Kau ni, memang tak reti betul nak romantik dengan bakal husband sendiri kan.”
“Tak payah nak
romantik sangatlah! Nak semua tu, tunggu dah kahwin nanti. Lebih daripada
romantik pun saya boleh bagilah.”
Daripada duduk, Karl
dah berbaring di atas katil. Seronok pula rasanya berborak dengan si Wafa
malam-malam begini. Suara Wafa di dalam telefon pun bukan main comel lagi.
Dalam kasar, ada godanya. Hahaha! Okey, itu dia yang over.
“Betul ni? Aku
tuntut nanti, Wafa.”
“Nak tuntut apa
benda pulak ni?”
“Tuntut kau jadi
romantik dengan akulah. Tak sabarnya rasa, weh...” ucapnya perlahan. Perangai
sengal Karl dah mula keluar.
Wafa yang dah
perasan akan kesengalan Karl itu, terus cepat-cepat nak tamatkan talian. “Awak,
kalau nak jadi tak betul, jadi orang-sorang eh? Pi jauh-jauh sana tu. Tak
laratlah haih saya nak layan awak. Bye!”
Tut. Tut. Tut.
Talian terus mati. Karl di atas katil dah mengekek ketawa. Dia dapat bayangkan
muka Wafa yang dah merah sebab malu. Ah, rindu pula dia dengan wajah itu! Eh,
rindu? Dah angaukah dia?
KARL sandarkan tubuhnya pada badan kereta Audi hitam miliknya itu.
Jam di tangan dipandang sekilas. Kalau ikutkan petang ini dia ada hal dengan klien.
Tapi, dia terpaksa batalkan gara-gara Wafa. Gadis itu suruh dia bersiap sedia.
Nak kena berlakon di Setia City Mall katanya.
Ini pun, dari tadi lagi
dia dah tercongok di depan Sweet Sweet Couture. Menunggu Wafa yang tak
siap-siap membuang ‘hajat’ di dalam bilik air. Nasib baik hari mendung saja.
Kalau panas, memang taklah dia nak berposing
macam model di bawah langit ini, hah.
Bila matanya
menangkap susuk tubuh Wafa yang dah berjalan keluar dari butik, dengan malas
dia berdiri tegak.
“Okey dah ke perut
tu?” tanyanya dengan bibir memuncung ke arah perut Wafa.
Wafa mengangguk kepala.
“Okey dah. Saya laparlah, Karl. Nanti nak makan banyak-banyaklah.”
“Kau tu mana pernah
makan sikit,” perli Karl, perlahan.
Wafa yang baru nak
masuk kereta, terus tak jadi. “Awak cakap apa tadi?”
“Tak, aku cakap
makanlah banyak-banyak. Nanti aku bayarlah.” Fuh! Karl lega. Nasib Wafa tak
dengar. Kalau dengar, panaslah telinganya mendengar Wafa membebel-bebel di
dalam kereta nanti.
“Haruslah lelaki
yang bayar. Takkan perempuan pulak. Apalah... Tak gentleman langsung!”
Karl pusingkan
bebola mata sambil masuk ke dalam kereta. Apa-apa ajelah, Wafa oi.
Perjalanan dari
Seksyen 7 ke Setia City Mall bukannya lama mana pun. Tapi, disebabkan banyak
sangat kenderaan di atas jalan yang sama, sampai panas jugalah pungung Karl
dengan Wafa.
“Ni nak kena
berlakon macam mana ni?” Karl pandang Wafa sekilas sambil sebelah tangannya
memegang stereng kereta.
“Berlakon macam awak
sayang saya, saya sayang awaklah.”
Karl yang mendengar,
terus senyum. “Kau sayang aku ke?”
“Isy, berlakon
ajelah,” balas Wafa.
“Kalau real, kau sayang aku tak?”
Wafa toleh ke sebelah.
Dia saja buat muka blur. “Soalan
apakah itu, wahai Encik Karl?”
“Soalan direct yang biasa orang tanya, Cik Wafa.
So, kau sayang aku tak?”
“Kena sayang ke?”
Karl kecilkan mata memandang
Wafa. Geram pula dia tengok Wafa hari ini. Sudahlah penampilan gadis itu nampak
lain. Dengan pencil skirt paras bawah lutut dan berkemeja blaus warna
merah yang dimasukkan ke dalam dan rambut panjang yang dilepaskan bebas beralun
begitu...
Wau! Wafa nampak
cantik, menarik dan dia tertarik sangat! Sudahlah kulit gadis itu putih
melepak. Gebu. Pakai pula pakaian warna merah cili dan hitam seperti itu,
memang nampak sungguhlah kontranya.
“Eh, mestilah kau
kena sayang. Rugi tau kalau tak sayang lelaki macam aku ni.”
Wafa pamerkan senyuman
sinis. “Tak rugi mana pun.”
Karl mencebik. Geram
dengan jawapan selamba perempuan itu.
“Ni, kau pakai
cantik-cantik sangat ni kenapa? Nak menggoda Idham? Ke, kau nak goda aku?” ucap
Karl sambil mata mengimbas penampilan perempuan itu buat entah yang ke berapa
kali.
Kalau betul perempuan
itu nak menggoda dia, ya. Dia memang tergoda. Nak jatuh dah iman dalam dada ni,
hah!
Wafa tunduk melihat
pakaian dia sendiri. Rasanya biasa saja. Mungkin sebab ini kali pertama Karl
tengok penampilan dia yang seperti ini kut. Itu yang lelaki itu banyak mulut
sikit. “Cantik apanya? Biasa ajelah. Saya ada meeting pagi tadi. Tu pakai macam ni. Kenapa? Awak rasa tergoda
ke?”
Gila tak tergoda!
Karl lirikkan mata ke arah Wafa. “Lepas ni, jangan nak pakai macam ni lagi.
Pakai seluar. Macam selalu tu. Faham?”
Karl tidak mendengar
sebarang jawapan daripada Wafa. Dia toleh ke sebelah. “Aku tanya kau ni, faham
ke tidak?”
Wafa buat dek saja. Malas dia nak layan. Eleh,
suka hati dialah nak pakai apa pun. Badan dia.
“Nanti bila kau dah
jadi isteri aku, aku tak nak kau pakai seksi-seksi macam ni lagi. Nak seksi ke,
tak pakai apa-apa langsung ke, biar dekat rumah. Biar aku seorang aje yang
tengok. Yang kau sibuk nak tayang kat orang lain tu buat apa?”
“Yalah, Encik Karl!”
balas Wafa tak rela. Malas sungguh rasanya nak mendengar lelaki itu mengomel.
Boleh tahan pedas berapi juga mulut lelaki itu. Heh!
Sampai
saja di Setia City Mall, mereka bergerak mencari Manhanttan The Fish Market.
Elok saja dah sampai di depan restoran itu, Wafa tarik laju lengan Karl.
“Awak, kejap, kejap.”
Karl mula pelik
tengok reaksi Wafa. “Hah, kenapa pulak?”
“Saya cantik tak?”
Karl pandang Wafa
atas bawah. “Ya, cantik.”
“Jujur ni? Tipu,
dosa!”
Geram pula Karl
dengar ayat Wafa itu. Orang dah cakap betul-betul, tak nak percaya pula. Gigit
pipit gebu tu karang baru tau! “Ya, aku tak tipu. Kau cantik, lawa, comel,
jelita, hah... Apa lagi kau nak aku cakap?”
Wafa kecilkan mata.
“Eee, main-main eh!”
Karl tergelak. “Dah,
jom masuk. Aku lapar ni.”
Karl dan Wafa
melangkah masuk ke dalam restoran itu.
Dalam hati Wafa
berharap sangat yang Idham turut berada di situ. Dan, dia rasa macam nak
melompat-lompat bintang saja bila tengok mata Idham macam nak tersembul keluar bila
nampak kelibat dia dengan Karl. Hah, ambik kau!
“Lelaki berkemeja
biru tu Idham ke?” bisik Karl di telinga Wafa.
“Ha’ah. Dialah tu.”
“Okey. Tangan kau tu,
peluk lengan aku cepat!”
Wafa ikut kata-kata
Karl. Perlahan-lahan, dia peluk lengan lelaki itu. Erat pegangannya.
Karl memilih tempat
betul-betul di depan meja Idham dengan bakal isterinya itu. Wafa rasa macam nak
peluk-peluk saja Karl ketika itu. Pandai betul tunangnya itu mainkan peranan.
Lagi senanglah dia nak buat Idham ternganga sampai muntoh hijo tengok dia dengan Karl. Hahaha!
“Apasal taste kau teruk sangat eh?” tanya Karl
bila selesai buat pesanan untuk dia dan Wafa.
“Maksud awak?” Wafa
pelik. Taste apa yang lelaki itu
maksudkan? Makanan atau...
“Apa yang kau nampak
dekat Idham tu? Aku ni sejuta kali lagi kacak tau.”
Wafa kerling Idham
sekejap. Lelaki itu tak lepas daripada terus memandang ke arahnya walaupun Elli
berada di sebelah.
Wafa pandang Karl
semula. “Jangan nak perasan boleh?”
“La, aku cakap benda
yang betul kut. Kau pun rasa aku ni lagi handsome
daripada mamat tu, kan? Betul
tak?” Karl kerdip-kerdip mata. Dalam hati berharap sangat yang Wafa akan cakap
dia lagi kacak daripada bekas kekasih tunangnya itu.
Wafa tahan bibir daripada
tersenyum. “Yalah, fine! Awak lagi handsome. Tapi, tak adalah sampai sejuta
kali. Satu kali aje cukup.”
“Ceh! Nak menangkan jugak
bekas boyfriend dia tu. Heh, ambiklah!”
Karl cebikkan bibir. Konon-konon merajuk.
Tergelak juga Wafa
dibuatnya bila tengok muka konon comel Karl itu. Tak sedar diri dah tua bangka,
nak buat memek muka macam itu pula. Lawa sangatlah tu?
Makanan akhirnya sampai
ke meja mereka. Mereka memesan fried country
mushrooms, quad delight, mac ‘N cheese, fish ‘N chips, scalllops fish
chicken dan set grillin ‘N chillin.
Nah, makanan serupa untuk lima orang makan! Padahal untuk mereka berdua saja.
Yalah, masing-masing dah lapar. Terutamanya Wafa yang dah kosongkan perut
sebelum keluar tadi.
“Meh, aku suapkan
kau.” Karl angkat sesudu makanannya dan dia suakan ke mulut Wafa.
Serius, Wafa tak
boleh nak tahan daripada tersenyum. Rasa kelakar sangat!
“Cepat, Wafa. Kata
nak aku berlakon macam aku sayangkan kau, kan? Aku tengah sayangkan kaulah ni.
Cepat!” gesa Karl.
Wafa laju membuka
mulut. Bila makanan dah masuk dalam mulut, terus dia tutup mulut dengan tangan.
Takut tersembur sebab dia memang rasa nak tergelak sekarang ini. Alahai!
“Nak lagi?” tanya
Karl.
Wafa laju menggeleng
kepala. Di dalam mulut ni pun tak habis telan, Karl oi.
“Apasal comot sangat
ni, sayang? Alololo... Meh, aku lap
meh.” Karl lapkan tepi bibir Wafa yang sedikit comot dengan kain.
Wafa pula masih
seperti tadi. Beria-ia cuba menahan gelak daripada terhambur.
“Macam mana lagi nak
tunjukkan yang aku sayang dekat kau, eh? Apa kata aku cium pipi kau. Nak tak?”
Wafa yang tengah
mengunyah, bulatkan mata. No, no,
no!
“Aku pura-pura kiss kau, eh?” ucap Karl lagi, makin
mendekat dengan pipi Wafa. Sikit lagi... sikit lagi... dan... “Kau rasa mamat
tak handsome tu pengsan tak tengok
aksi kita ni?”
Bisikan yang penuh maco
di telinga Wafa itu serius buat dia dah tak dapat nak kawal diri lagi. Selaju
mungkin dia telan makanan dan terus dia hamburkan ketawa. Nasib baik dia tutup
mulut dengan tangan. Kalau buka, memang bergegar restoran ini dengan gelak
menggelegak dia. Keturunan Mak Jemahlah katakan. Hahaha!
Karl duduk, tegakkan
badan semula. Dia siap tayang muka manis dan kontrol handsome lagi. Ceh!
“Hebat tak lakonan
aku?”
Wafa angkat tinggi
ibu jari dia. “Sangat!”
Tengah mereka galak gelak,
Wafa perasan Idham dah mula bangun dan berjalan keluar dengan bakal isterinya
itu. Dia tengok makanan di meja pasangan itu masih banyak. Ini mesti kes tak
lalu makan, kan? Hahaha! Padan muka!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan