Bab 2
Hana menyenduk
lauk ayam masak merah dan sayur kobis goreng ke dalam pinggannya yang berisi
nasi putih. Sambal belacan diambil satu sudu makan penuh. Terliur benar dia
ketika memilih lauk-pauk itu. Selesai saja dia ke kaunter untuk membayar
makanan yang diambilnya. Seorang wanita sebaya ibunya mengukir senyuman manis
ke arahnya. Hana membalas senyumannya.
“4.00 ringgit,” ujar Mak Ija.
Hana terus menghulurkan empat keping not RM1.00. Mak Ija
menyambutnya dan menyimpannya dalam mesin wang. Resit turut diberikan kepada
Hana.
“Terima kasih,” ucap Hana sambil tangan kanan menerima
resit itu. Kemudian dia terus beredar dan menuju ke meja yang terletak di luar
restoran itu.
Lea memang sejak tadi menantinya di situ. Di depan rakan
sekerja merangkap teman baiknya itu, terdapat sepinggan nasi goreng ayam berserta
terung bakar. Hana terus meletakkan pinggannya di atas meja kemudian menuju ke
singki yang terletak berhampiran. Dia mencuci tangannya dengan sabun dan air.
Selesai saja, dia kembali ke meja.
“Macam sedap aje terung bakar tu, Lea,” tegur Hana
sambil menelan air liurnya. Terung bakar memang salah satu kegemarannya.
Tiba-tiba dia teringat ibunya. Aduhai... rindunya dengan masakan ibu!
“Makanlah sekali. Aku tahu sangat kau suka makan terung
bakar ni. Aku saja aje pesan ni tadi,” ujar Lea sambil tersenyum.
Hana tersengih.
“Tau kau ya,” balas Hana senang hati.
“Itulah dinamakan BFF,” jawab Lea pantas.
Hana tersenyum. Hana dan Lea masing-masing membaca doa
makan. Mereka berdua tidak sabar menikmati makanan yang sememangnya lazat
belaka di depan mata. Hana terus menyudu terung bakar dan meletaknya ke dalam
pinggan. Kemudian dicariknya terung bakar dengan menggunakan tangan dan dicicah
dengan sambal belacan sebelum dimasukkan ke dalam mulut.
“Hmph...” gumam Hana dengan wajah teruja kerana terasa
nikmatnya makan terung bakar bersama sambal belacan. Superb!
“Sedap weh sampai vibrate
segala lemak dekat perut aku ni ha. Fasal itulah aku tak dapat nak kuruskan
badan aku ni, sebab semua makanan sedap-sedap aje. Jealous aku tau kau makan banyak mana pun tak gemuk-gemuk,” rungut
Lea sambil memandang Hana dengan mata dibesarkan sedikit. Kurang berpuas hati.
Hana mencebik sebelum tergelak. Tak boleh blah lemak perut dia tengah vibrate sebab sedap sangat makanan tu.
“Rahsianya minum banyak air kosong dan banyakkan
berjalan kaki,” kata Hana sambil
tersenyum.
Lea memuncungkan mulutnya tanda tidak bersetuju.
“Aku minum banyak air kosong tak kurus-kurus pun. Kau
nak suruh aku banyak berjalan kaki? Uisy, jangankan jalan kaki aje, aku joging
pun tetap jugak lemak aku stay kat
badan aku ni. Berbakul jugaklah peluh aku ni jatuh, tapi tak kurus-kurus jugak.
Macam mana tu? Aku sedih tahu tak dengan diri aku ni. Aku pun teringin nak jadi
slim dan langsing macam kau Hana,”
luah Lea dengan nada sedih.
Hana terkedu. Dia tidak jadi menyuap nasi ke dalam
mulutnya. Dipandang raut wajah Lea yang muram.
“Kau masih kuat makan junk food, kan?” soal Hana dengan nada serius. Sengaja dia begitu untuk
melihat reaksi teman baiknya itu.
Lea terus tergigit lidah sambil tersengih-sengih malu ke
arah Hana. Tahu pun malu!
Hana menghembuskan nafas berat. Dah agak dah, bisik
hatinya. “Lea, kan aku dah banyak kali pesan kurangkan makan junk food? Kalau boleh terus berhenti
makan junk food.”
Dengan muka tidak bersalahnya Lea mula tersenyum
menampakkan giginya. Hana hanya mampu menggelengkan kepala.
“Kau tahulah makanan ringan ni dah jadi sebahagian
daripada hidup aku tau. Bukan Alia namanya kalau tak makan keropok walau sehari
pun tau,” kata Lea sambil mendongak sedikit dagunya dan menepuk-nepuk perutnya.
“Ikut suka kaulah, Lea. Nanti jangan nak merungut cakap
sedih tengok badan sendiri. Kau tak sayang kat diri kau sendiri, sebab tu kau
tak nak dengar nasihat aku, kan?” Hana sengaja mengecilkan matanya yang bundar
dan berwarna hitam bagi menunjukkan dia tidak berpuas hati dengan kenyataan Lea
itu.
“Isy... Siapa yang tak sayang diri sendiri? Disebabkan
sayang kat diri sendirilah aku makan banyak-banyak. Kau tak tengok ya, betapa
sihatnya aku ni ha,” ujar Lea sambil tersenyum yakin.
“Memang sihat kat luar, tapi dalaman tu tak tahu lagi, my dear BFF oi.” Hana mula membebel.
Membebel demi kebaikan kawan baiknya yang sememangnya tak makan nasihat orang.
“Ialah, Cik Hana. Sekarang, kau simpan dulu nasihat kau
tu. Lain kali aku dengar lagi ya. Aku ni kan kena diingatkan banyak kali
barulah aku nak tersedar. Siapa lagi yang aku boleh harapkan kalau bukan kau, BFF,”
ujar Lea sambil mengelipkan matanya yang bulat dan senyum menampakkan giginya.
Hana tidak jadi buat muka serius sebaliknya tergelak
melihat wajah Lea yang memang sedia bulat, comel dan gebu. Siapa tidak ketawa
melihat aksinya mengelip-ngelip matanya sebegitu rupa?
Lea tersenyum kemenangan.
“Ialah, BFF. Nanti aku akan sambung balik kuliah tak
berbayar ni. Perut aku ni pun tengah kelaparan.” Akhirnya Hana mengalah
mengenangkan perutnya yang sejak pagi tadi kosong. Apatah lagi mengingatkan
muka Lea yang minta simpati itu. Lagilah malas nak memanjangkan lagi nasihatnya
yang berjela.
Hana dan Lea
rancak berbual sambil berjalan menuju ke arah lif. Mereka baru saja selesai
makan. Nampak sekali mereka sudah kekenyangan. Mereka tiba di depan lif.
Kelihatan beberapa orang juga menunggu di depan lif itu.
Lea terus menyiku Hana. Hana memandang Lea dengan wajah
penuh kehairanan.
“Tu...” tunjuk Lea sambil memuncungkan mulutnya sedikit.
Hana memandang yang dimaksudkan. Matanya terus
terbeliak. Laju saja dia menoleh ke arah Lea semula. Dia sudah mempamerkan riak
bosan.
“Lea, dalam banyak-banyak orang kenapalah nak
terserempak dengan dia kat sini. Haih...” keluh Hana.
“Memang dah ditakdirkan kau kena terserempak dengan
dia,” balas Lea sambil tersenyum penuh makna.
Hana terus mengetap bibirnya. Aduhai... Kenapalah dalam banyak-banyak
pekerja di Adam Group ini perlu terserempak dengan dia? Bersiap sedia ajelah seperti
biasa. Hana cuba mengelak daripada bertembung mata dengan dua wanita yang berjawatan
tinggi di Adam Group itu. Kalau bertembung mata juga, sah-sah dia terpaksa mendengar
kata-kata yang menyakitkan hati saja nanti.
“Omaigaddd... You
nampak tak apa yang I nampak?”
Hana dan Lea sudah saling berpandangan. Hana sudah rasa
tidak keruan. Hana dapat melihat wanita yang berpenampilan penuh bergaya itu
memandangnya dengan pandangan kurang senang melihatkan kehadirannya di situ.
Sementara perempuan yang bersuara tadi sudah tergelak
sinis sambil menolak rambut perangnya ke belakang. Dia memakai blaus merah
dipadankan dengan skirt midi berwarna hitam berserta Stiletto merah. Mata
coklatnya tidak beralih daripada memandang Hana dan Lea.
“Apa benda tu? Menarik sangat ke nak tengok?” ujar
wanita yang memakai blaus putih berlengan panjang, memakai mermaid skirt berwarna hitam dan shawl rona putih coklat. Dialah yang memandangnya dengan pandangan
kurang senang tadi.
“Farah, tak menarik pun nak tengok. Tapi, menarik untuk
dikritik aje,” ujar perempuan yang bersuara mula-mula tadi.
Farah tersenyum sinis.
“Buang masa you ajelah, Zetty. Tengok dia sesaat pun tak
berbaloi langsung,” selar Farah perlahan, namun sinis.
Tersentap habis hati Hana mendengarnya. Begitu juga Lea
walaupun bukan dia yang dimaksudkan. Kalau kawan baik kena kutuk begitu, jiwa
siapa tidak tersentap sekali?
“Memang pun. Alah, tengok aje sebagai hiburan kita,” ujar
Zetty sambil memandang penampilan Hana dari atas sehingga ke bawah.
Ternaik-naik kening kirinya. Terpamer juga senyuman sinis pada bibirnya.
“Like usual. Stail
dia tetap tahap biasa-biasa. How
disappointing,” ujar Zetty dengan
slanga British.
Dah namanya campuran British dan Melayu, memang tidak
larilah slanga British itu. Intonasi bercakap tidak usah cakaplah. Memang
berbunyi sinis.
Hana beberapa kali beristighfar dalam hati. Sabar, sabar
dan sabar. Perkataan itu saja dia guna sejak bekerja di Adam Group itu. Lagipun
tidak berbaloi untuk dia sakit hati dengan kata-kata yang cuma singgah seketika
saja di telinganya. Bukannya kata-kata itu boleh cederakan dia. Kalau tercedera
barulah boleh timbul rasa sakit hati.
“Sebab itulah I cakap tak berbaloi langsung nak
ditengok. Rosak mata, okey!” kata Farah dengan nada menyampah.
“Agreed!”
balas Zetty.
Lif sudah tiba di tingkat G. Semua orang di situ
berpusu-pusu masuk. Lif yang boleh memuatkan orang dalam 20 orang itu penuh, menyebabkan
Hana dan Lea tidak dapat masuk.
“Sorry. Dah tak
ada ruang untuk both of you. Nanti
berbunyi pulak lif ni sebab overweight,”
kata Farah dengan nada mengejek sambil tersenyum sinis ke arah Lea.
Lea tersentak. Hana mengetap bibirnya.
Pintu lif tutup perlahan-lahan. Mereka berdua dapat
mendengar bunyi gelak ketawa orang di dalam lif itu sebaik saja Farah berkata
demikian. Hana terus memandang Lea yang sudah menundukkan muka. Dia tahu Farah
memang terang-terang mengutuk Lea. Siapa yang tidak faham apa yang dimaksudkan
oleh Farah tadi?
“Aku tahulah aku gemuk. Mesti kau malu kan ada kawan
gemuk macam aku ni,” ujar Lea dengan nada berjauh hati.
“Aku tak malu pun. Aku lagi bangga ada kawan sebaik kau
ni, Lea. Aku minta maaf, Lea. Disebabkan aku, kau pun jadi mangsa kutukan dia.
Aku pun tak fahamlah dengan perangai mereka tu. Disebabkan penampilan biasa aku
ni pun nak jadikan aku mangsa kritikan mereka. Mereka ingat ini syarikat fesyen
ke? Syarikat kosmetik aje pun. Huh, sabar ajelah aku,” rungut Hana sambil
berpeluk tubuh. Kata-katanya itu mengundang senyuman di bibir Lea.
“Sebab kau tu terlebih tak bergaya langsung. Mestilah
mereka suka kritik. Itulah kau. Hujung tudung bawal tu, tak boleh ke kau pinkan
aje? Ini kau ikat bulat macam tu, macam gaya mak cik aje aku tengok, tahu tak?”
Lea terus lupa akan kesedihan yang dialaminya sebentar tadi dan mula membebel kepada
Hana.
Hana terkedu. Aik, dia yang sedih tadi, tapi sekarang
nak membebel kat aku. Sekarang ini siapa yang perlu diberi perhatian lebih?
“Alah, aku sukalah gaya biasa macam ni. Lecehlah nak pin
cantik-cantik. Kau tahulah, aku mana ada masa nak pin cantik-cantik tudung ni
pagi-pagi. Lagipun bukannya ada orang nak pandang pun. Setakat kat tempat kerja
aje,” ujar Hana dengan nada bersahaja. Sungguh dia tidak kisah dengan penampilannya
begitu. Asalkan dia berasa selesa, sudah cukup bagi dirinya.
“Kau cakap tak ada yang pandang? Isy, yang baru kena
kritik dengan geng glam tadi tu,
bukan orang pandang, eh?”
Erk. Tergigit lidah Hana mendengarkan kata-kata Lea. “Setakat
mereka tu, aku tak kisah sangatlah. Bukannya mereka yang bagi gaji aku kat
sini. Jadi, biarkan aje.”
Lea hanya mampu mengeluh. Memang sentiasa berfikiran
positif saja teman baiknya itu.
“Jom. Lif pun dah sampai ni,” ujar Hana lalu menarik
lengan Lea.
Mahu tidak mahu Lea menurut langkah Hana. Beberapa orang
juga masuk ke dalam lif itu. Baru saja pintu lif hampir tertutup, satu tangan
menahan. Hana terus cepat-cepat menekan butang untuk membuka pintu lif semula.
Seorang lelaki berpenampilan santai dan memakai cap, tapi masih ada gaya, melangkah masuk ke dalam lif.
Aroma minyak wangi Gucci Guilty menerjah masuk ke dalam
lubang hidung Hana. Aduhai... wanginya! Mahu tergoda aku dengan bau minyak
wangi ini. Lebih-lebih lagi lelaki itu betul-betul berdiri di sebelahnya.
Matanya sudah mula curi-curi mengerling lelaki itu.
Pintu lif tertutup semula. Lelaki itu menekan punat
nombor lapan. Hana mengerutkan dahi. Setahunya hanya pejabat CEO terletak di
tingkat itu. Hatinya mula tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki berbau wangi
itu dan apa tujuannya ke situ. Eh... Melebih-lebih pulak kau ni ya, Hana. Sibuk
aje nak tahu siapa lelaki itu.
Lif berhenti di tingkat lima. Hana dan Lea terus keluar.
Hana sempat menoleh, memandang lelaki yang hanya menundukkan mukanya itu. Dia
tidak dapat melihat wajah lelaki itu sebab terlindung di sebalik cap yang dipakainya. Agaknya kenalan
pihak atasanlah kut. Hana membiarkan saja persoalan yang bermain di minda dan
terus menuju ke pejabat pentadbiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan