Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Ogos 2016

Tanpa Awak Macam Nak Gila! - Bab 9

Tajuk: Tanpa Awak Macam Nak Gila!
Penulis: Zara Ryana
ISBN: 978-967-365-273-0 
Harga: RM25.00 / RM28.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

“Eh, eh, kenapa pulak dengan kereta ni?” Hessa panik. Sedang memandu, tak semena-mena kelajuan keretanya menurun dan pantas dia berhenti di bahu jalan. Elok saja berhenti, enjin keretanya menjadi sunyi.
“Buat hal pulak!” Hessa menampar stereng. Bengang. Dahlah cuaca panas.
Kalau pancit, bolehlah dia uruskan sendiri. Seperti kelmarin, secara kebetulan dia bantu Zafrel menukar tayar kereta. Hal itu kacang saja baginya. Ini kalau melibatkan ‘organ’ dalaman kereta, memang dia tak tahu apa-apa. Tahu pandu saja.
Hessa cuba hidupkan enjin beberapa kali. Hasilnya, tiada harapan lagi. Hessa jadi buntu.   Dalam keadaan sekarang, Hessa perlukan bantuan. Dalam fikirannya sekarang, individu pertama yang melintas adalah Iman Akmal. Dia lelaki, pasti dia tahu tentang kereta. Tanpa berfikir panjang, Hessa mencari telefon pintar di dalam beg.
Setelah nama Iman Akmal didail, telefon pintar ditekap ke cuping telinga kiri.
“Assalamualaikum, Iman. Maaf ganggu awak sekarang. Saya ada masalah sikit ni. Awak sibuk ke?” tanya Hessa. Sebenarnya, dia rasa segan untuk meminta pertolongan Iman Akmal. Lagipun, mereka baru saja berkawan.
“Waalaikumussalam. Awak tak mengganggu pun. Saya suka awak telefon saya. Sekarang taklah sibuk mana. Tapi, ada apa-apa yang saya boleh tolong ke?”
“Soalan yang tepat! Kereta saya ni, tiba-tiba break down. Langsung tak bagi signal ke apa. Nasib baik tak mati tengah-tengah jalan tadi. Sekarang ni, saya tak tahu apa masalahnya. Enjin tak boleh hidup. Awak boleh tolong saya tak?” Bukan main panjang mukadimah Hessa. Dia benar-benar perlukan bantuan sekarang.
Break down? Err... Awak kat mana sekarang?” Lambat-lambat Iman Akmal menyoal.
“Kat mana ek?” Pandangan Hessa meliar mencari lokasi dia berada sekarang. Di belakangnya ada deretan bangunan dengan pelbagai papan tanda. Lebih senang rasanya kalau dia kongsikan lokasinya melalui aplikasi WhatsApp.
“Hessa, sebelum tu saya pun nak minta maaf dengan awak. Saya tak ada kereta. Tadi saya datang dengan teksi. Macam nilah, saya telefon driver teksi tu, nanti saya pergi tempat awak. Macam mana?”
Hessa terkedu seketika. Tak ada kereta. Datang dengan teksi. Habis, berapa lama dia kena tunggu di sini?
“Agak-agak lama tak? Saya dah kepanasan dah ni. Dah macam dalam bilik sauna.” Hessa masih berada di dalam perut kereta.
“Itu saya tak pasti. Habis tu, macam mana sekarang?”
Hessa buntu untuk menjawab soalan Iman Akmal. Dia berharap kepada lelaki itu, tetapi tak boleh diharap pula. Haisy... Otak Hessa dikerah untuk berfikir. Mencari solusi lain. Ya! Abah. Dia saja harapan aku. Abah akan jadi hero aku hari ini. Takkanlah tak boleh nak tolong anak sendiri. Mustahil juga abah tak tahu pasal kereta. Hatinya bermonolog.
“Err, tak apalah, Iman. Maaflah ganggu awak. Saya cuba minta tolong abah saya.”
“Tapi, saya boleh aje pergi tempat awak.”
“Tak. Tak apa. Menyusahkan awak pula nak datang sini.”
“Saya rasa ralat pulak.”
“Tak apa. Lain kali awak tolong saya. Okey? Assalamualaikum.” Hessa matikan panggilan. Dia hubungi abahnya pula. Individu kedua untuk dia sandarkan harapan.
“Abah, tolong Hessa...” Sebaik saja panggilannya dijawab, dia terus merengek.

SEJAM berlalu. Kad jemputan kahwin yang ada di dashboard keretanya dijadikan kipas. Entah kad jemputan siapa pun dia tak tahu. Dalam kepala asyik terfikir jika abahnya tersekat di mana-mana sehingga mengambil masa yang lama. Rasanya jarak pejabat abahnya dengan tempat kejadiannya tidaklah jauh mana. Tak sampai 20 kilometer.
“Ya Allah, panasnya!” rungut Hessa.
Tak tahan lagi berada di dalam kereta seperti siakap masak stim, Hessa keluar dari kereta dan berdiri di bahu jalan. Manalah tahu ada yang baik hati sudi membantu sebelum abahnya sampai. Sedang Hessa memerhatikan sekeliling, dia ternampak seorang kanak-kanak tak jauh daripadanya. Kanak-kanak lelaki itu menangis. Pada pemerhatiannya, kanak-kanak itu berusia dalam lingkungan lapan tahun. Hessa terpanggil untuk mendekatinya kerana simpati.
“Adik, kenapa nangis ni?” soal Hessa seraya memaut lembut bahu kanak-kanak itu. Memakai gaun paras lutut berwarna ungu dan bercorak polka dot.
Kanak-kanak itu mendongak dan berhenti teresak-esak. “Mama hilang...”
Hessa kerutkan dahi sejenak. Dia pandang sekitar. Budak ni hilang atau ibunya yang hilang sebenarnya?
“Mama adik pergi mana tadi?”
Kanak-kanak itu geleng.
Hessa berfikir sejenak. Kasihan kanak-kanak itu. Kalau dia biarkan, dia risau jika apa-apa menimpa kanak-kanak itu. Sekarang ini banyak kes culik melibatkan kanak-kanak. Culik kemudian ambil organ dalaman untuk dijual. Menyeramkan dan mengerikan.
“Macam ni, mama adik pergi mana tadi? Dia masuk kedai mana? Boleh adik tunjukkan?”
“Sana.” Kanak-kanak itu luruskan jari ke arah sebuah blok bangunan. Tetapi, Hessa gagal mengesan blok mana yang dimaksudkan.
“Kita pergi sana, adik tunjukkan. Boleh?”
Angguk. Hessa senyum dan dia pergi ke keretanya untuk mengambil beg tangan serta kunci kereta.
“Mama!” Kanak-kanak itu menjerit. Sebaik saja Hessa berpaling, dia lihat kanak-kanak itu memandang ke seberang jalan.
“Adik!” Hessa menjerit sekuat hati apabila kanak-kanak itu ingin berlari mendapatkan ibunya di seberang jalan.
Dengan keadaan jalan raya yang tak putus kenderaan, Hessa bertindak pantas menangkap kanak-kanak itu. Nasib baik kereta masih jauh. Hessa mengusap dadanya yang berdebar. Kanak-kanak itu beriak biasa.
“Adik, bahaya tau lintas jalan macam tu,” ujar Hessa sedikit geram. Mujurlah dia sempat menariknya sebelum apa-apa terjadi. Nak pitam rasanya.
“Saya nampak mama. Sana.”
Hessa pandang ke arah yang dimaksudkan. Jauh ke seberang jalan. Ada seorang wanita di bahu jalan sedang memandang ke arahnya. Wanita itu sedang mencari peluang untuk melintas jalan. Hessa menghela nafas lega yang panjang.
Tidak lama selepas itu, wanita yang didakwa mama oleh kanak-kanak itu dapat melintas jalan dengan jayanya. Hessa lemparkan senyuman dari jauh. Wanita itu menerpa ke arahnya dan terus menamparnya.
“Berani kau larikan anak aku? Kau nak culik dia ek?” Wanita itu terus menyelar Hessa dengan wajah menyinga. Kemudian wanita itu menarik anaknya dekat dengannya. Memeluk bahu kerana risau anaknya akan dilarikan.
Hessa tercengang-cengang kerana tamparan itu singgah dengan begitu cepat. Hessa bertenang dengan menarik nafas. Mungkin wanita itu sudah salah faham kerana menyangka dia ingin menculik anaknya.
“Akak, sebelum tu saya ucap terima kasih kat akak sebab tampar saya. Lagipun, akaklah orang pertama yang lempang muka saya ni. Mak bapak saya belum pernah lagi tau.”
Wanita itu mencerlang mata ke arah Hessa.
“Memang patut kau kena lempang! Sebab mak bapak kau tak pernah tampar kaulah yang kau jadi macam ni,” selar wanita itu lagi.
“Okey. Cool Hessa. Saya maafkan akak. Cuma, sebelum akak tuduh saya nak culik anak akak tu, saya nak bagi tahu akak satu benda. Kalau saya tak selamatkan dia tadi, anak akak mungkin... Dia nak lintas jalan macam tu aje sebab nampak akak kat seberang jalan. Kalau saya tak tarik dia tadi, akak tahu apa jadi kat anak akak?”
Air muka wanita itu berubah ketara. Wajah yang menyinga bertukar dengan riak kesal.
“Betul ke dia nak tolong Aqisy tadi?” Wanita itu alihkan pandang ke arah anaknya. Suaranya yang tegang bertukar kendur.
Kanak-kanak dengan nama Aqisy itu angguk. “Betul, mama.”
Wanita itu memandang Hessa dengan rasa menyesal. Dia terus menuduh tanpa mengetahui kejadian sebenar. Salahnya juga kerana cuai sehingga anaknya hilang. “Dik, akak minta maaf. Akak risau sangat tadi. Akak cari merata-rata. Maafkan akak ya. Dan terima kasih sebab selamatkan anak akak.”
Mendengar ucapan maaf daripada wanita itu, hilang sudah rasa geram dalam hati Hessa. Dia faham apa yang wanita itu rasakan. Tetapi, tak perlu terus menyerang tanpa usul periksa. Tak pasal-pasal dia dapat pelempang percuma. “Tak apalah, kak. Saya maafkan.”
“Betul ni? Akak betul-betul minta maaf sebab tampar awak tadi.” Wanita itu masih menyesali keterlanjuran sikapnya.
Hessa angguk. Malas nak ulangi kata-kata maaf. Cukuplah dia katakan yang dia sudah maafkan wanita itu.
“Terima kasih sebab selamatkan anak akak.”
Hessa senyum lagi.
“Akak pergi dulu ya.”
Hessa dan wanita itu bersalaman. Hessa turut bersalam dengan Aqisy. Sebaik saja dua beranak itu pergi, Hessa dikejutkan dengan satu lembaga yang muncul dari belakang keretanya. Sepasang matanya bulat sempurna memandang Zafrel.
“Macam tu aje awak maafkan dia?”
“Apa awak buat kat sini? Apa maksud awak?”
Zafrel datang ke arah Hessa. Menyingsing lengan kemeja kiri dan kanan hingga ke siku. Dia tahu Hessa tak tahu tujuan dia datang ke sini. Tadi, dia mendapat satu tugasan khas daripada Encik Zikri.
Tak sangka pula dia dapat tengok drama yang cukup menarik. Adegan yang cukup dramatik ketika Hessa menyelamatkan kanak-kanak itu sehinggalah Hessa ditampar. Dia menontonnya sehingga habis memandangkan Hessa langsung tak menyedari kedatangannya di tempat kejadian. Hessa tetap tenang walaupun ditampar dan diselar dengan kasar.
“Dia dah tuduh awak culik anak dia, tampar awak, awak maafkan macam tu aje? Kalau saya jadi awak, saya tampar balik. Padahal awak dah selamatkan anak dia.”
Hessa masih bingung. Zafrel tiba-tiba saja muncul di sini. Bersuara tentang kejadian tadi. Oh, tidak! Adakah Zafrel tengok aksi dia ditampar tadi? Hessa tergamam seketika. “Jadi, awak nampaklah dia tampar saya?”
Zafrel sekadar senyum.
“Kenapa awak tak tolong saya?”
“Tolong? Manalah saya tahu kalau awak memang nak culik budak tu. Lagipun masa saya sampai tadi, cerita dah sampai klimaks. Saya tak tahu siapa betul dan siapa salah. Endingnya, awak memang tak salah. Tapi, dia yang salah.”
Hessa ketap bibir. “Jadi, awak ingat saya nak culik budak tadi?”
Lelaki itu angguk selamba.
Kali ini, Hessa benar-benar rasa marah. Kereta rosak tiba-tiba, hari panas, kemudian kena tampar, nanti tak pasal-pasal ada yang kena tamparan kuasa tiga.
“Kenapa awak tiba-tiba ada kat sini?” soal Hessa dengan nada berang. Zafrel, kalau tak sakitkan hatinya, memang bukan Zafrellah.
“Tadi, saya dapat repot ada kereta rosak kat sini. Katanya perempuan. Saya terus bayangkan perempuan cantik macam Neelofa. Itu yang saya datang sini. Bila saya sampai, rupa-rupanya...” Zafrel leretkan jelingan nakal.
Hessa membalas dengan jelingan maut. Kemudian dia dapat menangkap sesuatu.
“Abah saya bagi tahu awak? Dia suruh awak datang sini?” Hessa langsung tak terfikir abahnya akan menghantar Zafrel ke sini.
“Pandai!” Zafrel petik jari. “Memandangkan awak dah tolong saya kelmarin, jadi hari ni saya pulak tolong awak. Adil. Kosong-kosong. Saya tak hutang awak, awak tak hutang saya.”
“Eh, tak payah. Tukar tayar pun tak tahu. Nak repair kereta pulak!” perli Hessa seraya berpeluk tubuh.
“Wah, awak ni betul-betul pandang rendah kat saya!”
“Bukan pandang rendah. Tak yakin. Dan saya tahu awak tak tahu apa-apa pasal kereta.”
“Apa kurangnya awak. Kalau awak tahu tukar tayar, macam mana awak tak tahu kereta awak rosak apa?” bidas Zafrel sehingga berjaya mendiamkan dua ulas bibir Hessa.
Wajah Hessa yang cemberut diamati. Zafrel kagumi sikap Hessa yang prihatin terhadap kanak-kanak tadi. Walaupun luarannya kasar dan mulutnya tak berinsurans, Zafrel terpaksa akuinya. Mungkin dia patut beri peluang untuk mengenali Hessa lebih dekat. Lagipun, mereka akan dijodohkan. Dia mula menyenangi gadis itu walaupun kekwat.
“Kalau awak datang nak tolong saya, tolonglah cepat!” Hessa bersuara mendesak setelah beberapa ketika diam.
Lantang sungguh nada suaranya. Langsung tak pandai berlembut. Zafrel mula bertindak sambil mengerling ke arah Hessa. Dia akan buktikan kepada Hessa yang dia tahu membaiki kereta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan