Harga: RM21.00 / RM24.00
“DAH tu, terima ajelah. Apa yang opah mintak tu bukan tak
boleh pun kau nak buat, kan? Pejam mata aje boleh terima apa.” Hafidz kemudian
gelak-gelak perlahan dengan kata-katanya. Tambah bila Seri jegilkan mata macam
nak terkeluar kepadanya atas pilihan ayatnya tadi.
“Nak kena sekeh jugak kau ni kan. Kahwin tu perkara
pejam mata aje boleh terima ke?” Seri bersuara geram.
Hafidz ni kalau bercakap, mulut lupa tol! Aci langgar
aje tanpa bayar. Nasiblah Genelia tahan.
Hafidz gelak lagi. Puas gelak, dia seriuskan pula
muka. “Okeylah, bukan pejam mata aje boleh terima. Tapi, bukak hati aje mesti
boleh terima punya. Kau aje yang tak nak bukak. Tutup. Mangga. Gari. Macam mana
hati tu nak bukak?”
Seri diamkan diri kali ini. Bila cakap pasal hati yang
tak terbuka-buka, macam inilah dia selalunya. Sebab dengan berdiam diri dia
lebih selamat.
“Eloklah. Tutup mulut tu macam kau tutup hati kau.
Orang nasihat, tak pernah nak dengar. Tu pasal opah merajuk. Dah nak masuk dua
minggu ni, alang-alang kau biar ajelah sampai dua bulan. Tak pun dua tahun.
Tutup sekali hati kau tu daripada kesiankan orang tua yang entah lama mana aje
akan hidup tu,” sembur Hafidz, selamba. Gaya manusia tak ada perasaan pun ada.
Tapi, nak diapakan, kan? Dia tengah cakap dengan
manusia tak berperasaan juga. Barulah kena.
“Kau ni kan. Mulut tu makin tua makin tak ada brek.
Main taram aje. Semua kau hentam.” Seri marah.
Takkanlah nak suka hati bila Hafidz macam mendoakan
ketidaksejahteraan neneknya?
“Aku kerjakan mulut tu baru tau!” ugut Seri sambil
acah nak cucuk muka Hafidz yang duduk di depannya dengan pensel yang baru
diasah tajam. Memang tercacak eloklah kalau dia cucuk.
“Terima kasih banyak. Tak payah, okey. Bini aku boleh
kerjakan mulut aku ni. Macam dia selalu buat.”
Gelak ada makna plus pandangan ada maksud yang Hafidz
sampaikan bila tutur kata itu buat Seri yang tak berapa nak faham mulanya, jadi
faham. Merenyam betullah Hafidz ni! Tahulah dah kahwin. Asal bercakap saja,
mesti nak ada dua makna. 10 tahun jadi suami orang buatkan Hafidz jadi gatal
bukan main.
“Kau ni kan! Tak malu ke cakap macam tu dekat aku? Aku
tak kahwin lagi, okey. Tak patut sungguh dengar ayat lucah kau tu!” Sengaja
Seri hentam Hafidz begitu.
Kemudian gertak pula. “Aku ngadu dengan Lia baru tau!”
Hafidz cebik mulut dan muka.
“Sikit pun tak takut. Lia tu...” Hafidz tak habis
cakap, tunjuk gigi.
“Sorry. Tak boleh cakap sebab kau tu anak dara
lagi, belum kahwin lagi.” Hafidz terus sengih. Nampak sangat apa dia nak
cakapkan tadi sebenarnya ada sedikit unsur kelamin.
Muka Seri berubah sikit dengar apa Hafidz kata. Namun,
dia sekolahkan balik mukanya ke muka biasa. Muka lali dengan kerenah Hafidz
yang makin macam-macam sekarang. Tambah pula lepas dah beranak tiga kini.
Hafidz masih kawan rapat dia sampai sekarang. Kadang,
hal dalam kelambu pun Hafidz terlepas cerita dekat dia. Yang paling tak boleh
Seri lupa hal Hafidz dan Genelia jumpa doktor kesuburan. Sebiji-sebiji apa
doktor itu buat ke atas Hafidz dan Genelia dicerita. Sampaikan muka Seri jadi
berwarna-warna dengar cerita itu dan hanya dihentikan selepas Genelia berjaya
tutup mulut Hafidz. Kalau tak, entah bilalah Hafidz yang dah tak tahu malu ini
akan berhenti.
“Terimalah pinangan tu, Seri.” Dah puas menakal,
Hafidz balik pada topik asal yang menimbulkan semua rapuannya sejak tadi.
Pasal Opah Chik yang merajuk sebab Seri tak nak terima
pinangan yang diterima kali ini.
Seri diam, main cucuk-cucuk jari dengan mata pensel
yang tajam di tangan. Dia tak tahu nak cakap apa, apatah pula macam mana. Jadi,
baik tutup mulut saja.
“It’s been nine years, Seri. Stop pining on him. Stop hoping for him.” Terus
Hafidz sentuh topik yang sekian lama dia dan Opah Chik cuba elak daripada
cakapkan. Semuanya demi nak jaga hati Seri.
Tapi, kalau dah selama ini dan sampai macam ini Seri
punya degil dan tak nak faham, lagi baik dia sentuh kaw-kaw punya. Lantaklah kalau hati Seri rasa
sakit atau luka hati. Memang patut pun!
Terus Seri tengok Hafidz dengan garang, tanda sedang
marah.
“I’m not pining on him or hoping for him, Fidz. It’s done. It’s over. Aku dengan
dia dah lama...” Seri geleng kepala tanda dah tak ada apa-apa dengan si dia itu.
“Habis tu, kenapa buat opah merajuk? Kenapa tak nak
terima pinangan ketujuh ni?” Hafidz sambung sembur. “Tahun ni kita 35 kut. Kau
nak kahwin bila dah menopaus?”
“Eii... mulut kau ni kan!” Geram sangat punya pasal,
di luar kawalan diri, Seri campak pensel tajam ke depannya. Aci campak tanpa
sempat fikir lanjut.
Tapi, mujur Hafidz sempat fikir kejadian itu mungkin
boleh berlaku. Sebab dari tadi Seri duk main-main dengan pensel tajam tersebut.
Jadi, terfikir jugalah kemungkinan Seri akan campak ke arahnya sebab geram
amat. Sebab itulah Hafidz yang sengetkan badan dan muka sekali gus sempat elak
mukanya daripada terkenanya, apabila pensel itu melayang ke situ,
melepasi kepala kerusi dia duduki.
Mata Seri yang mulanya terarah ke depan, kepada
Hafidz, ikut lepasi kepala kerusi apabila badan Hafidz menyenget ke kanan. Nak
elak serangannya. Mujurlah Hafidz cekap. Kalau tak, mahu Hafidz jadi lanun
bermata satu. Dan dia pun kenalah soal jawab dengan Genelia, tiga anak mereka
dan Opah Chik.
Melepasi kepala kerusi di depannya, mata Seri terus
nampak kemeja warna putih dengan padanan blazer royal blue. Dan pensel bermata
tajam itu tercucuk ke bahagian perut yang dari sini pun Seri boleh nampak
berpetak-petak.
Tercacak elok saja pada abdomen pemilik kemeja putih
blazer royal blue itu. Dan, warna merah pun
perlahan-lahan mula nampak.
Seri yang tersentak tengok darah mula kelihatan pada
abdomen berpetak itu, terhela nafas sendiri tanpa lepas. Apabila dia angkat
muka nak tengok siapa yang jadi mangsa pensel tajamnya, dengan sendirinya nafas
Seri terlepas diikuti dengan jeritan paling nyaring isi pejabatnya pernah
dengar.
Sebab yang sedang berdiri di depannya, berkemeja putih
bertompok merah pada perut ketaknya adalah Za’ba Mohd Said!
“YES. You hurt me, so you have to nurse me.
Takkanlah Hafidz kut!” kata Za’ba selamba sambil buka blazer royal blue pada badan, penuh hati-hati. Mukanya
sekejap-sekejap berkerut tanda sedang tahan sakit.
Tapi, Seri yang tengok terasa sungguh suka bila nampak
setiap kerut pada muka Za’ba. Dia rasa senang hati sangat. Tapi, senang hati
itu terus jadi susah hati bila Seri tengok Za’ba dengan selamba tak malunya
duduk di atas sofa tiga rangkai di dalam bilik pengarah kewangan itu dan mula
buka butang kemeja putihnya. Satu per satu. Dari atas ke bawah.
“Wait! Wait!”
Seri halang, siap dengan kedua-dua tangan dikedepankan penuh semangat. Tak bagi
Za’ba teruskan apa dia sedang buat.
Za’ba berhenti buka butang kemejanya, sandar badan
pada sofa sambil angkat muka tengok Seri dengan sebelah kening terjongket.
Ngam-ngam jarinya henti pada butang kemeja keempat.
Seri tengok muka Za’ba. Kemudian mata turun sikit
pula, tertengok secara sengaja dada Za’ba yang terbuka tiga butang atasnya.
Dan, tiba-tiba jari Za’ba pada butang baju keempat itu mula bergerak nak cabut
butang itu juga.
“You buat apa tu?” Spontan Seri terjerit dan tersedar
apa dia buat tadi. Tengok dada lelaki bukan muhrim tanpa malu!
“Bukak butang baju untuk sedarkan you yang tengah
tengok dada I. I taulah dada I seksi. Tapi, tolong jaga pandangan, okey.” Za’ba
kutuk terus. Kemudian terus pula dia buka butang kemejanya serupa itu bukanlah
satu kesalahan.
Seri sakit jiwa. Sudahlah dia disuruh jaga pandangan,
lepas itu Za’ba dengan gaya tak ada hallah sambung buka butang kemeja
semacamlah kalau dia buat begitu Seri boleh nak jaga pandangan. Ternoda dan
tergoda pandangan lagi adalah!
“Berhenti nak menyeksikan diri boleh tak?” Seri jerit
geram.
Dia palingkan muka ke pintu bilik pengarah kewangan
yang sudah pun bertutup elok selepas Hafidz keluar sebab hendak ambil peti
kecemasan. Malu nak tengok terus Za’ba yang sikit pun tak malu, buka setiap
butang bajunya sampai bawah. Kemudian siap selak baju ke kanan dan kiri lagi,
menampakkan bahagian dada dan perut yang fit itu.
Macam mana Seri tahu? Sebab dalam paling-palingkan
muka pun Seri curi-curi tengok juga. Serius tak nak sebenarnya tapi ‘ter’ juga.
Macam ada magnet saja buat dia tertengok. Hisy!
“Tak payahlah nak buat-buat macam tak pernah tengok,
Seri...” ujar Za’ba sambil gelak-gelak, tapi seterusnya mendesah sebab gelaknya
menyakitkan perutnya yang ada luka itu.
Ada lubang besar mata pensel kut di situ. Mana tak
sakit.
Dengar saja Za’ba cakap begitu terus Seri palingkan
muka dan pandang Za’ba dengan muka garang. Rasa nak lempang saja perut Za’ba
tepat-tepat pada bahagian lukanya bila dengar lelaki itu cakap tak berlapik
macam itu. Mukanya pasti merah. Sebab marah campur malu. Walaupun tak nak rasa
malu, tapi Seri tetap terasa. Kalau Za’ba tak lupa, dia apatah lagi!
Namun, Seri sekolahkan mukanya dan pandang tajam
lelaki itu, yang tengok dia dengan muka tak bersalah. Macamlah baru cerita
pasal dia suka minum kopi satu sudu teh gula saja. Dan, bukan pasal dada dan
perutnya yang fit itu.
Bila Seri diam tak balas cakapnya, Za’ba senyum. Dia
tahu Seri tak suka dengar apa dia ujarkan tadi. Tapi, suka dialah nak sebut.
Dia cakap benda betul kut. Bukan Seri tak pernah tengok dia tanpa baju, inikan
pula dia yang begini. Cumanya, mungkin Seri dah lupa.
Namun, bila Za’ba perasankan muka merah yang cuba Seri
neutralkan, Za’ba yakin Seri tak lupa. Sebagaimana dia. Walaupun lepas sembilan
tahun lebih, mereka masih ingat!
Baru Za’ba nak buka mulut untuk sakat Seri lagi, biar
muka itu lagi-lagi merah, ia tak terlaksana apabila tiba-tiba saja pintu bilik
pejabat itu dibuka dari luar. Lalu, tubuh lampai Hafidz melangkah masuk sambil
bimbit peti kecemasan.
“Dah jumpa.” Hafidz angkat sikit kotak peti kecemasan
di tangan kemudian bergerak mendekati sofa tiga rangkai yang Za’ba duduki.
“What are you doing?” Za’ba terus tanya bila
Hafidz buka peti kecemasan dan ada tanda-tanda nak jadi jururawatnya.
“Nak letak ubat kat luka tulah.” Hafidz kekeliruan.
“Ke luka tu dah baik sendiri?”
Perlian Hafidz buat Za’ba merengus. “Kau ingat luka ni
sekali Seri tiup boleh terus baik?”
Hafidz tunjuk gigi dengan perlian balik Za’ba.
Sebenarnya dia tahu apa Za’ba nak. “Biar aku yang buat.”
“Biar Seri buat. Dia yang buat aku luka macam ni,
dialah letak ubat.”
“Aku takut luka kau ni makin teruk dia kerjakan aje.
Mana tau dia nak balas dendam sembilan tahun. Bulat kecik ni jadi bulat besar
pulak.”
Za’ba tunjuk gigi. Malah, Hafidz pun sama.
Seri yang dari tadi jadi tukang perhati mula hangat
hati. Dah macam pasangan kekasih baru jumpa lepas terpisah pula dua makhluk
Allah ni. Eii, geli!
“Helo! Dia ada kat sini, okey. Berhenti cakap pasal
dia macam dia tak ada kat sini!” Seri hentam dua lelaki itu.
Za’ba alih pandangan, tengok Seri. Tunak dan tajam. “Come
here.”
“Memang taklah!” tegas Seri. “You yang tiba-tiba masuk
bilik I tanpa ketuk pintu atau bagi salam. Kalau you tak tiba-tiba masuk,
pensel tu akan kena pintu dan bukan perut you. So, it’s not my fault. And, I’m not nursing you!”
Za’ba pandang Seri lama dengan serius. Kemudiannya,
tiba-tiba dia senyum jongket sebelah. “Kalau macam tu, I akan biarkan luka ni.
Kalau tiba-tiba kena infection,
jadi makin teruk sampai lagi teruk sakit I, I saman ajelah you.”
“Fine. Kalau you pilih untuk mati kena infection pada luka tak seberapa tu... Up to you!” Seri buat muka
ada-I-kisah!
Seri terus bangun dari kerusi empuk tetamu di meja
kerja di dalam bilik itu, mahu tinggalkan Za’ba. Ingat dia akan kisah pada
gertakan Za’ba? Memang Za’ba silap orang!
“Kesian anak I... jadi anak yatim bila I mati sebab
kena infection kat luka ni.”
Langkah yang baru Seri nak atur termati setempat
mendengar kata-kata itu. Za’ba ada anak? Za’ba sudah berkahwin? Spontan dadanya
berdenyut lain macam. Dia tak rasa ia serangan jantung. Tapi, serangan hati.
Sakitnya di situ. Tak tertahan rasanya.
Seri sentuh dada sendiri, tarik nafas sambil lepas
dengan mata terpejam. Dua kali buat begitu, akhirnya Seri boleh bertenang.
Walaupun sakit di situ ada lagi, tapi dia boleh buat biasa apabila alih badan
dan tengok Za’ba kembali dengan senyuman paling manis.
“Jangan risau. I akan pastikan dia cepat-cepat dapat
ayah baru bila you mampus!” Bercakap begitu, terus Seri kalih badan dan
teruskan langkah yang tergendala tadi.
Laju saja Seri keluar dari bilik itu tanpa tunggu
respons daripada Za’ba.
Za’ba terlambat bagi respons. Sebabnya ada dua. Satu,
dia dah terkejut maut bila lihat senyuman manis Seri. Senyum yang paling
menangkap mata dan hatinya. Dulu dan kini masih sama aura senyuman itu. Dan
dua, apa yang Seri katakan. Nak cari ayah baru untuk anaknya? Seri memang nak
tengok dia mati cepat nampaknya!
“So, kau ada anak?”
Pertanyaan Hafidz diiring dengan sentuhan kapas basah
pada bahagian perutnya menyedarkan Za’ba. Dia angguk dan terpaksa gigit bibir
bawah, tahan sakit bila Hafidz macam sengaja menekan lukanya dengan kapas.
“Berapa?” Hafidz sambung tanya. Kali ini mencuci luka
Za’ba dengan Dettol pula. Saja-saja ditekap sungguh-sungguh pada luka Za’ba.
Bila Za’ba tunjuk muka geram nak mengamuk kepadanya,
Hafidz angkat dua-dua bahu dan ucap, “Aku tak naklah ada infection. Nanti kena saman
bagai pulak.”
Za’ba gigit saja bibir bawah tahan hati. Dia tahu
Hafidz sedang balas dendam sembilan tahun bagi pihak Seri. Memang dasar kawan
rapat!
“Sorang. Dah masuk darjah satu.” Za’ba jawab juga
soalan Hafidz.
“Mmm... Aku dah tiga.” Lepas dah puas godek-godek luka
Za’ba dan balutkannya, Hafidz beritahu.
Za’ba angguk. Juga sebagai tanda terima kasih kepada
Hafidz.
“Kalau kau kahwin dengan Seri sembilan tahun dulu,
mesti anak kau pun tersusun macam aku. Tapi, nasiblah kan. Orang kuat cemburu
buta memang selalu melepas!” Hafidz tutup peti kecemasan dengan kuat.
Za’ba kacing gigi. Bergerak-gerak tulang pipinya tanda
geram, namun terpaksa sabar. Sebab apa Hafidz cakap ada betulnya. Dia memang
lelaki baran yang kuat cemburu buta!
“Jangan kacau Seri kalau kau dah kahwin. Jangan ada
cita-cita nak tambah kuota.” Hafidz paut kuat bahu kiri Za’ba yang duduk
berjarak di sebelahnya. Bagi amaran.
“Aku tak ada isteri.” Za’ba jongketkan bahunya dengan
kasar, menyentak tangan Hafidz dari situ dengan cara itu.
Hafidz angguk. “Seri dah nak bertunang.”
Muka Za’ba berubah. Tunak dia tengok Hafidz. Lelaki
itu tergelak.
“Aku tak ada masa nak tipu kau.” Hafidz bangun sambil
bimbit peti kecemasan. “Kau dah sia-siakan dia untuk lebih sembilan tahun.
Jangan tambah lagi kalau tak nak aku bagi Seri capai apa dia cakap tadi.”
Kali ini Za’ba kerut dahi tanda kurang jelas, ikut
berdiri.
“Tolong dia pastikan anak kau dapat ayah baru!”
Bernada amaran, Hafidz backhand perut Za’ba tanpa rasa bersalah dan
kata, “Chiao!”
Za’ba pegang lukanya yang rasa sakit dan perutnya juga
rasa senak akibat pukulan jantan Hafidz. Memang Umar bakal dapat ayah barulah
kalau Seri dan Hafidz bekerjasama memastikan kependekan hayatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan