Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Ogos 2016

Tanpa Awak Macam Nak Gila! - Bab 8

Tajuk: Tanpa Awak Macam Nak Gila!
Penulis: Zara Ryana
ISBN: 978-967-365-273-0 
Harga: RM25.00 / RM28.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

PUAN HAJAR merenung Hessa penuh hairan. Anaknya itu bukan main leka mengunyah kerepek kentang dalam balang kaca sambil menonton TV. Puan Hajar yang sedang menggubah bunga di sebelah pun tak dihiraunya. Selalunya anak daranya itu jarang ada di rumah pada hari minggu. Hari ini melekat pula di rumah.
“Hari ni tak keluar ke tuan puteri?” perli Puan Hajar.
Hessa memandang sekilas lalu menyuap kerepek ke mulutnya.
“Ibu tak suka Hessa duk kat rumah ke?” balas Hessa bersahaja. Sepatutnya dia ke Rumah Kirana, tetapi sejak pagi tadi dia sakit perut saja.
“Bukan macam tulah. Selalunya kamu tak lekat kat rumah. Ibu bukan apa, kamu tu anak dara. Kerja pun tak. Keluar entah ke mana, balik malam-malam. Ibu risau tau tak. Ibu rasa kamu ni kena kahwin. Biar ada yang jaga kamu. Kalau tak, makin panjang langkah kamu tu,” ujar Puan Hajar seraya memilih-milih bunga mengikut warna untuk digubah.
Hessa tersentak kecil mendengar kata-kata ibunya. Kembali teringatkan kejadian di rumah Zafrel minggu lepas.
“Hessa tak sukalah. Ni mesti ibu yang pelan nak jodohkan Hessa dengan budak gemuk tu, kan? Tak pasal-pasal dia tuduh Hessa yang pelan semua tu. Kalau ibu ada niat nak jodohkan Hessa dengan si budak gemuk tu, Hessa rela tak kahwin, ibu.” Hessa meluahkan perasaan yang terpendam dengan nada sayu. Sengaja dia buat muka sedih supaya ibunya bersimpati dan terus lupakan niat itu.
Tiba-tiba dia teringat pula pergaduhannya dengan Zafrel di rumahnya tempoh hari. Sakit pula hatinya. Memang dia dan Zafrel takkan boleh berbaik. Inikan pula nak dijodohkan. Macam dah tak ada lelaki lain pula dalam dunia ni. Kenapa mesti budak gemuk itu?
Puan Hajar geleng kepala. “Kamu ni Hessa, kalau cakap ikut suka mulut aje. Apa yang keluar dari mulut tu adalah doa, tau tak. Kamu nak ke jadi anak dara tua?”
Gulp! Hessa tersengih. Terlepas cakap pula tadi. Simpang malaikat 44.
“Hessa akan kahwin, tapi bukan dengan budak gemuk tu,” kata Hessa, kedengaran tegas.
“Habis, kamu dah ada pilihan sendiri?”
“Belum,” jawab Hessa ringkas. Dia sedang mengenali Iman Akmal. Namun, dia masih dalam fasa mengenali hati budi. Dia selesa berkawan dengan lelaki itu.
“Habis tu, bila nak cari? Ibu rasa tak ada lelaki nakkan kamu sebab kamu tu macam lelaki. Kasar. Cubalah bersikap macam perempuan. Lemah lembut, bersopan. Cuba kawal sikit perangai tu. Tulah, abah kamu dulu nak sangat anak perempuan. Tengoklah apa dah jadi sekarang. Kalau ibu tahu macam ni, biar semua anak lelaki pun ibu tak kisah. Nak jaga abang-abang kamu bukan susah pun. Tapi, nak jaga anak perempuan seorang ni, Tuhan saja yang tahu. Sebab tu orang tua-tua dulu selalu cakap, nak jaga anak perempuan ni lagi susah daripada jaga lembu sekandang,” bebel Puan Hajar.
Hessa mengajuk percakapan ibunya sampai herot-herot bibirnya. Ibu kalau tak membebel sehari memang tak sah. Sebab itu Hessa malas terperap di rumah.
“Minggu depan Aunty Azzah akan hantar rombongan meminang. Kamu setuju ataupun tidak, ibu tetap akan terima pinangan tu.”
“Apa?” Hessa terkejut hingga tercampak balang berisi kerepek kentang itu ke lantai.
Terbuntang mata dan terlopong mulut Puan Hajar mendengar hentakan balang itu. Confirm pecah bersepai.

HESSA duduk di gazebo sambil merenung kebun yang sudah pun mula tumbuh setelah diusahakan oleh penghuni Rumah Kirana. Selepas dia dapat tahu yang keluarga Zafrel akan meminangnya, terasa dunianya terbalik saja. Apalagi, dia ambil kunci kereta dan terus datang ke sini.
Dari jauh Hessa menjadi perhatian Hidayah yang merasa pelik dengan sikap gadis itu sejak datang tadi. Hessa tidak ceria seperti sebelum ini. Tentu ada sesuatu yang mengganggu fikiran gadis itu.
“Hai, jauh termenung. Hessa ada masalah ke?” sapa Hidayah lalu berlabuh di sebelah Hessa.
Hessa yang menyedari kedatangan Hidayah senyum hambar. Dia merenung wajah Hidayah yang tenang itu.
“Kak Dayah, Hessa memang ada masalah. Masalah besar sangat,” luah Hessa.
Kalau bukan kepada Hidayah, siapa lagi dia ingin berkongsi masalah? Jika sebelum ini, mungkin dia boleh berkongsi cerita dengan abang-abangnya iaitu Tariq dan Tarmizi. Tetapi, Tariq kini menyambung pengajian di Sabah. Tarmizi pula menjadi doktor di Mesir. Dia tak punya kawan rapat lagi. Apabila berjumpa dengan Hidayah, Hidayahlah kawan baiknya sekarang.
“Kalau Hessa ada masalah, ceritalah dekat Kak Dayah. Kak Dayah sedia untuk dengar dan tolong setakat yang mampu,” ujar Hidayah manis dengan senyuman.
Hessa menarik nafas dalam-dalam dan melepasnya perlahan. “Ibu nak Hessa kahwin. Minggu depan ada orang nak datang meminang. Hessa tak nak, Kak Dayah.”
Hidayah terkejut. Lalu dia tersenyum gembira.
“Kenapa pula tak nak? Setiap orang nak bina masjid dan hidup berkeluarga. Kemudian dikurniakan pula zuriat untuk menyempurnakan lagi rumah tangga. Hessa tak nak macam tu?” Hidayah sentiasa tersenyum ketika bercakap. Setiap kata-kata yang diucap penuh dengan inspirasi.
“Kak Dayah, kalau berkahwin dengan orang yang kita cinta tak apa jugak. Tapi, ni...” Kata-kata Hessa terhenti. Dia mengeluh berat.
“Tapi, apa?”
“Lelaki yang ibu nak jodohkan dengan Hessa tu musuh Hessa masa kecil. Hessa tak suka dia. Dia pun sama.”
Hidayah tergelak kecil. Begitu ceritanya. “Hessa, tu cerita lama. Zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa tak sama. Masa kita kanak-kanak, kita masih dalam proses mengenal dunia. Biasalah kalau kita nakal, usik-usik kawan. Hessa jangan terkejut kalau daripada musuh, lama-lama akan jadi kawan rapat. Ada yang sampai kahwin. Sebab tu kita tak boleh bencikan seseorang.”
Hessa mengerutkan dahinya. Daripada musuh jadi kawan rapat?
“Hessa, wanita ni diciptakan daripada tulang rusuk lelaki. Sekuat mana wanita itu, dia tetap perlukan seorang lelaki untuk lindungi dia. Hessa kena ingat tu.”
“Tapi, Kak Dayah, kalau orang lain Hessa tak kisah. Bukan dia.”
“Jodoh tu rahsia Allah. Kalau dah tertulis di lohmahfuz yang dia adalah jodoh Hessa, Hessa kena terima dengan seadanya. Perasaan benci akan bertukar cinta bila kita betul-betul kenal dia.”
Hessa terdiam dan memikirkan sejenak kata-kata mutiara daripada Hidayah.
“Ibu Hessa buat macam tu sebab dia nakkan yang terbaik untuk Hessa. Sebagai anak, kita tak boleh melawan atau bantah cakap ibu kita. Sebab, satu hari nanti, Hessa sendiri akan jadi ibu. Hessa nak anak Hessa nanti melawan cakap Hessa dan derhaka kat Hessa?”
Pantas Hessa geleng kepala. Kalau anaknya melawan, dia piat-piat telinga nanti.
Hidayah mengukir senyum.
“Jadi, Hessa kena ikut dan dengar cakap orang tua Hessa. Reda Allah datang daripada reda kedua-dua orang tua kita. Ingat tu,” ujar Hidayah sambil mengusap lengan Hessa.
Hessa terkedu lantas angguk mengiakan kata-kata Hidayah. Dia rasa terharu sangat. Sejak mengenali Hidayah, banyak yang dia belajar daripada Hidayah. Tetapi, entah kenapa dia masih belum mampu untuk berubah.
Selalunya Hessa akan menghabiskan sehari suntuk di Rumah Kirana. Tetapi, hari itu dia terasa ingin bersendirian pula. Dia hanya sempat berbual sekejap saja dengan Pak Cik Salleh. Lelaki itu kurang sihat sejak akhir-akhir ini.
Hessa berhasrat untuk membawa Iman Akmal ke Rumah Kirana hujung minggu ini. Itu pun jika Iman Akmal kelapangan.

KERETA Honda Jazznya dipandu tanpa arah setelah meninggalkan Rumah Kirana. Kalau boleh dia ingin pergi ke satu tempat yang menenangkan fikiran. Selalunya dia akan naik LRT. Entah kenapa tadi rasa macam nak memandu pula. Apabila sudah penat, barulah dia akan balik ke rumah. Kalau dia balik pun ibunya pasti tak henti-henti membebel. Itu lebih membosankan.
Tiba di satu selekoh, Hessa lihat ada sebuah kereta tersadai di tepi jalan dan seorang lelaki sedang mengibas-ngibas kolar bajunya kerana kepanasan. Macam kenal saja. Si gemuk?
Hessa membelok ke bahu jalan dan menekan brek. Dia mengintai melalui cermin pandang belakang. Sah. Itu memang Zafrel. Apa hal dia berdiri tepi jalan ni? desis hatinya. Tanpa membuang masa, Hessa keluar dari keretanya dan menghampiri Zafrel. Lelaki itu terkejut melihatnya.
“Terkejut? Awak nampak hantu ke?” soal Hessa. Pura-pura menoleh kiri dan kanan serta belakang.
Zafrel berlagak biasa. Awaklah hantu, marahnya dalam hati. Terkejut juga apabila boleh terjumpa dengan Hessa dalam keadaan begini. Jatuhlah maruahnya sebagai lelaki kalau Hessa tahu dia tidak pandai menukar tayar kereta yang pancit.
“Apa masalah awak ni? Berdiri tengah panas ni macam orang gila.”
Zafrel mendengus kecil.
“Awak ingat saya saja-saja nak berdiri tepi jalan dengan panas terik ni?” balas Zafrel dengan nada keras.
“Manalah tahu. Awak kan tiga suku.” Sedap mulut saja Hessa mengata Zafrel.
Zafrel mengetap gigi. Hessa memang tak habis-habis nak sakitkan hatinya. Macam manalah mama dan papa berkenan nak bermenantukan Hessa? gerutunya dalam hati kecil.
Hessa memerhatikan segenap kereta Zafrel untuk mencari apakah masalah lelaki itu sebenarnya. Tiba-tiba Hessa terpandang tayar belakang yang kempis. “Pancit?”
“Dah tahu tanya lagi. Pancitlah. Tak nampak tayar ni?” jawab Zafrel geram. Lagi mahu tanya.
Tawa Hessa meledak.
Zafrel pelik apabila tiba-tiba Hessa mentertawakannya. Entah apa yang lucu pun dia tak tahu. Jangan Hessa ketawakannya sebab dia tak pandai menukar tayar kereta sudah.
“Kenapa awak ketawa macam orang gila ni?” soal Zafrel dengan perasaan ego. Giliran dia membalas. Tadi suka-suka saja Hessa katakan dia gila.
“Pancit? Hahaha...” Hessa ketawa lagi. Senak perutnya.
Zafrel ketap geram. Dia menolak bahu Hessa. Serta-merta tawa gadis itu terhenti.
“Apa tolak-tolak ni?” marah Hessa. Sesuka hati saja Zafrel menolak bahunya. Tak beradab betul.
“Hahaha...” ejek Zafrel pula dengan ketawa, tetapi dibuat-buat.
Hessa cemik bibir.
“Dah puas ketawa? Ketawalah lagi. Biar sampai terkehel rahang awak tu,” kata Zafrel bengang. Kembang hidungnya menahan geram bila dipersendakan oleh Hessa.
“Tukar tayar pun tak reti ke? Apalah. Baik tak payah jadi jantan. Jadi pondan aje,” perli Hessa dengan selamba saja.
“Eh, awak cakap baik-baik. Saya bukan tak reti. Saya tak ada alat nak tukar tayar aje. Sekarang saya tunggu Johan untuk datang tolong saya,” dalih Zafrel cuba menutup kelemahannya itu.
Memanglah dia tidak pandai menukar tayar kereta. Kalau Hessa tahu, malulah dia nanti. Dia baru saja menghubungi Johan supaya datang cepat ke tempatnya.
“Alasan! Kalau tak pandai tu cakap ajelah. Nak menipu aje kerja,” kata Hessa mendatar lalu bergerak ke keretanya. Dia membuka bonet keretanya dan mengeluarkan kit peralatan kereta lalu dibawa ke kereta Zafrel.
Zafrel tercengang. Takkanlah perempuan ni nak tukar tayar kereta? Reti ke dia? Hati Zafrel bermonolog. Dia seakan-akan tidak percaya.
“Awak nak buat apa ni?” soal Zafrel bercekak pinggang.
Hessa mendengus kecil. Lembap juga otak budak ni, bisik hatinya. “Takkan saya nak main masak-masak pulak. Kita nak tukar tayar nilah. Ada spare tyre tak?”
Zafrel terkedu. Biar betul!
“Tak payah, tak payah! Nanti lain pulak jadinya. Perempuan tahu apa pasal kereta. Biar saya uruskan sendiri,” bantah Zafrel dengan egonya. Tidak mahu Hessa membantu. Juga memandang rendah terhadap kebolehan wanita.
“Uruskan sendiri? Saya tahu awak tak reti tukar tayar. Nak tunggu kawan awak tu tak tahu bila sampai. Jalan jammed tau tak,” kata Hessa lalu mencangkung dan membuka kit peralatan. Sambil membebel kepada Zafrel sambil tangannya bekerja.
Zafrel berdiri berpeluk tubuh sambil memerhatikan Hessa. Boleh tahan perempuan ni. Setiap gerak kerja Hessa diperhati. Nampak macam pakar saja. Malu pula rasanya. Selama ini, Zafrel tak pernah menukar tayar kereta sendiri kerana tak pernah lagi terjadi tayar pancit. Dia cuma tahu memandu saja. Itu pun yang automatik saja.
Tak sangka Hessa baik hati orangnya. Cuma dia yang selalu beranggapan buruk kepada Hessa. Tengok, walaupun mereka selalu bergaduh semasa kecil dan sekarang pun masih bergaduh, Hessa masih sudi menolongnya. Hairan.
Pada detik itu, Zafrel mula rasakan sesuatu tatkala merenung ke wajah Hessa. Mulut gadis itu tak henti-henti bercakap. Entah apa yang dibebelkan, sedikit pun tak masuk ke otak Zafrel. Fikiran Zafrel melayang entah ke mana.
“Dah siap!” kata Hessa seraya menepuk-nepuk tapak tangannya.
Kit peralatan diangkat dan dibawa ke bonet keretanya semula. Setelah pintu bonet ditutup, dia mendapatkan Zafrel yang sedang menilik tayar keretanya. Hessa menadah tangannya ke arah Zafrel. Zafrel angkat wajah dan melihat Hessa menadah tapak tangannya.
“Apa dia?” soal Zafrel dengan dahi berkerut.
“Upah?”
“Apa? Upah? Saya tak suruh pun awak tukar tayar kereta saya. Awak tu yang suka rela nak tolong. Tak ada. Tak ada upah!” Zafrel berkeras sambil melayang-layangkan tapak tangannya depan Hessa.
“Kedekut betul orang tua ni!” bentak Hessa.
Zafrel mendengus kecil lalu menyeluk sakunya. Dia mengeluarkan wang bernilai RM10, baki wang semasa mengisi minyak tadilalu dihulur kepada Hessa. “Cukup?”
Melopong mulut Hessa. “RM10?”
“Habis tu? Demand pulak. Saya bagi tu dah kira okey apa. Sedekah.”
Hessa mengetap bibir geram. Mahu saja dia cili-cilikan mulut Zafrel. “Awak ni kan!”
“Jumpa lagi,” kata Zafrel lalu membuka pintu kereta dan terus masuk. Pintu dihempas dan dia menurunkan separuh cermin tingkap.
“Tolong alihkan kereta tu ya. Saya nak lalu,” kata Zafrel dengan senyuman yang dibuat-buat.
“Di sini menyesal!” bentak Hessa lalu beredar ke keretanya dengan hati yang sakit.
Tak mengenang budi betul budak gemuk ni. Macam ni ke nak jadi suami aku? Tak sesuai! kutuknya dalam hati.
Melihat Hessa pergi, Zafrel tersenyum geli hati. Berjaya juga dia membalas dendam kepada Hessa di atas kata-katanya tempoh hari. Zafrel memecut keretanya ke atas jalan raya. Sempat dia melihat ke belakang menggunakan cermin pandang belakang. Kelihatan kereta Hessa mengekori dari belakang.
Dia senyum sinis. Lalu dia menekan pedal minyak sekuat hati. Kereta Hessa ketinggalan jauh di belakang.
“Hessa, Hessa,” bisiknya perlahan. Dengan senyuman penuh makna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan