Tajuk: Tanpa Awak Macam Nak Gila!
Penulis: Zara Ryana
ISBN: 978-967-365-273-0
Harga: RM25.00 / RM28.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069
PUAN HAJAR membetulkan selendangnya di depan cermin. Tiba-tiba dia
teringatkan anak gadisnya itu. Jangan-jangan dia pakai macam pelangi tak? Lebih
baik pergi tengok. Tanpa membuang masa, Puan Hajar keluar dari biliknya dan
bergegas ke bilik anak daranya. Pintu tidak tertutup rapat. Lalu dia menolak
pintu perlahan-lahan dan lihat Hessa sedang memadan-madankan baju pada
tubuhnya.
“Ya Allah. Tak bersiap lagi?” Puan Hajar terkejut.
Hessa tersentak lalu berpaling. “Hessa tak tahu nak pakai baju
apalah ibu.”
Puan Hajar geleng kepala. Dia masuk ke dalam bilik Hessa dan
membelek pakaian-pakaian Hessa di dalam almari. Dia mengambil baju kurung dan
menyerahkannya kepada Hessa.
“Nah, pakai baju kurung. Ada ke nak pergi rumah orang nak pakai
macam tu. Tukar cepat. Abah dah menunggu kat bawah tu,” tegas Puan Hajar lalu
keluar dari bilik Hessa.
Hessa tercengang sambil merenung baju kurung berwarna merah jambu
berona hijau muda. Baju kurung? Bila hari raya saja dia akan pakai. Aduh, ibu
ni dah tahap mendesak ni, omelnya dalam hati. Mahu tak mahu, terpaksalah dia
menyarungkan baju kurung ke tubuhnya.
Selesai, dia menayang tubuhnya di depan cermin. Hmm, cantik jugak.
Terserlah keayuan aku. Hessa syok sendiri. Dia merapati meja solek dan
mencalitkan sedikit gincu berwarna merah jambu muda ke bibirnya. Pipinya disapu
pemerah pipi agar tidak kelihatan pucat. Kulitnya yang kering itu dibedakkan
sedikit. Cukup sekadar gincu dan pemerah pipi saja.
Selesai, Hessa keluar dari biliknya bersama beg tangannya. Ketika
dia keluar, ibunya juga baru keluar dari bilik. Terus bibir ibunya terukir
senyuman.
“Ha, macam nilah anak ibu. Ayu, cantik. Lekas.” Puan Hajar memaut
lengan Hessa dan menuruni tangga beriringan.
“Jomlah, bang,” ajak Puan Hajar seraya mencuit bahu Encik Zikri yang
sedang membaca surat khabar.
Encik Zikri berpaling dan terkejut melihat Hessa. Dia senyum. “Kan
cantik anak abah pakai macam ni. Baru nampak ciri-ciri gadis Melayu. Tak gitu
ibunya?”
“Tengoklah anak siapa.” Puan Hajar bangga.
Hessa cemik bibir. Mestilah anak ibu dan abah. Takkanlah anak bulan
pulak.
PUAN AZZAH merupakan orang yang paling sibuk di dapur. Padahal tugas
memasak adalah tugas pembantu rumahnya, tetapi dia pula yang lebih-lebih
mengarah dan mengatur. Maklumlah, nak sambut tetamu dan bakal besan. Selepas
ini, giliran mereka pula bertandang ke sana. Kalaulah tiada aral melintang.
“Kiah, susun elok-elok lauk tu. Jauh pulak dia orang nak capai,”
kata Puan Azzah.
Kiah, pembantu rumahnya hanya menurut dan menyusun lauk-pauk yang
sudah sedia terhidang mengikut arahan Puan Azzah.
Sedang Puan Azzah sibuk-sibuk di dapur, Zafrel datang sambil
menyarung jaket ke tubuhnya.
“Mama, Zaf nak keluar kejap,” kata Zafrel. Dia tahu sangat ada
tetamu nak datang hari ini, tetapi dia tidak berminat untuk menyertai mereka.
“Eh, nak keluar ke mana pulak? Kan hari ni ada orang nak datang
rumah kita. Tak payah keluar. Lepas ni pun boleh keluar.” Puan Azzah melarang.
Zafrel mendengus kecil. “Mama, yang nak datang tu tetamu mama.
Takkanlah Zaf nak layan tetamu mama pulak?”
“Zaf, tetamu mama, tetamu Zaf jugak. Sudah. Kejap lagi dia orang nak
sampai. Jangan mengada-ada nak keluar pulak.”
Zafrel mengeluh hampa. Dia beredar dari dapur dengan rasa kecewa.
Jaket yang baru disarung ditanggalkan semula dari tubuhnya. Lalu dia menyertai
papanya yang sedang membaca majalah korporat di ruang tamu.
“Apa yang mama beria-ia sangat tu papa? Macam nak sambut anak raja
datang rumah aje,” rungut Zafrel bengang sambil melabuhkan punggungnya ke atas
sofa. Dia mencapai bantal kecil berbentuk empat segi itu lalu didakap ke tubuh.
“Bukan nak sambut anak raja, tapi nak sambut anak menantu,” jawab
Encik Shahadan bersahaja.
“Apa? Anak menantu? Apa maksud papa?” Zafrel terkejut.
“Kamu tunggu ajelah, Zaf,” kata Encik Shahadan tanpa mengulas lanjut
persoalan Zafrel.
Zafrel mengerutkan dahi dan berfikir sejenak. Dia mula rasa curiga. Hai,
takkanlah papa nak bergurau pulak pasal ni. Papa ni jenis serius orangnya. Nak
tanya mama, dia sibuk pulak. Haisy, ni yang aku rasa tak sedap hati ni.
Jangan-jangan dia orang ada rancang apa-apa tak? Zafrel berfikir sendiri.
Hmm...
Tidak lama selepas itu, kedengaran bunyi ngauman enjin kereta di
halaman kediaman mereka. Tentu tetamu mereka sudah sampai.
“Hah, tu dah sampai pun.” Encik Shahadan menutup majalahnya dan
diletak ke atas meja. Dia bingkas dan menuju ke pintu untuk menyambut
kedatangan tetamunya itu.
Zafrel tidak berganjak sebaliknya membatu di sofa. Puan Azzah yang
sibuk di dapur tergesa-gesa keluar untuk menyambut tetamunya.
Puan Hajar dan Encik Zikri keluar dari perut kereta sambil membawa
buah tangan yang dibeli dalam perjalanan tadi.
“Dah sampai pun. Jemputlah masuk,” pelawa Puan Azzah apabila
sahabatnya itu sudah keluar dari kereta.
Puan Hajar menghulurkan buah tangan yang dibeli kepada Puan Azzah.
Encik Zikri dan Encik Shahadan bersalaman.
Sebaik saja melangkah ke dalam rumah banglo itu, Hessa terus didakap
oleh seorang wanita iaitu Puan Azzah. Dia terpinga-pinga seketika.
“Ya Allah, lama betul tak jumpa Hessa. Dah besar panjang pun. Amboi,
manisnya.” Puan Azzah merenggangkan pelukan dan mengamati wajah Hessa. Gembira
betul hatinya.
“Aunty Azzah?” Hessa menyoal.
“Ingat lagi kamu ya. Dah besar panjang dah. Hessa, tu Uncle Adan,
ingat lagi?” Puan Azzah menuju ke arah suaminya.
Encik Shahadan senyum.
Hessa angguk dalam keadaan teragak-agak. Dia masih cam wajah lelaki
itu. Kemudian matanya teralih ke arah seorang lelaki muda yang berwajah serius
dan kerek. Lelaki itu? Budak gemuk? Rahangnya jatuh.
Hessa memalingkan wajah. Benar ke apa yang dia lihat itu? Lelaki
yang dia kerap terserempak itu adalah Zafrel? Ya Tuhanku, apa semua ini? Adakah
ini satu kebetulan atau takdir yang tersurat untukku? Benarlah jangkaannya
sejak kali pertama terserempak lelaki itu.
Hessa memberanikan diri untuk memandang Zafrel sekali lagi. Manalah
tahu ia hanya bayangan lelaki itu. Hessa terpempan. Memang betul. Memang dia.
“Yang sebelah tu Hessa ingat lagi tak?” soal Puan Azzah lagi.
“Hessa?” Kening Zafrel terjongket ketika mamanya menyebut nama itu.
Hidup lagi dia rupanya. Tak sangka, gadis yang melanggarnya tak lama
dulu ialah Hessa. Malah, beberapa kali pertemuan antara mereka berlaku, namun
dia langsung tidak tahu yang gadis itu ialah Hessa. Memang sukar untuk dia
percaya.
Hessa memandang Puan Azzah dan geleng kepala. Sengaja dia
menggelengkan kepalanya. Dia langsung tidak memandang Zafrel. Apatah lagi bila
dia dapat rasakan pandangan lelaki itu sedang tertumpu ke arahnya. Hessa angguk
ringan sambil teragak-agak berbalas renungan dengan Zafrel.
“Oh. Zafrel. Baru Hessa ingat, aunty. Tapi, rasanya kami pernah
jumpa sebelum ni. Hessa tak cam langsung,” kata Hessa dengan senyum
dibuat-buat.
“Dah jumpa? La... Takkan kamu tak cam si Zaf ni?”
Hessa geleng. “Serius tak cam. Dia... dia dah kurus.”
Tersekat-sekat Hessa ingin menyebut perkataan kurus. Apatah lagi
Zafrel kerutkan kening saat dia menyebut perkataan itu.
“Segak Zaf sekarang,” puji Puan Hajar.
Pujian daripada Puan Hajar membuatkan Zafrel dan Hessa mengalihkan
pandangan masing-masing. Zafrel senyum bangga. Sesekali dia menjeling Hessa.
Patutlah wajah Hessa begitu familiar di matanya. Rupa-rupanya jiran lama.
“Eh, apa tunggu lagi? Marilah kita makan dulu. Lepas tu kita sambung
berborak. Jom.” Puan Azzah menarik tangan Puan Hajar dan Hessa untuk ke bilik
makan. Yang kaum lelaki pula menyusul di belakang mereka.
Zafrel merenung Hessa. Dia mula mengesyaki sesuatu.
DI bilik makan, masing-masing mengambil tempat duduk. Hessa duduk di
sebaris dengan ibu dan abahnya. Manakala Zafrel pula duduk di sebelah Puan
Azzah.
“Silalah,” pelawa Encik Shahadan.
Tanpa membuang masa, mereka berenam mula menjamu makan tengah hari
dengan penuh berselera. Yang lain bukan main rancak berbual. Bersembang dan
mengimbau tentang kisah lama. Kecuali Zafrel dan Hessa.
Sebiji-sebiji nasi disua ke mulut. Kadangkala mereka berdua saling
berpandangan, tetapi cepat-cepat dialihkan. Hessa masih belum dapat menerima
hakikat bahawa lelaki itu ialah Zafrel.
Begitu juga Zafrel. Sejak ternampak Hessa, dia cuba menafikan bahawa
gadis yang dia jumpa sebelum ini ialah Hessa. Dia harap dia bermimpi, tetapi
ternyata tidak.
Puan Azzah hairan melihat dua anak muda itu menjeling ke muka
masing-masing. Nasi di pinggan tak luak pun. Hessa hanya makan nasi putih.
Zafrel pula cubit-cubit saja isi paha ayam. Apa kena mereka berdua ni?
HESSA mengambil angin di laman rumah sambil memerhatikan ikan-ikan
koi di dalam kolam hiasan. Dia perlu leraikan fikirannya yang kusut.
Sementara Puan Azzah pula sedang menolak-nolak tubuh Zafrel supaya
pergi berbual-bual dengan Hessa di luar. Zafrel enggan, tetapi Puan Azzah
semakin memaksa. Akhirnya Zafrel akur. Dia melangkah lambat-lambat menuju ke
kolam ikan koi.
Melihat ikan-ikan yang sedang berenang dengan gembira, Hessa cuba
menangkapnya.
Zafrel berdeham. Hessa terkejut lalu merentap tangannya yang basah
ke arah Zafrel. Air dari tangannya itu terpercik ke muka Zafrel. Menyinga
Zafrel seketika.
“Eh, awak ni sawan ke apa?” marah Zafrel seraya mengesat mukanya
dengan lengan baju.
Hessa yang duduk mencangkung terus bangun dan menghadap Zafrel.
“Yang awak tiba-tiba tercegat kat sini kenapa? Terperanjatlah saya!”
Hessa mengurut dada. Dia ingin beredar. Namun, panggilan Zafrel menghentikan
langkahnya.
“Hessa Yasmin.”
Hessa pandang Zafrel. Lelaki itu masih ingat nama penuhnya?
“Kita dah beberapa kali jumpa, tapi langsung tak kenal diri
masing-masing. Tapi, hari ni, kita jumpa balik.”
“Mestilah saya tak kenal awak. Dulu awak gemuk.”
“Kalau gemuk, tak boleh kuruslah?” Zafrel menyindir. “Patutlah muka
awak ni familiar sangat. Macam pernah tengok. Rupa-rupanya...”
Zafrel berjalan mundar-mandir di belakang Hessa. Kedua-dua tangan
menyeluk kocek seluar. “By the way, hari awak kena ragut tu, awak dapat balik
tak beg awak? Sebab, bila saya nak pergi, kereta awak dah tak ada. Maknanya
awak dapat baliklah beg awak?”
“Mestilah dapat balik. Lagipun masa tu awak memang tak membantu
langsung,” cemuh Hessa.
“Kalau masa tu saya tahu awak Hessa Yasmin, mungkin saya tolong awak
kejar peragut tu sampai dapat.”
Hessa mengetap bibir sambil merengus kecil. Cakap kosong bolehlah,
desisnya dalam hati.
“Saya dapat tahu yang keluarga kita nak jodohkan kita. As for me,
lupakan niat awak nak berkahwin dengan saya. Saya tak suka jodoh yang dipilih
oleh orang tua.”
Hessa mencemik. “Untuk pengetahuan awak, saya jugak tak pernah
terfikir nak berkahwin dengan awak. Saya datang sini pun sebab terpaksa. Ibu
yang paksa saya datang. Awak tolonglah, jangan nak perasan. Bagi saya, awak
tetap budak gemuk yang annoying.”
Berdesing telinga Zafrel apabila Hessa memanggilnya budak gemuk.
“Dan awak pulak budak perempuan yang cengeng!”
Hessa tercengang. Dia terus bercekak pinggang apabila Zafrel
memanggilnya cengeng. Ini dah lebih.
“Helo! Cakap baik-baik sikit.” Hessa memberi amaran dengan jari
telunjuk. Dia merenung tajam ke mata Zafrel yang berwarna coklat itu.
“Whatever! Dengar sini, rancangan awak takkan berjaya. Saya dah ada
girlfriend,” beritahu Zafrel, berbohong.
Teman wanita? Memang tak ada buat masa sekarang. Sengaja dia mahu
buat Hessa bengang dengannya. Namun, jauh dalam lubuk hatinya, dia tak kisah
jika dijodohkan dengan Hessa. Dia tak tahu kenapa.
“Baguslah kalau awak dah ada pilihan hati. Selamat hidup saya. Tak perlulah
saya habiskan hidup saya dengan lelaki macam awak. Lagipun, saya belum
terdesaklah nak kahwin.” Hessa senyum sinis.
Perkataan ‘selamat’ sengaja ditekankan supaya Zafrel sedar yang dia
memang tak terfikir langsung untuk berkahwin dengan Zafrel. Dia belum puas lagi
menyakiti hati Zafrel. Tanpa sedar, dia turut mengangkat bakulnya sendiri.
Zafrel ketap bibir. Perempuan ni memang tak sayang mulut nampaknya.
Tak apa. Tengoklah nanti. Zafrel mendengus geram lalu beredar dari situ. Malas
nak melayan Hessa yang menjengkelkan dan kebudak-budakan itu. Buat sakit hati
saja.
Apabila melihat Zafrel pergi, Hessa tergelak kecil. Hatinya puas.
Dia menang hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan