Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 26 Ogos 2016

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 1

HUJUNG mata pen menyentuh permukaan kertas. Laju dan bersahaja tangan gadis itu bergerak untuk menyalin dengan ringkas apa yang menyinggah ke gegendang telinga. Butiran penting dicatatkan sebagai rujukan untuk memenuhi kehendak klien. Sekali-sekala dia memandang wajah lelaki yang sedang duduk bertentangan dengannya. Pandangan insan itu tajam dan penuh bermakna.
“Saya rasa saya dah faham dengan konsep yang Encik Emir minta ni. Saya akan siapkan proposal untuk annual dinner Megah Holdings di Restoran Warisan Wira,” ujar Irdina Wira dengan serius sambil matanya berpura-pura tidak mengerti dengan renungan tersebut.
“I tak sabar nak bekerjasama dengan you,” balas Emir Farith dengan senyuman panjang.
“Dan saya pun tak sabar nak habiskan kerja dan urusan saya dengan lebih cepat.”
“Kalau I tak nak urusan kita ni selesai dengan cepat...”
“Saya akan pastikan Encik Emir segera setuju dengan apa yang kita dah bincang hari ni,” pintas waris bongsu kepada arwah Idrus Wira itu. Dia mula tidak gemar dengan cara Emir Farith bekerja.
“Macam mana kalau I sengaja reject proposal you nanti?”
“Manusia, hanya mampu untuk cuba yang terbaik. Kalau Encik Emir terus-menerus menolak cadangan saya, itu bermakna mungkin Restoran Warisan Wira bukan tempat yang sesuai untuk Megah Holdings.”
Emir Farith yang tadinya bersandar di kerusi mula menggerakkan badannya ke hadapan, mendekati sisi meja. Dia mahu menatap dengan lebih dekat wajah perempuan berambut pendek itu. Gelas berisi air jernih dirapatkan ke bibir.
“I rasa Irdina Wira cukup bijak untuk faham apa yang hati I nak,” ujar Emir Farith setelah meneguk sekali minuman itu ke dalam tekak.
Irdina Wira meleret senyuman sinis selama tiga saat. Malas dia mahu melayan ayat manis pemuda tersebut.
“Tak salah kan kalau I menyelam sambil minum air?”
Pen dakwat basah yang berada di genggaman dilepaskan secara kasar. Kali ini gadis itu menyandarkan badannya ke kerusi, mahu mencipta jurang. Irdina Wira membuang pandangan ke luar menerusi dinding kaca. Rasa rimas menjengah ke jiwa.
“Menyelam dengan minum air dua perkara berbeza, Encik Emir Farith. Kalau nak menyelam, biar cukup bekalan udara untuk bernafas. Kalau nak minum air pula, biar ada bekasnya. Saya tak suka menyelam sambil minum air. Saya tak nak tersedak air yang masin walaupun saya tengah menyelam kat dalam air tawar. Tekak saya ni tak mampu nak telan benda yang memualkan. Saya tak suka campur adukkan hal peribadi dengan kerja.”
“Inilah Ird yang I rindu selama ni. Jujur dan jelas. Bila bercakap, bukan sekadar bercakap, tapi penuh dengan isi. I missed you so much, Ird.”
Irdina Wira menghela nafas. Keluhan nafasnya kedengaran berat. Dia menggelengkan kepala dengan jelingan.
“I janji dengan you yang I tak akan buat kesilapan yang sama.”
“Janji? Janji Encik Emir tu boleh jadi jaminan ke? Janji boleh tebus kat pajak gadai kalau apa yang jadi kat Perth dulu berlaku lagi?”
Rasa bahang di luar mula menusuk ke liang-liang kulit meskipun restoran yang mereka kunjungi mempunyai penghawa dingin. Sedikit demi sedikit apa yang dipendam terzahir.
I just need a second chance. Please, sayang.”
“Sayang? Sayang Encik Emir tu elok terbang melayang aje. Saya nak minta Encik Emir tengok jam yang ada kat tangan tu,” arah gadis itu dengan tegas.
Emir Farith menurut dalam keadaan terpinga-pinga. “Kenapa you minta I tengok jam I?”
“Sebab sekarang ni, detik ini dan saat ini... Irdina Wira adalah manusia paling rasional dalam dunia ni. Kalau Encik Emir terus macam ni, saya risau seminit akan datang sayalah manusia yang paling tak waras kat atas muka bumi ni. Tolong profesional.”
I really meant it. I rindukan you. You tak rindukan I ke?” Emir Farith masih tidak mahu mengalah.
Jika dahulu dia mampu memiliki Irdina Wira sebagai kekasih, mengapa tidak untuk sekarang? Tidak mustahil perkara itu akan berlaku lagi. Semakin sukar untuk digapai, semakin tinggi hasratnya untuk mencuba.
“Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu. Saya rasa perbincangan akan datang mungkin lebih sesuai kalau kita buat kat Warisan Wira.”
Tangan gadis itu laju sahaja memasukkan diari kecil berwarna hitam ke dalam beg sandangnya. Topi keledar muka penuh berwarna kelabu dan jaket kulit yang terletak bersebelahan tempat duduknya digapai.
Ird, please. Dengar dulu apa yang I nak cakap.”
Pergerakan untuk bangkit daripada duduk disekat. Irdina Wira sengaja berdiam di situ, mahu memerhatikan permainan pemuda tersebut.
“I nak kita berbaik semula macam kita kat Perth dulu.”
“Patutlah beria sangat tak nak bincang kat Warisan Wira. Rupa-rupanya Encik Emir nak membazirkan waktu saya. Saya tak suka bercakap dengan orang yang tak tahu menghargai masa orang lain.”
Ya. Itulah prinsip adik bongsu Isyraf Wira. Masa itu emas.
“Memang sengaja I pilih Restoran Warisan Wira untuk annual dinner Megah Holdings. Dalam masa yang sama I nak you tahu yang I memang serius nak berbaik dengan you. Takkan tak ada peluang kedua untuk kita?”
“Kita?” Nada Irdina Wira benar-benar memerli.
Yup. Kita, you dengan I. You dah tak ingat ke kenangan masa kita studi kat Perth empat tahun dulu?”
“Kenangan? Maksud kenangan kat sini ialah Encik Emir tidur dengan perempuan mat salih tu?”
“Ird, tu...”
Irdina Wira membesarkan pandangan. Penglihatannya tepat menghunus mata Emir Farith sekali gus membuatkan lelaki tersebut terkedu untuk seketika. Kenangan silam itu tersimpan rapi dalam fikiran. Mustahil untuk Irdina Wira melupakan apa yang telah berlaku. Hari ini, Emir Farith memaksanya memutar kembali masa lalu dan menyelak semula helaian sejarah itu.
“Aku balik Malaysia empat tahun lepas sebab arwah abah aku meninggal. Masa aku sedih, perlukan seseorang, sepatutnya kau antara orang yang sokong aku. Tapi, bila aku telefon kau untuk aku luahkan rasa sedih yang aku rasa, kau cakap kau sibuk. Okey, aku cuba faham kau. Bila aku balik semula Perth untuk selesaikan apa yang patut, depan mata aku...” Irdina Wira menghentikan seketika tutur kata. Dadanya mula berombak.
Dia mengetap gigi menahan rasa perit yang terbuku di dada. Kerana perasaan itu jugalah dia hilang sifat profesionalnya. Lantas, dia memandang Emir Farith bukan sebagai seorang klien. Kelibat yang memenuhi penglihatan itu adalah masa lampaunya.
“Perempuan mat salih tu ada dalam apartmen kau, pakai tuala. Nasib baik sempat pakai tuala,” sambung Irdina Wira dengan nada sindiran.
Ird, please... Kita buka buku baru. I betul-betul minta maaf. I dengan Catrina tak sengaja.”
“Tak sengaja? Tidur pun tak sengaja? Bertuala pun tak sengaja?”
“Percayalah Ird. Masa tu, lebih dua minggu you tak ada kat depan mata I. Apa yang dah jadi tu satu kesilapan. I just need someone. I pun tak sangka yang...”
Mulut Irdina Wira sekali lagi terpamer senget. Dia tersenyum sinis. “I just need someone? Baru lebih dua minggu aku tak ada kat depan mata kau, kau dah tidur dengan perempuan lain. Itu belum sebulan, belum setahun, apatah lagi seumur hidup. Apa yang kau nak sebenarnya, Emir Farith?”
Come on, Ird. Benda macam tu biasa kat Perth. You pun bukannya baik sangat dulu. You dengan I sama aje. Pernah pergi club, hisap rokok, kaki minum, berlaga pipi dengan mat salih kat sana. I dengan you bukannya tak pernah bersentuhan pun. I pegang tangan you, I pernah peluk you. Takkan setakat...”
Belum sempat Emir Farith menyudahkan bicara, ada sesuatu menerpa dengan pantas ke wajahnya. Serta-merta muka dan kemeja lelaki itu basah. Emir Farith memejamkan mata. Perit kerana cecair jernih itu menusuk ke pandangan secara tiba-tiba. Seluruh pengunjung restoran tertumpu ke arah mereka berdua.
“Jangan sesekali kau nak samakan aku dengan kau. Memang aku bukan perempuan yang baik. Tapi, aku tak pernah tidur dengan mana-mana lelaki,” lafaz Irdina Wira dengan perlahan, namun penuh ketegasan.
Tidak cukup dengan itu, gelas milik Emir Farith turut digenggam. Tidak puas rasanya mengajar manusia itu. Tanpa berfikir panjang, perempuan tersebut melakukan hal yang sama seperti tadi.
“Kau nak sangat menyelam sambil minum air, kan? Aku dah tolong siram kat muka kau. Selam lepas tu minumlah berapa banyak air yang kau nak. Lelaki macam kau ni memang tak layak jadi manusia. Mungkin patut jadi dinding, lebih berfaedah. Satu lagi, cukup aku jadi manusia tak waras buat masa sekarang ni. Aku takkan jadi manusia bodoh untuk terima kau semula.”
Irdina Wira meletakkan gelas kosong ke permukaan meja semula. Ledakan marah yang cuba disimpan akhirnya terluah. Dia segera beredar.
Emir Farith memerhatikan langkah itu dengan pandangan mendalam yang penuh dendam.

RASA sejuk penghawa dingin yang menggigit kulit bertukar menjadi bahang. Panas terik menusuk ke pandangan lalu Zulqadree mengenakan kaca mata hitam. Dia berjalan menuju ke kereta Honda HRV berwarna hitam yang diparkir berhampiran restoran. Saat mengeluarkan kunci dari poket seluar, hujung matanya menangkap kelibat seseorang. Jarak Zulqadree dan Irdina Wira kira-kira 10 meter.
Segala perbuatannya terhenti. Zulqadree berdiri tegak. Namun, hanya bebola matanya yang bergerak. Peristiwa yang baru sahaja berlaku tadi menjadi tayangan di layar fikiran. Gadis itu yang membuatkan sebahagian lengan kiri kemejanya basah.
Tujuan pengarah operasi syarikat pencetakan itu datang ke restoran tersebut setengah jam yang lalu adalah untuk mencapai kata sepakat. Setelah berbincang, klien Sapphire Creative Sdn Bhd terlebih dahulu meninggalkan Zulqadree memandangkan punya urusan yang harus diselesaikan.
Usai menghabiskan santapan tengah harinya, Zulqadree berhasrat mahu beredar. Kaki diayun seperti biasa menuju ke pintu keluar. Akan tetapi, satu kejadian lantas berlaku saat Zulqadree melewati meja itu. Kejadian tersebut bukan sahaja menyebabkan lelaki yang sedang duduk terkaku, malah langkah Zulqadree turut terpaku. Simbahan air turut terpercik ke lengan bajunya.
Tingkah Irdina Wira yang sedang mengenakan jaket dan sarung tangan diperhati. Rakaman suara gadis itu menjelma.
“Jangan sesekali kau nak samakan aku dengan kau. Memang aku bukan perempuan yang baik. Tapi, aku tak pernah tidur dengan mana-mana lelaki.”
Memang perlahan kata-kata itu. Namun, deria Zulqadree dapat menangkap apa yang dituturkan. Niat asal mahu menegur kerana melibatkan dirinya secara tidak langsung terus tergendala. Alunan suara Irdina Wira tatkala menyusun kata penuh dengan ketegasan.
“Berani betul perempuan ni. Bukan sekali, dua kali dia siram mamat tu,” ungkap pemuda itu sendiri. Tanpa alasan dan sebab, Zulqadree tersenyum. Barangkali terselit rasa kagum dek perbuatan Irdina Wira.
Nasib baik dia disiram air kat muka, kalau helmet ke muka mamat tu? Aku pun tak dapat bayangkan, monolog anak sulung Tuan Zulqhairi itu lagi.
Zulqadree menggelengkan kepala sambil tangannya menekan punat yang berada di kunci kereta. Tidak sangka babak klise dalam drama yang biasa ditonton di skrin televisyen menjadi tayangan di hadapan mata. Dunia, dunia...
Lelaki itu masuk ke dalam kereta. Tangannya memutar kunci kereta lalu bunyi enjin kedengaran. Sebelum kaki menekan pedal minyak untuk beredar, gerak hatinya memaksa kepala untuk menoleh ke arah gadis itu lagi. Akan tetapi, perempuan yang dilihat di dalam restoran beberapa minit yang lalu seolah-olah ‘hilang’. Manusia yang tertunduk di sisi motosikal Kawasaki ER6F itu sedang menangis. Juraian air mata diselangi dengan beberapa tumbukan ke atas tempat duduk motosikal.
Irdina Wira sedang melepaskan geram. “Kau nak sangat sambil menyelam minum air, kan? Aku dah tolong siram kat muka kau. Minumlah berapa banyak air yang kau nak. Lelaki macam kau memang tak layak jadi manusia. Mungkin patut jadi dinding, lebih berfaedah. Satu lagi, cukup aku jadi manusia tak waras buat masa sekarang ni. Aku takkan jadi manusia bodoh untuk terima kau semula.”
Jelas dan mendenging-denging rentak suara Irdina Wira saat melafazkan beberapa baris ayat tersebut. Zulqadree sebagai seorang lelaki turut tergamam dengan lantangnya bicara Irdina Wira.
“Eh? Nangis pulak? Okey ke tak dia ni?” soal lelaki berusia 31 tahun itu sendiri. Tangannya menanggalkan cermin mata hitam yang terletak pada wajah. Rasa ingin tahu semakin menjalar ke dalam sanubari.
Zulqadree sudah menyentuh bahagian pembuka pintu. Walau bagaimanapun, otak menyekat perbuatan tersebut dan Zulqadree mengambil keputusan untuk memerhati sahaja.
Irdina Wira pula berusaha menyekat air matanya daripada terus gugur.
Selang tiga minit, cermin mata hitam dikenakan semula. Zulqadree melepaskan fungsi brek lalu menekan pedal minyak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan