PANAS
dan terik tengah hari menyerang ke kulit. Suasana bahang dirasakan sebaik
sahaja keluar dari kereta Honda CR-Z Hybrid berwarna biru. Alfatah menyerahkan
kunci kepada seorang pekerja yang berada di hadapan pintu masuk hotel bertaraf
lima bintang itu.
Mengerti
dengan bahasa tubuh Alfatah, lelaki tersebut memberikan senyuman dan dalam masa
yang sama tangannya menyambut gugusan kunci tersebut.
“Terima
kasih,” ucap Alfatah dengan mendatar.
Pekerja
itu menganggukkan kepala lalu melangkah ke kenderaan milik lelaki yang
mengenakan kemeja-T berjenama Polo dan berseluar pendek paras bawah lutut itu.
Alfatah
menyeluk poket seluar dengan tangan kirinya. Dia menanggalkan cermin mata
hitam. Saat tapak kasut yang dipakai bertemu ke lantai lobi, rasa bahang
berganti dengan sejuk penghawa dingin. Tanpa melengahkan masa dia menuju ke
kafe hotel seperti yang dijanjikan. Alunan lagu antarabangsa I Will Always Love
You nyanyian Whitney Houston sebagai muzik latar menembusi telinga. Dia
bergerak sambil melilau mencari susuk tubuh tersebut.
Selang
setengah minit, orang yang dicari kelihatan. Tidak sukar mencari wanita yang
sedang duduk di ruangan paling hujung itu memandangkan suasana kafe kelihatan
lengang.
Sophea
Alfiah mendongakkan pandangan tatkala hujung matanya menangkap ada seseorang
semakin menghampiri. Dia mengukir wajah manis. Namun, tindakannya itu mendapat
reaksi dingin. Pemuda tersebut segera melabuhkan punggung bertentangan dengan
kakaknya.
“Fath
sihat?” aju Sophea Alfiah, memulakan perbualan.
Dia
menanggalkan cermin mata hitam yang memenuhi separuh muka. Perempuan itu tidak
mengenakan sebarang solekan. Hanya bedak asas nipis menghiasi wajah. Barangkali
dia bimbang jika identitinya diketahui orang yang berada di sekeliling.
“Alhamdulillah.”
Pendek sahaja bicaranya sebagai balasan.
“Fath
nak oder apa-apa ke?”
Alfatah
mengelukan lidah. Menu yang berada di atas meja dicapai dan ditatap sekali
imbas. “Tak ada. Kau cakap ajelah apa yang kau nak, kak.”
“Salah
ke kakak nak jumpa dengan Fath?”
“Sejak
kita terpisah masa umur kita lapan tahun, berapa kali kita jumpa?”
“Fath...”
“Boleh
dikira jari. Masa abah meninggal, masa mak meninggal dan kali terakhir kita
jumpa masa kau nak kahwin dengan suami kau. Itu pun kau cari aku sebab kau nak
aku jadi wali. Sekarang kau tanya aku salah ke kau nak jumpa aku? Takkanlah
artis terkenal sanggup dari KL turun ke Melaka untuk jumpa dengan satu-satunya
adik dia tanpa ada sebab? Aku dengan kakak tak pernah rapat sejak umur kita
lapan tahun. Jadi, kau tak payahlah nak tunjuk kat orang yang kita macam kembar
lain yang ada kat dunia ni. Cukuplah kerja kau jadi pelakon, kak. Tak payahlah
dalam hidup pun kau nak berlakon.”
Sophea
Alfiah tertunduk, pandangan tumpah ke air minumannya. Ayat yang diluahkan oleh
kembarnya itu menghambat naluri. Bibir cawan dirapatkan ke mulut. Air teh yang
dikacau dengan gula sebanyak dua sudu kecil terasa kelat menuruni tekak. “Kakak
minta maaf dengan apa yang jadi antara kita.”
Alfatah
bersandar ke kerusi. Dia berpeluk tubuh dan pandangannya melilau sekeliling.
Kalau boleh, dia tidak mahu menatap wajah Sophea Alfiah.
“Kakak
tahu kita tak rapat. Tapi, kakak tak tahu nak minta...” Lidah wanita itu
seakan-akan kaku untuk seketika.
Tiba-tiba
hatinya berat untuk meluahkan permintaan. Memang dia tiada pilihan. Hanya
Alfatah sahaja mampu membantu. Sophea Alfiah tertunduk, sedaya upaya cuba
mengumpul kekuatan untuk berbicara. “Memang kakak nak minta tolong sesuatu
dengan Fath.”
Alfatah
tersenyum senget. Alunan tawa kecil yang terluah jelas kedengaran sinis. Memang
begitu sifat manusia. Bila susah, baru nak cari.
“Hubungan
kakak dengan Abang Raid ada masalah,” sambung Sophea Alfiah lagi apabila
melihat reaksi dingin Alfatah.
Pandangan
yang meliar lantas berlabuh ke wajah sugul itu. Bahagian bawah mata Sophea
Alfiah tampak sembap. Siapa tidak kenal dengan Raid Ariffin? Anak VIP
berpangkat Datuk yang berjaya dalam bidang hartanah. Perkahwinan pasangan
tersebut dibina lapan tahun yang lalu kelihatan bahagia. Mereka berdua sering
menghiasi muka hadapan majalah bertemakan keluarga.
Kini,
ada desas-desus mengatakan rumah tangga mereka mengalami keretakan akibat orang
ketiga. Alfatah mengetahui berita tersebut berdasarkan tulisan di dada akhbar
dan mendengar kisah itu di televisyen melalui rancangan hiburan gosip. Akan
tetapi, Sophea Alfiah menafikan berita tersebut setiap kali diajukan dengan
pertanyaan sedemikan rupa.
“Jadi,
memang betullah apa yang wartawan kat TV dan surat khabar beritahu tu?”
Berat
mulut Sophea Alfiah mahu mengiakan. Kepala digerakkan ke atas dan ke bawah.
“Kakak
terpaksa nafikan semua tu demi keluarga kakak. Lebih-lebih lagi Zaffi dengan
Muzaf yang baru nak membesar.”
“Habis
tu, kau nak aku buat apa? Apa yang aku ada dan kau tak ada sampai kau nak minta
tolong dengan aku ni?”
“Kakak
nak minta Fath tolong jaga Zaffi dengan Muzaf untuk sementara waktu.”
Rahang
Alfatah sedikit terjatuh. Dia terkesima dengan permintaan Sophea Alfiah.
Perasaan terkejut terus menyerang dan menyelubungi jiwa.
“Kau
tahu ke tak apa yang kau minta ni, kak? Kau sedar ke tengah tidur sekarang ni?”
Rentak
suara Alfatah lebih tinggi berbanding tadi.
“Ini
saja caranya, Fath.”
“Cara
apa? Aku dahlah tak kenal mana dengan anak-anak kau tu. Lagi nak suruh jaga?
Tolonglah kak. Jangan nak libatkan orang lain dengan masalah kau.”
“Fath
bukan orang lain. Kakak dengan Abang Raid selalu sangat bergaduh, tak
habis-habis selisih pendapat. Kakak kena cari jalan penyelesaian.”
“Penyelesaian?
Apa? Cerai? Sama macam...” Alfatah tidak berniat mahu menuruskan susunan
katanya.
Namun,
kesannya umpama benaman jarum halus yang tertusuk di jiwa Sophea Alfiah. “Benda
dah lepas, Fath. Mak dengan abah pun dah tak ada. Fath masih marah pasal hal
dulu?”
Ibu
kepada dua orang anak itu mula merasa sebak. Hatinya tidak menafikan yang dia
pernah memikirkan perceraian sebagai jalan akhir. Akan tetapi, dia ketepikan
semula laluan buntu itu kerana dia juga tahu bagaimana menjadi mangsa
perceraian ibu bapa.
“Aku
tahu dah lepas benda tu. Semua orang buat silap. Aku pun buat silap. Tapi,
kesan peristiwa tu sampai sekarang aku rasa.”
“Kakak
tak sampai ke tahap tu lagi. Kakak masih cuba baiki apa yang tak kena. Fath,
bukan Fath sorang aje yang alami kehidupan macam tu. Kakak pun sama.”
“Sekurang-kurangnya
hidup kau tak macam hidup aku. Kau dengan mak hidup senang lepas tinggalkan
abah.”
Sophea
Alfiah menelan air liur menahan rasa pilu. Peristiwa perit lebih 20 tahun
tersebut menggamit memori mereka. “Fath kena tolong kakak. Zaffi dah mula tanya
kakak macam-macam. Muzaf pula menangis tak sudah bila dengar kakak dengan Abang
Raid bertekak. Abang Raid dah jarang balik rumah. Kakak terpaksa tipu dengan
dia orang. Kakak beritahu Abang Raid outstation. Padahal kakak tak tahu dia
pergi mana.
“Wartawan,
blogger, TV, surat khabar... semua tu kakak kena hadapi. Kakak tak nak Zaffi
dengan Muzaf tertekan dengan apa yang berlaku. Dia orang budak-budak lagi. Apa
pun yang jadi, kakak tak akan pisahkan dia orang. Kakak tak nak dia orang jadi
macam kita.”
“Kenapa
tak hantar aje kat keluarga mertua kau?”
“Kakak
tak nak libatkan belah mertua. Saudara-mara keluarga Abang Raid orang ada nama.
Dengan masalah syarikat lagi, kakak tak nak rumitkan keadaan.”
Keluhan
berat terluah. Alfatah menongkat siku ke permukaan meja lalu memejamkan mata.
Dia memicit bahagian tengah hidung. Satu beban yang berat datang menjengah ke
benak fikiran.
“Fath...”
panggil Sophea Alfiah dengan penuh harapan.
Pemuda
itu mengangkat wajah. “Aku tak nak.”
“Tolong
kakak, Fath. Mungkin paling lama pun sebulan dua aje jaga dia orang. Kakak akan
usaha secepat mungkin untuk selesaikan masalah ni.”
“Sebulan
dua? Lagi dua minggu aku dah tak duduk sini lagi. Aku nak pindah JB. Aku nak
mulakan hidup baru kat tempat orang. Lepas tu kau nak suruh aku hidup dengan
anak-anak kau? Kau ada fikir pasal sekolah dia orang? Makan, minum dengan pakai
dia orang lagi, semua tu siapa nak uruskan?”
“Tak
jadi masalah Fath. Zaffi dengan Muzaf boleh jaga diri. Pasal sekolah tu pun,
kakak boleh uruskan. Kakak boleh cari sekolah swasta kat JB nanti.”
“Yalah
tu, budak darjah dua boleh jaga diri! Kau cakap senanglah kak. Kau kat rumah
ada maid, ada driver, ada orang suapkan anak kau bila kau pergi kerja. Ada duit
semua boleh jalan.”
“Kalau
pasal belanja, kakak akan bagi. Fath tak payah risau.”
“Kau
tak fahamlah.”
“Fath,
tolong faham masalah kakak.”
“Macam
nilah kak. Senang cerita aku bukan orang yang sesuai untuk jaga anak-anak kau
tu. Aku dahlah tak boleh jaga budak-budak, lagi kau nak aku jaga budak kaya
macam Zaffi dengan Muzaf tu? Kau pandai-pandailah selesaikan masalah kau ni.”
Selesai menyusun ayat sedemikian, Alfatah menggerakkan kerusi ke belakang lalu
mengangkat punggungnya. Dia mahu beredar.
“Fath,
akak merayu sangat dengan Fath. Tolong jaga Zaffi dengan Muzaf untuk akak.”
Kaki
yang baru sahaja diayun tiga langkah terhenti.
“Aku
memang tak dapat tolong,” ucap Alfatah tanpa menoleh ke belakang.
Sekali
lagi dia memulakan gerakan untuk berjalan. Akan tetapi, suara wanita itu
menusuk ke gegendang telinga dan membantutkan niat Alfatah.
“Kalau
Fath tak dapat buat untuk kakak, Fath buat demi Rayhan Muzaffirah dengan Rayhan
Muzaffar. Zaffi dengan Muzaf masih lagi sebahagian daripada diri Fath. Fath
ayah saudara dia orang. Kita berdua sama-sama tengok mak dengan abah bertekak hari-hari
sebab tak sefahaman. Fath tahu kan macam mana rasanya jadi mangsa orang tua
kita? Fath tahu kan macam mana peritnya kita sebagai adik-beradik hidup macam
ni sampai sekarang?
“Dan,
akak rasa Fath cukup tahu macam mana rasanya hati kita sebagai seorang anak tak
dapat hidup macam keluarga yang lain. Kakak tak nak buat silap tu, Fath. Kakak
cuba untuk betulkan mana yang silap. Kakak cuba cari balik jalan yang betul,”
luah Sophea Alfiah dengan linangan air mata. Rasa sedih yang cuba dikumpul di
bahagian dada akhirnya tidak mampu dibendung.
Pemuda
itu terdiam kaku. Memori yang cuba dilupakan berulang kali menjelma di ingatan.
Meskipun cuba dibuang jauh, rasa itu tetap jelas menerjah ke pelosok naluri.
“Untuk
jumpa jalan yang betul, kakak perlukan adik kakak.”
Ketika
ini hati Alfatah dirundung sesuatu. Dia benci dengan situasi tersepit begini.
Apa yang cuba dielakkan sepertinya tidak mampu ditepis. Fikirannya buntu.
Memang benar, dia tahu bagaimana jiwa seorang anak memberontak kerana
kepincangan keluarga.
Lelaki
itu memalingkan kepala sedikit tanpa menggerakkan tubuhnya. “Minggu depan kau
hantar Zaffi dengan Muzaf. Aku pindah awal sikit. Boleh aku uruskan hal sekolah
dia orang kat JB nanti.”
Serta-merta
Sophea Alfiah bangkit daripada duduknya. “Betul ke apa yang akak dengar ni?”
Alfatah
menoleh semula ke hadapan. Cermin mata yang tergantung di baju dicapai lalu
disematkan ke mata. Lelaki itu terus meninggalkan Sophea Alfiah.
“Fath...
terima kasih,” ucap wanita tersebut dengan perlahan diiringi genangan air mata
dan senyuman syukur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan