Bab 2
GISELE meletakkan keretanya di tepi MyVi kuning itu. Pemilik MyVi itu
hanya akan keluar dari rumah apabila dia mahu membeli barang dapur, ke sekolah
tempat mereka bekerja dan setiap hari minggu untuk keluar beriadah. Gisele
menolak pintu perlahan-lahan. Takut kepulangan pada dinihari itu mengganggu
tidur teman serumahnya. Gisele berjingkit-jingkit meletakkan kasut ke dalam rak
kasut.
Tap! Lampu yang dibuka menerangi seluruh ruang tamu.
Gisele menoleh terkejut. Seorang wanita sedang bercekak pinggang dengan hanya
memakai pakaian tidur. Rambutnya ditocang satu. Keningnya dijongketkan.
“Dah pukul berapa, Gisele?” tanya wanita itu.
Gisele menjeling ke arah jam pada dinding. Hampir pukul
3.00 pagi. Gisele tersengih membariskan giginya yang putih. Tahu dia sudah
terperangkap.
“Kau pergi clubbing
ke, Gisele?” tanya Reesa tidak senang dengan kelewatan kepulangan Gisele.
“Taklah.” Tegas bunyi suara Gisele. Matanya terbuntang.
Wanita itu menghampiri Gisele. Mencium badan dan wajah
Gisele. Mana tahu berbau minuman keras. Dia bukannya tahu pun bau itu. Namun, selalunya
orang cakap. Hidungnya kembang kempis.
“Wei, apa hal ni? Aku tak minumlah. Sejak kenal kau, dah
enam tahun tau aku tinggalkan minuman keras. Kau dah lupa ke?” Gisele menolak
tubuh rakannya itu. Dia melangkah ke sofa, membuntuti rakannya itu.
“Mana tahu. Ini first
time kau keluar awal balik pukul 3.00 pagi. Aku risau tau. Call, tapi tak dapat. Kau tutup handphone ya?” tanya Reesa lagi.
“Bateri mati kut,” ujarnya pula. Acuh tak acuh. Bukan
bosan dengan sesi soal jawab itu, tapi Gisele sudah kenal benar dengan perangai
sahabat baiknya yang seorang itu. Terlalu mengambil berat.
Gisele mengeluarkan handphone
dari dalam begnya. Dia menunjuk ke depan mata rakannya itu. Gisele mendecit
lari meninggalkan rakannya yang masih mahu berbicara dengannya. Lebih baik dia
lari sebelum banyak pertanyaan yang keluar dari dua ulas bibir itu. Silap-silap
hari bulan sampai matahari naik nanti dia tak dapat tidur. Bukannya boleh dikira
sangat rakan baiknya itu.
“REESA kau masak apa pagi ni?” tanya Gisele. Rambutnya berserabut.
Sesekali Gisele menggaru badan dan kepalanya.
“Pagi kepala korak kau! Mari sini tengok jam.” Reesa
menarik tangan Gisele ke arah jam yang terletak di dalam dapur.
Gisele tersengih selepas melihat waktu itu. Dia duduk di
atas kerusi di meja makan. Tangannya membuka tudung yang menutup makanan di
atas meja itu. Bau wangi sambal ayam menusuk ke dalam hidungnya.
“Wanginya. Aku dah janji nak balik rumah hari ni. Nampak
gayanya tak jadilah. Aku nak makan lauk yang kau masak ni,” kata Gisele.
“Kau pergi mandilah dulu. Busuklah baru lepas bangun
tidur,” kata Reesa. Dia menutup hidungnya. Sementara tangannya digawangkan.
Gisele tersengih lantas mencapai tuala yang dibawanya
sejak tadi.
“Mana pakwe aku?” tanya Gisele dari dalam bilik mandi.
Reesa tidak menjawab. Macamlah Gisele tak tahu. Jika
hari minggu kelas al-Quran mula pagi hingga ke pukul 12.00.
Reesa segera keluar
dari rumah apabila jam sudah menunjukkan ke pukul 11.45 minit pagi. Jika
terlewat sedikit puteranya itu suka sangat merajuk. Belajar daripada Gisele
barangkali. Keretanya dipandu dengan penuh hati-hati. Perjalanan selama 15
minit itu sudah tiba di puncaknya.
“Mummy...” Adam
berlari mendapatkan mummynya.
Ingatkan tadi mummynya akan sampai
lewat. Adam sudah bersedia untuk merajuk.
Reesa menutup pintu keretanya dan segera berlalu.
Puteranya ini mungkin sudah kelaparan. Kerana pagi tadi dia tidak sempat bersarapan
kerana Reesa terbangun lewat.
“Adam mummy ni
dah lapar ke belum?” tanya Reesa.
“Lapar sangatlah mummy.
Kesian Adam,” ujar Adam mengusap perut.
“Mummy minta
maaf sebab tak sempat buat sarapan untuk Adam. Mummy janji lepas ni mummy
tak akan bangun lewat lagi.” Reesa berjanji dengan puteranya itu.
“Okey. Tapi, mummy
masak apa lunch ni?” tanya Adam si
anak kecil yang berusia lima tahun itu.
“Sambal ayam dengan sup cauliflower campur brokoli.” Reesa menoleh ke arah anaknya sambil
mengukirkan senyuman.
“Sedapnya, mummy...”
Adam bagaikan sudah ternampak-nampak akan sambal ayam dan sup itu di depan mata.
Selepas pintu kereta dibuka, Adam segera berlari masuk.
Beg yang digalas sejak tadi diletakkan di dalam bilik. Dia sudah tahu akan
rutinnya itu. Mummy sudah banyak kali
mengajarnya. Dengan masih memakai baju Melayu Adam berlari ke dapur.
“Ibu! Adam lapar ni,” kata Adam. Dia terus duduk di atas
kerusi.
Gisele ketawa melihat telatah si kecil itu. “Oh, anak
ibu dah lapar... Ibu pun lapar juga.”
Reesa menggelengkan kepala melihat wajah kelaparan
mereka berdua.
“Kalau ya pun, sabarlah. Secara tak langsung kau ajar
Adam makan gelojoh,” tegur Reesa. Nama sahaja kerja mengajar budak kecil, tapi
perangai mengalahkan budak kecil.
“Sorry, mummy.” Serentak kedua-keduanya
berkata.
Reesa menggelengkan kepala ketika melihat mereka makan.
Reesa masih
asyik menonton TV. Adam di sisinya sedang mewarna buku yang dibeli minggu
lepas. Gisele menghampiri kedua-dua beranak itu.
“Aku nak balik rumah orang tua aku. Malam ni tidur sana,”
beritahu Gisele sambil mengenakan subang di telinga. Beg tangan digalas di
bahu.
“Kau dah lama kan janji nak balik rumah orang tua kau.”
“Hmm... Aku ni suka sangat tangguh. Kasihan mak ayah aku
tu.” Gisele mengiakan kata-kata Reesa.
“Eh, aku gerak dululah. Adam, ibu pergi dulu ya. Sini
sayang ibu.” Gisele memanggil Adam yang sudah dianggap seperti anak sendiri.
Adam segera bangun. Tangan Gisele dicium dan ciuman
dihadiahkan juga di pipi Gisele.
“Mummy, kenapa
ibu ada ayah dan mak? Mummy tak ada
ke?” tanya Adam tiba-tiba.
Reesa segera menoleh ke arah anak kecilnya itu. Amboi! Soalannya
lebih kepada orang dewasa. Macam mana nak jawab ni?
“Macam nilah... Suatu hari nanti mummy akan kenalkan Adam dengan datuk dan nenek Adam.”
“Betul ke, mummy?”
tanya Adam kembali. Nampak kegembiraan pada wajahnya.
“Betullah. Dah, pergi colour lagi. Belum habis, kan?”
Adam menganggukkan kepala sambil kembali mewarna.
Reesa terfikir bagaimana dia mahu memperkenalkan mereka
yang telah dijanjikan kepada anaknya itu. Kalaulah mak dan ayah masih ada tentu
Adam tidak akan bertanya. Mereka pergi sebelum sempat melihat cucu mereka lahir
ke dunia.
Emak menangis
teresak-esak selepas hakim mahkamah syariah mengesahkan perceraiannya. Ayah
sahaja yang nampak tenang. Yang hairannya Reesa tidak pula menitiskan air mata.
Entah kenapa mutiara jernih miliknya itu tidak mahu keluar. Jika mahu
difikirkan alasan bekas suaminya mahu bercerai dengannya tentulah hatinya lebih
sakit. Lelaki itu sudah tidak mencintainya lagi.
Tidak! Lelaki itu memang tidak pernah mencintainya.
Itulah yang sebenarnya. Bukan kerana dia mahu kembali kepada kekasih hatinya
yang ditinggalkan setahun yang lalu atas salah faham. Tapi, mungkin itu juga
salah satu daripada alasannya.
Ketika keluar dari kawasan mahkamah, Reesa ternampak
lelaki itu berlalu ke keretanya. Mungkin ini kali terakhir dia akan melihat
lelaki yang amat dicintainya itu. Di dalam keretanya sudah menanti seorang
perempuan cantik berkaca mata hitam. Patutlah, desis hati Reesa.
Tanpa memandang Reesa, lelaki yang pernah menjadi
suaminya itu terus memecut keretanya meninggalkan pekarangan mahkamah syariah
itu. Sementara Reesa berlalu ke kereta ayahnya.
Sepanjang perjalanan pulang emak asyik menangis manakala
ayah tetap seperti tadi. Tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun. Perkahwinan
selama hampir setahun itu tidak seperti yang Reesa gambarkan. Hambar dan tiada
keceriaan. Apa yang menyebabkan mereka berdua mengambil keputusan untuk
berkahwin pun Reesa masih belum boleh dapat mencari jawapannya.
Reesa tahu mak dan ayah kecewa dengan apa yang terjadi.
Berkahwin terburu-buru bercerai pun terburu-buru. Sungguh Reesa kesal kerana
menyebabkan hati mak dan ayahnya terluka kerana kesilapannya.
“Mak... ayah... Reesa minta maaf atas semua yang
terjadi. Reesa tahu Reesa salah kerana tidak ikut cakap mak ayah dahulu.” Reesa
mula menangis kerana rasa bersalah kepada emak dan ayahnya.
“Reesa, ayah dan mak sudah lupakan semua itu. Cuma ayah
dan mak sedih perkahwinan Reesa putus cepat sangat.” Tiba-tiba ayahnya bersuara.
“Reesa satu-satunya anak mak dan ayah. Kami sayangkan
Reesa,” sampuk emaknya berpaling ke belakang. Senyuman diukirkan untuk Reesa.
Reesa membalas senyuman emaknya.
“Mak, ayah, Reesa minta maaf sebab semua ini. Jika Reesa
tahu begini akhirnya Reesa tak akan sesekali mengambil keputusan ni,” kata
Reesa lagi.
“Benda dah nak jadi. Allah dah tetapkan perkahwinan
Reesa sampai setakat ni saja,” kata ayahnya, berpaling ke belakang, mahu
melihat Reesa.
“Ayah, kenapa lori tu masuk jalan kita! Ayah!” jerit
Reesa.
Apa yang Reesa dapat lihat lori itu menghampiri muncung
kereta Wira ayah. Selepas itu Reesa tidak tahu apa yang terjadi. Tersedar
sahaja dia sudah berada di hospital. Menjerit-jerit memanggil emak dan ayahnya.
Sebulan Reesa di hospital kerana tangannya patah dan
yang paling penting kandungannya. Reesa terkejut apabila diberitahu dia
mengandung dan kandungannya perlu dipantau kerana apa yang berlaku terlalu
teruk. Sebelum mengetahui mengenai kandungannya, Reesa tidak mahu hidup lagi
kerana dia sudah hilang tempat bergantung. Kerana Adamlah dia meneruskan
kehidupan yang serba kekurangan.
Dia tidak sempat untuk menyambung pelajarannya yang
terhenti kerana berkahwin. Entah bila dia boleh menyambung pelajarannya, namun
syukur di saat dia memerlukan pertolongan ada tangan yang menghulur. Giselelah
orangnya.
“Mummy... mummy...”
Reesa terkejut daripada ingatan silam. Dia menyeka air
mata yang mengalir.
“Adam dah panggil mummy
banyak kali. Adam mengantuklah, mummy.
Jom tidur.”
“Sorry ya.”
Tubuh Adam diangkat dan Reesa mendukungnya. Adam memeluk lehernya kejap.
Tubuh Adam segera dilitupi dengan selimut. Kelambu
segera diturunkan. Reesa lebih gemar menggunakan kelambu daripada ubat nyamuk.
Tidak kiralah berapa banyak dan modennya ubat nyamuk berada di pasaran. Cara konvensional
itu juga yang disukainya.
Belakang Adam diusap perlahan. Kata orang badan anak
jika diusap begitu tidurnya cepat. Entahlah sama ada itu mitos atau ada yang
sudah membuat kajian. Apa yang pasti Adam cepat tidur dengan cara itu.
Sedang menidurkan Adam, Reesa teringat semula akan
kenangan silam. Bersama Gisele dia melayari kehidupan. Waktu itu Adam masih
lagi di dalam kandungan. Gisele yang mencarikannya kerja. Bekerja sebagai
pembantu di sekolah yang Gisele mengajar membuatkan Reesa lupa pada segala-galanya.
Dengan kerenah budak-budak yang begitu mencuit hati.
Kini hampir empat tahun dia di sekolah itu. Dia bukan
lagi pembantu, tetapi juga guru di situ. Selepas dua tahun kelahiran Adam,
Reesa menyambung pelajarannya semula. Syukur dia tidak mempunyai masalah untuk
menyambung pelajaran di kolej itu lagi. Mungkin sudah jodohnya dengan kerjanya
sekarang.
Banyak yang Reesa terhutang budi dengan Gisele. Walaupun
berbeza agama, tetapi kehidupannya bersama Gisele tidak ada
masalah. Giselelah segala-galanya selepas Adam. Keluarga Gisele juga
menerimanya dengan baik.
Reesa bangun daripada perbaringannya. Dia menuju ke
tingkap bilik. Tingkap yang tidak ditutup rapat diketatkan, sementara langsir
yang sedikit terbuka ditarik rapat. Malam-malam begini tentu angin sejuk akan
mencari ruang untuk menerobos masuk ke dalam bilik.
Reesa duduk di hadapan cermin solek biliknya. Lama dia
memandang wajahnya pada cermin itu. Wajah Adam tidak mengikut iras wajahnya.
Rautnya itu lebih kepada bekas suaminya. Senyuman, mata dan ketawanya juga
seperti bekas suaminya. Di mana lelaki itu sekarang?
Reesa tahu dia salah kerana menyembunyikan kehadiran
Adam. Tetapi, hatinya yang terluka selepas perceraian membuatkan dia tidak
memberitahu kehadiran Adam ke dunia ini. Tentu dia sudah berkahwin dengan
kekasih hatinya. Bukannya sehari dua mereka tidak bertemu. Hampir enam tahun.
Macam-macam boleh berlaku dalam jangka waktu yang panjang itu. Entah-entah
sudah dua, tiga anak mereka.
Reesa mengiringkan badannya membelakangkan Adam. Adam juga
seperti bapanya, tidak suka tidur sebelah kiri Reesa. Kenapalah Adam terlalu
banyak mengikut lelaki itu? Sedangkan lelaki itu tidak menyedari kehadirannya
pun. Ah! Memang lelaki itu tidak menyedari kehadiran Adam kerana Reesa yang
menyembunyikannya.
Reesa berterusan rasa bersalah kerana tidak pernah
memberitahu lelaki itu, tetapi Reesa takut jika lelaki itu tiba-tiba mahu
mengambil Adam daripadanya. Reesa tak sanggup berpisah dengan Adam. Reesa boleh
mati jika berpisah dengan Adam. Adam satu-satunya ahli keluarganya.
Kenapalah malam ini tiba-tiba sahaja teringatkan lelaki
itu yang telah lama dibuangkan namanya daripada dalam diari kehidupan Reesa?
Pelik pula kerana selama beberapa tahun kebelakangan ini Reesa sudah melupakan
lelaki itu, walaupun tidak sepenuhnya. Kerana dia juga Reesa tidak berani dekat
dengan mana-mana lelaki, bimbang akan dikecewakan lagi seperti dahulu. Cuma ada
seorang saja yang menjadi teman rapatnya sejak dulu. Dia bertemu dengan lelaki itu
waktu dia bertemu dengan Gisele.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan