“BETUL ke Karz dah setuju nak kahwin dengan Hannah?” Datin Mazwin seakan-akan
tidak percaya.
Karzrin angguk perlahan. Ada sesuatu yang perlu dia
buktikan kepada Hannah. Sebab itu dia setuju.
Datin Mazwin tersengih sampai telinga. Akhirnya, tercapai
juga hasratnya nak tengok Karzrin naik pelamin. Nampaknya rancangan memaksa
mereka berdua ke kedai pagi semalam membuahkan hasil.
“Tapi, ada syarat. Mama kena setuju dengan semua syarat
Karz dulu. Kalau tidak Karz tarik balik...”
“Okey, mama setuju,” sampuk Datin Mazwin sebelum sempat
Karzrin menghabiskan kata-katanya.
Tak kira apa pun syaratnya, dia akan setuju! Asalkan
anak terunanya bebas daripada tuduhan gay. Datin Mazwin sudah mengengsot dan
memaut lengan anaknya.
Karzrin mengerutkan dahi. Amboi, belum apa-apa dah
setuju? Memang mamanya dah kemaruk sangat nak bermenantukan Hannah. Dia
meliarkan matanya ke sekitar rumah batu itu. Tidak mahu sesiapa mendengar
syarat-syaratnya, terutama pak su dengan mak su.
“Mak su dengan pak su pergi mana, mama?” soalnya ingin
tahu.
“Pak su ke mana lagi. Ke kolam ikan dialah. Papa pun
asyik mengekor aje. Mak su dengan Hannah pergi ambil Hannan dengan Hadziq di
sekolah. Kenapa? Rindukan Hannah ke?” giat Datin Mazwin.
Senang betul hatinya. Tak payah fikir kemungkinan
Karzrin akan lari pada hari pernikahan mereka nanti. Sebelum ini, itulah yang
dirisaukannya. Takut Karzrin larikan diri. Nasib baik dia dah setuju.
Karzrin mencebik. Rindu? Huh! Buang karan saja nak
rindukan budak pembuli tu.
“Syarat-syaratnya... Pertama, Karz nak bawa Hannah
tinggal berasingan dengan mama dan papa.”
Datin Mazwin mahu membantah, tapi niatnya terbantut
apabila jari Karzrin melekat di bibirnya.
“Jangan menyampuk!”
Datin Mazwin mengangguk laju. Patuh dengan arahan
anaknya.
“Kedua, Karz tak nak sesiapa pun tahu pasal perkahwinan
ni. Karz tak nak kawan-kawan Karz, kawan-kawan papa termasuk kawan-kawan mama
juga tahu pasal Hannah. Faham? Ketiga, Karz tak nak mama dengan papa masuk
campur dalam hal rumah tangga Karz nanti. Boleh?”
“Boleh! Boleh! Syarat pertama dengan syarat ketiga mama
setuju. Tapi, syarat kedua tu, macam tak bolehlah. Sebab mama nak Tengku Mariah
tahu yang Karz dah kahwin. Mama nak dia tahu yang anak mama ni lelaki sejati!”
Datin Mazwin tayang muka sedih.
Rugilah kalau dia tak boleh beritahu Tengku Mariah pasal
hal itu. Selama ini pun, Tengku Mariah memang banyak prejudis terhadap Karzrin.
Dia mahu membersihkah imej Karzrin yang sudah dicemari oleh mulut Tengku
Mariah.
“Mama nak tak Karz kahwin?”
“Nak! Tapi...”
“Kalau nak, tak ada tapi-tapi lagi. Mama kena setuju
dengan syarat-syarat Karz,” tegas Karzrin muktamad.
Lama juga Datin Mazwin terdiam. Berfikir. Perlahan-lahan
dia mengangguk juga. Kalau itu yang Karzrin mahu, dia ikut saja. Nampak sangat
yang Karzrin tak ikhlas. Hati Datin Mazwin rasa tak sedap pula. Kalau Karzrin
lari tinggalkan Hannah nanti macam mana? Aduh, kusut!
“Okey mama setuju dengan semua syarat Karz tu. Tapi,
mama pun ada syarat juga.”
“Apa dia?”
“Karz kena janji dengan mama yang Karz takkan lari tinggalkan
Hannah. Maksud mama, Karz kena ada masa hari nikah nanti. Janji?”
“Mama ni... Banyak sangat tengok drama Melayu tau. Karz
takkan lari. Ingat Karz ni pengecut ke? Ini Karzrin Bin Datuk Hamka tau! Gentleman!” ujar Karzrin sambil
tersengih. Wajah mamanya betul-betul nampak risau.
Hai, takkanlah dia nak lari pula? Agak-agaklah!
“Janji?” Datin Mazwin masih tidak percaya.
“Karz janji!” Karzrin memaut bahu mamanya erat. Mahu
mamanya percaya yang dia tidak berbohong.
Walaupun dia tak suka dengan Hannah, tak adalah sampai
nak lari masa hari nikah. Mama, mama... Sayang sangat dengan si Hannah tu.
Karzrin tersenyum. Hannah, kau tengok sendiri nanti! Lembik atau keras! Huh, getus
Karzrin dalam hati.
Seketika kemudian, terdengar suara motosikal dan kereta
memasuki pekarangan halaman rumah. Karzrin melepaskan pautan di bahu mamanya.
Terus sahaja matanya terpaku kepada penunggang motosikal berkuasa tinggi itu.
Dia mengerutkan dahi, menggosok matanya berkali-kali. Matanya seakan-akan tidak
percaya melihat gadis memakai T-shirt
Muslimah dan berseluar trek itu yang sedang menunggang motosikal itu.
“Han... Hannah?” Sebaris nama itu meluncur dari mulut
Karzrin dan Datin Mazwin serentak.
Hannah tunggang motor besar? Terjegil mata mereka dua
beranak.
“Mak long!” laung gadis Hannah dari atas motosikal itu.
Dia melambai-lambai ke arah Datin Mazwin.
Datin Mazwin mengangkat tangannya dan lambat-lambat
membalas lambaian itu. Terkejut sungguh!
Karzrin meluru ke pintu dan menyarung kasut. Cepat-cepat
dia menghampiri Hannah yang terkial-kial mahu turun dari motosikal itu. Motosikal
besar, mestilah berat!
“Kau ni tak sayang nyawa ke? Macamlah dah pandai sangat
naik motor. Kau ada lesen ke? Kalau jatuh, siapa yang susah, hah?” Karzrin
menyoal bertalu-talu. Dia membantu Hannah turun dari motosikal itu. Entah motosikal
siapa yang dirompaknya.
“Bukan Hannah merempit pun. Dah lama Hannah tak tunggang
motor besar ni. Seronok tau tunggang motor besar macam ni. Vrooom! Vrooom!” balas Hannah selamba sambil membuat
aksi tunggangan ala-ala penunggang profesional.
Karzrin mengetap bibir. Geram dengan tingkah bakal
isterinya itu. Dia risau tengok Hannah naik motosikal besar macam itu. Entah
spesies apa budak ni!
“Mak su dah banyak kali larang dah, Karz. Tapi, Hannah
ni degil. Pantang nampak motor Muaz ni mulalah merengek nak tunggang.” Hajah
Hayati yang baru turun dari kereta Mitsubishi Triton itu mengadu hal.
Tadi dia dengan Hannah pergi ambil Hannan dan Hadziq di
sekolah. Dalam perjalanan balik, mereka terserempak dengan Muaz di simpang
jalan depan tu. Apalagi, Hannah terus berhentikan kereta dan merengek-rengek
mahu menunggang motosikal Muaz. Muaz pula ikut saja kehendak Hannah. Hajah
Hayati tidak menyertai mereka sebaliknya dia terus membawa anak-anak kembarnya
ke dalam rumah.
Muaz? Karzrin tersentap sedikit. Siapa Muaz? Matanya
merenung lelaki yang sedang turun dari kereta pak sunya. Karzrin menelan air
liur. Wajahnya berubah serta-merta. Dia mengamati lelaki itu dengan sorotan
yang terisi dengan perasaan bercampur baur.
“Abang Muaz, terima kasih sebab bagi Hannah tunggang
motor abang ni. Tapi, jangan beritahu walid tau? Rahsia,” kata Hannah sebaik
sahaja Muaz berdiri di sebelahnya.
Lelaki itu tersenyum seraya mengenyitkan matanya.
Aik? Main kenyit-kenyit mata pula? Karzrin ketap bibir.
Geramnya!
“Kalau walid tahu pun, Hannah jangan risau. Abang akan back-up Hannah,” balas Muaz disusuli
dengan gelak tawa mereka berdua.
Karzrin gigit bibir bawahnya. Ingat aku ni patung ke? desis
hatinya geram. Macam dia tak wujud pula di situ.
“Ehem, ehem!” Karzrin berdeham sambil terbatuk-batuk.
Tindakan itu membuatkan dua pasang mata merenungnya.
Muaz tersenyum sebaik sahaja mata mereka bertembung.
“Siapa ni Hannah?” Muaz bertanya.
“Oh!” Hannah tepuk dahi. Terlupa pula nak kenalkan
Karzrin yang sedang berdiri sambil bercekak pinggang itu.
“Kenalkan, ini Abang Karz. Sepupu Hannah. Anak mak
long.”
Muaz mengangguk. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Abang Karz, ini Abang Muaz. Dia kerja dengan walid.
Kawan baik Hannah ni tau,” ujar Hannah bersungguh-sungguh.
Karzrin melakarkan senyuman pendek. Senyuman tak ikhlas.
Haruslah begitu. Biarlah, Karzrin tak peduli. Dia macam sakit hati tengok
Hannah asyik tersengih dengan Muaz. Kalau dengan aku bukan main masam lagi muka
tu! getusnya lagi.
“Abang, jomlah masuk rumah. Boleh minum dulu. Hannah nak
buat air yang paling spesial untuk
abang sebab bagi Hannah tunggang motor abang tu. Jomlah!”
“Tak bolehlah, Hannah. Abang nak pergi pekan ni. Ada
urusan di bank. Kalau masuk nanti lambat pula. Lagipun hari dah nak hujan. Lain
kali ajelah.” Muaz menolak dengan lembut. Jam di pergelangan tangan dikerling.
Kalau lambat nanti tutup pula bank tu.
“Ya ke?” Hannah tarik muka. Kecewa bila Muaz menolak.
Karzrin mencebik. Wajah kecewa Hannah membuatkan dia
sakit hati. Eleh, kecewa konon! Kalau dah kecewa sangat pergilah ikut mamat tu
pergi. Menyampah betul.
“Erm… abang pergi dulu ya? Kirim salam dekat umi.” Muaz
menghampiri motosikal Kawasaki ninja hitamnya.
Karzrin berganjak sedikit menjauhi motosikal itu. Dia
memandang ke arah lain bila ternampak Muaz mengenyitkan mata sekali lagi kepada
Hannah. Hannah pula tersengih macam kerang busuk sambil membuat thumbs up. Ewah, dia orang ni! Main-main
mata pula.
“Hoi, bukan main lagi kau sengih kan? Silap-silap boleh
gugur semua gigi kau tu. Memang semua lelaki dalam dunia ni kau panggil abang ya?
Abang Muaz konon! Huh!” ujar Karzrin setelah motosikal Muaz agak jauh
meninggalkan halaman rumah itu.
“Mestilah kena panggil abang. Itu tanda hormat, faham
tak? Lagipun, Abang Muaz tak adalah cakap geli tekak bila Hannah panggil dia
abang. Lagi suka adalah,” balas Hannah sambil mengatur langkah menuju ke pintu.
“Kau perli aku ya?”
“Terasa ke? Kalau dah makan cili mestilah rasa pedas,
kan? Takkan nak rasa manis pula!” Hannah menjeling lelaki yang sedang
membuntutinya.
Sibuk saja hal orang! Suka hati dialah nak panggil apa
pun. Lagipun Abang Muaz tu berganda-ganda baiknya. Bergaya! Lebih-lebih lagi
bila menunggang motosikal besar tu. Fuyooo!
Memang nampak hebat. Bukan macam lelaki di sebelah dia tu! Penakut! Agaknya
kalau disuruh tunggang motosikal macam tu, boleh banjir kampung ini dengan air
mata dia.
“Kau ni memang jaki dengan aku, kan? Kau ingat hebat
sangat ke kalau naik motor macam tu?” Karzrin buat muka lagi.
Terbayang wajah Muaz di matanya. Ah, kusut! Kenapa pula
dia rasa macam ni? Dia tak boleh tengok Hannah berbaik-baik dengan lelaki lain.
“Hebatlah! Nampak maco.”
“Habis tu, kenapa kau tak kahwin aje dengan dia?”
“Kalau suka mesti kena kahwin ke? Habis tu, Abang Karz
tak suka Hannah dan Hannah pun taklah suka sangat dengan abang. Tapi kenapa
kita kena kahwin?’ Hannah berpaling dan merenung wajah Karzrin.
Wajah itu cukup kacak. Cukup sifat sebagai teruna idaman
dara. Tapi, kenapa agaknya mak long yang terpaksa mencarikan jodoh untuknya?
Hannah pelik sebab tak logiklah kalau tak ada perempuan yang nakkan Karzrin.
Dia nampak normal sebagai lelaki.
Walaupun dia yang memanggil Karzrin lembik, tapi fizikal
lelaki itu tak lembik. Dengan otot biseps yang berketul-ketul dan dadanya pun
nampak tegap. Hannah memerhatikan bahagian bawah. Kaki pun berbulu aje, tokok
hatinya sambil ralit menilik kaki Karzrin yang berseluar pendek paras lutut
itu.
“Manalah aku tahu kenapa kita kena kahwin. Kau tanyalah
mama dengan mak su yang dah tak sabar nak tengok kita kahwin,” balas Karzrin.
“Kenapa kau tengok aku macam tu? Kalau ya pun nak tahu aku
ni keras ke lembik. Tunggulah lepas kita kahwin nanti. Aku akan bagi kau tengok
puas-puas!” sindir Karzrin seraya memanjangkan langkahnya mendahului Hannah
menuju ke pintu rumah.
Hannah sekadar menggigit bibir. Merah padam pipinya bila
Karzrin perasan yang dia sedang memerhatikannya. Tapi, dia tengok kaki saja.
Karzrin saja yang lebih-lebih. Lelaki itu memang suka mensensasikan cerita.
Masuk sahaja ke dalam rumah, dia boleh dengar dengan
jelas suara mama dan mak su sedang berbincang tentang perkahwinan dia dengan
Hannah di dapur. Tengah masak agaknya. Karzrin berlalu ke dalam biliknya. Malas
mahu menyertai mama dan mak su di dapur. Kepalanya tengah kusut!
Hannah mengeluh perlahan. Saat itu. dadanya yang
diserang debaran. Selepas umi dan walid memberitahu yang dia akan dijodohkan
dengan Karzrin, dia terus menunaikan solat istikharah selama tiga malam
berturut-turut. Dia memohon petunjuk kepada Allah supaya tenangkan hatinya dan
lapangkan dadanya jika Karzrin adalah jodoh yang terbaik untuknya.
Alhamdulillah! Hatinya menjadi tenang dan dadanya terasa
lapang. Tiada lagi keluh-kesah setiap kali mendengar nama Karzrin disebut.
Walaupun Karzrin dingin, tapi dia yakin bahawa apa yang ditentukan oleh Allah
adalah yang terbaik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu yang
tersurat mahupun yang tersirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan