Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 26 Ogos 2016

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 9

JAMBANGAN tiga kuntum bunga mawar kuning yang terletak di tempat duduk sebelah pemandu dipandang beberapa kali. Muncul pula rasa serba tidak kena jauh di sudut hatinya.
“Kasi bunga kat Kakak Wira yang bawa motor besar? Sesuai ke, Qadree?” Zulqadree menghentak perlahan dahinya ke stereng. Rasa menyesal tidak sudah kerana membeli jambangan tersebut.
Bukan semua perempuan boleh dipikat dengan bunga. Dia ni lain, Qadree, monolog Zulqadree lagi lalu mendecit.
“Kalau tak kasi bunga ni, takkan nak melawat dia dengan tangan kosong? Patut beli buah aje tadi. Lembaplah kau ni, Qadree.” Memikirkan hal itu sahaja, sudah mengambil masa selama 10 minit di tempat parkir hospital.
Bungkusan bunga yang dibalut rapi dengan plastik digapai. “Alang-alang dah beli ni, kasi ajelah. Mana tahu, luar Suria Perkasa Hitam, dalam hati bunga setaman. Kalau tak, macam mana dia boleh baik hati kasi orang jalanan tu makan, kan?”
Kejadian malam kelmarin muncul di minda. Mujur telinga Zulqadree menangkap bunyi yang datang menerpa dari arah lorong itu. Pada awalnya, dia tidak menghiraukan. Barangkali hanya khayalan. Namun, rasa tidak sedap hati muncul membuatkan Zulqadree melangkah semula ke kawasan tersebut. Tatkala tiba di laluan belakang kedai itu, topi keledar berwarna kelabu berada di permukaan jalan.
Mata Zulqadree meliar dan telinganya menangkap suara sayup seorang lelaki berbicara kasar dan mengugut. Tanpa membuang masa, dia menuju ke salah satu kedai berhampiran. Saat itu, Irdina Wira sudah terbaring di atas jalan raya. Berbekalkan ilmu asas seni mempertahankan diri semasa sekolah menengah dahulu, Zulqadree melayangkan tendangan. Wajah si hidung belang tertera pada pandangan.
Zulqadree dapat mengecam raut tersebut. Muka itulah yang dilihat duduk semeja bersama Irdina Wira semasa di restoran tempoh hari. Tanpa sebarang amaran, Zulqadree terus memberikan tumbukan.
Emir Farith cuba mempertahankan diri dengan senjata yang berada di tangan. Namun, tingkahnya terbantut apabila gelandangan yang berada di lorong itu datang untuk membantu setelah mendengar laungan Zulqadree. Langkah seribu Emir Farith meninggalkan tempat kejadian. Zulqadree pula segera membawa Irdina Wira ke hospital.
Oleh sebab itulah Zulqadree bergegas dari Melaka ke Johor Bahru setelah urusan kerjanya selesai. Rasa penat langsung tidak terasa. Malah, hatinya pula berdegup laju. Tidak seperti selalu. Lama dia menahan rasa rindu. Dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mendekati Irdina Wira. Bukan sekadar rindu sahaja, dia juga gusar dengan keadaan gadis itu.
Zulqadree mula merasa yakin. Dia menghirup lalu menghembuskan nafas. Baru sahaja tangan menyentuh kunci untuk mematikan enjin, pada penglihatannya terpampang susuk tubuh Irdina Wira. Gadis itu sedang berjalan sambil memimpin tangan seorang kanak-kanak lelaki.
Raut Irdina Wira tidak seperti kali terakhir yang Zulqadree pandang. Dia kelihatan lebih bermaya dan kurang lebam pada rautnya. Ada satu tampalan kain kasa putih di hujung bibir. Rasa ingin tahu menguasai jiwa. Hati Zulqadree tertanya-tanya siapakah gerangan budak lelaki tersebut. Langkah dua kelibat itu terhenti saat tiba di kereta Honda Hybrid Insight berwarna biru.
“Ayah! Cepatlah sikit,” lafaz si anak kecil.
Irdina Wira pula mengusap lembut rambut itu. Selang lima saat, muncul pula susuk tubuh yang lebih tinggi. Bunyi menandakan kunci kereta dibuka kedengaran. Mereka bertiga memasuki kereta.
Ada satu rasa tidak semena-mena mencelah di sebalik perasaan yang dilamun indah. Perlahan-lahan rasa itu menghiris hati Zulqadree. Pelbagai andaian muncul. “Dia dah kahwin? Kau jatuh cinta dengan isteri orang?” 

LAPISAN dahi yang rata menjadi berkerut-kerut. Nilam Qadheera memandang wajah abangnya yang sedang menempatkan punggung ke atas kerusi. Zulqadree pula mengangkat kepala sekali terhadap wanita yang rambutnya diikat tinggi itu. Dia memberikan isyarat bertanya.
“Bagi bunga kat adik? Munasabah sikit, bang. Buang tabiat ke?”
Zulqadree sengaja melengahkan bicara. Lengan kemeja yang asalnya dilipat sebanyak dua kali dinaikkan menghampiri siku. Terserlah urat lelaki yang menghiasi anggota tersebut. “Kenapa? Tak boleh ke? Abang tengah melawat orang kat hospital, kan?”
“Bukan tak boleh. Tempat dah kena, tapi tak kena dengan orangnya. Orang ni adik abang. Tak pernah-pernah bagi bunga. Lebih baik abang bawa makanan. Bagilah jambangan ayam goreng ke.”
“Eh? Awak tu tengah berpantang. Ada hati nak makan ayam goreng pula. Cakap dengan umi baru tahu.”
“Sebenarnya, bunga ni bukan untuk adik, kan?”
“Habis tu, takkanlah abang nak kasi mak cik misi yang jaga adik tu pula? Abang kasi adik, maknanya untuk adiklah,” jawab Zulqadree dengan nada orang kecewa.
“Biasanya, orang kasi bunga ni muka berseri-seri. Yang abang ni, muka macam kereta kena langgar dengan lori, kenapa? Pergi Melaka muka ada senyum. Balik dari Melaka, senyum ke mana, muka ke mana.”
“Abang penatlah. Dari Melaka, terus jenguk adik tau.”
“Ya ke? Ke... tadi jumpa Cik Signal Kiri dulu?”
“Cik Signal Kiri dah jadi Puan Signal Kiri.”
“Puan?! Dia dah kahwin ke?!” Hampir tersembul biji mata Nilam Qadheera mendengar kenyataan itu.
Mata Zulqadree terpejam seketika menerima soalan tersebut. Pedih dan luluh hatinya tatkala melihat apa yang berlaku di hadapan mata setengah jam yang lalu. Apa yang terpampang benar-benar menghiris kalbu. Marah tak sudah terhadap diri sendiri kerana tidak menyiasat terlebih dahulu latar belakang Irdina Wira. Baru sahaja jatuh cinta, tiba-tiba harapannya musnah sekelip mata.
“Abang, orang tanya ni.”
Lelaki itu melemparkan pandangan redup. Apa yang terbuku harus diluah. Tidak sangka dia akan merasa sakit sebegini. Benarlah kata orang, sekelip mata boleh wujud perasaan itu, namun untuk membuang semua rasa yang terbit memerlukan masa. Sudahnya, dia menceritakan saat pertama kali bertemu mata dengan Irdina Wira sehingga detik yang lalu.
“Abang pasti ke yang dia pimpin tu anak dia?”
“Pastilah. Habis tu, bila sampai kat kereta, budak tu toleh belakang. Dia panggil orang kat belakang tu ayah.”
“Cik Signal Kiri buat apa?”
“Dia pegang tangan budak tu. Dia orang berdua nampak mesra. Bila isteri masuk hospital, mestilah suami yang jemput balik, kan?”
“Manalah tahu lelaki tu bukan suami dia. Mungkin abang dia.”
“Habis tu, budak lelaki tu siapa pula? Dah terang-terang. Depan mata abang.”
“Depan mata abang, bukan mulut dia. Kes ni sama macam orang dengan Abang Fath dulu masa terkena gosip kat blog Missbee.com tu. Orang sekeliling buat andaian, tapi tak pernah tahu cerita sebenar pun.”
Zulqadree mengelukan lidah.
“Abang tahu dari mana? Kadang-kadang, apa yang kita nampak tak semestinya sama dengan apa yang patut kita tahu. Tahu?”
Sekali lagi suasana menjadi sepi.
“Apa yang abang rasa sekarang ni berdasarkan andaian abang. Abang tak tanya dia sendiri depan-depan. Abang tengok gaya dia, ada macam orang dah kahwin ke?”
“Tak pula.”
“Satu lagi, ada ke isteri orang malam-malam kasi makan kat gelandangan? Yalah, maksud orang memang tak salah nak tolong gelandangan tu. Tapi, takkanlah tak ada orang temankan dia? Betul tak?”
“Tak payahlah nak sedapkan hati abang. Abang tak nak berharap. Ini pun dah kecewa.”
“Dia masih tak tahu lagi yang abang selamatkan dia malam tu, kan? Abang tak nak jumpa dia lepas tu beritahu apa yang dah jadi?”
“Buat apa, dik? Abang tak harapkan apa-apa balasan. Sekurang-kurangnya, abang dapat elakkan perkara yang tak baik daripada berlaku. Kalau orang lain kat tempat dia, insya-Allah abang akan buat perkara yang sama. Abang tak nak kecewakan hati abang yang memang dah kecewa ni. Biarlah. Dia tak payah tahu. Yang penting dia selamat. Bila dia selamat, suami dengan anak dia tak sedih.”
“Abang betul-betul dah jatuh cinta dengan dia, kan?”
Tidak sempat Zulqadree mengatur lidah, bunyi pintu wad dikuak dari luar kedengaran. Dua beradik itu serentak memandang ke arah yang sama.
“Eh? Qadree dah balik dari Melaka?” soal Puan Nusrah setelah meletakkan beg kertas berisi makanan untuk anak bongsunya di atas meja.
Telinga Zulqadree mendengar soalan tersebut. Akan tetapi, bebola matanya lebih tertumpu kepada dua orang insan yang sedang berdiri di belakang ibunya.
Puan Nusrah lantas melangkah disulami senyuman lebar. Pucuk dicita, ulam pula yang mendatang. Zulqadree bersalaman dengan Puan Nusrah.
“Qadree, adik, ni Aunty Zarina. Ingat tak umi ada cerita hari tu?”
“Ingat, umi,” balas Nilam Qadheera.
Zulqadree membalas pandangan dengan adiknya. Dalam fikiran masing-masing sudah dapat menjangka siapakah gerangan gadis yang berdiri di sisi kanan perempuan tua tersebut. Zulqadree bingkas bangun, sebagai tanda menghormati tetamu yang datang melawat.
Aunty Zarina dengan Nazira datang ni nak melawat adik dengan Qauthar. Tu yang umi ajak sebab dah alang-alang umi nak datang sini.”
Nilam Qadheera bersalaman dengan mereka berdua. Zulqadree pula tersenyum.
“Ni Qadree, kan?” tegur Zarina.
“Ya, aunty.”
“Dulu masa kecil-kecil selalu main-main kat rumah aunty, ingat tak?”
Zulqadree hanya mampu tersengih kerang busuk.
“Inilah Nazira. Kau orang selalu main kejar-kejar kat rumah aunty. Kadang-kadang Qadree makan tengah hari kat rumah aunty sebab tak nak balik rumah.”
Alamak! Aunty Zarina ni bahan guna zaman hingusan pula. Dia nak cakap aku dengan Nazira ni memang dah berjodoh dari kecil ke? Jiwa Zulqadree memberontak. Sebagai jalan selamat, Zulqadree hanya menayang baris gigi hadapan.
“Umi tak tahu pula yang Qadree dah balik dari Melaka awal.”
Balik awal sebab nak jumpa Irdina Wira. Tapi, dah jadi lain pula. Hati Zulqadree membalas. “Kerja habis cepat. Tu yang Qadree terus balik. Lagipun, nak tengok keadaan adik dengan baby macam mana.”
“Elok sangatlah tu. Lepas dah tengok adik ni, boleh teman Nazira. Tadi dia cakap lapar,” usul Puan Nusrah dan dalam masa yang sama tangannya menyenggol lengan Zarina.
Zarina yang mengerti isyarat itu mengangguk sedikit. Wajahnya mengukir senyuman.
“Umi, tadi abang cakap abang banyak kerja. Abang pun dah nak balik tu. Lepas tu dia nak masuk ofis. Kan, abang?” Nilam Qadheera segera memihak kepada Zulqadree seperti yang dijanjikan.
“Kerja tu sampai bila pun tak habis. Temankan Nazira sekejap ya?”
“Umi, Qadree memang ada kerja. Macam adik cakap tadi. Esok ada meeting dengan klien penting. Nak kena semak balik apa yang Qadree nak present esok,” tipu Zulqadree, menambah perasa.
Aunty Nusrah, its okay. Zira tak kisah pun. Kasihan pula dengan Qadree. Dia pun baru balik dari Melaka. Mesti penat.”
“Eh, tak apa. Makan aje. Lagipun Qadree mesti belum makan lagi, kan?” Puan Nusrah masih tidak mahu mengalah.
Dia mempamerkan pandangan penuh harapan terhadap anak lelakinya. Mimik muka cuba memberi isyarat agar Zulqadree mengerti akan permintaanya itu.
“Minta maaf, umi, Nazira. Qadree memang ada kerja. Insya-Allah, mungkin lain kali. Qadree minta diri dulu.” Ruang dan kesempatan untuk mengelak digunakan sebaik mungkin.
Dia bersalaman dengan Puan Nusrah. Zulqadree tersenyum kelat dan menundukkan sedikit pandangan sebagai tanda mahu meminta diri.
Puan Nusrah pula terpinga-pinga tatkala anak sulungnya berlalu pergi dengan langkah tergesa-gesa. Rasa kecewa menjalar ke jiwa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan