Waktu yang sama, tempat saja berlainan
DATIN MAZWIN mengetap bibir melihat wajah anak tunggalnya. Relaks aje! Macam tak ada apa-apa yang
berlaku. Ikutkan hati, nak saja dia kasi penampar Arab ke pipi anak terunanya.
Dah kena perli tahap berdesing telinga pun masih ada hati membelek majalah. Eiii,
memang spesies papanya juga budak ni!
“Karz, Dengar tak apa yang mama cakap ni?” Datin Mazwin
merengus sambil menarik muncung todaknya. Ditepuknya bahu Karzrin. Kuat.
“Dengarlah mama. Sejak bila pula anak mama jadi pekak?” balas
Karzrin berbasi-basi. Malas mahu melayan amarah mamanya.
Tak lain tak bukan mesti punca kes baling kek di majlis
ulang tahun perkahwinan Datin Hanum dengan Dato’ Jamil semalam. Karzrin sudah
letih mendengar mamanya menceceh.
“Kalau dengar, kenapa tak jawab? Mama tak kira. Mama nak
Karz kahwin hujung minggu ni juga!” Putus Datin Mazwin tegas.
“Kahwin?” Karzrin terbeliak. Mamanya angguk macam burung
belatuk.
“Hujung minggu ni?”
Datin Mazwin mengangguk lagi. Kali ini, dengan bibir
yang dikemam. Masih marah dengan insiden semalam.
“Mama nak Karz kahwin dengan siapa? Dengan tiang lampu
kat luar tu?” Karzrin meletakkan majalah di atas meja. Wajah mamanya dipandang
sekilas.
Sejak lima tahun lepas, itulah yang sering dia hadap.
Mama asyik suruh dia kahwin aje. Kalaulah telinganya boleh bercakap, Agaknya
dah lama mama kena sound balik.
Kahwin! Kahwin! Kahwin!
“Pasal tu Karz jangan risau. Mama boleh uruskan. Ramai
yang sanggup jadi isteri Karz tau. Kalau mama ofer, tentu bersusun perempuan yang bersedia nak jadi isteri kamu,” giat
Datin Mazwin bersemangat.
“Mama jangan buat pasal. Ramai yang nak jadi isteri Karz,
tapi Karz tak nak jadi suami dia orang. Faham?” bantah Karzrin tegas.
Bukan sebarang wanita yang boleh menjadi isteri kepada
Karzrin Bin Datuk Hamka. Nak jadi isterinya mesti perfect! Ada ke wanita yang perfect? Setakat ni, dia masih belum jumpa yang
betul-betul perfect. Yang berlambak
macam CD cetak rompak tu bukan perfect, tapi kerek!
“Karz jangan bantah cakap mama. Kali ni, mama nak Karz
kahwin juga. Karz tahu tak ada orang dah cop Karz ni, gay! Dia cakap yang Karz
ni suka lelaki sebab tu Karz tak kahwin-kahwin lagi. Eiii... Sakit hati mama ni
tahu tak? Boleh pula dia cakap anak mama yang handsome ni, gay?”
Dia marah betul! Ada ke patut Tengku Mariah menuduh
Karzrin lelaki gay? Depan ramai teman-teman rapat mereka pula tu. Siap gelak
macam puntianak lagi. Suka sangat agaknya bila dapat dosa memfitnah orang. Dia
memang menempah maut.
Apa salah Karzrin kalau dia masih belum kahwin? Ada ke
status Karzrin yang masih bujang tu mengganggu hidup dia? Memang tak pun. Jadi,
Tengku Mariah sengaja cari pasal. Ini Datin Mazwin. Sanggup berkorban apa
sahaja demi anak tersayang. Kebetulan, ketika itu Datin Hanum sedang memotong
kek empat tingkat yang nampak sangat sedap. Hati tengah meradang, terus dia
mengambil kek itu dan, pappp!
Wajah Tengku Mariah yang mulanya mengalahkan pelakon Opera
Cina bertempek dengan kek. Huru-hara majlis itu dengan aksi berbalas baling kek
mereka berdua. Padan muka kau Tengku Mariah!
“Mama ingat kahwin ni boleh buat macam main
pondok-pondok ke? Biarlah orang nak cakap apa pun. Mama tak payah nak fikir
sangatlah. Lagipun Tengku Mariah tu memang mulut dia bau longkang. Kalau dengan
dia pun mama nak ambil hal. Nanti mama pun terkena bau longkang tu.” Sinis
Karzrin berkata lagi.
Dia langsung tidak ada hati nak kahwin. Dia nak fokus
pada kerja dan syarikatnya. Kalau kahwin waktu ini memang cari nahaslah!
Perempuan memang leceh.
“Mama tak kira! Karz kena kahwin jugak. Mama nak tutup
mulut Tengku Mariah tu sampai bila-bila.”
“Kalau macam tu, mama bagi dia racun tikus ajelah.
Memang sah dia akan tutup mulut sampai bila-bila.” Karzrin melawak. Dia tersenyum
geli hati melihat wajah masam mamanya.
“Lawaknya!” getus Datin Mazwin sambil berpeluk tubuh.
Dia mengeluh panjang. Kecewa bila Karzrin tidak memberikan kerjasama.
“Karz... bolehlah! Karz kahwin ya?” pujuk Datin Mazwin
lagi.
“Mama, Karz tak adalah terdesak sangat nak beristeri.
Lagipun, Karz ada banyak lagi rancangan dan Karz tak akan kahwin selagi Karz
belum bersedia,” tegas Karzrin. Muktamad!
Remote TV diambil dan dia menekan beberapa kali. Mencari siaran untuk
ditonton. Jumpa pun! KIX HD. Malas nak layan kepala mamanya yang dah dirasuk
hantu kahwin tu.
“Hai, apalah nasib mama ni, kan? Ada anak sorang aje,
tapi langsung tak nak dengar cakap.” Datin Mazwin memulakan drama air mata.
Ditenyeh-tenyeh matanya dengan kasar.
“Mama...” Suara Karzrin sedikit mengendur. Faham sangat
dengan fiil mamanya yang memang lebih kuah daripada sudu tu.
“Mama tak kira! Mama nak Karz kahwin jugak. Kalau tak,
mama janji mama akan menangis tujuh hari tujuh malam tanpa henti. Sampai hati
Karz nak tengok mama jadi buta!” Datin Mazwin menambahkan unsur-unsur hiperbola
melampau.
Lantaklah. Nak berlakon kenalah bersungguh-sungguh. Baru
menjadi. Karzrin jenis yang boleh tahan keras kepalanya. Sebab tu dia kena
berlakon betul-betul.
“Kenapa tiba-tiba aje mama nak paksa Karz kahwin ni?
Karz muda lagilah. Baru nak masuk 28 tahun.” Karzrin bangun untuk ke tingkat
atas. Mahu menonton televisyen di tingkat dua. Mahu bebas daripada leteran
mamanya.
Tapi, baru selangkah dia melangkah tangisan mamanya mula
meninggi. Siap mengongoi macam budak-budak. Karzrin mengetap bibir. Dia duduk
semula.
“Mama, sudahlah tu. Tak payahlah menangis macam ni.
Kalau mama ikut papa pergi Dubai kan bagus. Bolehlah tengok-tengok tempat
orang. Boleh cuci mata, boleh shopping puas-puas
dan boleh habiskan duit papa.” Karzrin tukar topik.
“Jangan tukar topik pula. Mama nak juga Karz kahwin.
Biar Tengku Mariah tu tahu yang anak mama ni memang jantan. Tahun depan
bolehlah mama dapat cucu.”
Karzrin menepuk dahi. Tak habis-habis lagi. Adoi... Pening
betul!
“Mama cari ajelah calon isteri untuk papa. Cari yang
muda sikit. Bolehlah mama dapat anak tiri, kan?”
“Apa? Isteri untuk papa? Karz nak tukar rumah kita ni
jadi gelanggang gusti ke?” Datin Mazwin menjegilkan matanya. Satu cubitan
diberikan ke lengan Karzrin.
“Sakitlah, mama,” gerutu Karzrin menyeringai. Sakitnya!
Kemudian, wajah cemberut mamanya mengundang tawa di bibirnya. Tahu takut!
“Hisy, mama tak kira! Mama nak Karz kahwin jugak!
Muktamad!”
“Boleh, tapi mama kena cari calon yang betul-betul boleh
cairkan hati Karz ni. Kalau tak, Karz takkan layan permintaan karut mama ni.”
Karzrin bangun dari sofa.
Dia tersenyum. Dia yakin mamanya tidak akan boleh
mencari calon isteri yang kena dengan cita rasanya. Dia mahukan perempuan yang
cantik, putih, tinggi dan yang paling penting tak sengau. Itu ciri yang wajib
ada. Yang sunat-sunat pula banyak. Pandai masak, pandai kemas rumah, pandai
ambil hati, pandai apa lagi ya? Karzrin sendiri dah tak ingat. Banyak sangat!
Mana mama nak cari? Hihihi.
“Okey. Kalau mama jumpa? Karz setuju nak kahwin?”
“As you wish, mama.
Promise. Itu pun kalau mama boleh cari calon yang Karz nak tu.” Karzrin
berpaling dan mengenyitkan matanya.
Datin Mazwin mengetap bibir.
“Karz jangan cabar mama. Mama akan cari sampai dapat.”
Datin Mazwin nekad.
Apa nak jadi pun jadilah! Yang dia tahu, Karzrin kena
cepat-cepat kahwin. Barulah Tengku Mariah akan tutup mulut. Tapi, mana dia nak
cari calon untuk Karzrin? Adoi! Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu perlahan.
Si Karzrin pula memilih. Kalau anak-anak teman rapatnya, semua Karzrin dah reject. Macam-macam alasan yang dia berikan. Tinggi sangatlah! Putih
sangatlah! Kontrol ayu sangatlah! Serba tak kena di matanya. Pening kepala
betul.
Datin Mazwin memicit kepala. Dalam melayan pening
kepalanya itu, Datin Mazwin teringatkan adik iparnya di kampung. Dia sudah
berjanji untuk balik ke kampung hujung minggu ini. Teringat pula yang dia masih
belum beli oleh-oleh untuk anak-anak kembar kakak iparnya. Hannan dan Hadziq.
Ah, apa susah? Telefon saja Datuk Hamka. Suruh dia beli
di Dubai. Lagipun, lagi dua hari suaminya akan balik. Selesai masalah. Datin
Mazwin tersenyum sendiri. Telefon bimbit diambil. Mahu segera menelefon
suaminya. Tapi, ada pula pesanan ringkas untuknya.
Assalamualaikum mak long. Umi cakap kalau nak blik kampung
nanti jangan lupa beli JERUK yang sedap tu! Umi nak makan. Umi tu memang ngada
kan, mak long? Entah-entah, tengah MENGIDAM! Hai... penatlah Hannah nak jaga budak
kecik lagi. Yang dua ekor tu pun dah pening! Okeylah, jumpa nanti ya?
Dia ketawa besar sebaik saja membaca SMS itu. Hannah
memang macam-macam. Dia suka dengan Hannah. Kelakar! Perkataan jeruk dengan
mengidam tu siap bagi huruf besar lagi. Kikiki! Macam-macam hal. Mengingati
Hannah membuatkan hatinya semakin tidak sabar untuk pulang ke kampung. Rindu
dengan celoteh anak saudaranya itu. Tiba-tiba, senyumnya terhenti.
Hannah? Dia memetik jari. Dia tersenyum penuh makna.
Nombor telefon suaminya didail. Mahu pesan oleh-oleh dan
tidak ketinggalan tentang perkara yang baru sahaja terlintas di fikirannya.
Hihihi. Masalah selesai!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan