HANNAH meniarap di atas tilam bujangnya. Sebungkus kerepek ubi kayu dan
satu jag air sejuk diletakkan di atas meja dekat dengan katilnya. Rambutnya
yang agak panjang dibiarkan lepas. Baru lepas mandi. Solat sudah. Makan pun
sudah. Jam pula baru pukul 2.10 petang. Ini masa untuk... novel!
Hannah membelek-belek novel yang bersusun di hadapannya.
Dia baru terjah kedai buku di pekan pagi tadi dengan walid. 10 buah novel
sempat disambar. Walid memang sporting.
“Sayang Puan Sebelah Rumah karya Zaza Qry. Macam syok aje.” Dia terus membuka helaian yang
pertama.
Biasalah, bila dah mula baca tu memang dia takkan
berhenti selagi azan asar tak kedengaran. Dia memang obses dengan novel. Kalau
dah nama novel, mesti dia akan baca tak kira siapa penulisnya. Kalau novel
cerita sedih, dia akan menangis. Kalau cerita lucu, dia akan ketawa
terbahak-bahak. Pendek kata, dia memang menghayati cerita tu!
Hampir tiga jam berlalu.
Hannah ketap bibir. Dia tengah geram dengan si Alana ni.
Masa Zaqry nakkan dia, jual mahal. Nak kerjalah. Nak itulah. Nak inilah.
Mentang-mentang Zaqry setia. Tapi, bila Zaqry dah sukakan Zurin Aria, dia pula
yang hegeh-hegeh. Sampai sanggup fitnah Zaqry.
Eiii, geram betul! Kalau dia yang jadi Zurin Aria,
siaplah Alana dia kerjakan. Huh! Dia mengomel dalam hati dengan cebikan di bibir.
Mula hilang mood bila Zaqry setuju
pula nak kahwin dengan Alana. Kesian Zurin Aria!
Pintu biliknya diketuk ketika dia benar-benar menghayati
cerita Sayang Puan Sebelah Rumah. Hisy, siapa pula ni?
“Siapa?” laungnya dari dalam. Takut pula si Hannan dengan
Hadziq yang ketuk pintu tu. Dua orang mangkuk tu memang suka kacau hidupnya.
“Umi ni. Buka pintu ni kejap.”
Hannah bangun lambat-lambat dan membuka pintu biliknya.
Wajah uminya terhidang di depan mata. Hannah mengerutkan dahi. Pelik. Kenapa?
Sebab umi senyum macam ada sesuatu yang tersirat. Lagi pelik bila umi bawa
sepiring buah mempelam yang sudah siap dihiris untuknya. Wah, layanan VVIP ni!
“Kenapa umi sengih aje ni?” soalnya dan piring berisi
buah mempelam sudah pun bertukar tangan. Dia memang suka sangat dengan buah
mempelam.
“Eh, umi nak sengih pun tak boleh ke?” Hajah Hayati
sengih lagi. Sengaja mahu menarik perhatian si anak.
Dia menghampiri katil Hannah dan terus duduk di birai
katil. Dia sempat memerhatikan novel-novel yang bertaburan di atas katil. Hantu
novel betul budak ni!
Hannah ikut dan duduk di sisi uminya. Mulutnya sudah
penuh dengan mempelam muda.
Kembung pipinya! Hajah Hayati menggelengkan kepala. Hai,
kalau macam ini gayanya macam manalah si Karzrin tu akan terpikat?
“Hannah kan dah jadi anak dara. Tak elok tau makan macam
tu.Takkanlah belajar sampai universiti tak reti nak jaga adab makan? Adik
dengan ucu pun tahu,” gerutu Hajah Hayati sambil menguis-uis anak rambut Hannah
yang berjuntaian di dahi.
Hannah bulatkan matanya yang besar tu.
“Kenapa umi ni pelik sangat? Baik semacam aje?” Hannah
tahu, kalau uminya cakap lembut gigi daripada lidah tu mesti ada apa-apa.
Wajib!
“Tak ada apa-apa. Cuma...” Hajah Hayati menarik nafas
dalam-dalam dan dihembuskan perlahan. Mencari ayat terbaik untuk menyampaikan
hasrat kakak iparnya yang mahu meminang Hannah untuk Karzrin.
Dia dah menolak, tapi Kak Awin memang nak sangat Hannah
jadi menantunya. Suaminya juga dah bersetuju. Tinggal lagi tuan empunya tubuh.
Hannah!
“Cuma apa ni, umi? Cakap ajelah terus terang. Hannah
tahu kalau muka umi berseri-seri macam ni mesti ada apa-apa, kan? Cakap aje...”
“Anak umi ni memang bijak. Tak sia-sia umi dengan walid
hantar Hannah belajar tinggi-tinggi, kan?”
Ayat mukadimah daripada Hajah Hayati membuatkan Hannah
menepuk dahi. Sah! Mesti ada sesuatu.
“Semalam mak long telefon umi. Mak long cakap nak balik
kampung dengan pak long.”
Hannah cuma angguk. Mulut tengah penuh dengan buah
mempelam. Tak boleh buka mulut. Lagipun dia dah tahu pasal hal itu. Baru
semalam dia berbalas SMS dengan mak long.
“Mak long beritahu yang mak long nak... nak... Hannah
jadi menantu dia.”
Hannah tergamam. Mulutnya berhenti mengunyah dan matanya
terbeliak sakan. Terus dia berpaling memandang wajah uminya. Wajah umi nampak
telus aje!
“Umi cakap... apa ni?” Hannah terkial-kial mahu membuka
mulut.
Hajah Hayati mengangguk. Mahu Hannah tahu yang dia tidak
bergurau.
Hannah mahu menjerit, tapi buah mempelam muda yang masih
penuh dalam mulut itu membuatkan dia terbatuk. Hannah rasa tercekik. Terus dia
berlari ke dapur.
Hajah Hayati mengekori dari belakang. Dia mengusap belakang
Hannah yang sedang terbatuk-batuk di singki. Terkejut sangat agaknya.
“Umi... apa yang umi cakap ni? Hannah tak... tak boleh
terima!” Hannah menggelengkan kepala. Kerusi meja makan ditarik dan terus
menghenyakkan punggungnya di situ. Air masak di dalam jag dituang dalam gelas.
Terus diteguknya air itu.
“Janganlah macam tu. Kesian mak long tu. Mak long cakap
ada orang cakap Abang Karz tu gay! Sebab tu, mak long nak cari calon isteri
untuk Abang Karz. Mak long cakap lagi, Hannah aje yang sesuai untuk Abang
Karz.” Beria-ia benar Hajah Hayati menerangkan perkara yang sebenar.
Minta-mintalah Hannah setuju.
“Eh, apa kena-mengena Hannah dengan kes gay Abang Karz
tu pula? Dah dia yang tak nak kahwin, kan? Entah-entah memang betul dia gay!”
“Isy, kamu ni! Tak baik tau tuduh orang macam tu!
Berdosa kalau fitnah orang, faham? Kamu tahu kan apa hukumnya kalau memfitnah
orang? Hukumnya, sama juga...”
“Sama juga macam makan daging saudara sendiri. Dosanya
sama macam membunuh saudara seagama kita.” Hannah mencelah.
Masakan pemegang Ijazah Sarjana Syariah dan
Undang-Undang dari KUIS tak tahu tentang hukum itu. Tapi, dia memang tak boleh blah dengan budak bandar lembik tu. Hisy!
“Kalau dah tahu, jangan fitnah orang. Dosa! Kalau Hannah
nak pahala, Hannah terima aje pinangan mak long tu. Besar pahalanya kalau bina
masjid tau.” Hajah Hayati memancing.
Puas juga dia berbincang dengan suaminya. Akhir sekali
mereka sama-sama setuju. Ada sebab kenapa mereka setuju dengan pinangan itu.
“Memanglah. Itu Hannah tahulah umi. Tapi kenapa
tiba-tiba pula mak long pinang Hannah? Kat Kuala Lumpur tu bersepah anak dara.
Takkanlah tak ada perempuan yang nak dengan Abang Karz tu? Lainlah kalau dia
betul-betul... gay!”
“Tengok tu! Baru aje tadi bukan main bercakap pasal
hukum dan dosa. Takkanlah Abang Karz tu nak jadi gay pula? Esok mak long dengan
pak long nak balik dengan Abang Karz sekali. Jangan Hannah buli Abang Karz
macam dulu pula. Sebab Hannahlah dia tak nak balik kampung tahu tak! Jadi, bila
Hannah kahwin dengan Abang Karz, secara automatiknya dia akan selalu balik
kampung. Sebab tu, umi dengan walid setuju dengan pinangan ni.”
“Tapi, Hannah tak setuju!” tegas Hannah lagi. “Umi nak
ke anak umi ni kena tinggal dengan suami lepas kahwin nanti?”
“Kenapa Hannah cakap macam tu?”
“Yalah! Umi tahu tak bila kena kahwin paksa mesti salah
sorang kena tinggal. Macam novel yang Hannah baca tadi. Lelaki tu kena paksa
kahwin dengan perempuan yang dia tak kenal. Lepas aje akad nikah, terus lelaki
tu tinggalkan isteri dia. Umi nak ke Hannah jadi macam tu?”
Hannah mula mati akal. Cerita dalam novel pula dijadikan
alasan. Biarlah! Asalkan umi dengan walid tukar fikiran. Hannah menyeringai
apabila telinganya ditarik oleh umi. “Sakitlah umi!”
“Banyak sangat baca novel kamu ni tahu tak? Bukan ke
semua cerita dalam novel tu akan bahagia juga akhirnya. Walaupun umi tak baca
novel, tapi umi tengok drama. Betul tak?”
“Itu fantasi aje, umi. Memanglah bahagia! Ini realiti,
lain!” selar Hannah mengetap bibir.
“Kalau dah fantasi. Buat apa Hannah nak fikir macam tu
pula, kan? Setuju ajelah. Ya sayang?” Hajah Hayati memutarbelitkan fakta.
“Umi dengan walid ni memang kejam tau. Hannah nak
sambung belajar di Cairo, umi dengan walid tak izinkan. Hannah nak minta kerja
jadi guru J-Qaf pun tak izinkan juga. Takut kena hantar pergi Sarawaklah,
Sabahlah! Macam-macam alasan. Sekarang ni, nak paksa Hannah kahwin. Dengan si
lembik pula tu,” omel Hannah sebak. Sedih betul!
“Itu Hannah kena tanya walid sebab walid yang tak
benarkan. Walid balik nanti Hannah tanya sendiri. Lagipun, Abang Karz tak
lembiklah, sayang. Umi nak telefon mak long nak beritahu yang Hannah dah
setuju.”
Hannah melepaskan keluhan berat. Bila masa pula dia
cakap dia setuju ni?
“Umi...” Hannah bangun dan memanjangkan langkahnya
menghampiri Hajah Hayati. Terdengar suaranya merengek tidak mahu dijodohkan
dengan Karzrin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan