Bab 3
BUAIAN diayunkan perlahan. Syarez memandang ke taman yang menghijau. Bosan
melingkari hatinya. Sudah dua minggu Suzy ke Paris untuk penggambaran drama.
Penerbit-penerbit drama di Malaysia ini semakin kaya. Dahulu rasanya drama
hanya berkisar di Malaysia sahaja. Sekarang mereka juga sudah terjangkit budaya
filem Bollywood yang gemar membuat penggambaran di luar negara.
Hinggakan nama tempat itu di India, tetapi ia sebenarnya
adalah lokasi luar negara. Nasiblah drama Malaysia tidak jadi begitu. Drama Melayu
cuma membuat penggambaran di sana, tetapi tetap mengagungkan tanah tumpah
sendiri.
Syarez mengeluh.
“Hai... kuat mengeluh?” tegur babanya, Tuan Adam Mansor.
Syarez lantas menoleh. Dia terkejut dengan teguran
babanya. Lambat-lambat dia mengukirkan senyuman. Dia beralih tempat sedikit,
memberi ruang kepada babanya. Babanya melabuhkan punggung di sisinya. Bahu anak
bongsunya itu ditepuk perlahan.
“Dah dua minggu baba tengok Rez ada kat rumah. Suzy ke
mana?” tanya Tuan Adam Mansor.
“Paris baba. Hujung bulan ni baru balik. Sibuk betul,”
luah Syarez kepada babanya.
Baba lebih fleksibel berbanding uminya. Uminya itu
jikalau mendengar nama Suzy sahaja sudah melenting. Entah apa yang tidak kena
pada matanya akan diri Suzy. Padahal Suzy begitu sopan melayaninya. Tapi, umi
tetap acuh tak acuh dengan kesopanan Suzy.
“Dah kamu berkenankan public figure, itulah harga yang perlu kamu bayar, Rez,” ujar
babanya.
“Hmm... dah cinta baba,” kata Syarez sambil ketawa.
Babanya ikut ketawa.
“Tapi, sekarang... Tak ada orang tahu lagi pasal kamu
kekasih dia?” tanya babanya.
“Tak ada lagi baba. Tapi, lepas tunang Rez tak kisah
jika Rez dikenali,” balas Syarez.
Tuan Adam Mansor menganggukkan kepalanya.
“Mari makan,” ajak umi Syarez, Puan Suhaili, yang entah
bila tiba di situ.
Puan Suhaili meletakkan dulang yang berisi minuman.
Pembantu rumahnya meletakkan kuih yang dibuat tadi.
“Umi masak apa petang ni?” tanya Syarez. Dia sudah duduk
di sisi uminya. Bau harum pulut sekaya memasuki hidungnya. Syarez mencapai
sepotong kuih itu, lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Sunyi betul rumah kita ya. Minggu ni tak pula Amira
balik. Rindu sangat dengan cucu yang sorang tu.” Kedengaran rungutan daripada
Puan Suhaili. Dia jadi rindu dengan cucu tunggalnya itu.
“Sibuklah kak long tu. Umi macam tak faham pula dengan
dia. Sikit-sikit pasal kedai bukunya,” kata Syarez.
“Susah betul kalau cucu sebelah sana pun hanya Amira.
Asyik berebut aje kita,” rungutnya lagi.
“Dah nak buat macam mana. Anak-anak kita yang lain tak
nak berumah tangga,” balas Tuan Adam Mansor.
“Rez nak kahwin, tapi dalam hujung tahun ni. Tahun depan
umi dengan baba bolehlah timang cucu,” kata Syarez.
“Nak ke bini kamu tu nanti beranak? Pelakon macam dia tu
nak ke? Orang jaga badan ni tak tentu lagi jika mahu ada anak ke tak!” Puan
Suhaili sepertinya menyindir.
“Umi ni... Semua orang nak anaklah. Termasuklah Suzy,”
bela Syarez.
“Kamu memang suka membela dia Rez. Tak apalah, kita
tunggu dan lihatlah. Kalau dia nak bagi umi dan baba timang cucu, umi terima.
Kalau tak, lebih baik tak payah kahwin.” Puan Suhaili seperti memberi kata dua
kepada Syarez.
Syarez yakin Suzy seperti wanita lain, mahukan zuriat
sendiri selepas perkahwinan.
“Dahlah tu, Su... Kita terima aje dengan hati yang
terbuka bakal menantu kita tu. Susahlah kalau semuanya kena ikut cakap orang
tua berkenaan dengan pilihan hati.” Tuan Adam Mansor cuba menyejukkan hati Puan
Suhaili.
Puan Suhaili diam. Dia mengakui kenyataan suaminya itu. Tetapi,
hatinya tidak berkenan kerana akan bermenantukan seorang artis. Bukan dia tidak
pernah menonton lakonan Suzy. Memang ada kelas, tetapi itulah, pegang, peluk
cium dengan semua orang. Itu yang dia tidak suka. Haram pula tu. Dia berdoa
agar selepas berkahwin Suzy akan berhenti menjadi pelakon. Kalaulah hanya kerana
bayaran yang lumayan, rasanya anaknya itu dapat menyediakan kelengkapan untuk
Suzy. Lebih daripada bayaran dia berlakon.
“Su...? Su...?” panggil Tuan Adam Mansor. Dia menyedari
sejak ditegur tadi wanita itu mendiamkan diri. Entah apa yang difikirkannya.
Puan Suhaili tersedar daripada lamunannya.
“Apa, bang?” tanyanya.
“Tak ada apa-apa. Sejak tadi diam aje, marahkan abang
ke?” tanya Tuan Adam Mansor.
“Taklah... Buat apa nak marah. Cuma Su terfikir selepas
dia orang kahwin suruhlah si Suzy tu berhenti jadi pelakon. Su tak berkenanlah
pegang sana sini dengan orang yang bukan muhrim,” luahnya.
“Dah namanya pelakon, tentulah kena ikut arahan. Kalau
tak macam mana nak jadi pelakon hebat macam bakal menantu kita tu?” giat Tuan Adam
Mansor lagi. Mahu melihat reaksi isterinya.
“Su tetap tak boleh terima. Nanti apa kata ahli usrah Su,”
bidas Puan Suhaili kepada suaminya.
“Mulut orang memang tak boleh ditutup Su. Kalau nak
mengumpat lebih baik tak payah pergi usrah. Usrah sorang-sorang kat rumah,”
ujar Tuan Adam Mansor.
“Itu bukan usrah namanya, cik abang oi!”
Tuan Adam Mansor ketawa. Mulut orang bukannya boleh ditutup.
Biarlah jika mereka mahu menambah dosa. Janji kita cuba mengelak daripada semua
itu. Isterinya itu terlalu berhati-hati dalam memilih menantu. Dalam terlalu
memilih itu tidak dapat juga dia menantu yang berkenan di hati. Mungkin kerana Syarez
satu-satunya anak lelaki dalam keluarga selepas kematian anak sulung lelaki
mereka 20 tahun lalu kerana terlibat dalam kemalangan sewaktu belajar di Jepun.
Tuan Adam Mansor sendiri tidak kisah dengan pilihan
anaknya itu. Apa yang penting Syarez akan bahagia dengan pilihan hatinya. Dia
sebagai bapa hanya akan menyokong. Pandai-pandailah Syarez mencorakkan rumah
tangganya nanti. Jika terjadi apa-apa mereka tidak disalahkan. Sendiri
tanggung. Tapi, boleh ke ibu dan bapa melihat saja rumah tangga anak mereka
musnah?
Pilihan Syarez lengkap sebagai seorang kaum Hawa, cuma
pekerjaannya sahaja yang menjadi penghalang isterinya untuk menerima dengan
hati yang senang. Siapa yang tidak risau, bakal menantunya satu Malaysia kenal?
Hati Tuan Adam Mansor ralat juga, tetapi dia tidak mahu menolak pilihan Syarez.
Syarez satu-satunya anak lelaki mereka.
“Suzy ke mana? Kamu tak keluar dengan dia ke?” Giliran Puan
Suhaili pula bertanya.
Syarez yang sedang mencabut rumput di tepi pasu bunga uminya,
menoleh ke arah uminya. Dia senyum. Ini sudah bagus. Mahu juga Umi mengambil
tahu pasal Suzy. “Dia ada shooting di
Paris, umi. Dalam dua tiga hari balik kut.”
“Umi tak tahulah kalau lepas kahwin nanti kamu kena
tinggal macam ni juga. Buat apa kahwin kalau kena tinggal sampai dua tiga
minggu,” kata Puan Suhaili lagi.
“Senang aje, umi, Rez ikutlah dia nanti. Dah kahwin
tentulah best.” Syarez mengangkat kening
ke arah Puan Suhaili.
“Yalah tu... La ni cakaplah macam tu. Buat pula selalu
kena tinggal mahu kamu tak mengamuk Rez,” katanya lagi.
Syarez mahu membalas kata-kata uminya, tapi dia tidak
jadi apabila babanya lebih dahulu bersuara.
“Dahlah tu, Su. Tak payah cari kekurangan Suzy lagi.
Semua orang ada kekurangan masing-masing. Kita manusia Su. Semuanya sama.”
“Yalah. Su memang kalah kalau baba dan anak ni duduk
sekali.” Suara Puan Suhaili seperti berjauh hati. Dia lantas bangun. Lebih baik
sembang dengan bibik di dalam rumah. Taklah stres.
“Umi kamu tu merajuklah tu,” kata Tuan Adam Mansor
sambil tersenyum.
“Terima kasih baba sebab tolong Rez.”
“Baba tolong bukannya apa, baba malas bising-bising
dengan umi kamu tu,” kata Tuan Adam Mansor.
Hon kereta yang berbunyi di luar mengejutkan kedua-dua
beranak itu. Lambat-lambat Tuan Adam Mansor dan Syarez tersengih. Amira berlari
keluar walaupun mamanya belum lagi sempat mematikan enjin. Si kecil itu
rindukan atuk dan neneknya sejak dua minggu yang lalu.
“Atuk... Mira rindu ni,” kata Amira terus memeluk
atuknya. Pipi Tuan Adam Mansor dicium berkali-kali.
Tuan Adam Mansor memeluk cucu tunggalnya itu.
“Mana nenek?” tanya Amira sambil matanya melilau mencari
neneknya.
“Nenek ada kat dalam. Cepat masuk surprisekan nenek. Tapi kena sayang pak usu dulu. Mana aci sayang
atuk aje,” sampuk Syarez sambil menunduk ke arah Amira.
Pipi Syarez dicium sekali dan Amira terus berlari ke
dalam rumah. Dia mahu mencari neneknya.
Hawa Alyana duduk di sisi babanya. Dia mencapai kuih sekaya
lalu digigit sedikit.
“Kak long dari mana ni?” tanya Syarez setelah membasuh
tangannya yang kotor kerana mencabut rumput tadi.
“Dari kedai. Nak balik ke rumah. Amira merengek nak
datang sini. Rez bukan tak tahu kalau dia merengek nak datang sini, kalau tak
datang agaknya mahu pecah rumah kak long lepas ni. Mengamuk tak tentu pasal.
Amira kan dapat perangai umi,” seloroh Hawa Alyana.
Anak lelaki dan babanya ketawa kuat.
“Amboi! Kak long, sedap mengata umi. Kak long pun apa
kurangnya masa kecik-kecik dulu. Malah, rasa umi lebih teruk lagi daripada
Amira,” kata Puan Suhaili yang memimpin tangan Amira.
“Mama kurang apa nenek?” tanya Amira. Dia juga ingin
tahu apa yang dibualkan oleh mereka.
“Kurang buat perangai,” kata Hawa Alyana cepat.
“Yalah tu. Rez ingat lagi masa tu Rez dalam berapa tahun
entah, kak long suruh kak ngah dengan kak cik tengok-tengokkan Rez sebab umi
pergi hospital. Akak yang dua orang tu tahu main aje, biarkan Rez main-main
sorang-sorang sampaikan pecah habis pasu-pasu bunga kak long dengan umi. Kak
long mengamuk sampai tak ingat dunia. Siap ambil sisa pasu pecah baling kat kak
ngah dan kak cik. Umi ingat tak kak cik ada parut kat betis tu. Ni... queen nilah yang baling. Nasib baik tak
kena kepala.” Syarez mengimbau kenangan silam.
“Baba pulang masa tu memang baba hampir pengsan tengok
anak-anak baba macam tu. Kenangan tu memang baba tak boleh nak lupa,” ujar Tuan
Adam Mansor pula.
“Baba tahu tak... Lepas kak long lepaskan geram kat kak
ngah dan kak cik dalam diam-diam dia pergi cubit paha Rez. Lepas tu ugut pula
tu, kalau teriak dia dah tak nak tolong Rez daripada kena buli dengan kak ngah
dan kak cik lagi.”
“Kak long memang teruk dulu, tapi siapa yang Rez paling
sayang?” tanya Hawa Alyana sambil mengangkat keningnya.
“Kak longlah. Tu pun sebab kakak berdua tu masuk sekolah
menengah, nak duduk asrama. Lepas asrama terus ke luar negara. Rez tak ada
siapa-siapa nak menumpang kasih.” Syarez tidak mahu kalah biarpun dia tidak
menafikan dia memang lebih sayangkan kak longnya.
“Nenek, rupanya mama dulu garang ya,” kata Amira
tiba-tiba. Dia dan neneknya hanya menjadi pendengar sahaja sejak tadi.
“Sekarang mama tak garang?” tanya Hawa Alyana kepada
anak kesayangannya itu.
“Garang juga, tapi Mira tak takut pun,” kata Amira
sambil ketawa kecil. Dia memeluk lengan nenek.
“Tak takut?”
“Sebab ada atuk dengan nenek.”
Mereka ketawa. Telatah Amira yang petah itu mencuit hati
mereka. Dengan Amiralah mereka semua dapat menumpang kasih. Walaupun mereka
tinggal berjauhan sedikit, tapi mereka masih lagi dapat melawat diri
masing-masing untuk sekali-sekala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan