Bab 5
SYAREZ menyelongkar semula barang-barang lamanya. Mencari jikalau ada
sekeping gambar yang boleh disamakan dengan wanita yang ditemui petang tadi.
Tiada. Huh! Kenapalah aku bodoh sangat pergi buang semua gambar-gambar itu?
Syarez meraup wajahnya. Dia duduk di atas kerusi di hujung katilnya. Badannya direbahkan
pada kepala kerusi itu. Lengannya diletakkan di atas dahinya.
“Maaf, Aimee, saya rasa sampai setakat ini sahaja
perkahwinan kita,” kata Syarez.
Aimee yang mendengar menangis teresak-esak. Tidak disangka
pada ulang tahun setahun perkahwinan mereka Syarez akan menuturkan kata-kata
pahit itu. Cukup payah untuk dia menerima kenyataan itu.
“Kenapa? Kita tak pernah ada masalah pun?” tanya Aimee dengan
rasa yang tidak dapat digambarkan. Dia memandang Syarez dengan pandangan sedih.
“Saya tak dapat mencintai awak. Cinta saya untuk Suzy
lebih kuat,” kata Syarez lagi. Sungguh dia tidak mahu menipu dirinya atau Aimee
lagi. Buat apa meneruskan jika hatinya sudah kosong?
Aimee terduduk apabila nama Suzy dikaitkan. Wanita
cantik itu adalah bekas kekasih Syarez sebelum mereka berkahwin. Pertemuan yang
terjadi antara Aimee dan Syarez berlaku apabila Aimee memulangkan kad kredit
yang ditinggalkan oleh Syarez di kaunter pasar raya. Perkenalan yang singkat
itu membawa mereka ke jenjang pelamin. Mereka tidak pernah berahsia pasal diri
masing-masing. Sepantas kilat pertemuan mereka dan sepantas kilat juga mereka
berkahwin. Sekarang mahu bercerai pula.
Sangka Syarez selepas perkahwinan dia boleh melupakan
cintanya untuk Suzy, namun cintanya itu tetap kuat untuk Suzy. Pertemuan semula
dengan Suzy selepas dua tahun berpisah membibitkan semula cinta yang memang
sentiasa ada dalam hatinya. Mereka mula keluar bersama, seterusnya hingga
membawa kepada perceraiannya. Walaupun dia tahu Aimee akan terluka, tetapi
Syarez terpaksa mementingkan dirinya. Mereka akan terus terluka andai terus
bersama.
Buat apa mahu diingat lagi? Entah-entah wanita itu
bukannya Aimee, bekas isterinya itu. Tadi sewaktu bertemu tentulah dia sudah
mempamerkan wajah terkejut. Tapi, riak wajah Reesa biasa sahaja. Seolah-olah
tidak mengenalinya. Cuma dia sahaja yang terbawa-bawa sampai ke rumah.
Peninglah kalau macam ni.
“Adam Syarez! Wake
up!” Dia menjerit kepada dirinya
sendiri.
“Siapa dia tak penting. Let bygones be bygones!” Syarez berkata kepada dirinya lagi.
Yang hairannya kenapa dia masih mahu mencari kebenaran
tentang Reesa? Kalau ya pun Reesa bekas isterinya, bukannya boleh buat apa-apa
pun. Dia sudah berkahwin dan sudah mempunyai anak pun. Kalau difikirkan lagi
juga, Reesa memang tak boleh hidup tanpa lelaki. Walaupun dia mencintai Suzy,
tetapi mereka masih belum berkahwin. Itu yang membezakan mereka berdua.
Dahulu merayu-rayu tidak mahu diceraikan. Tapi sekarang,
dia yang berkahwin dahulu. Syarez mencebikkan bibirnya. Dia bangun lantas
berjanji kepada dirinya sendiri. Suzy yang lebih penting.
Syarez
memberhentikan BMW X6nya. Suzy melenggok menghampirinya. Pintu kereta dibuka.
“Hon... rindulah!”
kata Suzy. Pipi Syarez segera didaratkan ciumannya. Lama sekali.
“Lama lagi ke? Nak duduk dalam kereta aje?” tanya Syarez
bergurau.
“Hon ni saja
tau. Dear rindulah.” Suzy melepaskan
satu ciuman lagi di pipi Syarez.
Syarez ketawa gembira. Mananya dia tak suka dengan
ciuman Suzy. Kalau mereka sudah berkahwin tentulah lain ceritanya.
Ringan-ringan, tak salah, desis hatinya. Kalaulah umi tahu, mahu muncung sudip
melekat di atas kepalanya. Syarez tersenyum sendiri bila mengenangkan uminya.
“Dah habis ke shooting
drama tu?” tanya Syarez.
“Dah habis kat sanalah. Tapi, kat sini masih ada dalam
30 peratus lagi. Tapi, semuanya dalam area
sini aje,” jawab Suzy.
“Bila nak habis? Kita janji nak tunang, kan?” tanya
Syarez lagi.
“Drama ni atau job
dear?” tanya Suzy pula.
“Joblah, dear.”
Suzy berhenti berkata. Dia seperti memikir. Lama dia
bermain-main dengan dagunya.
“Dear...” panggil Syarez manja.
“Hmm...” Suzy mempermainkan hati Syarez yang semakin
tidak sabar untuk mendengar jawapan Suzy. Suzy melepaskan tawanya.
“Dah habis! So,
bila nak adakan majlis pertunangan tu?” tanya Suzy sambil mengangkat keningnya
berkali-kali.
“Betul?” Syarez terjerit.
Suzy anggukkan kepalanya.
“Bulan depan. Beritahu mama dear.”
Suzy anggukkan kepalanya lagi. Betapa dia gembira kerana
bulan depan mereka akan bertunang. Maknanya selepas ini dia tidak perlu lagi
menyembunyikan siapakah kekasih hatinya. Susah sungguh mahu menyembunyikan
perkara itu. Jika mahu berjumpa pula kena sorok-sorok. Suzy tidak mahu semua
itu. Suzy suka semua peminatnya tahu.
“Kita makan
sinilah. Gisele cakap makanan sini sedap.”
Syarez memandang nama restoran itu. Mi Paloma. Kenangan
seminggu lepas menerjah dalam mindanya. Minta-mintalah Reesa tiada lagi di situ.
Mereka duduk jauh sedikit daripada orang ramai. Syarez
melilau mencari wajah itu. Mana tahu dia ada? Lagipun ini adalah restoran
suaminya. Pelanggan tidak ramai malam ini. Tiba-tiba matanya tertancap kepada
seorang budak lelaki yang sedang membuat kerjanya sendiri. Entah apa yang
dilakukannya, begitu khusyuk sekali.
Matanya melihat ada sebatang pensel warna yang bergolek
menghampiri meja mereka. Syarez menahan dengan kakinya supaya pensil warna itu
tidak pergi lagi jauh. Syarez mencapainya, lalu diserahkan kepada budak lelaki
itu.
“Terima kasih, uncle.
Kalau tidak mesti mummy tak nak beli
dah,” kata Adam.
“Sama-sama. Mana mummy
Adam?” tanya Syarez. Dia melingas ke merata tempat.
“Mummy ada
kerja di mana entah. Adam lupa. Dah dua hari mummy pergi dengan ibu. Adam kena tinggal dengan daddylah.” Jujur Adam bercerita.
“Adam kena pergi. Daddy
dah pesan tak boleh cakap dengan orang asing. Tapi, Adam ingat lagi, uncle datang dengan Amira hari tu. Jadi uncle bukan lagi orang asing dengan Adam,”
ujarnya terus berlalu.
Suzy yang mendengar mengangkat keningnya. Siapa Amira?
“Siapa Amira tu?” tanya Suzy mula tidak senang duduk.
Dia merenung Syarez.
“Anak kakak honlah.
Kenapa, dear ingat orang lain ke?”
Syarez senyum.
“Tak tahu pula anak kakak hon namanya Amira,” kata Suzy.
“Dia orang baru aje balik sini. Dulu tinggal di Dubai. Dear juga yang sibuk, tak sempat nak
jumpa dengan kak long. Nantilah kita ke rumah dia,” ujar Syarez.
Syarez menggelengkan kepalanya. Hatinya suka apabila
Suzy cemburu dengan nama-nama perempuan. Itu sudah boleh menentukan setakat
mana sayangnya. Jika tiada cemburu tentulah tiada rasa sayang.
UMARIF menghampiri Adam yang sedang asyik melihat buku-bukunya. Dia segera
melabuhkan punggungnya di sisi Adam.
“Mummy’s on the way,” beritahu Umarif kepada anak
angkatnya itu.
Adam segera memanggungkan kepalanya. Dia mengukirkan
senyuman untuk Umarif.
“Adam rindu mummy.
Kalau boleh Adam tak nak mummy kerja
jauh-jauh,” kata Adam.
“Mummy cakap
apa kalau dia sibuk kerja?” tanya Umarif.
“Nak bagi Adam belajar,” jawab Adam sambil senyum lagi.
Umarif menggosok kepala Adam. Rambut Adam jadi
berserabut. Adam segera memasukkan buku-buku, kotak pensel dan pensel warnanya
ke dalam beg. Bimbang tertinggal di sini.
“Daddy, beg
baju Adam?” tanya Adam.
“Daddy
letakkan dalam kereta. Nanti bila mummy
dah sampai daddy ambil beg tu.”
Telefon yang berdering membuatkan Umarif yang masih lagi mahu bercakap dengan
Adam terhenti. Dia segera melekapkan telefon itu ke telinganya. “Okey. Dia dah
siap semua barang dia.”
Tangan Adam segera dicapai. Mereka berdua melangkah
keluar dari restoran. Umarif menggamit pekerjanya. Pekerja itu segera faham.
Dia keluar dengan membawa plastik yang berisi Tupperware.
“Mummy... ”
Adam berlari memeluk mummynya.
Reesa mencium pipi anak kesayangannya bertalu-talu. Hinggakan
Adam mula meronta-ronta. Reesa memang gemar melakukannya jika banyak hari dia
terpaksa meninggalkan Adam.
“Mummy...
gelilah. Mummy... Adam rindu mummy.”
“Mummy pun.
Tapi tulah, Adam tak bagi mummy
sayang Adam banyak-banyak,” kata Reesa pura-pura merajuk. Wajahnya dimasamkan.
Pura-pura sedih.
“Mummy, Adam
minta maaf... ” Adam segera memeluk Reesa. Sangkanya Reesa sedih kerana dia
menolak Reesa tadi.
Umarif yang melihat kemesraan itu disimbah dengan
kebahagiaan. Cukuplah dua beranak itu berada dekat dengannya. Dia sudah cukup
bahagia.
“Abang, terima kasih sebab jaga Adam,” ucap Reesa, lahir
daripada hatinya yang tulus.
“Dia anak abang juga,” balas Umarif pula.
Reesa ketawa. Tangannya segera mencapai beg plastik yang
diberikan oleh Umarif. Reesa sudah sedia maklum dengan perangai Umarif yang
suka sangat memberi makanan kepadanya.
“Terima kasih, abang. Lepaslah Reesa malam ni nak
memasak. Letih betul, drive sorang
aje. Gisele asyik tidur sebab demam,” beritahu Reesa.
“Kenapa tak cakap tadi? Boleh abang masakkan bubur untuk
dia.”
“Reesa balik rumah dahulu. Dia tak larat sangat. Dia dah
makan bubur, Reesa buat sebelum datang sini. Nak makan ubat kena juga makan.
Reesa balik dululah. Abang, terima kasih sekali lagi.” Reesa ukirkan senyuman
buat Umarif.
Umarif mengangguk.
“Daddy, Adam
balik dulu. Terima kasih.” Adam mencium tangan Umarif.
Umarif senyum. Sebagaimana Reesa suka mengucapkan terima
kasih begitu jugalah anaknya. Untuk Reesa dan Adam ada pepatahnya. Ibu borek
anak rintik.
Reesa menekan hon kepada Umarif. Umarif melambaikan
tangannya.
“Hon tengok apa?” tanya Suzy apabila dia perasan Syarez asyik memandang ke
luar. Dia juga menoleh ke ke luar. Tiada apa-apa pula. Kalaupun tengok kereta,
dalam semua kereta di situ kereta dia yang paling hebat.
“Tak ada apa-apalah. Saja aje tengok orang lalu-lalang,”
ujarnya. Entah kenapa mata Syarez bagai ditarik-tarik untuk melihat gelagat
keluarga itu. Bahagia. Nanti dia dan Suzy juga akan begitu. Dia tersenyum
tiba-tiba.
“Hon, jangan
main-main, hon. Senyum sorang pula.”
Suzy mula tidak senang duduk dengan gelagat kekasih hatinya.
“Kita kahwin cepat. Cepat pula kita ada anak,” kata
Syarez.
Suzy menelan liurnya. Mana boleh ada anak dalam jangka
waktu yang terdekat ini? Dia mahu membina kerjayanya lagi. Bukan membina kerana
kerjayanya sudah membina, tapi mengembangkan lagi. Tapi, bolehkah dia
mengandung?
“Alah, hon,
kita kena habiskan masa berdua dulu. Lepas tu baru ada anak,” kata Suzy
perlahan. Takut menanti reaksi Syarez.
“Kenalah cepat, dear.
Hon bukannya muda lagi. Tahun depan
dah 33 tahun. Dah tua tu,” kata Syarez.
Persoalan mereka mula memberat ke arah kehidupan
berkeluarga. Jika berkahwin tentulah kena ada anak. Tiada maknanya berkahwin
jika masih mahu berdua-duaan.
“Kita tunggu dan lihat ya?” Akhirnya Suzy pasrah.
Syarez senyum lagi. Kali ini senyumannya itu untuk Suzy.
DI dalam kereta Suzy hanya mendiamkan diri. Dia terlalu takut
memikirkan perbualannya dengan Syarez tadi. Mungkinkah rahsia yang disimpan
selama ini akan terbongkar?
Jika Syarez mahukan anak, sudah pasti rahsianya itu akan
diketahui. Hanya Gisele sahaja yang tahu. Marina hanya tahu sikit-sikit sahaja.
Kalau boleh dengan Gisele pun dia akan rahsiakan, tetapi bila perkara itu
melibatkan ahli keluarga Gisele juga, tentulah Gisele tahu. Sepupu Gisele pun
sudah membina hidup baru. Selepas dilahirkan anaknya itu, diserahkan kepada
keluarga angkat.
Suzy memegang kepalanya. Dia tidak mahu kehilangan
Syarez buat kali kedua. Dia mahu Syarez bersama-samanya hingga ke akhir hayat.
“Dear, tak sihat ke?” Syarez bimbang apabila
sejak tadi Suzy cuma diam. Dan, dilihatnya Suzy memegang kepalanya.
“Hmm... Dear
rasa pening sikit. Makan banyak sangat kut.” Dia berdalih. Tidak mahu Syarez
bertanya yang bukan-bukan.
Syarez terus diam. Mungkin Suzy masih keletihan. Lebih
baik dia membiarkan Suzy melayan perasaannya. Sesekali ketika memandu itu
Syarez memandang ke sisinya. Melihat Suzy yang memejamkan matanya dia tahu Suzy
memang tak berapa sihat.
Ketika mereka tiba di rumah Suzy terus memohon diri
untuk berehat. Dia ternyata pening memikirkan kata-kata Syarez di restoran
tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan