Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 26 Ogos 2016

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 5

TEKAPAN kaki ke permukaan tar diatur perlahan. Dia menoleh kiri lalu ke kanan memandangkan jalan di hadapannya terbahagi kepada tiga. Jalan bertentangan pula menuju ke barisan kedai seterusnya.
Lampu jalan di bahagian belakang kedai tersebut kebanyakannya tidak berfungsi. Hanya dua sahaja yang menyala. Berbekalkan cahaya yang ada, Zulqadree mengambil keputusan untuk ke kanan. Selepas 50 meter berjalan, Zulqadree bertemu dengan seorang lelaki tua.
Insan tersebut kelihatan berselera menikmati hidangan yang berada di dalam polistirena. Dia tidak hirau dengan sekeliling. Longgokan sampah yang begitu hampir sama sekali tidak membantut selera untuk mengisi perut.
Semakin menuju ke penghujung, semakin ramai manusia gelandangan yang sedang menjamu selera. Zulqadree memandang sekitar. Deria matanya terhinggap pada satu sudut. Keadaan belakang kedai itu seakan-akan tidak bertuan.
Satu ampaian menggunakan tali rafia dihasilkan pada permukaan dinding. Ampaian itu menempatkan baju serta kain yang lusuh dan compang-camping. Bentangan kain kanvas yang hampir reput dijadikan seperti bumbung untuk tempat berteduh manakala lantai pula hanya beralaskan kotak.
Melihat suasana yang terbentang di hadapan mata, Zulqadree dapat mengagak sebahagian insan yang ada di situ menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat tinggal mereka. Ya Allah... Aku hidup senang-lenang, tapi kenapa aku tak pernah terfikir ada lagi manusia yang hidup dalam keadaan daif macam ni?
Jiwa Zulqadree dirundung perasaan sebak. Rasa yang cuba ditahan semakin merebak ke seluruh sanubari. Lupa seketika tujuan dia berada di laluan kecil itu.
“Hei... Kenapa duduk diam kat sini ni? Kenapa Mira tak makan nasi tu?”
Suara itu memecah lamunan Zulqadree. Dia kenal suara tersebut. Serta-merta penglihatannya terarah ke pemilik suara itu. Irdina Wira sedang duduk di sisi seorang kanak-kanak perempuan. Kedudukan mereka terselindung di sebalik timbunan kotak yang ada. Zulqadree cuba menjengah. Dia menyembunyikan diri. Dia tidak mahu Irdina Wira menyedari kehadirannya.
“Mira tak lapar ke?”
“Lapar.”
“Habis tu, kenapa tak makan nasi tu? Sedap tau. Ada ayam goreng, ada sayur,” pujuk Irdina Wira. Risau pula dia melihat keadaan budak yang masih berpakaian sekolah itu memandangkan dia mahu pulang sebentar lagi.
Budak perempuan yang dikenali sebagai Mira itu membisu lagi. Tiba-tiba nada perut yang meminta untuk diisi kedengaran.
“Ha, akak dengar perut tu berbunyi. Makanlah, nanti sakit macam mana?”
“Mira teringat ibu dengan ayah kat rumah. Dia orang belum makan lagi.”
Tersentap hati Irdina Wira mendengar butir bicara tersebut. Bagaimana seorang anak kecil yang kelaparan sanggup mengenepikan diri sendiri demi orang lain?
“Tadi kerja kat restoran tu tak dapat bungkus apa-apa makanan ke?” soalnya memandangkan dia tahu kanak-kanak itu bekerja sebagai pencuci pinggan sejurus pulang dari sekolah untuk membantu ibunya menyara keluarga.
Ayah Mira pula lumpuh separuh badan setelah kemalangan hampir setahun.
“Ibu cakap tak baik minta kat orang. Apa yang orang kasi, ambil aje. Jangan minta kalau orang tu tak nak bagi. Ibu cakap, Mira kena bersyukur sebab ada orang yang langsung tak dapat tinggal kat dalam rumah. Macam pak cik dengan abang kat sini.”
Manik jernih sudah bergenang di kelopak mata. Irdina Wira berusaha menahan air itu gugur ke pipi. Anak sekecil itu sudah dilimpah dengan dugaan yang besar. Irdina Wira cuba mengukir senyuman. Dia tidak boleh tampak lemah. Jika tidak, bagaimana dia mahu menyalurkan semangat kepada kanak-kanak tersebut?
Dia mengusap lembut rambut budak perempuan itu. “Pandai adik kakak ni. Mira janganlah sedih. Nah, kebetulan tinggal sebungkus nasi ni. Mira boleh kasi ibu dengan ayah Mira.”
“Tapi...” Wajah Mira terpamer bersalah.
“Tak, yang ni bukan Mira yang minta. Akak yang nak kasi,” ujar Irdina Wira dan dalam masa yang sama dia terus memindahkan bungkusan makanan tersebut ke tangan Mira.
Raut murung lantas bertukar gembira. Pandangan Mira silih berganti antara makanan yang berada di tangan dengan wajah Irdina Wira. “Terima kasih, Kakak Wira.”
Itulah gelaran yang diberikan oleh gelandangan yang berada di situ. Walaupun berkali-kali gadis itu meminta untuk memanggilnya dengan gelaran Ird, mereka tetap mahu memberikan panggilan tersebut kerana sifat murah hatinya. Jika ada Qhayrul, mereka juga memanggil dengan gelaran yang sama iaitu Abang Wira.
Bagi mereka, golongan prihatin seperti kedua-dua orang anak Idrus Wira itulah yang membantu mereka untuk meneruskan kehidupan. Walaupun tidak setiap hari Irdina Wira dan Qhayrul datang, bantuan dan belas ihsan yang dihulurkan mampu meringankan apa yang terbeban di bahu.
“Sama-sama,” balas Irdina Wira diringi usapan lembut singgah ke kepala itu.
“Kalau macam tu, Mira nak balik sekaranglah. Bye-bye, Kakak Wira.” Tanpa membuang masa, Mira segera berlari-lari anak.
Gadis itu pula terpinga-pinga melihat reaksi tersebut. “Eh? Nak akak temankan tak?”
“Tak apa. Mira boleh balik sendiri!” laung budak perempuan itu sambil berlari. Suaranya kedengaran girang. Jauh di sudut hati kecilnya merasakan begitu bertuah kerana mengenali orang dewasa itu.
Irdina Wira memerhatikan sahaja sehingga kelibat tu lenyap daripada penglihatan.
Namun, tanpa Irdina Wira sedari, ada satu hati yang sedang berdetak pantas kerana tingkahnya itu. Pandangan yang penuh rasa indah menemani setiap gerak-geri Irdina Wira. Zulqadree benar-benar tersentuh dengan perbuatan Irdina Wira. Sebelum beredar, perempuan tersebut berbual seketika dengan rakan-rakan jalanannya.
Membaca tindak-tanduk yang gadis itu mahu melangkah menuju ke arahnya, dengan pantas Zulqadree beredar. Dia mengambil keputusan untuk berpatah balik ke tempat parkir motosikal berwarna hitam itu. Kali ini, dia tidak mahu terlepas lagi. Dia mahu menunggu manusia yang mampu mengawal denyutan jantungnya.
Zulqadree melabuhkan punggung ke permukaan tangga berhadapan salah satu kedai. Senyuman lebar hingga ke telinga terus terpamer pada wajah.
“Sabar, hati, sabar. Jangan berdegup kuat sangat. Hati, aku tahu kau tak sabar nak suruh Kakak Wira ni duduk dengan kau.” Zulqadree berdialog dengan hatinya sendiri. Tangan kanan lelaki tersebut mengusap bahagian dada kiri yang terasa hampir mahu meletup.
Dia sudah ternanti-nanti kelibat itu muncul di celahan lorong. Membayangkan mata Irdina Wira bertaut pandangan dengan matanya sudah cukup membuatkan hatinya berbunga. Namun, ada satu bunyi dari arah lorong belakang tiba-tiba menusuk ke gegendang telinga. Bunyi seakan-akan benda terhempas lalu bergolek mencelah lamunan indah Zulqadree. Sekali lagi lelaki itu diserang perasaan ingin tahu.
Zulqadree bangun.


IRDINA WIRA memaksa ayunan kaki berhenti. Jiwanya tidak semena-mena disuntik satu rasa yang tidak selesa. Deria keenam mewujudkan rasa sangsi dan tidak selamat. Gadis berambut pendek itu menoleh ke belakang. Kosong.
Entah mengapa dia merasakan ada seseorang sedang mengekorinya. Irdina Wira cuba membuang rasa tidak enak yang terbit. Dia berpaling ke hadapan semula. Perasaan negatif cuba diusir jauh. Irdina Wira mengambil keputusan untuk mempercepat langkah. Malangnya, baru sahaja lima langkah menapak, dengan sekelip mata ada satu kelibat menekup mulutnya dari arah belakang. Serta-merta topi keledar yang dipegang terhempas ke permukaan jalan dek rasa terkejut.
Irdina Wira cuba menjerit. Akan tetapi, semakin kuat tekapan tapak tangan itu mencengkam hampir separuh wajahnya. Tangan kasar tersebut menyekat penafasannya. Irdina Wira sesak untuk menghirup udara.
“Kalau kau cuba nak jerit, aku tak teragak-agak nak benamkan pisau ni kat badan kau,” ugut lelaki itu dengan bisikan.
Dahi Irdina Wira sudah berpeluh. Denyutan nadi terus tidak menentu tatkala deria sentuhan merasakan hujung pisau mengena ke bahagian belakang badannya. Irdina Wira kenal dengan pemilik suara itu.
Tiada pilihan lain, dia menurut sahaja permintaan tersebut. Walau bagaimanapun, Irdina Wira cuba meloloskan dirinya daripada cengkaman lelaki itu. Puas dia mengerah kudrat. Namun, semua hanya sia-sia. Susuk tubuh yang lebih gagah menarik tubuh Irdina Wira ke ruangan gelap dan tersembunyi. Pelbagai ramalan buruk mula bermain di minda.
“Apa yang kau nak?” soal Irdina Wira tatkala Emir Farith melepaskan dirinya.
Emir Farith memaksa perempuan itu bersandar pada dinding. “Kau tanya apa yang aku nak?”
“Dayus sangat ke kau sampai nak buat macam ni?”
“Apa kau cakap? Dayus?”
“Memang itu panggilan yang layak untuk kau.”
Emir Farith tertawa sinis. Dia bermain-main dengan pisau jenis yang boleh dilipat bahagian bilahnya itu.
“Aku dah bagi amaran kat kau tadi. Kalau kau jerit, pisau ni...” Sengaja dia menggantungkan susunan katanya.
Satu tamparan kuat menyinggah ke pipi kanan Irdina Wira. Daya yang mengena ke wajah menyebabkan badan perempuan itu teralih. Separuh badannya tertunduk. Emir Farith memaksa Irdina Wira berdiri tegak semula. Sebelah tangan mencengkam rahang.
“Kau tak nak jerit lepaskan rasa sakit tu ke?” tanya Emir Farith dan dalam masa yang sama meletakkan pisau di pipi yang terkena tamparan tadi. Dia mengacah mahu menoreh bahagian anggota tersebut.
Adik bongsu Isyraf menahan perit yang datang menerpa ke pipi.
“Hari tu kau cakap aku layak jadi dinding. Hari ni kau cakap aku dayus?”
Irdina Wira tidak mampu membalas. Pandangannya tertunduk.
Melihat bekas kekasihnya itu seperti tidak mampu berlawan, Emir Farith terus bertindak dengan menolak tubuh Irdina Wira ke dinding. Satu hentakan mencetuskan rasa perit menerpa ke tubuh belakang itu.
“Sakit?” ejek Emir Farith tatkala melihat wajah Irdina Wira berkerut-kerut.
Kerana menahan rasa itu, Irdina Wira mengalirkan air mata.
“Macam nilah yang aku rasa bila kau siram aku dengan air kat restoran hari tu.” Bahagian belakang rambut Irdina Wira yang pendek direntap dengan kuat sehingga perempuan itu terpaksa mendongakkan kepala. “Macam mana rasa bila badan kena hentak ke dinding? Itu belum aku yang kau cakap dinding ni hentak badan kau pula.”
“Kau nak apa, binatang?”
“Wah, banyak betul gelaran kau kasi kat aku.”
Sekali lagi Emir Farith melayangkan tangannya ke wajah mulus itu. Kali ini serangan menyinggah ke pipi kiri dan kanan.
Irdina Wira mula merasakan pandangannya berpinar.
“Kau tak teringin nak manja-manja dengan aku macam kita kat Perth dulu ke?”
“Aku...” Irdina Wira menelan seketika air liurnya. Dia dapat merasakan cecair merah mula keluar pada hujung bibir.
“Takkan... jadi bodoh untuk kali kedua,” sambungnya dengan nada yang tersekat-sekat.
Emir Farith semakin bertambah sakit hati tatkala mendengar lanjutan bicara insan itu. Tempoh hari Irdina Wira memalukan dirinya di khalayak ramai. Bukan sekali, malah dua kali perempuan itu dengan beraninya menjatuhkan maruahnya.
“Permintaan aku senang aje, tapi kau jual mahal. Kau jangan nak pura-pura baiklah. Kau tu perempuan liar. Bila perempuan macam kau ni pernah liar, sampai bila-bila pun kau tetap perempuan tak baik. Konon tak pernah tidur dengan lelaki. Biar malam ni aku jadi orang pertama yang tidur dengan kau. Lepas tu, akan ada yang kedua, ketiga.”
Kelopak mata Irdina Wira terpejam rapat. Sakit pada wajah beralih ke hati. Lafaz bicara Emir Farith menusuk lalu menghiris maruahnya. Lelaki itu pula terus mencengkam bahagian bawah dagu. Dia memaksa kepala Irdina Wira rapat ke dinding.
“Apa yang kau dapat dengan buat aku macam ni?”
Emir Farith merapatkan bibirnya ke telinga kanan gadis tersebut.
“Bila orang tu dah buat benda aku tak suka sekali, aku akan balas balik dua kali,” ucap pemuda itu dengan nada perlahan. Setelah itu dia membenam kasar bibirnya ke leher Irdina Wira.
“Lepaskan aku, Emir,” rayunya diiringi linangan air mata. Irdina Wira meronta-ronta.
Menerima reaksi sebegitu, Emir Farith terus mengulangi layangan tangan ke pipi lalu menolak susuk tubuh kecil itu ke permukaan lantai. Irdina Wira tampak lemah dan tidak bermaya.
“Aku akan lepaskan kau bila aku dah dapat apa yang aku nak. Kau dapat bayangkan tak, muka dan badan salah seorang waris Restoran Warisan Wira yang langsung tak berbaju jadi bahan jamuan mata lelaki? Kalau aku sebar...” Lelaki itu menggantung bicara. Pisau yang berada di tangan berlabuh pada salah satu butang kemeja yang tersemat di tubuh gadis itu.
Jahitan butang di bahagian dada lantas terlerai. Emir Farith terus mendedahkan sebahagian anggota di bahagian tersebut. Bahu dan dada Irdina Wira telah terpampang.
“Emir... aku merayu kat kau...”
“Merayu?” Emir Farith mengukir senyuman sinis. Tangannya menyeluk poket seluar.
Dia mengeluarkan sapu tangan yang lembap. Sapu tangan itu mengandungi cecair yang boleh membuatkan seseorang itu pengsan jika terhidu. Emir Farith mahu membawa Irdina Wira ke hotel yang sudah disewanya. Dia sudah hilang pertimbangan dan mahu membalas dendam. Dia mahu Irdina Wira malu berlipat kali ganda.
Dalam kalangan gadis yang pernah menjadi kekasihnya, Irdina Wira yang tidak pernah jatuh ke dalam perangkap hingga ke kamar tidur. Irdina Wira umpama jinak-jinak merpati. Kelihatan mudah untuk dimiliki. Akan tetapi, semakin didekati, semakin sukar digapai.
Sewaktu melihat perbuatan Emir Farith, Irdina Wira dapat menjangkakan apa yang berlaku. Dengan tenaga yang ada, dia cuba bangkit. Malangnya, lelaki yang dikuasai amarah itu lantas menghalang. Rahang Irdina Wira ditekup dengan objek lembut itu.
Baru sesaat dua melakukan hal itu, tidak semena-mena ada satu tendangan singgah ke belakang tubuh Emir Farith.
“Kurang ajar!”
Dua perkataan itu menusuk ke pendengaran Irdina Wira. Tidak kira siapa pemilik suara itu, yang penting manusia tersebut telah menyelamatkan dirinya. Dia rebah ke permukaan jalan. Melalui penglihatan yang tidak jelas, dia dapat melihat ada satu susuk tubuh sedang berlawan dengan Emir Farith.
Dia berusaha untuk menyedarkan diri. Namun, semakin dia cuba, kepalanya terasa berat. Pandangan yang kabur kian menjadi gelap. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan