Bab 4
KEESOKAN paginya, aku ke pejabat dengan lemah dan tidak bermaya. Ramai juga
staf-staf yang prihatin dengan aku, malah Mak Cik Jenab tukang cuci dekat situ
pun siap bertanya kepada aku, aku ini sihat ataupun tidak. Heh, tak sangka
ramai pula yang terlebih baik dengan aku hari ini!
“Wafi...”
Hah, tu dia. Dah mai dah... “Ya, bos?”
“Saya dengar awak tak sihat. Awak okey ke? Nak saya
hantar awak ke klinik?” tanya dia sambil cuba melekapkan tangannya ke dahiku
namun aku pantas mengelak.
Poyo giler Dato’
Ghani ni! Sesuka hati saja nak sentuh-sentuh anak dara orang. Banyak cantik
muka kau!
“Eh, tak payahlah bos. Saya okey, sihat walafiat lagi,”
jawab aku sambil tersenyum sinis ke arahnya.
“Betul? Kalau awak nak... Saya hantarkan awak pergi klinik
ya,” ujar Dato’ Ghani lagi.
Aku hanya mengangguk perlahan. Dalam hati, aku sudah
berharap agar dia pergilah cepat-cepat. Nanti kalau aku tak dapat kawal tangan
aku daripada melempang muka dia, habislah aku. Silap hari bulan, bukan saja tak
nak pinang aku, pandang pun tak nak. Eh, bukan itu yang aku nak ke selama ni?
“Ermm... Wafi, malam ni Wafi free tak?”
“Tak. Saya sibuk malam ni,” jawab aku laju.
Tu mesti nak ajak aku dinnerlah tu. Dah tahu sangat dah dengan taktik lelaki nak mengurat.
Heh, ya ke? Bukan sebab Irsyad yang ajar?
“Hmm... Kalau macam tu, kita makan lunch sama-sama tengah hari ni ya?”
Erk! Aku dah terkedu. Baru sahaja aku ingin membuka
mulut untuk menolak pelawaannya, dia sudah memotong.
“Awak dah janji, kan?”
Ciskek betul mamat gatal ni! Itu sengaja nak kenakan aku hape?
“Eh, saya nak join
lunch kau orang, boleh?” Seseorang sudah menyampuk perbualan kami.
Pantas aku menoleh. Alamak, Irsyad! Dia buat apa pula
dekat sini? Serius, aku tak tahu pun yang dia ada di pejabat bos miang ni dari tadi.
Mengingatkan kejadian empat hari lepas, benar-benar buat aku rasa malu. Untuk
berhadapan dengan dia apatah lagi!
“Err...” Dato’ Ghani macam serba salah pula nak
bersetuju.
Memikirkan inilah peluangnya untuk mengelak daripada
berdua-duaan dengan Dato’ Ghani, pantas aku berkata. “Eh, elok sangatlah tu.
Kan bos?”
“Err... Betul jugak. Bolehlah kita berbincang pasal projek
kita,” ujar Dato’ Ghani dalam nada yang terpaksa.
Dalam diam, senyuman sudah terukir pada bibir aku. Yes! Tak dapatlah kau nak makan
sama-sama dengan aku. Hahaha. Aku lebih rela menanggung malu daripada makan
dengan Dato’ Ghani.
“WAFI, tambahlah lagi. Sedap tau lauk ketam ni,” ujar Dato’ Ghani sambil
meletakkan isi ketam ke pingganku.
Aku sudah mengerutkan dahi tanda aku tidak sanggup
hendak menerimanya. Namun, belum apa pun yang berlaku, tangan Irsyad selamba
mengambil isi ketam itu dari pingganku. Pantas aku menoleh ke arah lelaki itu.
Irsyad senyum sahaja, tapi aku tak mampu nak balas. Entah kenapa!
“Iman tak boleh makan seafoods.” Tiba-tiba Irsyad berkata sebegitu.
“Oh, sorry, Wafi. I don’t know...”
ujar bos miang itu dengan riak serba salah.
Namun, aku sudah tidak pedulikan bos miang itu. Apa yang
buat aku pelik, Irsyad tahu seafoods
itu alahan aku. Takkanlah... dia betul-betul stalker aku?
“Hmm... Makanan dekat sini sedap-sedap. Kan, Iman?”
Irsyad memandangku sambil tersenyum.
“Hah? Err... Betul tu.” Aku pantas menyokong kata-kata
Irsyad.
Walau bagaimanapun, persoalan dalam minda masih tidak
berhenti di situ saja. Irsyad yang aku kira sungguh misteri itu tidak dapat
kurungkai dengan mudah. Nampaknya aku perlu mengenali dia dengan lebih rapat.
LAMUNANKU terhenti saat telefon bimbitku berbunyi nyaring. Bila aku tengok
skrin, rupa-rupanya mak yang menelefon. Apa khabar agaknya wanita itu sekarang?
Sudah berbulan-bulan aku tidak melihat wajahnya kerana aku selalu sibuk.
Mungkin kalau aku ‘ayat’ bos miang itu lebih sikit, dapatlah kut cuti sebulan!
“Assalamualaikum, mak.”
“Waalaikumussalam. Kau tengah kerja ke sekarang ni?”
soal mak.
Aku pula sudah mengerutkan kening. Mak aku ni sihat ke
tak? Bukannya mak aku tak tahu yang aku bekerja sampai petang. “Kenapa ni,
mak?”
“Ni ha... Ada orang pinang kau.”
Pergh! Direct giler mak aku ni! Kalau cakap tu
berkias-kias sikit tak boleh ke? Aku akui, bukannya sekali aku dipinang, malah
banyak kali. Bercakap tentang hal ini, jangan-jangan... Bos miang tu tak?! Eh,
tak mungkinlah. Bukan ke dia tengah ada di pejabat sekarang. Jadi, amat
mustahil untuk dia lakukannya. Tapi boleh saja kan kalau dia hantar wakil?
“Mak...”
“Ni mesti nak tolak lagi, kan? Jangan haraplah kau dapat
tolak lagi pinangan kali ni. Kau tahu tak, dah banyak kali kau tolak pinangan
orang. Kau ni dah tak teringin ke nak merasa alam perkahwinan? Tak nak ada anak
ke?”
Mak sudah mula membebel. Terpaksa juga aku tadahkan
telinga aku ini.
“Memanglah Iman nak rasa semua tu, mak. Tapi... Iman pun
tak kenal siapa yang meminang tu. Macam mana nak bahagia kalau tak ada rasa
cinta?” bidasku berani.
“Alah... Cinta kan boleh berputik dengan sendiri.” Mak
aku jawab selamba.
Ewah! Sejak bila mak aku pandai main ayat bunga-bunga ni
weh? Gaya dah expert dah mak aku ni!
“Kau cuba kenal dulu. Mana tahu kalau tersangkut ke
dengan budak yang meminang tu. Esok, dia nak datang rumah. Kau cubalah mintak
cuti dekat bos kau. Ya, Man?”
Aku sudah menggaru kepala yang tidak gatal. Aduh,
masalah betul! “Tapi, Iman...”
“Boleh ya, Man?” Suara mak kedengaran seperti berharap.
“Hmm... Yalah, mak. Iman cuba usaha. Okey,
assalamualaikum.” Selepas talian diputus, aku meletakkan telefon bimbit di
mejaku. Keluhan berat sudah keluar dari mulutku. Entah kenapa aku terasa berat
hati ketika ini.
“Kenapa, Iman?” Seseorang menanyakan kepadaku.
Aku pantas mengangkat wajah. Tidak tahulah aku patut
membuka hal ini kepada lelaki yang sering mengambil berat tentangku.
“Tak ada apa-apa,” balasku dengan nada mendatar.
Irsyad duduk bersila di hadapanku. Terkejut aku apabila
melihatnya. “Ceritalah... Kalau you tak nak cerita dekat I, I duduk bersila
depan you sampai esok.”
Erk... Tak sangka lelaki ini pun pandai mengugut juga.
Nampaknya, terpaksalah aku menceritakan segala-galanya. Habis sahaja aku
bercerita, kening lelaki itu kulihat sudah terangkat.
“Kenapa you nak tolak pula? Zaman sekarang ni, susah nak
dapat jodoh tau. You kira bertuah sebab ramai nakkan you.”
Aku hanya menggeleng perlahan. “Hati saya tak terbuka
lagi untuk berkahwin.”
“Kalau macam tu, I akan bukakan hati you untuk
berkahwin.”
Aku sedikit tergamam. Ada maknakah di sebalik kata-kata
lelaki misteri ini? Namun aku malas mahu berfikir dengan lebih lanjut. “Err... Awak
boleh bangun sekarang. Nanti staf-staf lain nampak, dia orang sangka yang
bukan-bukan pula.”
“Biarlah. I lebih suka kalau macam tu,” kata Irsyad
selamba lalu bangun.
“Pardon?”
Kening kuangkat. Biar betul mamat ni?
Lelaki itu kulihat hanya tersenyum sambil menggelengkan
kepala.
“Nothing.
Okeylah, I nak balik ke pejabat I dulu. Tentang pinangan tu, you fikirlah
elok-elok ya.”
Mendengar kata-katanya, aku jadi tertanya-tanya sendiri.
Adakah dia tidak kisah jikalau ada orang hendak meminangku? Perasaannya tidak
terusik hatta satu zarah sekalipun ke? Ah... Apa kena pula dengan aku ni?
Jangan kata aku dah mula jatuh cinta sudahlah! Lagipun, lelaki itu berpangkat
tinggi. Tak mungkin dia nak pandang perempuan biasa-biasa macam aku ni. Memang
jauh daripada realitilah...
Tidak pedulikan persoalan itu, aku terus bangkit untuk
menuju ke pejabat Dato’ Ghani. Walaupun seboleh-bolehnya aku tidak ingin berjumpa
dengan bosku itu, namun aku terpaksa juga. Yalah, demi mak apa saja aku sanggup
buat!
Perlahan pintu diketuk dan kedengaran suaranya melaung
menyuruh aku masuk. Pantas aku masuk ke dalam bilik itu. Kalau cepatlah
tugasku, cepatlah habis kerjaku. Tidak perlulah aku menghadap muka Dato’ Ghani
lama-lama.
“Oh, Wafi! Ada apa Wafi datang ni? Tak pernah-pernah nak
masuk pejabat saya petang macam ni?” soal Dato’ Ghani sambil tersenyum-senyum
ke arahku.
Aku mengetap bibir perlahan. Aku tahu dia perli aku
ketika ini sebab dia memang dah lama tahu aku cuba nak mengelak daripada
berjumpa dengan dia. Tapi, nak buat macam mana kalau dah tiap-tiap hari harus
berjumpa? Kalau boleh, mahu saja aku memohon kerja sebagai kerani di syarikat
ini. Aku lebih rela, asalkan tidak perlu bekerja sebagai pembantu peribadi bos
miang ini!
“Wafi! Hei, sempat lagi termenung. Saya cium awak, baru
nak sedar kut,” usiknya dengan nada gatal.
Erk! Jangan dibuat main kata-kata bos miang ini. Silap
hari bulan, dia betul-betul cium aku pula. Euuwww...
Serius tak sanggup nak hadapi!
“Err... Yang sebenarnya, saya nak mintak cuti dekat bos
sehari dua. Boleh tak?” tanyaku terus memandangkan aku rasa takut pula jikalau
dia melamar aku di sini.
“Cuti? Buat apa?” soal Dato’ Ghani dengan dahi yang
berkerut seribu.
“Err...” Aku tak tahu nak cakap apa. Takkan aku nak
cakap balik kampung sebab ada orang pinang aku? Kalau aku cakap, aku takut dia
tak nak lepaskan aku pula. Huih... Gilalah tu namanya!
Dia masih setia menanti jawapanku. Aku perasan, matanya
dari tadi asyik meratah setiap inci tubuhku. Ingin sahaja aku mencungkil biji
matanya, biar buta untuk selamanya!
“Saya... Err... Saja nak berehat. Lagipun bukannya lama
mana pun saya cuti ni.” Aku jawab secara spontan.
“Really?”
“Lagipun kan bos... Saya ni kan jarang mintak cuti
daripada bos. Jadi saya rasa tak salah kalau sekali ni aje saya mintak cuti
daripada bos.” Aku jawab main taram. Ah, lantaklah! Yang penting, aku perlu
juga meminta cuti daripadanya. Harap-harap luluslah cuti aku ini.
“Hmm... Okey. Awak boleh ambil borang cuti ni, tapi...”
Aku yang baru sahaja hendak bergembira, terus jadi
berdebar bila ada perkataan ‘tapi’ di hujung ayat. Hadoih... Ada apa lagi ni? Jangan nak suruh aku teman dia makan
lagi sudahlah. Tak larat dah ni!
“Saya nak jumpa mak dan ayah awak. Manalah tahu boleh
berkenal-kenalan ke. Mungkin dia orang pun berkenan nak jadikan saya sebagai
menantu dia orang,” kata Dato’ Ghani sambil mengenyitkan matanya ke arahku.
Terasa hendak berhenti jantungku apabila mendengar
perkataan ‘menantu’ yang muncul dari bibirnya. Ah, sudah. Dia dah mula nak
suarakan hasrat hatinya nak jadikan aku sebagai isterinya. Aku sudah gelisah.
Aduhai... Nak jawab apa ni? Kalau ikutkan, memang dah lama aku tolak
mentah-mentah. Tapi, dia bos aku. Kalau aku jawab main ikut suka aku, tak
pasal-pasal pula aku dipecat.
“Wafi...? Wafi sayang...?” panggil dia.
Sekali lagi aku rasa darahku kering kerana disedut oleh
lelaki yang sudah berumur itu. Siot!
Sesuka hati saja panggil aku sayang. Hanya suami aku saja yang boleh panggil
aku sayang tau! Aku sudah ketap bibir geram. Kalau boleh, mahu sahaja aku
menghadiahkan Dato’ Ghani penumbuk sulungku.
“Terus teranglah saya cakap, saya tak suka dengan
layanan yang bos beri pada saya.”
Akhirnya, aku meluah apa yang terbuku dalam hatiku.
Lantaklah dia mahu kata apa, aku sudah tidak mahu fikir apa-apa lagi. Yang
penting, aku sudah terasa rimas. Rimas dengan layanan mesra yang diberikan oleh
dia.
“Kenapa? Wafi tak suka ke?” tanya Dato’ Ghani sambil
mengangkat kening tiga kali.
“Ya, saya memang tak suka. And one more thing, please
don’t call me Wafi or sayang!
Saya rimaslah!” ujarku lagi.
“Kenapa? Saya suka awak Wafi. Tempoh hari wife-wife saya datang jumpa awak, kan?
Dan saya rasa awak pun dah tahu niat saya nak memperisterikan awak,” balas Dato’
Ghani lagi.
Ah, sudah! Bala sudah datang! Serius aku rasa macam nak
pengsan saat ini. Setelah puas cuba mengelak daripada bercakap soal hati,
akhirnya Dato’ Ghani meluahkan apa yang dia mahu. Siot! Kalaulah aku tak luahkan apa yang aku pendamkan, pasti hal
ini tidak akan dibangkitkan!
“Maaflah, bos. Saya tak dapat terima bos. Lagipun, saya
dah ada boyfriend. Dia dah pun pinang
saya. Tak lama lagi kami nak bertunang.” Entah dari manalah idea ini muncul,
aku sendiri tidak tahu. Sedar-sedar saja, mulut aku main cakap lepas tanpa
mengikut apa kata otak.
“Jadi, memang betullah awak dah ada boyfriend?”
“Kalau betul pun, kenapa?” Aku menyoal dengan nada
hairan. Bos aku ni, macam ragu-ragu saja dengan aku?
“Saya ingatkan awak belum berpunya. Nampaknya memang
betullah wife-wife saya tak menipu.
Hmm... Jadi, pinangan boyfriend awak
tu... awak terimalah ya?”
Aku mengangguk perlahan. Aku tahu dia tidak puas hati.
Namun, hendak buat bagaimana? Aku sudah pun menganggap dia sebagai bapaku,
tidak mungkin aku boleh menjadi isteri ketiganya!
“Kalau boyfriend
awak kerja hebat-hebat, saya janji saya tak akan ganggu awak lagi,” janjinya.
Mata aku sudah bersinar riang. Yes! Inilah saat yang aku tunggu! Tetapi, apa yang membuatku
runsing, aku tidak tahu siapa yang meminangku itu. Jadi, apa patut kujawab
dengan bos miang ini?
Dalam sibuk memikir, serta-merta aku teringatkan Irsyad.
Ah, dia kan bos syarikat Garuda Holdings. Pasti gajinya mencecah berpuluh ribu
ringgit. Aku yakin itu!
“Dia... dia pengarah syarikat Garuda Holdings,” ujarku
sedikit teragak-agak sambil mengukir senyuman sinis.
“Apa? Encik Irsyad? Yang kita bekerjasama tu?” soal Dato’
Ghani dengan nada tidak percaya.
Aku hanya mengangguk berkali-kali. Cuba meyakinkannya.
Bulan ini, sudah berapa orang aku tipu. Hmm... Nampaknya, makin bertambahlah
dosa aku. Nasib, nasib...
“Kenapa Encik Irsyad tak pernah bagi tahu saya?” soalnya
dengan renungan tajam.
Uh-oh... Janganlah dia dapat tahu yang aku tengah menipu sekarang.
“Dia tak suka hal peribadi diheboh-hebohkan. Tapi saya terpaksalah
dedahkan dekat bos yang saya akan kahwin. Kan naya kalau saya kena kahwin
dengan dua orang lelaki. Betul tak?” Pantas aku kelentong lagi Dato’ Ghani.
Hati sedikit lega apabila melihat kepalanya sedikit
terangguk-angguk walaupun jelas muka itu menunjukkan riak kecewa.
“Oh, tahniah ya. Kalau ada jemputan ke, jemputlah saya
dan isteri-isteri saya.” Dia berkata pasrah.
Alhamdulillah. Akhirnya, Dato’ Ghani mengalah juga.
Namun, rasa lega ini berhenti secara begitu sahaja apabila mendengar
kata-katanya itu. Jemputan? Jemputan ke majlis perkahwinan akukah?
“Terima kasih, bos.” Aku terus berlalu dari situ.
Dalam hati,
sudah berbakul-bakul rasa menyesal kerana aku suka cakap main lepas. Benarlah
kata orang, terlajak perahu boleh diundur, namun terlajak kata buruk padahnya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan