Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 26 Ogos 2016

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 10

PANCARAN cahaya daripada komputer riba menerbitkan rasa perit ke anggota penglihatan. Zulqadree cuba mengabaikan rasa tersebut. Bebola matanya sekejap melihat permukaan kertas dan selang beberapa detik kemudian menatap skrin semula. Jari-jemarinya laju bergerak menekan papan kekunci.

Baru seminit dia melakukan tingkah itu, sakit kepala menjalar ke deria. Zulqadree menghentikan pergerakan lalu memejamkan mata. Tangan kiri memicit bahagian tengah hidung. Kerusi yang diduduki diputar 180 darjah. Badannya menghadap dinding kaca kamar tidur yang diliputi dengan langsir.
Zulqadree mengosongkan fikiran. Tidak semena-mena layar hitam menayangkan senyuman Irdina Wira tatkala bertemu dengan gelandangan di lorong itu. Saat itu, terserlah sisi Irdina Wira yang lain. Seorang gadis yang kelihatan lasak dan kasar, tapi jauh di dasar hati punya kelembutan yang tersendiri.
“Qadree, kenapa kau nak ingat dia lagi? Cinta kau ni bukannya boleh dibalas pun. Kau tak boleh jatuh cinta dengan isteri orang.” Zulqadree menekapkan tapak tangan ke muka lalu menyapu kasar anggota tersebut.
“Tapi, kenapa dia cakap macam tu masa kat restoran hari tu?” Andaiannya mula bercelaru. Kata-kata Nilam Qadheera sedikit sebanyak memberikan harapan walaupun tipis.
“Memanglah dia tak pernah tidur dengan lelaki lain. Dia dah kahwin. Dia setia dengan suami dia.” Apa yang disoal, semuanya dijawab sendiri.
Zulqadree risau hatinya bertambah kecewa jika harapannya yang nipis itu kian bertapak di jiwa. Dia menepuk bahagian dada kirinya. Di situlah terasa sakit dan perit. Namun, bunyi ketukan pintu memecah lamunan yang jauh melayang.
“Pintu tak kunci. Masuklah,” arahnya.
Hasil kuakan pintu menjelmakan kelibat seseorang.
“Ya, Tuan Zulqhairi?”
Lelaki tua yang mengenakan kain pelikat berjalur hijau dan baju Melayu itu tersenyum. Usai menutup pintu, dia mengambil tempat di sisi katil.
“Otak tu dah serabut sangat ke sampai tak tahu beza rumah dengan ofis? Baba datang sebagai seorang ayah. Bukan seorang majikan terhadap pekerjanya. Qadree tak tengok jam ke?”
Zulqadree memandang sekilas jam pada permukaan dinding. “Pukul 9.30. Kenapa baba?”
Tuan Zulqhairi menggelengkan kepala. “Memang baba suruh Qadree kerja keras untuk Sapphire, tapi jangan lupa jaga kesihatan dan keperluan diri. Balik kerja tadi sampai sekarang tak keluar bilik.”
“Tak apalah baba. Qadree ada banyak kerja nak kena siapkan ni.”
“Ada banyak kerja ke, banyak benda yang Qadree fikir?”
Zulqadree mendiamkan diri. Dia tersenyum kelat. “Baba, umi masih marahkan Qadree lagi ke?”
“Bukan setakat Qadree, baba pun kena marah juga. Lebih-lebih lagi sekarang ni umi tengah ada cucu. Dia lebih layan cucu daripada baba.”
“Baba pun? Dah kenapa pula?” Zulqadree perasan akan perubahan sikap ibunya sejak peristiwa Zarina dan Nazira melawat Nilam Qadheera di hospital empat hari yang lalu.
Apabila Zulqadree bertanya 10 patah, Puan Nusrah akan membalas dengan sepatah. Selalunya, jika Zulqadree tidak sempat untuk bersarapan, wanita itu akan menyediakan bekalan untuk dibawa ke pejabat. Namun, sejak kejadian tersebut, Puan Nusrah seakan-akan acuh tidak acuh menyediakan keperluan anaknya itu. Puan Nusrah lebih banyak menghabiskan masa bersama Fath Zulqauthar.
“Umi marah sebab baba macam tak setuju dengan cadangan dia untuk jodohkan Qadree dengan Nazira. Dia bebel kat baba kenapa tak desak Qadree macam baba desak adik dulu.”
“Habis tu, sebenarnya, baba setuju ke tak?”
“Lepas apa yang dah jadi antara baba dengan adik dulu, baba cuba untuk berfikiran terbuka. Baba tak nak mendesak. Baba tak nak hubungan baba dengan anak-anak baba jadi renggang. Sebab tu baba biarkan Qadree buat keputusan sendiri.”
“Qadree serba salah. Qadree tahu yang Qadree tak boleh ada perasaan tu untuk Nazira. Tak adil buat Nazira kalau Qadree tak pernah anggap dia sebagai isteri Qadree bila kita orang kahwin nanti. Seorang perempuan harus mengahwini lelaki yang benar-benar sayangkan diri dia. Qadree tak mampu lakukan perkara tu untuk dia. Tapi, dalam masa yang sama juga Qadree macam tak sampai hati nak buat umi kecewa.”
“Kenapa Qadree rasa Qadree tak mampu sedangkan Qadree tak cuba lagi?”
“Sebab hati Qadree...”
“Hati Qadree ada seseorang?” teka Tuan Zulqhairi.
Berat pula lidahnya mahu mengatur bicara. Perit benar jatuh cinta pandang pertama ni.
Tuan Zulqhairi cuba membaca riak wajah anak sulungnya.
“Betul ke?” soal orang tua itu lagi setelah suasana sepi selama tiga saat.
Anggukan kepala sebagai jawapan.
“Habis tu, kenapa tak cakap dengan umi yang Qadree dah ada pilihan sendiri?”
“Perkara tu pun Qadree tak mampu nak buat, baba. Cinta sebelah pihak aje.”
“Padanlah baba tengok Qadree kuat sangat kerja sejak akhir-akhir ni. Frust rupanya.”
“Bukan setakat frust aje, Qadree nak elak daripada kena pujuk dengan umi pasal Nazira tu. Bila umi dah respons macam ni, buat Qadree rasa bersalah.”
“Qadree, sabar ajelah. Lama-lama nanti, marah umi hilanglah. Orang perempuan ni marah dia sekejap aje. Yang jadi lama tu sebab nak kita pujuk dia.”
“Ke... Qadree patut ikut aje apa yang umi nak?” aju pemuda tersebut.
Nadanya seakan-akan mahu mengalah akan soal hati dan perasaan. Dia mahu serahkan sahaja hal jodoh kepada Puan Nusrah memandangkan orang tua itu beria-ia mahu dirinya berkahwin. Dia menemukan wajah ke permukaan meja.
Tuan Zulqhairi tersenyum lalu menggelengkan kepala tatkala melihat telatah waris sulungnya. “Qadree...”
Zulqadree mengangkat pandangan.
“Prinsip baba, bila seseorang lelaki dah buat keputusan, dia harus tanggung apa jua akibatnya. Tak kira baik ataupun buruk.”
Apabila mendengar butir bicara tersebut, Zulqadree menatap mata Tuan Zulqhairi sedalam-dalamnya. Lafaz kata orang tua itu kedengaran serius.
“Jangan buat keputusan terburu-buru. Ni soal hidup sampai mati. Qadree kena pikul tanggungjawab seumur hidup bila perkataan sah masa akad nikah kedengaran. Tanggungjawab seorang lelaki bukan main-main.”
“Qadree faham.”
“Bagus. Sebab baba tahu lelaki yang ada kat depan baba ni seorang yang sangat bijak.”
Thanks, baba.”
“Okey, kembali ke tujuan asal baba datang bilik ni. Baba nak tanya, waktu lunch esok Qadree ada apa-apa appoinment ke?”
Appoinment? Kejap...” Zulqadree melihat diari planner yang terletak bersebelahan komputer riba. “Tak ada. Kenapa baba?”
“Baba nak ajak Qadree makan kat restoran favourite baba. Rasa macam dah lama kita tak pergi lunch sama-sama.”
“Restoran favourite baba? Takkan nak kena pergi Muar pula?”
Zulqadree tahu restoran kegemaran ayahnya terletak di daerah Muar. Selain daripada nasi ayam, makanan kegemaran Tuan Zulqhairi adalah mi bandung.
“Sekarang tak payah pergi Muar. Restoran ni makanan Melayu dia memang sedap. Datuk Rahman yang suggest kat baba.”
“Restoran mana?” aju Zulqadree lagi. Dia bingkas bangun. Tangannya menggapai telefon bimbit yang berada hampir dengan sudut meja.
“Restoran Warisan Wira.”
Mendengar perkaraan wira, sudah cukup membuatkan Zulqadree tidak menentu. Genggaman telefon bimbit terlepas. Gadget itu jatuh ke permukaan lantai. “Apa, baba? Wira?”
“Ya, Restoran Warisan Wira. Kenapa?”
Objek yang berada di lantai dikutip. Sejak kecewa dengan andaiannya mengenai Irdina Wira, Zulqadree seakan-akan mengalami alergi dengan perkatan tersebut.
“Wira lagi?” ujar Zulqadree dengan nada perlahan.
“Kenapa dengan wira?”
“Tak ada apa-apa, baba. Qadree pun tak pernah makan lagi kat situ,” dalih pemuda yang menjawat jawatan COO itu.
“Kita pergi ni bukan setakat nak makan aje. Tapi, nak bincang sekali pasal business.”
“Okey, baba.”
“Baba keluar dulu. Qadree tu, jangan lupa turun, pergi makan.”
Zulqadree membalas dengan menunjukkan tanda ibu jari.
Tuan Zulqhairi menarik daun pintu, lantas bunyi pintu dikatup kedengaran.
“Tak dapat jodoh dengan Irdina Wira, dapat job kat Restoran Warisan Wira pulak. Ada kena-mengena ke antara dia dengan restoran ni?”

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 9

JAMBANGAN tiga kuntum bunga mawar kuning yang terletak di tempat duduk sebelah pemandu dipandang beberapa kali. Muncul pula rasa serba tidak kena jauh di sudut hatinya.
“Kasi bunga kat Kakak Wira yang bawa motor besar? Sesuai ke, Qadree?” Zulqadree menghentak perlahan dahinya ke stereng. Rasa menyesal tidak sudah kerana membeli jambangan tersebut.
Bukan semua perempuan boleh dipikat dengan bunga. Dia ni lain, Qadree, monolog Zulqadree lagi lalu mendecit.
“Kalau tak kasi bunga ni, takkan nak melawat dia dengan tangan kosong? Patut beli buah aje tadi. Lembaplah kau ni, Qadree.” Memikirkan hal itu sahaja, sudah mengambil masa selama 10 minit di tempat parkir hospital.
Bungkusan bunga yang dibalut rapi dengan plastik digapai. “Alang-alang dah beli ni, kasi ajelah. Mana tahu, luar Suria Perkasa Hitam, dalam hati bunga setaman. Kalau tak, macam mana dia boleh baik hati kasi orang jalanan tu makan, kan?”
Kejadian malam kelmarin muncul di minda. Mujur telinga Zulqadree menangkap bunyi yang datang menerpa dari arah lorong itu. Pada awalnya, dia tidak menghiraukan. Barangkali hanya khayalan. Namun, rasa tidak sedap hati muncul membuatkan Zulqadree melangkah semula ke kawasan tersebut. Tatkala tiba di laluan belakang kedai itu, topi keledar berwarna kelabu berada di permukaan jalan.
Mata Zulqadree meliar dan telinganya menangkap suara sayup seorang lelaki berbicara kasar dan mengugut. Tanpa membuang masa, dia menuju ke salah satu kedai berhampiran. Saat itu, Irdina Wira sudah terbaring di atas jalan raya. Berbekalkan ilmu asas seni mempertahankan diri semasa sekolah menengah dahulu, Zulqadree melayangkan tendangan. Wajah si hidung belang tertera pada pandangan.
Zulqadree dapat mengecam raut tersebut. Muka itulah yang dilihat duduk semeja bersama Irdina Wira semasa di restoran tempoh hari. Tanpa sebarang amaran, Zulqadree terus memberikan tumbukan.
Emir Farith cuba mempertahankan diri dengan senjata yang berada di tangan. Namun, tingkahnya terbantut apabila gelandangan yang berada di lorong itu datang untuk membantu setelah mendengar laungan Zulqadree. Langkah seribu Emir Farith meninggalkan tempat kejadian. Zulqadree pula segera membawa Irdina Wira ke hospital.
Oleh sebab itulah Zulqadree bergegas dari Melaka ke Johor Bahru setelah urusan kerjanya selesai. Rasa penat langsung tidak terasa. Malah, hatinya pula berdegup laju. Tidak seperti selalu. Lama dia menahan rasa rindu. Dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mendekati Irdina Wira. Bukan sekadar rindu sahaja, dia juga gusar dengan keadaan gadis itu.
Zulqadree mula merasa yakin. Dia menghirup lalu menghembuskan nafas. Baru sahaja tangan menyentuh kunci untuk mematikan enjin, pada penglihatannya terpampang susuk tubuh Irdina Wira. Gadis itu sedang berjalan sambil memimpin tangan seorang kanak-kanak lelaki.
Raut Irdina Wira tidak seperti kali terakhir yang Zulqadree pandang. Dia kelihatan lebih bermaya dan kurang lebam pada rautnya. Ada satu tampalan kain kasa putih di hujung bibir. Rasa ingin tahu menguasai jiwa. Hati Zulqadree tertanya-tanya siapakah gerangan budak lelaki tersebut. Langkah dua kelibat itu terhenti saat tiba di kereta Honda Hybrid Insight berwarna biru.
“Ayah! Cepatlah sikit,” lafaz si anak kecil.
Irdina Wira pula mengusap lembut rambut itu. Selang lima saat, muncul pula susuk tubuh yang lebih tinggi. Bunyi menandakan kunci kereta dibuka kedengaran. Mereka bertiga memasuki kereta.
Ada satu rasa tidak semena-mena mencelah di sebalik perasaan yang dilamun indah. Perlahan-lahan rasa itu menghiris hati Zulqadree. Pelbagai andaian muncul. “Dia dah kahwin? Kau jatuh cinta dengan isteri orang?” 

LAPISAN dahi yang rata menjadi berkerut-kerut. Nilam Qadheera memandang wajah abangnya yang sedang menempatkan punggung ke atas kerusi. Zulqadree pula mengangkat kepala sekali terhadap wanita yang rambutnya diikat tinggi itu. Dia memberikan isyarat bertanya.
“Bagi bunga kat adik? Munasabah sikit, bang. Buang tabiat ke?”
Zulqadree sengaja melengahkan bicara. Lengan kemeja yang asalnya dilipat sebanyak dua kali dinaikkan menghampiri siku. Terserlah urat lelaki yang menghiasi anggota tersebut. “Kenapa? Tak boleh ke? Abang tengah melawat orang kat hospital, kan?”
“Bukan tak boleh. Tempat dah kena, tapi tak kena dengan orangnya. Orang ni adik abang. Tak pernah-pernah bagi bunga. Lebih baik abang bawa makanan. Bagilah jambangan ayam goreng ke.”
“Eh? Awak tu tengah berpantang. Ada hati nak makan ayam goreng pula. Cakap dengan umi baru tahu.”
“Sebenarnya, bunga ni bukan untuk adik, kan?”
“Habis tu, takkanlah abang nak kasi mak cik misi yang jaga adik tu pula? Abang kasi adik, maknanya untuk adiklah,” jawab Zulqadree dengan nada orang kecewa.
“Biasanya, orang kasi bunga ni muka berseri-seri. Yang abang ni, muka macam kereta kena langgar dengan lori, kenapa? Pergi Melaka muka ada senyum. Balik dari Melaka, senyum ke mana, muka ke mana.”
“Abang penatlah. Dari Melaka, terus jenguk adik tau.”
“Ya ke? Ke... tadi jumpa Cik Signal Kiri dulu?”
“Cik Signal Kiri dah jadi Puan Signal Kiri.”
“Puan?! Dia dah kahwin ke?!” Hampir tersembul biji mata Nilam Qadheera mendengar kenyataan itu.
Mata Zulqadree terpejam seketika menerima soalan tersebut. Pedih dan luluh hatinya tatkala melihat apa yang berlaku di hadapan mata setengah jam yang lalu. Apa yang terpampang benar-benar menghiris kalbu. Marah tak sudah terhadap diri sendiri kerana tidak menyiasat terlebih dahulu latar belakang Irdina Wira. Baru sahaja jatuh cinta, tiba-tiba harapannya musnah sekelip mata.
“Abang, orang tanya ni.”
Lelaki itu melemparkan pandangan redup. Apa yang terbuku harus diluah. Tidak sangka dia akan merasa sakit sebegini. Benarlah kata orang, sekelip mata boleh wujud perasaan itu, namun untuk membuang semua rasa yang terbit memerlukan masa. Sudahnya, dia menceritakan saat pertama kali bertemu mata dengan Irdina Wira sehingga detik yang lalu.
“Abang pasti ke yang dia pimpin tu anak dia?”
“Pastilah. Habis tu, bila sampai kat kereta, budak tu toleh belakang. Dia panggil orang kat belakang tu ayah.”
“Cik Signal Kiri buat apa?”
“Dia pegang tangan budak tu. Dia orang berdua nampak mesra. Bila isteri masuk hospital, mestilah suami yang jemput balik, kan?”
“Manalah tahu lelaki tu bukan suami dia. Mungkin abang dia.”
“Habis tu, budak lelaki tu siapa pula? Dah terang-terang. Depan mata abang.”
“Depan mata abang, bukan mulut dia. Kes ni sama macam orang dengan Abang Fath dulu masa terkena gosip kat blog Missbee.com tu. Orang sekeliling buat andaian, tapi tak pernah tahu cerita sebenar pun.”
Zulqadree mengelukan lidah.
“Abang tahu dari mana? Kadang-kadang, apa yang kita nampak tak semestinya sama dengan apa yang patut kita tahu. Tahu?”
Sekali lagi suasana menjadi sepi.
“Apa yang abang rasa sekarang ni berdasarkan andaian abang. Abang tak tanya dia sendiri depan-depan. Abang tengok gaya dia, ada macam orang dah kahwin ke?”
“Tak pula.”
“Satu lagi, ada ke isteri orang malam-malam kasi makan kat gelandangan? Yalah, maksud orang memang tak salah nak tolong gelandangan tu. Tapi, takkanlah tak ada orang temankan dia? Betul tak?”
“Tak payahlah nak sedapkan hati abang. Abang tak nak berharap. Ini pun dah kecewa.”
“Dia masih tak tahu lagi yang abang selamatkan dia malam tu, kan? Abang tak nak jumpa dia lepas tu beritahu apa yang dah jadi?”
“Buat apa, dik? Abang tak harapkan apa-apa balasan. Sekurang-kurangnya, abang dapat elakkan perkara yang tak baik daripada berlaku. Kalau orang lain kat tempat dia, insya-Allah abang akan buat perkara yang sama. Abang tak nak kecewakan hati abang yang memang dah kecewa ni. Biarlah. Dia tak payah tahu. Yang penting dia selamat. Bila dia selamat, suami dengan anak dia tak sedih.”
“Abang betul-betul dah jatuh cinta dengan dia, kan?”
Tidak sempat Zulqadree mengatur lidah, bunyi pintu wad dikuak dari luar kedengaran. Dua beradik itu serentak memandang ke arah yang sama.
“Eh? Qadree dah balik dari Melaka?” soal Puan Nusrah setelah meletakkan beg kertas berisi makanan untuk anak bongsunya di atas meja.
Telinga Zulqadree mendengar soalan tersebut. Akan tetapi, bebola matanya lebih tertumpu kepada dua orang insan yang sedang berdiri di belakang ibunya.
Puan Nusrah lantas melangkah disulami senyuman lebar. Pucuk dicita, ulam pula yang mendatang. Zulqadree bersalaman dengan Puan Nusrah.
“Qadree, adik, ni Aunty Zarina. Ingat tak umi ada cerita hari tu?”
“Ingat, umi,” balas Nilam Qadheera.
Zulqadree membalas pandangan dengan adiknya. Dalam fikiran masing-masing sudah dapat menjangka siapakah gerangan gadis yang berdiri di sisi kanan perempuan tua tersebut. Zulqadree bingkas bangun, sebagai tanda menghormati tetamu yang datang melawat.
Aunty Zarina dengan Nazira datang ni nak melawat adik dengan Qauthar. Tu yang umi ajak sebab dah alang-alang umi nak datang sini.”
Nilam Qadheera bersalaman dengan mereka berdua. Zulqadree pula tersenyum.
“Ni Qadree, kan?” tegur Zarina.
“Ya, aunty.”
“Dulu masa kecil-kecil selalu main-main kat rumah aunty, ingat tak?”
Zulqadree hanya mampu tersengih kerang busuk.
“Inilah Nazira. Kau orang selalu main kejar-kejar kat rumah aunty. Kadang-kadang Qadree makan tengah hari kat rumah aunty sebab tak nak balik rumah.”
Alamak! Aunty Zarina ni bahan guna zaman hingusan pula. Dia nak cakap aku dengan Nazira ni memang dah berjodoh dari kecil ke? Jiwa Zulqadree memberontak. Sebagai jalan selamat, Zulqadree hanya menayang baris gigi hadapan.
“Umi tak tahu pula yang Qadree dah balik dari Melaka awal.”
Balik awal sebab nak jumpa Irdina Wira. Tapi, dah jadi lain pula. Hati Zulqadree membalas. “Kerja habis cepat. Tu yang Qadree terus balik. Lagipun, nak tengok keadaan adik dengan baby macam mana.”
“Elok sangatlah tu. Lepas dah tengok adik ni, boleh teman Nazira. Tadi dia cakap lapar,” usul Puan Nusrah dan dalam masa yang sama tangannya menyenggol lengan Zarina.
Zarina yang mengerti isyarat itu mengangguk sedikit. Wajahnya mengukir senyuman.
“Umi, tadi abang cakap abang banyak kerja. Abang pun dah nak balik tu. Lepas tu dia nak masuk ofis. Kan, abang?” Nilam Qadheera segera memihak kepada Zulqadree seperti yang dijanjikan.
“Kerja tu sampai bila pun tak habis. Temankan Nazira sekejap ya?”
“Umi, Qadree memang ada kerja. Macam adik cakap tadi. Esok ada meeting dengan klien penting. Nak kena semak balik apa yang Qadree nak present esok,” tipu Zulqadree, menambah perasa.
Aunty Nusrah, its okay. Zira tak kisah pun. Kasihan pula dengan Qadree. Dia pun baru balik dari Melaka. Mesti penat.”
“Eh, tak apa. Makan aje. Lagipun Qadree mesti belum makan lagi, kan?” Puan Nusrah masih tidak mahu mengalah.
Dia mempamerkan pandangan penuh harapan terhadap anak lelakinya. Mimik muka cuba memberi isyarat agar Zulqadree mengerti akan permintaanya itu.
“Minta maaf, umi, Nazira. Qadree memang ada kerja. Insya-Allah, mungkin lain kali. Qadree minta diri dulu.” Ruang dan kesempatan untuk mengelak digunakan sebaik mungkin.
Dia bersalaman dengan Puan Nusrah. Zulqadree tersenyum kelat dan menundukkan sedikit pandangan sebagai tanda mahu meminta diri.
Puan Nusrah pula terpinga-pinga tatkala anak sulungnya berlalu pergi dengan langkah tergesa-gesa. Rasa kecewa menjalar ke jiwa. 

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 8

PANDANGAN kosong dibuang menerusi ruang tingkap yang terbuka. Melalui ruangan itu, Irdina Wira dapat melihat pemandangan jalan raya. Laluan memasuki pekarangan hospital sentiasa sibuk. Ada sahaja kenderaan berganti mengisi ruang parkir. Jiwa gadis itu jauh melayang. Fikirannya pula bersarang dengan pelbagai pertanyaan yang masih belum ada jawapan.

Namun, tanpa Irdina Wira sedari, ada dua pasang mata yang sedang memerhati dari pintu masuk. Qhayrul dan Rafi Huzaifa baru sahaja tiba di wad VIP tersebut. Petang itu Irdina Wira sudah boleh pulang ke rumah dengan kebenaran doktor.
“Ayah,” panggil Rafi Huzaifa terhadap ayah tirinya itu dengan nada yang perlahan.
Qhayrul menundukkan badan.
“Kenapa?” balas Qhayrul dengan alunan yang sama.
“Kita kejutkan Aunty Ird, nak?” cadang anak kecil berusia sembilan tahun itu.
Qhayrul memandang sekejap Irdina Wira yang sedang mengelamun. Lelaki itu mengangguk sebagai tanda setuju. Apabila mendapat kata sepakat, terjingkit-jingkit kaki Rafi Huzaifa melangkah. Qhayrul pula hanya menurut jejak tersebut dari belakang.
Lagi selangkah menghampiri Irdina Wira, jari telunjuk Rafi Huzaifa mencucuk bahagian pinggang itu. “Aunty Ird!”
Saat menerima sentuhan tersebut, Irdina Wira lantas diserang perasaan terkejut. Peristiwa malam tempoh hari sewaktu dia diserang oleh Emir Farith dari arah belakang serta-merta menjalar ke jiwa. Irdina Wira menjauhkan diri hingga menghampiri sudut dinding. Segala perasaan trauma dan takut menyerang ke segenap deria. Raut wajahnya bertukar pucat.
“Ird? Kenapa ni?” tanya Qhayrul tatkala melihat raut itu seakan-akan tidak mengalir darah.
“Astaghfirullah al-azim,” ucap Irdina Wira. Dia menghela nafas lega. Dia mengurut dada.
Aunty Ird takut dengan Rafi ke?”
Irdina Wira segera membuang bayangan yang menguasai fikiran. Dia berusaha mengukir senyuman. “Mana ada Aunty Ird takut dengan Rafi. Aunty Ird saja aje buat macam tu.”
“Ya ke?”
“Yalah.”
“Ibu cakap, tak baik tipu. Dosa tau. Nanti masuk neraka.”
Irdina Wira mencubit kedua-dua belah pipi Rafi Huzaifa yang sedikit berisi itu. “Eee... Budak suka makan ayam goreng ni banyak sangat cakap. Tu yang mulut tak reti diam. Harap-harap Chempaka tak jadilah macam abang dia ni.”
“Mana ada Rafi banyak cakap? Rafi makan ayam goreng, tapi Rafi tak makan tongkeng ayam.”
Qhayrul tertawa kecil mendengar kepetahan Rafi Huzaifa menjawab. Dia melihat seketika wajah adik berdarah seibu dengannya itu.
“Rafi, tadi kata tak tahan nak buang air. Sana tu ada toilet,” suruh Qhayrul sambil jari telunjuk kanannya terarah ke tandas yang terletak di dalam wad VIP tersebut.
Tanpa sebarang bicara, Rafi Huzaifa menurut.
“Dah siap kemas semua ke?” aju Qhayul apabila tiba di sisi katil. Beg pakaian yang belum ditutup zipnya dipandang.
Irdina Wira turut mengambil tempat bersebelahan lelaki tersebut.
“Dah, bang. Ird dah siap kemas,” jawabnya diiringi daya tarikan pada zip beg itu.
“Kau okey ke tak ni?” Itulah pertanyaan sebenar yang mahu diungkap. Qhayrul cuba membaca riak yang dipamerkan oleh adiknya.
“Kenapa abang tanya macam tu?”
“Kau tu bukan jenis menggelabah apatah lagi nak melatah bila diacah-acah. Muka kau tu pucat sangat. Malam kelmarin, apa yang dah jadi sebenarnya? Betul ke sebab cubaan merompak?”
“Betul.” Alunan suaranya acuh tidak acuh membalas. Irdina Wira menuju ke almari berdekatan, berpura-pura mencari barang.
“Ird, kalau nak main sembunyi-sembunyi, biarlah menyorok kat pokok balak. Jangan berselindung kat batang lidi yang halus. Kalau betul kau nak kena rompak, kenapa kunci motor dengan duit kau semua ada lagi?”
Irdina Wira terdiam. Otaknya ligat memproses jawapan. Dia mengambil tempat di sisi katil. “Bukan Abang Isyraf cakap ada orang selamatkan Ird ke?”
Qhayrul mengeluh. Dia duduk bersebelahan adiknya. “Okeylah, mungkin betul orang tu tak sempat nak rompak kau. Tapi, yang pelik lagi ajaibnya, kenapa kau tak nak buat repot polis? Kau nak biarkan aje?”
“Ird dah selamat. Tak ada apa yang jadi. Ird malas nak panjang-panjang cerita.”
“Muka kau sekarang ni, kalau bakal suami atau mak mertua kau tengok, boleh diskaun seribu hantaran kau.”
“Hujan tak ada, guruh pun tak ada. Tiba-tiba cakap pasal hantaran. Siapa yang pula yang nak masuk meminang? Ird tak nak kahwin pun.”
“Cakap dengan kau ni memang susah. Degil tak sudah.”
Bibir perempuan itu mencebik.
“Apa cerita orang tu?”
Irdina Wira menjongket bahu. “Entahlah, bang. Soalan abang tu Ird tak mampu nak beli.”
“Kenapa pula?”
“Susah betul Ird nak jawab soalan abang tu. Dah macam main teka-teki.”
“Teka-teki biasanya ada jawapan. Yang kau ni dah dapat ke apa yang kau nak?”
“Ada lagi ke orang macam dia kat dalam dunia ni?”
“Maksud kau?”
“Dari semalam Ird tunggu dia. Dia masih tak muncul-muncul sampai hari ni.”
“Kau dah jadi pungguk rindukan bulan ke?”
“Bukan pungguk rindukan bulan, tapi tunggu bulan yang tak akan jatuh ke riba. Takkanlah dia langsung tak nak lawat orang yang dia dah selamatkan?”
“Mungkin betul apa yang Abang Isyraf cakap. Dia tak harapkan apa-apa balasan. Atau... mungkin dia tengah sibuk selamatkan orang lain pula.”
Irdina Wira tertawa kecil. “Sebab tu Ird tanya, masih wujud ke orang macam ni?”
“Wujud. Contoh, ada kat depan mata abang ni. Kau tolong orang gelandangan, kau kasi dia orang makan, kau harapkan apa-apa balasan ke?”
“Abang, situasi Ird lain. Apa yang kita buat tu tak melibatkan nyawa.”
“Kau dah tanya dengan staf kat hospital ni?”
“Dah. Jawapan dia orang tetap sama. Apa yang dia orang ingat, orangnya tinggi, ada janggut sikit. Lepas tu kulit dia tak gelap tak cerah. Entah, nurse tu cakap handsome. Ird siap pesan lagi tadi. Kalau dia datang hospital lepas Ird dah keluar, suruh bagi nombor telefon Ird kat dia.”
Handsome, tinggi, ada janggut. Selain tu sanggup tolong orang yang tak dikenali dan tak harapkan balasan,” lafaz Qhayrul, menghuraikan ciri-ciri penyelamat yang misteri itu.
Jelingan dan pandangannya berubah. “Kenapa nada abang tu terlebih garam dan renungan abang tu tertumpah serbuk perasa? Ird tak nak masa muda-muda macam ni terkena penyakit darah tinggi.”
“Ada seorang wira yang selamatkan Irdina Wira. Ada hati yang selama ni bisu tiba-tiba berbicara seribu rasa ke?”
“Jangan nak kusutkan apa yang berselirat, boleh tak?”
“Ada hati yang sedang celaru?”
“Tak.”
“Bila hati celaru, maka akan ada satu organ yang tak sama hala tuju dengan hati iaitu otak. Bila dah jadi macam tu, mulut tak pasal-pasal jadi penipu. Otak cakap tak, hati cakap ya. Sudahnya, mulut cakap tak tahu.”
“Jawapan Ird ialah tak, bukan tak tahu. Ird cuma tak mampu nak tanggung budi ni untuk seumur hidup.”
“Kalau dia minta balas budi dengan...”
“Dengan apa?”
“Yalah. Manalah tahu dia suruh kau kahwin dengan dia. Kau nak ke?”
“Soalan abang ni memang boleh buat Ird jadi papa kedana tau.”
Bunyi pintu dikuak mencelah perbualan mereka. Detik itu juga, Rafi Huzaifa keluar dari tandas. Irdina Wira segera melangkah menuju ke arah Rafi Huzaifa.
“Rafi, jom balik. Aunty Ird dah siap kemas,” ajaknya sambil menghulurkan tangan mahu memimpin budak lelaki itu.
Yeay! Aunty Ird boleh balik. Jom,” balas Rafi Huzaifa lalu menemukan tapak tangannya ke tangan orang dewasa tersebut.
“Eh? Beg kau ni siapa yang nak bawa?”
“Ayahlah bawa. Kan Aunty Ird baru baik sakit,” jawab Rafi Huzaifa, mewakili Irdina Wira.
See... Pandai Rafi. Abanglah yang kena bawa. Kalau Ird bawa, patah pula tangan orang yang sakit ni. Tak pasal-pasal kena diskaun lagi seribu duit hantaran.” Irdina melemparkan jelingan. Sengaja dia mengembalikan paku buah keras kepada abangnya.
Qhayrul menggelengkan kepala lalu dia tersenyum. 

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 7

WAJAH yang memiliki kulit putih kemerah-merahan itu ditatap dengan penuh senyuman. Zulqadree menggendong bayi kecil itu dengan penuh berhati-hati. Dia mencuit sedikit hujung hidungnya.

“Comelnya awak. Macam Uncle Qadree masa kecil-kecil dulu,” puji Zulqadree lalu ciuman singgah ke pipi kanan dan kiri.
“Perasannya. Masa kecil-kecil, abang tu bukan comel, tapi gemuk,” sakat Nilam Qadheera yang sedang bersandar di kepala katil.
“Eh? Bukan gemuk, tapi sado. Apa yang terlebih-lebih tu bukan lemak. Tu otot yang belum berkembang dengan jayanya.”
Sado pula. Mana hado.”
“Betullah. Tengok hasilnya sekarang ni. Abang jadi sado, kan?”
Nilam Qadheera mencebik. Alfatah yang sedang duduk di sisi isterinya hanya tersenyum memerhatikan gelagat pasangan adik-beradik itu. Memang begitu cara mereka berdialog. Ada sahaja perkara yang mahu diusik.
“Abang ni memang dah sesuai sangat jadi bapak orang,” ungkap wanita yang baru sahaja bergelar ibu itu. Dia memerhatikan cara dan tingkah Zulqadree melayan anaknya. Lelaki tersebut sedikit pun tidak kekok.
“Tak sudah-sudah. Dia nak buat pick up line suruh abang kahwinlah tu. Ni umi yang suruh ke?”
“Orang cakap aje. Orang bukan posmen umi. Betul apa orang cakap. Abang tu tahun depan dah masuk 32.”
Kali ini giliran Zulqadree pula mencebik. Dia meletakkan tubuh yang berada di dakapan ke katil kecil bersebelahan katil Nilam Qadheera.
“Dah dapat nama ke untuk budak comel tu?” soal Zulqadree lalu menemukan punggungnya ke permukaan kerusi. Dia duduk di sisi kiri Nilam Qadheera, bertentangan dengan Alfatah.
“Alhamdulillah. Dah, bang. Insya-Allah, petang ni tak pun esok pagi saya pergi daftar kat JPN,” balas Alfatah.
“Siapa namanya?”
“Fath Zulqauthar bin Shukri Alfatah,” lafaz Alfatah diiringi genggaman kemas ke celahan jari-jemari Nilam Qadheera.
“Sedapnya nama. Sambung legasi Zul dengan huruf Q ke?” tanya Zulqadree lagi memandangkan nama ahli keluarga lelaki Tuan Zulqhairi pasti ada perkataan Zul di hadapan.
“Yalah, bang. Fath tu nama saya. Qauthar tu Nil yang pilih. Jadi, saya gabungkan. Tu yang jadi Fath Zulqauthar.”
“Pandai kau orang pilih nama.”
Nilam Qadheera dan Alfatah membalas pujian itu dengan senyuman. Kemudian, penglihatan si isteri menatap lama ke anak mata abangnya.
Zulqadree dapat melihat mata Nilam Qadheera seakan-akan bergenang. “Adik, kenapa ni?”
Nilam Qadheera menundukkan kepala. Tiga saat kemudian, dia kembali menatap wajah anak sulung Puan Nusrah itu.
Alfatah meleraikan genggaman tangannya tatkala melihat Nilam Qadheera mahu berbicara serius dengan Zulqadree.
“Terima kasih, abang.”
“Kenapa tiba-tiba ni? Sebab apa?”
“Sebab selalu ada dengan orang. Terima kasih sebab dermakan darah abang untuk selamatkan orang.”
“Sebab tu ke adik nak nangis macam ni? Mestilah abang akan selamatkan adik. Nilam Qadheera satu-satunya adik abang. Abang dah tak ada adik lain melainkan kalau umi tiba-tiba aje mengandung lagi,” ucap Zulqadree.
“Abang, orang seriuslah.”
Apabila mendapat tindak balas sebegitu, Zulqadree memandang lama dan dalam ke mata adiknya. “Adik tahu kan yang abang memang sayang adik? Bila abang dapat call daripada Fath, abang terus tak fikir lain. Mana tak risau bila Fath cakap adik mengalami pendarahan teruk masa nak lahirkan baby ni. Bukan setakat tu aje, adik dengan baby, dua-dua dalam keadaan kritikal.”
Nilam Qadheera mengerdipkan mata. Manik jernih yang bertakung gugur ke pipi. Dari petang semalam dia dimasukkan ke hospital kerana rasa sakit untuk melahirkan kandungannya. Nilam Qadheera langsung tidak menyangka yang dia akan merasa sakit lebih awal daripada yang dijangka. Namun, pada malam hari barulah dia berada di dalam bilik bersalin.
Akibat paras hemoglobin yang rendah hampir sepanjang tempoh dia mengandung, Nilam Qadheera mengalami kesukaran untuk melahirkan Fath Zulqauthar. Oleh sebab itu Alfatah menghubungi Zulqadree saat lelaki itu tiba di hospital yang lain untuk menyelamatkan Irdina Wira.
“Hei, kenapa ni? Mana Nilam Qadheera yang selalu panjat dinding tu? Mana adik abang yang degil tu?”
Nilam Qadheera menghamburkan gelak kecil.
“Tak mahu sedih-sedih macam ni. Abang buat mana yang abang mampu,” lafaz pemuda itu diiringi usapan lembut ke pipi Nilam Qadheera. Zulqadree menyapu air mata yang jatuh.
“Tapi, orang tak mampu nak balas apa yang abang dah buat.”
“Apa nak balas-balas pula? Darah abang dengan darah adik mengalir daripada umi dengan baba. Betul tak? Jadinya, abang tak buat apa-apa pun.”
“Kalau ada yang boleh orang buat, orang buat untuk abang.”
“Adik serius ke nak balas? Betul ni?”
Perempuan itu mengangguk yakin.
“Okey, kalau macam tu... adik kena back up abang bila umi suruh abang kahwin dengan Nazira.”
“Itu aje?”
“Adik cakap itu aje? Bagi abang, itulah masalah paling besar sekarang ni.”
“Abang nak orang cakap apa dengan umi? Nak orang cakap abang tengah jatuh cinta dengan manusia yang abang tak tahu nama tu?”
“Rasanya adik tak boleh cakap macam tu sebab abang dah tahu siapa nama dia.”
“Serius?!” Nada Nilam Qadheera tidak semena-mena meninggi.
Alfatah dan Zulqadree serentak memberikan isyarat jari telunjuk di bibir sebagai tanda meminta Nilam Qadheera memperlahankan suara.
Okay, sorry. Siapa nama dia? Abang jumpa dia lagi ke?”
“Belum boleh beritahu lagi.”
“Rahsia pula.”
“Bila sampai masanya nanti, abang sharelah dengan adik,” balas Zulqadree dengan senyuman meleret.
Layar fikirannya menayangkan peristiwa malam tadi. Sebelum dia menerima panggilan daripada adik iparnya, Zulqadree sempat melihat kad pengenalan milik Irdina Wira semasa mahu mendaftarkan nama gadis itu di kaunter pendaftaran. Irdina Wira binti Idrus Wira. Nama itu yang mula terpahat di hatinya. Memang padan nama tersebut dengan pemiliknya.
“Amboi, senyum dia macam nak ke dahi hujung bibir tu.”
Zulqadree tidak membidas. Dia tertunduk ke permukan lantai dan terus mempamer wajah yang manis.
“Abang Qadree, tengok lantai pun dah sengih-sengih ke?” usik Alfatah yang dari tadi menjadi pendengar.
“Mana ada abang sengih-sengih.”
“Mengikut pengalaman saya, tanda-tanda macam yang abang buat nilah dinamakan jatuh cinta. Dah kes parah jugalah bila tengok lantai pun dah senyum-senyum,” sambung Alfatah lagi.
“Tengok lantai dah terbayang Cik Signal Kirilah tu,” ujar Nilam Qadheera.
“Sudahlah. Abang nak balik. Abang nak pergi mandi. Dari malam tadi abang kat sini. Tengok, abang pakai lagi kemeja semalam ni. Patutnya pagi ni abang ada mesyuarat kat cawangan Melaka tu.”
“Habis tu, macam mana sekarang ni?”
“Nak tak nak abang kena pergi juga sebab masalah jual beli mesin baru tu kena selesaikan secepat mungkin. Abang pinda mesyuarat tu pukul 3.00 petang.”
“Abang balik sini bila?” aju Nilam Qadheera sambil matanya mengikut pergerakan Zulqadree yang baru sahaja mengangkat punggung itu.
“Esok petang. Abang nak buat meeting sekali dengan staf kita kat Melaka tu.”
“Abang tu hati-hati bila drive. Jangan bawa laju-laju.”
“Ya, abang tahu. Tadi umi ada call abang. Kejap lagi dalam pukul 11.00 macam tu umi dengan baba datang.”
Nilam Qadheera mengangguk sebagai tanda dia mengerti.
Alfatah pula berdiri apabila Zulqadree menghampirinya. “Abang, terima kasih sebab selamatkan Nil.”
“Tak ada apa-apalah. Yang penting Fath jaga adik abang tu. Cuti Fath abang dah approved lima hari.”
“Betul ke ni, bang?”
“Betul.” Zulqadree menepuk-nepuk bahu Alfatah.
“Terima kasih, abang.”
“Tak ada hallah. Abang balik dulu,” ucapnya lalu mengatur langkah ke pintu.
“Abang?”
Tidak sempat Zulqadree mengenakan daya ke pintu, suara adik perempuannya mengetuk gegendang telinga. Zulqadree berpaling.
Good luck untuk Cik Signal Kiri.”
Zulqadree membalas dengan senyuman sambil mengenyit mata kirinya. Kemudian, dia menolak pintu dan melangkah keluar. Sebelum melangkah, Zulqadree berdiri diam seketika. Dia memandang sekilas jam yang berada di pergelangan tangan.
Macam tak sempat pula nak pergi melawat dia. Takkanlah senang-senang nak tangguh meeting lagi? Hati dan fikiran Zulqadree sedang bertembung. Fikirannya memaksa untuk menyelesaikan urusan kerja manakala hati pula meminta untuk berjumpa Irdina Wira.
Esok petang balik dari Melaka ajelah. Zulqadree melepas keluhan. Mahu ataupun tidak, itulah pilihan yang dia ada. 

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 6

PERMUKAAN warna putih memenuhi ruang pandangan. Irdina Wira memejamkan matanya semula tatkala anggota itu terasa silau dan perit kerana menerima cahaya secara mendadak. Tangan kanan menyentuh kepala.

Kali ini kelopak mata diangkat dengan perlahan-lahan. Bentangan siling yang terpampang direnung untuk beberapa detik. Irdina Wira meluaskan pandangan. Hatinya diserang tanda tanya. Dia dapat melihat sebahagian tubuhnya diliputi selimut. Otak gadis itu memutarkan kembali kejadian sebelum dia pengsan.
“Ya Allah!” Irdina Wira membayangkan dia berada di dalam sebuah bilik hotel.
Kata-kata Emir Farith umpama pita rakaman. Segala andaian buruk yang mungkin berlaku bersarang di fikiran. Irdina Wira menggelabah. Dia bangkit daripada baringan. “Kat mana ni?!”
Akal fikiran gadis itu seakan-akan tidak mampu menimbang duga apa yang dilihatnya dengan waras. Apa yang dia bimbangkan ialah rancangan Emir Farith untuk memalukan dirinya berjaya. Pakaian hospital yang tersarung pada tubuh diraba secara kasar.
Isyraf yang mendengar suara Irdina Wira segera mencelikkan mata.
“Ird... Ird...” panggil Isyraf yang baru tersedar daripada lena di atas sofa. Dia meluru ke arah katil, cuba menenangkan adiknya.
Sewaku melihat ada susuk tubuh menghampiri, Irdina Wira bertambah takut dan gelisah. Dia merasakan dirinya terancam. Sangkaannya, lelaki tersebut ialah Emir Farith.
“Tak... aku tak nak. Pergi!” Dia berusaha mencipta jurang. Namun, kelibat itu semakin dekat.
Lafaz Irdina Wira yang separuh menjerit itu mengejutkan Mizza Ilyana pula, isteri kepada Isyraf.
“Ird... ni abang. Ird!” Isyraf memegang kedua-dua pergelangan tangan itu. Dia mahu menenangkan Irdina Wira.
Perempuan tersebut pula meronta-ronta. Jelas terbayang sentuhan kasar dan layangan perit hinggap ke wajah. “Lepaskan aku!”
“Astaghfirullah al-azim. Kenapa ni, bang?” tanya Mizza Ilyana.
“Abang tak tahu. Abang sedar aje dia dah meracau macam ni. Cuba awak tengok apa yang tak kena,” pinta Isyraf terhadap isterinya yang juga seorang doktor.
Isyraf mengundur dua tapak ke belakang. Dia memberi ruang kepada Mizza Ilyana.
“Ird...” Tangan Mizza Ilyana berlabuh pada bahu Irdina Wira.
Gadis itu masih lagi dalam keadaan yang sama.
“Irdina!” Mizza Ilyana menggoncang tubuh itu lalu tangannya beralih ke pipi pula. Dia mahu Irdina Wira memerhatikan wajahnya. “Ird, bawa bertenang. Ni Kak Mizza. Tu Abang Isyraf. Sekarang ni, Ird ada kat hospital. Takkan ada siapa-siapa yang akan ganggu Ird.”
Apabila mendengar suara tersebut, Irdina Wira menatap raut Mizza Ilyana. Pandangan mata yang terbeliak kian mengecil. Perasaan gelisah yang menghurung jiwa mula lenyap sedikit demi sedikit.
“Kak Mizza...” Dia melepaskan nafas lega.
“Ird, istighfar banyak-banyak.”
Irdina Wira sedikit tenang tatkala menyedari ahli keluarganya berada di sekeliling. Matanya terus meliar ke sekitar, mahu memastikan apa yang dibicarakan kakak iparnya adalah benar. Irdina Wira beristighfar sebanyak tiga kali. “Ird kat hospital?”
Anggukan kepala Mizza Ilyana sebagai jawapan. Bebola mata Irdina Wira beralih kepada abangnya.
“Apa yang Ird takutkan sampai Ird dah tak kenal abang?”
Suara Irdina Wira tersekat. Tiba-tiba sahaja dia menangis.
Mizza Ilyana segera merapatkan tubuhnya lalu mendakap erat gadis tersebut. Dia mengusap lembut kepala itu. Irdina Wira seperti anak kecil yang ketakutan.
“Ird, cerita kat Kak Mizza dengan Abang Isyraf. Kenapa boleh jadi sampai macam ni?”
“Tak ada apa-apa kak. Tak ada apa-apa.”
Apabila mendengar jawapan sedemikian rupa, Isyraf duduk di atas kerusi di sisi katil. Dia menekup lalu mengusap kasar mukanya sendiri. Puas dia menunggu adiknya sedar untuk mendapatkan jawapan atas apa yang telah berlaku. Kenyataan tersebut jelas menunjukkan Irdina Wira sedang berselindung.
“Kalau nak menipu, biar cukup bijak. Kalau nak bohong, macam mana Ird nak tutup bukti kat muka Ird yang dah jelas tu? Ird cuba nak butakan mata abang yang dah sah-sah celik ni ke?”
Gadis itu tidak mampu membidas. Dia sendiri tahu balasan kata yang diberikan tidak mampu mengaburi mata Isyraf. Air matanya terus mengalir. Renungan penuh dendam itu masih jelas di fikiran.
“Sampai lebam dengan bengkak semua ni, Ird cakap tak ada apa-apa? Bangkai gajah apa yang Ird cuba nak tutup ni?” soal Isyraf setelah suasana menjadi bisu untuk 10 saat.
Dia yakin adiknya itu sedang menyembunyikan sesuatu. Pandangannya tertancap pada jam dinding. Waktu menjengah pukul 4.30 pagi. “Lebih lima jam Ird tak sedar. Doktor cakap bengkak kat pipi, hujung bibir pecah tu semua sebab kesan kena tampar. Ird boleh cakap tak ada apa-apa?”
“Abang... bertenang. Sabar sikit. Ird perlukan masa. Dia masih dalam keadaan terkejut. Apa yang penting sekarang ni, Ird dah sedar dan semuanya selamat,” lafaz Mizza Ilyana.
“Betul kak, abang... Ird tak ada apa-apa. Orang tu serang Ird sebab nak merompak,” tipu Irdina Wira. Dia tidak mahu masalah Emir Farith terus berpanjangan.
Isyraf melabuhkan pandangan ke lantai. Dia cuba menerima kenyataan tersebut.
“Sebab tu abang selalu pesan, balik awal. Jangan balik sampai lewat malam. Ird tu perempuan. Lepas Ird keluar dari hospital ni, abang nak Ird buat repot polis.”
“Abang...” tegur Mizza Ilyana terhadap suaminya. Suasana awal pagi yang sepi menjadi tegang. Dia tidak mahu adik iparnya terus tertekan.
“Ird tahu tak, perkara macam nilah yang buat abang risau. Ird masih jadi tanggungjawab abang.”
“Ird tahu.”
“Nasib baik ada orang yang selamatkan Ird.”
Irdina Wira membeliakkan mata. Baru dia teringat akan hal itu. Dakapannya bersama Mizza Ilyana dileraikan. “Macam mana Ird boleh ada kat hospital? Abang tahu ke?”
Isyraf menggeleng. Apabila melihat reaksi abangnya, Irdina Wira beralih kepada Mizza Ilyana. Wanita tersebut turut memberikan jawapan yang sama.
“Abang tahu Ird masuk hospital sebab nurse yang telefon abang. Nurse cakap, lelaki yang bawa Ird pergi hospital tu macam dalam keadaan kelam-kabut lepas dapat call. Pihak hospital pun tak sempat nak ambil maklumat peribadi dia.”
“Takkan dia pergi macam tu aje?”
“Mungkin dia ada hal. Atau... mungkin dia tak mengharapkan apa-apa balasan lepas tolong Ird.”
Lidahnya menjadi kelu selepas mendengar penjelasan Isyraf. Masakan masih wujud lagi insan di dunia ini yang langsung tidak mengharapkan balasan? Irdina Wira memejamkan mata. Bahagian anggota kepala disentuh. Dia berusaha untuk mengimbas kembali bayangan lelaki penyelamatnya itu. Malangnya, hanya kelibat samar yang muncul.
“Ird, jangan paksa untuk fikir apa-apa sekarang ni. Ird kena rehat,” arah Mizza Ilyana.
“Kak Mizza, Ird kena tahu siapa orangnya. Ird dah berhutang budi dia. Dan, bukan setakat budi, tapi nyawa.”
“Kak Mizza faham. Ird boleh cari dia lepas keluar dari hospital. Apa yang penting, Ird kena sembuh dulu. Okey?” pujuk Mizza Ilyana. Dia ke meja sisi yang terletak bersebelahan katil. Dia menuang air mineral ke dalam gelas.
“Ird minum air ni dulu. Kak Mizza nak telefon Kak Yusra. Mesti Abang Qhayrul tengah tunggu berita bila Ird sedar. Dia orang nak datang, tapi Chempaka demam. Abang Qhayrul temankan dia orang kat rumah.”
Bekas minuman kaca itu bertukar tangan. Irdina Wira mengangguk lemah mendengar kenyataan tersebut.
Mizza Ilyana pula menuju ke sofa untuk mengambil telefon bimbit yang berada di dalam beg tangan. Dia berjalan menuju ke pintu untuk keluar membuat panggilan.
“Mizza...” Langkah wanita itu terhenti saat tiba di pintu wad.
 “Ya, bang?”
“Pesan dengan Qhayrul, sebelum dia datang hospital, minta tolong dia buatkan bubur untuk Ird.”
Mizza Ilyana tersenyum sambil mengangguk. Begitulah sifat suaminya. Jarang mengucapkan rasa sayang. Rasa sayang itu cuba disembunyikan di sebalik ketegasan. Mizza Ilyana menolak pintu dan keluar, meninggalkan dua beradik itu sendirian.
“Ird pasti ni serangan sebab nak merompak?” tanya Isyraf dengan nada yang lembut, tidak seperti tadi. Namun, alunan suaranya seakan-akan tidak berpuas hati.
Irdina Wira menggerakkan kepala ke atas dan ke bawah sebagai isyarat ya. Bibir gelas dirapatkan ke mulut.
“Ird tak ada sebarang niat untuk kaburkan apa yang jelas, kan? Atau Ird nak malapkan apa yang terang?”
Entah mengapa air mineral yang ditelan terasa kelat menuruni tekak. Dengan pandangan yang lemah, Irdina Wira menggeleng kepala.