Bab 4
“Tengok tu. Dialah
si kacak yang aku cakapkan semalam.” Hana menunjuk ke arah lelaki berkemeja
panjang berwarna hitam belang halus putih itu.
Lea terangguk-angguk sambil mulutnya terlopong luas.
Kalau kawan baik aku sudah terlopong habis tu, memang
sah mata aku ni tak salah menilai paras rupa kacak ni, bisik hati Hana gembira.
“Masya-Allah... Kacaknya dia!” puji Lea sambil
melekapkan kedua-dua tapak tangan ke hati. Sengihan gatal tu, usah cakaplah.
Memang dah tersengih habis BFF dia ni!
Hana tersenyum. Matanya langsung tidak berganjak
daripada memerhati Farouq yang sedang duduk makan bersendirian di sudut meja
tepi di dalam restoran itu. Mereka berdua pula duduk selang dua meja saja dari
meja Farouq. “Hah, kacak, kan? Itulah kau. Semalam aku dah cakap betul-betul
dia ni kacak, tapi kau tak percaya pula. Macamlah mata aku ni rabun.”
Lea tersengih ke arahnya dengan muka tidak bersalah. Dia
pandang wajah cemberut Hana itu. “Alah, aku ingatkan kau saja aje nak main-main
dengan aku. Tapi, tak sangka apa yang kau cakapkan semalam memang betul, Hana.
Dia memang kacak. Hot stuff ni wei!”
Nampak sekali keterujaan pada wajah Lea. Hana tersenyum
bangga. Bangga kerana dia yang mula-mula dahulu melihat si kacak sebelum Lea.
“Bukannya hot
stuff aje, dia ni terlebih hot and
cold!” Hana mula memuji melangit gitu.
“Ada jugak nanti aku setiap hari pergi ke jabatan grafik
tu. Demi si kacak Farouq.” Lea sudah mula berangan-angan. Begitu juga Hana.
Namun, sesaat kemudian, riak wajah Lea berubah menjadi
serius. Dia memandang Hana yang masih berada di awangan. “Uits, Hana. Tapi, semalam
kau cakap kau jumpa dua orang jejaka kacak iaitu Encik Farouq dan... siapa?”
Lamunan manis Hana terus terhenti mendengarkan
pertanyaan Lea. Wajahnya terus berubah masam. Bibirnya siap mencebik lagi.
“Siapa kau tanya? Mr. Tak Ada Adab tu memang langsung
tak ada adab, tau. Dia tu ibarat luar saja kacak, tapi dalamannya, sangat tak
kacak, okey!” Hana mula menghamburkan rasa tidak berpuas hati dan marah tidak
terhingga apabila memperkatakan tentang Mr. Tak Ada Adab. Habis nasi yang belum
sempat dia masukkan ke dalam mulut hancur dicubit-cubit bagi melepaskan rasa
geram.
“Semakin teringin pulak aku nak tengok Mr. Tak Ada Adab
tu. Nak tengok kekacakan dia tu sampai tahap mana sehinggakan boleh bersikap tak
ada adab macam tu kan.”
“Aku rasa dia tak kerja sinilah. Tapi, rasanya macam
kenal aje.” Otak Hana mula ligat berfikir di manakah dia pernah nampak Mr. Tak
Ada Adab.
“Agak-agaknya dia pekerja baru kot, Hana,” teka Lea
penuh yakin.
Hana menggelengkan kepalanya tanda tidak bersetuju. “Tak
mungkin, sebab cara pemakaian dia santai sangat. Takkanlah pekerja baru boleh
pakai santai sangat macam tu, kan?”
Lea terangguk-angguk mengiakan kata-kata Hana. Ada
kebenarannya juga di situ.
“Jadi, dia tu mungkin bukan pekerja dari syarikat ni.
Mungkin dia cuma kenalan staf kat sini...” Hana mula terdiam sebelum duduk
menegak dan kaku. Matanya sudah terbeliak habis.
Lea pula tidak sabar menanti kesimpulan daripada teman
baiknya itu.
“Apa dia? Kau dah ingat ke kat mana kau jumpa Mr. Tak
Ada Adab tu?” soal Lea penuh rasa tidak sabar.
Hana memandang Lea dengan mata bercahaya sebelum membuka
mulut.
“Kau ingat tak semalam kita naik lif selepas lunch, ada seorang lelaki tu berdiri sebelah aku. Ermm... aaa... yang
pakai minyak wangi Gucci Guilty tu. Patutlah semalam masa aku jumpa dia lagi
tu, aku rasa macam pernah cium bau minyak wangi yang dia pakai. Rupa-rupanya
lelaki yang sama masa naik lif tu,” jelas Hana penuh bersungguh-sungguh.
Gayanya seolah-olah baru terjumpa pintu penyelesaian persoalan mengenai di mana
dia pernah nampak Mr. Tak Ada Adab.
“Oh, dia! Si wangi penuh karisma tu. Dia naik tingkat
lapan, kan? Siapa dia tu ek? Agak-agaknya klien kut.”
“Klien ke pakai santai gitu? Aku rasa dia kawan
siapa-siapa kut kat tingkat lapan tu,” teka Hana pula.
“Kawan si Farah kut. Tapi, ofis Farah bukannya kat
tingkat lapan.”
Hana tersentak mendengarkan tekaan Lea.
“Hisy... Kalau macam tu memang padan sangatlah mereka
berdua tu. Seorang Miss Sombong Gila dan seorang lagi Mr. Tak Ada Adab.” Mudah
benarlah Hana memadankan kedua-dua orang itu.
Lea terus tergelak.
“A’ahlah. Memang padan sangatlah. Huisy... Otak kau
memang bijak bila nak bagi gelaran kat orang,” puji Lea sambil mengangkat ibu
jari kanannya.
Hana terus tersengih bangga.
“Biasalah. Aku kan memang genius kalau nak bagi gelaran
kat orang perangai macam tu,” ujar Hana penuh bangga. Amboi, bangga tak ingat!
“Alah... Encik Farouq dah habis makanlah. Baru nak naik
lif sama-sama dengan dia,” keluh Lea penuh kehampaan.
Hana terus memandang Farouq yang sudah bangun dan
bergerak keluar dari restoran itu.
“Bukan rezeki kitalah hari ni, Cik Lea oi. Itulah, sibuk
sangat kita bercerita pasal Mr. Tak Ada Adab tu sampai tak makan-makan dari
tadi.”
Ha... tak pasal-pasal aku menyalahkan si Mr. Tak Ada Adab
dalam hal ni. Tapi, memang salah dia pun. Tak ada adab sangat sampaikan aku
terlebih bercerita fasal dia. Huh, benci! Hana hanya membebel geram dalam hati.
Hana dan Lea
terhendap-hendap cuba mengintai dari luar pintu pejabat jabatan grafik. Memang
sudah tidak ada kerja lain yang mereka berdua lakukan selepas habis makan tengah
hari tadi. Ini semua gara-gara tidak puas dan kecewa tidak dapat memandang lama
kekacakan Farouq semasa makan tadi. Menyebabkan mereka mengambil keputusan
untuk melakukan intipan. Memang dah macam stalker
kempunan wajah kacak dah mereka berdua ini!
“Kenapalah meja dia tak menghadap ke sini? Isy...” Lea
mula merungut kecewa.
Hana pula sekejap toleh kiri, kanan dan belakang bagi
memastikan perbuatan mengintai mereka tidak dilihat oleh orang lain. Mampus
kalau sesiapa nampak. Mampus sebab malu dan segan. Isy, kau ni, Hana. Tahu pula
malu dan segan, tapi nak juga mengintai si kacak ni. Agaknya keinginan di hati
melihat Farouq terlebih sangat sampaikan sanggup singgah di tingkat empat itu
gara-gara mahu memandang wajah Farouq lagi. Memang tak pernah puas pandang!
“Kenapalah aku tak apply
kerja bahagian grafik aje dulu. Tak tahu pulak ada jejaka kacak macam dia ni
muncul,” keluh Hana sambil menepuk kedua-dua belah pipinya sebanyak dua kali.
Nampak sungguh kekecewaan pada wajah bujur sirihnya itu.
Lea menjeling kejap. “Macamlah kau tu ada lulusan
grafik!”
Amboi, sedapnya mulut mengata aku, BFF aku yang gebu ni!
“Alah... Aku cakap aje. Aku taulah memang tak akan dapat
punya.”
“Tau tak apa,” balas Lea selamba.
Hana mencebik. Tak boleh diharap BFF ni. Makin tercalar
perasaan aku. Nasib baik Lea BFF yang paling aku sayang dan aku memang tahu dia
tak berniat cakap begitu pun sebab hati Lea memang baik sangat. Itu yang aku
sayang sangat kat si gebu ni.
“Apa yang best
sangat kat dalam tu sampai terintai-intai begini?”
Tiba-tiba mereka berdua dikejutkan dengan kemunculan
seorang wanita tua berpakaian penuh gaya di sebelah Hana. Wanita itu turut
tunduk mengintai ke dalam pejabat grafik. Hana dan Lea masing-masing tergamam habis
dan sampai terbeliak mata apabila melihat siapa yang menegur. Mereka berdua
terus berdiri mematung di hadapan wanita tua itu.
Di sisi wanita tua itu terdapat seorang lelaki
berpakaian kemas. Lelaki itu siap berdeham beberapa kali sambil membesarkan
mata memandang mereka. Wanita tua tadi sudah berdiri tegak memandang mereka
berdua.
“Kamu berdua ni dari jabatan mana?” soalnya sambil
memandang mereka berdua satu per satu.
Hana dan Lea saling bertukar jelingan. Jelingan tanda
berbincang siapa yang harus menjawab soalan CEO Adam Group iaitu Tengku Dahlia!
Lea cepat-cepat menundukkan muka buat-buat tidak faham akan jelingan Hana. Hana
mengeluh berat dalam hati. Aku juga yang kena jawab!
“Pentadbiran, Tengku,” jawab Hana dengan jiwa penuh
kacau. Aku lebih rela kantoi ditangkap menghendap oleh orang lain, kecuali bos
besar ni! Isy, memang hari ni bad day!
“Ooo... Jadi, kamu berdua buat apa kat sini? Rasanya ada
satu minit lagi masa lunch nak
habis,” ujar Tengku Dahlia sambil memandang sepintas jam tangan emas Cartier di
pergelangan tangan kirinya.
“Aaa... Kami nak cari kawan kami, tapi macam tak ada
aje. Kami memang nak balik ofis dah sekarang ni. Kan, Lea?” Hana cuba meminta
bantuan Lea bagi menjayakan lakonan palsu yang dicipta.
Lea terus mengangkat muka. Wajahnya nampak sangat cemas.
Isy, Lea ni, ketara sangatlah cemasnya.
“Be... Betul tu, Tengku! Kami nak balik ofis sekarang.
Kami minta diri dulu ya.” Sebaik saja menghabiskan ayatnya yang sedikit
menggeletar itu, Lea terus menarik tangan Hana. Laju saja kaki mereka melangkah
pergi dari situ.
Tengku Dahlia hanya mengeluh sambil geleng kepala
melihat kerenah dua orang pekerjanya itu sebelum masuk ke jabatan grafik
bersama Samad, setiausahanya.
“Huisy... Terkejut sampai nak mampus aje aku tengok Nek
Garang tu muncul tiba-tiba. Macam mana boleh tak sedar dia datang, eh? Eh, bukan kau ke yang tengok kiri
kanan dan belakang semua nak pastikan tiada siapa?”
Hana mengeluh kecil. Ketika itu mereka berada di kawasan
tangga tingkat empat. “Yalah, leka sangat bercakap dengan kau, memanglah aku
tak pandang kiri, kanan dan belakang dah. Dahlah, lebih baik kita balik ofis
sekarang. Entah-entah Nek Garang tengah buat pemeriksaan kat semua jabatan.
Mampus kita kalau dia tak nampak kita kat ofis lagi.”
Hana sudah mula berlari menaiki tangga ke tingkat lima.
Mahu tidak mahu Lea mengikut dari belakang.
“Hana, tunggu akulah, woi. Senak perut aku ni ha,”
beritahu Lea lalu berhenti di anak tangga kesepuluh.
Tangan kirinya memaut erat sisi besi pemegang tangga.
Dia sudah tercungap-cungap keletihan. Huh, padan muka aku. Siapa suruh tak
bersenam sekurang-kurangnya empat kali seminggu? Sekali pun tak pernah, sebab
itulah cepat sangat penatnya. Kaki pun rasa macam tak cecah lantai aje ni. Dahlah
badan aku ni berat, manalah mampu kaki aku yang kecil daripada badan ni
menampung keberatan melampau ni? Insaflah, wahai Lea. Berhenti makan sebelum
kenyang. Sempat lagi Lea bermonolog dalam hati mengenangkan nasib badannya.
Hana menoleh ke arah Lea. Dia sudah sampai ke tingkat
lima dan baru saja mahu menolak pintu ketika teman baiknya itu memanggil. Hana
geleng kepala sebelum menuruni tangga semula mendapatkan Lea.
“Jomlah!” ajak Hana lalu memegang lengan Lea dan
menariknya.
Mahu tidak mahu Lea menaiki tangga satu per satu dengan
bantuan Hana. Akhirnya sampai juga mereka di atas. Hana menolak pintu. Mereka
berdua bergegas ke jabatan pentadbiran. Baru saja masuk ke ruang pejabat itu, Puan
Iman sudah menunggu dengan bercekak pinggang.
Hana dan Lea terus berhenti di depan Puan Iman dan kaku
di situ. Manalah berani nak terus ke meja kerja. Ada juga kena jelingan maut
Puan Iman nanti.
“Awak berdua kenapa lambat masuk pejabat? Kau orang tahu
tak Tengku Dahlia datang sini tadi dan dapat tahu ada pekerja yang tak masuk
lagi? Tahu tak pekerja yang mana?”
Hana dan Lea terkesima mendengarkan kata-kata Puan Iman.
Tengku Dahlia datang ke pejabat? Cepatnya kaki Nek
Garang tu sampai ke sini padahal aku dan Lea yang pergi dulu tadi. Dia tu ada
kuasa kaki kuda ke apa?
“Aaa... Kami berdua pergi tandas tadi. Buang air besar.
Kan, Lea?” Hana memandang Lea yang kelihatan gelisah.
Lea cepat-cepat mengangguk kepala tanda mengiakan.
Puan Iman menghembus nafas berat. Nampak sekali dia
tidak dapat menerima jawapan basi dua orang staf jabatan pentadbiran itu.
Nampak sangat berbohong. “Dua-dua sekali ke buang air besarnya? Apa yang kau
orang berdua makan sampai dua-dua pun nak membuang?”
Adeh. Sinis sekali soalan berbakul-bakul emas Puan Iman itu. Kalau dia
dah bertanya begitu, tolonglah jangan menjawab panjang.
“Ya, Puan Iman. Makan banyak sangat makanan pedas tadi,”
bohong Hana lagi. Riak muka pula memang nampak sekali tidak bersalah.
Adui, terpaksa berbohong demi terlepas daripada dibebel
oleh Puan Iman. Tolonglah jangan sesiapa pun terikut akan sikap tidak cantiknya
ini. Ya ampun, selepas ni aku tak akan berbohong lagi. Ha, dah terkeluar dah
bahasa sinetron aku.
Lea pula hanya menundukkan muka. Takutlah tu nak
menghadap Puan Iman yang garang persis singa.
“Dahlah. Malas saya nak membebel lama-lama. Bukannya kau
orang berdua ni nak simpan nasihat saya tu dalam kepala tu. Perhabiskan air
liur saya aje,” rungut Puan Iman.
Tertelan air liur Hana dan Lea mendengarkan kata-kata
berbisa Puan Iman.
“Kami nak minta maaf lagi, puan. Kami janji tak akan
lambat lagi,” ujar Hana bagi menamatkan bicara penuh bebelan sinis itu. Tidak
sanggup rasanya mendengar bebelan percuma seperti kebiasaannya. Banyak lagi
kerja yang sedang menunggu untuk disiapkan.
“Betul tu, puan. Kami janji tak akan lambat lagi,” kata
Lea bagi meyakinkan ketua mereka itu.
Puan Iman mencebik lalu mendengus kecil. “Janji tu kena
ditepati. Kalau tak, berdosa. Terutamanya awak tu, Hana. Entah sampai bilalah
awak tu nak datang awal ke pejabat. Asyik lambat aje. Tak solat subuh ke? Kalau
ada bangun solat subuh selalunya terus bersiap untuk pergi kerja.”
Gulp. Hana sudah tertelan air liurnya. Berdesing juga
telinganya disoal begitu. Terkena juga ke dasar hati.
“Errr... Saya bangun solat subuh, puan. Tapi, lepas tu
saya sambung tidur sekejap. Hehehe.” Di hujung ayat, Hana gelak satu-satu.
Gelak segan.
Puan Iman mengeluh. “Hesy, apalah nak jadi kat awak ni
Hana. Cubalah atur masa tu supaya awak tak lambat datang kerja. Ke awak nak
kena kick dari syarikat ni baru awak
nak sedar?”
Hana terdiam. Tidak mampu berkata apa-apa untuk membidas
kata-kata Puan Iman yang sememangnya benar itu.
Lea pula memandang tepat Hana dengan pandangan simpati.
Kasihan pula dia terhadap kawan baiknya yang selalu dimarahi di hadapan kawan
sekerja yang lain. Tapi, apa boleh buat? Salah Hana juga. Siapa suruh dia
selalu lambat datang kerja, kan dah kena.
“Maaf, puan. Insya-Allah, saya tak akan datang lambat
lagi,” janji Hana dengan nada kurang yakin. Kurang yakin akan janjinya sendiri.
Tapi, dah janji jangan pula nak bagi malu muka sendiri. Jadi,
Hana, kau kena kunci jam setiap lima minit. Itu pun kalau sedar ya. Atau bak
kata Puan Iman baru sebentar tadi, jangan tidur selepas solat subuh. Boleh ke?
Cubalah Isnin depan ya. Esok tak pergi kerja pun, sebab hari Sabtu. Sabtu dan
Ahad kan cuti. Bolehlah tidur sepuas-puasnya. Weeehuuu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan