Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 31 Disember 2015

Suamiku Pembuli Cinta - Bab 5

Bab 5
AKU sampai di kampung tepat pukul 4.00 petang memandangkan kampungku agak dekatlah juga dengan Kuala Lumpur. Emak sambut aku dengan riang dan aku hanya membalas dengan senyuman tawar.
Memanglah berita yang sepatutnya menjadi berita yang paling gembira buat aku patut aku sambut dengan hati yang senang. Tapi... entahlah! Hati ni rasa macam tak nak terima sesiapa buat masa ini.
“Ayah mana, mak?” soalku saat aku tunduk menyalami belakang tangannya. Mataku terus melilau-lilau mencari kelibat ayah.
“Ada. Dekat kebun dia tu. Sekarang kan musim durian. Dia mestilah nak kutip durian. Bolehlah kau makan dengan tunang kau tu nanti,” balas mak sambil tersenyum penuh makna.
Erk! Mak aku ni! Belum apa-apa lagi sudah kata aku ada tunang. Mintak maaflah ya mak. Tunggu Iman kata setuju dulu, baru boleh mengaku Iman ada tunang.
“Hmm... yalah.” Aku hanya membalas ringkas. Malas mahu melawan cakap mak lagi. Nanti tak pasal-pasal dosa aku bertambah.
“Pergilah solat sekarang. Lepas tu, kamu bersiaplah ya. Kejap lagi dia on the way nak jumpa kamu.”
Aku dah tercengang apabila mak cakap macam itu. Apa pula maksud mak ni?
“Tadi mak telefon dia, kata yang kamu dah balik ke sini. Lepas tu, dia cakap dia nak datang hari ni pulak. Dia tak sabarlah tu nak jumpa kamu,” jelas mak bagaikan mengerti apa yang bermain dalam mindaku.
Erk! Lagi sekali aku rasa nak pengsan. What? Like, seriously? Aku tak bersedia lagi ni. Dahlah aku baru balik ke sini. Kut ya pun, bagilah aku peluang nak berehat! Hatiku meronta-ronta penuh geram.
“Hesy! Orang tu tak menyempat-nyempatlah. Esok-esok tak boleh ke?” Aku dah terasa nak marah.
“Kau ni... tak baiklah. Kalau dengar dek dia, kecil hati dia. Orang datang tu dengan niat baik. Kau tu patut bersyukur tau sebab ada jugak nakkan orang yang dah tak laku macam kau ni.”
“Mak!” Aku sudah terjerit kecil. Aku dikatanya tak laku? Hei, ramai okey yang nakkan aku. Aku saja yang jual mahal.
Mak pula hanya tergelak. “Sudah, sudah. Cepat pergi tunaikan kewajipan.”
Nak membidas, mak dah tolak-tolak badan aku masuk bilik air. Yalah, lawan cakap dengan mak memang tak boleh menang. Terpaksalah aku mengaku kalah.
Aku terus mengambil wuduk, kemudian solat asar. Usai solat, aku memanjatkan doa kepada Ilahi agar diampunkan segala dosaku, kedua-dua ibu bapaku dan umat-umat Islam seluruhnya. Belum sempat aku mahu menghabiskan doa, terdengar suara mak memanggil namaku.
“Iman! Dia dah datang tu. Cepatlah keluar!”
Aduh, tak menyempat-nyempat betullah orang tu. Nasib baiklah aku dah habis solat. Tiba-tiba timbul idea nakal dalam minda. Teringin pula nak buat dia tertunggu-tunggu. Konon aku solat lamalah kan. Biar dia rasa sendiri. Siapa suruh datang cepat sangat? Gelojoh!
Selepas aku melipat telekung, aku terus membaringkan diri di atas katil. Hmm... Nasiblah kalau aku terlelap. Baru sahaja aku mahu lena, suara mak memekak lagi sehingga tembus masuk ke dalam bilikku. Ni pasti sebab geram dengan aku. Hahaha... Aku dah gelak sakan dalam hati sebab puas dapat kenakan mereka berdua.
Lantas, aku tekapkan telinga pada pintu bilikku. Sengaja mahu dengar apalah taktik mak mahu menenangkan ‘bakal suamiku’. Erk! Serius nak muntah bila dengar perkataan tu!
“Err... Nak sabarlah ya. Tak lama lagi keluarlah si Iman tu. Iman tu tengah mekap kut. Yalah, nak jumpa dengan kamu kan. Mestilah dia nak lawa-lawa bila jumpa dengan bakal suami.”
Aku dah tertunduk-tunduk sambil menekan perut akibat cuba menahan gelak. Adoilah mak aku... Entah apalah punya alasan. Kalau kasi alasan yang logik sikit, aku bolehlah terima. Tapi, ini juga alasan yang emak aku beri. Memang kalau hari-hari macam ni, boleh miring kepala otak aku.
Kerana kesiankan mak, akhirnya aku mengalah juga. Perlahan-lahan, aku keluar dari bilik. Teringin juga mahu melihat bagaimana rupa si dia yang meminangku.
“Hah, dah keluar pun anak dara acik ni.” Mak bersuara dan serentak itu jugalah si dia turut sama memandang ku.
Mataku sudah bulat apabila memandang wajahnya. “Kau?!”

AKU sudah memegang kepala yang sudah terasa pening. Bila-bila masa saja aku boleh pengsan dekat sini. Tolonglah... Kenapa harus mamat ini juga yang meminangku? Huwargh... Serasa mahu menjerit saja aku di sini, tanda betul-betul tidak dapat menerima semua ini!
“Iman, aku tau kau terkejut. Tapi, aku serius nak memperisterikan kau.” Dia aka Rieyzal merangkap ex-boyfriendku dulu bersuara.
“Kau dah gila hape? Siapa yang nak bersuamikan orang yang selekeh macam kau ni?” jeritku kuat. Bukannya sengaja, namun ia terkeluar secara spontan dari mulutku. Nasiblah kalau terasa.
“Aku sedar, aku ni tak adalah handsome mana. Tak layak nak bergandingan dengan perempuan secantik kau...” Suaranya sudah bertukar menjadi lirih.
Aku terasa lidahku kelu. Tak tahu nak balas apa. Aku masih lagi terkejut dengan berita peminangannya.
“Iman, sudi tak kalau kau jadi isteri aku? Aku janji, aku akan jaga kau dengan baik. Aku tak akan sia-siakan kau. Percayalah,” yakinnya.
Namun, aku menggelengkan kepala. Cukup untuk mematikan semangatnya.
“Rieyzal, kalau dulu dengan begitu mudah kau meminta putus daripada aku, masa kita kahwin apatah lagi! Mana tahu kalau kau dengan begitu senangnya menceraikan aku?” Aku membalas dengan nada sinis. Sengaja sebenarnya, sebab ini sajalah satu-satunya alasan untuk aku menolak pinangannya.
“Dulu tu lain, Iman. Sekarang ni aku dah dapat berfikir secara matang. Insya-Allah, aku tak akan lukakan kau lagi. Aku akan terima kau seadanya,” ujar dia dengan bersungguh-sungguh. Kelihatan amat berharap agar aku sudi menjadi isterinya.
Aku pula mula rasa dunia ini hendak terbalik. Sekejap Dato’ Ghani yang terlebih gatal itu. Kali ini, aku terpaksa pula berhadapan dengan bekas teman lelakiku ini. Dia orang ni, dah macam tak ada perempuan lain pula di dunia ni. Apalah yang ada dekat aku? Memanglah aku ni termasuk dalam golongan perempuan cantik (tolong jangan muntah), tapi aku rasa bukan aku seorang saja. Ramai lagi bunga yang lagi cun-melecun dekat luar.
“Aku mintak maaf, Rieyzal. Aku tak dapat nak terima kau sebab aku dah pun anggap kau sebagai kawan aku. Mungkin kita boleh berkawan macam dulu?” Aku cuba mengukir senyuman manis walhal aku tahu itu bagaikan senyuman yang plastik.
“Tapi, aku cintakan kau Iman. Tindakan bodoh aku dulu tu memakan diri aku sendiri. Aku menyesal, Iman. Aku menyesal... Please, bagi aku peluang untuk memperbaiki diri aku,” ujar Rieyzal lagi.
Kali ini, dia cuba memegang tanganku namun aku pantas mengelak. Tidak rela diri dipegang orang yang bukan mahramku.
“Aku cakap, aku tak nak tu tak naklah! Kenapa susah sangat nak faham cakap aku ni?” Rasa nak mengamuk pun ada juga.
Sudah berkali-kali aku tolak, tapi dia nak juga memaksa aku. Tension aku tau tak! Entah bagaimanalah aku hendak meyakinkan si Rieyzal ni, aku pun sudah naik fed-up.
“Kenapa Iman? Kenapa kau tak nak cinta aku? Kau patut bertuah tau sebab aku sanggup hantar rombongan meminang untuk kau. Kalau bukan aku, sudah tentu kau akan jadi andartu nanti.”
Kata-katanya itu benar-benar membuatkan aku rasa tercabar. Oh, dia ingat, aku ini tak ada orang nak ke?
“Woi, mangkuk! Kau ingat aku ni tak laku ke? Kau ingat aku ni tak ada boyfriend? Huh, silap besarlah. Untuk pengetahuan kau, boyfriend aku tulah yang akan hantar rombongan meminang untuk aku!” Aku balas sambil mengetap bibir.
Hmm... Agaknya aku memang orang yang suka cakap main lepas. Tapi siapa suruh dia kata kalau tak ada dia yang hantar rombongan meminang aku, aku akan jadi andartu? Melampau sungguh statement tu. Aku yakin dengan jodoh yang Allah berikan. Tak hari ni, mana tahu minggu ni ke, tahun depan ke datang jodoh aku? Kita sebagai manusia mana tahu perancangan Allah. Tup-tup, esok lusa dah sampai!
Rieyzal sudah pun tersenyum sinis sambil berpeluk tubuh. “Aku nak jumpa dengan dia!”
Aku sudah terasa lidahku kelu. Siot! Kenapa semua orang tak percaya cakap aku? Muka aku ni ada tertulis yang aku tengah menipu ke? Mana taknya, bini-bini bos miang itu pun mahu berjumpa dengan boyfriendku. Kali ini... Lelaki ni pula?! Aduh, kalau hari-hari macam ini, boleh jadi gila kepala otak aku!
“Kau... kau tak percaya?” soalku dengan berani. Matanya aku tentang dengan tajam bagaikan pedang.
“Sebab aku tak percayalah, aku nak jumpa dengan teman lelaki kau Kenapa? Kau takut ke sebab kau tengah cakap tipu sekarang?”
Rieyzal seolah-olah mahu menyindirku, buat aku rasa mahu bagi dia penyepak. Perasan bagus! Menyampah aku dibuatnya.
“Okey! Kau ingat, aku takut sangatlah? Aku akan tunjukkan dekat kau yang aku memang ada boyfriend!” Serentak itu, aku terus masuk ke dalam rumah bersama rengusan yang kasar.
Aku akan buktikan dekat kau, Rieyzal. Wafiyyah Iman ni masih ada yang mahu!

Suamiku Pembuli Cinta - Bab 4

Bab 4
KEESOKAN paginya, aku ke pejabat dengan lemah dan tidak bermaya. Ramai juga staf-staf yang prihatin dengan aku, malah Mak Cik Jenab tukang cuci dekat situ pun siap bertanya kepada aku, aku ini sihat ataupun tidak. Heh, tak sangka ramai pula yang terlebih baik dengan aku hari ini!
“Wafi...”
Hah, tu dia. Dah mai dah... “Ya, bos?”
“Saya dengar awak tak sihat. Awak okey ke? Nak saya hantar awak ke klinik?” tanya dia sambil cuba melekapkan tangannya ke dahiku namun aku pantas mengelak.
Poyo giler Dato’ Ghani ni! Sesuka hati saja nak sentuh-sentuh anak dara orang. Banyak cantik muka kau!
“Eh, tak payahlah bos. Saya okey, sihat walafiat lagi,” jawab aku sambil tersenyum sinis ke arahnya.
“Betul? Kalau awak nak... Saya hantarkan awak pergi klinik ya,” ujar Dato’ Ghani lagi.
Aku hanya mengangguk perlahan. Dalam hati, aku sudah berharap agar dia pergilah cepat-cepat. Nanti kalau aku tak dapat kawal tangan aku daripada melempang muka dia, habislah aku. Silap hari bulan, bukan saja tak nak pinang aku, pandang pun tak nak. Eh, bukan itu yang aku nak ke selama ni?
“Ermm... Wafi, malam ni Wafi free tak?”
“Tak. Saya sibuk malam ni,” jawab aku laju.
Tu mesti nak ajak aku dinnerlah tu. Dah tahu sangat dah dengan taktik lelaki nak mengurat. Heh, ya ke? Bukan sebab Irsyad yang ajar?
“Hmm... Kalau macam tu, kita makan lunch sama-sama tengah hari ni ya?”
Erk! Aku dah terkedu. Baru sahaja aku ingin membuka mulut untuk menolak pelawaannya, dia sudah memotong.
“Awak dah janji, kan?”
Ciskek betul mamat gatal ni! Itu sengaja nak kenakan aku hape?
“Eh, saya nak join lunch kau orang, boleh?” Seseorang sudah menyampuk perbualan kami.
Pantas aku menoleh. Alamak, Irsyad! Dia buat apa pula dekat sini? Serius, aku tak tahu pun yang dia ada di pejabat bos miang ni dari tadi. Mengingatkan kejadian empat hari lepas, benar-benar buat aku rasa malu. Untuk berhadapan dengan dia apatah lagi!
“Err...” Dato’ Ghani macam serba salah pula nak bersetuju.
Memikirkan inilah peluangnya untuk mengelak daripada berdua-duaan dengan Dato’ Ghani, pantas aku berkata. “Eh, elok sangatlah tu. Kan bos?”
“Err... Betul jugak. Bolehlah kita berbincang pasal projek kita,” ujar Dato’ Ghani dalam nada yang terpaksa.
Dalam diam, senyuman sudah terukir pada bibir aku. Yes! Tak dapatlah kau nak makan sama-sama dengan aku. Hahaha. Aku lebih rela menanggung malu daripada makan dengan Dato’ Ghani.

“WAFI, tambahlah lagi. Sedap tau lauk ketam ni,” ujar Dato’ Ghani sambil meletakkan isi ketam ke pingganku.
Aku sudah mengerutkan dahi tanda aku tidak sanggup hendak menerimanya. Namun, belum apa pun yang berlaku, tangan Irsyad selamba mengambil isi ketam itu dari pingganku. Pantas aku menoleh ke arah lelaki itu. Irsyad senyum sahaja, tapi aku tak mampu nak balas. Entah kenapa!
“Iman tak boleh makan seafoods.” Tiba-tiba Irsyad berkata sebegitu.
Oh, sorry, Wafi. I don’t know...” ujar bos miang itu dengan riak serba salah.
Namun, aku sudah tidak pedulikan bos miang itu. Apa yang buat aku pelik, Irsyad tahu seafoods itu alahan aku. Takkanlah... dia betul-betul stalker aku?
“Hmm... Makanan dekat sini sedap-sedap. Kan, Iman?” Irsyad memandangku sambil tersenyum.
“Hah? Err... Betul tu.” Aku pantas menyokong kata-kata Irsyad.
Walau bagaimanapun, persoalan dalam minda masih tidak berhenti di situ saja. Irsyad yang aku kira sungguh misteri itu tidak dapat kurungkai dengan mudah. Nampaknya aku perlu mengenali dia dengan lebih rapat.

LAMUNANKU terhenti saat telefon bimbitku berbunyi nyaring. Bila aku tengok skrin, rupa-rupanya mak yang menelefon. Apa khabar agaknya wanita itu sekarang? Sudah berbulan-bulan aku tidak melihat wajahnya kerana aku selalu sibuk. Mungkin kalau aku ‘ayat’ bos miang itu lebih sikit, dapatlah kut cuti sebulan!
“Assalamualaikum, mak.”
“Waalaikumussalam. Kau tengah kerja ke sekarang ni?” soal mak.
Aku pula sudah mengerutkan kening. Mak aku ni sihat ke tak? Bukannya mak aku tak tahu yang aku bekerja sampai petang. “Kenapa ni, mak?”
“Ni ha... Ada orang pinang kau.”
Pergh! Direct giler mak aku ni! Kalau cakap tu berkias-kias sikit tak boleh ke? Aku akui, bukannya sekali aku dipinang, malah banyak kali. Bercakap tentang hal ini, jangan-jangan... Bos miang tu tak?! Eh, tak mungkinlah. Bukan ke dia tengah ada di pejabat sekarang. Jadi, amat mustahil untuk dia lakukannya. Tapi boleh saja kan kalau dia hantar wakil?
“Mak...”
“Ni mesti nak tolak lagi, kan? Jangan haraplah kau dapat tolak lagi pinangan kali ni. Kau tahu tak, dah banyak kali kau tolak pinangan orang. Kau ni dah tak teringin ke nak merasa alam perkahwinan? Tak nak ada anak ke?”
Mak sudah mula membebel. Terpaksa juga aku tadahkan telinga aku ini.
“Memanglah Iman nak rasa semua tu, mak. Tapi... Iman pun tak kenal siapa yang meminang tu. Macam mana nak bahagia kalau tak ada rasa cinta?” bidasku berani.
“Alah... Cinta kan boleh berputik dengan sendiri.” Mak aku jawab selamba.
Ewah! Sejak bila mak aku pandai main ayat bunga-bunga ni weh? Gaya dah expert dah mak aku ni!
“Kau cuba kenal dulu. Mana tahu kalau tersangkut ke dengan budak yang meminang tu. Esok, dia nak datang rumah. Kau cubalah mintak cuti dekat bos kau. Ya, Man?”
Aku sudah menggaru kepala yang tidak gatal. Aduh, masalah betul! “Tapi, Iman...”
“Boleh ya, Man?” Suara mak kedengaran seperti berharap.
“Hmm... Yalah, mak. Iman cuba usaha. Okey, assalamualaikum.” Selepas talian diputus, aku meletakkan telefon bimbit di mejaku. Keluhan berat sudah keluar dari mulutku. Entah kenapa aku terasa berat hati ketika ini.
“Kenapa, Iman?” Seseorang menanyakan kepadaku.
Aku pantas mengangkat wajah. Tidak tahulah aku patut membuka hal ini kepada lelaki yang sering mengambil berat tentangku.
“Tak ada apa-apa,” balasku dengan nada mendatar.
Irsyad duduk bersila di hadapanku. Terkejut aku apabila melihatnya. “Ceritalah... Kalau you tak nak cerita dekat I, I duduk bersila depan you sampai esok.”
Erk... Tak sangka lelaki ini pun pandai mengugut juga. Nampaknya, terpaksalah aku menceritakan segala-galanya. Habis sahaja aku bercerita, kening lelaki itu kulihat sudah terangkat.
“Kenapa you nak tolak pula? Zaman sekarang ni, susah nak dapat jodoh tau. You kira bertuah sebab ramai nakkan you.”
Aku hanya menggeleng perlahan. “Hati saya tak terbuka lagi untuk berkahwin.”
“Kalau macam tu, I akan bukakan hati you untuk berkahwin.”
Aku sedikit tergamam. Ada maknakah di sebalik kata-kata lelaki misteri ini? Namun aku malas mahu berfikir dengan lebih lanjut. “Err... Awak boleh bangun sekarang. Nanti staf-staf lain nampak, dia orang sangka yang bukan-bukan pula.”
“Biarlah. I lebih suka kalau macam tu,” kata Irsyad selamba lalu bangun.
Pardon?” Kening kuangkat. Biar betul mamat ni?
Lelaki itu kulihat hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala.
Nothing. Okeylah, I nak balik ke pejabat I dulu. Tentang pinangan tu, you fikirlah elok-elok ya.”
Mendengar kata-katanya, aku jadi tertanya-tanya sendiri. Adakah dia tidak kisah jikalau ada orang hendak meminangku? Perasaannya tidak terusik hatta satu zarah sekalipun ke? Ah... Apa kena pula dengan aku ni? Jangan kata aku dah mula jatuh cinta sudahlah! Lagipun, lelaki itu berpangkat tinggi. Tak mungkin dia nak pandang perempuan biasa-biasa macam aku ni. Memang jauh daripada realitilah...
Tidak pedulikan persoalan itu, aku terus bangkit untuk menuju ke pejabat Dato’ Ghani. Walaupun seboleh-bolehnya aku tidak ingin berjumpa dengan bosku itu, namun aku terpaksa juga. Yalah, demi mak apa saja aku sanggup buat!
Perlahan pintu diketuk dan kedengaran suaranya melaung menyuruh aku masuk. Pantas aku masuk ke dalam bilik itu. Kalau cepatlah tugasku, cepatlah habis kerjaku. Tidak perlulah aku menghadap muka Dato’ Ghani lama-lama.
“Oh, Wafi! Ada apa Wafi datang ni? Tak pernah-pernah nak masuk pejabat saya petang macam ni?” soal Dato’ Ghani sambil tersenyum-senyum ke arahku.
Aku mengetap bibir perlahan. Aku tahu dia perli aku ketika ini sebab dia memang dah lama tahu aku cuba nak mengelak daripada berjumpa dengan dia. Tapi, nak buat macam mana kalau dah tiap-tiap hari harus berjumpa? Kalau boleh, mahu saja aku memohon kerja sebagai kerani di syarikat ini. Aku lebih rela, asalkan tidak perlu bekerja sebagai pembantu peribadi bos miang ini!
“Wafi! Hei, sempat lagi termenung. Saya cium awak, baru nak sedar kut,” usiknya dengan nada gatal.
Erk! Jangan dibuat main kata-kata bos miang ini. Silap hari bulan, dia betul-betul cium aku pula. Euuwww... Serius tak sanggup nak hadapi!
“Err... Yang sebenarnya, saya nak mintak cuti dekat bos sehari dua. Boleh tak?” tanyaku terus memandangkan aku rasa takut pula jikalau dia melamar aku di sini.
“Cuti? Buat apa?” soal Dato’ Ghani dengan dahi yang berkerut seribu.
“Err...” Aku tak tahu nak cakap apa. Takkan aku nak cakap balik kampung sebab ada orang pinang aku? Kalau aku cakap, aku takut dia tak nak lepaskan aku pula. Huih... Gilalah tu namanya!
Dia masih setia menanti jawapanku. Aku perasan, matanya dari tadi asyik meratah setiap inci tubuhku. Ingin sahaja aku mencungkil biji matanya, biar buta untuk selamanya!
“Saya... Err... Saja nak berehat. Lagipun bukannya lama mana pun saya cuti ni.” Aku jawab secara spontan.
Really?”
“Lagipun kan bos... Saya ni kan jarang mintak cuti daripada bos. Jadi saya rasa tak salah kalau sekali ni aje saya mintak cuti daripada bos.” Aku jawab main taram. Ah, lantaklah! Yang penting, aku perlu juga meminta cuti daripadanya. Harap-harap luluslah cuti aku ini.
“Hmm... Okey. Awak boleh ambil borang cuti ni, tapi...”
Aku yang baru sahaja hendak bergembira, terus jadi berdebar bila ada perkataan ‘tapi’ di hujung ayat. Hadoih... Ada apa lagi ni? Jangan nak suruh aku teman dia makan lagi sudahlah. Tak larat dah ni!
“Saya nak jumpa mak dan ayah awak. Manalah tahu boleh berkenal-kenalan ke. Mungkin dia orang pun berkenan nak jadikan saya sebagai menantu dia orang,” kata Dato’ Ghani sambil mengenyitkan matanya ke arahku.
Terasa hendak berhenti jantungku apabila mendengar perkataan ‘menantu’ yang muncul dari bibirnya. Ah, sudah. Dia dah mula nak suarakan hasrat hatinya nak jadikan aku sebagai isterinya. Aku sudah gelisah. Aduhai... Nak jawab apa ni? Kalau ikutkan, memang dah lama aku tolak mentah-mentah. Tapi, dia bos aku. Kalau aku jawab main ikut suka aku, tak pasal-pasal pula aku dipecat.
“Wafi...? Wafi sayang...?” panggil dia.
Sekali lagi aku rasa darahku kering kerana disedut oleh lelaki yang sudah berumur itu. Siot! Sesuka hati saja panggil aku sayang. Hanya suami aku saja yang boleh panggil aku sayang tau! Aku sudah ketap bibir geram. Kalau boleh, mahu sahaja aku menghadiahkan Dato’ Ghani penumbuk sulungku.
“Terus teranglah saya cakap, saya tak suka dengan layanan yang bos beri pada saya.”
Akhirnya, aku meluah apa yang terbuku dalam hatiku. Lantaklah dia mahu kata apa, aku sudah tidak mahu fikir apa-apa lagi. Yang penting, aku sudah terasa rimas. Rimas dengan layanan mesra yang diberikan oleh dia.
“Kenapa? Wafi tak suka ke?” tanya Dato’ Ghani sambil mengangkat kening tiga kali.
“Ya, saya memang tak suka. And one more thing, please don’t call me Wafi or sayang! Saya rimaslah!” ujarku lagi.
“Kenapa? Saya suka awak Wafi. Tempoh hari wife-wife saya datang jumpa awak, kan? Dan saya rasa awak pun dah tahu niat saya nak memperisterikan awak,” balas Dato’ Ghani lagi.
Ah, sudah! Bala sudah datang! Serius aku rasa macam nak pengsan saat ini. Setelah puas cuba mengelak daripada bercakap soal hati, akhirnya Dato’ Ghani meluahkan apa yang dia mahu. Siot! Kalaulah aku tak luahkan apa yang aku pendamkan, pasti hal ini tidak akan dibangkitkan!
“Maaflah, bos. Saya tak dapat terima bos. Lagipun, saya dah ada boyfriend. Dia dah pun pinang saya. Tak lama lagi kami nak bertunang.” Entah dari manalah idea ini muncul, aku sendiri tidak tahu. Sedar-sedar saja, mulut aku main cakap lepas tanpa mengikut apa kata otak.
“Jadi, memang betullah awak dah ada boyfriend?”
“Kalau betul pun, kenapa?” Aku menyoal dengan nada hairan. Bos aku ni, macam ragu-ragu saja dengan aku?
“Saya ingatkan awak belum berpunya. Nampaknya memang betullah wife-wife saya tak menipu. Hmm... Jadi, pinangan boyfriend awak tu... awak terimalah ya?”
Aku mengangguk perlahan. Aku tahu dia tidak puas hati. Namun, hendak buat bagaimana? Aku sudah pun menganggap dia sebagai bapaku, tidak mungkin aku boleh menjadi isteri ketiganya!
“Kalau boyfriend awak kerja hebat-hebat, saya janji saya tak akan ganggu awak lagi,” janjinya.
Mata aku sudah bersinar riang. Yes! Inilah saat yang aku tunggu! Tetapi, apa yang membuatku runsing, aku tidak tahu siapa yang meminangku itu. Jadi, apa patut kujawab dengan bos miang ini?
Dalam sibuk memikir, serta-merta aku teringatkan Irsyad. Ah, dia kan bos syarikat Garuda Holdings. Pasti gajinya mencecah berpuluh ribu ringgit. Aku yakin itu!
“Dia... dia pengarah syarikat Garuda Holdings,” ujarku sedikit teragak-agak sambil mengukir senyuman sinis.
“Apa? Encik Irsyad? Yang kita bekerjasama tu?” soal Dato’ Ghani dengan nada tidak percaya.
Aku hanya mengangguk berkali-kali. Cuba meyakinkannya. Bulan ini, sudah berapa orang aku tipu. Hmm... Nampaknya, makin bertambahlah dosa aku. Nasib, nasib...
“Kenapa Encik Irsyad tak pernah bagi tahu saya?” soalnya dengan renungan tajam.
Uh-oh... Janganlah dia dapat tahu yang aku tengah menipu sekarang.
“Dia tak suka hal peribadi diheboh-hebohkan. Tapi saya terpaksalah dedahkan dekat bos yang saya akan kahwin. Kan naya kalau saya kena kahwin dengan dua orang lelaki. Betul tak?” Pantas aku kelentong lagi Dato’ Ghani.
Hati sedikit lega apabila melihat kepalanya sedikit terangguk-angguk walaupun jelas muka itu menunjukkan riak kecewa.
“Oh, tahniah ya. Kalau ada jemputan ke, jemputlah saya dan isteri-isteri saya.” Dia berkata pasrah.
Alhamdulillah. Akhirnya, Dato’ Ghani mengalah juga. Namun, rasa lega ini berhenti secara begitu sahaja apabila mendengar kata-katanya itu. Jemputan? Jemputan ke majlis perkahwinan akukah?
“Terima kasih, bos.” Aku terus berlalu dari situ.
Dalam hati, sudah berbakul-bakul rasa menyesal kerana aku suka cakap main lepas. Benarlah kata orang, terlajak perahu boleh diundur, namun terlajak kata buruk padahnya!

Suamiku Pembuli Cinta - Bab 3

Bab 3
SEPERTI yang kami janjikan, aku membawa Irsyad berjumpa dengan bini-bini Dato’ Ghani. Mereka hanya berpakaian ringkas dan santai, tidak seperti sewaktu mereka menyerangku di pejabat tempoh hari.
“Err... Perkenalkan, ini Irsyad, boyfriend saya.” Aku bersuara ala kadar.
Nice meeting you,” ujar Marsha dan Sahira serentak.
Marsha terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk bersalam.
Baru sahaja Irsyad mahu menyambutnya, aku dah tolak tangan Marsha ke tepi. Err... Sebenarnya, aku tak sengaja hendak berbuat sedemikian. Entahlah. Tangan aku secara spontan bergerak laju pula.
Aku perasan, Irsyad sudah tersenyum-senyum. Aduh! Pasti dia menyangka aku sedang cemburu sekarang.
“Oh, inilah boyfriend you ya? Nampaknya you betul-betul cakap jujur,” ujar Sahira sambil merenung tajam ke arah Irsyad.
Ya, aku memang jujur orangnya, tapi in bracquetlah, desisku dalam hati. Kalau mereka tahu aku sedang menipu, pasti mereka akan menyembelih leher aku nanti. Oh, tidak sanggup aku mahu membayangkannya.
“Eh, handsomenya boyfriend you. Apa kata, kalau kita tukar nak? You ambil laki I, I ambil boyfriend you?” Marsha pula bersuara selamba.
Bulat seketika mata aku. Boleh pula macam tu?
“Marsha...” Sahira bersuara dengan nada yang keras.
Okay, okay... Just kidding. You tak marah, kan?” Marsha sengaja menyoalku dengan soalan sebegitu.
“Oh, tak, tak...” Aku menjawab sambil berpura-pura tersenyum ikhlas. Sungguhpun aku jawab begitu, tak tahu kenapa hati aku mula rasa sesuatu. Sesuatu yang aku memang tak jangka pun akan muncul.
“Hah, alang-alang kita dah ada bersama-sama ni, apa kata kita pergi makan? Nak?” Tiba-tiba Marsha mengeluarkan cadangan.
Sengajalah tu? Heh, macamlah aku tak tahu taktik dia nak bersama Irsyad dengan lebih lama.
“Oh, boleh jugak. Perut I pun dah berbunyi dah ni. You all, boleh tak teman kami sama?” soal Sahira sambil memandang aku dan Irsyad.
Spontan, aku dan Irsyad saling memandang.
“Sayang nak ke ikut? Kalau nak, abang on aje.”
Rasa nak pengsan bila Irsyad memanggilku sayang dan membahasakan dirinya sebagai abang. Ya Allah! Serius nak pengsan ni weh.
“Sayang... Are you okay?”
Lamunanku terhenti secara tiba-tiba. Pantas aku meraup wajah yang aku pasti sudah merah warnanya. “Err... Okey, okey. Kalau ab... aAbang tak kisah, jomlah ikut dia orang sama.”
Irsyad hanya mengangguk perlahan.
“Alahai, sweetnya couple ni.” Marsha bersuara sambil tersengih.
Aku hanya mendiamkan diri. Tapi muka aku dah merah habis dah. Aku lihat, Irsyad sudah pun tersenyum-senyum. Hei... Dia ni kan! Dari tadi asyik tersenyum saja, macam tak ada kerja lain pula nak buat.

SUNGGUH aku tidak selesa saat ini. Segala gerak-geriku terasa diperhatikan oleh Irsyad. Bila aku angkat wajah dan kerling sedikit di sebelah, memang sah dia tengah tengok wajah aku. Mulanya aku nak beri dia senyuman yang manis sebab dia sudi tolong aku, tapi... Entah kenapa jantung aku berdegup kencang sangat-sangat sampai tak boleh nak pandang muka dia. Akhirnya, aku tunduk sambil menikmati cheesy wedges yang berada di hadapanku.
So... Kau orang dah bercinta selama berapa tahun?” soal Sahira, bagaikan polis pula.
Aku dah bagaikan orang hilang akal. Tak tahu nak jawab dengan jawapan apa. Aduh... Kenapalah aku tidak menyediakan jawapan awal-awal bagi soalan yang akan diberikan oleh wanita ini?
“Hampir sebulan.”
Aku sudah terkedu. Pantas aku memandang Irsyad dan dia pula hanya mengenyitkan sebelah matanya ke arahku.
Oh, really?” Sahira pandang aku dengan pandangan yang jelas curiga.
Aku rasa peluh sudah menitik ke dahiku sehinggalah ke tepi pipiku. Gelisahnya aku ketika ini hanya Allah saja yang tahu.
“Sebenarnya, kami dah kenal beberapa tahun yang lalu. Cuma, baru sampai ke hari ni hubungan yang sedang kami bina menjadi lebih serius,” jawab Irsyad seolah-olah dia sudah hafal dengan skrip yang perlu disuarakannya.
Aku pula sudah tergamam tak tahu nak cakap apa. Sungguh, apa yang Irsyad cakapkan itu memang kedengaran sangat neutral. Tak nampak langsung kepura-puraan dalam nada suaranya. Kalau diupah menjadi pelakon, aku yakin memang dia akan jadi pelakon yang hebat.
“Oh...” Sahira menganggukkan kepalanya tanda faham.
Tiba-tiba, Irsyad mendekatkan sedikit bibirnya ke telingaku. Sambil menutup mulutnya, dia berbisik. “Iman, perempuan dekat depan I ni dari tadi tak habis-habis nak pandang I. I rimaslah!”
Erk! Aku sudah tersengih. Pasti dia maksudkan Marsha. Pada pemerhatianku, sudah semestinya Marsha amat berminat dengan Irsyad. Yalah, lelaki itu kan punya segalanya. Ada rupa, ada harta. Pendek katalah, satu pakej lengkap untuk dijadikan suami idaman para wanita.
“Awak tahan ajelah. Please... Tak lama pun. Demi saya okey.” Aku turut berbisik.
“Hmm... Yalah, demi you.”
Thank you sebab sudi memahami saya.”
Irsyad hanya tersenyum memandangku.
Sabar ajelah, Encik Irsyad. Marsha ni memang gatal sikit kalau awak nak tau. Ecewah, jahatnya mulut aku. Mengikut perhatianku, aku rasa Marsha dalam lingkungan 20-an. Hmm... Biasalah, taste orang tua macam Dato’ Ghani tu mestilah nak yang muda-muda kan.
“Yang kau orang dari tadi berbisik-bisik tu kenapa?” Sahira menyergah kami berdua.
Err... nothing,” jawab Irsyad bagi pihakku. Dia terus menolak pinggan ke hadapan sedikit memandangkan pinggannya sudah habis licin.
“Eh, dah sudah makan ke, Ir? Tak nak oder lain? Kalau you nak, I boleh oderkan untuk you. Hmm, nak oder I pun boleh.” Marsha sudah tersenyum gatal sambil mata masih tetap memandang Irsyad.
“Erk!” Irsyad dah tergamam.
Kalau reaksi dia dah macam itu, aku apatah lagi! Sesuka hati saja memanggil lelaki itu dengan panggilan Ir.
“Marsha...” Sahira memberi amaran sekali lagi. Kali ini, besertakan cubitan sekali di pinggang. Mungkin sudah tidak tahan lagi dengan Marsha yang sama gatal dengan suaminya.
“Auch! Sakitlah! I gurau ajelah. Itu pun nak ambil serius,” jeling Marsha.
Ewah... Gurau-gurau pun ada juga hadnya, Puan Marsha. Aku bersuara geram dalam hati.
Sorrylah ya, Irsyad. Dia ni memang macam ni. Over sikit,” ujar Sahira.
It’s okay,” balas Irsyad perlahan.
Sempat lagi dia pandang aku dengan pandangan kurang senang, namun aku hanya mampu mengangkat bahu. Dalam hati rasa serba salah pun ada juga kerana terpaksa melibatkan dia dalam hal ini.

AKU terhenyak lemah di atas sofa. Penat betul aku hari ini. Namun, aku bernasib baik kerana bini-bini Dato’ Ghani itu tidak mengesyaki apa-apa tentang hubungan aku dan Irsyad. Pantas, aku membuka televisyen untuk menonton drama.
“Eh, tadi kau pergi ke mana?” Alina yang duduk serumah menyertai aku menonton televisyen.
“Pergi jumpa bini-bini bos miang tulah,” jawab aku ringkas.
“Jadi, kau kena tumbuk tak dengan bini-bini bos miang tu? Aku tengok, muka kau elok aje...” Alina sempat membelek-belek mukaku untuk mencari kesan lebam, namun aku pantas menepis.
“Kau ni... Kenapa pulak bini-bini bos miang tu nak tumbuk aku?” soal aku dengan nada hairan.
“Yalah, dah dia orang tu kena tipu hidup-hidup dengan kau.”
Serentak itu, aku sudah tergelak kuat. Ni memang sah dia tak tahu siapa yang berpura-pura menjadi boyfriend aku. “Kau nak tahu, kan?”
“Eh... Mestilah nak,” jawab Alina bersungguh-sungguh.
“Hah, boleh. Tapi, dengan syarat. Kau kena belanja aku makan dulu, baru boleh bagi tau.” Sengaja aku menggunakan taktik kotor.
“Eii... Mana boleh macam tu!” Alina dah mula muncungkan bibir.
Aku gelak lagi sebab puas dapat kenakan Alina. “Eleh, gurau ajelah. Lelaki yang berpura-pura jadi boyfriend aku tu ialah orang yang akan bekerjasama dengan syarikat kita.”
“Hah?! Serius? Lelaki yang pagi tadi tu?”
“Hah, dialah. Kenapa?” soal aku. Pelik apabila melihat reaksi Alina yang sudah terkejut beruk. Pasti dia cemburu kerana aku berjaya mendapat lelaki yang berwajah tampan itu.
“Biar betul kau!”
“Hesy, betullah! Apa pulak yang tak betulnya? Yang kau ni, terkejut sangat kenapa?” soalku dalam nada hairan.
“Mana tak terkejut. Encik Irsyad tu pemilik syarikat Garuda Holdings!”
What?!” Kali ini, bukan sahaja Alina yang terkejut. Aku lagi terkejut berbanding dia
Siot betul. Arghhh... Kenapalah aku tak siasat dulu dari mana asalnya lelaki itu? Dato’ Ghani pun satu! Sewaktu perbincangan yang berlangsung di dalam bilik dia kelmarin, dia tak cakap apa-apa pula tentang Irsyad. Aduh... Kenapalah aku sangka Irsyad sekadar wakil syarikat saja? Hambek! Itulah balasannya kalau suka buat kerja tanpa usul periksa terlebih dahulu.
“Dan kalau kau nak tau, dialah orang yang hantar surat ringkas tu dekat kau. Hesy, padanlah aku macam pernah nampak dia,” omel Alina.
Aku tak mempedulikan omelan Alina. Pasal itu memang dah lama aku tahu. “Wei... Tolong cakap yang kau sedang bergurau sekarang ni!”
“Hoi! Nak buat apa aku nak bergurau dengan kau? Kalau dengan bergurau dapat duit RM1 juta tak apa jugak,” bidas Alina sambil menggelengkan kepalanya.
Aku pula sudah meraup wajah. Serta-merta terbayang dalam minda ketika aku main redah masuk ke dalam bilik mesyuarat pertama. Aku yakin, tentu dia ada sekali Iman, what have you done? Kau dah malukan diri kau sendiri! Kerana terdesak, lelaki itu juga yang harus berkorban. Pemilik syarikat yang gah pula tu!

Siot betul. Kalau aku tahulah tentang hal ini, serius aku tak nak suruh dia jadi boyfriend palsu aku!

Suamiku Pembuli Cinta - Bab 2

Bab 2
BANG!!!
Aku sudah tersentak apabila mejaku ditepuk kuat. Pantas aku mengangkat muka. Kelihatan dua orang wanita yang bergaya vogue sedang memandang tajam ke arahku. Masing-masing menayangkan wajah tegang sehingga staf-staf yang lain tak berani nak masuk campur!
Aku pula sudah mengerutkan dahi. Ni apa hal pula? Tiba-tiba datang, buat kecoh dekat sini. Apa kes?
Are you Wafiyyah Iman?” soal kedua-dua wanita itu serentak.
“Ya, saya. Cik berdua ni nak cari Dato’ ya?” tanya aku, cuba menjadi ramah. Walhal aku rasa macam nak cekik-cekik minah berdua ni sebab dari tadi tak habis-habis jeling aku.
“Minah kampung macam you ni yang husband I nak? So unbelievable!” ujar wanita yang bergincu merah itu.
Mengikut pemerhatianku, umurnya mungkin dalam awal 30-an. Matanya dijeling ke atas tanda meluat ya amat bila tengok muka aku. Makin menjadi-jadi kerutan di dahiku akibat tak puas hati. Wei, beragak sikit penghinaan kau! Sekampung-kampung aku, masih ada lagi yang nak, okey! Tapi itu sekadar terlepas dalam hati sajalah. Nak mampuslah kalau cakap kuat-kuat.
Kemudian, dengan muka yang sangat hipokrit aku membalas, “Err... Saya tak faham.”
“Suami I nak you jadi isteri dia!”
“Hah?!” Aku sudah terjerit kecil.
“Da... Dato’ tu?” soalku tidak percaya. Jadi, di hadapanku ini ialah bini-bini Dato’ Ghanilah ni?
Yes, your boss!” ujar pula wanita yang bermaskara tebal.
Hah, elok sangatlah tu. Gandingan yang sangat serasi. Satu bergincu tebal, satu lagi bermaskara tebal. Teruk betul!
“Eh, tak naklah saya,” ujarku serta-merta.
Gila apa nak kahwin dengan bos yang terlebih gatal tu? Euuwww! Lagi baik aku kahwin dengan pengemis dekat tepi jalan daripada kahwin dengan Dato’ Ghani tu.
“Hah? Kenapa pulak?” soal wanita bergincu tebal itu pelik.
“Err... Sebab...” Aku tergaru-garu kepala sendiri. Takkan nak cakap suami dia orang tu gatal nak mampus kut? Silap hari bulan, aku juga yang duduk dekat hospital sebulan!
“Sebab apa?” soal pula wanita yang bermaskara tebal itu.
Aduh, minah-minah ni. Janganlah desak aku. Sabarlah sekejap, bagi aku cari jawapan yang bernas ni.
“Sebab saya... Hah! Sebab saya dah ada boyfriend,” ujarku spontan.
Sudah! Sekali lagi jawapan yang memang nak cari nahas keluar dari mulut aku. Adoi... Wafiyyah Iman, kau memang suka cari masalah, kan?
Oh, really?” Wanita bermaskara tebal itu kulihat terdiam seketika.
Huh, agaknya jawapan yang spontan itu berjaya membuatkan minah di depanku tergamam buat beberapa saat. Nasib baik mereka ini profesional sedikit. Jikalau dalam drama atau novel, memang aku dah lama kena tarik rambut!
Weird... Lelaki kepala botak tu cakap you ni tak ada boyfriend,” ujar wanita yang bergincu tebal itu pula.
Hampir-hampir sahaja aku mahu tergelak apabila mendengar panggilan yang diberikan wanita bergincu tebal itu. Sengal! Dia pun dua kali lima dengan aku. Suka panggil bos miang tu lelaki berkepala botak!
“Ha’ahlah. Eh, minah kampung. Kalau you bawak boyfriend you, baru kami akan percaya.”
Aku yang tadi tersenyum-senyum mula berubah riak. Ah, sudah. Itulah padahnya jikalau cakap main lepas saja. Ni, mana nak cari lelaki merangkap boyfriend aku? Huwaaa... Apa yang patut aku buat? Na ottoke?
“Err... Bila ya?” tanya aku untuk meminta kepastian.
Manalah tahu kalau nak jumpa bulan depan ke, dapatlah aku suruh adik aku menyamar jadi boyfriend aku. Huhuhu... Bagus punya idea!
“Esok petang. Di Tasik Titiwangsa.”
Jantung aku rasa macam nak berhenti. Mampus! Adik aku mana balik esok? Dia cuti masa cuti pertengahan tiba memandangkan dia belajar di universiti di luar negara. Adoilah... Masalah, masalah!
“Okey! Confirm saya bawak dia esok,” ujarku. Tapi rasa macam nak tampar-tampar saja mulutku kerana main cakap lepas lagi.
“Baiklah. Kalau you tak bawak dia esok dan kami dapat tahu yang you menipu...” Dengan jelingan yang tajam mengalahkan pedang, kedua-dua wanita itu membuat aksi seolah-olah mahu menyembelih leher aku.
Bagus Wafiyyah Iman. Kau sudah menempah bala yang sangat besar!
By the way, nama I Sahira, isteri pertama Dato’ Ghani. Dan ini pula Marsha, isteri nombor dua. Please remember our name, okay?” ujar wanita yang bergincu tebal itu.
Aku hanya menganggukkan kepala dengan wajah yang sudah berubah menjadi pucat.
Selepas kedua-dua wanita itu beredar dari situ, Alina terus menerpa ke arahku. “Weh, siapa dia orang tu?”
Aduhai! Takkanlah Alina pun tak tahu bagaimana rupa bini-bini bos miang tu? Lainlah macam aku ni. Baru masuk kerja dua tahun yang lepas dan sepanjang tempoh itu jugalah aku tidak pernah tahu-menahu bagaimana rupa bini-bini Dato’ Ghani itu.
“Kau tak tahu ke? Itu bini-bini boslah!”
“Aku dah agak!” Alina terjerit kecil. “Yang bos tu pulak pergi mana? Takkanlah dia tak tahu yang bini-bini dia datang?”
“Tak silap aku, dia dah keluar dengan klien-klien dia tengah hari tadi,” jawab aku pula.
“Apa tujuan dia orang nak serang kau?” soal Alina lagi.
“Hah... Kalau kau nak tau, bos miang yang terlebih gatal tu nak jadikan aku isteri nombor tiga dia!”
Tiba-tiba Alina tergelak besar.
“Hoi, kau kenapa gelak?” soal aku tak puas hati.
“Masin betul mulut aku.” Alina gelak lagi. Mungkin tidak menyangka bahawa kata-katanya akan menjadi benar suatu hari nanti.
“Cik Alina Mohd Firdaus!” panggilku dengan nada tegas.
Yes, ma’am.” Terus Alina berhenti gelak, tapi senyuman di bibirnya masih tidak hilang.
Aku ketap bibir geram. Siot! “Memang betul yang bos miang tu nak aku jadi isteri nombor tiga dia. Tapi, aku cakap aku dah ada boyfriend...”
“Eh, setahu aku kau masih single-mingle lagi. Macam mana pulak kau dah ada boyfriend ni?” Alina sudah memotong percakapanku.
Geram punya pasal, aku cubit pinggang dia kuat.
“Adoi! Sakitlah!” Pantas Alina menggosok tempat aku cubit tadi.
“Lain kali, jangan potong apa yang aku nak cakap,” ujarku sambil menjelingnya.
“Hesy, yalah...” Dengan mulut memuncung, Alina mengalah.
Aku sengih dan kembali menyambung percakapanku. “Disebabkan dia orang tak percaya, dia orang nak aku tunjuk boyfriend aku tu dekat dia orang. Masalahnya aku tengah tipu dia orang. Macam mana aku nak tunjuk?”
“Ha... Tulah kau. Lain kali cakap tu biarlah jujur.”
Hangguk kau! Aku tak nak jadi third wife bos tu.” Aku balas sambil mengetap bibir.
Aduh, yang bini-bini bos miang ni pun satu! Kalau dia orang tak suruh aku tunjuk boyfriend aku, pasti aku tak akan bersusah payah memikirkan jalan penyelesaiannya.
“Habis tu, macam mana?” soal Alina.
Aku cuma mengetap bibir. “Itu yang buat aku runsing ni. Takkanlah kau tak ada abang?”
Alina hanya menggeleng perlahan. “Wei, dalam famili aku, semuanya perempuan. Tak ada lelaki langsung. Kecuali ayah akulah. Ke... Kau nak ayah aku jadi boyfriend kau? Memamg taklah kan. Hahaha...” Ketawa Alina lepas.
“Agak-agaklah, wei.” Aku menolak bahu Alina. “Nanti tak pasal-pasal kau jadi anak tiri aku.”
“Eh, ya tak ya jugak. Eeii... Tak naklah kau jadi mak tiri aku. Tak pasal-pasal nanti kau buli aku pulak.” Sekali lagi Alina ketawa tak henti-henti.
Aku menepuk dahi. Apa ke sengal sangat si Alina ni? Pening aku nak melayan. Tapi, kalau macam tu, apa yang patut aku buat? Takkanlah kesudahannya aku tetap akan menjadi bini ketiga Dato’ Ghani tu?

DARI tadi apa yang aku buat semuanya rasa macam serba tidak kena. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan Dato’ Ghani. Berdasarkan pemerhatianku, nampaknya Dato’ Ghani masih lagi tidak tahu tentang kedatangan bini-bini dia ke pejabat ini. Siot betul! Dalam diam, rupa-rupanya berhajat nak sunting aku ya? Piiraahhh!!!
“Wafi, masuk ke dalam bilik saya kejap.” Kedengaran suara bos miang di interkom.
“Okey.” Aku menjawab perlahan dalam debaran. Adoila... Dia nak apa pula ni? Jangan kau cakap nak kahwin dengan aku sudahlah!
Aku hanya berdiri tegak bila sampai di depan pintu bilik pejabat bos miang itu. Aduh, nak ketuk... atau tak? Dalam sibuk berperang dengan perasaan sendiri, tiba-tiba pintu itu terbuka dari dalam.
Erk! Aku sudah terkedu. Apa yang aku nampak sekarang, leher orang. Adeh, tinggilah pula orang ni. Pantas aku mendongak. Kelihatan seorang lelaki yang berwajah bersih sedang memandangku. Aku terpempan seketika. Seolah-olah pernah aku lihat wajah itu, namun aku sendiri tidak pasti di mana.
“Wafiyyah Iman...” Lelaki itu menyebut perlahan namaku, seakan-akan berbisik lembut.
Degup! Degup! Degup! Bunyi jantungku berbunyi. Aduh, apa kena dengan aku ni? Dia baru sebut nama aku sikit, aku dah rasa lain macam dah!
“Kenapa tercegat dekat situ? Marilah masuk.” Terdengar pula suara Dato’ Ghani di dalam.
Fuh, nasib baiklah dia tolong sedarkan aku. Dengan langkah yang kekok, aku dan dia sama-sama masuk ke dalam bilik yang besar itu.
“Wafi, ini Encik Irsyad. Dia juga merupakan orang yang akan bekerjasama dengan kita nanti.”
“Oh... Selamat berkenalan,” ucapku bersahaja.
Irsyad... Macam pernah dengar nama ni. Namun, aku pantas mematikan andaian ini. Bukannya lelaki ini saja yang bernama Irsyad, malah ada juga lelaki lain yang bernama sama.
Lelaki itu hanya tersenyum.
Dalam diam, aku menarik nafas lega. Nasib baik Dato’ Ghani tak sampaikan hasrat hati dia sekarang, kalau tidak... Fuh, boleh koma aku sebulan!
                              
“HAI.” Seorang lelaki bertenggek di mejaku.
Aku yang tadi sibuk menyusun kertas-kertas di atas meja terhenti buat seketika. Pantas aku memandang lelaki yang mengganggu kerja-kerjaku itu.
“Oh, Encik Irsyad. Encik Irsyad tak balik lagi?” soalku sambil mengangkat kening.
Tapi apa yang buat aku tak selesa dengan lelaki ini, sejak aku berada di dalam bilik bos miang itu tadi, mata lelaki itu tidak habis-habis menjeling ke arahku. Aku yang tengah bekerja ini pun jadi rimas dan tidak selesa.
Don’t you remember me?” soal lelaki itu sambil mengangkat keningnya.
“Err... Takkan tak ingat kut? Kita baru aje jumpa hari ni. Encik Irsyad kan orang yang bekerjasama dengan syarikat ni nanti?”
Aku nampak lelaki itu sudah tersenyum. “Nope. That’s not what I meant.”
Berkerut sudah dahi aku apabila dia cakap sebegitu. “Maksud Encik Irsyad?”
“Haih... Kecil sungguh dunia ni, kan?”
Aku sudah tersentak. Rasa macam kenal saja dengan ayat ni? Puas mindaku cuba mengingati, akhirnya aku temui jawapan yang pasti.
“Encik Irsyadlah yang hantar surat ringkas dekat saya di restoran tu, kan?” tekaku dengan nada tidak menyangka.
Good. No wonderlah you pekerja kesayangan bos you,” pujinya sambil tersengih.
Pekerja kesayangan bos? Memang taklah! “Saya nak tanya sikit, boleh tak? Kenapa Encik Irsyad hantar nota yang ringkas macam tu?”
Irsyad tersenyum mendengar soalanku. “Yalah, kecil aje dunia ni sebab in the end I jumpa you jugak. Akan bekerjasama pulak tu. Mesti you sangka yang you takkan berjumpa dengan I lagi, kan?”
“Oh! Maksudnya, Encik Irsyad tahulah yang saya kerja dekat sini sebelum ni?”
Yes. I dah lama perasan you. Sebelum I setuju nak buat projek ni lagi.”
How come?”
Before this, I selalu datang sini sebab ada projek yang nak diselesaikan bersama. Cuma you aje yang tak sempat nak berjumpa dengan I.”                                                                                                        
Aku mula terangguk-angguk. “Oh, I see.”
“Malam ni you free tak?” soal dia tiba-tiba.
“Huh? Freelah kut. Kenapa?” Aku membalas.
“I nak ajak you makan malam dekat Restoran Selasih di Damansara memandangkan you pun free, kan?” ujar dia dengan senyuman yang masih lagi tidak lekang dari bibir nipisnya.
“Err...” Mulut aku dah terkunci.
Siot! Yang aku pergi cakap free tu kenapa? Tengok, nak balas apa ni? Adoilah... Masalah betul!
“Hmm... Senyap tu maknanya you setujulah, kan?” Lelaki itu mengenyitkan matanya ke arahku sebelum berlalu pergi.
“Eh! Encik Irsyad, tu... Tunggu sekejap!”
Namun, sia-sia. Panggilanku seperti dibawa angin lalu. Hmm... Nampaknya aku tidak punya pilihan lain. Terpaksalah aku menemaninya makan pada malam ini. Ermm... Terpaksa ke? Tapi kenapa aku rasa macam ada rama-rama yang terbang dalam perut?

MALAM itu aku bersiap ala kadar. Penampilanku ringkas-ringkas sahaja, walaupun aku akan bertemu dengan lelaki yang berwajah tampan itu. Namun, oleh kerana dia bukanlah seseorang yang istimewa bagiku, jadi aku rasa tidak perlulah bergaya secara lebih-lebihan.
Sebaik sahaja keretaku sampai di destinasi, aku terus masuk ke dalam restoran yang dicakapkan oleh Irsyad. Dari kejauhan, aku sudah nampak dia melambai-lambai ke arahku. Pantas aku mendekatinya.
You look beautiful today,” ucapnya sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di hadapannya.
Err... Thanks.” Segan pula aku apabila menerima pujiannya hari ini. “Err... Dah lama Encik Irsyad tunggu?”
Not really. And Iman, please call me Irsyad,” pinta lelaki itu tiba-tiba.
“Hah? Tapi...” Aku agak ragu-ragu.
“Tapi kenapa? Tak boleh?” duganya sambil mengangkat kening.
Aku pantas menggelengkan kepala. Bukan tak boleh. Ayat itu seolah-olah tersangkut di hujung kerongkong.
“Memandangkan kita kat luar ofis... I don’t think it’s a crime for you to call me Irsyad. Lagipun, I tak naklah orang lain dengar you panggil I Encik Irsyad,” katanya sambil tersenyum.
“Kenapa?” soalku dengan nada hairan. Lelaki ni... Kadang-kadang macam misteri. Misteri tapi hot!
“Yalah, nanti orang lain ingat I ni dah kahwin,” balasnya membuatkan aku tergelak perlahan.
“Hesy, tak ada makna. Kalau saya panggil Encik Irsyad atau Irsyad, tetap sama jugak.”
“Tak, tak sama,” protesnya sambil menggeleng kepala laju.
“Kenapa pulak?” soalku lagi.
“Encik Irsyad panggilan yang biasa-biasa. Kalau you panggil Irsyad, macam I ni orang yang sangat istimewa untuk you.”
Aduh! Rasa nak pengsan bila dengar ayat manis terlebih gula Irsyad ni. Haih, malu! Tapi tak tahu nak sorok muka dekat mana. Bawah meja, rasa macam boleh saja?
“Hah, I lupa nak cakap. I dah oder makanan untuk you,” ujar lelaki itu sambil tersenyum.
Alhamdulillah, tukar topik. Selamat!
“Oh?” Kening aku sedikit terangkat.
Oder makanan untuk aku? Dia tahu ke apa yang aku suka dan tak suka? Jangan dia oder makanan yang ada seafoods sudahlah. Aku ini ada alahan yang teruk jikalau menyentuh makanan laut.
Don’t worry. I tahu apa yang you suka dan tak suka.”
Makin aku keliru dengan lelaki itu. Apakah...? Aku dengan dia baru kenal tak sampai 24 jam, dia sudah tahu apa yang aku suka dan tak suka? Lelaki ni stalker aku ke hape?
Setelah menyepi antara kami, pesanan akhirnya sampai. Sekali lagi aku rasa terkejut. Nasi ayam dan milo ais. Makanan dan minuman kegemaranku. Aku pandang wajah dia lama-lama. Sungguh aku tidak tahu, siapakah lelaki ini sebenarnya. Kalau dia memang betul-betul stalker aku, apa yang patut aku buat?
“Kenapa pandang muka I macam tu? Handsome sangat ke I ni?” soal Irsyad sambil turut sama memandangku.
Entah kenapa, aku seolah-olah tidak dapat bertentang mata dengannya. Lantas, aku menundukkan wajah. “Nasi ayam, milo ais... Semua ni... Macam mana awak boleh tahu?”
“Oh. Itu rupanya yang mengganggu fikiran you.” Lelaki itu sudah ketawa kecil.
Aku pantas mengangkat pandang. Teringin juga aku mahu mendengar jawapan jujur daripada dia.
“I tahu sebab I nampak you oder nasi ayam dengan milo ais masa makan dekat Restoran Nasi Ayam Mama,” balas lelaki itu bersahaja.
Aku sudah lega apabila mendengar jawapan itu. Fuh... Mati-mati aku ingat dia stalker aku. Bagus betul aku ni. Macam manalah aku boleh tuduh lelaki yang baik ini? Memang tak patut betul. Tetapi secara tiba-tiba, aku teringatkan tentang masalah yang merunsingkan hatiku. Sampai sekarang, aku masih belum dapat mencari lelaki yang boleh berpura-pura menjadi teman lelakiku.
Iman, what’s wrong? You seem like you’re in trouble?” Irsyad memandang wajahku.
Aku turut memandang lelaki itu. Ah, mungkin lelaki ini boleh menolongku. Tetapi, bagaimana aku harus menyuarakan permintaan aku ini?
“Iman...?” panggilnya lembut.
“Err... ya,” balasku sambil membalas pandangannya.
Irsyad mula tersenyum kecil. “Kenapa ni? You ada masalah ke? Kalau ada... Perhaps, I can help you?”
Aku mula menarik nafas dalam-dalam. Nampaknya hanya lelaki ini saja yang boleh menolongku. Tolonglah, aku sudah tidak fikir apa lagi tentang reaksinya nanti. Yang penting aku sedang terdesak sekarang ni!
“Err... Kalau saya cakap ni, awak jangan terkejut ya.”
“Okey.” Irsyad membalas tenang.
“Boleh tak kalau awak jadi boyfriend palsu saya selama sehari?” soalku dalam debaran yang menggila.
Aku lihat lelaki itu sudah tersenyum. Nampak macam tak ada reaksi terkejut pun.
Boyfriend palsu you?”
Terasa darah mula menyerbu pada wajahku saat dia mengulang kembali perkataan itu. “Ka... Kalau awak tak nak, saya... saya tak kisah!”
Are you kidding? Siapa cakap I tak nak?”
Aku sedikit tergamam. Apa yang dia cakap?
But, why Iman? You look desperate,” ujar Irsyad sambil mengangkat keningnya.
“Err...” Aku masih berkira-kira sendiri, sama ada mahu membuka cerita ataupun tidak. Namun, apabila melihat wajahnya kelihatan jujur dan ikhlas, akhirnya aku membuat keputusan untuk menceritakan segala-galanya.
Tepat seperti yang aku jangkakan, dia kelihatan terkejut dan tergamam. Tentu dia tidak percaya yang sebenarnya bos miang itu luaran sahaja nampak baik, tetapi di dalam... Hmm, pandai-pandailah dia menilainya dengan sendiri.
Okay. I’ll help you,” janjinya.
Thank you so much, Encik Irsyad...” ucapku sambil menarik nafas lega. Nasib baiklah lelaki ini memahami keadaanku.
I’ll never give you to him. You’re mine!”
Pardon?” Aku memandang Irsyad. Lelaki itu seolah-olah ada bercakap sesuatu, namun aku sendiri tidak pasti apa ayatnya.
Oh, nothing,” balas Irsyad laju sambil tersenyum.
Aku pula hanya mengangkat bahu, lantas meneruskan makan malam. Dalam hati, berkali-kali aku mengucap syukur kerana Allah mengirim lelaki ini untuk membantuku.