“MAN, aku balik dulu. Malam
karang aku datang lagi,” laung Fadil.
“Okay, bro. Jumpa lagi.” Herman mengangkat tangan tinggi.
Fadil berjalan ke tempat parkir kereta. Setelah masuk, matanya mengerling
dashboard. Dah nak masuk waktu zuhur.
Patutlah perut berasa lapar.
“Apa-apa hal pun pergi makan dululah,” putus Fadil seraya menghidupkan
enjin.
Ketika memandang cermin pandang belakang, secara tidak sengaja dia
tertengok beg kain berwarna coklat di tempat duduk belakang. Dia terus
berpaling dan mencapai beg tersebut. Tupperware? Setelah melihat isi kandungan,
semerbak hidungnya tercium bau wangi. Wah, kuih seri muka!
“Aik, macam mana aku boleh tak perasan minah tu tertinggal barang dia?”
Fadil berkata-kata.
Dia yakin makanan itu kepunyaan Nuha. Kemudian, datang keinginan hendak
merasa kuih tersebut. Dia mengambil sepotong dan telan.
“Pergh! Sedap gila kuih ni. Makan satu mana cukup. Aku makan semua
sekalilah,” kata Fadil.
Sepotong demi sepotong kuih itu dimasukkan ke dalam mulut sehingga habis.
Selepas makan, dia bersendawa panjang. Kenyang perutnya dapat makan kuih
percuma. Disebabkan itu, dia batalkan hasrat pergi makan di kedai. Balik rumah
layan mimpi lagi sedap kut.
FADIL tertanya-tanya apabila
melihat ada sebuah kereta Mitsubishi Lancer Evolution berwarna kelabu metalik yang
telah diubah suai tersadai di depan rumah. Dia pergi tengok lebih dekat. Baru
sahaja hendak sentuh, terdengar suara keras melarangnya berbuat demikian.
“Hoi! Jangan sentuh kereta aku tu. Karang tercalar satu kerja pulak aku
nak repair.”
Fadil menoleh ke tingkap. Fakrie berdiri di situ, memandangnya penuh
curiga. Oh, jadi kereta Fakrielah ni?
“Bang, kau tukar kereta baru lagi ke? Banyak duit kau?” tanya Fadil.
Sebelum ini Fakrie memandu kereta Honda Civic. Tetapi, tidak pernah sekali
pun Fakrie mengajak dia naik keretanya. Sentuh apatah lagi.
“Orang bekerja memanglah banyak duit. Yang malas kerja macam kau tu aje
selalu tak ada duit. Dahlah, kau jangan sentuh-sentuh kereta aku tu. Aku baru
lepas basuh tadi. Karang kotor pulak,” sindir Fakrie.
“Mana ada tangan aku kotor. Aku tengok ajelah. Bukannya aku ada niat nak
curi atau buat apa-apa pun,” sangkal Fadil. Dia terus naik ke atas rumah.
“Kau dari mana ni?” Fakrie memandang Fadil atas bawah.
Penampilan selekeh Fadil benar-benar buat dia sakit mata. Dengan baju
lusuh, seluar berbulu dan koyak sana sini. Belum masuk bab rambut panjang
melepasi bahu. Sudah serupa hantu dia tengok.
“Jumpa kawan.” Fadil membalas ringkas.
“Kau ni tak rasa nak kerja ke? Asyik buang masa aje melepak tak tentu
hala.”
Telinga Fadil kian panas mendengar kata-kata sinis abangnya. Pandangan
tajam Fakrie yang tertancap ke arahnya dibalas dengan reaksi sama.
“Aku melepak, aku ada susahkan kau ke?” tempelak Fadil.
“Memang kau tak susahkan aku. Tapi, sikap pemalas kau tu buat aku rasa
malu. Kau busking kat jalanan, kan?
Eh, banyak lagilah kerja lain yang kau boleh buat. Kenapa kerja yang tak ada
masa depan tu jugak kau nak buat? Macam pengemis aje menyanyi, orang sedekah
duit.”
Rahang Fadil bergerak-gerak menahan marah. Kedua-dua tangan pula sudah
digenggam erat. Nampak begitu hina sekali dirinya pada pandangan Fakrie apabila
dianggap begitu.
“Aku tahulah kau kerja makan gaji besar. Boleh tukar kereta banyak kali.
Dah mampu beli rumah sendiri. Tapi, dengan aku, kau tak payahlah nak besar
kepala dan berlagak serba bagus sangat. Aku tak sibuk pun kompelin pasal hidup
kau. Apasal kau sibuk kompelin hidup aku?”
“Ha... Inilah orang cakap bodoh sombong. Ada orang nasihat kau tak nak
dengar. Sebab tu hidup kau tak ada kemajuan. Orang lain semua dah ke depan, kau
sorang aje masih terkial-kial kat belakang. Sedarlah sikit, Fad... Kau tu
bukannya budak-budak lagi dah. Jangan nak fikir seronok aje,” bidas Fakrie.
Geram dia mendengar Fadil menjawab kata-katanya tadi.
“Kalau kau balik sini setakat nak tunjuk kau tu hebat, kau tak payah
baliklah, bang. Aku pun tak hadap nak tengok muka kau. Dahlah! Urusan hidup
aku, kau jangan sibuk-sibuk nak masuk campur. Buat hal kau sendiri sudahlah.”
Fadil terus masuk ke dalam bilik. Kuat dia menghempas pintu melepaskan rasa
bengang kepada Fakrie.
Sememangnya hubungan dia dengan abang sulungnya itu tidak begitu baik.
Nama sahaja adik-beradik, tetapi tidak sekepala. Dalam banyak perkara, dia
tidak menafikan Fakrie lebih berjaya daripadanya. Disebabkan itulah Fakrie
menyombong dan selalu pandang rendah terhadapnya. Mujurlah Fakrie tidak tinggal
sebumbung dengan dia di rumah ini. Kalau tidak, asyik bertekak sahajalah setiap
hari.
Mak
Ani yang mendengar kekecohan di atas rumah naik menjenguk keadaan.
Dia melihat hanya Fakrie seorang sahaja berada di situ.
“Apa hal ni, Rie? Dari dapur mak dengar duk bising-bising. Bertekak
dengan siapa?” soal Mak Ani.
“Siapa lagi? Anak kesayangan mak tulah. Tegur sikit nak melenting. Memang
kepala batulah dia tu,” jawab Fakrie masih belum hilang marahnya terhadap
Fadil.
“Fadil dah balik ke?”
“Baru aje tadi.”
Mak Ani mengusap-usap perlahan bahu Fakrie. Tahu, anginnya tidak begitu
baik. “Dahlah tu. Tak baik marah-marah macam ni. Rie pun dah tahu adik tu jenis
berangin, tegurlah elok-elok sikit.”
Fakrie menjeling bilik Fadil yang tertutup rapat sebelum memandang Mak
Ani. “Tegur elok-elok pun dia jawab kurang ajar jugak. Mak nasihatlah sikit dia
tu. Jangan nak bagi muka sangat.”
“Yalah, nanti mak cakap dengan dia.” Mak Ani malas hendak memanjangkan
cerita.
“Okeylah, mak. Rie nak balik ke pejabat dulu. Ada masa lain Rie datang
jenguk mak lagi.” Fakrie menghulur tangan bersalaman dengan Mak Ani dan terus
keluar rumah.
DI dalam bilik, Fadil
mengintai kelibat Fakrie masuk ke dalam kereta di sebalik langsir tingkap.
Selepas Fakrie pergi barulah dia keluar semula. Langkah dipanjangkan ke dapur.
Tekaknya terasa haus lain macam. Sedang asyik minum, Mak Ani datang
mendekatinya.
“Kenapa Fad cakap kasar dengan abang tadi? Tak baik tau macam tu,” tegur
Mak Ani lembut.
Fadil meletak gelas yang sudah kosong di atas meja.
“Dia yang mulakan dulu. Kalau dia cakap elok-elok, tak adanya Fad nak
lawan cakap dia,” balas Fadil.
“Abang cakap untuk kebaikan Fad jugak.”
“Abang tu tak pernah baik dengan Fad, mak. Tambah-tambah sejak dah
bekerja bagus ni. Kerek lain macam aje perangai dia tu. Mak, cuba mak beritahu
Fad dengan jujur. Mak malu ke ada anak macam Fad ni?” Mata Fadil jatuh tepat ke
wajah Mak Ani meminta kepastian.
Mata Mak Ani terkerdip-kerdip merenung Fadil.
“Kenapa Fad tanya macam tu? Fad kan anak mak. Nak malu apanya? Mak tak
pernahlah membeza-bezakan anak mak,” kata Mak Ani.
“Tapi, abang cakap Fad ni memalukan dia. Cari duit kat tepi jalan macam
pengemis. Mak tak rasa malu ke anak mak ni mengemis kat tepi jalan?”
“Selagi Fad tak buat kerja haram, mak tak kisah Fad kerja sebagai apa
pun. Cakap abang tadi tu, Fad tak payahlah ambil hati sangat. Abang tak
bermaksud apa-apa pun. Jangan fikir bukan-bukan ya?” pujuk Mak Ani menenangkan
Fadil.
Dia tahu Fadil terasa hati. Dia tidak mahu menambahkan lagi luka di hati
anaknya itu.
“Fad tahu jadi penyanyi jalanan ni gaji tak cecah lima angka macam abang.
Tak mampu pakai kereta mahal dan beli rumah sendiri. Mak dan ayah pun tak rasa
bangga kan dengan Fad?” Lirih Fadil berkata-kata. Dia sedar kekurangannya itu.
“Siapa cakap? Mak bangga apa dengan Fad. Fad tak ada duit, Fad pandai
cari sendiri. Tak pernah minta dengan mak dan ayah. Gaji cukup-cukup makan pun
Fad tak kedekut nak hulur dekat mak beli barang-barang dapur.”
Fadil tersenyum hambar. Dia menganggap pujian itu hanya sekadar mahu
menyedapkan hatinya sahaja. “Setakat 20, 30 ringgit tu apalah yang nak
dibanggakan sangat, mak? Itu pun bukan selalu Fad hulur.”
“Sekurang-kurangnya Fad ada jugak buat bakti dekat orang tua. Mak rasa
bangga sangat dengan sikap Fad tu.”
Hati Fadil akhirnya terpujuk. Senyuman hambar tadi kini bertukar manis.
“Nanti bila Fad ada rezeki lebih Fad beri dekat mak banyak sikit ya?”
“Yalah. Mak terima aje berapa Fad nak beri.” Mak Ani membalas sambil
menarik nafas lega. Melihat rajuk Fadil sudah terhapus, terasa lapang dadanya.
Fadil berpaling ingin ke bilik air. Alang-alang sudah berada di dapur, ambil
wuduk teruslah sembahyang zuhur. Mesti emaknya rasa bertambah bangga sebab dia
sembahyang di awal waktu.
“Fad...”
Tidak jadi Fadil hendak menolak pintu. Pandangan ditala semula ke arah
Mak Ani. Dia perasan mata wanita tua itu berlabuh pada bajunya yang terpampang
gambar tengkorak. Sudah!
“Nak solat nanti tukar baju tu. Pakai baju lain,” pesan Mak Ani lembut.
Perlahan-lahan Fadil mengangguk sambil tersengih. Nasib baik kena tegur
dengan emak. Kalau ayah, mahu berdesing telinganya.
NUHA mendengus. Hatinya
dongkol lagi dibuat oleh Fadil. Suruh datang ambil pukul 5.00, pukul 6.00 masih
belum nampak batang hidung lagi. Geramnya dia dengan mamat tu!
“Macam mana aku nak balik ni? Dahlah hujan lebat. Nak pergi stesen bas
tak bawa payung pulak,” sungut Nuha sendiri. Dia memeluk tubuh kesejukan. Jika
redah memang basah kuyup satu badannya nanti.
Pak Awi tidak pernah buat dia begini. Kalau lambat sekalipun, Pak Awi
akan telefon memberitahu kelewatannya supaya dia tidak tertunggu-tunggu macam
orang bodoh begini. Tetapi, Fadil tega! Mamat tu memang tidak boleh menjadi
pemandu teksi.
Akhirnya Nuha berputus harap. Dia yakin Fadil terlupa hendak
menjemputnya. Lantas dia membuat keputusan meredah hujan pergi ke stesen bas.
Kalau tunggu Fadil, sampai subuh esok pun belum tentu sampai.
Setibanya di stesen bas, mujurlah masih ada bas. Dia bernasib baik kerana
bas itu merupakan bas terakhir. Sementara menunggu bas bergerak, terdetik dalam
hati hendak menelefon Pak Awi. Siap kau, Fadil. Aku nak buat repot dekat ayah
kau. Nuha tersenyum jahat.
“Assalamualaikum, Pak Awi. Ada dekat mana tu?” tanya Nuha setelah
panggilannya berjawab.
“Waalaikumussalam. Pak Awi dalam perjalanan balik ke Kuala Terengganu dah
ni. Pagi tadi Pak Awi pergi Kuantan,” balas Pak Awi.
“Oh, patutlah anak Pak Awi yang datang jemput saya.”
“Ha, si Fadil tu. Macam mana? Okey ke tidak dia tu?”
“Hmm... Tak okeylah, Pak Awi. Ni Nuha telefon sebab nak mengadu dekat Pak
Awi pasal dia,” kata Nuha. Dia tidak akan sorok satu benda pun apa yang Fadil
sudah buat kepadanya hari ini.
“Apa yang dah berlaku? Cuba cerita dekat Pak Awi...”
Nuha terus bercerita daripada A sampai Z. Selepas itu dia terdengar suara
Pak Awi mengeluh panjang.
“Astaghfirullah al-azim... Betul ke Fadil buat Nuha macam tu?” soal Pak
Awi seperti tidak percaya.
“Betul, Pak Awi. Ni Nuha ada kat dalam bas. Baru nak balik rumah.”
“Nuha, Pak Awi minta maaf bagi pihak Fadil. Tak sangka pulak boleh jadi
macam tu. Nanti Pak Awi sampai rumah Pak Awi sekolahkan dia sampai jadi
pandai.” Nada suara Pak Awi kedengaran kesal di telinga Nuha.
Nuha tersenyum meleret. Eloklah tu, Pak Awi. Basuh dia cukup-cukup biar
jadi manusia berguna!
BUNYI guruh berdentum
menyebabkan Fadil terjaga daripada tidur. Tangan kanan menggenyeh mata manakala
sebelah tangan lagi meraba-raba bawah bantal mencari telefon bimbit. Apabila
jumpa, dia tengok skrin untuk memastikan waktu. Pukul 6.45 petang.
Dia letak semula dan menguap besar. Malasnya nak bangun. Hujan-hujan
macam ni sedap pula duduk di dalam selimut. Mujur juga ayahnya tidak ada di
rumah sebab orang tua itu pantang kalau dia tidur lewat petang.
Fadil menggeliat membetulkan urat dalam badan sebelum teringat sesuatu.
“Alamak! Nuha!”
Sepantas kilat dia bangkit pergi basuh muka dan gosok gigi di dalam bilik
air. Selepas bersiap ala kadar, dia bergegas keluar rumah. Sampai di tangga,
bertembung pula dengan Pak Awi yang baru balik dari Kuantan.
“Hah, ni nak pergi ke mana ni kalut semacam aje?” soal Pak Awi.
“Err... Fad nak keluar pergi ambil Nuha,” jawab Fadil tergagap-gagap.
Janganlah ayah aku mengamuk. Tertekan jantung aku nanti.
“Tak payah susah-susah. Dia dah balik naik bas. Tunggu kau datang ambil,
tumbuh uban dulu rambut dia tu,” kata Pak Awi seraya naik ke atas rumah.
Fadil tercengang-cengang. Nuha balik naik bas? Dia tidak jadi jejak kaki
ke tanah. Terus dipusingkan tubuh mengekori langkah Pak Awi.
“Macam mana ayah tahu? Dia ada telefon ayah ke tadi?” soal Fadil
bertalu-talu, penuh hairan.
Pak Awi menjeling Fadil. Sengaja dia membiarkan lama pertanyaan itu
tergantung. Dalam hati pula, dia cuba menyabarkan diri daripada marah.
“Bila ayah suruh kau tolong ayah, bermakna ayah beri kau amanah. Amanah
tu kena laksana dengan jujur. Bukannya dipandang remeh. Kau sepatutnya jaga
amanah ayah dan bertanggungjawab ke atas perkara tu. Tapi, sekarang... tengok! Apa
yang kau dah buat? Datang jemput Nuha lambat. Kereta habis minyak kau suruh dia
tolak pergi stesen minyak. Balik kerja kau tak pergi ambil dia. Kau ni
betul-betul mengecewakan ayahlah, Fadil. Kalau ayah tahu macam ni jadinya, ayah
suruh dia naik teksi lain aje hari ni,” balas Pak Awi meluahkan rasa kecewanya.
Terkulat-kulat Fadil memandang Pak Awi. Kata-kata itu walaupun tidak
bernada tinggi, tetapi cukup menusuk ke dalam hati. Dia mula dihimpit rasa
bersalah. “Fad minta maaf, ayah. Fad tak sengaja. Bukan Fad tak nak jemput dia.
Tapi, Fad lupa. Lepas asar tadi Fad terlelap.”
Pak Awi mendengus. “Kau ni memang degil sungguhlah. Cakap ayah selalu aje
nak ingkar. Berapa kali ayah pesan? Jangan tidur lepas asar. Lain kali apa yang
ayah pesan, simpan sikit kat dalam kepala tu. Jangan masuk telinga kiri, keluar
ikut lubang hidung!”
Pak Awi membebel Fadil semahu-mahunya. Sudah besar panjang pun masih nak
kena diingatkan macam budak-budak kecil. Takkan nak suruh dia rotan punggung
baru Fadil dengar cakapnya?
Fadil menggaru-garu kepala sambil mengerut muka. Setempek kena sembur.
“Yalah, Fad janji Fad tak buat lagi dah macam tu. Lepas ni Fad dengar
betul-betul cakap ayah. Err... Pasal Nuha tu, dia mengadu apa lagi dekat ayah?”
Teringin juga dia hendak tahu.
“Dia cakap perangai kau serupa hantu. Tak semenggah!” balas Pak Awi
lantas berlalu meninggalkan Fadil.
Fadil terkedu. Dia tuju jari telunjuk ke muka sendiri.
“Dia samakan aku dengan perangai hantu? Boleh tahan celopar mulut minah
ni. Macam tapai busuk. Aku rasuk kau nanti baru tahu,” gerutunya sambil
mendengus geram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan