SELEPAS bersarapan, Datin Mazwin terpekik-pekik memanggil Karzrin dan
Hannah. Dia sudah ingatkan yang mereka berempat akan pergi ke butik pengantin
di pekan. Tadi bukan main lagi angguk bila dia suruh bersiap cepat-cepat. Dah
lebih setengah jam, masing-masing belum nampak batang hidung. Sambung tidur
balik ke?
Datin Mazwin mundar-mandir di ruang tamu sambil meninjau
ke pintu bilik Hannah dan bilik Kazrin yang terletak selang dua bilik dari
bilik Hannah. Kedua-dua pintu itu masih tertutup rapat. Hisy, lambat betullah!
“Duduklah dulu kak. Kejap lagi keluarlah dia orang tu.
Dia orang yang nak kahwin, kan?” Hajah Hayati yang sudah pun siap mengenakan
baju kurung dan tudung labuh, tersenyum melihat kakak iparnya yang macam cacing
kena panas. Gelisah saja sambil tertunggu-tunggu Hannah dan Karzrin.
“Dah lama sangat ni. Kan tadi janji nak pergi sebelum
pukul 9.00. Sekarang dah pukul 9.10 minit. Lambatlah budak-budak bertuah dua
orang ni.”
“Biasalah tu. Kalau lima minit lagi dia orang tak keluar
kita ketuk aje pintu bilik.” Hajah Hayati kelihatan sibuk mencari sesuatu di
dalam beg tangannya.
“Kau cari apa tu, Yati?”
“Saya cari cincin Hannah. Semalam dia cakap dia tak nak
beli cincin dah. Pakai aje yang mana ada. Dia tak nak membazir.” Berkerut juga
dahi Hajah Hayati menggagau mencari cincin di dalam beg tangannya. Seingatnya,
dia letakkan semua cincin milik Hannah dalam beg tangan. Mana pula perginya?
“Ya ke? Tak ada membazirnya. Lagipun Karzrin bukan nak
belikan cincin untuk majlis akad nikah tu. Semalam dia beritahu dia nak belikan
rantai tangan. Bukan emas, tapi berlian. Karz yang cakap sendiri.”
“Berlian?” Terbeliak mata Hajah Hayati.
“Yalah. Biarlah dia nak beli apa-apa pun. Bukan untuk
orang lain, untuk bakal isteri dia juga. Tapi, dia tak nak Hannah tahu pasal
hal ni. Kau jangan bocor rahsia pulak!” Datin Mazwin meliarkan matanya ke arah
pintu bilik Hannah.
Dia dah janji yang dia tak akan beritahu sesiapa, tapi
mulutnya jenis yang tak ada brek. Habislah kalau Karzrin tahu yang dia bocorkan
rahsia itu kepada mak sunya. Datin Mazwin menampar mulutnya sekali.
Hajah Hayati cuma mengangguk.
Wah, sampai nak beli berlian bagai. Mahal tu! Hajah
Hayati tahu sangat perangai anak daranya. Hannah bukan jenis yang reti sangat
nak berhias dengan barang kemas. Semua barang-barang kemasnya disimpan saja di dalam
kotak. Dia takkan pakai kalau tak disuruh. Rimas katanya. Inikan pula berlian.
“Mak long, umi, Hannah dah siap ni. Jomlah!” Hannah
muncul selepas beberapa minit.
Suaranya terus mematikan perbualan mereka tentang isu
berlain itu. Datin Mazwin tersenyum melihat Hannah. Gadis itu nampak lain.
Sebelum ini, Hannah selalu pakai trek dengan T-shirt Muslimah dan bertudung bawal. Pagi itu, Hannah sangat
cantik mengenakan dress labuh
berwarna fuchia dan selendang halfmoon corak flora dengan warna
senada. Wajahnya nampak segar dengan sedikit calitan lipstik.
“Amboi, cantiknya bakal menantu mak long ni,” puji Datin
Mazwin bersunguh-sunguh. Ikhlas.
“Isy, mana ada cantik pun, mak long. Biasa ajelah. Mana
Abang Karz ni?’ Hannah tercari-cari kelibat Karzrin.
Tak keluar lagi agaknya. Semalam bukan main lagi suruh
orang awal, tapi dia pula yang lambat. Huh! Cakap tak serupa bikin.
“Abang Karz kamu tu memang lambat. Kalau nak keluar
pergi mana-mana memang macam nilah mak long kena tunggu dia. Bersiap
mengalahkan anak dara,” balas Datin Mazwin disambut hilai tawa Hannah dan Hajah
Hayati.
“Senang hati nampak boleh gelakkan Karz!”
Ketawa mereka terhenti apabila terdengar suara Karzrin
menegur. Hannah tutup mulut dengan tapak tangan mahu menyembunyikan ketawanya
yang masih tidak mahu berhenti. Datin Mazwin sudah berlalu ke pintu. Hannah
cepat-cepat mengekori langkahan mak longnya.
“Kalau dah siap jomlah kita pergi. Kalau lambat-lambat
nanti takut tak sempat nak ambil Hannan dan Hadziq di sekolah pula. Karz tunggu
mak su kat luar. Mak su nak kuncikan pintu dulu. Pak su dengan papa kamu pergi
hantar ikan. Lambat balik.” Hajah Hayati tergopoh-gopoh menuju ke dapur. Pintu
dapur masih belum dikunci.
“Karz cepatlah sikit! Mama dah penat tunggu tau!” jerit
Datin Mazwin.
“Karz, kita naik kereta pak su ni. Kan banyak barang
yang nak kena beli,” ujar Datin Mazwin setelah Karzrin menyertai mereka.
Karzrin buat muka pelik.
“Tak apa, abang. Hannah boleh drive. Kalau Hannah pergi pekan dengan walid memang Hannah yang drive. Jangan risau.” Jujur saja Hannah
menawarkan khidmatnya untuk menjadi pemandu mereka. Memang dia yang akan
memandu jika dia ke pekan dengan walid. Dia dah biasa memandu kereta Mitsubishi
Triton walidnya.
“Jangan mengada-ada sangatlah. Biar aku aje yang drive. Bak sini kunci kereta.” Karzrin
merampas kunci yang sedang dipegang oleh Hannah. Karzrin geram sebab Hannah
asyik buat perkara yang dia tak suka.
Hannah menjeling tajam. Tidak suka dengan kekasaran
lelaki itu. Memang nak kena bagi katak ni, desis Hannah geram.
“Isy, tak payahlah gaduh-gaduh. Kan kamu berdua dah nak
kahwin!” Datin Mazwin mencelah sambil menggelengkan kepalanya. Macam anjing dengan
kucing! Asyik bergaduh saja kerjanya.
Dalam kekecohan itu, kelihatan dua buah kereta memasuki
halaman rumah batu milik Haji Darus. Mereka bertiga menfokuskan pandangan ke
arah kereta-kereta itu. Ternanti-nanti juga siapa tetamu yang bertandang awal
pagi begitu. Dari jarak 20 meter dari garaj kereta, mereka boleh nampak seorang
demi seorang keluar dari kereta.
Hannah mengerutkan dahi melihat seorang wanita
lingkungan 60-an yang sedang menutup pintu kereta. Itu kan... Mak Odah? Ibu
kepada Abang Muaz. Lelaki yang sedang berdiri di sebelah Mak Odah pula ialah
Abang Mahadi, abang sulung Abang Muaz. Pelik! Kenapa mereka datang bawa orang
ramai-ramai ni?
Hannah segera mendapatkan Mak Odah. Dipeluk dan
diciumnya wanita itu berkali-kali.
Karzrin dan Datin Mazwin saling berpandangan.
Masing-masing sedang berfikir kenapa ramai sangat yang datang.
“Karz, mama rasa mereka tu datang nak meminang Hannah,”
bisik Datin Mazwin perlahan.
“Meminang Hannah?” Karzrin terasa seperti dihempuk
dengan batu. Hatinya disambar api cemburu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan