Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 9

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

CHE HANNAH mengeluh sebaik sahaja telefon bimbitnya berbunyi buat kali ketiga. Apa lagi kalau bukan panggilan daripada Puan Zaharah.
Rizz Fahim hanya mengerling Che Hannah. Kelakar juga hatinya melihat Che Hannah yang kalut dari tadi menjawab panggilan ibunya. “Mak awak lagi eh?”
“Aha...” jawab Che Hannah malas. Terus panggilan ibunya dijawab.
“Hah, kakak dah kat mana ni? Mak dah siap masak dua jam dari tadi. Takkan tak sampai-sampai lagi?”
Che Hannah menjauhkan sedikit telefon dari telinganya. Suara ibunya yang kuat membingitkan telinganya.
“Mak, ni baru pukul 11.00 pagi. Takkan mak dah siap masak kut,” balas Che Hannah.
“Eh, kakak cakap bakal suami kakak nak datang sini. Awal-awal lagi mak dah siap masak semua dah,” balas Puan Zaharah di talian.
“Mak!”
Rizz Fahim yang sedang memandu tersentak dengan jeritan Che Hannah di sebelahnya.
Che Hannah mula terasa malu dengan jeritan yang tidak sengaja dia keluarkan tadi.
“Jangan laju sangat. Nanti masuk lorong depan tu,” tegur Che Hannah. Hilang sedikit rasa malunya terhadap Rizz Fahim ketika dia menjerit tadi.
Kedengaran suara emaknya di talian, menyedarkan Che Hannah.     
“Kami dah nak sampai mak,” kata Che Hannah seraya mematikan perbualan telefon. Dia tidak mahu leka bercakap dengan emaknya kerana bimbang nanti Rizz Fahim terlajak pula.
Kereta Rizz Fahim berhenti betul-betul di halaman rumah kayu separuh batu yang tidak berpagar. Seorang perempuan pertengahan 40-an segera menjenguk keluar.
“Itu mak saya. Mari,” kata Che Hannah lalu keluar dari kereta.
“Mak!” jerit Che Hannah seraya mendapatkan Puan Zaharah. Segera tangan emaknya dicium.
“Mak tak habis cakap lagi dah letak telefon. Eee... budak ni. Berapa kali mak nak pesan? Boleh tak sopan santun sikit nak letak telefon tu? Ni tak pasal-pasal mak bercakap sorang-sorang,” bebel Puan Zaharah.
Che Hannah tersengih mendengar bebelan emaknya. Dia mahu menjawab, tapi terasa malu pula apabila Rizz Fahim memberi salam di belakangnya. Lembut salam lelaki itu dijawab oleh Puan Zaharah.
“Emak, ni Rizz Fahim,” beritahu Che Hannah.
“Mari naik dulu. Kita bincang kat dalam,” ajak Puan Zaharah.
Segera Che Hannah dan Rizz Fahim mengikuti Puan Zaharah naik ke rumah.
“Duduklah. Rumah mak cik ni kecil aje,” pelawa Puan Zaharah kepada Rizz Fahim.
Che Hannah yang turut mahu duduk bersama Puan Zaharah dan Rizz Fahim tidak menjadi apabila emaknya bersuara.
“Kakak pergi buatkan air,” arah Puan Zaharah.
Dalam diam Che Hannah mengeluh. Dia baru hendak berehat sekejap, emak sudah suruh dia ke dapur. Sempat dia menarik muncung sedepa sebelum berlalu. Tingkahnya itu sempat diperhatikan oleh Rizz Fahim.
“Siapa nama tadi? Lupa pulak,” tanya Puan Zaharah mesra.
“Err... Rizz Fahim, mak cik. Panggil saya Rizz aje,” balas Rizz Fahim malu-malu.
“Umur berapa? Kerja kat mana?” soal Puan Zaharah lagi.
Sebelum Rizz Fahim diterima sebagai menantunya dia harus soal selidik dulu lelaki di hadapannya ini. Orangnya boleh tahan kacak, pakaian pun segak bergaya. Pakai pula kereta besar. Namun, itu bukan kriteria untuk jadi menantunya. Muka saja nampak baik, mana tahu kalau dia ni bapak ayam? Sempat lagi Puan Zaharah berfikir begitu.
“Umur saya 30 tahun, mak cik. Saya doktor di hospital,” beritahu Rizz Fahim jujur.
“Doktor?” Terkejut besar Puan Zaharah mendengarnya.
Betul ke lelaki di hadapannya ini kerjanya doktor? Pandai juga anaknya mencari.
“Ya, mak cik. Kenapa?” soal Rizz Fahim pula. Hairan dia melihat Puan Zaharah yang terkejut memandangnya.
“Err... tak ada apa-apa. Betul ke umur 30? Nampak macam 25 aje,” seloroh Puan Zaharah.
Rizz Fahim hanya tersenyum mendengar kata-kata Puan Zaharah. Bukan Puan Zaharah seorang saja yang tidak percaya umurnya sudah 30 tahun. Yang pertama kali mengenalinya juga tidak mempercayainya.
“Dah lama kenal dengan Hannah? Kenal kat mana?”
“Kami dah berkawan dah dekat setahun mak,” sampuk Che Hannah yang sedang menatang dulang kopi berserta biskut kering.
Bulat mata Rizz Fahim mendengar jawapan Che Hannah. Oh, dengan mak dia pandai pula gadis ini mahu menipu. Tetapi, dengan keluarganya bukan main Che Hannah bercakap benar. Nasiblah nenek terima Che Hannah sebagai cucu menantunya. Hati Rizz Fahim berbicara.
“Dah dekat setahun baru nak cakap kat mak? Mujur mak tak terima lagi pinangan Suhaimi. Mak dah nyaris-nyaris nak pinang Suhaimi tu jadi laki kakak,” kata Puan Zaharah tanpa berlapik.
Merah padam wajah Che Hannah di hadapan Rizz Fahim.
“Mak... Hannah tak naklah kahwin dengan si duda tu,” balas Che Hannah perlahan. Namun, kata-katanya itu masih jelas kedengaran di telinga Rizz Fahim.
“Mak sebenarnya risaukan kamu ni. Masak ke laut, kalau matahari tak meninggi tak bangun-bangun lagi. Macam manalah kamu tinggal kat KL tu? Dahlah jauh daripada mak. Kebetulan si Suhaimi tu bertanyakan kamu. Kalau boleh mak memang nak kakak terima aje dia. Nasiblah mak ni terasa nak tanya hati kakak dulu,” kata Puan Zaharah panjang lebar.
Che Hannah mengerling Rizz Fahim. Dia mula terasa malu dengan kata-kata emaknya di hadapan Rizz Fahim. Geram pula Che Hannah dengan emaknya yang langsung tidak menjaga air mukanya di hadapan Rizz Fahim. Sudahlah dia baru kenal lelaki ini.
“Orang tua Rizz macam mana? Dah tahu hubungan awak berdua ni?” soal Puan Zaharah risau.
Rizz Fahim tersenyum memandang Puan Zaharah.
“Minggu depan keluarga saya nak datang jumpa mak cik untuk bincangkan hubungan kami ni,” balas Rizz Fahim.
Terus wajah Che Hannah merona kemerahan. Malu pula bila soal kahwin didengari oleh ibunya. Mahu sahaja dia menutup wajahnya.
“Hah, nak datang minggu depan? Betul ke?”
“Ya, mak cik. Nenek dan umi saya nak minta cepatkan perkahwinan kami dalam masa dua bulan,” beritahu Rizz Fahim lagi.
“Dua bulan?” soal Che Hannah terperanjat besar.
Wah, cepatnya dia nak naik pelamin. Kenapa Rizz Fahim tidak memberitahunya awal-awal. Sebentar tadi dia geram dengan sikap ibunya yang memalukannya di hadapan bakal suaminya. Kini, dia geram dengan sikap Rizz Fahim yang tidak berbincang dengannya terlebih dahulu.
“Elok sangat tu. Lagi cepat Hannah ni kahwin lagi senang hati mak cik. Biar dia lebih matang nak uruskan rumah tangga. Ini masak pun tak berapa nak mahir lagi,” bebel Puan Zaharah.
Che Hannah sudah memasamkan wajahnya.
Rizz Fahim hanya tersenyum. Sesekali dia mengerling Che Hannah yang seakan-akan tidak berpuas hati dengan kata-kata emaknya.
Makkk... kereta siapa kat luar ni?!” Kedengaran jeritan Che Hakimi di luar rumah memanggil Puan Zaharah.
“Mak, kereta siapa yang besar sangat tu? Siapa datang rumah kita ni?” soal Che Hanif yang sudah masuk ke dalam rumah.
Puan Zaharah sudah geleng kepala.
“Eh, kakak dah balik. Abang Hakimi, Abang Hadi, kakak balik!” jerit Che Hanif seraya mendekati Che Hannah. Terus Che Hannah dipeluknya erat.
“Baru balik mengaji?” soal Che Hannah. Pipi adik bongsunya yang berusia tujuh tahun itu diciumnya.
Che Hanif lantas mengangguk. Kemudian dia berpaling ke arah lelaki yang duduk berhadapan dengan Puan Zaharah.
“Ini siapa kak?” soal Che Hanif sebaik dia tersedar ada tetamu yang datang ke rumahnya.
“Jemput minum, Rizz,” suruh Puan Zaharah.
Hampir terlupa pula dia untuk mempelawa tetamunya minum. Kalut sangat dia mahu tahu tentang sejauh mana hubungan anak gadisnya dengan lelaki ini. Malu pula dia di hadapan Rizz Fahim.
Rizz Fahim mengangguk lantas dicicip kopi yang masih panas.
“Ini pakwe akak eh?” soal Che Hanif lagi ingin tahu.
“Adik tak payah sibuk, pergi mandi. Busuklah bau peluh adik ni,” sakat Che Hannah.
“Assalamualaikum,” sapa Che Hadi dan Che Hakimi serentak.
“Eh, kita ada tetamulah Abang Hadi. Eh, kakak pun ada. Ooo... akak balik kampung dengan teman lelaki ya,” sampuk Che Hakimi yang berusia 11 tahun.
Segera dia mendapatkan kakaknya itu. Che Hadi menghulurkan tangan untuk bersalam dengan tetamu yang datang ke rumahnya. Hatinya juga mahu tahu siapa sebenarnya lelaki segak bergaya ini.
“Acik, adik, salam dengan Abang Rizz ni,” suruh Puan Zaharah.
Segera Che Hakimi dan Che Hanif bersalaman dengan Rizz Fahim.
“Pergi simpan Quran tu. Nanti kita makan sama-sama dengan Abang Rizz,” suruh Puan Zaharah.
Che Hakimi dan Che Hanif akur lalu beredar. Che Hadi yang berusia 18 tahun masih berada di situ bersama tetamunya. Dia juga mahu tahu siapa sebenarnya Rizz Fahim ini. Yalah, orangnya segak bergaya. Pakai kereta besar pula tu. Tertanya-tanya hatinya mahu tahu siapa Rizz Fahim sebenarnya?

“KAKAK, betul ke akak nak kahwin dengan Abang Rizz? Amboi, beruntunglah kakak kahwin dengan doktor. Kalau sakit tak payah susah-susah, sebab dah ada doktor yang jagakan,” usik Che Hadi kepada kakaknya yang sedang mencuci pinggan di dapur setelah selesai mereka semua makan tengah hari.
Puan Zaharah serta dua orang adiknya sudah ke hadapan bersama Rizz Fahim.
Mendengar kata-kata Che Hadi, segera Che Hannah merenjis air ke arah adiknya.
“Apa ni akak? Orang cakap elok-elok dia main-main renjis air pulak,” cebik Che Hadi.
Tidak sabar pula rasanya dia menunggu Rizz Fahim menjadi abang iparnya. Tidak disangkanya, kakaknya dalam diam-diam sudah ada kekasih hati. Kalau diikutkan kakaknya ini memang payah hendak berkawan dengan lelaki. Di sekolah, selalu sahaja kakaknya ini berperang mulut dengan lelaki yang suka cari pasal dengannya. Tidak padan dengan kecil, garangnya bukan main.
“Angah tengok Abang Rizz tu macam mana? Okey ke dengan akak?” soal Che Hannah tiba-tiba.
Che Hadi ketawa mengejek. Kakaknya lebih kenal rapat dengan Rizz Fahim, takkan tidak tahu bagaimana dengan perangai Rizz Fahim? Dia pula hanya kenal beberapa jam sahaja dengan bakal abang iparnya itu.
“Ni yang malas akak nak tanya ni. Atau angah lebih suka akak kahwin dengan Abang Suhaimi tu?” kata Che Hannah mencebik.
“Abang Suhaimi? Si duda anak dua tu ke?” soal Che Hadi.
Laju sahaja Che Hannah mengangguk.
“Akak pun ada hati dengan Abang Suhaimi ke? Minta selisih dia jadi abang ipar angah. Angah tak suka sebab dengar-dengar cerita dia tu kaki pukul jugak, kan?” ujar Che Hadi.
“Isy, siapa cakap akak suka dia? Mak yang gatal sangat nak jodohkan akak dengan Abang Suhaimi,” cerita Che Hannah.
“Kalau angahlah, angah pilih Abang Rizz. Dahlah handsome, nampak baik. Kerja pun doktor,” kata Che Hadi algi.
“Hah, dah siap ke belum cuci pinggan tu? Jangan asyik berborak aje,” laung Puan Zaharah yang sudah muncul di dapur.
“Tengah cucilah ni mak,” balas Che Hannah sambil memuncungkan mulutnya. Bukannya dia tidak tahu sikapnya emaknya yang suka berleter. Boleh pekak telinganya nanti.
“Akak ni mak. Dia cakap mak nak sangat bermenantukan Abang Suhaimi si duda tu. Betul ke mak? Kalau mak tanya angah, memang angah dah reject Abang Suhaimi tu awal-awal,” kata Che Hadi lagi.
“Ermm... mak saja aje nak ugut kakak. Mak nak dia kahwin cepat-cepat sebab mak bimbang dia tinggal kat KL tu lama-lama. Kat KL tu ramai penjahat. Mak takut apa-apa terjadi kepada kakak. Kalau tak kerana mak ugut kakak, mak takkan tahu kakak ni sebenarnya dah ada buah hati. Kalau tak, mak akan minta pak long carikan calon untuk kakak ni. Mak senang sangat dengan pilihan kakak, kerja pun bagus, orangnya pun baik. Hah, satu lagi kakak ni bukannya pandai nak buat kerja rumah. Goreng telur pun boleh hangit. Elok dia kahwin awal,” kata Puan Zaharah berterus terang.
Sebaik mendengar pengakuan emaknya, gemuruh di dadanya kian memuncak. Jadi, emak ugut dia sebab bimbangkan dia bekerja di Kuala Lumpur? Mati-mati dia ingatkan emaknya mahu jodohkan dia dengan Suhaimi si duda anak dua itu? Che Hannah mula sebak. Rasa geram dengan sikap emaknya. Dia sudah menerima Rizz Fahim sebagai calon suaminya. Bolehkah dia batalkan balik? Kalau dia batalkan, apa kata keluarga Rizz Fahim nanti? 
“Jadi, mak sengaja cakap macam tu sebab nak kakak balik kampung tinggal dengan mak? Bukan sebab mak nak jodohkan kakak dengan Abang Suhaimi? Tadi mak juga cakap Abang Suhaimi dah masuk meminang kakak,” soal Che Hannah inginkan kepastian.
“Sebenarnya, beberapa hari lepas mak tam ada datang jumpa mak. Suhaimi ada bertanyakan Che Hannah dah ada empunya ke belum. Sebelum Mak Tam bercakap panjang lebar, mak dah tolak mentah-mentah. Mak pun tak sukakan Suhaimi tu. Sudahlah mak dengar macam-macam cerita kat KL tu. Peragut, perogol, pembunuh, mak jadi takut bila fikirkan kakak sorang-sorang tinggal kat KL. Tu yang mak ugut kakak. Yalah, dah banyak kali mak minta kakak kerja aje kat kampung ni. Tapi, kakak tak nak. Kerana ugutan emak ni jugaklah, mak dapat tahu yang kakak dah ada buah hati yang baik,” bicara Puan Zaharah terus terang. Tersungging senyuman di bibirnya kerana anak gadisnya memilih bakal suami yang baik.
Air mata yang mahu menitis di tubir matanya ditahan. Geramnya masih bersisa dalam hati dengan tindakan emaknya. Kenapalah dia cepat percaya sangat dengan kata-kata emaknya? Minggu depan keluarga Rizz Fahim akan datang untuk berjumpa dengan keluarganya.
Hati Che Hannah semakin sebak. Segera dia menyudahkan kerja mencuci pinggan.
“Emak, dah lewat ni. Kakak kena balik sekarang. Sebab malam ni Rizz kena kerja dalam wad,” bohong Che Hannah. Segera kakinya melangkah masuk ke dalam rumah mencari Rizz Fahim.
Rizz Fahim yang sedang rancak berbual dengan Che Hakimi dan Che Hanif, tercengang dengan tindakan Che Hannah yang mengajak pulang tiba-tiba.
“Eh, kan tadi awak cakap nak balik awal sebab malam ni awak kerja kat wad, kan?” Sengaja Che Hannah bersuara kuat agar didengar oleh emaknya yang sedang menghampiri mereka.
Che Hannah segera membuat muka ke arah Rizz Fahim. Dia berharap lelaki ini mengerti akan maksudnya.
“Betul ke dah nak balik ni? Cepatnya...” tanya Puan Zaharah.
“Err... maaf mak cik. Saya malam ni terpaksa bekerja di wad. Insya-Allah minggu depan saya bawa keluarga saya datang sini,” balas Rizz Fahim mesra.
“Kalau dah kata macam tu, tak apalah. Nanti kirim salam mak cik kepada keluarga Rizz, ya,” balas Puan Zaharah pula.
Rizz Fahim hanya tersenyum malu.
Segera Che Hannah bersalaman dengan Puan Zaharah dan adik-adiknya. Menonong Che Hannah turun terlebih dahulu daripada Rizz Fahim. Saat ini dia sangat terkilan dengan sikap emaknya. Saat ini dia benar-benar terhimpit kerana telah menerima Rizz Fahim sebagai calon suaminya.
Haruskah dia menarik balik daripada menjadi isteri Rizz Fahim dan menjelaskan semuanya kepada Puan Zaharah? Mampukah dia? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan