Bab 4
REESA menutup pintu kereta. Adam berlari mendapatkannya yang berada di
sebelah kanan kereta. Sejak dari rumah tadi Adam begitu gembira kerana akan
bertemu dengan daddynya. Sudah dua
minggu Adam tidak bertemu dengan daddynya.
Mummynya itu terlalu sibuk di
sekolah.
“Mummy, daddy tahu tak kita nak datang ni?”
tanya Adam. Dia menarik jemari mummynya
lalu digenggam. Pandangan dihalakan ke arah mummynya.
Mata galak itu bersinar memandang Reesa.
Walaupun bukan daddy
yang sebenar, Adam tetap dapat menumpang kasih daddynya. Daddynya itu menyayangi
Adam dengan tidak berbelah bagi. Sejak kecil Adam mengenali daddynya itu sebagai bapa.
“Tak. Mummy
tak cakap pun. Mummy takut daddy tertunggu-tunggu kedatangan kita. Daddy kan sibuk. Cuba tengok kat dalam
restoran daddy, ramai orang,” beritahu
Reesa kepada anak kecilnya itu. Dia menunjuk ke ruang di dalam restoran. Entah
kenapa bicara Adam selalunya tidak seperti dia berusia lima tahun lebih.
“Ingatkan daddy
dah tahu. Tak seronoklah, mummy.”
Lemah Adam bersuara. Dia suka jika daddy
tahu akan kedatangannya.
“Seronoklah... Nanti, daddy surprise tengok
Adam ada kat sini,” pujuk Reesa. Dia mengelus-elus lengan kecil Adam.
Lambat-lambat dia mengangkat jemari kecil Adam dan menciumnya.
Adam ketawa gembira semula. Mereka dua beranak melangkah
ke dalam restoran.
“Eh, Adam datang!” jerit satu suara. Pelayan wanita
bernama Intan itu tersenyum. Sudah lama dia tidak melihat dua beranak ini di
sini. Dia teruja sungguh jika melihat dua beranak ini. Selalu juga dia mengusik
Adam.
“Mak Cik Intan, daddy
ada?” tanya Adam. Adam sudah mengenali wanita itu sejak kecil lagi.
“Alah, panggillah kakak. Nampak tua sangat ke?” Intan
pura-pura merajuk.
“Kamu jangan main-main dengan Adam ni, Intan. Mengamuk
tak pasal-pasal. Dia tengah mencari daddy
dia,” sampuk Reesa.
Intan tersengih.
“Bos ada kat dalam dapur, Kak Reesa. Tak menang tangan
juga. Entah kenapa hari ni ramai pula yang datang,” beritahu Intan.
“Tak apa, Intan, lagipun dia tak tahu kami datang. Macam
biasa ya,” pesan Reesa. Dia menarik tangan Adam untuk duduk di meja kegemaran mereka.
Meja itu masih belum ada pelanggan. Syukurlah, jika tidak nanti Adam mungkin
mengamuk.
“Lepas ni dia tahulah kalau dah sampai oder ni kat dia.
Saya pergi dulu, Kak Reesa,” balas Intan. Dia tahu benar dengan menu kebiasaan
dua beranak itu.
Reesa mengangguk kepada Intan. Adam menarik muka
cemberutnya. Merajuk kerana masih belum dapat bertemu dengan daddynya. Reesa senyum melihat tingkah
Adam. Reesa meraup dahi Adam yang dilitupi dengan rambutnya. Susah benar mahu
membuat fesyen rambut Adam. Rambutnya seperti rambut perempuan. Kalau nak
dibuat fesyen rambut perempuan memang tidak ada masalah. Tapi kalau untuk
fesyen lelaki memang susah. Kalau botak sahaja elok. Tapi itulah, Adam pula
yang tak suka.
“Mummy, mana daddy ni?” tanya Adam lagi. Dia makin
tidak sabar.
“Mummy cakap
apa? Sabar itu...”
“Separuh daripada iman,” sambung Adam.
“Pandai pun anak mummy.
Jadi Adam kenalah bersabar. Daddy dah
tahu kita ada kat sini.” Reesa tidak mahu berselindung lagi. Kasihan melihat
anaknya itu yang tidak sabar mahu bertemu dengan daddynya.
“Helo, sayang daddy!”
sapa seorang lelaki yang lengkap memakai uniform cef, menatang dua pinggan yang
berisi spageti dan chicken chop.
Adam yang mendengar suara daddynya segera menoleh. Melompat turun dari kerusi, memeluk daddynya yang baru sahaja menyerahkan
dua pinggan tadi kepada Reesa.
“Adam rindu daddy.
Mummy tak nak datang,” adu Adam
manja. Dia masih lagi dalam pelukan daddynya.
“Ya ke? Mummy
tak nak datang? Mummy nak kena pukul
dengan daddy ni,” gurau daddynya.
“Jangan dengar cakap dia, abang. Reesa sibuk kat
sekolah. New intake.” Reesa tidak
mahu mengalah. Pandai-pandai saja si kecil ini mereka cerita.
Umarif mengangkat Adam dan diletakkan di kerusi semula.
Dia duduk di sisi Adam. Pinggan berisi spageti segera ditarik ke depannya.
Dengan garpu dia menyuapkan Adam.
“Sedaplah daddy.
Rindu betul spageti daddy ni. Mummy bukan tahu masak,” kata Adam
tiba-tiba. Adam memang begitu bila bersama dengan Umarif. Dia terus melupakan
Reesa.
“Amboi! Sedapnya mengata mummy. Mentang-mentanglah daddy
suapkan dia. Dia kipas banyak-banyak ya.” Reesa menarik hidung Adam.
Adam menyeringai perlahan. Dia menggosok-gosok hidungnya
seketika sebelum menyisip jus oren.
“Memang betul kan mummy
tak tahu masak,” sokong Umarif.
“Oh, yang merengek nak makan masakan mummy, tak ingat? Tak apa, lepas ni
dua-dua jangan merengek lagi.” Reesa mengugut. Dia pura-pura merajuk.
“Ops!” Adam dan Umarif menutup mulut.
“Kalau lepas ni tak dapat makan masakan Melayu Reesa, mana
abang nak cari orang yang masak serupa Reesa. Cuba cerita sikit,” ujar Reesa
lagi. Bangga.
“Abang kempunanlah,” balas Umarif sambil senyum manis.
Umarif memandang kedua-dua beranak yang menjadi penyeri
hidupnya sejak enam tahun lalu. Sebelum ini hidupnya hanya untuk restorannya
ini, tetapi selepas kehadiran mereka berdua dunianya sudah berubah. Sudah
berwarna. Ditambah pula Adam dengan yang pandai berceloteh. Setiap hari dia
merinduinya.
SYAREZ dan kakaknya segera mencari tempat duduk. Kakaknya selalu datang ke
Restoran Mi Paloma ini. Masakan baratnya tiada tandingan dengan semua restoran
hatta masakan barat di hotel lima bintang sekalipun. Kali ini mereka membawa
Amira kerana Amira mengadu Syarez sudah lama tidak membawanya keluar
berjalan-jalan.
“Betul ke sedap sangat, kak long?” tanya Syarez.
“Betullah. Bos restoran yang memasak sendiri. Lain
sikit. Yang pasti kak long sukalah,” kata Hawa Alyana.
Sebaik mereka mengambil tempat seorang pelayan datang
meletakkan gelas dan menuangkan air kosong ke dalam gelas itu. Syarez terkejut
dengan kedatangan pelayan yang tiba-tiba itu. Bukan tak biasa, tetapi terlampau
cepat pula dirasakan layanan itu. Menu diletakkan di hadapan mereka dan mereka
menulis sendiri menu apa yang mereka kehendaki.
“Kalau macam tu, senanglah kerja mereka, kak long. Kita
tulis sendiri,” kata Syarez selepas pelayan itu berlalu.
“Itulah istimewanya restoran ni. Kiranya pelanggan pun
ada peranannya sendiri. Ini tak, masuk dalam restoran aje oder, makanan sampai,
makan terus. Bila tak sedap komen tak ingat dunia. Letih orang yang memasak
kita tak tahu,” bela Hawa Alyana mengangkat kening.
“Yalah tu. Kalau bahas memang kenalah dengan kak long.
Yang hairannya dahulu kenapa tak jadi lawyer,”
ejek Syarez.
“Tak minat.” Hawa Alyana ketawa.
“Mama, lambat lagi ke?” tanya Amira. Dia sudah tidak
sabar mahu merasa makanan yang mamanya cakap sedap sangat.
“Nanti sampailah makanan kita,” pujuk Hawa Alyana.
Reesa melangkah
untuk menghantar makanan yang dipesan di meja 12. Tidak jauh dari mejanya. Yang
lain sibuk, sebab itulah dia dengan rela hati menolong.
“Maaf lambat sikit,” kata Reesa. Dia meletakkan pinggan
di hadapan lelaki dan wanita itu.
“Tak apa. Saya dah tahu servis awak semua macam mana.
Tapi, awak ni pelayan baru ke?” tanya Hawa Alyana hairan. Yang datang
menghantar makanan kali ini berbaju kurung. Selalunya mereka semua memakai
pakaian seragam.
Reesa ketawa kecil. Semua orang selalu bertanya perkara
yang sama andainya dia yang menghantar makanan.
“Taklah. Saya tolong aje,” jawab Reesa dengan senyuman
manis.
Syarez asyik melayan Amira yang mahu minum air. Tidak
ambil peduli kakaknya bersembang dengan pelayan tersebut. Terlebih ramahlah
pula kakaknya itu.
“Tapi kan saya rasa macam pernah nampaklah awak ni. Kat
mana ya?” tanya Hawa Alyana.
Apabila mendengarkan kata-kata wanita itu Reesa
memandang betul-betul wajah wanita itu. Betullah... Kat mana dia pernah lihat
wanita ini? Mereka berdua mengangkat jari.
“Alah, mama, ni dia cikgu sekolah Miralah,” kata Amira
cepat.
Syarez mendongak apabila mendengar Amira berkata begitu.
Belum pun sempat melihat wajah itu ada suara kecil yang memanggil mummy. Wanita itu menoleh ke arah suara
itu dahulu.
“Sekejap ya... ” Reesa terburu-buru menghampiri mejanya.
“Kenapa Adam mummy
ni?” tanya Reesa sambil meletakkan dulang di atas mejanya.
“Jus Adam dah habislah.”
Reesa bangun untuk ke dapur semula. Tapi, langkahnya
terhenti apabila Umarif sudah berada di belakangnya. Umarif sedang menatang
dulang dengan satu gelas besar jus oren. Reesa tersenyum memandang Umarif.
“Eh, itu kawan Miralah. Adam!” jerit Amira, melambai.
Adam menoleh. Begitu juga Reesa dan Umarif. Adam
melompat turun dari kerusinya, menghampiri meja yang diduduki Amira. Kedua-dua
anak kecil itu leka berbual. Reesa tahu mereka bersekolah sama, tapi tidak pula
dia tahu anaknya dan Amira itu berkawan rapat.
Mata Syarez memaku pada wajah yang tidak pernah ditemui
sejak hampir enam tahun lalu. Ingatkan dia sudah menghilang terus dari matanya.
Rupanya Malaysia ini kecil sahaja. Benarkah dia? Tetapi, wajah itu tidak
menunjukkan sesuatu. Kosong seperti mereka tidak pernah mengenali. Atau mungkin
hanya pelanduk dua serupa.
“Daddy, ni
kawan Adam kat sekolah, Mira.” Adam memperkenalkan Amira kepada Umarif.
Amira menghulur tangan kepada Umarif. Tangan Umarif
diciumnya.
“Tak sangka pula anak saya dengan anak tauke restoran ni
kenal. Kecil betul dunia ni, kan?” kata Hawa Alyana. Dia mengukirkan senyuman
untuk Umarif.
“Emm, patutlah tadi Reesa lama kat meja ni,” kata Umarif
seraya mengerling Reesa.
“Saya Hawa Alyana dan ini adik saya, Syarez. Ni... ”
“Oh, saya Umarif dan ni Reesa. Dah kenal, kan?” kata
Umarif cepat.
Hawa Alyana mengangguk.
Syarez yang masih mematung tidak percaya. Takkanlah dia?
Tapi, tadi katanya Reesa. Namanya memang ada Reesa. Reesa Aimee. Tapi,
panggilannya dahulu Aimee. Dalam berpuluh juta rakyat Malaysia ni takkanlah
hanya dia seorang yang bernama Reesa Aimee? Syarez menggelengkan kepala. Dia
keliru. Syarez masih bersoal jawab dengan
dirinya.
“Adam, jom. Mira nak makan. Adam pun belum habis makan
lagi, kan?” ajak Reesa.
Adam mengangguk. Adam anak yang patuh. Jadi, dengan
mudahnya dia berlalu ke mejanya sambil melambaikan tangan ke arah Amira.
“Kenapa tak sentuh pun makanan tu, Rez?” tanya Hawa
Alyana.
“Nak makanlah ni,” kata Syarez.
Namun, matanya dilirikkan ke meja sebelah. Gelak ketawa
yang perlahan dari meja sebelah mengganggu konsentrasinya. Dia menyuap juga
makanan ke dalam mulut. Sedap, tetapi tidak dapat menghilangkan rasa keliru di
hatinya.
Dia melihat keluarga bahagia itu berlalu. Cef yang
bernama Umarif itu menghantar kedua-dua beranak itu hingga ke kereta.
Membukakan pintu kereta untuk wanita yang bernama Reesa itu. Beralih pula kepada
Adam. Mencium pipi Adam.
“Itulah kak long suruh Rez kahwin awal. Seronok tau bila
dah ada anak. Tengoklah mereka kat luar tu. Rasanya dia orang tu sebaya atau
hampir sebaya dengan Rez. Dia orang dah ada anak, tapi Rez dengan Suzy tak jadi
apa-apa lagi.” Hawa Alyana memuncungkan mulutnya ke arah Reesa dan Umarif.
Dia perasan sejak tadi mata Syarez leka memandang
mereka. Seronok barangkali melihat keluarga bahagia itu. Dia pun suka melihat
telatah mereka tiga beranak. Asyik bergelak ketawa sahaja. Samalah seperti dia
dan suaminya. Bezanya, mereka bertiga terpaksa tinggal berjauhan.
“Nak kahwinlah ni. Tapi, nak bagi umi terima Suzy dengan
hati yang rela,” kata Syarez.
Dia mengukirkan senyuman buat kakaknya itu, walaupun
hatinya tidak setenang sewaktu mula-mula datang ke restoran ini. Reesa,
sepotong nama itu yang membuatkan hatinya tidak tenang.
“Alah, umi memang cerewet, tapi hati umi lembut,” balas
Hawa Alyana.
“Yalah, Rez tahu. Tapi, dah dekat beberapa tahun ni,
hati umi tu mana lembut? Kalau lembut dah lama umi terima Suzy dengan hati yang
terbuka. Yang hairannya, bila jumpa Suzy dia memaniskan muka. Hipokrit betul!” luah
Syarez.
“Sampai hati cakap umi hipokrit. Umi kita tu, Rez,”
tegur Hawa Alyana.
“Rez tahulah... Tapi, kak long pun tak nafikan umi
memang pandai berlakon,” kata Syarez lagi.
Hawa Alyana jongket bahunya. Dia menolong Amira
menghabiskan spagetinya.
“Dah kenyang?” tanya Syarez kepada anak saudaranya itu.
“Dah. Kita boleh baliklah ya. Letihlah pula sebab makan
banyak,” kata Amira.
Syarez dan Hawa Alyana hanya menggelengkan kepala
melihat telatah Amira yang sedang mengusap perutnya. Nampaknya Amira
berul-betul kekenyangan.
Syarez bangun untuk ke kaunter bayaran. Dia hampiri
tauke restoran tersebut. Menghulurkan kad kredit kepada Umarif.
“Sila datang lagi ya,” kata Umarif sambil mengukirkan
senyuman manis.
“Insya-Allah,” sambut Syarez.
Sepanjang perjalanan, mereka hanya mendiamkan diri. Hawa
Alyana dengan caranya dan Amira pula asyik dengan tabletnya. Syarez masih berfikir lagi tentang wanita yang baru
ditemui tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan