Bab 1
Hana memandang
skrin telefon bimbitnya. Matanya terbeliak habis. Mukanya sudah berubah cemas.
Alamak! Habislah aku kali ini. Kena marah lagilah dengan Puan Iman, bisik
hatinya cemas. Manalah Monorail ni tak sampai-sampai lagi? Dah dekat setengah
jam tunggu kat sini. Sudahlah ramai orang. Sah-sah berdiri dan terhimpit sana
sini.
Tak kisahlah nak terhimpit macam dalam tin kacang
panggang, tapi sangat tidak suka kalau tersentuh
dan berhimpit di sebelah lelaki. Seriously, I hate this! Tetapi, inilah hakikatnya.
Kehidupan Nur Hana yang penuh liku pada
setiap hari Isnin sehingga Jumaat.
Monorail berwarna merah itu akhirnya tiba di stesen
paling hujung itu iaitu Titiwangsa. Orang ramai yang dari tadi menunggu mula
berebut-rebut masuk ke dalam tren itu walaupun sudah diarah untuk berbaris oleh
petugas di situ. Hana sedaya upaya meloloskan diri ke dalam tren. Mujurlah
badannya yang sememangnya kurus itu berjaya masuk dengan jayanya.
Yes! Dapat pun masuk.
Dia cepat-cepat mengambil tempat berdiri berdekatan sebelah
tiang kerana semua tempat duduk sudah penuh. Tangannya cepat saja memegang erat
tiang supaya ketika tren itu bergerak, dia tidak hilang keseimbangan badan. Beg
silangnya yang terletak di depan dipeluk kemas. Tren mula dipenuhi orang. Tidak
sampai seminit, pintu tren ditutup kemudiannya tren mula bergerak meninggalkan
stesen Titiwangsa.
Hana berlari sepantas yang mungkin sebaik saja tiba di
stesen Raja Chulan. Dari jauh lagi dia dapat melihat bangunan setinggi lapan
tingkat itu. Di dalam otaknya sudah cuba sedaya upaya memikirkan apakah alasan
terbaik untuk diberikan sebentar lagi kepada Puan Iman, ketua jabatan
pentadbiran.
Nak cakap sakit perut lagi? Entah sudah kali keberapa
dia menggunakan alasan lapuk itu. Confirm
Puan Iman reject terus alasan
itu. Isy!
“Apa nak jadi
dengan awak ni, Cik Hana? Dalam sebulan aje dah 11 kali awak datang lambat. Dah
bagi banyak kali surat amaran dan sesi kaunseling, pun awak tetap jugak lambat?
Saya peninglah dengan sikap awak yang satu ni. Awak ingat bapak awak punya company ke ni? Kalau ini company bapak awak, awak tak masuk kerja
pun tak apa, tahu tak? Saya pun tak ambik kisah kalau macam tu,” bebel Puan
Iman sambil bercekak pinggang.
Matanya tajam merenung gadis bertudung bawal hitam,
berkemeja longgar melepasi punggung berwarna putih dan berseluar hitam itu.
Berkerut dahinya melihatkan gadis yang masih termengah-mengah itu, akibat
berlari tadi.
Hana sudah mengetap bibirnya. Panas juga telinga
mendengar bebelan si bini singa itu. Tahan sajalah. Walaupun telinganya sudah
lali mendengar bebelan si bini singa setelah hampir setahun lamanya bekerja di
situ, ayat-ayat pedas Puan Iman tetap menyengat hatinya. Part Puan Iman menyebut, “Kalau ini company bapak awak, awak tak masuk kerja pun tak apa, tahu tak?” Erk!
Tersentap habis hati kecil ini. Mujurlah syarikat ni bukan bapak aku yang
punya. Jadi, jangan nak berangan lebih-lebih ya, Hana.
“Ni apasal banyak bulu kat seluar awak ni? Tak cuci ke?”
soal Puan Iman sambil mengerutkan mukanya ketika memandang seluar Hana yang penuh
dengan bulu berwarna putih.
Hana terus tunduk memandang seluarnya. Dia mengeluh
dalam hati. Joon...
“Err... ni bulu Joonlah, puan. Saya kan ada bagi tau puan
sebelum ni. Saya mana pernah langsung tak cuci baju dan seluar. Tapi, puan
faham-fahamlah bulu Joon ni jenis panjang, jadi ini aje masalah yang saya perlu
hadapi,” jelas Hana dengan wajah kalut.
“Hmm... whateverlah.
Lepas ni saya tak nak tengok awak datang lambat lagi.” Sejurus itu, Puan Iman
beredar masuk ke biliknya.
Hana menghembuskan nafas lega. Hana menuju ke mejanya
dengan wajah lesu. Lesu kerana terpaksa mendengar bebelan pedas lagi percuma
daripada Puan Iman. Sudahlah tak sempat nak bersarapan pun pagi tadi.
Disebabkan itu jugalah dia bertambah lesu.
“Hari ni dapat bebelan best tak?”
Hana menoleh ke arah gadis berambut lurus paras bahu
itu. Dia hanya membesarkan matanya sambil bibir memuncung ke depan. Gadis yang
menegurnya tadi terus saja tergelak.
“Macam biasalah. Macamlah kau tak tau, Lea,” balas Hana
lalu duduk di atas kerusinya yang tidak terlalu empuk itu. Pendek kata kerusi
yang didudukinya itu tidak semewah dan selesa kerusi pihak atasan. Erk.
Tangannya pantas menekan punat komputer. Sementara
menunggu komputer beroperasi sepenuhnya, dia mengambil salah satu fail hitam
yang bertimbun tinggi di atas mejanya. Kerja yang entah bila boleh siap dengan
keadaan dirinya yang sentiasa lambat datang ke pejabat. Fail itu diselak perlahan.
Berkerut dahinya melihat banyak ejaan salah pada dokumen itu.
Hana melihat nama pada muka hadapan fail itu. Hmm... jabatan
pemasaran ya. Benda yang tak tahu nak buat tolak ke jabatan pentadbiran dan
memang sah-sah yang pegang jawatan kerani diarahkan buat semua ini. Aik, kerani
bahagian jabatan pemasaran tak buat kerja ke? Kalau macam tu lebih baik tak
payah bekerja. Duduk rumah, online dan
goyang kaki saja. Haih... Hana hanya mampu mengeluh dalam hatinya.
Dia menutup fail itu dan diletakkan semula di atas fail
yang lain. Matanya mula tertumpu pada skrin komputer.
Suasana di KLIA
sibuk seperti kebiasaannya. Kelihatan dua orang lelaki yang nampak segak dan
tampan keluar dari balai ketibaan sambil menarik bagasi masing-masing. Mereka
berdua saling berpandangan dan tersenyum senang hati.
“Alhamdulillah. Sampai jugak kita kat KL ni,” ujar
lelaki yang memakai T-shirt belang
hijau putih dan jean biru gelap.
Lelaki di sisinya yang memakai T-shirt putih dan jean hitam itu tersengih. “Alhamdulillah.
Bolehlah kita pekena nasi lemak dan teh tarik dulu kan, Harris?”
Harris tergelak spontan. “Why not right, Adam?”
Adam mengelap
sudu dan garpu berulang kali. Fokus. Sebuah gelas berisi air panas terletak di
tepi pinggannya. Siapa lagi yang memesan air panas itu kalau bukan lelaki
bernama Tengku Adam itu? Ini semua semata-mata untuk memastikan sudu dan garpunya
bersih. Dia sudah merendam sudu dan garpu itu di dalam gelas itu selama lima
minit sebelum mengelapnya kering. Kelihatan timbunan tisu yang sudah dipakai
terletak di sebelah kiri pinggan.
Harris yang mengelap sudu dan garpunya sekali saja,
sudah enak menikmati nasi lemak di depannya. Dia hanya tersenyum melihat
kecerewetan melampau kawan baiknya itu. Dia faham benar akan tahap kebersihan
yang Adam inginkan. Kalau dia rasa tak yakin, dia akan terus mengelap sampai
hatinya puas.
“Dah tiga tahun tak balik sini, rasa macam dah 30 tahun aje
tak makan nasi lemak kat sini.” Harris memulakan perbualan setelah habis
mengunyah suapan ketiga.
Adam tersenyum. Dia sudah selesai mengelap sudu dan garpunya.
Terpancar riak puas hati. Dia memandang pinggan berisi nasi lemak ayam yang
masih belum luak dari tadi. Kali ini dia memeriksa sekeliling pinggan untuk
memastikan tidak ada sebarang kekotoran pun. Setelah memastikan tiada apa-apa
kotoran, barulah dia mula makan setelah membaca doa makan. Mukanya tampak berselera
sekali menikmati nasi lemak kegemarannya.
Harris juga makan dengan wajah yang penuh berseri.
“Kejap lagi kau nak ikut balik ke rumah aku ke macam
mana?” tanya Harris sebelum menyudu nasi ke dalam mulutnya. Sambil mengunyah
matanya memerhati Adam yang begitu asyik makan nasi lemak yang terlebih lemak
dan sedap itu.
Adam mengangkat muka memandangnya seketika sebelum
menyambung makan.
“Ke mana lagi aku nak pergi kalau bukan rumah kau. Kau
tak sudi bawak aku balik rumah kau ke?” tanya Adam dengan nada perlahan.
“Memanglah sudi, tapi opah kau tak mencari ke nanti?”
Giliran Harris pula menyoal.
Adam terkedu lalu mengangkat kedua-dua belah bahunya
tanda tiada jawapan untuk persoalan itu. Kemudian dia terus makan tanpa
mempedulikan Harris yang masih menunggu jawapannya.
Harris hanya mampu memandang tanpa kata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan